Ahad, 1 Mei 2011

Contoh Soalan dan Jawapan Tema 3 Sejarah Asia Bab 11

TEMA 3: NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
BAB 11: PERANG DUNIA KEDUA


Bincangkan kesan-kesan pendudukan Jepun (1941-1945) terhadap perkembangan nasionalisme di Indonesia dan Burma.

A) PENGENALAN


1. Pada bulan Februari 1942, Jepun telah menyerang dan menawan Sumatera. Pada bulan Mac 1942, Jepun telah menawan Pulau Jawa dan seluruh Indonesia. Pendudukan Jepun di Indonesia telah tamat pada bulan Ogos 1945 dan telah mempengaruhi perkembangan nasionalisme di Indonesia pada abad ke-20.

2. Jepun telah menyerang Burma pada bulan Disember 1941. Menjelang bulan Mei 1942, Jepun telah berjaya menakluki seluruh negara Burma. Pendudukan Jepun di Burma berakhir pada bulan Ogos 1945. Pendudukan Jepun telah memberi kesan penting terhadap perkembangan nasionalisme Burma dan telah menpercepatkan pencapaian kemerdekaan Burma.

B) ISI
1. Kesan pendudukan Jepun di Indonesia

a) Kemerosotan maruah Belanda

i. Pendudukan Jepun telah mengakibatkan kemerosotan maruah Belanda dalam kalangan rakyat Indonesia. Kemenangan Jepun telah membuktikan Belanda boleh dikalahkan dan telah menyemarakkan semangat anti-Belanda dalam kalangan penduduk Indonesia.

b) Pengalaman dalam bidang pentadbiran

i. Selepas menakluki Indonesia, Jepun menghadapi masalah kekurangan pegawai untuk mentadbir Indonesia. Justeru, Jepun bertindak melantik golongan terpelajar Indonesia memegang jawatan dalam bidang pentadbiran dan teknikal$ di Indonesia.

ii. Tindakan Jepun ini telah mengukuhkan lagi keyakinan diri dalam kalangan golongan terpelajar Indonesia bahawa mereka mampu untuk mentadbir Indonesia sendiri.

c) Penggunaan Bahasa Indonesia

i. Bagi menghapuskan pengaruh Barat di Indonesia, Jepun telah mengharamkan penggunaan bahasa Belanda dan Inggeris. Penggunaan bahasa Jepun digalakkan. Memandangkan bahasa Jepun tidak diketahui oleh kebanyakan orang Indonesia, penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan telah dipertingkatkan lagi.
ii. Pengunaan bahasa Indonesia telah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan nasionalis Indonesia.

d) Penubuhan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA)

i. Jepun telah memberi kebebasan politik kepada para nasionalis Indonesia. Ini adalah kerana Jepun ingin mendapatkan sokongan mereka untuk mengeksplotasi pendudukan dan sumber Indonesia bagi kepentingan Jepun.

ii. Justeru, Jepun telah bertindak membebaskan semua pemimpin nasionalis Indonesia yang telah dipenjarakan oleh Belanda seperti Sukarno, Dr Muhamad Hatta, Sultan Sjahrir dan lain-lain dari penjara pada tahun 1942.

iii. Dengan sokongan Jepun, Sukarno dan Dr. Muhamad Hatta telah menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada 9hb Mac 1943 dan telah dipengerusikan oleh Sukarno.

iv. Penubuhan PUTERA telah menambahkan kesedaran politik dalam kalangan penduduk Indonesia dan mengukuhkan keazaman mereka untuk mencapai kemerdekaan.

v. Sukarno dan Dr Muhamad Hatta telah diberi kebebasan untuk berpidato dan bergerak di seluruh Indonesia

e) Penubuhan Tentera Pembela Tanah Air (PETA)

i. Tentera Pembela Tanah Air (PETA) telah ditubuhkan pada bulan September 1943 dan berada di bawah naungan PUTERA.

ii. PETA dipimpin oleh pegawai-pegawai Indonesia dan menerima latihan ketenteraan dari pihak Jepun. Tujuan penubuhan PETA ialah untuk mempertahankan Indonesia dari sebarang serangan kuasa Berikat.

iii. Pada pertengahan tahun 1945, bilangan ahli PETA ialah 120,000 orang.

iv. PETA merupakan tulang belakang tentera nasionalis yang menentang kemasukan semula Belanda ke Indonesia selepas Jepun menyerah kalah pada bulan Ogos 1945.

v. Semangat anti-penjajahan dan anti-Jepun telah berkembang dalam kalangan tentera PETA akibat propaganda Sukarno dan pemimipin nasionalis Indonesia yang lain.

f) Penubuhan Persatuan Belia dan Pelajar

i. Jepun juga bertindak menubuhkan beberapa pertubuhan belia dan pelajar seperti Seinandan (1942), Garkutotai, Barisan Pelopor dan Angkatan Muda (1944).

ii. Golongan belia dan pelajar dalam pertubuhan-pertubuhan tersebut telah diberi pendedahan politik dan latihan tentera.

iii. Pada bulan Oktober 1944, Jepun telah menubuhkan sebuah sekolah iaitu Asrama Indonesia Merdeka di Jakarta.

iv. Pemimpin-pemimpin nasionalis Indonesia seperti Dr. Muhamad Hatta dan Sultan Sjahrir telah member ceramah-ceramah di sekolah tersebut. Ceramah-ceramah ini telah membangkit semangat kebangsaan dalam kalangan pelajar dan belia Indonesia.

g) Penubuhan Masjumi

i. Pihak Jepun telah membantu menubuhkan Majlis Syura Muslimin Indonesia (MASJUMI) pada Oktober 1943.

ii. Jepun ingin menggunakan MASJUMI untuk mendapatkan sokongan rakyat Indonesia dan menyebarkan semangat anti-Belanda dalam kalangan mereka melalui agama.

iii. MASJUMI merupakan gabungan persatuan-persatuan agama seperti Muhamadiyah dan Nahdatul Ulama.

iv. Penubuhan MASJUMI telah membantu mengembangkan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat Indonesia.

h) Idea Kemerdekaan

i. Pada 7 hb September 1944, Perdana Menteri Jepun, Koiso telah berjanji untuk member kemerdekaan kepada Indonesia.

ii. Pada bulan Ogos 1945, satu Jawatankuasa Persediaan Kemerdekaan Indonesia telah ditubuhkan. Pengerusinya ialah Sukarno dan naib pengerusinya ialah Dr Muhamad Hatta.
iii. Perkembangan ini telah mengukuhkan keazaman para nasionalis Indonesia untuk mencapai kemerdekaan.

2. Kesan Pendudukan Jepun di Burma

a) Pakatan dengan Jepun

i. Pada tahun 1941, Thakin Aung San telah mengadakan pakatan dengan Jepun. Melalui pakatan ini golongan Thakin berjanji akan membantu Jepun menakluki Burma daripada Inggeris.Sementara Jepun pula berjanji untuk memberi kemerdekaan kepada Burma.

ii. Pakatan ini membolehkan golongan Thakin menjalani latihan ketenteraan di Jepun. Golongan Thakin seterusnya menubuhkan tentera kemerdekaan Burma dengan bantuan Jepun. Menjelang tahun 1941, Tentera Kemerdekaan Burma mempunyai 30,000 orang anggota.

b) Membantu Jepun menyerang Burma

i. Pada bulan Disember 1941, Jepun telah menyerang Burma dengan bantuan golongan Thakin melalui Tentera Kemerdekaan Burma.

ii. Pada Bulan Mei 1942, Jepun berjaya menakluki seluruh Burma.

iii. Kejayaan ini menyebabkan pengaruh golongan Thakin semakin meningkat dan dianggap sebagai pembela nasionalisme Burma dalam kalangan rakyat Burma.

iv. Kemenangan Jepun dan kekalahan British telah melenyapkan tanggapan rakyat Burma bahawa British satu kuasa agung yang tidak boleh dikalahkan. Kemenangan Jepun ini telah menambahkan keazaman golongan Thakin untuk mencapai kemerdekaan.

c) Pengalaman dalam bidang Pentadbiran

i. Atas usaha golongan Thakin, Jepun telah memberi kemerdekaan kepada Burma pada 1 hb Ogos 1943. Sebuah kerajaan baru telah dibentuk dengan Dr Ba Maw sebagai Perdana Menteri.

ii. Kerajaan Dr Ba Maw telah dipengaruhi oleh golongan Thakin yang memegang banyak jawatan menteri kabinet.


iii. Pengalaman berkerajaan sendiri semasa pendudukan Jepun telah mengukuhkan lagi keyakinan diri golongan Thakin untuk menuntut kemerdekaan Burma daripada British.

d) Penubuhan Liga Pembebasan Rakyat Anti-Fasist

i. Jepun tidak memberi kemerdekaan dalam erti kata sebenar kepada Burma. Kuasa sebenar pentadbiran Burma masih terletak di tangan Jepun.

ii. Kekejaman pentadbiran Jepun dan kemerosotan taraf hidup rakyat Burma semasa pendudukan Jepun telah mewujudkan sentiment anti-Jepun dalam kalangan rakyat Burma.

iii. Lantaran itu pada tahun 1944, golongan Thakin bersama-sama pertubuhan nasionalis Burma yang lain telah menubuhkan Liga Pembebasan Rakyat Anti-Fasist (LPRAF) bagi menentang Burma.

iv. LPRAF dipimpin oleh Aung San dan Than Tun.

v. Pada bulan Mac 1945, LPRAF telah menyebelahi British, apabila ia secara terbuka menentang Jepun.

vi. Pada bulan Ogos 1945, Jepun telah kalah dalam Perang Dunia ke 3 LPRAF yang ditubuhkan oleh golongan Thakin muncul sebagai pertubuhan nasionalis yang utama di Burma.

C) KESIMPULAN

1. Pendudukan Jepun telah memperkukuhkan gerakan nasionalis Indonesia dan mempercepatkan proses pencapaian kemerdekaan Indonesia mencapai kemerdekaan pada bulan Disember 1949. Sukarno telah dilantik sebagai Presiden Republik Indonesia.

2. Begitu juga, di Burma pendudukan Jepun telah mempercepatkan kemerdekaan Burma daripada penjajahan British. Burma mencapai kemerdekaan pada 4 hb Januari 1948. Thakin U Nu telah dilantik sebagai Perdana Menteri Burma.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...