Isnin, 28 Februari 2011

SEJARAH 2 (ASIA) BURMA


TEMA 2

BAB ; 8 Penerimaan dan Pengubahsuaian

Penerimaan dan Pengubahsuaian di Myanmar


Pengenalan

Penguasaan British ke atas Myanmar adalah melalui 3 peringkat iaitu malalui Perang Inggeris-Myanmar Pertama (1826), Perang Inggeris-Myanmar  Kedua (1852) dan Perang Inggeris-Myanmar Ketiga (1885). Penguasaan British ke atas Myanmar telah membawa kepada pelbagai perubahan sama ada dari segi pentadbiran, ekonomi ataupun sosial. Semua perubahan ini adalah bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Pada permulaannya, segala perubahan yang diperkenalkan telah menimbulkan penentangan penduduk setempat.
 
Dari segi pentadbiran
1.   Perlaksanaan sistem pentadbiran India
Corak pentadbiran yang dijalankan di Pegu ialah menurut dasar liberal yang disesuaikan dengan corak-corak tempatan. Wilayah ini dibahagikan kepada 5 buah daerah dengan setiap daerah dilantik seorang Pesuruhjaya Daerah yang terdiri daripada bangsa Inggeris. Daerah-daerah ini pula dipecahkan kepada bandar-bandar kecil di bawah seorang Pegawai Bandaran (Myo-oks). Setiap bandar dipecahkan menjadi sistem bulatan dengan seorang ketua sebagai penasihat. Corak pentadbiran di Pegu ini adalah mirip dengan corak pentadbiran di India. Hal ini berlaku kerana pegawai-pegawai Inggeris yang bertugas pernah berkhidmat di Benggala dan Madras.
Di Myanmar Utara, ia dibahagikan kepada 14 daerah. Sir Charles Bernard, pesuruhjaya yang pertama mengusulkan supaya pentadbiran awam dan pungutan cukai dijalankan melalui wakil-wakil tempatan dan mengikut peraturan tempatan tetapi Sir Charles Crosthwaite yang menggantikan Sir Charles Bernard lebih suka menjalankan pentadbiran ini mengikut sistem di India.
2.   Penghapusan pentadbiran tradisional
Apabila British berjaya menawan Myanmar Utara, British telah melakukan beberapa perubahan besar dalam sistem pentadbiran tempatan. Perubahan yang paling ketara ialah hapusnya sistem pemerintahan beraja (monarki). British memberi alasan bahawa tidak ada putera-putera raja yang layak ditabalkan menjadi raja. Selain pemerintahan beraja, sistem tradisional yang lain seperti Myothugyi dan Thaithugyi, Badan Hlutdaw (Majlis Tertinggi Orang-orang Bangsawan) dan Thatnabaing yang terdiri daripada sami-sami Buddha turut dimansuhkan. Kedua-dua badan tersebut merupakan badan penasihat kepada raja.
Sebahagian daripada Hlutdaw telah dilantik oleh British sebagai pegawai kerajaan yang bergaji tetap. Oleh sebab kebanyakan pegawai-pegawai dilantik oleh British, maka ini menyebabkan mereka tidak mendapat penghormatan dan kerjasama dari rakyat tempatan.
Pemansuhan Thainabaing yang mempunyai pengaruh kuat terhadap raja telah dilakukan. Orang-orang Myanmar mendesak agar sistem Thainabaing dikekalkan tetapi ditolak oleh British.
Sir Charles Crosthwaite telah mebuat rancangan untuk menjadikan kampung-kampung sebagai unit pentadbiran dan dengan demikian kesalahan jenayah dapat dipertanggungjawabkan kepada lingkungan kawasan itu. Perlaksanaan Majlis Kampung dikuatkuasakan berdasarkan kepada Undang-undang Kampung Myanmar 1889. Berdasarkan undang-undang ini seorang ketua kampung dilantik dan secara tidak langsung juga bertugas sebagai pegawai kerajaan. Keamanan dan kutipan cukai adalah di bawah tanggungjawab ketua dan Majlis Kampung sendiri.
3.   Penubuhan Dewan Perundangan
Penglibatan mereka dalam pentadbiran benar-banar aktif pada tahun 1897 apabila jawatan Ketua Pesuruhjaya telah dinaikkan menjadi Leftenan Gabenor. Arthur Phayte, Gabenor Myanmar yang pertama, dibantu oleh Dewan Perundangan yang mengandungi 9 orang anggota yang dilantik. Pada tahun 1909, jumlah anggota dewan telah ditambah menjadi 15 orang. Pada tahun 1920, anggota dewan ditambah menjadi 30 orang. Golongan pedagang mempunyai wakil paling ramai. Beberapa orang Myanmar juga dipilih untuk menjadi anggota dewan ini.
 
Dari segi ekonomi
1.   Tanaman bercorak perdagangan
Perubahan dalam bidang pentadbiran juga membawa kepada perubahan dalam bidang ekonomi. Ekonomi saradiri telah berubah menjadi ekonomi perdagangan yang berdasarkan prinsip-prinsip ekonomi barat. Sistem pentadbiran untuk keperluan sendiri bertukar kepada pertanian secara besar-besaran untuk dieksport ke luar negeri. Hasilnya negeri Myanmar menjadi menjadi pengeluar beras utama. Pelabuhan Rangoon merupakan pelabuhan utama mengendalikan eksport beras. Pada tahun 1886 di negeri Myanmar terdapat kira-kira 4 juta ekar tanah yang ditanam dengan padi dan pada tahun 1920 menjadi 10.3 juta. Di Myanmar Selatan sahaja terdapat 8.6 juta ekar. Sementara itu, eksport beras di Myanmar pada tahun 1881 ialah 0.5 juta tan telah meningkat kepada 1.4 juta tan pada 1901 dan 2.5 juta tan pada 1921.
2.   Memajukan perusahaan dan perlombongan
Di samping pertanian, pemerintah British juga menumpukan bidang perusahaan dan perlombongan. Antara perusahaan dan perlombongan utama yang dijalankan ialah :
a.   Perusahaan minyak
Telaga-telaga minyak kebanyakan berpusat di Yenangyaung dan Chauk di Irrawaddy Tengah. Pada tahun 1886, Syarikat Minyak Burma (Burma Oil Company) telah ditubuhkan. Pengeluaran secara besar-besaran dijalankan selepas tahun 1908. Pada tahun itu Syarikat Minyak Burma telah mengeluarkan tiga perempat dari pengeluaran minyak di Myanmar. Sementara bakinya dikeluarkan oleh Syarikat Petrol Indo-Burma (Indo-Burma Petroleum Company), Syarikat Petrol British Burma (British Burma Petroleum Company) dan Syarikat Minyak Nath Singh (Nath Singh Oil Company). Pada tahun 1923 pengeluaran minyak Myanmar berjumlah 273 juta tong.
b.   Perusahaan balak
Ia merupakan eksport kedua penting negeri Myanmar selepas minyak. Perusahaan balak terutama kayu jati mempunyai sejarah yang lama. Kawasan kayu balak yang utama ialah Pegu. Pada tahun 1856 ditubuhkan Jabatan Perhutanan yang bertugas memastikan kegiatan mendapatkan sumber-sumber dari hutan dijalankan dengan sempurna. Langkah ini diambil memandangkan kemusnahan kawasan kayu balak seperti di daerah Amherst menjelang tahun 1850 dan pengalaman British di Tennasserim akibat tidak adanya pengawasan. Terdapat 6 syarikat yang mengusahakan pengusahaan balak dan yang terbesar ialah Syarikat Perdagangan Bombay-Burma (Bombay-Burma Trading Corporation).
c.   Bijih timah
Ia didapati di Mawchi, Tavoy dan Tennasserim. Negeri Myanmar menduduki tempat keempat di antara pengeluar-pengeluar timah di Asia Tenggara sebelum Perang Dunia Kedua tetapi pengeluarannya jauh di belakang kalau dibanding dengan negara-negara lain. Pada tahun 1910 pengeluaran negeri Myanmar hanya berjumlah 100 ton.
d.   Lain-lain
Bahan-bahan galian yang lain yang terdapat di Myanmar ialah timah hitam di Badwin dan Namtu. Selain itu, terdapat zink, perak, tungsten, batu delima dan nilam di Mogok ke utara Mandalay.
3.   Pembina alat perhubungan dan pengangkutan
Untuk membantu meningkatkan hasil pertanian dan juga pengeluaran hasil perusahaan dan perlombongan, pemerintah British telah membina alat-alat perhubungan dan pengangkutan. Jalan keretapi antara Rangoon dan Prome telah disiapkan pada tahun 1877. Ia dikendalikan oleh Irrawaddy State Railway. Pada tahun 1884 jalan keretapi dari Rangoon ke Toungoo pula disiapkan. Kemudian dari Toungoo jalan keretapi dibina menyambungkan Mandalay dan disiapkan pada tahun 1889. Selanjutnya pada tahun 1898 ia diteruskan ke Myitkina di utara.
Di samping jalan keretapi, dibina juga jalan raya dan mengadakan kemudahan pengangkutan malalui sungai. Menjelang tahun 1920 telah dibina jalan raya dari Rangoon ke Prome dan ke Pegu. Selepas tahun 1920 semakin banyak jalan raya dibina yang menyambungkan Prome dan Pegu dengan bandar-bandar lain di Myanmar.
4.   Lain-lain
Selain perubahan di atas, British juga berusaha meningkatkan ekonomi di Myanmar melalui perlaksanaan sistem perdagangan bebas di Tennasserim. Dengan hal yang demikian akan dapat menggalakkan kemasukan saudagar-saudagar dan pemodal-pemodal luar dan dengan ini dapat membantu membangunkan wilayah itu.
Pemerintah British menggalakkan orang Myanmar membuka tanah-tanah baru dengan cara membersih dan meneroka hutan di delta-delta untuk pertanian terutama tanaman padi. Rancangan ini tidak sahaja dapat meningkatkan ekonomi Myanmar malahan dapat meringankan beban rakyat. Malangnya rancangan ini kurang berjaya kerana untuk membuka tanah baru memerlukan perbelanjaan dan pengetahuan.
 
Dari segi sosial
1.   Kemerosotan kebudayaan Myanmar
Ketika pemerintahan British, Myanmar mengalami kemerosotan kebudayaan dan pegangan agama yang hebat. Kebudayaan dan kesenian orang Myanmar mulai mengalami perubahan disebabkan kemasukan orang India dan kebudayaan barat. Mereka telah memperkenalkan cara hidup moden yang mengikut prinsip-prinsip barat. Akibatnya sifat asli Myanmar telah hilang.
Tatatertib dan kesetiaan mereka terhadap ajaran Buddha dan kuil-kuil mulai longgar. Dalam hal ini pihak British turut bertanggungjawab kerana dasar mereka tidak mahu campur tangan dalam hal ehwal agama dan adat resam. Kegiatan agama Buddha tidak dipedulikan oleh British, aktiviti mereka disekat dan diletakkan di bawah kekuasaan mahkamah, undang-undang dan polis.
Di sebaliknya, pihak British menggalakkan kegiatan kebudayaan barat dan agama Kristian. Usaha-usaha mengembangkan agama Kristian telah dijalankan hinggalah mubaligh-mubaligh Kristian telah berjaya mengkristiankan suku kaum Karen. Sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh pergerakan-pergerakan Kristian digalakkan kerana dengan cara ini dapat mengembangkan kebudayaan British kepada orang-orang Myanmar terutama dari golongan bangsawan.
2.   Perubahan pelajaran
Sebelum penguasaan British ke atas Myanmar, negeri itu tidak mempunyai sistem pelajaran moden. Sistem pelajaran yang ada hanya tertumpu kepada bidang keagamaan yang dijalankan oleh sami-sami Buddha. Phayre telah mengambil langkah-langkah untuk mengubah sistem pelajaran yang sedia ada. Sebagai langkah permulaan ialah mengenalkan pelajaran yang berasaskan sekolah-sekolah bercorak gereja dan mengadakan pelajaran rendah untuk kanak-kanak lelaki bagi seluruh negara tetapi rancangan itu kurang berjaya.
Sungguhpun terdapat masalah-masalah terutama sikap negatif orang Myanmar, ini tidak menghalang pemerintah British untuk meneruskan langkah-langkah meningkatkan taraf pelajaran negara itu. Hasilnya beberapa sekolah kerajaan telah didirikan dalam tahun-tahun 1870-an. Pada tahun 1873 Anglo Vernacular School telah didirikan dan ia menjadi pusat menyediakan pelajar-pelajar ke Universiti Calcutta, India.
Pada tahun 1880 pemerintah British telah menjalankan penyusunan semula sistem pelajaran agar diadakan sistem pelajaran yang lebih berkesan. Kemudian pada tahun 1884 Maktab Rangoon didirikan yang juga menjadi pusat menyediakan pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pelajarannya ke Universiti Calcutta. Di samping itu, kerajaan juga menggalakkan penubuhan sekolah yang dikendalikan oleh pengembang-pengembang agama Kristian.
Menjelang abad ke-20, semakin dirasakan kepentingan sistem pelajaran barat. Semakin ramai orang Myanmar merasakan kepentingan pelajaran peringkat tinggi dan penubuhan sebuah universiti sendiri. Oleh sebab itu pada tahun 1920 ditubuhkan Universiti Rangoon. Universiti ini diberi bantuan wang yang cukup untuk meluaskan bidang pengajiannya termasuk perubatan, perhutanan, kejuruteraan dan jabatan latihan guru.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...