Isnin, 28 Mac 2011

SEJARAH 2 (MALAYSIA) STPM : TEMA 2 TRANFORMASI MASYARAKAT

BAB 6 : CAMPUR TANGAN BRITISH


Soalan: British telah mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu sehingga tahun 1874. Bincangkan pernyataan tersebut.



Jawapan cadangan:


          British mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu sehingga tahun 1874. Namun demikian, dasar British terhadap negeri-negeri Melayu telah berubah menjelang tahun 1874. Oleh itu, British telah berusaha untuk campur tangan secara langsung di negeri-negeri Melayu pada akhir abad ke-19. British menggunakan pelbagai alasan untuk campur tangan dalam pentadbiran di Tanah Melayu. Setelah berjaya menguasai kerajaan-kerajaan negeri Melayu, British telah memperkenalkan pelbagai dasar yang bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Pengenaan sistem residen merupakan langkah yang telah digunakan oleh British untuk menstabilkan kedudukan mereka di Tanah Melayu. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan British campur tangan dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu.


          Antara faktornya ialah faktor ekonomi. Apabila revolusi perindustrian berkembang di Eropah pada kurun ke-19, bekalan bahan mentah terutamanya bijih timah diperlukan dengan banyaknya bagi pengeluaran barangan kilang. Bijih timah amat diperlukan untuk perusahaan mengetin makanan. Bagi mendapat bekalan bijih timah secara berterusan, British memerlukan tanah jajahan baru yang kaya dengan sumber-sumber tersebut, terutamanya setelah monopoli perdagangan dengan China tamat pada tahun 1833. British mendapati negeri-negeri Melayu seperti Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan kaya dengan bijih timah.


          Selain daripada itu, British memerlukan tanah jajahan baru untuk dijadikan pasaran bagi mengedarkan barangan siap keluaran Britain. Oleh sebab Tanah Melayu kaya dengan bijih timah, terdapat banyak pemodal-pemodal Eropah yang melabur modol untuk memajukan kawasan perlombongan di Larut, Sungai Ujong, dan Lukut. Syarikat-syarikat British yang berjaya mendapat konsensi perlombongan seperti Syarikat Patterson, Simon & Company di Kuantan; Syarikat Bijih Timah Sungai Ujong di Negeri Sembilan; dan W.Mansfield dan Rakan-Rakan di Singapura.


          Pedagang dan pelabur British telah mendesak kerajaan British segera campur tangan di negeri-negeri Melayu untuk menamatkan huru-hara yang menyebabkan kegiatan perdagangan mereka terjejas. Selain daripada itu, keselamatan pedagang-pedagang juga tidak terjamin kerana sering kali berlaku pembunuhan, rampasan, dan pembakaran di negeri-negeri Melayu yang terlibat.


          Campur tangan British di Tanah Melayu juga disebabkan oleh faktor politik. Negeri-negeri Melayu seperti Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang berada dalam keadaan tidak stabil kerana huru-hara yang disebabkan oleh perebutan takhta antara pewaris-pewaris sultan seperti perebutan antara Raja Abdullah dan Raja Ismail di Perak. Selain itu, perebutan kuasa antara pembesar-pembesar Melayu ke atas kawasan yang kaya dengan bijih timah turut menyumbangkan kepada berlakunya keadaan huru-hara. Contohnya perebutan kuasa antara Raja Abdullah dan Raja Mahadi di Selangor dan antara Dato’ Kelana dan Dato’ Bandar di Sungai Ujong.


          Tambahan lagi, pergaduhan antara kongsi gelap juga merupakan faktor berlakunya huru-hara di negeri-negeri Melayu. Pergaduhan kongsi gelap Cina Ghee Hin dan Hai San berlaku kerana berebut kawasan yang kaya dengan bijih timah seperti di Perak, Sungai Ujong, dan Selangor. Pergaduhan antara kongsi gelap bertambah hebat apabila pembesar-pembesar Melayu menyokong kongsi gelap tersebut. Selain itu, keadaan huru-hara juga berlaku apabila serangan lanun terhadap kapal-kapal dagang yang berlayar di perairan Selat Melaka.


          Keadaan huru-hara ini menimbulkan kebimbangan British kerana menggangu kegiatan melombong bijih timah. Kegiatan melombong bijih timah hampir terhenti dan ini merugikan syarikat-syarikat British yang melabur modal di negeri-negeri Melayu. Selain itu, keadaan huru-hara turut merumitkan perdagangan Negeri-Negeri Selat (NNS) dan negeri-negeri Melayu. Keadaan anarki juga mengancam keselamatan pelabur dan konsensi-konsensi syarikat British di negeri-negeri Melayu dan turut memberi peluang kepada kuasa asing yang lain seperti Jerman untuk campur tangan di negeri-negeri Melayu atas jemputan pembesar-pembesar yang bertelingkah.British berasa perlu campur tangan di negeri-negeri Melayu untuk menamatkan huru-hara yang berlaku bagi menjamin kepentingan kedudukan dan perdagangan mereka.


          British segera campur tangan dalam pentadbiran Tanah Melayu kerana bimbang campur tangan kuasa asing yang lain. Pada tahun 1870-an, muncul negara-negara imperialisme lain seperti Perancis, Jerman, Itali, dan Amerika Syarikat. Negara-negara ini berusaha untuk mencari tanah jajahan yang dapat membekalkan bahan mentah dan pasaran bagi barang-barang keluaran mereka.


          Pada tahun 1869, Terusan Suez yang dibuka menghubungkan Laut Mediterranean dan Laut Merah telah memendekkan jarak perjalanan dari Eropah ke Asia. Hal ini telah menambah minat kuasa asing untuk meluaskan kuasa di Asia kerana jarak dan masa yang singkat. Kuasa Barat tertarik dan berminat terhadap negeri-negeri Melayu kerana kekayaan sumber aslinya. Menjelang tahun 1870-an, Jerman manunjukkan minat yang mendalam untuk menguasai Pulau Langkawi untuk menjadikan pangkalan tentera mereka. Malah, pedagang-pedagang Jerman di Singapura berminat untuk melabur di negeri-negeri Melayu. Kepentingan politik dan ekonomi British akan terancam sekiranya Jerman berjaya menguasai Pulau Langkawi. British perlu campur tangan di negeri-negeri Melayu untuk menjaga kepentingannya.


          Selain daripada itu, British campur tangan di Tanah Melayu juga disebabkan perubahan dasar kerajaan. Sebelum tahun 1871, Parti Liberal yang menerajui pemerintahan England bersifat Anti-Imperialisme dan enggan campur tangan di negeri-negeri Melayu walaupun didesak oleh saudagar British di NNS. Pada tahun 1873, parti Konservatif di bawah pimpinan Disreali berjaya menerajui kerajaan di Britain telah menyokong sepenuh dasar campur tangan di negeri-negeri Melayu untuk memelihara kepentingan mereka. Pegawai-pegawai British di bawah pimpinan kerajaan Disreali seperti Lord Kimberly dan Andrew Clarke menyokong kuat dasar imperialisme British.


          Faktor campur tangan British di Tanah Melayu juga memperlihatkan faktor sosial. Menurut Frank Swettenham, British campur tangan di negeri-negeri Melayu adalah atas sebab kemanusiaan. Menurutnya lagi, adalah menjadi tanggungjawab British sebagai satu kuasa yang superior dan bertamandun untuk menamatkan kekacauan di negeri-negeri Melayu. Selain itu, peranan Andrew Clarke yang melampaui batasan tugas. Andrew Clarke yang merupakan Gabenor NNS yang baru pada September 1873 diarahkan untuk menyiasat dan membuat laporan tentang keadaan di negeri-negeri Melayu serta mengesyorkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh British untuk memulihkan keamanan di negeri-negeri Melayu. Andrew Clarke telah bertindak mendahului arahan yang diberikan oleh Lord Kimberly dengan mencampuri urusan dalam pertelingkahan politik di negeri-negeri Melayu sebelum diarahkan oleh Pejabat Tanah Jajahan British. Campur tangan British di Tanah Melayu yang bermula pada tahun 1874 lebih berkait rapat dengan kepentingan ekonomi dan perdagangan, kebimbangan terhadap kuasa asing yang boleh menggugat kepentingan ekonomi mereka berbanding dengan sebab-sebab kemanusiaan.


          Kesimpulannya, campur tangan British secara langsung terhadap negeri-negeri Melayu telah mengakibatkan sistem politik dan ekonomi tempatan mengalami perubahan yang ketara. Malahan pihak British telah berjaya menguasai ekonomi tempatan. Tujuan utama British campur tangan di Tanah Melayu adalah untuk menguasai sumber ekonomi. British turut membangunkan infrastruktur di Tanah Melayu seperti jalan raya. Walaubagaimanapun campur tangan British telah menyebabkan timbul rasa tidak puas hati penduduk tempatan terutamanya golongan pemerintah yang kehilangan hak dan kepentingan di Tanah Melayu.


BAB 5 : PERLUASAN KUASA ASING
Soalan: Perjanjian Pangkor telah ditandatangani oleh Raja Abdullah dan British pada 20 Januari 1874. Bincangkan kesan-kesan Perjanjian Pangkor terhadap negeri-negeri Melayu.



Jawapan cadangan:


          Sir Andrew Clarke yang menjadi Gabenor NNS telah memulakan dasar campur tangan British secara rasmi di Perak dengan termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Dengan menggunakan alasan untuk menamatkan keadaan anarki yang disebabkan oleh perebutan takhta pemerintahan dan pergaduhan antara kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San, menyebabkan British campur tangan dalam hal ehwal negeri Perak untuk melindungi kepentingan perdaganganan mereka.

          Pada bulan Januari 1874, Andrew Clarke sebagai wakil kerajaan British telah mengadakan rundingan di atas kapal H.M.S Pluto di perairan Pulau Pangkor. Persidangan Pangkor berlangsung antara empat pihak, iaitu Andrew Clarke (wakil British), Raja Abdullah, pembesar-pembesar Melayu Perak, dan ketua kongsi gelap Ghee Hin dan ketua kongsi gelap Hai San. Hasilnya, mereka bersetuju menamatkan pertelingkahan melalui perjanjian bertulis. Pada 20 Januari 1874, termeterai Perjanjian Pangkor.

          Perjanjian Pangkor turut memberi beberapa kesan terhadap negeri-negeri Melayu. Antaranya ialah British berjaya menamatkan keadaan hura-hura di Perak yang disebabkan oleh Perang Larut. Selain daripada itu, Perjanjian Pangkor turut menandakan secara rasmi campur tangan British di negeri-negeri Melayu. British dapat menyebarkan kuasanya ke negeri-negeri Melayu yang lain dan sekaligus mengukuhkan kedudukannya di Tanah Melayu.

          Tambahan pula, Perjanjian Pangkor membolehkan British menjadi kuasa Barat tunggal yang berhak mengeksploitasi sumber ekonomi Tanah Melayu seperti bijih timah. Kerajaan British telah menggalakkan pelabur-pelabur Eropah menanam tanaman kormersial dan melombong bijih timah secara intensif.

          Sistem Residen diperkenalkan di Perak (1874) dan diikuti oleh Selangor (1874), Negeri Sembilan (1895), dan Pahang (1888). Mengikut sistem residen, British akan melantik residen British untuk menasihati sultan dalam semua hal ehwal pentadbiran kecuali yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam dan adat istiadat orang Melayu. Pengenaan sistem rasiden menyebabkan sultan dan pembesar-pembesar Melayu kehilangan kuasa politik mereka kerana pada hakikatnya, residen yang membuat segala keputusan dan sultan hanya menjadi pemerintah boneka.

          Perjanjian Pangkor ialah manifestasi kelanjutan Perjanjian Inggeris-Belanda (1824). Perjanjian Pangkor lebih bertamadun kerana melibatkan pemerintah negeri yang terlibat sebelum menandatangani perjanjian tersebut.

          Tambahan lagi, Perjanjian Pangkor turut menimbulkan penentangan sistem residen di Perak. Pengenalan sistem residen telah mengubah sistem politik tradisional Perak kepada sistem politik moden. Pada dasarnya, sistem politik tradisional masih dikekalkan tetapi fungsinya telah berubah.

          Sistem residen telah mendapat tentangan hebat daripada rakyat Perak sehingga menyebabkan pembunuhan J.W.W.Birch pada 2 November 1875. Sistem residen telah menyebabkan berlakunya perubahan-perubahan mendadak sehingga menjejaskan sultan dan pembesar-pembesar Melayu. Terdapat beberapa faktor yang mendorong masyarakat Melayu Perak menentang sistem residen.

          Antara faktornya ialah kelemahan syarat-syarat Perjanjian Pangkor 1874. Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 20 Januari 1874 telah menetapkan bahawa seorang residen akan ditempatkan di Perak untuk menasihati sultan dalam semua hal ehwal pentadbiran kecuali yang berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Dalam Perjanjian Pangkor, tidak dinyatakan panduan dan peraturan untuk dijadikan pegangan oleh residen dalam melaksanakan tugasnya. Hal ini menyebabkan residen memerintah mengikut budi bicaranya sendiri.

          Tambahan lagi, Perjanjian Pangkor gagal menamatkan perebutan takhta antara Raja Ismail dan Raja Yusuf. Raja Ismail enggan menyerahkan alat-alat kebesaran diraja semasa pertabalan sultan Abdullah. Baginda terpaksa mengeluarkan banyak wang, masa, dan tenaga untuk mengekalkan kedudukannya sebagai sultan Perak. Selain daripada itu, sultan Abdullah terpaksa menghadapi penentangan dadipada musuh-musuhnya, iaitu pembesar-pembesar Perak yang tidak suka kepadanya.

          Kesimpulannya, Perjanjian Pangkor telah membantu British menamatkan keadaan huru-hara dalam negeri dan sekaligus mengukuhkan kedudukannya di Tanah Melayu. Keamanan turut diwujudkan dengan adanya Perjanjian Pangkor.

BAB 5 : PERLUASAN KUASA ASING

Soalan: Galurkan tahap-tahap perluasan kuasa British ke atas Negeri-Negeri Melayu Utara dari tahun 1897-1909



Jawapan cadangan:


          Inggeris telah mempergiatkan usaha-usaha campur tangan di Negeri-Negeri Melayu (NNMU) kerana bimbang  campur tangan kuasa-kuasa Barat asing terhadap NNMU. Beberapa perjanjian telah ditandatangani antara British dengan Siam bagi mengukuhkan pengaruhnya di NNMU. Di antara perjanjian yang ditandatangani ialah Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897, Perjanjian Burney dan sebagainya.

          Perjanjian Burney yang ditandatangani pada tahun 1826 telah menjadi perintis kepada perluasan kuasa Inggeris di Negeri-Negeri Melayu Utara. Pada masa yang sama, perjanjian tersebut telah berjaya menyekat kekuasaan dan pengaruh Siam daripada meluas ke negeri-negeri Melayu yang lain khususnya negeri Perak dan Selangor. Secara umumnya, kejayaan Inggeris meluaskan kuasa dan pengaruhnya ke Negeri-Negeri Melayu Utara adalah melalui beberapa perjanjian yang ditandatangani selepas tahun 1826. Antaranya ialah Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897, Perjanjian Sempadan 1899, Pengistirahan Inggeris-Siam 1902, dan Perjanjian Bangkok 1909.

          Sebelum perjanjian ini ditandatangani, Inggeris terlebih dahulu menandatangani Pengistiharan Inggeris-Perancis pada 15 Januari 1896. Melalui pengistiharan ini, kedua-dua kuasa iaitu Inggeris dan Perancis masiang-masing telah bersetuju mengekalkan kemerdekaan Menam Chao Phraya. Oleh itu, secara tidak langsung Inggeris berjaya menyekat perluasan pengaruh Perancis ke Siam serta dapat mengekalkan Siam sebagai negara penampan untuk mengelakkan pertembungan kuasa antara Inggeris di India dan Myanmar serta Perancis di Indochina.  

          Perjanjian Sulit Inggeris-Siam yang ditandatangani pada 6 April 1897 merupakan satu usaha yang lebih berkesan bagi Inggeris untuk menguasai Negeri-Negeri Melayu Utara yang ketika itu berada di bawah naungan Siam. Perjanjian sulit ini ditandatangani ekoran terdapatnya perkhabaran yang menyatakan bahawa kuasa Perancis sedang merancang untuk membina Terusan di Segenting Kra bagi memudahkan laluan perjalanan dan perdagangan dari Indochina ke Eropah. Walau bagaimanapun, Inggeris berpendapat pembinaan terusan ini akan menjadi penghalang dan pemisah hubungan baik Inggeris dengan Siam. Ia akan mengancam perdagangan serta kedudukan Singapura sebagai pelabuhan bebas. Jika hal ini berlaku, kepentingan ekonomi dan politik Inggeris di Asia Tenggara khususnya di pelabuhan Singapura akan tergugat. Lebih penting lagi, perjanjian sulit ini juga ditandatangani sebagai satu tindakan untuk mengelakkan perluasan pengaruh Perancis di Siam dan Negeri-Negeri Melayu Utara. Bagi mengelakkan semua perkara ini berlaku, maka Inggeris terlebih dahulu  bertindak berunding dan menandatangani Perjanjian Sulit Inggeris-Siam pada tahun 1897.

          Antara syarat-syarat perjanjian tersebut ialah Inggeris mengiktiraf kedaulatan Siam ke atas Negeri-Negeri Melayu Utara yang terdiri daripada Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Di samping itu, Siam juga bersetuju tidk akan menyerahkan mana-mana wilayahnya di selatan garis lintang 11°utara kepada mana-mana kuasa lain tanpa terlebih dahulu berunding dengan pihak Inggeris. Siam juga berjanji tidak akan memberi sebarang konsesi perdagangan kepada mana-mana kuasa asing tanpa persetujuan Inggeris. Sebagai balasan, Inggeris akan membantu Siam sekiranya negara itu diserang oleh mana-mana kuasa. Perjanjian sulit ini merupakan satu usaha yang membuktikan wujudnya permulaan satu dasar yang aktif terhadap perluasan kuasa dan pengaruh Inggeris ke atas Negeri-Negeri Melayu Utara. Hal yang demikian, nenandakan bahawa selain Siam, Inggeris juga turut berpengaruh bagi menentukan dasar politik dan ekonomi di Negeri-Negeri Melayu Utara.

          Pada tahun 1899, Inggeris dan Siam telah menandatangani satu lagi perjanjian secara sulit. Perjanjian ini dinamakan Perjanjian Sempadan Inggeris-Siam. Tujuan utama perjanjian ini ialah Inggeris mahu mengukuhkan syarat-syarat Perjanjian Sulit 1897. Isi utama Perjanjian Sempadan 1899 adalah untuk menetapkan sempadan bagi Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Kedah. Persempadanan semula negeri-negeri tersebut tidak diberitahu kepada sultan-sultan negeri berkanaan. Perjanjian ini penting untuk menentukan kawasan British boleh campur tangan pada masa hadapan. Melalui perjanjian ini juga, Inggeris dan Siam telah mengakui Reman adalah wilayah Siam. Sementara Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu adalah jajahan takluk Siam. Perjanjian ini telah menyelesaikan masalah sempadan antara Perak (Inggeris) dan Remen (Siam).

          Perjanjian Sulit 1897 dan Perjanjian Sempadan 1899 ditandatangani oleh British dan Siam secara sulit tanpa diketahui oleh sultan di Negeri-Negeri Melayu Utara. Ini menyebabkan sultan di setiap negeri memerintah dengan bebas. Buktinya, Sultan Kelantan telah memajakkan satu kawasan tanah kepada Robert William Duff untuk dimajukan tanpa pengetahuan dan kebenaran Saim. Tindakan dibantah oleh Siam. Duff mengugat akan meminta bantuan kuasa-kuasa Barat lain sekiranya Inggeris enggan menyelesaikan masalah tersebut. Tindakan Duff membimbangkan Inggeris. Frank Swettenham selaku Gabenor Negeri-Negeri Selat mencadangkan supaya Siam melantik seorang pegawai British di Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu. Sekiranya Siam menolak cadangan itu, Inggeris mengugat mengisytiharkan kemerdekaan ke atas Kelantan  dan Terengganu. Desakan ini menyebabkan Siam bersetuju menandatangani perjanjian pada tahun 1902.

          Pengisytiharan Inggeris-Siam yang ditandatangani pada 6 Oktober 1902 pula merupakan lanjutan proses perluasan kuasa Inggeris ke atas Negeri-Negeri Melayu Utara. Pengisytiharan ini ditandatangani ekoran wujudnya kebimbangan pihak Inggeris terhadap kemungkinan campur tangan kuasa-kuasa asing lain ke atas Negeri-Negeri Melayu Utara. Pada tahun 1901, Inggeris mendapat tahu kuasa Jerman menunjukkan minat untuk membantu Patani dan Kelantan membebaskan diri daripada kekuasaan Siam. Inggeris juga tidak yakin dengan ketegasan Siam memandangkan Jerman  sedang giat berusaha mendapatkan Pulau Langkawi. Rusia pula ingin mendapatkan pangkalan arang batu di Telok Siam dan juga Ujung Salang. Sementara Amerika Syarikat pula cuba mendapatkan konsesi tanah perlombongan di Terengganu. Walaupun Perjanjian Sulit 1897 telah ditandatangani antara Siam dan Inggeris , namun pihak Inggeris masih berasa bimbang, kemungkinan Siam tidak berupaya mempertahankan negerinya daripada tekanan dan pencerobohan kuasa asing. Keadaan ini berlaku kerana walaupun negeri-negeri Melayu berkenaan diakui di bawah kawalan Siam, akan tetapi sultan di negeri-negeri tersebut tidak mengiktiraf penguasaan Siam ke atas negeri mereka. Tambahan pula, pemerintah di negeri-negeri tersebut tidak mengetahui tentang Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897.

          Di samping itu, pengisytiharan ini juga ditandatangani ekoran isu tuntutan R.W. Duff iaitu seorang saudagar Inggeris di Kelantan. Pada tahun 1900, Sultan Kelantan telah memajakkan tanah seluas 7770 km kepada R.W. Duff tanpa izin pemerintah Siam. Sebagai balasan, Sultan Kelantan telah menerima sejumlah wang tunai dan unit saham dalam syarikat Pembangunan Duff. Namun tindakan Duff mendapat tentangan daripada Siam. Oleh itu, Duff meminta bantuan Inggeris bagi menentang bantahan Siam dan mengugut untuk mendapatkan bantuan Perancis dan Jerman sekiranya Inggeris enggan menbantu hak pajakkannya di Kelantan. Demi kepentingan ekonomi, Inggeris terpaksa menyokong permintaan Duff dan mendesak Siam supaya mengesahkan permintaan itu.

          Pengisytiharan ini juga ditandatangani berikutan tindakan kuasa Siam mengukuhan kuasa di Negeri-Negeri Melayu Utara sehingga membawa kepada tercetusnya rusuhan dari Patani dan Kelantan yang anti-Siam. Pada tahun 1902, Raja Abdul Kadir dari Patani telah dipenjarakan oleh Siam menyebabkan Sultan Mahmud IV dari Kelantan bimbangkan kedudukan baginda dan terus meminta bantuan Inggeris untuk menentang ancaman Siam. Baginda akan mendapatkan bantuan daripada kuasa Eropah lain sekiranya Inggeris enggan membantu. Oleh itu, Inggeris memberi jaminan akan membantu Sultan Mahmud IV dan menasihati baginda agar tidak mendapatkan bantuan dari kuasa Eropah lain.

          Sementara itu, Frank Swettenham iaitu Gabenor Negeri-Negeri Selat telah berjanji mempengaruhi kerajaan Britain untuk mengubah dasarnya terhadap Negeri-Negeri Melayu Utara. Menurut Swettenham, Siam tidak mempunyai kemampuan untuk menguruskan masalah Negeri-Negeri Melayu Utara dan kemungkinan besar mendapatkan bantuan kuasa Eropah lain. Oleh itu, Inggeris perlu melindungi negeri tersebut agar tidak jatuh ke tangan kuasa Eropah lain. Lanjutan itu, Frank Swettanham memberikan kata dua kepada Siam iaitu sekiranya Siam eggan berunding dengannya, Inggeris akan mengiktiraf negeri Kelantan dan Terengganu sebagai negeri yang bebas. Ugutan tersebut telah membawa kepada persetujuan Siam dan akhirnya perjanjian ditandatangani pada 6 Oktober 1902 dikenali sebagai pengisytiharan Inggeris-Siam.

          Syarat-syarat Pengisytiharan Inggeris-Siam 1902 ialah Siam diberi kuasa melantik penasihat dan penolong British di negeri Kelantan dan Terengganu. Kedua-dua negeri tersebut mesti mengikut nasihat penasihat British dalam semua perkara kecuali mengenai adat istiadat dan agama Islam. Siam juga akan menguasai hubungan luar Kelantan dan Terengganu. Siam berhak menerima 10 peratus daripada pendapatan Negri-Negeri Melayu Utara yang melebihi SP$100 000. Kelantan dan Terengganu tidak boleh menyerahkan konsesi kepada kuasa asing tanpa izin Siam. Selepas Pengisytiharan Inggeris-Siam 1902, pengaruh Inggeris semakin kukuh di Kelantan dan Terengganu.

          Bagi memantapkan lagi penguasaan Inggeris di Negeri-Negeri Melayu Utara secara mutlak, satu lagi perjanjian ditandatangani antara Inggeris dan Siam pada 9 Julai 1909 yang dikenali sebagai Perjanjian Bangkok. Perjanjian ini telah membawa kepada penguasaan sepenuhnya kuasa Inggeris di Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu melalui pembentukkan Sistem Penasihat Inggeris. Antara sebab perjanjian ini ditandatangani ialah terdapatnya Pakatan Inggeris-Perancis 1904 yang secara tidak langsung menamatkan ancaman kuasa Perancis di Siam dan dasar kemarahan kuasa Perancis di negeri-negeri Melayu. Pakatan ini juga sekali gus meletakkan harapan Inggeris bahawa campur tangan mereka di Negeri-Negeri Melayu Utara tidak akan menjejaskan kepentingan mereka di Siam.

          Selain itu, Inggeris juga bimbang kemungkinan berlakunya campur tangan kuasa Eropah lain seperti Jerman, Rusia, dan Amerika Syarikatyang sememangnya menunjukkan minat ke atas Asia Tenggara. Inggeris tidak mahu persaingan ini berterusan kerana Inggeris menganggap Negeri-Negeri Melayu Utara sebagai miliknya kerana mereka telah lama bertapak di Tanah Melayu. Tambahan pula, Inggeris percaya negeri-negeri berkenaan mempunyai bekalan bahan mentah untuk kepentingan perdagangan dan pelaburan mereka. Pada tahun 1906, Siam bercadang membina jalan kereta api yang menghubungkan Bangkok dengan Kedah atas bantuan modal dan buruh Jerman di Kedah.

          Di samping itu, pihak Siam juga sedang berusaha untuk mendapatkan pembatalan hak-hak wilayah asingan yang telah diberikan kepada Inggeris di Siam dalam Perjanjian Bowring 1855. Justeru, Inggeris berpendapat bahawa penyerahan Negeri-Negeri Melayu Utara kepada pihaknya akan memberi peluang kepada Inggeris melepaskan hak-hak wilayah asingannya di Siam dan lebih mudah.

          Siam juga menghadapi masalah kewangan di Negeri-Negeri Melayu Utara khususnya Kedah yangterlibat dengan satu masalah kewangan yang teruk akibat istiadat perkahwinan diraja yang membazir. Siam terpaksa memSP$2 juta untuk mengatasi sikap boros pemerintahnya. Tindakan tersebut menjadikan Siam menghadapi krisis kewangan yang teruk. Justeru, Siam berhasrat menyerahkan Negeri-Negeri Melayu Utara kepada Inggeris dengan syarat Inggeris bersetuju memansuhkan hak-hak wilayah asingannyadi Siam.

          Rundingan telah diadakan di Bangkok antara wakil-wakil kerajaan Inggeris dan Siam. Akhirnya persetujuan dicapai pada 9 Julai 1909 antara Inggeris dan Siam yang dikenali sebagai Perjanjian Bangkok. Antara syarat-syaratnya ialah Siam bersetuju menyerahkan Negeri-Negeri Melayu Utara iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu kepada pihak Inggeris. Semua hutang negeri-negeri berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Inggeris. Kerajaan Inggeris di Tanah Melayu memberikan pinjaman wang kepada Siam berjumlah SP$4 juta untuk membina jalan kereta api yang menghubungkan Bangkok dengan sempadan Tanah Melayu. Inggeris juga tidak akan campur tangan dalam urusan wilayah-wilayah lain di bawah kekuasaan Siam dan menyerahkan hak-hak asingannya di Siam.

          Secara keseluruhannya, Melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani antara pihak Inggeris dan Siam dari tahun 1897 hingga 1909 membolehkan Inggeris memantapkan kuasa mereka di Tanah Melayu khususnya di Negeri-Negeri Melayu Utara. Dengan itu, terbentuklah Sistem Penasihat Inggeris apabila keempat-empat buah negeri itu bersetuju menerima penasihat Inggeris. Penguasaan ini juga turut melengkapkan perluasan kuasa Inggeris ke atas Tanah Melayu. Secara tidak langsung, perjanjian yang ditandatangani juga turut memberi jaminan bahawa Inggeris dapat memonopoli perdagangan di Tanah Melayu. Bagi Siam pula, Perjanjian Bangkor telah dapat menyelamatkan kemerdekaan dan kedaulatan Siam. 

 BAB 7 : KESAN TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA

Soalan: Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan penentangan orang Melayu meletus di Pahang dan Perak.



Jawapan cadangan:


          Pertapakan dan perluasan kuasa British di negeri-negeri Melayu tidak disenangi oleh masyarakat Melayu terutamanya di Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah, dan Sarawak. Perasaan tidak puas hati terhadap dasar pentadbiran British dalam bidang politik, ekonomi dan sosial telah mewujudkan penentangan daripada masyarakat tempatan. Oleh itu, terdapat beberapa faktor yang menimbulkan penentangan daripada masyarakat di Pahang dan Perak.

          Pada bulan Oktober 1888, J.P Rodger dilantik sebagai residen British yang pertama di Pahang. Beliau dibantu oleh Hugh Clifford sebagai penolong residen. Apabila J.P Rodger dilantik sebagai residen Pahang pada waktu itu, beliau mengambil langkah terburu-buru untuk memperkenalkan pelbagai pembaharuan di Pahang. Peraturan baharu yang diperkenalkan telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan masyarakat Pahang pada masa itu. Ini telah menyebabkan mereka bangkit menentang terhadap pengenalan sistem residen yang dipimpin oleh Datuk Bahaman dan dibantu oleh Tok Gajah serta anaknya Mat Kilau.

          Melalui sistem residen, pihak British telah menguasai ekonomi Pahang terutamanya perlombongan. Residen sepatutnya berusaha dan mengambil langkah-langkah melindungi kepentingan orang-orang tempatan, terutamanya pembesar Melayu akibat adanya pembangunan ekonomi. Tetapi perkara ini tidak mendapat perhatian malah telah mengancam kepentingan orang-orang tempatan.

          Dengan pengenalan sistem residen ini juga telah menyebabkan sultan Pahang kehilangan pengaruh dan kuasa dalam pemerintahan. Penubuhan sebuah Majlis Mesyuarat Negeri oleh J.P Rodger telah menyebabkan sultan kehilangan banyak kuasa. Sultan hanya mempunyai kuasa pada “nama” sahaja dalam Majlis Mesyuarat Negeri di mana segala keputusan penting dibuat oleh residen British. Contohnya, keputusan tentang bayaran ganti rugi kepada pembesar-pembesar kerana kehilangan hak memungut cukai juga dibuat oleh residen.

          J.P Rodger telah memperkenalkan beberapa perubahan di Pahang melalui undang-undang yang diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Negeri pada 31 Disember 1889. Undang-undang itu adalah berkait dengan tanah, sistem kerah dan penghapusan sistem perhambaan. Undang-undang ini bercanggah dengan sistem tradisional Pahang yang melarang pembesar-pembesar mengutip cukai, menyimpan hamba abdi, mengamalkan sistem kerah, dan menghakimkan kes-kes jenayah dan sivil dalam kawasan masing-masing.

          Rakyat juga melahirkan perasaan tidak puas hati dengan kemasukan pelombong-pelombong Eropah dan Cina yang bersifat sombong dan bongkak serta tidak menghormati adat istiadat orang Melayu. Cotohnya, rakyat tidak dibenarkan memakai keris yang selama ini merupakan sebahagian daripada pakaian tradisional mereka.

          Pembesar-pembesar telah kehilangan hak mereka sebagai pemungut cukai dan pentadbir keadilan. Ini menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan dan jawatan yang dinikmati secara turun-temurun. Daerah-daerah diwujudkan dan diletakkan di bawah pegawai-pegawai Inggeris yang dipanggil pemungut cukai dan majistret.

          Pelbagai jenis cukai diperkenalkan dan dinaikkan oleh British. Contohnya, cukai tanah seperti tanah kampung, tanah paya, dusun dan tanah nipah dengan kadar 40 sen seekar. Sistem lesen dan permit yang diperkenalkan oleh J.P Rodger menjejaskan semua aspek kehidupan rakyat. Mengikut sistem lesen dan permit, rakyat terpaksa mendapatkan lesen untuk memungut hasil hutan dan mencari atap nipah untuk mendirikan rumah yang dahulunya dipungut secara percuma.

          Pengenalan sistem residen telah mengubah sistem politik tradisional Perak kepada sistem politik moden. Pada dasarnya, sistem politik tradisional masih dikekalkan tetapi fungsinya telah berubah. Sistem residen telah mendapat tentangan hebat daripada rakyat Perak sehingga menyebabkan pembunuhan J.W.W.Birch pada 2 November 1875. Sistem residen telah menyebabkan berlakunya perubahan-perubahan mendadak sehingga menjejaskan sultan dan pembesar-pembesar Melayu. Terdapat beberapa faktor yang mendorong masyarakat Melayu Perak menentang sistem residen.

          Antara faktornya ialah kelemahan syarat-syarat Perjanjian Pangkor 1874. Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 20 Januari 1874 telah menetapkan bahawa seorang residen akan ditempatkan di Perak untuk menasihati sultan dalam semua hal ehwal pentadbiran kecuali yang berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Dalam Perjanjian Pangkor, tidak dinyatakan panduan dan peraturan untuk dijadikan pegangan oleh residen dalam melaksanakan tugasnya. Hal ini menyebabkan residen memerintah mengikut budi bicaranya sendiri.

          Tambahan lagi, Perjanjian Pangkor gagal menamatkan perebutan takhta antara Raja Ismail dan Raja Yusuf. Raja Ismail enggan menyerahkan alat-alat kebesaran diraja semasa pertabalan sultan Abdullah. Baginda terpaksa mengeluarkan banyak wang, masa, dan tenaga untuk mengekalkan kedudukannya sebagai sultan Perak. Selain daripada itu, sultan Abdullah terpaksa menghadapi penentangan dadipada musuh-musuhnya, iaitu pembesar-pembesar Perak yang tidak suka kepadanya.

          Selain itu, kelemahan pemerintahan sultan Abdullah turut mendorong penentangan masyarakat Perak. Sultan Abdullah yang dilantik oleh kerajaan British melalui Perjanjian Pangkor tidak mentadbir negeri Perak dengan baik. Baginda banyak berhutang sehingga terpaksa menjual daerah Krian untuk membayar hutang-hutangnya. Bagi menambahkan sumber pendapatan, baginda telah memajakkanhak memungut cukai di Kuala Sungai Perak kepada seorang saudagar Cina dari Singapura sebanyak $26 000 selama 10 tahun.

          Sultan Abdullah juga tidak mengawal pembesar-pembesar Perak dengan baik. Selain itu, baginda juga mempunyai banyak musuh. Ada antara pembesar-pembesar tidak berpuas hati dengan perlantikan baginda sebagai sultan Perak. Di samping itu, masih terdapat juga pembesar-pembesar yang masih memungut cukai dengan kadar nilai yang tinggi di daerah masing-masing.

          Kelemahan peribadi J.W.W. Birch juga merupakan faktor penentangan masyarakat Perak terhadap sistem residen. J.W.W. Birch yang dihantar ke Perak sebagai residen British tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas tentang adat resam dan adat istiadat orang Melayu. Beliau pernah berkhidmat di Sri Lanka tetapi pengalaman itu tidak boleh tidak boleh digunakan di Tanah Melayu kerana masyarakat jauh berbeza. Tambahan pula, Birch tidak fasih berbahasa Melayu dan ini menyukarkan beliau berkomunikasi dengan masyarakat tempatan. Akibatnya, semua tindak tanduknya didapati menghina adat dan tradisi orang Melayu.

          Birch juga merupakan seorang residen yang sombong dan bongkak. Beliau menganggap dirinya bijak dalam soal pentadbiran. Birch menganggap sistem pentadbiran, ekonomi dan sosial masyarakat Melayu Perak ketinggalan zaman. Oleh sebab itu, setibanya di Perak, beliau menganggap negeri Perak amat mundur dan perlu dimajukan segera untuk kepentingan British. Beliau berasa perlu diadakan perubahan segera untuk mencapai kemajuan. Disebabkan keghairahannya untuk memajukan Perak, beliau langsung tidak  mempedulikan perasaan dan hak orang Melayu terutamanya sultan Abdullah dan pembesar-pembesar Melayu.

          J.W.W. Birch telah mengadakan pembaharuan secara mendadak dan terburu-buru di Perak tanpa berunding dengan sultan Abdullah dan pembesar-pembesar Melayu terlebih dahulu. Birch tidak menyedari pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan menyetuh adat istiadat orang Melayu. Dalam sistem pungutan cukai Birch mahu semua cukai yang ada diubah dan diletakkan di bawah kawalannya. Seorang pegawai British akan dilantik untuk memungut cukai. Namun, tujuan utama Britich adalah untuk mengambil alih hak memungut cukai daripada sultan dan pembesar-pembesar Melayu. Selain daripada itu, J.W.W. Birch mahu menghapuskan amalan perhambaan dalam masyarakat Melayu. Beliau telah memberi perlindungan kepada hamba-hamba terutamanya hamba-hamba perempuan. Percubaan Birch untuk menghapuskan sistem perhambaan dianggap cuba menghapuskan adat istiadat orang Melayu. Oleh itu, pembaharuan yang dilakukan telah menimbulkan penentangan daripada masyarakat Perak.

          Kesimpulannya, dasar Britich dilaksanakan dalam negeri Pahang dan Perak telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat daerah masing-masing. Malahan, peperangan turut berlaku antara pihak Britich dengan masyarakat tempatan untuk menolak sistem residen yang akan mengancam kedudukan dan kepentingan orang Melayu. 

BAB 7 : KESAN TERHADAP MASYARAKATDAN NEGARA

Soalan: Bincangkan faktor-faktor kemunculan masyarakat majmuk dan perkembangannya di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua.

Jawapan cadangan:
    
          Selepas campur tangan British di negeri-negeri Melayu, kestabilan politik yang wujud membolehkan eksploitasi ekonomi dan politik sepenuhnya. Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah menyebabkan kemasukan orang cina dan India secara beramai-ramai. Penghijrahan kaum imigran mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu.

          Faktor-faktor kewujudan masyarakat majmuk ialah kesengsaran sosial dan ekonomi di Negara asal. Hal ini, disebabkan pertambahan penduduk melebihi pertambahan hasil tanah pertanian menyebabkan hidup rakyat menderita. Oleh itu, mereka berhijrah mencari penghidupan baru. Dengan itu, Kerajaan Manchu mengenakan pelbagai cukai, petani terpaksa menjual tanah dan akhirnya mereka kehilangan tanah. Selain itu, bertambah sengsara , kerap kali berlaku bencana alam dan pengangguran berleluasa, menyebabkan mereka terpaksa cari pekerjaan di Tanah Melayu terutama orang cina bahagian Selatan. Di India, penduduk ramai tidak dapat menampung sumber makanan dengan itu hidup petani menderita, terpaksa jual tanah. Amalan sistem kasta penghalang kepada moboliti sosial dan ekonomi. Orang kasta rendah berhijrah ke Tanah Melayu. Indonesia, keadaan yang serupa, taraf hidup petani rendah malah belanda gagal tingkat taraf hidup mereka. Mengenakan pelbagai cukai seperti buruh, tanah, kepala yang menambahkan kesengsaraan rakyat.

          Selain itu, terdapat perkembangan ekonomi yang pesat di Tanah Melayu. Dalam kemajuan pertanian dan perusahaan bijih timah dan getah mengalakkan kemasukan kaum imigran. Pada tahun 1840-an, banyak lombong dibuka di Larut, Lembah kinta. Tambahan pula, permintaan bijih timah bertambah di pasaran dunia akibat Revolusi Perindustrian di Eropah. Contohnya, perusahaan getah memerlukan tenaga buruh yang ramai dengan itu kemasukan orang India bertambah lebih-lebih lagi ketika harga getah meningkat. Dalam perkembangan perusahaan ini dan pertanian ladang yang lain wujud peluang pekerjaan. Hal ini mendorong orang Indonesia juga berhijrah ke sini.

          Kestabilan politik dan galakkan kerajaan. Hal ini disebabkan campur tangan   Inggeris 1874 memberi jaminan keamanan terutama di negeri yang kaya dengan bijih timah dan hasil ekonomi yang lain. Hal ini menjadi daya tarikan kemasukkan modal Eropah. Dengan itu, kemasukan imigran untuk membekalkan tenaga buruh dan kerajaan juga mengamalkan dasar penghijrahan yang longgar sehingga tahun 1929, tidak kenakan sekatan kerana perlu tenaga buruh yang murah dan banyak seperti orang India Selatan bekerja di ladang dan gaji rendah. Orang Punjabi dan Sikh berkhimat dalam polis dan tentera. Orang Tamil pula ,yang pendidikan Inggeris berkhimat dalam perkhimatan perkeranian dan teknikal. Menurut A.R.Rathborne, faktor pemerintahan British menjamin keamanan dan ketenteraman awam telah mendorong penduduk Indonesia untuk berhijrah ke Tanah Melayu.

          Faktor-faktor menyebabkan masyarakat majmuk ialah pergolakan dan korupsi politik di Negara asal. Politik yang tidak stabil terutama bahagian China dan India. Wilayah Kwangtung dan Kwangsi sering timbul pemberontakan untuk menggulingkan Manchu. Contohnya, pemberontakan Taiping. Untuk elak tekanan kerajaan, menlarikan diri ke Negara lain. Manchu amal rasuah dan kenakan pelbagai cukai yang tinggi. Bagi Indonesia pula, pergolakan politik. Tekanan daripada Belanda menyebabkan penghijrahan orang Bugis dan Sumatera.

          Dalam sifat mengembara dan perniagaan terutama bagi penduduk Kwangtung dan Fukien. Menurut Aziza Haji Muda, sifat pengembara, pelayaran dan pengembara ini yang ada pada orang Bugis merupakan faktor penggalak proses migrasi di Tanah Melayu. Orang Minangkabau, keadaan sosial mempengaruhi mereka, sistem kekeluargaan matrilincal merupakan Adat Perpatih yang melahirkan konsep merantau kerana wanita berperanan besar pemilikan harta pusaka.

          Selain itu, terdapat juga kesan migrasi terhadap masyarakat majmuk di Tanah melayu. Dengan membentuk organisasi sosial dan budaya yang berbeza. Furnival mendefinisikan masyarakat majmuk sebagai pelbagai bangsa yang berbeza wujud dalam satu kawasan politik tertentu iaitu wujud berdampingan tetapi berasingan. Kaum kaum imigran berpisah bukan sahaja kerana bangsa tetapi agama, budaya, adat resam, kegiatan ekonomi, tempat tinggal dan taraf hidup.

          Di samping itu, juga bertambahan bilangan penduduk dalam peringkat awal, kebanyakan imigran tidak menetap, untuk mencari kekayaan tetapi akhirnya ada yang berkahwin dengan orang tempatan dan menetap kekal. Orang india melebihi 30000 orang pada tahun 1870 dan bertambah melebihan 120000 orang pada tahun 1901.

          Akhirnya, lahir satu kebudayaan yang unik. Dengan itu, setiap kaum mengekalkan agama masing-masing seperti orang Melayu agama Islam, orang Cina agama Buddha,dan orang India agama Hindu. Dalam bahasa ketiga kaum bertutur dalam bahasa ibunda yang berlainan. Dari segi ekonomi, setiap kaum mengikut kegiatan tertentu. Orang Melayu mengurus dalam bidang pertanian dan penangkapan ikan, orang Cina mengurus perlombongan dan perdagangan. Bagi India berladang getah dan perladangan lain.

          Kegiatan ekonomi mengalami terpisah tempat kediaman. Dalam golongan Melayu tinggal di kampung berhampiran kawasan pertanian dan pinggir laut, Cina tinggal di perlombongan dan Bandar pusat perniagaan, India tinggal di stet-estet dan kelapa sawit. Oleh itu, taraf kemajuan ketiga-tiga kaum berbeza mengikut jenis pekerjaan.

          Keseluruhannya, faktor penolak seperti sosial, ekonomi dan politik Negara asal serta faktor penarik seperti perkembangan eknomi dan politik yang pesat mendorong penghijrahan imigran ke Tanah Melayu. Penghijrahan ini mewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. 

BAB 7 : KESAN TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA
 
Soalan: Bincangkan penentangan masyarakat Sabah terhadap Syarikat Borneo Utara British dan Sarawak terhadap pemerintahan Brooke.

Jawapan cadangan:
          Pertapakan dan perluasan kuasa Britich di negeri-negeri Melayu tidak disenangi oleh masyarakat Melayu terutamanya di Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Perasaan tidak puas hati terhadap dasar pentadbiran Britich dalam bidang politik, ekonomi dan sosial telah mewujudkan penentangan daripada masyarakat tempatan. Oleh itu, dasar Britich yang dilaksanakan dalam Sabah dan Sarawak telah menimbulkan penentangan daripada masyarakat tempatan.

          Sabah dikuasai dan ditadbir oleh Syarikat Borneo Utara Britich (SBUB). SBUB telah melaksanakan banyak pembaharuan di Sabah sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat tempatan terutamanya para pembesar kerana mereka hilang hak dan kedudukan. Pembesar-pembesar yang tidak berpuas hati telah mengetuai penentangan terhadap SBUB di Sabah.

          Penentangan telah dilakukan oleh Mat Salleh di Sabah. Nama sebenarnya ialah Muhammad Salleh. Beliau berlahirkan di Inanam, Sabah dan berketurunan Bajau-Sulu. Beliau menjadi pembesar di hulu Sungai Sugut. Mat Salleh telah mengetuai beberapa gerakan untuk menentang pemerintahan SBUB di Sabah disebabkan tindakan SBUB yang mencabar kewibawaannya sebagai seorang pembesar. Selain daripada itu, beliau juga tidak berpuas hati dengan pembaharuan-pembaharuan yang diperkenalkan oleh SBUB di Sabah seperti mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat, menggunakan tenaga buruh dengan upah yang sangat rendah dan mengambil alih hak memungut cukai menyebabkan beliau kehilangan sumber pendapatan.

          Mat Salleh juga memberi amaran kepada SBUB bahawa beliau tidak suka pihak SBUB campur tangan dalam daerahnya tetapi tidak dipedulikan oleh SBUB. Malah, pihak syarikat telah menyerang dan membakar Inanam. Pada tahun 1897, Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya telah memusnahkan pusat pentadbiran Britich di Pulau Gaya. Pihak SBUB telah menyerang memusnahkan Inanam sekali lagi. Mat Salleh telah membina kubu di Ranau tetapi berjaya dimusnahkan oleh SBUB dan Mat Salleh berjaya melarikan diri.

          Pihak syarikat bimbang akan penentangan Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya. Satu petemuan telah diadakan di Menggatal antara Mat Salleh dengan pengarah SBUB iaitu William Cowie. SBUB bersetuju mengampunkan beliau dan pengikut-pengikutnya. Mat Salleh dibenarkan menetap dan berkuasa di Tambunan. Walau bagaimanapun, SBUB tidak menepati janji kerana mengambil semula daerah Tambunan pada tahun 1899. Mat Salleh berasa sangat marah dan meneruskan penentangan terhadap SBUB. Berlaku pertempuran sengit antara Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya dengan tentera SBUB. Pada tahun 1900, Mat Salleh dalam pertempuran dengan Syarikat Borneo Utara Britich.

          Penentang turut dilakukan oleh Antanom. Pada tahun 1915, SBUB menghadapi satu lagi penentangan daripada masyarakat tempatan iaitu Antanom. Antanom ialah pemimpin kaum Murut. Kebangkitan kaum Murut berjuang menentang SBUB dikenali sebagai “Kebangkitan Rundum”. Kebangkitan ini dinamakan Kebangkitan Rundum kerana penentangan berlaku di daerah Rundum yang terletak di Residensi Pedalaman.

          Orang Murut bangkit menentang SBUB kerana mereka tidak berpuas hati dengan pentadbiran syarikat tersebut. Sebelum pentadbiran SBUB, orang Murut bebas mengusahakan kawasan baru yang subur, tetapi apabila SBUB mentadbir, mereka tidak dibenarkan menebas hutan rimba dan membuka tanah baru sesuka hati. Ekoran daripada sekatan dan peraturan yang diperkenalkan oleh SBUB menyebabkan hasil pengeluaran padi huma merosot. Selain itu, SBUB mengenakan cukai terhadap beras dan ubi kayu yang menjadi makanan utama orang Murut. SBUB juga memaksa orang Murut membina jalan di kawasan pedalaman tanpa dibayar gaji. Orang Murut menganggap pembinaan jalan itu akan menimbulkan kemarahan roh nenek moyang mereka.

          Pada tahun 1915, orang Murut di bawah pimpinan Antanom menyerang dan membakar Pensiangan serta Rundum. Walau bagaimanapun, bandar Rundum dapat diselamatkan oleh tentera SBUB. Antanom bersama 900 orang pengikutnya telah membina kubu di Sungai Selangit. Pihak SBUB telah menghantar tentera untuk menyerang kubu Antanom di Selangit. Dalam pertempuran itu, Antanom bersama 400 orang pengikutnya telah terkorban. Orang Murut yang terselamat dalam pertempuran tersebut telah berpindah beramai-ramai ke Kalimantan.

          Pentadbiran Brooke di Sarawak pada abad ke-19 telah bermula setelah James Brooke menamatkan pemberontakan yang dicetuskan oleh pembesar Melayu dan orang Bidayuh. Bermula pada tahun 1841, James Brooke telah menjadi Gabenor Sarawak dengan mendapat pengiktirafan daripada sultan Brunei yang berkuasa di Sarawak ketika itu.

          Perlantikan Brooke sebagai Gabenor Sarawak telah menimbulkan reaksi penentangan oleh masyarakat tempatan Sarawak. Penentangan ini berpunca daripada sikap pembesar-pembesar tempatan dan penduduk peribumi Sarawak yang berasa terancam oleh kuasa Barat. Hal ini berkaitan dengan keengganan mereka menerima orang asing untuk mencampuri urusan pentadbiran di Sarawak. Campur tangan itu menyebabkan kedudukan mereka sebagai pembesar terjejas. Malah mereka kehilangan kuasa mengutip cukai di kawasan pentadbiran para pembesar. Pembaharuan terhadap beberapa amalan tradisi penduduk peribumi Sarawak juga menimbulkan penentangan di kalangan penduduk. Oleh sebab itu, timbul usaha oleh penduduk Sarawak untuk mengusir James Brooke keluar dari negeri Sarawak dan mengambil alih pentadbiran negeri.

          Pentadbiran Brooke di Sarawak menerima penentangan paling awal daripada Gabenor Sarikei di Sungai Rajang iaitu Syarif Masahor. Beliau merupakan Gabenor sarikei yang dilantik oleh sultan Brunei. Walau bagaimanapun, kedudukan beliau mula tergugat bermula pada tahun 1853 apabila James Brooke telah mengambil alih kekuasaan kawasan Sungai Rajang. James Brooke telah membina kubu di Kanowit, Sungai Rajang. Tindakan James Brooke telah menimbulkan kemarahan Syarif Masahor. Beliau telah mendapat kerjasama daripada Datuk Patinggi Abdul Gapur dan para pengikutnya untuk bertindak menyerang kubu Brooke di Kanowit dan Kuching pada tahun 1853 dan 1860 tetapi gagal. Syarif Masahor telah melarikan diri ke Brunei dan telah dibuang negeri ke Singapura.

          Di samping itu, pentadbiran Brooke di Sarawak turut menerima penentangan oleh Rentap yang merupakan seorang pemimpin Iban di Sungai Skrang. Penentangan oleh Rentap berlaku disebabkan oleh usaha Brooke meluaskan kekuasaannya di kawasan orang Iban dan menghapus amalan pemburuan kepala di kalangan orang Iban. Brooke juga mendakwa orang Iban sebagai lanun. Tindakan Brooke telah menimbulkan kemarahan orang Iban yang telah bertindak melancarkan beberapa siri penentangan antara tahun 1853 hingga 1861. James Brooke telah berjaya memaksa Rentap untuk berundur ke kawasan pedalaman, iaitu Sungai Entabai dan telah meninggal dunia di situ.

          Pada tahun 1893, penentangan terhadap pemerintahan Brooke telah dilancarkan oleh Banting yang juga merupakan penghulu orang Iban di Hulu Sungai Batang Lupar. Penentangan tersebut merupakan reaksi terhadap tindakan Charles Brooke menghapus adat dan upacara yang diamalkan oleh orang Iban. Penentangan tersebut berjaya dipatahkan oleh Brooke.

          Selain itu, penentangan terhadap pemerintahan Brooke di Sarawak pada abad ke-19 turut dilancarkan oleh pelombong-pelombong Cina yang mengusahakan lombong emas di Bau. Penentangan tersebut disebabkan oleh tindakan James Brooke mengawal kegiatan kongsi gelap Cina dan mengenakan cukai yang tinggi terhadap Candu. Oleh sebab itu, pada Februari 1857, banyak kongsi gelap Cina telah dikenakan denda sebanyak $150 ke atas kesalahan menyeludup Candu. Tindakan Brooke telah mengundang pemberontakan orang Cina. Pemberontakan ini juga berjaya dipatahkan. Peristiwa tersebut telah menyebabkan Brooke menyekat dan mengawal kemasukan orang Cina ke Sarawak.

          Kesimpulannya, penentangan yang berlaku di negeri-negeri Melayu mempunyai beberapa persamaan dan perbezaan yang ketara. Sebab dan cara penentangan terhadap penjajah dilakukan berbeza-beza antara negeri-negeri Melayu mengikut tokoh-tokoh yang mengetuainya seperti Mat Salleh di Sabah dan Rentap di Sarawak. Secara amnya, penentangan terhadap pemerintahan British gagal disebabkan beberapa faktor seperti penentangan dilakukan hanya melibatkan sekumpulan kecil penduduk tempatan sahaja. Selain itu, matlamat perjuangan hanyalah untuk menjaga kepentingan dan kewibawaan pembesar-pembesar Melayu. Tambahan pula, tentera British dilengkapi dengan peralatan perang yang lebih moden dan canggih seperti senapang dan meriam, manakala penduduk tempatan menggunakan senjata tradisional seperti lembing, keris, tombak, panah, dan lain-lain.

BAB 7 : KESAN TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA

Soalan: Bincangkan faktor-faktor pembentukan Persekutuan 1896 dan kesan-kesannya.

Jawapan cadangan:

          Idea tentang pembentukan Persekutuan 1896 telah dicadangkan oleh Frank Swettenham. Persekutuan bermaksud satu sistem pemerintahan yang menggabungkan beberapa buah negeri bebas menjadi satu unit politik yang baru di bawah pentadbiran kerajaan pusat. Menurut Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani pada 1 Julai 1895, Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan disatukan menjadi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB). Tidak dinafikan Sistem Residen telah membawa kemajuan politik, ekonomi, dan sosial di negeri-negeri Melayu. Namun, kemajuan yang dicapai tidak menyeluruh kerana corak pentadbiran yang berbeza. Dengan penubuhan Persekutuan, diharapkan masalah ini dapat diatasi. Hakikatnya, penubuhan Persekutuan 1895 merupakan helah British untuk mengurangkan kuasa raja-raja Melayu dan mengukuhkan kedudukannya ke atas negeri-negeri Melayu. Terdapat beberapa faktor utama yang mendorong British untuk menubuhkan Persekutuan 1896 dan penubuhan ini turut mengakibatkan beberapa kesan.

          Antara faktor-faktor pembentukan Persekutuan 1896 ialah masalah kewangan Pahang. British telah campur tangan di Pahang kerana menyangka negeri itu mempunyai banyak hasil bumi seperti emas dan bijih timah. Setelah menduduki Pahang, barulah British sedar beberapa kelemahan Pahang iaitu kedudukan Pahang yang sukar dihubungi dari laut selama enam bulan, iaitu semasa musim tengkujuh (November hingga Mac). Selain itu, Pahang juga sukar dihubungi oleh jalan darat kerana terhalang oleh Banjaran Titiwangsa.Selain itu, Pahang tidak mempunyai hasil bijih timah yang banyak. British mendapati hasil emas sudah habis kerana telah sekian lama dilombong oleh orang Melayu, Cina, dan Siam. Tambahan pula, tidak banyak orang Cina yang menetap di Pahang. Jadi kerajaan British kurang mendapat hasil cukai daripada candu, judi, dan arak. Kerajaan British mengalami masalah kewangan yang kritikal setelah menduduki Pahang kerana Pahang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, tambahan pula British terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk membangunkan Pahang. Seterusnya, kerajaan British terpaksa meminjam wang daripada NNS bagi membiayai kos pentadbiran Pahang. Pada tahun 1892, hutang Pahang berjumlah $ 610 000. NNS sudah tidak mampu lagi untuk memberi pinjaman kepada British untuk membiayai Pahang kerana sedang mengalami zaman kemelesetan. NNS telah mencadangkan agar Pahang meminjam wang daripada Selangor dan Perak. Kewangan British di Pahang bertambah teruk apabila terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk mengatasi penentangan masyarakat tempatan yang diketuai oleh Dato’ Bahaman. Walaupun menghadapi masalah kewangan yang serius di Pahang, kerajaan British tidak mahu menarik diri dari Pahang kerana tidak mahu imejnya terjejas. British juga tidak mahu kuasa Barat seperti Jerman dan Perancis menduduki Pahang. Dengan pembentukan Persekutuan, diharap negeri-negeri Melayu yang kaya seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Perak boleh memberi bantuan kewangan kepada Pahang. Dengan cara ini, masalah kewangan Pahang dapat diatasi.

          Selain itu, faktor-faktor pembentukan Persekutuan 1896 seperti kelemahan Sistem Residan. Kerajaan British menyedari  bahawa Sistem Residan mempunyai beberapa kelemahan. Ini dibuktikan oleh penentangan masyarakat tempatan yang berlaku di Perak, Pahang, dan Negeri Sembilan. Selain itu, kemajuan setiap negeri di bawah Sistem Residen tidak seragam. Terdapat negeri yang berkembang pesat tetapi terdapat juga negeri yang masih mundur dan mengalami banyak masalah. Keadaan ini bergantung kepada kebolehan dan kecekapan seseorang residen itu. Selain itu, kerajaan British mahu mengurangkan kuasa Residen. Setelah Sistem Residen dilaksanakan di Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan, residen merupakan individu yang berkuasa menentukan politik dan ekonomi di negeri masing-masing. Walaupun residen dikehendaki selalu merujuk kepada gabenor mengenai pentadbiran negeri masing-masing, tetapi gabenor tidak dapat mengawal tindakan residen. Pada tahun 1890-an, keempat-empat negeri tersebut terpisah dengan sendirinya di bawah residen. Walaupun ditubuhkan Majlis Mesyuarat Negeri, tetapi Majlis Mesyuarat Negeri tidak berkuasa menyekat kehendak dan kuasa residen. Penubuhan Persekutuan 1896 diharap dapat mengurangkan kuasa mutlak residen.

          Faktor pembentukan Persekutuan 1896 lain pula adalah menyelaras dan menyeragamkan pentadbiran. Sistem Residen menunjukkan bahawa setiap residen mentadbir negeri dengan cara berbeza. Hal ini disebabkan kerajaan British tidak menyediakan garis panduan tentang bidang kuasa residen. Maka, wujudlah ketidakseimbangan dalam pentadbiran. Akibatnya, ada negeri-negeri yang kaya dan ada negeri yang miskin. Kemajuan atau kemunduran sesebuah negeri bergantung kepada inisiatif dan sikap residen. Kerajaan British cuba mewujudkan keseragaman dalam perundangan, sistem pungutan cukai, pertanian, perhubungan, perlombongan, dan kesihatan di negeri-negeri Melayu. Dengan penubuhan Persekutuan, diharapkan dapat mewujudkan satu sistem pentadbiran yang selaras di bawah kawalan residen jeneral. Penyeragaman bidang pentadbiran akan mempercepat pembangunan ekonomi dan menjimatkan perbelanjaan. Sistem perhubungan seperti jalan raya dan jalan kereta api tidak berkembang maju di negeri-negeri Melayu. Melalui Persekutuan, diharapkan sistem pengangkutan dapat dimajukan. British akan mendapat faedah apabila terdapat sistem jalan raya dan jalan kerata api menghubungkan antara negeri-negeri Melayu yang terlibat. Sistem pengangkutan yang baik antara negeri dapat memudahkan dan mempercepat proses penghantaran hasil bumi ke pelabuhan untuk dieksport.

          Selain daripada itu, faktor-faktor pembentukan Persekutuan 1896 juga memperlihatkan pertahanan dan keselamatan. Kerajaan British mahu mewujudkan satu pasukan keselamatan yang bertujuan untuk mempertahankan negeri-negeri Melayu daripada ancaman di dalam dan di luar negeri. Semasa berlaku penentangan masyarakat tempatan di Pahang dan Perak, British terpaksa meminta bantuan tentera daripada Singapura, Hong kong, dan India. Oleh itu, British terpaksa mengeluarkan wang untuk mengupah tentera tersebut. Kewujudan pasukan tentera Persekutuan British telah memudahkan pentadbiran British kerana tentera ini dapat mempertahankan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) dan negeri-negeri lain sekiranya berlaku penentangan dan peperangan.

          Pembentukan Persekutuan turut memberikan beberapa kesan. Antara kesan-kesan pembentukan Persekutuan 1896 ialah pemusatan kuasa residen jeneral. Dalam Sistem Persekutuan, residen jeneral merupakan ketua kerajaan pusat yang mempunyai kuasa penuh dalam bidang pentadbiran di NNMB. Residen jeneral akan membuat semua keputusan-keputusan penting terutamanya dalam soal kewangan. Sultan-sultan dan residen-residen diarahkan supaya meminta nasihat residen jeneral dan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan terutamanya yang berkaitan soal pentadbiran. Residen jeneral telah menubuhkan beberapa buah jabatan kerajaan untuk menyelaraskan pentadbiran. Residen jeneral telah melantik pengawai-pengawai British untuk berkhidmat dalam Jabatan Persekutuan. Sistem Persekutuan ini tidak berjaya untuk membahagikan kuasa di antara kerajaan Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Negeri kerana residen jeneral mempunyai kuasa penuh.

          Kesan-kesan lain seperti kemerosotan kuasa sultan, residen, dan Majlis Mesyuarat Negeri. Pemusatan kuasa di tangan residen jeneral menyebabkan kuasa raja-raja Melayu di NNMB semakin berkurangan. Pada mulanya, sultan-sultan bersetuju menandatangani Perjanjian Persekutuan 1896 kerana mereka berharap kuasa mereka yang diambil oleh residen akan dikembalikan. Namun, selepas beberapa tahun Persekutuan dilaksanakan, barulah sultan-sultan sedar bahawa kuasa mereka semakin kurang kerana berlaku pemusatan kuasa di tangan residen jeneral pula. Sultan mesti menerima semua nasihat residen dalam hal ehwal pentadbiran kecuali yang berkaitan dengan adat resam dan agama Islam. Sultan tidak mempunyai hak dalam pentadbiran. Sultan hanya berperanan menandatangani rang undang-undang yang telah dipersetujui oleh residen jeneral sahaja. Residen British juga kehilangan kuasa kerana terpaksa menerima semua arahan daripada residen jeneral, tugas-tugas residen telah diagihkan kepada Jabatan Persekutuan yang ditubuhkan. Majlis Mesyuarat Negeri juga tidak berfungsi sepenuhnya kerana hanya meluluskan undang-undang yang telah ditetapkan oleh residen di Kuala Lumpur.

          Seterusnya, pemusatan dan penyelarasan pentadbiran melalui Persekutuan 1896 telah menunjukkan kejayaan dalam bidang pentadbiran dan pembangunan ekonomi. Kemajuan ekonomi dapat dicapai dengan adanya sistem cukai yang seragam dan sistem perhubungan yang baik. Keadaan ini telah menarik lebih ramai pelabur-pelabur menanam modal dalam perusahaan bijih timah dan getah.

          Kesimpulannya, pembentukan persekutuan 1896 sememangnya untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul seperti masalah kewangan Pahang, masalah kelemahan sistem residen, masalah dalam pentadbiran dan juga untuk mengatasi masalah pertahanan dan keselamatan. Pembentukan Persekutuan 1896 turut memberi beberapa kesan seperti kuasa para residen British, sultan, dan pembesar Melayu dikurangkan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...