Jumaat, 15 November 2013

PENGGAL 1 TEMA 3 EKONOMI FEUDALISME DI CHINA


Pengenalan.
1.     Sistem ekonomi bermaksud cara atau kaedah dalam menjalankan kegiatan ekonomi yang terbahagi kepada ekonomi tradisional dan moden (kapitalisme, merkantilisme dan perdagangan bebas).
2.     Sistem ekonomi feudalisme menunjukkan golongan petani bekerja dan menjadi tentera untuk golongan bangsawan sebagai balasan mereka dibenarkan mengusahakan tanah golongan bangsawan.
3.     Ekonomi feudalisme di China berkait rapat dengan faktor geografi di mana hamper keseluruhan Negara China merupakan kawasan pergunungan dan gurun. Hanya 15% sahaja tanah di China sesuai untuk kegiatan pertanian, namun mereka mampu menampung keperluan dalam negara.
4.     Pada abad ke-16, sistem ekonomi feudalisme di China adalah dikawal ketat oleh maharaja ke atas golongan petani dan pedagang asing yang dating berdagang di China. Golongan bangsawan bertindak sebagai penguasa kawasan dan mengawal aktiviti ekonomi di kawan luar bandar.
KEGIATAN EKONOMI FEUDALISME DI CHINA
A.     Pertanian
1.     Kegiatan pertanian merupakan kegiatan utama masyarakat China dan penyumbang utama dalam ekonomi di zaman Dinasti Ming pada abad ke-16. Kawasan pertanian utama ialah di kawasan timur laut China dan Mongolia iaitu di dataran loes yang subur sepanjang Sungai Kuning dan Sungai Yangtze.
2.     Tanaman utama ialah tanaman padi sawah yang ditanam di kawasan lembah Sungai Yangtze, Sungai Kuning dan Selatan China. China turut memperkenalkan penanaman padi dua musim setahun di atas tanah yang sama iaitu baka padi jenis baharu yang cepat masak di bawa dari Vietnam Selatan. Padi ini juga tidak memerlukan air yang banyak, oleh itu ia boleh ditanam di kawasan yang berbukit di China. Masyarakat Cina di sini menjadikan nasi sebagai makanan utama mereka.
3.     Tanaman lain yang ditanam di Selatan China ialah tanaman kapas, tebu, teh, gandum, barli, sekoi, millet, oat dan lain-lain bijirin. Tanaman gandum banyak ditanam di Dataran Tinggi Utara China, Wilayah Shantung, Kansu, Shensi dan Bahagian Utara Anhui dan Hupeh. Millet pula ditanam di Wilayah Kansu, Shensi dan Shansi.
4.     Tanaman kaoliang ditanam secara meluas di Manchuria untuk dijadikan atap rumah, anyaman alas lantai dan dibuat minyak. Tanaman kapas juga ditanam di utara dan selatan China dan kapas menjadi bahan utama dalam industri membuat pakaian di China.
5.     Masyarakat China yang tinggal di kawasan tanah tinggi seperti di bahagian utara China iaitu sekitar Sungai Heilongjiang, mereka telah menanam padi huma, sekoi dan tanaman kekacang. China turut memperkenalkan tanaman baru seperti jagung India, ubi kentang manis dan kekacang.
6.     Tanaman sayur-sayuran juga ditanam oleh masyarakat Cina. Mereka akan menanam sayur-sayuran di sekitar rumah mereka di setiap ruangan tanah kosong. Mereka turut menanam pokok buluh iaitu rebung buluh untuk dibuat makanan manakala batang buluh untuk membina bangunan, membuat perabot-perabot dan peralatan memasak.
7.     Setelah berlaku revolusi dalam bidang pertanian, beberapa kaedah baru dalam pertanian diperkenalkan seperti memperkenalkan system penanaman bergilir, penggunaan baja dan peralatan pertanian baru seperti tenggala penabur benih, penyisir tanah, penggiling, kereta sorong beroda dua dan kolar kuda. Revolusi dalam bidang pertanian telah mendorong peningkatan pengeluaran pertanian dan bertambahnya keluasan kawasan pertanian daripada 422 juta mu pada awal abad ke-16M kepada 701 juta mu di akhir abad ke-16M.
8.     Penggunaan teknologi pengairan juga telah mendorong perkembangan bidang pertanian di China seperti terusan, kolam takungan air dan empangan. Kawasan yang jauh dari sumber air juga sudah boleh ditanam dengan pelbagai tanaman.
9.     Pada abad ke-16M, China turut mengamalkan ekonomi komersil seperti mengusahakan tanaman tembakau di wilayah Kwangsi dan Fukein, tanaman kapas di Sungking, Taitsang dan Tung-chou manakala tanaman mulberi di wilayah Kwangtung.
B.     Menternak Binatang
Selain bercucuk tanam, petani Cina juga turut menjalankan kegiatan menternak binatang untuk dijadikan sumber makanan dan kegunaan pertanian serta pengangkutan. Antara binatang yang diternak untuk sumber makanan ialah ayam, itik, kambing, lembu, babi, kerbau dan sebagainya. Kerbau juga digunakan untuk kegiatan penanaman padi sawah manakala lembu biasanya untuk menarik kereta lembu. Binatang ini biasanya dipelihara kawasan yang berdekatan dengan rumah mereka.
C.     Industri Kecil
1.     Masyarakat Cina juga turut menjalankan kegiatan industri-industri kecil seperti pengeluaran barang-barang kertas, sutera, kapas dan porselin. Industri porselin telah berkembang di China dan telah memberi sumbangan yang besar dalam perbendaharaan negara. Wilayah Kiangsi merupakan pusat pengeluaran porselin utama China.
2.     Wilayah Soochow pula sebagai pusat pengeluaran tekstil dan Sungkiang pula sebagai pusat utama pengeluaran kapas di China. Perkembangan industri tekstil ini telah menjadikan tanaman kapas sebagai salah satu tanaman terpenting di abad ke-16M.
3.     Industri kraf tangan dan tenunan turut menyumbang dalam sektor pertanian dan pembangunan negara China. Industri mengubah bunga plastik diusahakan di Peiping dan industri sutera dijalankan di wilayah Shangtung, Hopei dan Manchuria.
D.    Perdagangan
1.     Pada abad ke-16M, ekonomi feudalisme China mengutamakan kegiatan pertanian sebagai sumber utama. Dengan itu, ekonomi perdagangan berada di lapisan paling bawah dan pekerjaan berdagang merupakan pekerjaan yang hina di China. Walau bagaimanapun kegiatan perdagangan tetap berjalan lancar dengan wujudnya sistem pengangkutan yang baik.
2.     Sungai-sungai di China telah dijadikan jalan perhubungan yang utama untuk menjalankan kegiatan perdagangan seperti Sungai Yangtze yang boleh dimudiki kapal sejauh seribu batu dari muaranya. Sungai-sungai barat membolehkan perdagangan dijalankan di selatan China dan Sungai Peiho serta Sungai Kuning telah memudahkan perhubungan timur dan barat di sebelah utara China.
3.     Sistem jalan air seperti pembinaan Terusan Besar dari Peking di sebelah utara ke Hangchow, selatan Sungai Yangtze. Terusan-terusan kecil juga dibina di bahagian tengah dan selatan China untuk memudahkan membawa barang dari satu kawasan ke kawasan yang lain.
4.     Pada abad ke-16M, maharaja telah membenarkan pelayar-pelayar China belayar ke Asia Tenggara, India, Sri Lanka, Hormuz dan pantai timur Afrika. Hubungan dengan negara luar ini telah meningkatkan aktiviti perdagangan China di pelabuhan Canton seperti dengan pedagang Asia Tenggara, Portugal, Sepanyol dan Belanda.
5.     Hubungan dengan Portugal telah bermula dengan Rafeal Perestrello pada tahun 1516 kemudian dengan Tom Pires dihantar untuk menjalinkan hubungan dengan China. Pedagang Portugis hanya dibenarkan berdagang di Macau sahaja pada tahun 1532 dan dibenarkan berdagang di Canton pada hari-hari tertentu sahaja atas kawalan ketat oleh pembesar China. Hasil hubungan ini, China memperoleh barangan perak dari pedagang Portugal dan sebagai tukarannya sutera untuk dibawa ke Eropah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...