Rabu, 13 April 2011

SEJARAH 2 STPM(MALAYSIA)


TEMA 2 : TRANSFORMASI MASYARAKAT
BAB 7 : KESAN TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA

Sistem pemerintahan Dinasti Brooke pada abad ke-19 di Sarawak merupakan suatu bentuk pemerintahan baru berbanding pemerintahan tradisional. Bincangkan.

PENDAHULUAN
 
Sarawak asalnya wilayah pegangan atau hak Kesultanan Brunei. Namun begitu, pada tahun 1836, telah berlaku pemberontakan di Sarawak. Sultan Brunei waktu itu, Sultan Omar Ali Saifuddin gagal untuk menyelesaikan krisis tersebut. Fenomena inilah yang menyebabkan baginda meminta bantuan daripada James Brooke pada tahun 1839 yang kebetulan berada di sana. Atas bantuan James Brooke pada masa itu, krisis tersebut diselesaikan, beliau telah dilantik oleh Sultan Brunei sebagai Gabenor Sarawak pada 24 November 1841. Akhirnya, pada tahun 1846, Sultan Brunei telah mengakui sepenuh James Brooke dan penggantinya sebagai pemerintah bebas di Sarawak.
 
ISI-ISI PENTING

James Brooke mentadbir Sarawak mengikut asas pentadbiran British. Beliau telah memperkenalkan satu kod undang-undang keamanan di Sarawak. Namun begitu, bagi jenayah-jenayah berat, hukumannya masih berpandukan kepada undang-undang tradisi Brunei. Pada tahun 1855, James Brooke telah menubuhkan sebuah Majlis Tertinggi yang berperanan sebagai penasihatnya dalam pentadbiran. Majlis ini terdiri daripada Charles Brooke dan 4 orang Datu daripada orang Melayu. Selain itu, beliau juga memperkenalkan sistem perdagangan bebas kecuali bagi dagangan antimoni dan candu.
 
James Brooke juga telah menghapuskan amalan tradisi masyarakat pribumi iaitu perburuan kepala dan sistem perhambaan. Pada tahun 1840-an ini juga, beliau cuba menghapuskan aktiviti pelanunan yang selama ini mengganggu keamanan di perairan Sarawak. Beberapa kubu lanun berjaya dimusnahkan seperti di Saribas, Padeh, Teluk Marudu, Dayak Laut dan Batang Muru. Selain daripada usaha-usaha pentadbiran James Brooke di atas, beliau juga berjaya memperluas wilayah Sarawak itu sendiri. Kawasan asal Sarawak yang diperolehinya dari Sultan Brunei hanyalah kawasan antara Tanjung Datu dan Sungai Samarahan. Pada tahun 1853, Sultan Brunei, Sultan Abdul Mumin telah menyerahkan kawasan di sekitar Sungai Sadong, Batang Lupar, Saribas dan Kalaka. Sultan Brunei telah menerima bayaran tahunan sebanyak 1000 paun atas penyerahan ini. Pada tahun 1861 pula, Sultan Brunei telah menyerahkan kawasan pantai di antara Sungai Rajang dan Tanjung Kindurong dan Sultan menerima bayaran tahunan sebanyak 4500 paun atas penyerahan ini.
 
Pada September 1865, James Brooke telah menyerahkan tampuk pemerintahan Sarawak kepada anak saudara beliau Charles Brooke. Charles Brooke turut mengambil beberapa langkah untuk mengemaskinikan sistem pemerintahan Sarawak. Pada tahun 1865, beliau telah menubuhkan sebuah Majlis Negeri. Penubuhan majlis ini untuk memberi peluang kepada suku-suku kaum tempatan terlibat dalam pentadbiran. Di antara ahli-ahlinya ialah, ahli Majlis Tertinggi, ketua-ketua suku daerah, pegawai kanan Eropah dan Residen Eropah. Oleh sebab wilayah Sarawak semakin besar, beliau membahagikan Sarawak kepada 3 bahagian yang diketuai oleh Residen Eropah setiap satu. Residen ini dibantu oleh penolong Residen dan pegawai rendah. Di bawah Residen ini pula ditubuhkan Majlis Bahagian yang bertanggungjawab sebagai penasihat kepada Residen tadi. Sementara itu, di peringkat Kampung, ketua-ketua kampung masih dipegang oleh ketua suku kaum di kawasan berkenaan.
 
Di dalam soal kehakiman, hukuman masih berasaskan undang-undang tradisional suku kaum pribumi. Namun, sekiranya terdapat sebarang hukum yang diragui, undang-undang British akan digunakan. Pada tahun 1883, Charles Brooke telah memperkenalkan rang undang-undang untuk membebaskan semua hamba di Sarawak dalam masa 5 tahun. Sebagai mana bapa saudaranya, Charles Brooke turut berusaha memperluaskan wilayah Sarawak. Pada tahun 1890, misalnya, Sultan Brunei telah menyerahkan kawasan Limbang kepada Brooke. Pada tahun 1905 pula, Syarikat Berpiagam Borneo Utara telah menyerahkan kawasan Sungai Lawas kepada Brooke.
 
Charles Brooke turut membuat beberapa pembaharuan dan usaha untuk memajukan ekonomi Sarawak. Contohnya, pada tahun 1876, beliau telah menggubal dasar yang menggalakkan kemasukan orang Cina dari Singapura ke Sarawak untuk mengerjakan tanaman lada hitam. Pada tahun 1885, Sarawak berjaya mengeksport lada hitam sehingga berjumlah 392 tan. Getah pula mula ditanam di Sarawak pada tahun 1905. Untuk itu, buruh-buruh Jawa telah diimport untuk mengerjakan ladang-ladang getah. Sagu turut diusahakan dan kemudian salah satu tanaman eksport yang diusahakan oleh orang Malanau. Selain hasil pertanian, kegiatan ekonomi turut pesat dalam aktiviti perlombongan. Antara sumber galian yang dilombong di Sarawak ialah antimoni, raksa dan arang batu.
 
Pemerintahan Charles Brooke ini kemudian berakhir apabila beliau diganti oleh anaknya Vyner Brooke pada 24 Mei 1917. Vyner Brooke banyak menyambung usaha-usaha yang dilakukan oleh bapanya. Pada tahun 1924, beliau telah memperkenal satu kanun jenayah Sarawak. Kanun ini amnya berasaskan kepada Kanun Jenayah India. Pada tahun 1923 pula, beliau telah memperkenalkan jawatan Ketua Setiausaha. Selain itu, beliau juga telah mewujudkan jawatan Peseruhjaya Hakim yang sebelum ini dikenali sebagai Ketua Hakim. Pada tahun 1929, beliau telah melantik seorang Setiausaha Hal-Ehwal Orang Cina. Jawatan ini berfungsi untuk menguruskan perkara yang berkaitan dengan orang Cina. Pada 24 September 1941 pula, Vyner Brooke telah memperkenalkan sebuah perlembagaan baru untuk Sarawak. Perlembagaan ini merupakan langkah pertamanya ke arah pemerintahan sendiri. Intipati kepada perlembagaan ini, Raja Sarawak memerintah dengan nasihat Majlis Tertinggi. Majlis Negeri dikekalkan dengan keanggotaan seramai 25 orang ahli yang bertindak sebagai badan perundangan.
 
Vyner Brooke turut berusaha untuk meningkatkan aktiviti ekonomi di Sarawak. Getah kini menjadi eksport terpenting Sarawak dengan keluasan ladangnya yang kian bertambah. Petroleum telah ditemui di Miri dan ia menjadi pengeluaran utama bagi negeri Sarawak. Perusahaan kayu balak turut dimulakan. Perkembangan infrastruktur juga turut bertambah dengan lebih banyak pembinaan jalan raya dan keretapi. Namun, pengangkutan air masih merupakan pengangkutan utama di Sarawak.

KESIMPULAN
 
Pemerintahan Vyner Brooke berhenti seketika apabila berlaku Perang Dunia Kedua dan jatuhnya Sarawak ke tangan Jepun. Vyner Brooke mengambilalih semula Sarawak selepas Perang Dunia Kedua. Namun begitu, pada 1 Julai 1946, Vyner Brooke telah menyerahkan Sarawak ke bawah pentadbiran Kerajaan British. Hal ini disebabkan beliau tidak mempunyai waris dan beliau tidak cukup wang untuk membangunkan semula Sarawak selepas mengalami kemusnahan teruk semasa Perang Dunia Kedua. Justeru itu, tahun 1946 ini, berakhirlah pentadbiran Dinasti Brooke di Sarawak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...