Isnin, 23 April 2012

TEMA 2 Sejarah Malaysia :TRANSFORMASI MASYARAKAT


Bincangkan Kesan Imigrasi orang Cina dan India ke atas perkembangan sosio-ekonomi di Tanah Melayu sehingga Perang Dunia ke-2.

Pengenalan
Sebelum tahun 1848 , bilangan masyarakat Cina dan India adalah kecil sahaja. Terdapat petempatan-petempatan kecil pedagang Cina di kelantan, Melaka, Kuala Terengganu muara sungai Johor dan Sungai Pahang. Bilangan orang India juga kecil hanya mendiami ladang tebu dan kopi di Pulau Pinang dan Privince Wellesley. Namun demikian, menjelang pertengahan abad ke-19 hingga awal abad ke-20 perkembangan perusahaan getah dan timah telah membawa pertambahan penduduk di Tanah Melayu.
Isi
1          Kesan Imigrasi orang Cina ke atas sosioekonomi
Ø  Kedatangan Orang Cina di Tanah Melayu telah mendatang kesan dari sudut sosio ekonomi di Tanah Melayu. Kedatangan mereka telah menyumbang kepada pertumbuhan sosio ekonomi Tanah Melayu.
Ø  Pada awal abad ke-19 orang-orang Cina telah berhijrah ke Negeri-Negeri Selat (NNS) (Pulau Pinang, Singapura dan Melaka). Kebanyakan mereka menyumbang kepada kegiatan sebagai buruh, peniaga-peniaga, dan tukang-tukang yang mahir.
Ø  Masyarakat Cina menyumbang kepada pertanian perdagangan. Orang Cina dalam tahun 1840 an telah membuka ladang-ladang gambir dan lada hitam di Johor di bawah Sistem kangchu. Pada tahun 1910 lada hitam dan gambir merupakan eksport utama negeri Johor.
Ø  Orang Cina juga menanam ubi kayu pada tahun 1870 an. Melaka merupakan pengeksport utama. Pada tahun 1880 an tanaman ini diperluas ke Negeri Sembilan dan dieksport  ke Britain.
Ø  Menjelang pertengahan abad ke-19 penghijrah dari negeri China datang ke Tanah Melayu untuk membuka lombong-lombong bijih timah.  Mereka tinggal berdekatan dengan kawasan perlombongan bijih timah seperti di Larut, Kuala Kangsar, Kinta, Larut Lukut, Linggi , Kuala Langat dan lain-lain.
Ø  Suku Hokkien merupakan peniaga-peniaga dan pekedai-pekedai manakala suku Kantonis merupakan pelombong-pelombong dan tukang-tukang mahir ( tukang kayu, tukang besi dan tukang kasut). Suku Teochew pula merupakan pekedai-pekedai dan peladang-peladang. Mereka membuka ladang-ladang tebu di Province Wellesley dan Pulau-Pinang.
Ø  Orang Teochew menjadi buruh dalam pertanian dagang seperti lada hitam, gambir, tebu  terutamanya di Johor dan Seberang Perai. Orang hailam bekerja sebagai peniaga kedai runcit, kedai makanan, dan buruh-buruh di ladang-ladang getah.
Ø  Pada tahun 1921 jumlah penduduk Cina di Tanah Melayu dianggarkan 1.2 juta. Daripada jumlah itu 380656 orang terdiri daripada golongan Hokkien mewakili 32.4% Kantonis 28.3%, Hakka 18.6%, Teochew 11.1% dan Hailam 5.9%.

Ø  Menjelang Perang Dunia Kedua ,1945 penduduk Cina berjumlah 43% berbanding penduduk Melayu sebanyak 41%. Namun demikian mereka bukan warga negara dan akan kembali semula ke negara asal mereka di China.
Ø  Sementara itu, kesan kedatangan orang Cina telah menyebabkan tertubuhnya sekolah-sekolah Cina. Sistem pendidikan orang Cina di Tanah Melayu kurang diberi perhatian oleh Inggeris. Mereka telah mendirikan sekolah sendiri  dengan dibiayai oleh persatuan sukarela, dan persatuan orang Cina. Mereka menggunakan bahasa pengantar, sukatan , buku-buku teks dan guru-guru yang dibawa dari China.
Ø  Kedatanga Orang Cina juga turut memberi kesan ke atas perkembangan akhbar. Akhbar Cina menyebarkan berita untuk kaum Cina sahaja.   Berita yang dimuatkan hanyaa berkisar kepada pergolakkan yang berlaku di negara China sahaja.
Ø   
2.      Kesan Imigrasi orang India ke atas sosioekonomi
Ø  Orang India juga telah memberikan kesan ke atas sosio ekonomi kepada Tanah Melayu pada abad ke-19.
Ø  Kedatangan orang India ke Tanah Melayu telah bermula sejak awal tahun masihi lagi. Zaman kesultanan Melaka kedatangan mereka semakin bertambah. Mereka mendirikan ‘Perkampungan Keling’ di Melaka. Pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light pada tahun 1786 telah menambah jumlah penduduk Pulau Pinang.    
Ø  Pada awal abad ke-19 kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh di ladang-ladang tebu di Pulau Pinang dan seberang Perai . sejak 200 tahun yang lalu askar sepahi telah sampai ke Pulau Pinang.
Ø  Sebelum tahun 1867 banduan-banduan India telah dihantar ke Negeri-Negeri  Selat  oleh Kerajaan Inggeris untuk membina jalan raya , jalan kereta api, menjadi buruh di pelabuhan  dan terlibat dalam bangunan pentadbiran.
Ø  Menjelang  tahun 1860 an terdapat 15000 orang banduan India yang berada di Tanah Melayu.
Ø  Menjelang tahun 1870an kerajaan Inggeris telah menggalakkan kemasukan buruh India secara beramai-ramai di Tanah Melayu akibat perkembangan pertanian perdagangan , kerajaan Inggeris menghadapi masalah kekurangan tenaga buruh. Kerajaan akan rugi  kerana hasil tanaman dagangan merosot akibat ketiadaan buruh.
Ø  Pada tahun 1891, jumlah penduduk India  meningkat 622 000 pada tahun 1931. Sebahagian besar buruh India yang tiba berasal dari Madras, dan India Utara (Punjab). Mereka terdiri daripada etnik Sindi, Malayali, Telugu dan Sikh.
Ø  Dalam bidang pentadbiran awam kebanyakan etnik Malayali yang mewakili 7% masyarakat India menceburinya. Sementara etnik Sindi, Benggali, Gujerat, Parsis dan Marwaris bekerja sebagai polis dan penjaga.
Ø  Selepas Perang Dunia Kedua, orang India yang menetap di Tanah Melayu  mendiami kawasan ladang, atau estet getah. Sebahagiannya menetap di bandar-bandar di Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping, Pulau Pinang dan Singapura.
Ø  Dari segi pendidikan Tamil, ia amat terhad di peringkat rendah sahaja . Di kawasan bandar sekolah Tamil dibiayai oleh pihak ladang , mubaligh kristian dan persatuan orang India.
Ø  Pada tahun 1957 penduduk India di Tanah Melayu dianggarkan berjumlah 696000 orang yang mewakili 11% jumlah penduduk Tanah Melayu.
Kesimpulan
Secara tidak langsung kehadiran masyarakat India dan Cina telah mengubah corak ekonomi dan kegiatan sosial di Tanah Melayu. Orang Cina memberi kesan kepada pertumbuhan kegiatan ekonomi dagang di Tanah Melayu pada abad ke-19 dan 20. Begitu juga kedatangan orang India turut menyumbang kepada kegiatan sosio ekonomi Tanah Melayu.

TEMA 2 Sejarah Malaysia :TRANSFORMASI MASYARAKAT


Gerakan penentangan terhadap campur tangan British di Pahang dan Perak pada pertengahan abad ke-19 menggambarkan perasaan tidak puas hati masyarakat tempatan di negeri- negeri berkenaan. Bincangkan.

Pendahuluan ( 3/2 m)
             Pada bulan Oktober 1887, Sultan Ahmad melantik Hugh Clifford sebagai wakil British di Pahang. Beliau kemudian diganti oleh J.P Rodger pada bulan Oktober 1888 sebagai Residen British di Pahang yang pertama. Selepas campur tangan di Pahang, British mula mengadakan perubahan dalam pertadbiran negeri dengan memperkenalkan beberapa peraturan baru yang secara tidak langsung telah mengancam kedudukan para pembesar dan rakyatnya.  Penentangan ini berkesudahan dengan kebangkitan Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk Bahaman.  Di Perak , mengikut Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, Perak diletakkan di bawah naungan British. Residen pertama British di Perak ialah JWW Birch. Beliau memulakan tugas pada bulan November 1874 . Kehadirannya tidak disenangi oleh Sultan dan pembesar Melayu. Perasaan ini terus berkembang sehingga menimbulkan pakatan menentangnya. Kemuncak penentangan ialah pembunuhan Birch pada 2 November 1875.
Isi (20 m)
A.         Pahang (10 m)
1.                  Perasaan tidak puashati sultan akibat kehilangan kuasa politik.

a.         Pengenalan Sistem Residen di Pahang menyebabkan sultan dan pembesar-pembesar kehilangan kuasa. Pihak British telah memperkenalkan perubahan politik di Pahang melalui undang-undang berkaitan dengan undang-undang tanah , sistem kerah dan penghapusan hamba abdi yang diluluskan oleh Majlis Negeri pada 31 Disember  1889.         Sultan  tidak berpuashati kerana  baginda hanya mempunyai ‘nama’ sahaja dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Semua keputusan adalah dibuat oleh Residen JP Rodger. Selain itu, sultan juga murka apabila J.P Rodger memaksa sultan melantik putera sulung baginda  Tengku Mahmud sebagai Pemangku Raja, atas alasan sultan tidak taat kepada Inggeris. Oleh sebab ugutan dan tekanan, sultan terpaksa mengisytiharkan perlantikan itu pada Julai 1889.
b.         Sultan Ahmad mempunyai pengaruh yang besar ke atas pembesar negeri. Jika para pembesar diarah untuk tidak memberi kerjasama sudah tentu ia akan menggagalkan perjalanan Sistem Residen di Pahang. British berjaya memujuk sultan Ahmad menandatangani satu perisytiharan untuk melantik putera baginda (Tengku Mahmud) atau Tengku Besar sebagai Pemangku Raja. Melalui perisytiharan yang bertarikh 22 Julai 1889, baginda memberi kuasa penuh kepada Tengku Mahmud untuk mewakili baginda dalam urusan pentadbiran negeri serta mengadakan rundingan dengan British.
c.         Tindakan sultan menyerahkan kuasa kepada  Tengku Mahmud merupakan satu kesilapan besar . Kuasa baginda telah berpindah kepada Tengku Mahmud yang dilihat mudah diperalat oleh Inggeris. Hubungan Sultan Ahmad menjadi tegang. Bagi meredakan keadaan, pada bulan Disember 1889 Sultan Ahmad membuat keputusan  meninggalkan Pekan dan menetap di Pulau Tawar kerana daerah itu di bawah jagaan Tok Gajah, iaitu seorang pembesar negeri yang sangat dipercayai.  Sultan  berpakat dengan pembesar-pembesar untuk menentang Sistem Residen di Pahang. 
2.                  Ketidakpuasan  hati pembesar-pembesar Pahang
a.                  Antara perubahan yang dilakukan dalam pentadbiran ialah dengan membahagikan Pahang kepada 6 buah daerah.  Setiap satu diletakkan di bawah pentadbiran Majistret dan Pemungut Hasil.  Pekan di bawah F. Belfield, Hulu Pahang (W.C Mitchell), Kuantan ( W.H Wall), Temerloh (E.A Wise), Rompin (G.F Owen), Kuala Pahang (W.W Mitchell). Akibat pengenalan beberapa peraturan baru terutama berhubung dengan perlantikan Majistret dan Pemungut Hasil sebagai ketua setiap daerah, para pembesar tidak lagi bebas kerana kuasa mereka telah diambil alih khususnya hak memungut cukai.
b.         Pendapatan pembesar terjejas teruk, misalnya elaun yang dicadangkan pihak Inggeris amat tidak berpatutan. Pembesar-pembesar seperti Tok Gajah, Temenggung, Dato’ Shahbandar, Maharaja Perba Jelai, Orang Kaya Chenor,  Tok Gajah, Orang Kaya Temerloh, Orang Kaya Semantan dan Abdullah dari Bera hanya dibayar elaun $1200 setahun dan  Dato’ Bahaman dibayar $840 setahun. Pembesar-pembesar ini menulis surat enggan bekerjasama dengan Residen dan mengancam tidak akan mematuhi segala keputusan yang dibuat Majlis Mesyuarat Negeri. Malangnya elaun ini tidak mencukupi untuk menanggung pengikut-pengikut mereka.
c.         Inggeris juga campur tangan dalam soal perhambaan dan kerah yang diluluskan oleh mereka. Setiap pemilik hamba diwajibkan mendaftarkan hamba-hambanya kepada Pemungut Cukai Daerah dengan memberi maklumat secara terperinci  seperti jumlah hamba dan nama hamba, jenis pekerjaan dan jumlah hutang. Mereka yang gagal mematuhi akan kehilangan hak ke atas hamba tersebut.
d.         Mengenai undang-undang kerah setiap orang yang dikenakan kerah tidak boleh lebih daripada dua bulan dalam setahun. Mereka dihadkan kerja secara kerahan kepada kerja-kerja kerajaan sahaja. Antara kerja kerahan yang dilakukan ialah membersih sungai, membuat jalan, menebang kayu, menanam padi, mengangkat barang-barang, dan menemani ketua mereka dalam perjalanan. Setiap orang diwajibkan kecuali sakit atau munasabah. Sekiranya tiada alasan mereka dikenakan bayaran ganti rugi sebanyak 25 sen sehari. 

e.         Perlantikan Majistret dan Pemungut Hasil sebagai ketua daerah telah menyebabkan mereka tidak lagi mengadili kes-kes jenayah dan sivil serta memungut cukai di kawasan masing-masing.  Dato Bahaman menentang Inggeris kerana beliau tidak dibenarkan memungut cukai dan tidak diberi elaun-elaun yang setanding dengan elaun Orang Berempat, iaitu sebanyak $500. Beliau ditawarkan elaun sebanyak $70. Tindakan ini menyinggung perasaannya. Beliau juga marah apabila Inggeris membina sebuah balai polis di Lubuk Trua di daerah Semantan yang di bawah jagaannya tanpa meminta izin terlebih dahulu. Beliau menulis surat kepada Majistret di Temerloh tetapi tidak dilayan sebaliknya diberi amaran.
f.          Seorang lagi pembesar yang hilang hak ke atas cukai ialah Tok Gajah. Beliau adalah seorang pembesar dari Pulau Tawar. Atas jasanya kepada Sultan Ahmad dalam Perang Saudara (1857- 1863) beliau dianugerahkan gelaran Orang Besar Raja. Beliau marah kepada Inggeris apabila rayuannya untuk menambah elaun ditolak oleh pihak Inggeris pada bulan Januari 1890. Permintaannya supaya menangguhkan pembayaran cukai tanah juga ditolak oleh Majlis Mesyuarat Negeri pada bulan Disember 1890. Beliau disokong oleh anaknya Mat Kilau dalam penentangannya terhadap Inggeris.
3.                  Perasaan tidak puas hati rakyat Pahang
a.         Pihak Inggeris memperkenalkan undang-undang baru yang menjejaskan penghidupan seharian mereka. Antaranya cukai tanah kampung, paya, dusun dan tanaman nipah pada kadar 40 sen seekar dikenakan ke atas tanah kampung, tanah paya, dusun dan tanah nipah. Sistem permit dan lesen digunakan untuk membolehkan rakyat memungut hasil hutan dan pokok nipah untuk mendirikan rumah. Dahulu diperoleh secara percuma. Rakyat juga dikehendaki bekerja selama dua bulan dalam setahun sebagai buruh paksa bagi melaksanakan projek-projek awam. Sekatan yang tidak membenarkan rakyat tempatan membawa senjata seperti keris ke mana sahaja mereka pergi. Pihak yang dibenarkan membawa senjata hanyalah pengawal peribadi dan pengikut mereka yang terdekat.
b.         Peraturan yang melarang membawa senjata ternyata bercanggah dengan tradisi orang Melayu yang sangat terikat dengan nilai-nilai feudalisme kerana senjata merupakan alat mutlak yang sangat diperlukan. Keris umpamanya, bukan sahaja sebagai senjata tetapi juga menjadi pakaian dan simbol keberanian seorang lelaki Melayu Pahang.
c.         Kebencian rakyat juga berpunca daripada kehadiran pasukan polis kaum Sikh dan India yang jahil tentang budaya Melayu. Penubuhan pasukan polis pada tahun 1888  telah menghapuskan kuasa penguatkuasa undang-undang yang dipegang oleh Sultan dan pembesar. Pasukan polis ini terdiri daripada 200 anggota, 150 Melayu (Kelantan dan Terengganu), 50 Sikh di bawah pimpinan Mr. Syers.

B.         Perak (10 m)
1.    Kelemahan Perjanjian Pangkor 1874
a.         Walaupun perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874, tetapi Birch hanya memulakan tugasnya sebagai Residen British di Perak pada 4 November 1874, iaitu hampir 10 bulan kemudian. Kelewatan ini membolehkan pembesar-pembesar yang tidak berpuashati dengan Sistem Residen telah menentang Raja Abdullah. Sepanjang kelewatan Birch hadir memberi peluang kepada Sultan Abdullah memerintah Perak dengan  sebebas-bebasnya. Baginda dikatakan banyak menghabiskan masa dengan berjudi, menyabung ayam dan menambahkan hutang. Perjanjian Pangkor membolehkan Sultan Abdullah dilantik menjadi sultan. Namun demikian, baginda masih gagal menyelesaikan masalah tuntutan takhta oleh Raja Ismail dan Raja Yusof. Raja Ismail masih tidak menyerahkan alat-alat kebesaran negeri yang menjadi syarat kepada pertabalan sultan.  
b.         Birch telah melanggar syarat yang diperuntukan dalam perjanjian Pangkor. Mengikut perjanjian tersebut sempadan Dinding dan Pangkor yang diserahkan  kepada pihak British  mengikut perjanjian Low akan dikembalikan semula. Tindakan yang sama juga diambil ke atas sempadan di Sungai Kerian. Walaupun begitu, dalam penyelesaian  sempadan ini kawasan lebih kurang 200 batu persegi termasuk sebahagian Selama yang mempunyai banyak bijih timah dimasukkan ke dalam pentadbiran British. Tindakan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembesar Perak.
2.   Kelemahan Peribadi Birch
a.         Perlantikan Birch sebagai Residen tidak disenangi oleh Sultan Abdullah dan para pembesar. Birch dianggap tidak sesuai kerana beliau tidak mempunyai pengalaman dalam urusan pentadbiran di negeri-negeri Melayu. Beliau tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu serta tidak memahami budaya dan adat resam Melayu. Kekurangan ini menyebabkan beliau sukar untuk menjalin hubungan dengan sultan dan pembesar Melayu. Birch juga dilihat tidak sabar dan enggan bertolak ansur apabila berurusan dengan sultan dan pembesar. Ia bertentangan dengan adat Melayu yang menjunjung tinggi sultan dan pembesar sebagai pemimpin yang dihormati.
b.                  Birch juga tidak peka dengan  perasaan orang Melayu. Pembaharuan yang dilakukan dibuat secara tergesa-gesa tanpa berunding dengan Sultan Abdullah. Sultan Abdullah pernah mengingatkan Birch supaya memberitahu baginda dahulu sebelum pembaharuan dibuat. Birch mengarahkan sultan Abdullah berdiam diri dan menurut segala nasihat yang diberi. Tindakan ini menyebabkan Sultan Abdullah mengutus wakil baginda, Raja Idris, Laksmana dan Muhammad Arshad untuk bertemu Sir Andrew Carke tetapi tidak dilayan malah Sultan Abdullah diminta mematuhi nasihat Residen.  Dalam usaha melaksanakan pembaharuan Birch telah menggunakan tekanan kepada Sultan Abdullah. Beliau pernah mengugut akan menyerahkan jawatan sultan kepada Raja Yusof sekiranya sultan enggan menandatangani perisytiharan tersebut.
3.   Pembaharuan-pembaharuan Birch.
a.         Antara pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan oleh Birch seperti pungutan cukai, sistem kewangan dan perlembagaan. Birch telah membatalkan pajakan Kuala Sungai Perak yang dibuat oleh Sultan Abdullah dengan Lee Cheng Tee dengan kadar $26,000 setahun, selama 10 tahun. Birch mengarahkan saudagar tersebut memohon semula pajakan berkenaan.
b.                  Birch juga telah membatalkan cukai bijih timah di Batang Padang yang sebelum ini dinikmati oleh sultan, dan diganti dengan bayaran royalti $9.00 bagi setiap bahara yang dipungut di Kuala Perak. Bagi mendapatkan wang kerajaan negeri telah memusatkan pungutan cukai dengan meletakkannya di bawah pegawai Eropah. Hanya pegawai-pegawai yang dilantik oleh Residen, sebagai wakil sultan dibenarkan mengutip cukai. Pembesar lain tidak lagi dibenarkan memungut cukai dan mereka yang engkar akan didenda. Arahan ini bercanggah dengan nilai-nilai yang diwarisi sejak turun temurun. Pembesar-pembesar Melayu telah dianugerahkan kawasan oleh sultan dan ini memberi kuasa untuk mentadbir dan memungut cukai di kawasan masing-masing. Cukai merupakan hasil utama pembesar. Misalnya Dato Maharaja Lela dan Dato Sagor mendapat hasil daripada setiap perahu yang keluar masuk.

c.         Dalam melaksanakan peraturan cukai baru ini, Birch bertindak keterlaluan iaitu, dengan membakar rumah Raja Ngah di Bidor kerana memungut cukai daripada pelombong Cina di situ. Raja Ngah adalah saudara kepada Raja Ismail. Sebelum ini, baginda bersifat berkecuali tetapi tindakan Birch ini telah menimbulkan dendam terhadap beliau.
d.         Birch juga campur tangan dalam soal perhambaan yang diamalkan di Perak. Sistem ini menjadi kebanggaan para pembesar Perak sejak sekian lama. Kebanyakan hamba yang lari adalah wanita yang diberi perlindungan oleh Birch di rumah kediamannya di Bandar Bahru. Hamba-hamba ini tiada dikembalikan kepada tuan punya sehingga menimbulkan syak wasangka tentang moral Birch. Beliau juga dikatakan menyeludup seorang perempuan Melayu  ke Pulau Pangkor. Tuntutan Sultan Abdullah terhadap hamba-hamba ini dikembalikan tidak dilayan oleh Birch.
e.                  Penubuhan balai-balai polis di Kuala Kurau, Bruas, Kota Setia, Durian Sebatang, Tanjung Piandang, Bidor, Kuala Kangsar, Trong dan Lumut telah menyebabkan pegawai polis mengambilalih kuasa pentadbiran di peringkat tempatan. Jawatan penghulu yang dilantik oleh Sultan dan pembesar dengan menggunakan sistem warisan telah terjejas.

f.          Birch juga telah menyusun semula cukai-cukai pajak candu, arak, judi, permit balak, cukai perahu, senjata, padi dan memotong atap.  Cukai-cukai turut dikenakan ke atas perahu dan perahu dagang. Perahu nelayan yang boleh membawa 3 orang di dalamnya dikenakan cukai 50 sen. Perahu dagang dan tongkang dikenakan $1.00. Sesiapa yang melanggar arahan akan didenda $25.00 dan perahu mereka akan dirampas.
Kesimpulan (2/3 m)
Perasaan tidak puas hati ini mencapai kemuncak pada Oktober 1875 apabila satu mesyuarat diadakan di Pasir Panjang yang dihadiri oleh Dato Maharaja Lela, Dato Sagor dan Syahbandar. Dalam mesyuarat itu mereka bersetuju untuk membunuh Birch. Peristiwa ini berlaku pada 2 November 1875. Peristiwa ini telah membawa kepada peristiwa Perang Perak yang belaku pada November 1875 dan berlanjutan hingga 1876. Sementara di Pahang, kebangkitan menentang British memakan masa yang panjang. Ia berlarutan dari tahun 1891 hingga 1895. Walaupun British berjaya mematahkan penentangan ini, namun ia memberi kesan terhadap pentadbiran, terutama kedudukan kewangan Pahang. Masalah kewangan menyebabkan mereka menyertai  Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896.

TEMA 2 Sejarah Malaysia :TRANSFORMASI MASYARAKAT


Bincangkan  peristiwa  yang  membawa  kepada  Perang  Naning  pada  tahun  1831serta  kesan- kesannya.

Pendahuuluan

Naning  merupakan  daerah  yang  terletak  antara  Rembau  dengan  Melaka.  Naning  adalah  jajahan Melaka. Penduduk Naning kebanyakanya berasal dari Minangkabau Sumatera.

Isi.

1.          Dol Said ialah penghulu Naning ketika peristiwa Perang Naning. Raja Belanda, William V telah   menyerahkan   Melaka   kepada   British   sehingga   tamat   Perang   Nepoleon.   British menduduki Melaka dari tempoh 1795 – 1818. Pada tahun 1801 British membuat perjanjian bahawa Naning hendaklah menyerahkan 1/10 hasil tahunannya kepada British seperti yang dibuat dengan Belanda. Namun perjanjian tersebut tidak menyatakan bahawa Naning adalah sebahagian Melaka dan British pula tidak secara tetap memungut hasil tahunan. Ini menyebabkan Naning menyangka British tidak memerlukan hasil-hasil tersebut dan Naning mula tidak menyerahkan 1/10 hasil tahunannya.

2.          Tahun 1807 Kolonel Farqqhar  (Residen  Konsular  Melaka)  mengumumkan  bahawa  segala kesalahan jenayah di Naning hendaklah dibicarakan di Melaka. Ini menimbulkan kemarahan Dol Said yang mendawa Naning adalah daerah yang bebas dan British tidak berhak ke atas Naning.


3.          Melalui Perjanjian Inggeris – Belanda 1824, Melaka diserahkan kepada British. Tahun 1826 Melaka, Pulau Pinagng dan Singapura diGabenoruungkan menjadi Negeri Selat. Robert Fullerton  menjadi  Gabenorenor  Negeri  Selat. Beliau  menyatakan  Naning  sebahagian  dari Melaka dan perlu membayar cukai tahunan sebanyak 1/10 daripada hasil. Segala kes jenayah di Naning mesti dibicarakan di Melaka. Penghulu Naning tidak dibenar mengutip hasil cukai ke atas barangan yang dibawa dari Johor dan Rembau ke Melaka melalui Naning. Ini menimbulkan kemaharan Penghulu  Dol Said yang kehilangan kuasa mengutip cukai.

4.          Selepas  tahun  1827  Dol  Said  tidak  mengindahkan  arahan  daripada  Melaka  dan  tidak membayar cukai. Dol Said juga mengarahkan penduduk Naning jangan patuh kepada British. Beberapa  pengikut  Dol  Said  telah  merosakan  dusun  buah-buahan  di  Melaka.  Residen Konsular Melaka mengarahkan Dol Said mengawasi pengikutnya. Sebaliknya Dol Said mendakwa dusun tersebut adalah hak beliau. Kedegilan Dol Said akhirnya membawa kepada Perang Naning.
5.          Perang Naning berpunca daripada keengganan Dol Said membayar 1/10 hasil tahunan kepada British.  Pada  tahun  1831,  seramai  150  orang  askar  Sepoi  menyerang  Naning.  Dol  Said berjaya menumpaskan serangan dengan bantuan Rembau. Pada tahun 1832 Perjanjian British dan Rembau ditanda tangani. British  iktiraf kedaulatan  Rembau.  Sebagai balasan Rembau tidak  membantu  Naning  berperang  dengan  British.  Pada April 1832  Rembau  dan British menyerang  Naning.  Pusat  gerakan  Dol  Said  di  Taboh  telah  ditawan.  Dol  Said  terpaksa berundur.

Kesan
1.          Dol Said dikhianati oleh pengikut-pengikutnya. Mereka berpaling tadah menyokong British. Akibatnya  Naning  ditakluki  oleh  British  pada  Jun 1832.  Dol  Said  dilucuntukan  jawatan Penghulu Naning. British tidak mengambil tindakan keras ke atas beliau sebaliknya beliau diberi sebuah rumah di Melaka dan membayar pencen bulanan sebanyak 100 rupee.
2.          Naning   dijadikan   jajahan   Melaka.   Jawatan   penghulu   dimansuhkan   dan   diganti   oleh Superitenden yang pertama iaitu J.B. Westenhant.
3.          British membelanjakan 100,000 paun dalam perang Naning. Sebaliknya Perang Naning tidak memberi keuntungan kepada British kerana Naning tidak mempunyai sumber asli. Hasil penanaman padi Naning tidak cukup untuk menampung perbelanjaan pentadbiran British di Melaka.  Selepas  Perang  Naning  British  bersikap  tidak  campur  tangan  di  negeri-negeri Melayu sehingga 1874.

Kesimpulan

Naning  diletakkan  di bawah penguasaan  British  di Melaka. Naning  tidak menguntungkan  British kerana  tidak  memiliki  sumber  ekonomi.  Sebaliknya  peperangan  Naning  menelan  belanja  yang banyak. British mula berhati-hati dalam tindak tanduk di negeri-negeri Melayu.

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...