Isnin, 14 Februari 2011

SOALAN SEJARAH 2 STPM

SEJARAH MALAYSIA
TEMA 2 : TRANSFORMASI MASYARAKAT
BAB 5 : PERLUASAN KUASA ASING

Pengenalan
Penguasaan Inggeris terhadap negeri-negeri Melayu Utara pada dasarnya adalah untuk kepentingan perdagangan. Namun disebabkan kebimbangan terhadap kuasa asing yang lain seperti Jerman, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat menyebabkan Inggeris mula mengorak langkah untuk menguasai negeri-negeri Melayu yang terdiri daripada Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Bagaimanapun pada ketika itu Siam telahpun menguasai negeri-negeri tersebut. Usaha ke arah perluasan kuasa Inggeris di Negeri-negeri Melayu Utara bermula daripada Perjanjian Burney 1826 hingga Perjanjian Bangkok 1909

Isi
Perjanjian Burney yang ditandatangani pada 20 Jun 1826 merupakan kebimbangan Inggeris terhadap Siam dan juga Negeri-Negeri Melayu Utara (NNMU). Apabila raja Siam cuba memulihkan hubungan dengan NNMU, Siam telah memaksa Kedah untuk menawan Perak dan memaksa Perak menghantar bunga ufti. Siam juga telah menuduh Kedah berkomplot dengan Burma menentang Siam. Raja Siam juga telah mempersoalkan penyerahan Pulau Pinang kepada Inggeris tanpa izin daripada Siam. Sultan Ahmad Tajudin yang memerintah ketika itu tidak menghiraukan arahan Raja Siam. Keadaan ini menyebabkan Siam menyerang Kedah dan Sultan telah cuba meminta bantuan Inggeris. Bagi Inggeris hubungan perdagangan adalah penting sama ada Siam atau NNMU. Tekanan daripada Siam untuk memutuskan hubungan perdagangan telah menyebabkan Inggeris menghantar John Crawford untuk memulihkan hubungan tetapi gagal. Usaha ini berjaya apabila Henry Burney dihantar ke Bangkok dan satu perjanjian telah yang dikenali Perjanjian Burney telah ditandatangani

Apa yang nyata kesan daripada perjanjian ini telah membawa kepada kegagalan Sultan Kedah untuk mendapatkan takhtanya. Namun demikian baginda telah menghantar putera sulungnya Tengku Daik ke Bangkok untuk membuat rayuan dan Siam menerima pula rayuan tersebut. Bagaimanapun negeri Kedah semakin kecil kerana sebahagiannya telah diwujudkan negeri baru yang dikenali sebagai Perlis, namun Kedah dan Perlis tetap menjadi jajahan Siam. Bagi Inggeris perjanjian ini berjaya menyekat pengaruh Siam di Tanah Melayu

Kebimbangan Inggeris terhadap kuasa-kuasa barat yang lain telah mendorong Inggeris menandatagani beberapa perjanjian bagi memastikan kepentingan mereka terjamin. Ini terbukti apabila Inggeris membuat perjanjian dengan Perancis pada 15 Jun 1896. Perjanjian ini sebenarnya bertujuan untuk melindungi kepentingan British di Siam dan Tanah Melayu serta menjamin kemerdekaan di Lembah Menam Chao Phrya yang paling kaya di Siam ketika itu dan penting untuk perdagangan British. Dengan adanya perjanjian ini, Inggeris Berjaya menyekat perluasan kuasa Perancis ke Siam dan menjadikan Siam sebagai Negara penampan untuk mengelakkan pertembungan kuasa antara Inggeris di Burma dan India serta Perancis di Indo China

Inggeris juga telah membuat perjanjian sulit British Siam pada 6 April 1897. Perjanjian ini dibuat bagi memastikan tiada kuasa Eropah lain menguasai NNMU. Ini memandangkan kuasa-kuasa Eropah yang lain sudah mula bertapak di beberapa tempat seperti Langkawi dan Lembah Menam. Melalui perjanjian ini Siam tidak boleh menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada kuasa Barat yang lain. Siam juga berjanji tidak akan menyerahkan hak perdagangan dan wilayah kepada kuasa asing yang lain tanpa persetujuan British. Ini membuktikan bahawa perjanjian ini memperlihatkan satu dasar permulaan kearah penguasaan Inggeris ke atas NNMU. Frank Swettenham iaitu Gabenor NS dan PJT NNMB berjanji akan mempengaruhi Kerajaan Britain utk mengubah dasarnya ke atas NNMU. Menurutnya Siam tdk berupaya menguruskan NNMU dan kemungkinan meminta bantuak kuasa Eropah yg lain. Justru itu Inggeris perlu melindungi negeri tersebut agar tdk jatuh ke tangan kuasa Eropah yg lain. Frank juga tlh memberi kata dua kpd Siam iaitu sekiranya Siam enggan berunding dgnnyya, Inggeris akan mengiktiraf Kelantan dan Terengganu sebagai negeri bebas. Ugutan tersebut telah membawa kpd pengisytiharaan Inggeris Siam 1902. Berdasarkan perjanjian ini Kelantan terpaksa menerima seorang penasihat British, iaitu W.A.Graham. begitu juga Kedah dan Perlis yang menerima penasihat British pada tahun 1905. Bagaimanapun Terengganu bukan sahaja tidak menerima Penasihat British malah tidak mengiktiraf peristiharaan 1902. Dengan peristiharaan ini pengaruh British ke atas Kelantan dan Terengganu semakin kukuh.

Pada tahun 1904 British dan Perancis telah mengadakan pakatan utk bekerjasama. Pakatan ini berjaya menamatkan perluasan kuasa dan pengaruh Perancis di NNMU. Pakatan ini membawa kesan negatif kpd Siam kerana British enggan membantu Siam ketika Perancis menyerang dan merampas wilayah Siam. Ini bermakna British tdk mematuhi isi perjanjian Sulit British Siam yg ditandatangani pada 1897. Siam ingin membatalkan perjanjian 1897 tetapi sedar British tdk akan sewenang-wenangnya menghapuskan perjanjian tersebut. Siam mula menyedari bahawa NNMU tidak senang dengan penguasaan Siam di negeri mereka. Bagi Siam menjalin hubungan dengan NNMU tidak membawa sebarang keuntungan, malah Siam terpaksa member pinjaman wang kepada Kedah sebanyak SP$2 juta bagi membiayai bagi upacara perkahwinan diraja yang boros. Ini menyebabkan Siam menghadapi masalah kewangan yang serius. Oleh itu Siam berhasrat untuk menyerahkan NNMU kepada Inggeris dengan syarat Inggeris bersetuju memansuhkan hak wilayah asingan di Siam yang diperolihi dari Siam dalam Perjanjian Bowring pada tahun 1855

Rundingan telah diadakan di Bangkok. Satu perjanjian telah ditandatangani yang dikenali sebagai perjanjian Bangkok 1909. Menurut perjanjian ini, Siam bersetuju menyerahkan NNMU kepada Inggeris. Sebagai timbal balik, Inggeris bersetuju menyerahkan hak wilayah asingan kepada Siam. Siam juga bersetuju tidak akan menyerahkan atau memajak sesebuah wilayah ke Selatan Ratburi kepada kerajaan asing yang lain selain daripada Inggeris

Penutup
Perjanjian Bangkok telah memantapkan lagi penguasaan Inggeris ke atas NNMU. Dengan ini kesemua NNMU telah menerima seorang penasihat British yang bertugas menasihati sultan dalam semua perkara kecuali hal agama Islam dan adat istiadat. Perjanjian ini juga telah menetapkan sempadan di antara Siam dengan Tanah Melayu dan menjamin monopoli perdagangan dan kuasa politk British di Tanah Melayu.

TEMA 2 : TRANSFORMASI MASYARAKAT
BAB 5 : PERLUASAN KUASA ASING

British dan juga Belanda merupakan dua kuasa Barat yang paling berpengaruh di kawasan kepulauan Melavu. Kedua-dua kuasa berusaha untuk mengukuhkan kekuasaan dan juga pengaruh mereka. Fenomena ini telah menyebabkan wujudnya persaingan antara keduanya untuk mendapatkan wilayah kekuasaan. Termaterinva Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 menjadi titik awal pembentukan kerjasama antara British dengan Belanda di rantau Asia Tènggara. Perjanjian tersebut telah menamatkan segala persaingan dan permusuhan antara dua kuasa barat tersebut. Malahan perjanjian tersebut telah mendorong kedua-dua kuasa untuk mengukuhkan kekuasaan di Asia Tenggara.

Perjanjian Inggeris-Belanda sebenarnya satu usaha yang dibuat oleh kedua-dua buah negara tersebut bagi menamatkan persaingan mereka di Timur. Sebelum ini kedua-dua kuasa ini seringkali bertelagah dan bermusuhan terutamanya dari segi monopoli perdagangan dan perluasan kuasa di Hindia Timur. Sesungguhnya pertelagahan sedemikian amat merugikan kerana tumpuan perdagangan mereka menjadi terjejas. Bagi mengatasi masalah ini berlarutan maka kedua-dua belah pihak berusaha membuat perjanjian persahabatan dan dalam masa yang sama dapat mengelakkan peperangan antara British dengan Belanda.

Dengan hubungan dua hala yang erat ini dapat membendung kebangkitan Perancis yang berusaha membina empayar di Timur. Britain memerlukan sekutunya khususnya Belanda untuk menyekat kemaraan Perancis di Timur. Selaian itu, hubungan Britain dengan Negara-negara Eropah yang lain semakin merosot, oleh itu adalah diharapkan dengan perjanjian ini, Belanda akan menjadi Negara penampan terhadap musuh-musuh yang ingin menyerang Britain. Dengan termeterainya perjanjian ini juga dapat mewujudkan hubungan baik antara kedua-dua belah pihak bukan sahaja di Eropah, malahan di Asia Tenggara

Bagi pihak Belanda pula, perjanjian ini perlu kerana Negara tersebut telah menerima bantuan kewangan daripada Britain. Ini berlaku ketika Syarikat Hindia Belanda mengalami masalah kewangan yang teruk dan hampir mengalami kemuflisan. Dalam keadaan yang sedemikin Britain tampil memberi bantuan pinjaman. Masalah kewangan ini timbul kerana kemerosotan perdagangan dan ketidakcekapan pentadbiran syarikat tersebut. Amalan rasuah dikalangan para pegawai Belanda membuktikan ketidakcekapan pentadbiran. Selaian itu bantuan kewangan juga diberikan oleh Britain untuk membiayai peperangan antara Belanda dengan Perancis.

Perjanjian Inggeris-Belanda juga turut dapat menyelesaikan masalah yang melibatkan Sumatera dan Singapura. Pembukaan Singapura oleh Raffles pada tahun 1819 mendapat bantahan daripada Belanda. Inggeris juga telah membuka pertempatan di Sumatera. Pembukaan kedua-dua kawasan tersebut telah menimbulkan ketegangan kedua-dua belah pihak. Kesan daripada pembukaan Singapura oleh Inggeris menyebabkan perdagangan Belanda mengalami kemerosotan yang mendadak. Malahan Belanda mendakwa Singapura dibawah kuasanya memandangkan lokasinya yang berhampiran dengan Kepulauan Riau yang dikuasai oleh Belanda. Pihak Inggeris telah mengaut keuntungan sebanyak 4 juta pound hasil perdagangan di Singapura pada tahun 1820. Kedudukanya yang strategic menyebabkan Belanda turut berminat untuk menduduki pulau tersebut. Sebagai jalan penyelesaian perjanjian Inggeris Belanda ditandatangani yang mana memihak kepada Inggeris.

Perjanjian ini telah memberi kesan yang besar dari pelbagai sudut. Dari segi politiknya Kepulauan Melayu terbahagi kepada dua berdasarkan kekuasaan Inggeris dan Belanda. Berdasarkan perjanjian tersebut, kawasan Selatan Singapura berada di bawah kekuasaan Belanda manakala di bahagian utara Singapura menjadi milik Inggeris. Kedua-dua belah pihak tidak boleh membuat perjanjian dengan mana-mana negeri yang berdada di luar wilayah masing-masing. Ini menunjukkan Belanda melepaskan Tanah Melayu kepada Inggeris manakala Inggeris melepaskan Sumatera kepada Belanda.

Perpecahan empayar Johor-Riau turut berlaku kesan daripada perjanjian ini. Kepulauan Riau dikuasai oleh Belanda manakala Johor menjadi wilayah Inggeris. Dalam perjanjian ini juga dinayatakan bahawa kedua-dua wilayah tersebut tidak lagi mempunyai hubungan politik dan ekonomi. Keadaan ini telah membawa kepada kemerosotan Kerajaan Riau akibat daripada tekanan daripada pihak Belanda di Indonesia.

Dengan perpecahan ini juga Tanah Melayu dikuasai sepenuhnya oleh British. Ini bermakna kuasa Barat yang lain tidak akan mencabar dan mengugat kekuasaan Inggeris di Tanah Melayu. British bebas membuat sebarang hubungan politik dengan negeri-negeri Melayu. Ini terbukti dengan campur tangan British di Tanah Melayu untuk menguasai ekonomi terutamanya bijih timah. Penguasaan Inggeris bukan sahaja dari segi ekonomi malahan juga politik. Ini terbukti apabila Inggeris campur tangan dalam hal ehwal politik tempatan dengan memperkenalkan system residen. Tujuannya adalah untuk menguasai system pentadbiran dan pemerintahan negeri-negeri Melayu agar kestabilan dapat dicapai dan pada akhirnya kegiatan ekonomi mereka akan berjalan lancer tanpa ada gangguan.

Kesan daripada perjanjian ini menyebabkan kegiatan perlanunan berleluasa di Kepulauan Borneo. Keadaan ini disebabkan oleh ketiadaan usaha antara British dan Belanda untuk menghapuskannya. Kedua-dua belah pihak tidak bekerjasama kerana sibuk menguasai wilayah masing-masing. Kemunculan lanun berleluasa juga disebabkan oleh Inggeris dan Belanda, kerana kesan daripada campur tangan Negara ini telah menyebabkan para pembesar kehilangan kekuasaan politik dan ekonomi. Mereka bertindak balas dengan menyerang kapal-kapalk milik asing yang melalui perairan Selat Melaka dan Borneo

Perjanjian Brirish-Belanda 1824 telah menunjukkan bahawa kedua-dua kuasa Barat telah mengukuhkan kedudukan di Tanah Melayu dan Indonesia. British terus menguasai Tanah Melayu tanpa gangguan daripada Belanda yang telah melepaskan semua wilayahnya. Namun kedua-dua pihak masih bersaing dalam bidang ekonomi memandangkan mereka masih menjalankan kegiatan tersebut di luar wilayah. Hubungan antara wilayah Indonesia dan Tanah Melayu turut terputus dengan termeterainya perjanjian tersebut.

TEMA 2 : TRANSFORMASI MASYARAKAT
BAB 6 : CAMPUR TANGAN BRITISH
Pengenalan
Perak dan Selangor merupakan dua buah negeri yang kaya dengan bahan mentahnya iaitu bijih timah. Peningkatan kegiatan ekonomi ini telah membawa masuk buruh Cina ke Tanah Melayu. Namun menjelang pertengahan abad ke 19 keadaan politik di kedua-dua buah negeri ini mula tidak stabil disebabkan berlakunya huru-hara dan kekacauan yang melibatkan para pembesar, kerabat diraja dan juga masyarakat Cina. Kekacauan ini berlaku disebabkan oleh factor politik, ekonomi dan social.
Isi
Di Perak, kekacauan berlaku disebabkan berlakunya perebutan kuasa dikalangan kerabat diraja. Masalah perebutan takhta di Perak berlaku kerana tidak ada sistem penggantian sultan secara automatik atau warisan. Ini kerana Perak mengamalkan sistem giliran yang meliputi tiga keluarga diraja.
Menurut sistem ini, seseorang bakal sultan sepatutnya memegang jawatan Raja Di Hilir, Raja Bendahara dan Raja Muda sebelum menjadi sultan. Masalah tercetus apabila sistem giliran ini tidak diikuti dengan betul. Terdapat pembesar yang berpengaruh sering campur tangan dalam soal perlantikan sultan. Oleh itu terdapat pengganti sultan yang diketepikan tanpa alasan yang munasabah. Keadaan ini berlaku antara Raja Yusuf, Raja Ismail dan Raja Abdullah
Kekacauan menjadi semakin rumit apabila melibatkan pula kumpulan kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin. Pergaduhan berpunca daripada sikap tamak untuk menguasai kawasan perlombongan bijih timah di Kemunting dan Taiping. Masalah bertambah runcing apabila kedua-dua kongsi gelap ini terlibat dalam pertelingkahan merebut takhta kerajaan. Puak Hai San menyebelahi Raja Ismail dan Ngah Ibrahim, sementara puak Ghee Hin memihak kepada Raja Abdullah. Sesungguhnya persengketaan antara pembesar dan kongsi gelap ini menjejaskan aktiviti perlombongan dan menggangu perdagangan di negeri-negeri Selat.
Kekacauan di negeri Selangor pula memperlihatkan trend yang hampir serupa berlaku di negeri Perak. Perang saudara ini berlaku kerana perebutan kawasan perlombongan bijih timah antara Raja Mahdi dengan Raja Abdullah. Sultan Muhammad Syah telah menyerahkan daerah Kelang kepada putera sulungnya iaitu Raja Sulaiman. Raja Sulaiman tidak memajukan daerah tersebut. Apabila Raja Sulaiman mangkat pada tahun 1850, Sultan Muhammad telah menyerahkan kuasa memerintah daerah Klang kepada menantunya, Raja Abdullah kerana jasanya menolong sultan menyelesaikan hutang dengan saudagar-saudagar Melaka.
Raja Abdullah telah memajukan Klang dengan menjemput pelombong Cina. Akhirnya Klang menjadi kawasan perlombongan bijih timah yang kaya.
Tindakan Sultan Muhammad menimbulkan bantahan dan rasa tidak puas hati putera Raja Sulaiman iaitu Raja Mahdi. Raja Mahdi berpendapat baginda lebih berhak mewarisi daerah Klang. Raja Mahdi berjaya mengusir Raja Abdullah dan menguasai daerah Kelang. Bagaimanapun perjuagan Raja Abdullah telah diteruskan oleh anaknya Raja Ismail apabila Raja Abdullah mangkat. Raja Ismail berjaya menguasai kawasan hilir Kelang. Sultan Abdul Samad yang memerintah ketika itu telah melantik Tengku Kudin bagi menyelesaikan masalah antara Raja Mahdi dan Raja Ismail. Bagaimanapun Raja Mahdi enggan enggan mengakui Tengku Kudin sebagai wizurai kerana Tengku Kudin bukan kerabat diraja Selangor. Kedua-dua pihak mencari sekutu masing-masing. Bagi Tengku Kudin dan Raja Ismail, mereka mendapat bantuan dan sokongan daripada Yap Ah Loi dan Fui Chew (Hai San). Selain itu mereka juga mendapat bantuan kewangan daripada saudagar Cina di Melaka. Malah Tengku Kudin juga telah meminjam wang daripada tokoh-tokoh kewangan Singapura.Raja Mahdi pula mendapat sokongan drp Maharaja Abu Bakar dan kongsi Gelap Ghee Hin.
Perang Klang bertambah rumit dengan adanya pertelingkahan antara dua kumpulan pelombong Cina di Selangor iaitu puak Kah Yeng Chew merupakan ahli kongsi gelap Ghee Hin yang berpusat di Kancing dan puak Fei Chew merupakan ahli kongsi gelap Hai San berpusat di Kuala Lumpur. Pelombong-pelombong di Kancing diketuai oleh kapitan Ah Sze dan di Kuala Lumpur diketuai oleh Kapitan Yap Ah Loy
Pertelingkahan bermula pada tahun 1869, apabila wakil Yap Ah Loi di Kancing dibunuh oleh puak Kah Yew Chew yang diketuai oleh Chong Chong. Yap Ah Loi berjaya mengusir Chong Chong dari Kancing dgn bantuan pengikutnya. Chong Chong melarikan diri ke Rawang dan bersatu dengan Raja Mahdi dalam Perang Klang
Pada tahun 1872, Chong Chong membantu Raja Mahdi dan berjaya menawan Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Klang dan Petaling. Yap Ah Loy memihak kepada Tengku Kudin dan mendapat bantuan Inggeris.
Pada tahun 1873, Tengku Kudin berjaya menawan semula Kuala Lumpur dengan bantuan Yap Ah Loy dan pengikut-pengikutnya. Sebagai membalas jasa Tengku Kudin telah melantik semula Yap Ah Loy sebagai kapitan Cina di Kuala Lumpur.

Kesimpulannya kekacauan yang berlaku di Perak dan Selangor menjadi penyebab utama campur tangan Inggeris di Tanah Melayu. Ini disebabkan desakan oleh saudagar-saudagar Negeri Selat supaya memulihkan keamanan agar kegiatan perdagangan dan pelaburan Inggeris tidak terjejas. Keadaan ini membawa kepada Perjanjian Pangkor yang menandakan bermulanya campur tangan Inggeris di Negeri Melayu dan memperkenalkan pula system pentadbiran Barat.


TEMA 2 : TRANSFORMASI MASYARAKAT
BAB 6 : PERLUASAN KUASA BRITISH

Sejauh manakah dasar tidak campur tangan Inggeris di negeri-negeri Melayu dapat dipertahankan sehingga tahun 1874?

Sebelum tahun 1870, British telah menjalankan dasar tidak campur tangan di negeri-negeri Melayu. Hubungan British dengan negeri-negeri Melayu hanya tertumpu kepada aktiviti perdagangan sahaja. Pada ketika itu, British tidak mahu terlibat dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu kerana ingin menjaga hubungan dengan Siam dan menjaga kepentingan perdagangan British. Pada peringkat awal,British amat mematuhi dasar tidak campur tangan namun begitu secara realitinya, British telah melanggar dasar ini apabila kepentingan ekonomi mereka terancam.
Pada peringkat awalnya sememangnya British mempertahankan dasarnya untuk tidak campur tangan di negeri-negeri Melayu. Terdapat beberapa kes membuktikan keadaan ini. Kes Siam ke atas Kedah pada tahun 1821 merupakan salah satu contoh yang membuktikan keadaan ini. Siam menuduh Kedah berkomplot dengan Burma. Sultan Ahmad Tajuddin iaitu sultan Kedah meminta bantuan Inggeris di Pulau Pinang tetapi ditolak oleh Inggeris kerana ingin menjaga hubungan baik dengan Siam.
Dalam satu peristiwa yang lain, James Low telah menandatangani Persetiaan Low dengan Sultan Perak. Menurut perjanjian ini, SHTI berjanji akan memberi perlindungan ketenteraan kepada Perak sekiranya diancam oleh Siam dan Negeri-negeri Melayu. James Low juga telah melibatkan diri dalam kes memusnahkan pusat lanun di Sungai Kurau. Betapa seriousnya Inggeris dalam mematuhi dasar tidak campur tangan ini dapat dilihat apabila James Low digantung perkhidmatannya dan tidak dibenarkan aktif dalam politik di Negeri-negeri Melayu gara-gara tindakannya yang melanggari dasar tidak campur tangan Inggeris.
Kes Perang Linggi yang berlaku antara Yam Tuan Muda Rembau dengan Pembesar Linggi berlaku kerana persaingan merebut kawasan perlombongan bijih timah. Saudagar Inggeris meminta bantuan Inggeris bagi memulihkan keamanan agar kepentingan perdagangan mereka dilindungi. Malangnya permintaan mereka ditolak oleh Gabenor kerana berpegang teguh terhadap dasat tidak campur tangan Inggeris.
Pada tahun 1869, Raja Yusof dari Perak telah disingkirkan dari system giliran takhta telah meminta bantuan Inggeris untuk mendapatkan semula takhta kerajaan Perak tetapi ditolak oleh Inggeris.
Walaupun Inggeris cuba mengelak diri daripada terlibat peristiwa politik tempatan, tetapi tindakan tersebut tidak bertahan lama. Terdapat peristiwa-peristiwa yang memaksa Inggeris untuk campur tangan secara tidak langsung dalam hal ehwal negeri Melayu demi kepentingan ekonomi mereka sebelum tahun 1874.
Campur tangan Inggeris secara tidak langsung sebelum tahun 1874 mula kelihatan setelah tercetusnya Perang Naning. Perang Naning merupakan kesan Perjanjian Belanda 1824 di mana pihak Belanda menyerahkan Melaka kepada Inggeris. Masalah tercetus apabila Gabenor NS iaitu Robert Fullerton melaksanakan undang-undang tanah, kehakiman, dan mengutip cukai di daerah Naning kerana menganggap Naning dibawah pentadbiran Inggeris. Masalah semakin rumit apabila Naning di desak oleh Inggeris untuk menghantar satu persepuluh daripada hasil tahunan ke Melaka dan menghalang Dol Said berkuasa di Naning. Dol Said tidak puas hati dengan tindakan pihak Inggeris kerana beliau berpendapat Naning merupakan sebuah negeri yang merdeka. Kerajaan British bimbang Dol Said akan mempengaruhi penduduk Naning supaya tidak membayar cukai. Pada tahun 1831 British telah menghantar angkatan perang ke Naning namun kalah kerana Dol Said dibantu oleh pembesar Yamtuan Ali Rembau, Syed Saaban, Datuk Kelana Sungai Ujung dan Penghulu Gemenceh. Taktik yang digunakan oleh Dol Said ialah serang hendap, menanam ranjau, dan menebang pokok kayu. Serangan kali ke 2 oleh inggeris telah mencapai kemenangan kerana Dol Said tidak mendapat bantuan daripada pembesar lain. Dol Said diberi pencen 100 rupee sebulan serta sebuah rumah di Melaka.
Pada tahun 1857 telah berlakunya perebutan takhta antara Bendahara Wan Mutahir dan Wan Ahmad di Pahang.perbalahan ini menyebabkan perang saudara. Wan Ahmad telah pergi ke Bangkok untuk meminta bantuan daripada Siam. Siam bersetuju dan menjadikan Terengganu sebagai pengkalan untuk menyerang Pahang. British amat bimbang dengan kehadiran Siam di Terengganu kerana ia boleh menggugat kepentingan British. Sultan Terengganu diberi amaran oleh British supaya tidak terlibat dengan pertikaian tersebut.British telah menyerang kubu pertahanan di Terengganu kerana perang saudara tersebut mengganggu aktiviti ekonomi saudagar British. Oleh itu, Inggeris berjaya menyekat perluasan pengaruh Siam di Pahang dan Terengganu serta menjamin kepentingan ekonomi British di negeri-negeri tersebut.
British juga menunjukkan campur tangan melalui Perjanjian Burney. Dasar perluasan kuasa Siam ke atas Kedah, Perak, dan Selangor telah mengheret pihak Inggeris campur tangan dalam politik di negeri-negeri tersebut. Raja Ligor bertindak menghantar tenteranya ke Perak kerana Perak enggan menghantar bunga emas ke Siam. Selangor pula dituduh bersubahat dengan Perak untuk menentang Siam. Robert Fullerton iaitu Gabenor NS menghantar wakil iaitu Kapten Henry Burney ke Ligor untuk berunding dengan Siam untuk melindungi kepentingan ekonomi Inggeris. Kapten Henry Burney telah menandatangani Persetiaan Awal dengan Raja Ligor pada 31 Julai 1825. Di dalam perjanjian tersebut Raja Ligor berjanji tidak menyerang Perak dan Selangor. Siam juga bersetuju tidak akan memaksa Perak untuk menghantar bunga emas sebagai ufti. Kedatangan Henry Burney ke Bangkok telah menyebabkan termeterainya Perjanjian Burney dengan Raja Siam.
Secara keseluruhannya, perkembangan ekonomi yang berlaku di Eropah mendorong pihak British mencari tanah jajahan yang diharapkan dapat membekalkan bahan mentah untuk keperluan kegiatan perindustrian di sana. Hal ini menyebabkan British campur tangan di negeri-negeri Melayu agar kepentingan mereka terus terjamin.

TEMA 2 : TRANSFORMASI MASYARAKAT
BAB 6: PERLUASAN KUASA BRITISH

Pengenalan
James Brooke merupakan seorang pedagang bebas yang datang berniaga ke negeri Sarawak. Beliau merupakan seorang bekas tentera Syarikat Hindia Timur Inggeris. Kedatangannya ke Sarawak sebenarnya bukan sahaja untuk berniaga tetapi mencari peluang untuk menguasai Sarawak. Beliau berhasrat untuk menguasai Sarawak kerana terpengaruh dengan idea kejayaan Raffles di Singapura serta Francis Light di Pulau Pinang.
Peluang untuk menguasai Sarawak mula terbuka luas apabila berlakunya pertikaian masyarakat Sarawak yang dipimpin oleh Dato’ Patinggi Ali. Sarawak pada ketika itu berada dibawah pentadbiran Pangeran Indera Mahkota iaitu wakil pemerintah Kesultanan Brunei di Sarawak. Malangnya pentadbiran Pangeran Indera Mahkota tidak disenangi oleh masyarakat tempatan. Beliau telah mengenakan cukai yang tinggi dan melaksanakan kerahan tenaga. Keadaan ini menyebabkan Dato’ Patinggi Ali menentang dasar yang diperkenalkan itu.
Sultan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin telah menghantar Pangeran Muda Hashim untuk menamatkan pemberontakan namun usaha itu gagal. Pangeran Muda Hasyim meminta bantuan James Brooke dan berjanji akan melantik beliau sebagai gabenor jika berjaya menamatkan pemberontakan. Kejayaan James Brooke menamatkan pemberontakan membawa kepada perjanjian antara James Brooke dengan Pangeran Muda Hashim pada September 1841. Dengan ini James Brooke dengan rasminya menjadi Gabenor Sarawak. Pada tahun 1842, James Brooke telah mendesak sultan Brunei mengiktiraf Perjanjian 1841. Lanjutan daripada itu, pada tahun 1846 sultan Brunei telah menyerahkan Sarawak meliputi kawasan dari Tanjung Datu hingga ke kawasan di antara sungai Semarahan dan Sungai Sadong.
James Brooke mula bertindak meluaskan kawasan pangaruhnya di luar kawasan yang ditetapkan oleh Sultan Brunei. Beliau mula menguasai Mukah yang kaya dengan pengeluaran sagu. Beliau seterusnnya mendirikan kota di Sarekei atas alasan untuk menjaga keamanan di kawasan itu. Antara tahun 1853 hingga tahun 1861, James Brooke semakin berkuasa apabila kawasan pentadbiran Sultan Brunei telah jatuh ke tangannya. Antara kawasan tersebut ialah Sungai Sadong,Saribas,Samarahan,Serian,Sekrang dan kawasan Rajang hingga ke Tanjung Kidurong
James Brooke telah menguasai kawasan di luar kawasan yang dibenarkan dengan alasan untuk menghapuskan lanun yang boleh mengancam perdagangan. Campur tangan James Brooke di Mukah bermula apabila Gabenor Mukah iaitu Pangeran Ersat telah dibunuh oleh sepupunya Pangeran Mat Usin. Oleh kerana bimbang tindak balas akan berlaku, Pangeran Mat Usin lari ke Kuching meminta bantuan James Brooke. James Brooke juga Berjaya mempengaruhi Sultan Brunei iaitu Sultan Abdul Mukmin supaya menghalau Syarif Masahor dari Sarekei. James Brooke kemudiannya Berjaya menguasai Mukah.
Untuk menguatkan lagi kekuasaan James Brooke, beliau telah mendirikan kubu-kubu pertahanan di Sarekei, Lingga, Kanowit, dan Sekrang. Dalam masa yang sama cukai beras dan garam dikenakan ke atas penduduk sekitarnya. Keadaan ini membangkitkan kemarahan pemimpin tempatan. Bagaimanapun James Brooke sudah bersedia menghadapi segala cabaran. Pada tahun 1843 hingga 1846, James Brooke talah melancarkan beberapa serangan ke atas pertempatan pribumi dengan mendapat bantuan daripada Angkatan Tentera Laut British. Antara tahun 1853 hingga 1861, James Brooke telah Berjaya mendapatkan kawasan pengaruh Sultan Brunei di Sarawak seperti Sadong, Saribas, Rajang, Lingga, Sekrang dan Tanjung Kidurong. Pada tahun 1895 James Brooke Berjaya mendapatkan Limbang secara tipu helah.
Sebenarnya penguasaan James Brooke diperkukuhkan lagi dengan perjanjian yang ditandatangani dengan pihak British pada tahun 1888. Menurut perjanjian ini British akan melindungi keluarga Brooke daripada serangan musuh, disamping itu Sarawak menjadi negeri naungan British. Dengan ini Brooke Berjaya memerintah Sarawak dengan bebas dan menguasai hal ehwal luar.
Penutup
Kedatangan James Brooke telah membawa perubahan pentadbiran daripada kesultanan Brunei kepada pentadbiran James Brooke. Pentadbiran bercorak Barat ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan pemimpin tempatan yang akhirnya membawa Sarawak ke bawah pentadbiran langsung ditangan James Brooke

TEMA 2 : TRANSFORMASI MASYARAKAT
BAB 6 : PERLUASAN KUASA BRITISH

Johor merupakan satu-satunya negeri Melayu yang terakhir dikuasai oleh British.Bincangkan faktor-faktor Johor dapat mengekalkan kemerdekaannya.

Pengenalan
Johor menjadi negeri Melayu yang terakhir menerima penasihat British iaitu Douglas Campbell pada tahun 1914. Terdapat beberapa faktor yang mendorong kejayaan Johor mengekalkan kemerdekaannya

isi penting
faktor-faktor yang mendorong
Kebijaksanaan pemerintah-pemerintah Johor dalam melaksanakan pentadbiran yang lebih cekap dan sistematik terutamanya Temenggung Ibrahim dan Sultan Abn Bakar. Pembaharuan yang dilaksanakan:

i) Tahun 1895 — diperkenalkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor. Undang-undang Tubuh ini menjamin pemerintah yang teratur dan kuasa sultan diperkukuh.
ii) Pentadbiran Johor mirip pentadbiran Barat yang dilaksanakan di Singapura. Negeri Johor dibahagi kepada beberapa buah daerah untuk memudahkan pentadbiran.
iii) Menjadikan Johor Bharu (Tanjung Puteri) sebagai ibu negeri dan tempat semayam raja/sultan.
iv) Golongan birokrasi Johor terdiri daripada kaum elit Melayu yang taat setia dan taat. Pembesar-pembesar menggabungkan ciri-ciri moden dan cirri-ciri pemerintahan Melayu tradisional.
v) Pentadbiran Johor dibahagi kepada beberapa jabatan seperti Jabatan Tanah dan Kerja Raya, Sistem Kehakiman, Pasukan Polis, Jabatan Pendidikan Sekular, dan Jabatan Khazanah.
vi) Sultan Abu Bakar dibantu oleh Jemaah Menteri dan Majlis Negeri. Di samping itu, baginda telah mengupah beberapa orang penasihat Eropah.

Sistem pentadbiran Johor berbentuk ala Barat. Sultan Abu Bakar tidak memberi peluang kepada British untuk meluaskan kuasanya.

(b) Kewibawaan dan kebijaksanaan pegawai-pegawai kanan kerajaan Johor membantu mengekalkan kemerdekaan Johor seperti
(i) Dato’ Jaafar bin Haji Muhamad mengadakan beberapa pembaharuan:
- Mewajibkan pegawai British memakai pakaian rasmi kerajaan Johor.
— Mengarah bendera Union Jack dikibarkan lebih rendah daripada bendera negeri Johor.
- Menetapkan surat-surat rasmi kerajaan ditulis dalam bahasa Melayu.

(ii) Dato’Abdul Rahman b. Andak
- Mengawal hal ehwal luar negeri Johor untuk menghalang British menjajah Johor Contoh: Menghalang pembinaan landasan kereta api merentasi Johor ke Singapura.
- Memastikan hubungan persahabatan terus terjalin dengan pegawai-pegawai British.

(iii) Dato’Muhamad Salleh b. Perang
- Bertanggungjawab membuat perancangan pembangunan negeri Johor. Beliau telah melukis peta negeri Johor dan ini memudahkan urusan pembangunan negeri Johor.

(iv) Dato’Muhamad Ibrahim b. Munsyi.
- Bertanggungjawab memajukan pendidikan moden di Johor.

usaha gigih pemimpin-pemimpin kanan membantu mengekalkan kedaulatan Johor
(c) Perhuhungan baik dengan British.
i) Hubungan baik diwujudkan antara pegawai British di Ncgeri-negeri Selat dengan kerajaan British di London.
ii) Hubungan baik amat menguntungkan kerana:
- Temenggung Ibrahim mengukuhkan kedudukannnya.
- Gelaran Maharaja dan sultan yang diberi kepada Sultan Ahu Bakar yang diiktiraf oleh British.
(d) Tidak berlaku kekacauan di Johor.
(i) Mengawal kemasukan penghijrahan orang China ke Johor melalui Sistem Kangco. Kerajaan Johor hanya membenarkan kongsi gelap Gee Hin sahaja masuk ke Johor. Dengan cara ini tidak berlaku pergaduhan antara kongsi gelap Cina dengan Johor.
(ii) Tiada masalah perebutan takhta antara pembesar-pembesar Melayu dan perebutan takhta antara perwarisan takhta Sultan.

Keadaan yang aman tidak memberi sebarang alasan untuk British campur tangan di Johor.
(e) Kurang potensi ekonomi
(i) Negeri Johor tidak mempunyai bijih timah yang amat diperlukan oleh British. Kekurangan kepentingan ekonomi mengurangkan minat British untuk menguasai Johor.
Kesimpulan
Kejayaan British meluaskan kuasanya ke Johor membuktikan kejayaan British rnelengkapkan proses imperialisme di Tanah Melayu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...