Ahad, 1 Mei 2011

SEJARAH MALAYSIA TEMA 1

SEJARAH MALAYSIA

TEMA 1 : MASYARAKAT TEMPATAN

1.1 Institusi pemerintahan

“Masyarakat Melayu tradisional merupakan masyarakat feudal”. Bincangkan pernyataan ini.

Pendahuluan
• Masyarakat Melayu Tradisional merupakan masyarakat feudal
• Dari segi struktur, masyarakat ini dibahagikan kepada golongan pemerintah yang terdiri daripada sultan, pembesar daerah, serta penghulu dan golongan yang diperintah yang terdiri daripada rakyat bebas dan hamba. Hubungan antara kedua-dua golongan ini adalah hubungan timbal balik dan saling melengkapi antara lapisan sosialnya.
• Dalam masyarakat feudal ini, kedudukan politik golongan pemerintah tidak dipersoalkan langsung oleh golongan yang diperintah. Rakyat menerima sesuatu arahan tanpa soal.

Isi
i) Sultan sebagai tonggak pemerintahan
• politik feudal menentukan kekuasaan mutlak sultan.
• rakyat taat setia kepada sultan. Sesiapa yang melanggar perintah sultan dianggap menderhaka dan dipercayai akan ditimpa tulah.
• kedudukan sultan diperkukuhkan dengan system kepercayaan dan agama. Konsep daulat dan derhaka mengukuhkan kedudukan seseorang sultan.
• Sultan mempunyai keistimewaan yang membezakan dengan golongan lain, misalnya warna tertentu dikhaskan kepada sultan dan kerabatnya, penggunaan bahasa istana, cop mohor, nobat dan alat kebesaran.
• Sultan menjadi ketua dalam unit politik terbesar, iaitu negeri.

ii) Pembesar Daerah
• Menduduki lapisan selepas sultan dan termasuk dalam golongan pemerintah.
• Pembesar daerah memerintah di daerah atau kawasan pemakanan yang dikurniakan oleh sultan. Pembesar daerah dilantik oleh sultan melalui surat tauliah.
• Golongan pembesar daerah dibahagikan kepada beberapa lapisan. Secara amnya terdapat Pembesar Berempat, Pembesar Berlapan, Pembesar Enam Belas, Pembesar Tiga Puluh Dua dan seterusnya. Ini juga mencerminkan kedudukan mereka dikalangan pembesar daerah yang ada.
• Selain mentadbir, tugas pembesar daerah merangkumi tugas seperti memungut cukai dan menjaga keamanan. Sebahagian daripada cukai yang dipungut mesti diserahkan kepada sultan sebagai sagu hati.
• pembesar daerah menjadi perantaraan antara sultan dengan rakyat.


iii) Penghulu
• Menduduki lapisan selepas pembesar daerah.
• Mentadbir unit politik terkecil, iaitu kampung.
• Penghulu dicalonkan oleh pembesar daerah tetapi dilantik oleh sultan melalui surat tauliah.
• Penghulu menjadi orang perantaraan antara pembesar daerah dengan anak buahnya di kampung.
• Penghulu menjalankan tugas memungut cukai dan hasil, menyelesaikan kes jenayah yang kecil, serta membekalkan buruh kepada sultan dan pembesar daerah melalui sistem kerah.

iv) Rakyat
• Rakyat terdiri daripada rakyat bebas dan hamba
• Rakyat taat setia kepada sultan dan pembesar daerah. Mereka membayar cukai kepada golongan ini dan menjalankan sistem serah dan kerah.

v) Hamba
• Menduduki lapisan paling bawah dalam hierarki masyarakat Melayu
• Terdapat tiga jenis hamba iaitu hamba raja, hamba biasa dan hamba berhutang.

vi) Hubungan saling bergantung/timba balik

a. Hubugan antara sultan dengan pembesar daerah.
• sultan memerlukan sokongan pembesar daerah kerana mereka merupakan penentu perlantikan sultan. Sultan memerlukan pembesar daerah untuk menjamin kedudukannya.
b. Hubungan antara pembesar daerah dengan sultan
• kekuatan dan pengaruh pembesar daerah mesti disokong oleh lencana dan gelaran yang hanya dikurniakan oleh sultan. Inilah yang akan diiktiraf oleh golongan bangsawan.
• sultan diperlukan oleh pembesar daerah untuk menjamin keamanan dan mengukuhkan ekonomi kerana baginda adalah lambing perpaduan dan kepentingan ekonomi Negara.
• Pembesar daerah adalah orang perantaraan antara sultan dan rakyat.
c. Hubungan antara penghulu dengan sultan dan pembesar daerah.
• Penghulu dicalonkan oleh pembesar daerah tetapi dilantik oleh sultan melalui surat tauliah.
• Penghulu adalah orang perantaraan antara pembesar daerah dengan anak buahnya.
d. Hubungan antara rakyat dengan golongan pemerintah.
• Rakyat memberi taat setia yg tidak berbelahbahagi kepada sultan dan pembesar daerah.
• Rakyat juga taat setia kepada penghulu di kampong mereka.
• Rakyat membayar cukai kepada golongan pemerintah dan menganggap pembayaran ini sebagai undang-undang.
• Rakyat menjalankan system kerah dan serah tanpa soal.

Kesimpulan.
• Memang tdk dinafikan bahawa masyarakat Melayu tradisional merupakan masyarakat feudal.
• Masyarakat ini mempunyai lapisan social yang diketuai oleh sultan.
• Golongan pemerintah membekalkan keselamatan dan perlindungan manakala golongan diperintah memberikan perkhidmatan sebagai balasan kepada perlindungan dan keselamatan itu.


Bincangkan perubahan kedudukan dan peranan penghulu sebelum dan selepas campur tangan British pada tahun 1874.

Pendahuluan
Unit politik paling kecil dalam system politik Melayu ialah kampung. Biasanya penghulu merupakan orang yang penting dalam pentadbiran kampung. Perlantikan penghulu dicalonkan oleh pembesar daerah dan biasanya mereka ini akan menerima surat tauliah daripada Sultan
Isi.
Sebelum campur tangan British penghulu memainkan peranan sebagai orang perantaraan antara pembesar daerah dengan orang kampung. Penghulu menjalan tugas pentadiran disamping menyuarakan pandangan dan masalah yang dihadapi penduduk kampung yang ditadbirnya kepada pihak yang lebih tinggi. Penghulu mempunyai pengikut yang dikenali sebagai anak buah. Penghulu mempunyai pengaruh dan kuasa ke atas anak buahnya. Biasanya jawatan penghulu diwarisi dan golongan ini amat dihormati oleh penduduk kampung . Penghulu menyelesaikan pertikaian yang timbul, memilihara keamanan kampung, mengerah rakyat melaksanakan perintah pembesar dan raja secara sukarela, serta sebagai lambang perpaduan di sesebuah kampung. Penghulu tidak dibayar gaji tetapi mempunyai sumber pendapatan daripada cukai perdagangan dan bayaran sebahagian daripada hasil pendapatan yang diterima daripada anak buahnya.
Tugas lain penghulu adalah seperti :
1. menjaga keamanan kampung
2. membekalkan tenaga tentera semasa berlaku peperangan
3. menyediakan buruh dari kampungnya dibawah system kerah
4. memunggut cukai dan hasil-hasil
5. memastikan penduduk kampong taat setia kepada sultan dan pembesar daerah.
Penghulu adalah dibawah kawalan pembesar daerah . Penghulu sangat rapat dengan penduduk kampung dibawah kawalannya.
Selepas campur tangan British, institusi penghulu dikekalkan oleh British kerana British sedar akan kepentingan pengaruh penghulu dalam pentadbiran kerajaan. Penghulu merupakan orang perantaraan antara kerajaan British dengan kaum tani. Penghulu menjadi ejen atau wakil kerajaan di kampung mereka.
Di bawah British penghulu diberi gaji, berpencen dan biasanya mereka ini berpindidikan.
Penghulu tidak lagi dikawal oleh pembesar daerah tetapi oleh pihak British. Jika pihak British hendak berhubung dengan orang kampung, maka penghululah orang yang memainkan peranan penting. Penghulu tidak lagi dicalonkan oleh pembesar daerah tetapi oleh pegawai daerah atau residen British. Segala pencalonan, perlantikan, pemecatan dan bidang kuasanya ditetapkan oleh residen dalam Majlis Mesyuarat Negeri dan sultan hanya mengesahkan sahaja.
· Tugas-tugas lain penghulu ialah :
  1. memungut hasil
  2. memilahara keamanan dan keselamatan
  3. menghakimi kes-kes jenayah kecil dan menjatuhkan hukuman.
  4. menyampaikan maklum balas rakyat kepada pihak kerajaan
Kesimpulan
Institusi penghulu penting sebelum dan selepas campur tangan British. Apa yang membezakannya adalah perubahan tugas. Selepas campur tangan British, penghulu tidak lagi dikawal pembesar daerah tetapi oleh British.. institusi penghulu telah dimasukkan dalam birokrasi awam British.. Penghulu adalah ahli kerajaan yang bergaji dan hak serta tanggungjawabnya tertakluk dibawah undang-undang negeri. Sumber kuasa penghulu adalah dari pentadbiran British dan bukan lagi pembesar daerah.
1.2 Hukum adat, peraturan, dan undang-undang yang diamalkan oleh setiap negeri

Bincangkan peranan adat, peraturan dan undang-undang yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional.

Hukum adat dan peraturan merupakan amalan yang dilakukan dalam sesebuah masyarakat sehingga ia menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat. Amalan ini dapat dilihat daripada adat resam yang diamalkan secara turun temurun. Manakala undang-undang pula lebih merupakan peraturan bertulis yang bertujuan untuk menjaga hak dan kepentingan pemerintah dan ahli keluarganya. Bagaimanapun hukum adat, peraturan dan undang-undang ini penting bagi mengawal perlakuan masyarakat, sekaligus dapat membentuk masyarakat yang harmoni.

Sesungguhnya adat, peraturan dan undang-undang penting dalam kehidupan masyarakat tradisional. Dengan adanya peraturan dan undang-undang, masyarakat akan sentiasa patuh dan sentiasa berhati-hati dalam apa sahaja tindakan yang akan dilakukan. Ini bermakna adat, peraturan dan undang-undang merupakan garis panduan yang mesti dipatuhi dalam masyarakat tradisional. Sesiapa yang melanggar adat dan peraturan sudah tentu akan dikenakan hukuman. Misalnya seseorang yang tidak menurut perintah raja akan dikenakan hukuman. Dalam soal peraturan dan adat pula pelanggarannya akan membawa seseorang itu dipandang serong atau dipulaukan dalam sesebuah masyarakat. Dengan adanya peraturan-peraturan sebegini, keselamatan rakyat terjamin dan seterusnya negara akan aman dan makmur

Disamping itu masyarakat tradisional terkenal dengan sopan santun yang tinggi. Seseorang yang mempunyai nilai budi yang tinggi akan disanjung dan disebut namanya dalam masyarakat sehinggakan dalam soal pemilihan jodoh, orang yang mempunyai budi pekerti yang tinggi menjadi satu syarat dalam pemilihan menantu. Dalam soal menjaga ketertiban dalam masyarakat ini jelas sekali bagaimana orang-orang yang lebih tua akan mendidik dan mengasuh bagaimana untuk menghormati orang tua, orang yang lebih muda mesti menghormati orang yang lebih tua, kanak-kanak tidak boleh mencampuri perbualan orang tua dan jika ini berlaku maka seseorang itu dianggap biadap.segala adat dan peraturan ini jelas sekali mendidik generasi muda supaya menjaga ketertiban agar dipandang mulia disisi masyarakat.

Undang-undang dan adat yang terdapat dlm masyarakat digunakan untuk menjaga dan mengukuhkan kedudukan golongan pemerintah iaitu raja dan pembesar. Ini dapat dibuktikan dalam HKM, Undang-undang Pahang dan Undang-undang Johor jelas memperlihatkan keistimewaan raja dan larangan-larangan kepada rakyat jelata. Contohnya larangan memakai pakaian kuning, menggunakan bahasa dalam dan sebagainya adalah bertujuan agar masyarakat menghormati, dan menyanjung raja. Kedudukan raja ini diperkukuhkan lagi dengan konsep daulat dan derhaka sehingga rakyat tidak boleh mempersoalkannya.

Dalam hukum adat, peraturan dan undang-undang jelas sekali memperlihatkan peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi. Misalnya dalam Hukum Kanun Melaka disenaraikan peraturan-peraturan yang meliputi semua aspek kehidupan yang merangkumi perkara-perkara seperti adat lembaga, perbuatan jenayah, dan undang-undang awam. Semua peraturan ini menjadi panduan dan penyelewengan undang-undang ini akan dikenakan tindakan hukuman. Tindakan menghukum kepada pesalah secara tidak langsung memberi amaran kepada sesiapa yang melanggar undang-undang dan dalam masa yang sama melatih rakyat berdisiplin dan mengikut peraturan.

Undang-undang dan adat dapat menentukan tanggungjawab dan hak setiap anggota masyarakat dalam masyarakatnya. Tanggungjawab dan hak setiap anggota masyarakat tidak boleh dipersoalkan kerana telah termaktub dalam undang-undang dan adat. Contohnya dlm UULM telah dinyatakan bidang tugas nakhoda, jurumudi,jurubatu, malim dan kiwi.

Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa Hukum Adat peraturan dan undang-undang memberi sumbangan yang besar dalam masyarakat Melayu. Ia meliputi dalam semua aspek kehidupan. Pengamalannya menjamin keharmonian, kesejahteraan dan keamanan dalam masyarakat Melayu tradisional

Undang-undang Melaka dan Undang-undang 99 Perak

Bincangkan peranan adat dan undang-undang dalam masyarakat Melayu tradisional dan nyatakan ciri-ciri yang terdapat dalam Undang-undang Melaka dan Undang-undang 99 Perak.

Pengenalan
• Adat penting dalam maysarakat Melayu tradisional kerana ia dijadikan sebagai panduan hidup masyarakat kea rah keharmonian hidup.
• Adat berkaitan dengan hal tatacara, peraturan, larangan dan upacara-upacara yang mesti dipatuhi.
• Undang-undang pula sebenarnya wujud bersumberkan daripada adat yang diwarisi itu. Setiap negeri boleh dikatakan ada undang-undang bertulisnya sendiri antaranya Undang-undang Melaka dan Undang-undang 99 perak.

Isi-isi penting
• Adat memainklan peranan penting mengawal tingkahlaku masyarakat dan dengan ini keselamatan anggota masyarakat terjamin.
• Adat juga boleh mengeratkan hubungan persaudaraan dikalangan anggota masyarakat. Sebagai contoh pembahagian harta warisan keluarga dapat menjamin hak seseorang dalam masyarakat. Adanya panduan ini dapat mengelakkan peristiwa yang tidak diingini dalam masyarakat.
• Selain itu undang-undang dan adat digunakan oleh pihak pemerintah untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam system pemerintahan. Sebagai contoh Hukum Kanun Melaka jelas dinyatakan larangan-larangan dan keistimewaan raja yang nyata sekali rakyat tidak boleh mempersoalkannya. Dengan cara ini kedudukan raja terjamin.
• Undang-undang dan adat juga dapat menentukan tanggungjawab hak setiap anggota masyarakat. Sebagai contoh dalam Undang-undang Laut Melaka jelas dinyatakan tugas dan tanggungjawab seorang nakhoda, jurumudi, jurubatu dan sebagainya. Jika dilihat dalam adat Temenggung pula jelas dinyatakan bahawa raja mempunyai kuasa mutlak dan rakyat pula menerima tanpa ragu-ragu.
• Jika semua ini dipatuhi dan rakyat tahu peranan dan tugas masing-masing, maka keamanan dan keharmonian terjamin dan hidup aman berkekalan.
• Salah satu undang-undang bertulis yang terdapat di Melaka ialah Undang-undang Melaka atau lebih dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka. Undang-undang ini mengandungi 44 bab yang antara lain dinyatakan tugas raja dan pembesar serta peraturan rasmi di istana.
• Selain daripada itu dinayatakan juga hukuman yang dikenakan ke atas penderhaka dan pencuri. Perbuatan jenayah seperti mencuri, membunuh, tidak menurut perintah raja akan dikenakan hukuman yang setimpal. Sebagai contoh hukuman seorang pembunuh ialah hukuman bunuh
• Dinyatakan juga dalam Hukum Kanun Melaka bahawa seseorang raja itu mempunyai pembantu dalam melaksanakan urusan kerajaan. Sebab itulah wujud system pembesar Berempat iaitu Bendahara, Temenggung, Penghulu bendahari dan Laksamana yang mempunyai peranan dan tugas masing-masing dalam urusan kerajaan.
• Menurut undang-undang Melaka, hukuman yang lebih berat akan dikenakan kepada seseorang yang berpangkat tinggi jika didapati bersalah. Penghakiman akan dilaksanakan oleh sultan dan pembesar negeri.
• Oleh kerana Islam merupakan agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka, maka undang-undang yang digubal sebenarnya berdasarkan hukum syarak. Ini bersesuaian dengan taraf Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam yang utama di Nusantara.
• Undang-udang 99 Perak pula mengandungi 99 perkara. Undang-undang ini tergolong dalam rumpun adat temenggung dan dikatakan sebagai undang-undang yang paling bertimbang rasa dan berperikemanusiaan.
• Didalam undang-undang ini disenaraikan tugas dan tanggungjawab sultan, pembesar dan penghulu untuk memudahkan pentadbiran kerana jelas dinyatakan pembahagian dan pengkhususan kerja itu agar tidak timbul kekeliruan.
• Disenaraikan juga cara dan syarat perlantikan pegawai-pegawai kerajaan. Sebagai contoh perlantikan seorang kadi mestilah mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang Islam.
• Selaian itu undang-undang ini menyebut tentang hal dakwa mendakwa dikalangan anggota masyarakat
• Undang-undang ini juga menyebut garis panduan tentang hubungan antara pemerintah dengan pembesar serta antara golongan pemerintah dengan rakyat.
• Peraturan tentang pembahagian harta, perhambaan dan perkahwinan turut dinyatakan . sebagai contoh dalam pewarisan harta, undang-undang ini menetapkan hak dan harta warisan anak.

Penutup
• Adat dan undang-undang penting dalam menjamin keamanan dan keharmonian hidup masyarakat.
• Dengan adanya garis panduan bagi golongan pemerintah dan yang diperintah, memudahkan lagi anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing.
• Tidak dinafikan bahawa undang-undang yang terdapat di Perak dan Melaka menggunakan hukum syarak sebagai pedomannya kerana kedua-dua negeri tersebut menjadikan Islam sebagai agama rasminya

Perbezaaan adat perpatih dengan adat Temenggong

Huraikan perbezaan antara Adat Perpatih dengan Adat Temenggung yang diamalkan oleh masyarakat Melayu pada abad ke 19

Pengenalan

Adat Perpatih dan Adat Temenggung dapat dikategorikan sebagai hukum adat di negeri-negeri Melayu. Adat ini berasal dan Utara Sumatera dan dikembangkan oleh dua beradik iaitu Datuk Ketemenggungan yang kemudiannya berkuasa di Palembang (Adat Temenggung) dan Datuk Perpatih Pinang Nan Sebatang yang kemudiannya berkuasa di Pagar Ruyung (Adat Perpatih)

Adat Temenggung diamalkan di semua negeri kecuali Negeri Sembilan dan Naning di Melaka yang mengamalkan Adat Perpatih. Hukum adat ini meliputi segala aspek kehidupan, aturan hidup adat istiadat dan hidup bermasyarakat Hukum adat ini dipercayai dibawa masuk sekitar abad 15 M dan Kemudiannya berkembang di negeri-negeri taklukan Melaka. Contoh Undang-undang Johor yang diamalkan di Johor dan Kedah, Undang-undang Pahang di Pahang dan Undang-undang 99 Perak di Perak. Adat Temenggung kemudiannya diresapi dengan pengaruh Islam dan hukum syarak bermazhab Shafie

Perbezaan antara Adat Perpatih dan Adat Temenggung

(a) Bersifat Matriarchal I Patriarchal
- Dalam Adat Perpatih kaum wanita mempunyai kedudukan dalam masyarakat
• kaum wanita mempunyai hak dan keutamaan dalam mewarisi harta
• nisab keturunan juga dikira melalui suku ibu
• anak perempuan menjadi asas dalam wujudnya suku
— DalamAdatTemenggung, dalam keluarga kaum lelaki mempunyai kedudukan
• anak lelaki mempunyai hak dalam mewarisi harta
• susur keturunan diperkira dari sebelah lelaki
• Lelaki juga berperanan sebagai ketua keluarga

(b) Perkahwinan
— Dalam Adat Perpatih, suami dikenali sebagai orang Semenda
• bertanggungjawab menyediakan kediaman untuk isteri dan anak-anaknya
• tempat kediaman atau rumah kemudiannya menjadi hak isteri

(c) Tarafperkahwinan
— Dalam Adat Perpatih perkahwinan melibatkan berlainan suku dan tidak mengalakkan perkahwinan antara sesama suku kerana suku yang sama adalah dianggap bersaudara
— Dalam Adat Temenggung perkahwinan dibenarkan dengan sesiapa sahaja asal tiada mempunyai talian persaudaraan
• sekiranya bercerai dengan talak tiga boleh kembali rujuk setelah isterinya diceraikan oleh suami barunya
• dilarang berkahwin dengan perbezaan agama

(d) Pentadbiran
— Adat Perpatih bersifat demokrasi
• kuasa dibahagi antara Undang, Lembaga, Buapak, dan masyarakat
• pemilihan ketua dilakukan dengan persetujuan ketua yang berada di setiap peringkat
• masyarakat akan memilih Buapak, tiga Buapak pula dipilih oleh Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih dan melantik Yang Dipertuan Besar
— Dalam Adat Ternenggung pula pentadbiran diberikan keistimewaan
• pentadbiran diketuai oleh Raja atau Sultan dan dibantu oleh pembesar denganjawatan tertentu dan pembesar di peringkat wilayah
• sultan melantik pembesar
• ketua peringkat paling bawah ialah Ketua Kampung
• sultan berperanan sebagai lambang pepaduan antara rakyat dan ketua negara
• anak lelaki sultan merupakan pewaris takhta
• sekiranya tiada anak lelaki, adik lelaki sultan akan mewarisi takhta
• jika kedua-dua di atas tiada, maka Bendanara akan menjadi sultan
• keputusan pentadbiran dilakukan secara mesyuarat antara sultan dengan pembesar

(e) Perundangan
— Dalam Adat Perpatih undang-undang jenayah lebih bersifat menyedarkan manusia. bertimbang rasa dan berunsur pemulihan
• kesalahan yang dilakukan boleh ditebus dengan membayar ganti rugi
• ganti rugi mengikut tahap seperti seseorang yang dicederakan akan dibayar dengan ayam atau kambing, mangsa kecurian akan memperolehi kembali gantian barangnya, dan pembunuh akan menanggung kehidupan keluarga mangsa
• Yang Dipertuan Besar atau Undang sahaja yang boleh menjatuhkan hukuman bunuh
• Buapak dan Lembaga boleh menjatuhkan hukuman lain
— Dalam Adat Temenggung undang-undang jenayahnya lebih tegas
• hukuman terhadap pembunuhan ialah balasan bunuh
• raja akan menjatuhkan hukuman
(1) Semangat Kesukuan
Dalam Adat Perpatih ikatan persaudaraan adalah melalui suku
• setiap ahli keluarga berasaskan kepada suKu
Adat Temenggung tidak ada pengkhususan seperti Adat Perpatih
(g) Pembahagian harta
— Dalam Adat Perpatih, harta milik keluarga
• harta tidak dapat dipindah milik atau dijual kepada keluarga lainnya tanpa persetujuan ahli keuarga
— Dalam Adat Temenggung harta milik individu
• pindah milik harta dan penjualan ditentunkan pemilik harta berkenaan

Kesimpulan
Adat Perpatih dan Adat Ternenggung jelas mempunyai perbezaannya Walau bagaimanapun, kedua-dua hukum adat ini mempunyai maksud yang sama untuk melindungi anggota masyarakat, hidup dengan mematuhi kepada peraturan berdisiplin. rnenghormati sesama manusia, mematuhi adat istiadat. Kedua-duanya merupakan antara jenis hukum adat yang diamalkan di Tanah Melayu pada waktu dahulu (sekitar ahad 17M) dan masih berlangsung hingga hari ini khususnya di Negeri Sembilan dan Naning di Melaka.

Nilaikan kepentingan Hukum Kanun Melaka sebagai panduan yang lengkap dalam menjalankan pemerintahan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Hukum Kanun Melaka juga dikenali sebagai Undang-undang Darat Melaka dan Risalat Hukum Kanun (dalam bahasa arab). Ia juga merupakan dokumen yang digubal sebagai panduan bagi seseorang pemerintah dalam menjalankan pemerintahan. Hukum Kanun Melaka merupakan undang-undang tradisional tertua di negara ini. Ia berasal daripada hukum yang dibuat oleh raja Iskandar Dzulkarnain dan kemudiannya diwarisi pemerintah Melaka pada abad ke-15. Undang-undang ini sungguh penting kerana menjadi panduan dalam menjalankan pemerintahan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.
Hukum Kanun Melaka dapat mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam negara serta menjamin keselamatan rakyat. Dengan itu, perilaku jenayah di dalam negeri melaka dapat diatasi dengan baik dan terurus.Hal ini demikian kerana setiap jenayah akan dikenakan hukuman yang setimpal.sebagai contoh kesalahan membunuh akan dibalas dengan hukuman bunuh. Ini sudah tentu akan menjadi peringatan dan rakyat takut melakukan jenayah. sekaligus negara akan aman serta keselamatan rakyat lain terpelihara.
Selain itu, Hukum Kanun Melaka penting sumber rujukan bagi menentukan hukuman bagi kesalahan tertentu. dengan ini hukuman dapat dijatuhkan dengan seadil-adilnya dan mengikut undang-undang negara. tidak akan berlaku fenomena "main hakim sendiri" dalam kalangan masyarakat kerana Hukum Kanun Melaka sudah memaktubkan semua peruntukan yang berkenaan. Sebagai contohnya, dalam Hukum Kanun Melaka mengandungi hukuman awam atau undang-undang awam menyentuh perkara-perkara seperti hutang, penyewaan tanah, harta dan hamba. Selain itu, terdapat juga hukuman untuk perbuatan jenayah meliputi perbuatan membunuh dan menikam orang, menetak dan memukul, merampas dan mencuri, tidak menurut perintah raja dan menderhaka serta tuduh-menuduh. Peruntukan hukuman yang lengkap dalam hukum kanun melaka ini sesungguhnya telah menjadi panduan yang sempurna dalam menjalankan pemerintahan kerajaan.
Pentingnya Hukum Kanun Melaka juga terletak pada peranannya sebagai menentukan pembahagian tugas, peranan serta struktur pemerintahan. Dalam undang-undang tersebut, terkandung satu adat yang digelar Adat Lembaga yang di dalamnya mengkanunkan satu sistem pentadbiran dan pemerintahan yang teratur. Adat tersebut menerangkan tentang adat-adat raja dan larangannya, perihal peranan bendahara, temenggung, penghulu bendahari dan syahbandar dalam membantu raja. Hal ini dapat melancarkan pentadbiran, memudahkan urusan tertentu kerana berlaku pengkhususan yang sudah pastinya meningkatkan mutu dan produktiviti. Maka nyatalah, Hukum Kanun Melaka dapat menjadi panduan dalam menjalankan pemerintahan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.
Di samping itu, kepentingan Hukum Kanun Melaka turut terserlah bagi mempertahankan sistem sosial. Ini turut dapat membezakan keistimewaan golongan raja dengan rakyat jelata. Walaupun golongan pemerintah amat berbeza dan jauh jurangnya dengan golongan yang diperintah, hak masing-masing sentiasa terpelihara. Raja berada pada hierarki tertinggi dalam struktur pemerintahan negeri, maka baginda menduduki tempat yang istimewa dalam masyarakat Melayu tradisional. Taraf seseorang raja ternyata berbeza berbanding dengan golongan rakyat samada dari segi kedudukan, pakaian, peralatan, atau pertuturan. bagi memastikan perbezaan antara raja dengan golongan rakyat biasa berkekalan, maka diadakan pelbagai peraturan dan larangan tertentu ke atas rakyat supaya wujud jurang antara pemerintah dengan rakyat, justeru memperkukuh kedudukan raja. Misalnya, raja sahaja yang berhak memakai pakaian kuning, payung kuning, pakaian nipis, keris berhulu emas. Rakyat dilarang menggunakan barang-barang tersebut kecuali dianugerahkan oleh raja. Walau bagaimanapun, kedudukan hamba terpelihara. Buktinya, sebahagian daripada peruntukan yang terdapat dalam Hukum Kanun Melaka menjelaskan tentang undang-undang perhambaan. Undang-undang ini memperakukan kedudukan hamba abdi, iaitu hamba abdi tidak diibaratkan seperti barang, tetapi mempunyai hak yang tertentu. Tegasnya, Hukum Kanun Melaka mengukuhkan institusi beraja di Melaka, mempertahankan sistem sosial yang adil. Peruntukan yang telah termaktub ini sebenarnya menjadi panduan bagi menjalankan pemerintahan baik melibatkan golongan bangsawan, rakyat jelata mahupun hamba.
Kesimpulannya, Hukum Kanun Melaka penting bagi melancarkan pemerintahan negeri. Undang-undang ini yang awalnya dipengaruhi oleh agama Hindu, diresapi unsur agama Islam yang ketara pada akhirnya. Hukum-hukum syarak ini meresap secara beransur-ansur. Sesungguhnya, undang-undang ini sungguh lengkap, menyentuh pelbagai perkara berkaitan dengan adat lembaga dan tanggungjawab pembesar, hukuman awam dan perbuatan jenayah serta perkara-perkara berkaitan dengan pertanian, perhambaan, dan kekeluargaan.

1.3 Sistem Sosial

Kepercayaan dan Agama masyarakat Melayu Tradisional di Tanah Melayu

Masyarakat Melayu tradisional di Tanah Melayu sebelum kedatangan Barat mengamalkan pelbagai bentuk agama dan kepercayaan yang mempengaruhi kehidupan mereka. Bincangkan

Pengenalan
• Amalan agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional di Tanah Melayu membuktikan bahawa masyarakat Melayu ketika itu sudah memiliki tamadun yang tinggi.
• Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat awalnya berbentuk animisme. Ia kemudiannya berkembang dengan meluas kepada kepercayaan agama Hindu dan Buddha. Bagaimanapun kepercayaan ini mula merosot apabila Islam tersebar meluas di kalangan masyarakat Melayu.

Isi-isi penting
Kepercayaan animisme
• Kepercayaan animisme merupakan bentuk kepercayaan paling awal sebelum kehadiran agama lain. kepercayaan ini berhubung kait dengan alam semula jadi.
• Mereka percaya semua benda di dalam dunia ini mempunyai roh atau semangat yang mempengaruhi kehidupan manusia sama ada baik atau buruk.
• Roh atau semangat ini perlu dipuja agar membawa kebaikan dan menambahkan rezeki. Keadaan ini telah mempengaruhi kehidupan mereka kerana terdapatnya aktiviti-aktiviti memuja pantai atau semangat padi bagi menjamin keselamatan dan menambahkan hasil padi.
• Dengan ini timbullah konsep pantang larang, adat istiadat, undang-undang, kebudayaan dan sebagainya. Bagi memuja semangat ini lahirlah tarian,nyanyian,drama,muzik ,unsur mainan,mentera,adat menanam,adat kematian dan sebagainya yang ada hubungan dengan kepercayaan itu.
• Kemunculan unsur budaya seperti tarian,nyanyian,unsur mainan dan sebagainya sebenarnya berasaskan kepada kepercayaan kuasa ghaib seperti memuja semangat padi,hantu laut dan sebagainya. unsur ini menjadi hiburan dan mainan yang pada asalnya merupakan upacara yang berkaitan dengan kuasa ghaib. Contohnya Main Puteri, Main Dewa, memutus ubat dan sebagainya.
• Berkaitan dengan unsur mainan dan tarian tadi maka lahirlah upacara jampi serapah yang betujuan untuk melindungi permainan daripada segala bencana dan menghalau jin dan hantu daripada menggangu persembahan. Setiap persembahan ada peraturan dan pantang larang kerana asal usul sesuatu jenis persembahan selalunya dihubungkait dengan kuasa ghaib.
• Dengan wujudnya pelbagai kepercayaan tersebut maka wujud satu golongan masyarakat yang dihubungkaitkan dengan upacara-upacara pemujaan seperti dukun,tabib,pawang,nenek kebayan dan sebagainya yang bertanggungjawab memulih diri seseorang yang dipercayai disampuk atau hilang semangat.
• Terdapat juga bentuk kepercayaan terhadap roh orang yang sudah mati. Mereka percaya individu yang semasa hidupnya mempunyai kuasa hebat apabila mati akan tetap memberi perlindungan. Berdasarkan kepercayaan inilah masyarakat tempatan memuja roh si mati agar dapat memberi perlindungan.

Agama Hindu-Buddha
• Pengaruh agama Hindu pula dikatakan tersebar sejak abad ke 6 lagi yang dibawa oleh pedagang India. Penyebaran agama ini berkembang pesat apabila kedatangan golongan Brahmin dan penerimaan agama ini oleh golongan pemerintah.
• Ajaran ini diterima oleh pemerintah kerana agama ini berpegang teguh kepada konsep Dewaraja iaitu raja adalah tuhan dibumi yang sekaligus memperkukuhkan kedudukan raja sebagai pemerintah.
• Sebagai contoh, terdapat dua buah kerajaan Hindu di Tanah Melayu iaitu kerajaan Langkasuka dan kerjaaan Kedah Tua. Disamping itu terdapatnya penyembahan Dewa Siva dan Vishnu, yang dapat dilihat daripada pembinaan Candi Bukit Batu Pahat dan Candi Bukit Pendiat di Lembah Bujang, Kedah.
• Agama Buddha pula turut tersebar di kalangan masyarakat tempatan dan ia mempunyai pertalian dengan agama Hindu. Ini disebabkan agama ini mengalami pengubahsuain dengan unsur-unsur agama Hindu
• Agama ini diasaskan oleh Sidharta Gautama di India. Agama ini melarang manusia melakukan kekejaman kerana ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan.
• Ajaran agama Buddha ini mudah diterima kerana anggapan mereka bahawa pengasas agama Buddha merupakan penjelmaan kembali salah satu daripada Dewa Hindu. Dengan ini masyarakat tempatan mula menganuti pencampuran agama Hindu dan Buddha.
• Sesungguhnya agama Hindu dan Buddha telah meninggalkan kesan yang besar terhadap masyarakat tempatan dari aspek keagamaan,pemerintahan,pentadbiran,kesusasteraan dan bahasa.
• Dari segi pemerintahan konsep raja mula digunakan. Amalan pertabalan di raja mempunyai kaitan dengan unsur Hindu-Buddha yang disempurnakan oleh golongan Brahmin. Sehubungan dengan itu lahirlah konsep dewaraja, unsur kesaktian,mitos dan lagenda untuk memperkukuhkan kedudukan raja.
• Contoh yang lain dapat dilihat dalam bidang kesusasteraan dimana masyarakat tempatan mula terpengaruh dengan epic Ramayana dan Mahabharata yang kemudiannya lahirlah bentuk penceritaan lisan,mitos dan teater seperti wayang kulit.

Agama Islam
• Kedatangan agama Islam pada abad ke 7 telah menghakis sebahagian amalan kepercayaan Hindu Buddha yang telah lama bertapak di Tanah Melayu
• Agama Islam disebarkan oleh golongan pedagang dan pendakwah Islam dari Asia Barat.
• Ajaran Islam menekankan dua aspek penting iaitu Akidah dan Syariah. Akidah ialah kepercayaan seluruh jiwa raga terhadap keEsaan Allah manakala syariah merupakan perundangan dan hukum Islam berdasarkan Al Quran dan Hadis.
• Ajaran Islam berlandaskan kepada lima Rukun Islam dan enam Rukun Iman yang wajib diketahui oleh penganutnya.
• Kedatangan agama Islam telah membawa perubahan yang besar dalam politik, perundangan, ekonomi, dan budaya masyarakat Melayu.
• Dari segi politik jelas dapat dilihat dengan penggunaan gelaran pemerintah iaitu raja telah digantikan dengan gelaran sultan. Malahan sultan dianggap sebagai ketua agama Islam. Segala upacara rasmi didahului dengan doa. Pemimpin agama merupakan penasihat sultan dalam hal-hal mengenai hukum syarak atau hal berkenaan dengan agama Islam.
• Dari segi perundangan hukum syarak digunakan berpandukan al-Quran dan al-Hadis
• Dalam aspek perniagaan, Islam mengharamkan riba dan menggalakkan umatnya mencari rezeki yang halal.
• Disamping itu amalan zakat dan fitrah sedikit sebanyak telah membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk menjalani kehidupan
• Dari segi sosial pula wujudnya semangat jihat bagi memilihara kesucian agama Islam daripada penjajahan Barat. Malah Islam menggalakkan umatnya sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah.
• Dari segi adat pula didapati terdapat pengubahsuaian daripada unsur Hindu-Buddha kepada unsur keislaman seperti perkahwinan,adat turun tanah,melenggang perut,berkhatan dan sebagainya.
• Adat bercukur dimulakan dengan berzanji dan marhaban iaitu bacaan mengenai kisah kelahiran dan kebesaran nabi Muhammad. Upacara ini diakhiri dengan bacaan tahlil dan doa selamat sebagai mengucap syukur kepada Allah.
• Pada peringkat awal Islam, pengajian al-Quran menjadi asas kepada system pendidikan awal ketika itu. Disamping itu mereka belajar sembahyang dan fardu ain. Biasanya mereka belajar di sekolah pondok

Penutup
• Walaupun terdapat pelbagai bentuk kepercayaan di kalangan masyarakat tempatan, namun amalan animisme tetap subur dan terus dipercayai.
• Penyebaran agama Hindu-Buddha serta Islam telah memberi kesan yang besar dalam kehidupan masyarakat Melayu terutamanya dalam aspek kesenian.
• Kedatangan Barat telah menambahkan lagi agama masyarakat di Tanah Melayu iaitu agama Kristian.

1.4 Sistem Ekonomi

Sistem Ekonomi Sara Diri
“Sistem ekonomi Tanah Melayu sebelum campur tangan British bersifat ekonomi
sara diri semata-mata.” Jelaskan.


Masyarakat Melayu tradisional telah mempunyai satu bentuk sistem ekonomi sara diri sejak awal lagi. Sistem ekonomi sara diri yang terbentuk cukup untuk menyara hidup tertumpu kepada kegiatan pertanian, penternakan binatang, pungutan hasil hutan, dan perlombongan secara kecil-kecilan. Walau bagaimanapun, kegiatan ekonomi berbentuk komersial telah pun bermula sebelum campur tangan British
Sistem ekonomi sara diri ialah kegiatan ekonomi yang dikendalikan bagi mendapatkan bahan-bahan makanan dan hasil-hasil lain untuk memenuhi keperluan hidup seharian, iaitu bagi menyara keperluan keluarga sendiri. Petani-petani menggunakan cara pertanian yang asas sahaja. Peralatan tradisional dan tenaga binatang telah digunakan. Tenaga manusia pula terdiri daripada anggota keluarga. Lebihan hasil akan ditukarkan untuk mendapatkan barang-barang keperluan yang tidak dapat mereka keluarkan.
Masyarakat Melayu tradisional yang tinggal di pesisiran sungai dan kawasan pedalaman
menanam padi_sawah dan padi_huma. Penanaman padi adalah kegiatan pertanian sara diri utama.
Padi sawah ditanam di kawasan lembah sungai atau tanah rendah. Padi huma pula ditanam di kawasan bukit atau kawasan pedalaman. Kawasan penanaman padi di Tanah Melayu terdapat di Negeri Kedah, Pahang, dan Kelantan. pengairan penting dalam penanaman padi. Petani-petani akan membina terusan dan parit untuk tujuan tersebut.
Selain penanaman padi, pertanian sara diri juga mengusahakan penanaman tanaman lain seperti pisang, jagung, ubi kayu, dan buah-buahan. Di samping itu mereka juga menjalankan kegiatan menternak dan memburu binatang, mengumpulkan hasil-hasil hutan, menangkap ikan. Terdapat sebilangan kecil yang mengusahakan perlombongan sebagai kerja sambilan.
Di samping sistem ekonomi sara diri yang lebih menumpukan kepada kegiatan pertanian, masyarakat Melayu tradisional telah menjalankan sistem ekoriomi komersial berlandaskan perdagangan dan perlombongan. Sebelum campur tangan British, masyarakat Melayu tradisional ini telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan negara-negara Eropah, China, dan India melalui pelabuhan Singapura.
Di Negeri Johor, lada hitam dan gambir telah diusahakan antara tahun 1840 hingga tahun 1850- an di bawah Sistem Kangcu. Tanaman ini mendapat pasaran yang besar di Eropah dan Singapura. Lada hitam dan gambir ditanam di sepanjang sungai secara besar-besaran untuk tujuan eksport.
Sebelum campur tangan British, Negeri Johor terbukti sebagai sebuah negeri yang giat dalam perdagangan. Negeri Johor juga menghasilkan bähañ-bahan seperti getah perca, sagu, dan koko. Kayu balak, pengeluaran dieksport ke India di bawah kawalan Syarikat Peterson, Simons and Co. Kayu balak yang telah diproses dieksport ke China, Mauritius, Jawa, dan Sri Lanka.
Di Seberang Perai, buah pala, cengkih, dan tebu diusahakan oleh orang Eropah.Ubi kayu ditanam di Melaka dan dianggarkan bahawa terdapat 400 hektar ladang ubi kayu di Melaka pada tahun 1860.
Terengganu juga telah menjalankan perdagangan dengan Negeri China sebelum campur tangan British. Terengganu mengeksport emas bijih timah, rotan, dan damar. Sultan Terengganu menggalakkan usaha mencari gali emas di kawasan Ulu Nerus dan bijih timah di Kemaman.
Kegiatan ekonomi komersial juga amat jelas dalam bidang perlombongan. Perlombomngan bijih timah giat dija1ankan di negeri Perak terutamanya di kawasan Hilir Perak, Kinta, dan Larut. Lombong-lombong ini kepunyaan pembesar-pembesar Melayu. Orang Cina dibawa dari Pulau Pinang dan Melaka untuk mengusahakan perusahaan ini kerana mereka menggunakan teknologi moden seperti pam dedah dan roda air.
Di Selangor, perlombongan bijih timah dijalankan di Lukut dan kawasan Kelang. Di Negeri Sembilan, orang Cina telah melombong di Sungai Ujung sejak tahun 1828 lagi.
Sistem ekonomi komersial yang dijalankan memerlukan modal yang besar, teknologi moden, dan diusahakan dalam skala yang besar. Oleh sebab itu, modal dan kepakaran asing sangat diperlukan. Pada mulanya, modal Cina adalah lebih penting daripada modal Eropah.
Jelaslah bahawa sistem ekonomi masyarakat Melayu tradisiorial bukan sahaja berbentuk sara diri, malah juga berbentuk ekonomi komersial sebelum campur tangan British. Kedua-diia bentuk sistem ekonomi ini dijalankan serentak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...