Isnin, 23 April 2012

TEMA 2 Sejarah Malaysia :TRANSFORMASI MASYARAKAT

Bincangkan perubahan-perubahan sistem pentadbiran Tanah Melayu dari tahun 1874 sehingga 1896.
 
Pada tahun 1860-an dan 1870-an, berlaku pelbagai kekacauan di Perak, Selangor, Pahang dan Sungai Ujong. Antara kekacauan itu ialah perebutan takhta, pergaduhan pembesar, pergaduhan di antara pelombong Cina dan sebagainya. Kekacauan tersebut telah dijadikan alasan oleh British untuk campur tangan. Hasil usaha daripada Sir Andrew Clarke, dasar campur tangan bermula di Perak, kemudian Selangor, Sungai Ujong dan Pahang. Berikutan dasar campur tangan, Sistem Residen telah diperkenalkan di negeri-negeri tersebut. Di bawah Sistem Residen, Sultan menerima seorang Residen sebagai penasihat bagi menasihatinya dalam segala hal kecuali hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan adat resam orang Melayu.
 
Pengenalan Sistem Residen ini telah mewujudkan satu jawatan baru selepas Sultan iaitu Residen. Residen ini dilantik untuk menasihati Sultan-sultan dalam urusan-urusan pentadbiran kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan adat resam orang Melayu. Beliau bertanggungjawab mengekalkan ketenteraman dan menegakkan peraturan serta undang-undang di wilayah pemerintahannya. Segala tindakan hendaklah jangan menggunakan paksaan. Beliau juga bertugas membentuk sebuah sistem cukai yang berkesan serta merancang dan membangunkan kawasan-kawasan bandar. Selain itu, beliau juga dikehendaki memperbaiki sistem perhubungan. 
Di peringkat negeri, pemerintahan secara tidak langsung dan nasihat Residen kepada Sultan dijalankan melalui pembentukan Majlis Mesyuarat Negeri. Tujuan utama majlis ini ialah untuk membolehkan para pegawai British berunding dengan para pembesar tempatan tentang segala hal yang berhubung dengan kepentingan masyarakat Melayu. Majlis ini mula-mulanya ditubuhkan sebagai penasihat sahaja. Kemudian, tugas-tugasnya termasuk juga membuat undang-undang, menjadi mahkamah rayuan tertinggi dan menjadi badan kerajaan utama yang menguruskan perubahan dalam struktur cukai, pencen kepada orang Melayu dan perlantikan ketua tempatan, pegawai kerajaan dan kadi. Pada amnya semua perkara yang berkaitan dengan kerajaan tempatan diuruskan oleh majlis ini kecuali urusan mengawal hasil-hasil yang berada di bawah Residen. Seluruh Mesyuarat Negeri ini dijalankan dalam Bahasa Melayu dan segala perkara yang berkaitan dengan pentadbiran, ekonomi dan sosial dibincangkan dalam majlis ini. Semua cadangan dan usul Residen harus dibahaskan dan diundi sebelum diluluskan menjadi undang-undang. Semua rang undang-undang harus mempunyai tandatangan Sultan tetapi mestilah terlebih dahulu mendapat keizinan Gabenor yang mempunyai kuasa pembatal. Sungguhpun majlis ini amat berguna untuk membincangkan pendapat mengenai perkara-perkara yang menyentuh orang Melayu tetapi sebenarnya, majlis ini tidak mempunyai kuasa perundangan yang luas. Lagipun, apabila pentadbiran menjadi semakin rumit, fungsi perundangan majlis ini diabaikan. Lama-kelamaan, majlis ini hanya meluluskan keputusan yang sudah dibuat. 
Di peringkat daerah, pentadbirannya diserah di bawah jagaan seorang pegawai daerah British. Pada peringkat awal, pegawai daerah dikenali sebagai “Pemungut Cukai dan Majlistret” kerana beliau berfungsi sebagai pemungut cukai dan menjadi majlistret di peringkat daerah. Pegawai daerah juga bertanggungjawab menjaga perbandaharaan daerah dan memungut cukai. Beberapa cawangan jabatan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Polis dan Jabatan Perubatan ditubuhkan di bawah Ketua  Pegawai Eropah dan Pegawai Daerah bertugas untuk mengawasi ketua jabatan itu. 
Setiap daerah ini dibahagikan kepada beberapa mukim pula. Seorang pembesar dilantik untuk menjadi Ketua Mukim dengan gelaran Penghulu. Anak raja dilantik menjadi Penghulu kerana beliau mempunyai pengaruh yang kuat. Selain itu, British juga berhasrat melibatkan mereka dalam pentadbiran British. Mereka ini juga lebih memahami sikap dan perasaan rakyat jelata dan mempunyai pendidikan yang diperlukan untuk menjalankan tugas. Tugas mereka termasuklah memungut hasil tanah, mentadbir undang-undang tempatan, menjaga keamanan dan keselamatan, mengadakan hubungan erat dengan rakyat jelata, menyampaikan dasar dan usaha kerajaan kepada rakyat jelata, menyampaikan maklumat balas rakyat kepada kerajaan dan menyimpan kira-kira dan membuat laporan bertulis. 
Seterusnya, di peringkat kampung, ia diketuai oleh Ketua Kampung. Biasanya, mereka terdiri daripada orang tua yang dihormati oleh penduduk sesebuah kampung. Ketua Kampung bekerjasama dengan Penghulu di mukim dan mendapat pengiktirafan daripada Sultan negeri-negeri masing-masing. Selain Penghulu dan Ketua Kampung, terdapat lagi Kapitan Cina dan Penghulu Dagang. 
Pada awal tahun 1890-an, sebuah Lembaga Kesihatan telah ditubuhkan bagi mentadbir bandar Kuala Lumpur. Tugas lembaga ini adalah untuk mengeluarkan lesen peniaga dan penjaja, meluluskan pelan bangunan dan menjaga kebersihan bandar. Ahli-ahli lembaga ini terdiri daripada jurutera di Jabatan Kerja Raya, Ketua Polis Daerah dan individu yang dilantik oleh Residen. 
Pada tahun 1892, Frank Swettenham memperkenalkan idea penubuhan persekutuan kepada Gabenor Negeri-negeri Selat, Cecil Smith. Pada tahun 1893, Cecil Clementi menghantarkan cadangan  ini kepada Pejabat Tanah Jajahan. Frank Swettenham dengan initiatifnya mendapat persetujuan dari Raja-raja Melayu. Akihirnya, pada 1 Julai 1895, Raja-raja Melayu menandatangani Perjanjian Persekutuan dan perjanjian ini berkuatkuasa pada 1 Julai 1896 di mana persekutuan yang dinamakan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan.
 
Di bawah sistem persekutuan ini, pemusatan kuasa di tangan Residen Jeneral telah berlaku. Sudahpun diketahui, Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) bukan merupakan persekutuan dalam erti kata yang sebenarnya tetapi satu kesatuan politik. Kuasa pentadbiran dipusatkan dalam tangan Residen Jeneral di Kuala Lumpur yang menjadi ibu negeri persekutuan. Semua keputusan penting berkaitan dengan keempat-empat Negeri-negeri Melayu berkenaan dibuat di Kuala Lumpur. Tiada terdapat pengagihan kuasa pentadbiran di antara negeri-negeri dan kerajaan pusat. Beberapa jabatan persekutuan seperti Jabatan Keretapi, Jabatan Polis, Jabatan Hutan, Jabatan Hal-ehwal Cina, Malay States Guides dan Jabatan Kewangan ditubuhkan. Residen Jeneral mempunyai kuasa atas perkara kewangan. Punca utama hasil, iaitu duti-duti atas eksport, berada di bawah kawalan kerajaan pusat. Sir Frank Swettenham dilantik sebagai Residen Jeneral yang pertama bagi NNMB. Pemusatan kuasa ini mengakibatkan Sultan-sultan Melayu, Residen-residen dan Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan kuasa. 
Di bawah persekutuan juga, Persidangan Raja-raja Melayu (DURBAR) ditubuhkan. DURBAR membolehkan Sultan-sultan membincangkan kepentingan mereka bersama dengan pegawai-pegawai British. Persidangan ini dijalankan dalam Bahasa Melayu. Persidangan Raja-raja Melayu yang pertama diadakan pada tahun 1897 di Kuala Lumpur. Sultan Idris dari Perak mengkritik pemusatan kuasa pentadbiran di tangan Residen Jeneral. Baginda menggesa Kerajaan British untuk melaksanakan pengagihan kuasa. Baginda juga menggesa Kerajaan British untuk menambahkan bilangan pegawai Melayu dalam perkhidmatan kerajaan.  

Kesimpulannya,penubuhan NNMB telah menyebabkan kuasa Sultan-sultan, Residen-residen dan Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan kuasa. Sultan Idris dari Perak selalu mengkritik Kerajaan British atas tindakan ini dan mendesak Kerajaan British untuk melaksanakan pengagihan kuasa atau desentralisasi. Hasil usaha dari John Anderson, desentralisasi peringkat pertama dimulakan pada tahun 1904. Pada peringkat ini, Majlis Mesyuarat Persekutuan ditubuhkan pada tahun 1909. Selepas John Anderson, Guillemard dan Sir Cecil Clementi juga melaksanakan dasar desentralisasi masing-masing pada tahun 1920 dan 1930.

TEMA 2 Sejarah Malaysia :TRANSFORMASI MASYARAKAT


Bincangkan kesan-kesan pelaksanaan Sistem Residen ke atas Negeri-negeri Melayu dari tahun 1874 hingga tahun 1896.

Pengenalan
               Campur tangan British secara rasmi bermula di Perak dengan termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Ini diikuti dengan perluasan pengaruh dan pelantikan Residen British di Selangor (1874), Sungai Ujong (1874), Pahang (1888), dan Negeri Sembilan (1896). Pada teorinya, setiap Residen mempunyai tugas menasihati Sultan dalam urusan pentadbiran, memulihkan keamanan, memajukan ekonomi negeri, dan memperkenalkan sistem pungutan cukai. Namun pada hakikatnya, terdapat pelbagai kelemahan dan masalah dalam pelaksanaan sistem Residen. Ini kerana Residen sering melampaui bidang tugasnya.
Isi
1. Kesan negatif atau kelemahan Sistem Residen 
I.   Sultan kehilangan kuasa
Ø  Residen dilantik sebagai penasihat Sultan dalam urusan pentadbiran. Sultan terpaksa akur dengan arahan Residen. Kuasa Sultan terbatas dalam hal agama Islam dan adat istiadat Melayu
II.   Ketidakseragaman pentadbiran
Ø  Tidak terdapat keseragaman pentadbiran antara Negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Tidak terdapat satu panduan yang jelas untuk diikuti oleh Residen dalam menjalankan  tugasnya. Setiap Residen mentadbir dan sering bertindak mengikut budi bicara sendiri
Ø  Sistem Residen di Perak ditentang kerana J.W.W Birch jahil dan mencampuri adat  resam Melayu. Sebaliknya sistem Residen di Selangor dianggap berjaya kerana Hugh Low dan Frank Swettenham memahami adat resam Melayu
III.    Tiada pengawasan daripada Gabenor Negeri-Negeri Selat
Ø  Residen sering lambat mengambil tindakan terhadap masalah pentadbiran.
Ø  Tiada pemantauan terhadap tugas Residen oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat.

Ø  Jarak kediaman Gabenor yang jauh di Singapura yang jauh memberi peluang kepada  Residen berkuasa sepenuhnya
IV    Mencampuri urusan adat resam tempatan
Ø  Residen melantik Pegawai Pemungut Cukai dan Majistret.
Ø  Mengambil alih kuasa memungut cukai daripada pembesar Melayu
Ø  Menimbulkan kemarahan pembesar Melayu kerana kehilangan punca pendapatan
      dan pengaruh
Ø  Amalan hamba abdi juga dihapuskan dan tindakan ini sukar diterima oleh pembesar
Ø  Dato’ Maharaja Lela di Perak, Dato’ Bahaman di Pahang, dan Dato’ Kelana di Sungai  Ujong bangun menentang Residen
V    Jurang sosioekonomi antara kaum
Ø  Tumpuan ekonomi British ialah terhadap kawasan perlombongan bijih timah
Ø  Mengabaikan kemajuan di kampung yang didiami orang Melayu
Ø  Orang Melayu juga tidak mendapat peluang pendidikan yang meluas
VI     Eksploitasi ekonomi oleh golongan pemodal Eropah dan Cina
Ø  Kawasan perlombongan bijih timah baru telah dibuka dengan pesat terutama
      di Lembah Kinta
Ø  Kemasukan pemodal British dan Cina akhirnya mendominasi sektor    perlombongan
Ø  Hasil pengeluaran bijih timah meningkat kepaa lebih 15,000 tan pada tahun 1890
VII    Pertambahan penduduk dan pembukaan bandar baru
Ø  Perkembangan ekonomi menyebabkan British membawa masuk imigran Cina dan India bagi mengisi keperluan tenaga buruh dan sebagai golongan pemodal
Ø  Menyebabkan pertambahan bilangan penduduk
Ø  Ini diikuti dengan pembukaan bandar-bandar baru di kawasan perlombongan dan getah misalnya Taiping, Kamunting, Kuala Kangsar, dan Kuala Lumpur
Ø  Menjadi punca masalah pengasingan tempat tinggal antara Melayu, Cina dan India
Ø  Orang Melayu masih kekal di kawasan luar bandar, Cina di bandar baru dan kawasan perlombongan manakala India di kawasan ladang getah
2. Kesan positif Sistem Residen 
I.   mewujudkan keadaan aman
Ø  Menamatkan perebutan takhta antara pembesar Melayu
Ø  Menamatkan pergaduhan antara kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San
Ø  Mewujudkan keadaan aman melalui pelaksanaan undang-undang
Ø  Kegiatan lanun dapat dikurangkan

Ø  Lebih banyak pasukan polis ditubuhkan, misalnya Kapten Speedy telah menambah anggota polis kepada 2,500 orang untuk mengembalikan keamanan daerah Larut
Ø  Mahkamah didirikan di Negeri-negeri Melayu dengan menguatkuasakan undang-undang yang mengamalkan Hukum Kanun Jenayah India
II.    Memperkenalkan Majlis Mesyuarat Negeri
Ø  Majlis Melayu ditubuhkan oleh William Jervois, ditukar kepada Majlis Mesyuarat Negeri (1877)
Ø  Dianggotai oleh Sultan (Presiden MN), residen, pembesar Melayu dan wakil pedagang Cina
Ø  Peranan MMN:
·               membincangkan soal pembahagian hasil dan perbelanjaan negeri
·               tugas-tugas perundangan dan kehakiman
·               sebagai Mahkamah Rayuan dan menjatuhkan hukuman mati
·               soal pelantikan pembesar Melayu dan menguruskan hal ehwal agama Islam
III.    Perkembangan sistem pengangkutan
Ø  Landasan keretapi pertama Taiping- Port Weld (1885) telah dibina
Ø  Pembinaan landasan keretapi bertujuan menghubungkan kawasan perlombongan bijih timah dengan pelabuhan eksport
Ø  Jalan raya dibina bagi menghubungkan pusat perlombongan bijih timah dengan bandar-bandar baru
IV.    Peningkatan hasil pendapatan negeri
Ø  Perkembangan ekonomi meningkatkan hasil pendapatan Negeri-negeri Melayu kepada lebih $2.2 juta (1885). Hasil eksport meningkat kepada $9.6 juta (1885)
V.    Penghapusan sistem hamba abdi secara menyeluruh
Ø     Residen telah menghapuskan amalan perhambaan secara beransur-ansur
Ø   
Kesimpulan
            Pelaksanaan sistem Residen di Negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan mendatangkan banyak kesan positif dan negatif. Bagaimanapun, kehilangan kuasa Sultan dalam pentadbiran negeri dan pelbagai kelemahan lain dalam pelaksanaan sistem Residen akhirnya mendorong British untuk melakukan pemusatan pentadbiran melalui penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu  pada tahun 1896.

TEMA 2 Sejarah Malaysia :TRANSFORMASI MASYARAKAT


Bincangkan kewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu mulai pertengahan abad ke-19.
 
PENDAHULUAN
Abad ke-19 adalah titik tolak penting dalam sejarah Tanah Melayu. Tanah Melayu bukan sahaja mengalami perubahan politik tetapi juga perubahan sosial dan ekonomi. Perubahan politik telah membawa kepada perubahan sosial. Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah membawa kepada kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu. Selain orang Cina dan India, terdapat satu lagi kumpulan imigran di Tanah Melayu iaitu orang Indonesia. Kedatangan imigran ini seterusnya bersama orang Melayu tempatan membentuk masyarakat yang berbilang kaum.
 
ISI-ISI PENTING
Sebelum pemerintahan Inggeris, orang Indonesia telah berhijrah ke Tanah Melayu. Mereka terdiri daripada orang Bugis, orang Jawa dan orang Minangkabau. Pada penghujung abad ke-19, penghijrahan masuk orang Indonesia ke Tanah Melayu semakin meningkat. Kesemuanya ini disebabkan masalah politik, ekonomi dan sosial yang berlaku di Indonesia. Dari segi sosial, penduduk Indonesia terutama dari Pulau Jawa dan Sumatera telah bertambah dengan pesat menyebabkan kemiskinan, kebuluran dan kemerosotan taraf hidup rakyat Indonesia. Sementara itu, tekanan politik oleh pihak penjajah iaitu Belanda telah mendorong kemasukan orang-orang Indonesia ke Tanah Melayu. Sebagai contoh, Sistem Kultur (1830-1870) yang dikenakan terhadap orang Jawa menyebabkan rasa kurang senang hati orang Jawa menyebabkan mereka berhijrah ke Tanah Melayu. Dari segi ekonomi, pelbagai cukai seperti cukai tanah, cukai kepala dan cukai tol telah menambahkan lagi kesenangan hidup. 
Bagi orang Cina, sebenarnya mereka telah pun datang ke Tanah Melayu sejak abad ke-15. Mereka datang ke Tanah Melayu adalah untuk berdagang. Menjelang awal abad ke-19, penghijrahan orang Cina semakin bertambah. Penghijrahan orang Cina ini adalah disebabkan oleh 2 faktor iaitu faktor penolak dan faktor penarik. 
Keadaan politik dan sosial di negeri China merupakan faktor penolak. Keadaan politk di China yang tidak stabil menggalakkan kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Dinasti Manchu yang menguasai China sejak tahun 1644 mengamalkan sikap diskriminasi terhadap penduduk Cina tempatan. Orang-orang Cina yang tidak berpuas hati sering melancarkan pemberontakan untuk menggulingkan Kerajaan Manchu. Oleh itu, kerajaan bertindak lebih tegas dan kejam untuk memadamkan perasaan tidak puas hati rakyat dan pemberontak. Oleh itu, ramai orang Cina terpaksa melarikan diri daripada menjadi mangsa kekejaman Kerajaan Manchu. Mereka mula berhijrah ke seberang laut seperti Korea, Jepun dan negara-negara di Asia Tenggara seperti Tanah Melayu, Filipina, Indonesia dan lain-lain.
 
Selain faktor penolak, faktor penarik juga menyebabkan penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu. Faktor penarik ini telah berlaku di Tanah Melayu. Dari segi ekonomi, peluang ekonomi yang banyak di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Keperluan tenaga buruh bagi menjayakan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu adalah salah satu faktor disamping peluang-peluang perniagaan yang banyak di kawasan bandar dan kawasan perlombongan. Peluang untuk menjalankan pertanian seperti di bawah Sistem Kangchu (Johor) juga menggalakkan lagi penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu. Di bawah Sistem Kangchu, orang Cina diberi tanah untuk mengerjakan pertanian terutamanya lada hitam. 
Dari segi politik, hasil daripada pemerintahan British yang liberal telah mewujudkan keadaan politik yang stabil. British juga menggalakkan kedatangan orang Cina dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti subsidi tambang dan sebagainya. Pembesar-pembesar tempatan pula menggalakkan kemasukan buruh Cina untuk mengerjakan perusahaan bijih timah.
 
Orang India pula mulai datang ke Tanah Melayu sejak abad yang pertama. Mereka menamai Tanah Melayu sebagai “Suvarnabumi” atau “Tanah Emas”. Namun begitu, mereka hanya berhijrah secara beramai-ramai ke Tanah Melayu pada penghujung abad ke-19 akibat perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Faktor yang menggalakkan penghijrahan orang India juga terdiri daripada faktor penolak dan faktor penarik.
 
Perkembangan perusahaan getah dan galakan daripada Kerajaan British merupakan faktor penarik yang menarik orang India datang ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi di Tanah Melayu terutamanya dalam perusahaan getah telah menggalakkan kedatangan orang India ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi yang wujud dalam sektor ini adalah disebabkan oleh keengganan orang Melayu untuk bekerja di ladang getah. Selain itu, dua buah perkhidmatan awam yang paling banyak menggunakan tenaga buruh India ialah Jabatan Keretapi dan Jabatan Kerja Raya juga menarik kehadiran orang India ke Tanah Melayu. Seterusnya, peluang pekerjaan bagi golongan menengah di Tanah Melayu turut dipenuhi oleh orang India. Pada tahun 1920-an, kestabilan politik di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang India. Di samping itu, adanya koordinasi di antara Kerajaan British di Tanah Melayu dengan Kerajaan British di India telah memudahkan lagi kemasukan India ke Tanah Melayu. Kejayaan orang India yang lebih awal datang ke Tanah Melayu juga telah mendorong kepada kemsukan lebih ramai orang India.
 
Setelah meninjau sebab kedatangan imigran orang Indonesia, orang Cina dan orang India dalam pembentukan masyarakat majmuk, biarlah kita meneliti cara atau sistem kemasukan mereka.
 
Bagi orang Indonesia, tidak ada satu sistem yang tertentu yang dilalui untuk datang ke Tanah Melayu. Mereka datang ke sini dengan berusaha sendiri.
 
Bagi orang Cina, terdapat 3 cara mereka datang ke Tanah Melayu, iaitu melalui sistem tiket kredit, melalui cara bersendirian dan melalui Sistem Kangchu. Bagi orang yang datang dengan cara sistem tiket kredit, mereka terikat dengan perjanjian untuk bekerja bagi suatu tempoh masa sehingga hutang mereka dijelaskan. Sementara itu, orang yang datang melalui cara persendirian adalah dibantu oleh rakan atau ahli keluarga ataupun dengan perbelanjaan sendiri. Melalui Sistem Kangchu pula, orang Cina berpindah dan menetap kekal di Johor dam membuka ladang-ladang lada hitam, gambir, kopi, teh dan sebagainya.
 
Bagi orang India, imigrasi mereka dijalankan melalui sistem buruh kontrak (1820-1910) dan Sistem Kangani (1898-1938). Melalui sistem buruh kontrak, pemilik ladang akan membuat pesanan bagi buruh melalui seorang ejen di India. Ejen ini akan pergi ke kampung-kampung untuk mengumpulkan buruh India. Tambang pelayaran mereka dibiayai oleh majikan yang membuat pesanan. Setelah sampai di Tanah Melayu, mereka akan menandatangani kontrak untuk bekerja selama 5 tahun dengan gaji yang ditetapkan. Pekerja-pekerja ini biasanya dilayan dengan buruk. Melalui Sistem Kangani, majikan yang ingin mendapat buruh dari India akan menghantar seorang Kangani dari ladangnya ke India untuk mendapatkan buruh dari kampung halaman Kangani itu. Kangani itu akan dibayar mengikut bilangan pekerja yang diambil dan dia sendiri pula dikehendaki membayar tambang dan perbelanjaan lain bagi buruh-buruh itu sehingga ketibaan mereka di ladang. Biasanya pekerja dilayan dengan baik.
 
Kedatangan imigran ini bukan sahaja mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu, namun mereka juga memberikan banyak sumbangan terhadap pelbagai sektor terutamanya sektor ekonomi di Tanah Melayu.
 
Orang Indonesia telah menyumbangkan tenaga dalam perusahaan getah dan bijih timah di samping dalam pertanian seperti padi, kelapa, dusun buah-buahan dan sebagainya. Kecenderungan dalam mengusahakan pertanian yang sama dengan tempat asal mereka adalah pendorong kepada kedatangan mereka ke Tanah Melayu.
 
Kedatangan orang Cina pula menggalakkan perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu terutamanya di kawasan Larut, Kinta, Lembah Klang dan Sungai Ujong. Buktinya, eksport bijih timah Tanah Melayu telah meningkat secara berterusan dari tahun 1850 dengan jumlah eksport 6500 tan kepada 77 ribu tan pada tahun 1937. Dari segi perniagaan pula, banyak kedai di buka oleh orang Cina terutamanya di bandar yang terletak di kawasan perlombongan. Kegiatan penanaman lada hitam juga berkembang hasil daripada Sistem Kangchu.
 
Kemasukan orang India telah menyebabkan pembukaan lebih banyak kawasan ladang getah. Buktinya, pada tahun 1897, hanya terdapat 345 ekar ladang getah di Tanah Melayu tetapi pada tahun 1940, angka ini telah meningkat menjadi 3.5 juta ekar. Di samping itu, dalam bidang professional, orang India telah menyumbangkan tenaga mereka dengan menjadi guru, doctor, kerana dan sebagainya.
 
KESIMPULAN
Imigran Cina, dan Indonesia yang masih tinggal membentuk satu masyarakat majmuk. Kaum-kaum ini berpisah bukan sahaja dari segi bangsa tetapi juga bahasa, agama, kepercayaan, tempat kediaman dan sebagainya. Walau bagaimanapun, mereka masih dapat hidup dengan aman damai dan keadaan ini telah menggalakkan perkembangan ekonomi di Tanah Melayu.

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...