Khamis, 28 April 2011

TEMA 3: SEJARAH 2 STPM(MYANMAR)

TEMA 3 : NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
BAB 9 : GERAKAN KESEDARAN(INTELEKTUAL)

GALURKAN KEJAYAAN GOLONGAN TERPELAJAR BURMA YANG TERLIBAT DALAM “PERSATUAN KITA ORANG BURMA” DARI TAHUN 1935 HINGGA TAHUN 1945.


A. PENGENALAN:

1. Calon harus menyentuh sedikit tentang perkembangan kesedaran Burma sekitar tahun-tahun sebelum 1935. Wujud beberapa pertubuhan kesedaran seperti YMBA, GCBA dan Pongyi.

2. Tahun 1937 senario politik Burma, membentuk Perlembagaan dan Kabinet. Cita-cita kemerdekaan.

3. Kebangkitan golongan intelektual sangat penting dalam semangat kesedaran kebangsaan Burma, sering dikaitkan dengan dua buah organisasi pelajar utama iaitu Persatuan Dobama 1930 dan Liga Pemuda Burma 1931. Akhirnya mereka membentuk DOBAMA ASIAYONE ( We Burmans Association - Pertubuhan Kita Orang Burma) tahun 1935. Menggelarkan THAKIN (tuan).

4. Sesungguhnya peranan kaum pelajar cukup penting mencatatkan banyak kejayaan dalam senario politik dan kebangkitan kebangsaan Burma sehinggalah kedatangan dan pendudukan Jepun 1941-45.


B.  SEDIKIT LATAR BELAKANG KEBANGKITAN GOLONGAN INTELEKTUAL:

1. J.F.Cady dan Furnival mengakui bahawa kesedaran kebangsaan di Asia Tenggara mempunyai kaitan rapat dengan pertumbuhan sistem pendidikan. Ia menjadi unsur terpenting. Tanpa pendidikan tidak mungkin para pelajar berjaya menggeraklahirkan satu iklim kebangkitan kesedaran tersebut. Dan fenomena ini berlaku di mana-mana negara di Nusantara.

2. Pusat pengajian tinggi berfungsi sebagai “base” dan nukleus gerakan itu. Para cendekiawan menyuarakan secara vokal tuntutan dan rasa tidak puashati mereka kepada penjajah yang menjalankan dasar-dasar pentadbiran dan politiknya secara tidak adil.
Di Burma : tokoh-tokoh kemuka Aung San, Thein Pe, Kyaw Nyien, Thi Han, Ko Ohn, dan Rashid merupakan penggerak utama.

3. Tegasnya, pelajar memainkan peranan penting memberikan kesedaran kepada rakyat tentang dasar-dasar penjajah.

4. Sistem pendidikan adalah alat kesedaran penting, apa lagi Inggeris sendiri memperkenalkan sistem pendidikan Barat yang secara tidak langsung membenihkan kesedaran yang dimaksudkan di atas.
Inggeris ingin menjadikan anak-anak tempatan sebagai kakitangan birokasinya yang berkelulusan Inggeris seperti kerani dan pegawai rendah.

5. Inggeris mewujudklan sekolah harian biasa guna tujuan di atas, contohnya 1870-an Sekolah Menengah Kebangsaan, 1871 Sistem Persekolahan Rendah ditubuhkan.
Yang terpenting para pelajar dari aliran Anglo-Burma School akan melanjutkan pelajaran mereka ke Universiti Culcatta. Tegasnya, sistem dan dasar pendidikan Inggeris adalah unsur penting ke arah menjayakan peranan golongan terpelajar kelak.


C. PERANAN GOLONGAN TERPELAJAR SECARA LANGSUNG DAN KEJAYAAN MEREKA 1935 - 1945:

1. Peringkat awal peranan Universiti Ranggon tertubuh 1920 merupakan pencetus kesedaran terpenting, ia menjadi kunci ke arah kemerdekaan Burma.
Pelajar-pelajar Buddha, di mana pada 1897 Sam Buddha Vernacular High School diwujudkan.

2. Pada tahun 1904 Ranggon Buddhist Association dibentuk membincangkan kepentingan pendidikan. Diikuti oleh penubuhan Young Men’s Buddhist Association pada tahun 1906 didokong oleh intelektual-inteletual Buddist.

3.  Tahun 1935 merupakan kemuncak  gerakan intelektual apabila mereka berjaya menduduki kerusi Panitia Kerja Persatuan Pelajar Universiti Ranggon.
Di mana tahun 1936 mereka melancarkan Mogok Raksaksa membantah tindakan disiplin yang dikenakan oleh Universiti ke atas Pemimpin Pelajar U Nu dan Aung San. Pemogokan ini tersebar hingga ke peringkat sekolah-sekolah menengah. Sebenarnya pemogokan ini adalah rentetetan tidak puas hati mereka terhadap Akta Universiti Ranggon 1920 ( diluluskan pada 18 Ogos 1920) lagi.


[ calon sepatutnya menyebut kejayaan mogok ini: seperti mereka telah mendesak supaya reformasi sistem pendidikan dibuat. Kesan lain ialah pemecatan dua pimpinan pelajar U Nu
( mengkritik pentadbiran Universiti) dan Aung San (memburukkan nama seorang kakitangan Univesrsiti) di tarik balik dan Akta Universiti dipinda kembali. “The University Commission of Inquary” meminda sistem pendidikan dan para pelajar telah mendapat biasiswa. Pimpinan pelajar itu diibaratkan sebagai penyuluh dan penyubur gerakan nasionalisme Burma. ]

5. Tindakan para terpelajar ini akhir bertukar corak mempengaruhi politik dan membela pejuang nasionalis Burma. Tahun 1936 Golongan Thakin ini menduduki 3 kerusi Dewan Rakyat Burma menerusi Parti Kominkochin.

Di sini jelas membuktikan pelajar memainkan peranan  terpenting dalam perkembangan semangat kebangsaan di sisi pejuang kebangsaan yang sedia ada.

6.  Pengaruh idoelogi dan falsafah beraliran kiri seperti Sosialisme dan Marxisme juga penting. Mereka sanggup membantu sama ada daripada Komunis ataupun Facist untuk mencapai kemerdekaan politik.

7.  Mereka diterima oleh sebahagian besar kaum petani, buruh , dan masyarakat tempatan. Apa lagi mereka menggunakan propanganda yang datang daripada golongan cerdik pandai.
Tahun-tahun 1930-an adalah zaman meleset, menyebabkan mereka mendapat sokongan massa. Beri contoh nama pertubuhan para petani.

8. Bukti kukuh ialah pemberontakan Saya San pada akhir 1930 yang digerakkan oleh So Thein daripada  General Council of Buddhist Association.
Tegaslah bahawa, pemogokan pelajar tahun 1936 tidak dapat diragukan merupakan dorongan kuat melahirkan cetusan “revolusi intelek” yang  berfungsi sebagai pendirian pelajar terhadap iklim politik Burma. Inilah kejayaan besar peranan golongan terpelajar. Tidak ada orang yang boleh  menafikan ketokohan seperti Jeneral Aung San itu.

9.  Golongan terpelajar juga berjaya membentuk Lingkungan Bebas tahun 1939 dalam era Perang Dunia Ke-2 dengan kerjasama U Ba Maw - bekas PM Burma. Menjadikan Perang Dunia Ke-2 sebagai peluang mendapatkan beberapa keistimewaan Inggeris bagi penyertaan Burma dalam perang ini.
10. Semasa Perang Dunia Ke-2 (1941-45), mereka berkerjasama dengan Jepun. Membantu Jepun untuk mendapatkan Burma daripada Inggeris. Ada antara mereka yang mendapat latihan tentera di Jepun. (seperti Ibrahim Yaakob bagi Tanah Melayu - sekadar sebut contoh sahaja).
Penubuhan Tentera Kemerdekaan Burma  Ogos 1943 adalah bukti kukuh. Dr U Ba Maw sebagai PM “kerajaan baru” itu.

11. “Kerajaan baru” tahun 1943 oleh Jepun tersebut dipimpin oleh golongan Thakin, ramai menduduki kerusi menteri. Contoh -  Thakin Mya sebagai  Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Aung San sebagai Menteri Pertahanan dan U Nu sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri. Inilah kejayaan-kejayaan yang terbesar daripada perjuangan golongan terpelajar Burma dalam perjuangan yang bermula daripada beberapa buah organisasi pelajar yang rata-rata menuntut pembebasan mutlak daripada penjajah, akhirnya menjadi pejuang nasionalisme tulen Burma dengan mencontohi Parti Kongres India.

12. Oleh kerana, Jepun tidak memberikan kemerdekaan mutlak kepada Burma, ini menyebabkan golongan Thakin cuba membentuk Liga Pembebasan  Rakyat Anti-Facist untuk menentang Jepun (seperti MPAJA, AMCJA di Tanah Melayu).

D. KESIMPULAN:

Tidak ada siapa yang boleh menafikan bahawa golongan yang dianggap “tuan di Burma” ini telah memainkan peranan penting dalam perjuangan kesedaran kebangsaan Burma, sehinggalah kemerdekaan penuh Burma pada tahun 1948. [R.J Cornish berpendapat  golongan Thakin adalah “convert nationalist sentiment into a major political force” ]

TEMA 3: SEJARAH 2 STPM(MYANMAR)


TEMA 3 : NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
BAB 10 : PERSATUAN DAN KESATUAN

PERANAN UNIVERSITI RANGOON ADALAH PENTING DALAM PERKEMBANGAN SEMANGAT KEBANGSAAN BURMA. KEPUTUSAN UNTUK MENEMPATKAN UNIVERSITI  DI RANGOON ADALAH SATU LANGKAH YANG MENGUNTUNGKAN PIHAK YANG BERSEMANGAT KEBANGSAAN.

            Peranan Universiti Rangoon adalah penting dalam perkembangan semangat kebangsaan Burma. Keputusan untuk mendapatkan Universiti di Rangoon adalah satu langkah yang menguntungkan pihak yang bersemangat kebangsaan. Rangoon merupakan pusat gerakan politik Burma.
            Oleh itu sudah pasti golongan nasionalisme akan dapat mempengaruhi dan menanam semangat kebangsaan di kalangan mahasiswa. Para mahasiwa telah terpikat dengan ideologi politik di samping pelajaran mereka. Satu contoh dalam hal ini ialah mogok yang berlaku di Universiti Rangoon.
            Akta Universiti telah diluluskan pada 18hb Ogos 1920. Gabenor Craddock bakal canselor telah dijadualkan untuk membuat pembukaan rasmi universiti ketika itu pada bulan Disember.
            Pembukaan universiti ini telah melahirkan perselisihan cara terbuka yang pertama di antara penuntut-penuntut yang bersemangat nasional dengan kekuasaan penjajah. Gerakan mogok yang berlaku di Universiti Rangoon telah bermula pada 4hb Disember 1920 iaitu 3 hari selepas pembukaan rasmi universiti itu.
            Pada mulanya pemogokan yang dilakukan oleh para mahasiswa ini adalah bertujuan untuk menentang Undang-Undang Universiti dan terhadap langkah-langkah untuk meninggalkan darjat dan menghalang pengaruh politik kerajaan. Kemudian pemogokan itu berubah corak. Dari sini jelas membuktikan bahawa pelajar-pelajar telah memainkan peranan dalam perkembangan semangat kebangsaan di samping nasionalis-nasionalis yang sedang berjuang. Dari pemogokan universiti ini telah meninggalkan kesan yang besar iaitu merupakan langkah-langkah menuju ke arah nasionalisma yang lebih revolusioner.
            Tuduhan telah timbul bahawa segala pembaharuan yang dibuat oleh British hasil dari laporan Montagu-Chelmsford pada tahun 1919 adalah pura-pura sahaja. Ini telah mempengaruhi fikiran rakyat.
            Oleh itu sentimen orang-orang Burma telah timbul secara memboikot segala rancangan yang dijalankan oleh British. Tuntutan-tuntutan berkerajaan sendiri pula makin bersemarak.
            Golongan pelajar dari sami-sami Budha pula tidak dapat kita lupakan kerana ia memainkan peranan yang penting juga dalam perkembangan semangat kebangsaan di Burma. Mereka setiap masa berusaha untuk mencapai matlamat cita-cita seluruh rakyat Burma.
            Dalam tahun 1922 golongan ini telah menubuhkan ‘Pagyis’. Mengikut D.E Smith di dalam bukunya ‘Religion and Political in Burma’ bahawa Pongyi adalah merupakan nasionalisma yang pertama bagi negara Burma. Yang paling radikal di antara mereka di dalam Pongyi ini ialah U May Ottama digambarkan oleh John F. Cady sebagai penganjur politik yang memakai jubah sami.
            Beliau telah berjaya menyakinkan rakyat Burma bahawa Agama Buddha telah terancam oleh Pemerintahan British. Oleh itu Pongyi yang bertanggungjwab mempertahankan agama itu.
            Beliau juga telah menetang Dyarchy yang diwujudkan pada tahun 1921 oleh kerajaan British di Burma di samping beliau mendorong rakyat supaya berjuang mendapat kerajaan sendiri dari pihak British. Beliau ditangkap oleh kerajaan British atas tuduhan menderhaka.
            Walaupun akhirnya beliau mati di dalam penjara tetapi sumbangannya terhadap nasionalisme Burma adalah penting kerana beliau telah menukarkan satu masalah politik yang sebenarnya kepada masalah agama.
            Pongyi kemudiannya telah diterima memainkan peranan yang penting dalam nasionalisme Burma kerana orang-orang Burma kebanyakannya adalah beragama Buddha yang lebih senang dipengaruhi oleh Pongyi sendiri daripada nasionalis yang lain.
            Dalam tahun 1830-an gerakan-gerakan pelajar semakin jelas dalam perkembangan pergerakan kebangsaan Burma. Gerakan-gerakan pelajar bukan sahaja lahir di sekitar Rangoon malah meliputi seluruh Burma.
            Kampus Universiti Rangoon merupakan tempat tumbuhnya rasa tidak puashati terhadap pemerintahan Inggeris. Ramai nasionalis Burma adalah lepasan dari Universiti ini.
            Dalam tahun 1930-an ramai golongan terpelajar menceburkan diri dalam Parti Thakin, antaranya termasuklah Aung San dan Ka Na Aung San adalah mahasiswa lepasan Universiti Rangoon sendiri.
            Pada tahun 1935 beliau telah dipindah sebagai Setiausaha dan Ko Na sebagai penasihat di dalam Persatuan Mahasiswa Universiti Rangoon. Dalam Perkembangan nasionalisme yang berikutnya Aung San adalah memainkan peranan yang penting untuk mencapai cita-cita nasionalisme Burma sendiri.
            Pelajaran juga merupakan satu faktor yang telah membawa kesan-kesan dalam pertumbuhan berbagai-bagai ideologi di Burma. Umpamanya setengah daripada mahasiswa itu telah dipengaruhi oleh idea-idea kiri seperti Sosialisme dan Marxisme, umpamanya dalam Parti Thakin sendiri telah mula mengamalkan fahaman Marx oleh kebanyakan anggota-anggotanya, meskipun begitu Thakin tidaklah menganut Marxisme.
            Thakin sedia dan sanggup menerima sebarang bantuan luar sama ada dari Komunis atau Facis untuk mencapai tujuan asasnya bagi kemerdekaan politik.

Kalau ditinjau sepintas lalu dalam pergerakan Thakin ianya tidak dapat dinafikan mempunyai beberapa tujuan iaitu di samping tujuan asasnya bagi kemerdekaan politik ia juga bertujuan untuk meninggikan taraf hidup orang-orang Burma.
Fikiran politik di kalangan ahli-ahli Thakin ini telah dipenjarakan oleh British pada tahun yang berhampiran dengan Perang Dunia Kedua kerana mereka disyaki dan dianggap sebagai propagandis komunis dan ini merupakan satu sebab mengapa faham-kiri telah tersekat perkembangannya di Burma walaupun parti komunis telah bertumbuh di sana antara tahun 1938-39.
Pengaruh Marxisme sangat kuat di kalangan ahli-ahli Thakin pada akhir-akhir tahun 1930-an. Hal ini dibuktikan dalam demontrasi-demontrasi di kampung-kampung yang kebanyakan diselenggarakan oleh ahli-ahli Parti Thakin yang bersikap kiri.
Pendek kata bukan penuntut sahaja telah dipengaruhi oleh fahaman Marx, bahkan juga penduduk-penduduk kampung terlibat sama. Tetapi dengan kepandaian British menyekat, akhirnya fahaman ini tidak dapat mempengaruhi keseluruhan rakyat Burma.
Fahaman Marx hanya dapat diterima oleh kaum buruh dan petani yang tertindas kehidupan mereka daripada hasil propaganda-propaganda yang datangnya daripada pelajar sendiri, terutamanya pada zaman kemelesetan tahun 1930-an.
Pemberontakan Hsaya San berlaku pada penghujung tahun 1930 tidak seharusnya dilupakan. Pemberontakan ini ditimbulkan oleh golongan So Thien dalam General Council of Buddhist Association (GCBA).
Meskipun pemberontakan ini bertujuan untuk menegakkan kembali pemerintahan beraja, tetapi ianya telah meninggalkan kesan yang tidak kurang pentingnya. Kegagalan San menyebabkan  beliau telah ditangkap oleh British dan akhirnya telah dihukum gantung sampai mati.
Sebelum dihukum Tun Pe telah merayu kepadanya supaya menderma wang penerbitan bukunya “Sign of  Desease” untuk menubuhkan sebuah perpustakaan.
Wang dari hasil penerbitan itu telah digunakan oleh Tun Pe bagi membeli buku-buku ini dari golongan nasionalisme muda Rangoon amatlah banyak.
Buku-buku ini telah menanamkan pengaruh yang besar ke atas mereka dan ideologi yang terdapat dalam buku-buku itu sentiasa diperkatakan dalam rapat-rapat umum.
Dengan itu jelas menunjukkan pelajaran yang ada di kalangan nasionalis tadi telah menarik perhatian mereka mengetahui ideologi luar. Fahaman Marxisme ini boleh dikatakan telah berkembang melalui pelajar, kemudian fahaman ini diresapkan ke golongan yang hidup menderita.
Golongan pelajar Burma telah sedar dan setengahnya telah merasa kecewa di bawah British. Kesedaran mereka ialah tentang kebanyakan perusahaan jatuh ke tangan orang Eropah, Cina, dan India. Orang Burma hanya tertinggal dalam lapangan ini.
Adalah mustahil bagi orang Burma mendapat pengalaman dan pelajaran sedangkan mereka tidak mendapat apa-apa kesempatan dalam bidang perusahaan.
Kebanyakan orang-orang Burma masih bekerja seperti dahulu iaitu menanam padi dan hanya sebilangan kecil sahaja yang berpelajaran yang mendapat kerja dalam bidang pentadbiran.
Meskipun begitu banyak daripada golongan terpelajar berasa kecewa kerana pekerjaan yang didapati mereka tidak sesuai dengan kelulusan mereka.
Pihak yang negatif percaya bahawa British dan Indialah yang merupakan penghalang yang menyebabkan mereka menderita. Pihak yang positif pula berkehendakkan sebuah kerajaan kebangsaan yang boleh menolong orang Burma.
Dengan kesedaran itulah yang menyebabkan ramai pelajar menumpukan masa dalam lapangan politik lebih daripada kuliah mereka sendiri.
Peranan kaum pelajar adalah penting dalam perkembangan nasionalisme Burma. Merekalah yang menjadi pelopor yang menyebabkan nasionalisme Burma menjadi begitu revolusioner.
Pemogokan universiti dan sekolah yang berlaku pada tahun 1936 tidaklah dapat diragukan sebagai merupakan dorongan semangat pelajar yang berkobar-kobar meskipun ada kaitan dengan anasir-anasir luar, tetapi apa yang berlaku itu adalah menunjukkan sikap dan penderitaan kaum pelajar sendiri.
Para pelajar yang telah menceburkan diri di dalam lapangan politik telah bergerak cergas dalam mencapai cita-cita kebangsaan.
Aung San adalah merupakan tokoh kebangsaan yang tulen. Beliau telah berjuang hingga ke akhir hayatnya.
Perkembangan semangat kebangsaan Burma terus berkembang dengan berbagai-bagai masalah politik hinggalah Republik Persatuan Burma diisytiharkan pada 17hb. Oktober 1947. 

TEMA 3: SEJARAH 2 STPM(CHINA)


TEMA 3 : NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA                BANGSA
BAB 12 : PEMBENTUKAN NEGARA BARU

Faktor Rampasan Kuasa Oleh PKC
 
Pengenalan
Parti Komunis China (PKC) ditubuhkan pada tahun 1921. Di antara tahun 1923-1927, PKC telah bergabung dengan Kuomintang (KMT) untuk menentang hulubalang-hulubalang dan menyatukan China. Pada tahun 1927, perikatan KMT-PKC telah ditamatkan oleh Chiang Kai Shek. Mulai tahun tersebut, kedua-dua parti ini sentiasa bersaing untuk merebut kuasa di China. Perang saudara telah meletus antara PKC dan KMT mulai  tahun 1946 sehinggalah tahun 1949. PKC akhirnya telah berjaya merampas kuasa dari KMT pada tahun 1949 dan mewujudkan pemerintahan republik Komunis di China.
 
Faktor-faktor
Perjanjian Sun-Joffe yang ditandatangani antara Sun Yat Sen dengan pihak Komunis Rusia pada tahun 1923 merupakan titik tolak ke arah kejayaan PKC. Melalui kerjasama tersebut, PKC yang baru diasaskan pada tahun 1921 telah dapat berkembang dengan pesat di bawah naungan KMT. Hal ini jelas terbukti dengan bertambahnya keahlian PKC begitu pesat sekali. Malahan KNT sendiri hampir-hampir dikuasai oleh Komunis jika Chiang Kai Shek tidak mengambil tindakan menghapuskan anasir-anasir Komunis di dalam KMT dan seterusnya menamatkan kerjasama antara KMT-PKC pada tahun 1927.
            PKC juga mempunyai pemimpin yang baik dan berdedikasi seperti Mao Tze Tung dan Chu Teh. Mao Tze Tung adalah teraju utama yang mempunyai strategi perjuangan yang bersama dengan Komunis Rusia dan pemimpin-pemimpin lain dalam PKC. Beliau berpendapat PKC perlu menyatukan sebuah masyarakat China, bukan sekadar kaum buruh sahaja, tetapi juga petani dengan cara menghasut mereka menentang tuan-tuan tanah. Mao Tze Tung memilih kawasan pergunungan berhampiran Juichin yang terletak di sempadan Hunan-Kiangsi sebagai kawasan operasinya. Pengaruh PKC semakin bertambah di bawah kepimpinan Mao Tze Tung. Selain itu, pemimpin-pemimpin PKC yang lain termasuklah Mao Tze Tung tidak mudah putus asa walaupun mereka mengalami kekalahan demi kekalahan kepada tentera KMT di peringkat awal.
            Perjalanan Jauh/Long March yang dijalankan oleh Mao Tze Tung dan penyokong-penyokongnya semasa berundur dari Kiangsi dengan seramai 80000 orang tentera, 15000 pegawai kerajaan dan parti yang bermula dari Juichin ke Shensi Utara sejauh 12800 km telah tiba pada Oktober 1935 mengorbankan kira-kira 70000 orang. Perjalanan ini telah meninggalkan beberapa implikasi yang menarik mengenai sejarah ketahanan manusia dalam menghadapi pelbagai cabaran dengan berjalan kaki selama setahun yang telah memperlihatkan kejayaan Mao Tze Tung menanamkan semangat gigih dan disiplin yang tinggi di kalangan pengikut-pengikutnya. Perjalanan ini juga memberi kesempatan kepada PKC untuk menyebarkan ideologi Komunis di kalangan rakyat dan berjaya memisahkan PKC dari kongkongan Moscow. Mao Tze Tung telah muncul sebagai pemimpin yang tidak boleh dipertikaikan dan mulai tahun 1935, PKC benar-benar berorientasikan China dan bukannya Moscow lagi.
            Asas kejayaan PKC ialah kekuatan tentera dan strategi peperangan yang baik. tentera PKC adalah terlatih, berdisiplin dan teratur. Mereka bermoral tinggi dan komited terhadap perjuangan Komunis. Bilangan tentera PKC telah bertambah daripada 80000 pada tahun 1937 kepada 910000 pada tahun 1945. Pertambahan bilangan tentera PKC adalah disebabkan oleh PKc amat bijak mengatur strategi dalam menghadapi serangan Jepun. PKC seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada peperangan secara terbuka dengan Jepun. PKC sekadar membuat serangan hendap yang kecil terhadap Jepun. Selain itu, PKC juga bertumpu di wilayah-wilayah Barat Laut China yang kurang diserang oleh Jepun. Dengan demikian, PKC tidak mengalami kehilangan askar yang ramai semasa serangan Jepun ke atas China pada tahun 1937-1945.
            Perang China-Jepun membolehkan PKC mengambil rekrut-rekrut baru di kalangan golongan petani. Perang ini juga membolehkan PKC menguasai daerah-daerah luar bandar di China Utara dan Tengah yang berjumlah penduduk seramai 70-80 juta orang. Justeru itu, menjelang bulan Jun 1947, bilangan tentera, senapang dan meriam PKC dengan KMT hampir-hampir sama. Keadaan ini menyenangkan usaha-usaha PKC untuk merampas kuasa di China.
            Selepas Perang China-Jepun, PKC telah berjaya mengatur strategi-strategi dan teknik-teknik peperangan dengan baik. PKC telah melanggarkan serangan secara gerila ke atas garisan-garisan KMT yang terpencil antara tahun 1946-1948. Tindakan ini menyebabkan PKC berjaya menguasai daerah-daerah luar bandar dan memutuskan saluran makanan dan perhubungan KMT yang berpusat di bandar-bandar. Dengan ini, tentera KMT di bandar terkepung dan mudah ditewaskan. Kebijaksanaan PKC menyusun strategi tentera jelas kelihatan dalam Perang Hsuchow yang berlaku antara bulan Oktober sehingga Disember 1948. Askar-askar KMT yang dikepung oleh askar-askar PKC terpaksa menyerah diri.
            PKC juga menubuhkan pasukan propaganda iaitu United Front Cadres yang menjalankan propaganda di kalangan rakyat di kawasan yang dikuasai oleh KMT dan pasukan Friendly Armie’s yang ditugaskan menyusup masuk ke dalam pasukan tentera KMT.
            Rusia sentiasa memberi bantuan kepada PKC sejak penubuhannya pada tahun 1921. Keadaan ini dapat dilihat melalui tindakan Rusia memberikan bantuan kepada PKC dengan membenarkan mereka memperoleh senjata dan kelengkapan perang yang ditinggalkan oleh Jepun di Manchuria. Dengan bantuan Rusia, PKC telah berjaya merampas kuasa dan menduduki Manchuria. Bantuan ini telah membantu PKC dalam kempen mereka menentang kerajaan nasionalis pada tahun 1946-1949.
            Tentera KMT tidak berciri-ciri disiplin dan semangat yang tinggi seperti PKC, malahan semakin merosot. Keadaan ini wujud kerana askar-askar KMT sudah lama mengalami peperangan iaitu sejak KMT mula ditubuhkan lagi. Hal ini menyebabkan askar-askar KMT letih dan bosan. Ia secara sulit tidak langsung telah melemahkan semangat perjuangan mereka. Justeru itu, mulai penghujung tahun 1943, KMT tidak menyerang tentera Jepun di China.
            Tambahan pula, semasa Perang China-Jepun (1937-1945), KMT mengalami kehilangan askar yang ramai berbandingan dengan PKC. Hal ini disebabkan Jepun lebih menumpukan serangannya ke atas KMT, memandangkan KMT-lah yang menerajui Kerajaan China ketika meletusnya Perang China-Jepun. KMT telah kehilangan anggota tentera yang berpengalaman dan cukup terlatih seperti pasukan ke-87 dan ke-88.
            Organisasi tentera KMT yang lemah. Tenteranya terbahagi kepada beberapa golongan komander-komander yang cekap tetapi tidak termasuk golongan Whampao telah diberi jawatan-jawatan yang tidak penting. Hal ini telah melemahkan kedudukan KMT.
            Strategi-strategi dan teknik-teknik tentera KMT adalah lemah. Tenteranya berselerak dan tertumpu di bandar-bandar sahaja. Sementara kawasan-kawasan luar bandar telah diabaikan. Hal ini membolehkan PKC menguasai kawasan-kawasan luar bandar dan mengepung tentera KMT di bandar-bandar dengan cara memutuskan saluran perhubungan dan bekalan. Sementara pemimpin-pemimpin tentera KMT, bukan sahaja tidak cekap tetapi korupsi. Hal ini menyebabkan ramai askar KMT melarikan diri dan berpaling tadah dengan menyertai tentera PKC.
            PKC menjadi semakin popular di kalangan orang China khasnya golongan petani dan intelegensia. Hal ini merupakan faktor penting kejayaan PKC di China. Perang China-Jepun telah menambahkan kepopularan PKC. PKC telah muncul sebagai pejuang kebangsaan, apabila PKC mencadangkan penyatuan KMT dengan PKC untuk mempertahankan China dari serangan Jepun. KMT yang berada dalam keadaan serba salah terpaksa menerima cadangan PKC. Jadi, pada bulan September 1937, PKC dan KMT telah bersetuju untuk berdamai bagi mempertahankan China dari serangan Jepun. Dengan wujudnya pakatan bersama menentang Jepun, bererti KMT telah menamatkan permusuhannya dengan PKC. Suasana seperti ini telah memberi peluang kepada PKC untuk mengukuhkan diri dan meluaskan pengaruhnya di China.
            Imej PKC sebagai pejuang kebangsaan semakin meningkat dan bertambah popular apabila PKC meneruskan serangan gerila ke atas Jepun selepas tahun 1943. Sedangkan KMT yang sangat lemah ketika itu tidak lagi menyerang tentera Jepun di China kerana terlalu letih dan bosan akibat terlalu lama berperang.
            Rancangan dan strategi PKC dalam memenangi hati rakyat semasa Perang China-Jepun (1937-1945) telah menjadikan PKC semakin popular di kalangan golongan petani dan intelegensia. PKC mendapat sokongan petani melalui rancangan pembaharuan pertanian. Di bawah rancangan ini, PKC telah merampas tanah-tanah di wilayah Hunan dan kemudiannya dibahagikan semula kepada petani-petani. Selain itu, PKC telah menubuhkan koperasi-koperasi dan menurunkan kadar faedah bagi pinjaman untuk meningkatkan keperluan pengeluaran pertanian. Golongan petani juga digalakkan mengambil bahagian dalam pentadbiran tempatan. Selain itu, pemimpin-pemimpin dan askar-askar PKC juga mewujudkan hubungan yang baik dengan petani-petani. Mereka mengikut corak penghidupan yang sama seperti rakyat. Keadaan ini berbeza dengan pemimpin-pemimpin parti KMT. Hal-hal seperti inilah yang menambahkan kepopularan PKC di kalangan petani-petani China. Justeru itu, sebahagian besar daripada mereka telah menyertai PKC.
            PKC juga mendapat sokongan golongan intelegensia yang berpendapat ianya berjuang untuk kebajikan rakyat. Mereka tertarik dengan perjuangan PKC untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan memelihara kedaulatan China. Golongan intelegensia tertarik dengan dasar PKC untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh China berhubung dengan tekanan dunia antarabangsa, khasnya imperialisme Barat dan Jepun. Kepopularan PKC jelas terbukti dengan peningkatan keahliannya dari kira-kira 40000 orang pada tahun 1937 kepada 1.2 juta orang pada tahun 1945.
            Rakyat China telah hilang keyakinan terhadap KMT sebagai ejen yang berkesan dalam pembinaan semula negara. KMT telah gagal memperbaiki taraf hisup petani-petani China. Keadaan ini berlaku kerana KMT menghadapi masalah kewangan semasa meletusnya Perang China-Jepun. Penaklukan bandar-bandar dan pelabuhan-pelabuhan utama oleh Jepun menyebabkan KMT kehilangan sokongan dan bantuan kewangan daripada golongan hartawan, peniaga dan pedagang China. Lagipun, sumber pendapatan utama kerajaan KMT yang sebahagian besarnya berpunca dari perdagangan, perusahaan dan cukai-cukai kastam di bandar-bandar utama dan pelabuhan-pelabuhan penting juga terjejas akibat penaklukan Jepun. Selain itu, KMT terpaksa menghabskan sebahagian besar kewangan, tenaga dan masa untuk mengukuhkan angkatan tenteranya. Keadaan ini menghalang KMT daripada melancarkan reformasi sosial dan ekonomi. Hal ini menyebabkan KMT gagal memperbaiki nasib golongan petani China. Lantaran itu, KMT telah kehilangan sokongan petani China yang bertindak menyokong PKC.
            KMT juga tidak berjaya mencegah inflasi yang disebabkan perbelanjaan tentera yang tinggi dan kemerosotan ekonomi serta pengeluaran mata wang yang berlebihan. Semasa Perang China-Jepun, banyak kegiatan ekonomi telah musnah seperti perlombongan, pelabuhan, kilang dan lain-lain. Selain itu, peperangan dengan Jepun juga memerlukan peruntukan yang tinggi. Bagi memulihkan semula sumber ekonomi China, KMT terpaksa menggunakan perbelanjaan yang besar. Lantaran itu, kerajaan KMT terpaksa mencetak mata wang dengan berlebihan. Tindakan ini menyebabkan berlakunya inflasi di mana harga barangan telah meningkat dua kali ganda sebanyak 67 kali antara bulan Jun 1946 sehingga Ogos 1948. Pada pertengahan tahun 1947, nilai mata wang China berbanding Dollar Amerika ialah 45000:1. Keadaan ini sudah tentulah menyulitkan kehidupan rakyat China yang sedang hidup menderita. Justeru itu, terdapat kepercayaan umum bahawa KMT telah hilang mandat dari syurga untuk memerintah China.
            Korupsi dan rasuah di kalangan pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin-pemimpin tentera KMT telah bertambah semasa meletusnya Perang China-Jepun. Semasa perang ini, China mengalami kemerosotan ekonomi. Bagi memulihkan ekonomi China, Amerika telah memberi bantuan kepada kerajaan KMT. Namun begitu, bantuan Amerika kepada KMT tidak dapat memulihkan ekonomi China. Kebanyakan bantuan kewangan Amerika telah disalahgunakan oleh pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin-pemimpin tentera KMT. Selain itu, peralatan senjata dan bekalan perubatan KMT telah dijual kepada PKC oleh pegawai-pegawai KMT sendiri. Faktor korupsi ini telah menjatuhkan maruah KMT di kalangan orang-orang China yang menyebabkan rakyat China hilang kepercayaan dan kesetiaan kepada KMT.
            Selepas perang, kerajaan KMT telah melaksanakan beberapa rancangan pembangunan ekonomi seperti dalam bidang kewangan, perusahaan, memperbaiki pehubungan dan lain-lain yang lebih menguntungkan kelas pedagang, pengusaha dan golongan kapitalis. Hal ini bererti ekonomi KMT banyak bergantung kepada perdagangan, perusahaan dan cukai kastam yang berpusat di kawasan pantai yang jauh dari kawasan pedalaman. Hal ini menyebabkan kerajaan KMT tidak berusaha untuk memajukan bidang pertanian dan meninggikan taraf hidup golongan petani yang merupakan golongan terbesar. Keadaan ini menyediakan peluang keemasan kepada PKC untuk mempergunakan golongan petani.
            Imej dan pengaruh KMT telah merosot sebelum meletusnya Perang China-Jepun. Hal ini disebabkan oleh penindasan dan paksaan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai KMT. Misalnya, petani dipaksa membayar cukai yang tinggi. Tindakan ini sudah tentu menambahkan beban hidup golongan petani dan golongan yang perpendapatan rendah.
            Selepas Jepun menyerah kalah, tentera KMT mula masuk ke kawasan yang dahulunya diduduki oleh Jepun dan bersikap sebagai penakluk baru, bukan sebagai pembebas tanahair. Mereka melayan penduduk China dengan sikap yang angkuh dan penghinaan. Pegawai-pegawai KMT telah melakukan penindasan terhadap orang-orang China yang dianggap tidak setia dan pembelot. Pegawai kerajaan KMT lebih berminat untuk mengumpul harta benda yang ditinggalkan oleh Jepun. Mereka terpaksa mengabaikan rancangan dan usaha untuk memperbaiki taraf hidup rakyat yang sekian lama terbiar akibat peperangan. Keadaan ini dipergunakan oleh PKC untuk mengeksploitasikan fikiran rakyat di wilayah-wilayah yang mundur.
            Selepas perang, KMT gagal memperbaiki taraf hidup rakyat China, khasnya golongan petani. KMT juga membenarkan tuan-tuan tanah mengenakan kadar cukai yang tinggi ke atas rakyat khasnya golongan petani. Pengaruh KMT di kalangan golongan peniaga juga merosot selepas Perang China-Jepun, apabila KMT mengenakan bayaran-bayaran yang tinggi ke atas firma-firma swasta. Sementara golongan intelegensia pula telah menarik diri dari KMT akibat tentangan-tentangan KMT terhadap pembaharuan-pembaharuan yang dilaksanakan dan pemerintahan dictator yang diamalkan oleh KMT.
 
Kesimpulan
PKC akhirnya telah berjaya merampas kuasa dari KMT pada tahun 1949. Dengan kekalahan ini tentera KMT telah berundur ke Taiwan. PKC seterusnya telah mengisytiharkan penubuhan KERAJAAN REPUBLIK RAKYAT CHINA pada 1 Oktober 1949.

TEMA 3: SEJARAH 2 STPM(CHINA)


TEMA 3 : NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
BAB 11 : PERANG DUNIA KEDUA

Cara Perang China-Jepun (1937-1945) Membantu PKC Merebut Kuasa
 
Pengenalan
Persaingan antara PKC dan KMT di China telah bermula sejak tahun 1937. PKC telah mengalami kekalahan teruk di tangan KMT sebelum tahun 1937. Kekalahan ini menyebabkan PKC terpaksa melakukan pengunduran dalam satu kumpulan dari China Selatan ke wilayah Sehnsi di China Utara. Peristiwa ini dikenali sebagai “Perjalanan Jauh Dengan Berbaris” atau “Long March” sejauh kira-kira 6000 batu. Namun begitu, Perang China-Jepun 1937-1945 telah merintiskan jalan bagi penyatuan negara China oleh PKC.
 
Cara-cara
Perang China-Jepun telah mengurangkan tekanan KMT ke atas PKC. Semasa Perang China-Jepun, PKC telah mencadangkan penyatuan KMT dengan PKC bagi mempertahankan China daripada serangan Jepun. Dengan itu, pada bulan September 1937, PKC dan KMT bersetuju untuk berdamai bagi mempertahankan China daripada serangan Jepun. Denagn wujudkan pakatan bersama menentang Jepun, ini bererti KMT telah menamatkan permusuhannya dengan PKC. Perikatan ini telah mengurangkan tekanan KMT kepada PKC dan ini memberi peluang kepada PKC untuk mengukuhkan kedudukannya dan meluaskan pengaruhnya di China. Sedangkan KMT terpaksa menumpukan perhatiannya terhadap serangan Jepun.
            Peperangan antara China dengan Jepun selama 8 tahun (1937-1945) telah melemahkan kekuatan tentera KMT kerana peperangan ini merupakan peperangan antara KMT dengan Jepun. Jepun telah lebih menumpukan serangan ke atas KMT, memandangkan KMT-lah yang menerajui Kerajaan China ketika meletusnya Perang China-Jepun. Kekuatan tentera KMT telah digerakkan untuk menentang Jepun. Hal ini menyebabkan ramai daripada tenteranya telah terkorban. Sebahagian besar daripadanya terdiri daripada anggota tentera yang berpengalaman dan cukup terlatih. Sebagai contoh, KMT telah kehilangan pasukan-pasukan tentera yang handal seperti Rejimen ke-87 dan Rejimen ke-88.
            Perang China-Jepun juga menyebabkan kedudukan kewangan KMT mengalami kemerosotan. Penaklukan bandar-bandar dan pelabuhan-pelabuhan utama oleh Jepun menyebabkan Kerajaan KMT kehilangan sokongan dan bantuan kewangan daripada golongan hartawan, peniaga dan pedagang-pedagang China. Sumber-sumber pendapatan utama yang bepunca daripada perdagangan, perusahaan dan cukai-cukai kastam di bandar-bandar dan pelabuhan-pelabuhan utama telah terputus akibat penaklukan Jepun. Dengan itu, hasil Kerajaan KMT menjadi semakin berkurangan.
            Banyak sumber ekonomi seperti perlombongan, pelabuhan dan kilang telah musnah akibat peperangan. Di samping itu, peperangan dengan Jepun juga memerlukan peruntukan yang tinggi. Selepas perang tamat, Kerajaan KMT terpaksa mengambil masa yang panjang untuk memulihkan sumber-sumber ekonomi yang telah lumpuh. Pihak KMT terpaksa memperbaiki segala kerosakan akibat peperangan dengan menggunakan belanja yang besar. Lantaran itu, Kerajaan KMT telah mencetak mata wang dengan berlebihan. Tindakan ini menyebabkan berlakunya inflasi. Dengan ini, harga barangan China telah meningkat sebanyak 2 kali ganda sebagai 67 kali antara bulan Jun 1946 hingga Ogos 1947 (30% sebulan). Pada tahun 1947, nilai mata wang China dibandingkan dengan US$ ialah 1:45000 yuan. Keadaan inflasi ini menyebabkan kemerosotan pengaruh KMT di kalangan orang China.
            Korupsi dalam Kerajaan KMT telah bertambah semasa meletusnya Perang China-Jepun. Semasa perang ini, China mengalami kemerosotan ekonomi. Bagi memulihkan ekonomi China, Amerika telah memberi bantuan kepada Kerajaan KMT. Namun begitu, bantuan Amerika kepada KMT tidak dapat memulihkan ekonomi China. Keadaan ini berlaku kerana pegawai-pegawai Kerajaan KMT tidak cekap dan kegiatan korupsi di kalangan pegawai-pegawai semakin bertambah semasa perang ini. Faktor korupsi ini telah menjatuhkan maruah KMT di kalangan orang China. Dengan itu, ramai askar-askar KMT telah melarikan diri dan menyertai PKC.
            Peperangan selama 8 tahun berturut-turut dengan Jepun telah menyebabkan tentera KMT penat dan bosan. Keadaan ini telah melemahkan semangat askar-askar KMT. Lantaran itu, ramailah askar-askar KMT meninggalkan medan peperangan. Dengan ini, mulai tahun 1943, KMT tidak lagi menyerang tentera Jepun di China. Hal ini telah menjatuhkan imej KMT sebagai pembela tanahair.
            Sejak dari tahun 1930-an hingga 1945, Kerajaan KMT menghadapi cabaran PKC dan pencerobohan Jepun. Ancaman dari PKC dan Jepun ini telah menyebabkan Kerajaan KMT terpaksa menghabiskan sebahagian besar kewangan, tenaga dan masa untuk mengukuhkan angkatan tenteranya. Keadaan ini telah menghalang KMT daripada melancarkan reformasi sosial dan ekonomi. Hal ini menyebabkan KMT gagal memperbaiki nasib golongan petani China. Jadi, KMT telah kehilangan golongan kaum petani China yang bertindak menyokong PKC.
            Selepas perang, Kerajaan KMT telah melaksanakan beberapa rancangan pembangunan ekonomi seperti bidang kewangan, perusahaan, memperbaiki sistem perhubungan dan lain-lain yang lebih menguntungkan kelas pedagang, perusahaan dan golongan kapitalis. Hal ini bererti ekonomi KMT banyak bergantung kepada perdagangan, perusahaan dan cukai kastam yang berpusat di kawasan pantai yang jauh dari kawasan pedalaman. Kekuatan ekonomi KMT bukan berdasarkan sumber pertanian. Hal ini menyebabkan Kerajaan KMT tidak berusaha untuk memajukan bidang pertanian dan meninggikan taraf hidup rakyat khasnya golongan petani yang merupakan golongan terbesar. Hal ini menyediakan peluang keemasan kepada PKC untuk mempergunakan golongan petani.
            Imej dan pengaruh KMT telah merosot sebelum meletusnya Perang China-Jepun. Hal ini berlaku disebabkan penindasan dan paksaan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai KMT. Misalnya, petani dipaksa membayar cukai yang tinggi. Tindakan ini sudah pasti menambahkan beban hidup golongan petani dan golongan yang berpendapatan rendah. Dari hari kepercayaan rakyat terhadap KMT telah hilang. Sungguhpun selepas perang, KMT berkuasa, tetapi orang-orang China mensifatkan mereka sebagai penakluk baru, bukan sebagai pembebas tanahair. Pegawai-pegawai Kerajaan KMT telah melakukan penindasan terhadap orang-orang China yang dianggap tidak setia dan pembelot. Pegawai-pegawai KMT lebih berminat untuk mengumpulkan harta benda yang ditinggalkan oleh Jepun. Mereka telah mengabaikan rancangan dan usaha untuk memperbaiki taraf hidup yang sekian lama terbiar akibat dari peperangan. Keadaan ini dipergunakan oleh pihak Komunis untuk mengeksploitasi fikiran rakyat di wilayah-wilayah yang mundur.
            Perang China-Jepun telah menambahkan kepopularan PKC di kalangan orang-orang China. PKC telah muncul sebagai pejuang kebangsaan, apabila PKC mencadangkan penyatuan PKC dengan KMT bagi menghadapi serangan Jepun ke atas China. KMT yang berada dalam keadaan serba-salah terpaksa menerima cadangan PKC, walaupun rancangan ini memberi faedah yang lebih kepada perjuangan PKC.
            Imej PKC di kalangan rakyat adalah tinggi ketika meletusnya Perang China-Jepun kerana PKC dianggap sebagai juara dan penyelamat kedaulatan China. Tentera PKC telah menunjukkan perjuangan yang gigih dan berjaya menanam semangat anti-Jepun di kalangan orang-orang China. PKC menjadi semakin popular apabila masih meneruskan serangan secara gerila ke atas tentera Jepun selepas tahun 1943, berbandingkan dengan KMT yang telah memberhentikan serangannya ke atas Jepun pada masa itu.
            Kelemahan KMT menyebabkan rakyat kehilangan keyakinan dan bosan dengan perjuangannya. Ketidakyakinan ini tidak sahaja lahir dari golongan rakyat biasa, malah juga dari golongan intelek. Jadi, rakyat dan golongan intelek mula berpaling kepada Komunis yang berjaya menanam semangat nasionalisme yang kuat di kalangan mereka. PKC menjadi semakin popular di kalangan golonagn petani dan intelek melalui rancangan-rancangan pembaharuan ekonomi dan sosialnya di wilayah-wilayah yang dikuasai antara tahun 1937-1945. Sebagai contoh, PKC telah melancarkan rancangan pembaharuan pertanian. Melalui rancangan ini, tanah-tanah yang dirampas di wilayah Hunan dibahagikan kepada petani-petani China. Sementara di tempat-tempat lain, PKC telah menetapkan kadar sewa tanah kepada 37.5% daripada jumlah hasil tanaman. Di samping itu, PKC juga telah mengambil langkah-langkah lain seperti menubuhkan koperasi, dan menurunkan kadar faedah bagi pinjaman untuk meningkat pengeluaran pertanian.
            Kepercayaan rakyat terhadap PKC juga dipengaruhi oleh ketabahan, ketokohan, kesabaran dan semangat perjuangan yang ada pada diri pemimpin-pemimpin mereka. Mereka juga menunjukkan semangat berjiwa rakyat dengan cara turut serta melakukan satu-satu rancangan dan cuba membantu serta bersimpati dengan penderitaan hidup yang dialami oleh rakyat. Sifat-sifat ini berbeza dengan pemimpin-pemimpin parti KMT.
            PKC juga mendapat sokongan golongan intelegensia kerana perjuangannya adalah untuk memelihara kedaulatan China dan memperbaiki taraf hidup rakyat. Golongan intelegensia tertarik dengan cadangan-cadangan PKC untuk mengatasi masalah-masalah di China dan sikap anti-imperialismenya. Kepopularan PKC jelas terlihat apabila bilangan ahlinya telah meningkat daripada 40000 pada tahun 1937 kepada 1.2 juta orang pada tahun 1945.
            Perang China-Jepun juga membolehkan PKC menguasai daerah-daerah luar bandar khasnya di bahagian-bahagian China Utara dan China Tengah yang berjumlah penduduk seramai 70-90 juta orang. Pengaruh PKC ketika dan selepas Perang China-Jepun semakin bertambah disebabkan mereka mendapat sokongan dan bantuan daripada rakyat khasnya golongan petani di kawasan luar bandar. Sedangkan tentera KMT pada masa itu bermati-matian menentang serangan Jepun khasnya dk kawasan-kawasan bandar dan pelabuhan-pelabuhan utama. Hal ini menyebabkan kawasan luar bandar terpaksa diabaikan.
            Perang China-Jepun juga membolehkan PKC menambahkan kekuatan tenteranya. Hal ini disebabkan PKC mengatur strategi peperangan dengan bijak. Semasa Perang China-Jepun, PKC lebih tertumpu di wilayah-wilayah Barat Laut China yang kurang diserang oleh Jepun. Selain itu, PKC seboleh-bolehnya cuba mengelakkan daripada berperang secara terbuka dengan tentera Jepun. PKC sekadar membuat serangan hendap yang kecil terhadap Jepun. Justeru itu, PKC tidak kehilangan ramai askarnya semasa meletusnya Perang China-Jepun (1937-1945).
            Perang China-Jepun juga membolehkan PKC menambahkan kekuatan tenetranya. PKC telah mengambil ramai rekrut-rekrut baru khasnya dari golongan petani. Bilangan tentera PKC telah bertambah dari 80000 orang (1937) kepada 910000 orang pada tahun 1945. Teras kekuatan dan pertahanan tentera PKC ialah anggota yang terlatih, berdisiplin dan teratur. Mereka bermoral tinggi dan komited terhadap perjuangan Komunis.
            Semasa Perang China-Jepun, kekuatan PKC di Machuria semakin bertambah apabila pihak Rusia membenarkan PKC mengambil senjata-senjata dan wilayah-wilayah yang ditinggalkan oleh tentera Jepun selepas tamatnya peperangan. Rusia juga membantu PKC merampas kuasa dan mengukuhkan kekuatannya di Manchuria. Bantuan ini telah membantu PKC dalam kempennya menentang kerajaan nasionalis dalam tahun 1946-1949. Dari Manchuria bermulanya kejayaan PKC menawan wilayah-wilayah China satu demi satu.
 
Kesimpulan
Sebenarnya, Perang China-Jepun telah membolehkan PKC merombak organisasinya, memasukkan rekrut baru dan meluaskan pengaruhnya di kalangan kaum petani serta bersedia untuk memerangi KMT selepas Perang Dunia Kedua untuk menegakkan kerajaan Komunis di China.

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...