Khamis, 16 Februari 2012

NOTA SOALAN DAN JAWAPAN BAB 1 TINGKATAN 4


BAB 1: KEMUNCULAN TAMADUN AWAL MANUSIA

 
1.
a.
Nyatakan empat tahap utama dalam Zaman Prasejarah         (Buku Teks m.s: 2)


a)   4 tahap Zaman Prasejarah iaitu:
  i.   Zaman Paleolitik
ii.   Zaman Mesolitik
iii.   Zaman Neolitik
iv. Zaman Logam (Zaman gangsa dan Zaman Besi)


b.
Jelaskan ciri-ciri bagi setiap zaman tersebut.                      (Buku Teks m.s: 2 - 4)

Zaman Paleolitik & Zaman Mesolitik.
·         Manusia hidup secara nomad, iaitu berpindah randah.
·         Tinggal sama ada di kawasan tepi tasik, tepi sungai, atau di dalam gua.
·         Hidup dalam kelompok keluarga atau secara berkumpulan.

Zaman Neolitik.
·         Hidup menetap dalam kelompok yang besar iaitu masyarakat.
·         Menyara hidup dengan bercucuk tanam dan menternak binatang.
·         Penciptaan alatan batu yang telah dilicinkan dan mempunyai pelbagai fungsi, dan bahan tembikar.
·         Pembahagian tugas atau pengkhususan kerja kerana mereka mempunyai banyak masa untuk menghasilkan artifak yang lebih baik.
·         Hasilkan bahan makanan melebihi keperluan.
·         Lahirkan sistem pertukaran barang atau sistem barter.

Zaman Logam.
·         Hasilkan bahan daripada logam (besi).
·         Berjaya mereka cipta perahu dan rumah
·         Meneroka lautan dan meningkatkan kegiatan perdagangan maritim.
·         Muncul petempatan besar dan kota pertahanan yang kemudian berkembang menjadi bandar atau kota. Contohnya Jericho di Jordan (8000 s.m.) dan Catal Huyuk di Turki(6500 s.m.)



2.
a.
Terangkan makna tamadun dari segi bahasa.    (Buku Teks m.s: 4 - 5)


Berasal daripada bahasa Arab, iaitu perkataan mudun, madain dan madana. Bermaksud tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar.
Perkataan bahasa Inggeris ialah civilization (berasal dari bahasa Greek iaitu civitas yang bermaksud bandar). Tamadun juga diertikan sebagai peradaban.


b.
Apakah makna tamadun menurut pandangan masyarakat Barat?

Tamadun dikaitkan dengan pembangunan lahiriah terutamanya dalam hal-hal kebudayaan seperti penulisan, undang-undang, kesenian dan pembandaran.
Gordon Childe, pencapaian lahiriah merupakan kayu ukur kemajuan tamadun dalam sesebuah masyarakat.

Darcy Riberio dan R.A. Buchanan, menolak unsur rohaniah, sebaliknya menekankan kepentingan dan pembangunan lahiriah dalam proses perkembangan tamadun.





c
.
Apakah makna tamadun menurut pandangan Islam?         


Tamadun mestilah merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah. Kedua-dua ini penting untuk mengukur tahap ketamadun sesebuah masyarakat.
Syed Naquib al-Attas, tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur oleh sesebuah masyarakat.

Disokong oleh sarjana Barat, Richard Sullivan, mengakui bahawa unsur rohaniah sangat penting dalam konsep tamadun.

Ringkasnya, konsep tamadun tidak hanya mementingkan pencapaian berbentuk lahiriah seperti kesenian dan pembinaan kota semata-mata tetapi juga mestilah diiringi dengan pencapaian dalam aspek rohaniah, tatasusila dan moral.


                                                                                                            
3.
a.
Huraikan enam ciri tamadun.    (Buku Teks m.s: 5 - 8)


1. Petempatan kekal.
Kehidupan secara menetap membawa kepada corak hidup yang lebih sistematik. Kawasan yang dipilih amat penting untuk memastikan kelangsungan bekalan makanan. Hasil inovasi manusia telah melahirkan kemajuan dalam pertanian, iaitu dari segi penanaman, penyimpanan makanan dan penternakan binatang. Contohnya, penciptaan peralatan baru seperti cangkul dan penggunaan teknologi seperti sistem pengairan. Ini telah meningkatkan pengeluaran dan membawa kepada lebihan pengeluaran. Lebihan ini juga telah dapat menampung pertambahan jumlah penduduk disebabkan adanya bekalan makanan yang berterusan.

2.  Kehidupan berorganisasi.
Kehidupan berorganisasi mampu mengatur cara hidup manusia untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran hidup. Pada peringkat awal, organisasi sosial atau masyarakat yang wujud adalah pada tahap yang paling ringkas iaitu keluarga. Pertambahan penduduk dan kepelbagaian aktiviti ekonomi telah membawa kepada proses pembahagian masyarakat yang lebih kompleks. Sistem sosial berbentuk piramid dan bersusun lapis. Lapisan paling atas merupakan golongan bangsawan yang menerajui pemerintahan yang diketuai oleh raja. Lapisan kedua ialah golongan pembesar yang terdiri daripada golongan yang menguasai upacara dan hal ehwal agama, individu yang dihormati oleh masyarakat seperti ketua keluarga atau pun ketua kelompok, kumpulan pentadbir dan ilmuan, serta kumpulan yang mempunyai kepakaran dalam kesenian. Kemudian diikuti oleh golongan rakyat biasa yang merupakan jumlah yang paling ramai.Tunjang kepada aktiviti ekonomi, terutamanya bidang pertanian dan perdagangan. Lapisan terakhir ialah golongan hamba, yang kehidupannya bergantung pada lapisan-lapisan di atasnya.

3. Sistem pemerintahan.
Dibentuk untuk menjalankan pentadbiran. Seseorang pemimpin atau raja selalunya menggunakan unsur magis dan mendakwa dirinya sebagai wakil tuhan demi mendapatkan pengiktirafan sebagai ketua pemerintah. Kewujudan sistem pemerintahan membawa kepada kelahiran sistem perundangan yang menjadi panduan kepada masyarakat demi menjaga keamanan dan kemakmuran sesebuah tamadun.

4.  Pengkhususan pekerjaan.
Peningkatan dalam produktiviti manusia menyebabkan pengkhususan pekerjaan menjadi lebih penting.  Ini membawa kepada kemakmuran dan kestabilan politik, dan peningkatan dan perkembangan ekonomi. Barangan atau produk dihasilkan oleh kumpulan tertentu melalui pengkhususan dan kepakaran kumpulan tersebut. Ini menghasilkan kepada pertukaran barangan atau sistem barter, yang merupakan permulaan bagi aktiviti perdagangan. Aktiviti pertukaran barangan dan perdagangan membolehkan berlakunya pertukaran ilmu pengetahuan, teknologi, dan budaya antara sesebuah masyarakat dengan masyarakat yang lain.

5.  Agama dan kepercayaan.
Penting kerana ia berkait rapat dengan pengiktirafan terhadap pemerintah, pembahagian sosial masyarakat, perkembangan ilmu pengetahuan, kesenian, dan pembinaan dalam proses pembentukan tamadun awal. Manusia cuba untuk memahami dan menyesuaikan kehidupannya dengan alam sekeliling. Alam sekitar seperti pokok, batu, matahari, dan laut dipercayai mempunyai semangat dan harus dihormati demi menjaga keamanan dan kemakmuran hidup. Manusia percaya bahawa terdapat kuasa ghaib yang menguasai alam sekelilingnya. Kepercayaan ini dikenali sebagai animisme. Secara evolusi kepercayaan ini bertukar menjadi agama. Agama tamadun awal ialah politeisme yang bermakna penyembahan terhadap lebih daripada satu tuhan.

6. Bahasa dan tulisan.
Sebahagian daripada perkembangan ilmu pengetahuan. Antara bahasa yang tertua termasuklah Yunani dan Sanskrit. Sistem tulisan ialah hieroglif, cuneiform dan ideogram.  Bahasa dan tulisan memainkan peranan yang penting dalam penyebaran ilmu pengetahuan dan perhubungan di dalam sesbuah masyarakat dan antara sesebuah masyarakat dengan masyarakat yang lain. Sistem tulisan penting untuk tujuan urusan pentadbiran seperti penyimpanan rekod, penulisan undang-undang, dan hal-hal keagamaan. Bahasa dan tulisan merupakan instrumen paling penting untuk menyampaikan, memperkembangkan, dan mencatatkan idea dan pemikiran manusia.

Kesemua ciri tamadun di atas berkait rapat antara satu sama lain.  Bandar memainkan peranan penting dalam proses perkembangan sesebuah tamadun.
4.
a.
Mengapakah lembah sungai selalu dipilih sebagai lokasi petempatan kekal?
                                                                                                     (Buku Teks m.s: 8)


Lembah sungai selalu dipilih sebagai lokasi petempatan kekal disebabkan oleh
i.   kesuburan tanah di sekitarnya untuk tujuan pertanian.
ii.  kemudahan untuk mendapatkan bekalan air dan makanan.
iii. kemudahan pengangkutan dan perhubungan.

b.
Senaraikan contoh tamadun yang dibina di lembah sungai. 

Contoh tamadun ialah;
i.    Tamadun Mesopotamia di Lembah Sungai Eupharates (3500 s.m)
ii.   Tamadun Mesir Purba di Lembah Sg. Nil (3100 s.m.)
iii.  Tamadun Indus di Lembah Sg. Indus (2500 s.m.)
iv.  Tamadun Hwang Ho di Lembah Sg. Hwang Ho (1800 s.m.)


                     
5.
a.
Tunjukkan lokasi Tamadun Mesopotamia.      (Buku Teks m.s: 10 - 16)


Perkataan Mesopotamia berasal daripada bahasa Yunani yang bermakna tanah di antara dua sungai.
Terletak di antara Sungai Tigris dan Sungai Euphrates yang mengalir dari kawasan pergunungan di Turki ke tanah lembah dan pamah di Iraq hinggalah ke Teluk Parsi.
Kawasan ini dikelilingi oleh pergunungan Zagros di bahagian timur laut, dataran tinggi Arab di barat daya, dan Teluk Parsi di bahagian selatan.









b.
Jelaskan kerangka masa  kewujudan Tamadun Mesopotamia.


Zaman
Kerangka Masa
Kerajaan Sumeria
3500 – 2340 s.m.
Kerajaan Akkad
2371 – 2006 s.m.
Kerajaan Ur
2113 – 2006 s.m.
Kerajaan Babylon Awal atau Lama
2000 – 1530 s.m.
Kerajaan Kassites
1530 – 1100 s.m.
Kerajaan Assyria
1100 – 626 s.m.
Kerajaan Cheldea
626 – 539 s.m.

c.
Terangkan proses pembentukan Tamadun Mesopotamia.



Dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagian utara dan bahagian selatan bandar Baghdad.  Bahagian utara meliputi kawasan pertengahan Sungai Tigris hingga ke ytara termasuk kawasan Sungai Zab yang dikenali sebagai Assyria.
Bahagian selatan meliputi kawasan Sungai Tigris dan Sungai Eupharates yang hampir bercantum, dikenali Babylon. Babylon dibahagikan kepada dua kawasan iaitu Akkad di Utara dan Sumeria di Selatan.

Pertumbuhan tamadun bermula di wilayah selatan iaitu Sumer. Orang Sumeria telah berhijrah ke wilayah ini dan membina petempatan serta menjalankan aktiviti pertanian melalui kerja menebus guna tanah dengan membina sistem pengairan yang membolehkan mereka mengawal pengairan air sungai. Aktiviti ini membawa kepada lebihan penghasilan makanan yang mampu menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Petempatan awal yang berbentuk perkampungan ini berkembang secara evolusi kepada bandar dan beberapa buah negara kota seperti Kish, Nippur, Lagash, Uruk, Ur, Eridu, Assur dan Mari. Ke semua negara kota terletak di sepanjang sungai dan terusan.

d.
Huraikan ciri-ciri Tamadun Mesopotamia.

1. Negara Kota.
Setiap negara kota terbahagi kepada kawasan utama iaitu pusat kota, tembok kota, luar kota dan pelabuhan.  Ia juga mempunyai kubu pertahanan dengan pelbagai pintu gerbang yang menjadi lambang kekayaan sesebuah kota. Di dalam kota terdapat Istana, rumah kediaman, rumah ibadat, rumah kedai, pasar dengan kebanyakan jalannya berkeadaan lurus dan lebar. Pusat sesebuah kota ialah rumah ibadat yang menjadi tumpuan anggota masyarakat. Selain itu, ia juga mempunyai unit politik dan agama yang tersendiri. Kewujudan sungai serta kawasan tanah pamah telah memudahkan pengangkutan dengan kapal, pedati dan keldai.
Melalui jalan laut negara kota mudah dihubungi oleh wilayah sekitarnya. Antara jalan penghubung utama termasuklah jalan yang menghubungkan Sumeria dan Kota Mari yang digunakan oleh pedagang dari luar Mesopotamia.

2. Organisasi Sosial.
Organisasi sosial menjadikan kehidupan masyarakat lebih teratur.
Masyarakat terbahagi kepada dua golongan iaitu, golongan pemerintah dan golongan rakyat. Golongan pemerintah terdiri daripada raja, ketua pendeta, ketua tentera dan orang bangsawan. Golongan rakyat terdiri daripada rakyat bebas (petani, artisan dan pedagang) dan hamba yang terdiri daripada tawanan perang.

3. Sistem pemerintahan.
Sistem pemerintahan beraja berbentuk teokrasi. Raja dianggap sebagai tuhan atau wakil tuhan dan pemilik negara kota. Walaupun begitu, masyarakat tidak menyembah raja mereka sebagai tuhan kecuali semasa pemerintahan Raja Naramsin (2291 – 2255 S.M) di Akkad. Beliau telah memaksa penduduk Akkad menyembahnya sebagai Tuhan. Ini kerana beliau menganggap dirinya terlalu agung kerana berjaya menguasai wilayah yang luas sehingga beliau menggelarkan dirinya sebagai “Raja Empat Penjuru Alam”. 
Raja menjadi ketua pentadbir, ketua tentera dan ketua pendeta yang berkuasa dalam hal keagamaan.  Raja juga bertindak sebagai ketua agama dan berkuasa melantik ahli keluarga diraja untuk memegang jawatan di zigurat serta menentukan bentuk pentadbirannya. Zigurat berfungsi sebagai pusat ibadat, pusat perdagangan dan pusat penyimpanan khazanah negara.
Selain itu, Raja juga amat berkuasa dalam soal tanah, cukai, hasil pertanian dan perniagaan. Raja dibantu oleh pegawai yang terdiri daripada golongan bangsawan yang mempunyai ikatan dengan keluarga diraja.

4. Pengkhususan kerja.
Berlaku apabila wujudnya lebihan hasil pertanian. Terdapat anggota masyarakat meninggalkan pekerjaan sebagai petani untuk menjadi peniaga, pedagang dan artisan. Perdagangan yang dikendalikan bukan hanya dengan wilayah di sekitar Mesopotamia tetapi juga dengan kawasan di Lembah Indus. Perdagangan amat penting kerana lembah ini tidak menghasilkan banyak bahan mentah. Oleh itu, barangan seperti logam, kayu-kayan, emas dan perak dibawa masuk untuk ditukar dengan hasil pertanian yang dikeluarkan oleh lembah ini. Selain itu, terdapat juga pengusaha atau pembuat tekstil, barang tembikar dan alat keperluan harian.  Ada juga yang menjadi tukang rumah kerana pertambahan penduduk, menimbulkan keperluan rumah kediamaan yang lebih banyak. Terdapat juga yang berkhidmat sebagai tentera untuk mempertahankan negara kota daripada serangan musuh.


5. Sistem tulisan.
Wujud dengan berkembangnya bidang ilmu pengetahuan. Sistem ini bermula dalam bentuk tulisan bergambar. Kemudian berkembang kepada bentuk simbol yang ditulis pada tanah liat kerana bahan untuk membuat kertas belum wujud lagi. Tulisan pada tanah liat ini berbentuk pepaku atau dikenali sebagai cuneiform.

e.
Jelaskan sumbangan Tamadun Mesopotamia.                             

1. Kod undang-undang Hammurabi.
Digubal semasa Raja Hammurabi memerintah kerajaan Babylon. Undang-undang ini berteraskan hak rakyat terhadap keadilan. Mengikut kod ini, hukuman atau denda mestilah setimpal dengan kesalahan tetapi berbeza mengikut susun lapis masyarakat. Kod ini, mengandungi kira-kira 282 undang-undang yang dipahat pada tembok serta tiang besar, oleh itu rakyat dapat membacanya. Undang-undang Hammurabi menjadi dasar perundangan dalam tamadun Mesopotamia. Undang-undang ini, berjaya mengelakkan wujudnya permasalahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan susun lapis masyarakat itu sendiri. Undang-undang ini, dapat mewujudkan perpaduan, mengukuhkan sistem organisasi dalam kehidupan masyarakat dan membantu peadaban Mesopotamia bertahan untuk jangka masa yang panjang iaitu dari tahun 3500S.M. hingga 539 S.M.

2. Sistem tulisan.
Membawa kepada sistem pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan jurutulis. Kehadiran jurutulis, membolehkan urusan pentadbiran dan perniagaan dicatat supaya dapat direkodkan. Dalam perdagangan, kesemua urusan jual belinya disertakan dengan resit, nota dan surat kredit. Ia juga melahirkan tradisi kesusasteraan. Antara hasil kesusasteraan yang terkenal termasuklah epik Gilgamesh yang merupakan hasil kesusasteraan yang tertua di dunia. Epik ini mengandungi falsafah dan cara hidup orang Mesopotamia.

3. Perkembangan Ilmu.
Perkembangan ilmu astronomi yang merangkumi pencerapan terhadap pergerakan bulan, bintang dan matahari telah membawa kepada perkembangan ilmu matematik seperti mengira perpuluhan, menambah, menolak, mendarab, membahagi dan punca ganda dua yang kemudiannya membawa kepada perkembangan ilmu geometri. Penguasaan bidang astronomi juga membolehkan mereka menggunakan jalan laut dan mencipta kalendar yang berasaskan sistem solar yang mengandungi 12 bulan dalam satu tahun.
Perkembangan ilmu perubatan mendapat perhatian khusus semasa pemerintahan kerajaan Assyria kerana kerajaan ini begitu mementingkan kesihatan anggota tenteranya. Sebanyak 500 jenis ubat-ubatan termasuk herba dan ramuan perubatan telah dikatalogkan dan disampelkan penggunaannya. Cara mengubat penyakit dengan menggunakan ubat-ubatan juga telah dicatatkan sebagai panduan kepada pengamal perubatan.
4.Penciptaan Roda.
Roda digunakan dalam menghasilkan kereta kuda sama ada untuk tujuan peperangan atau kegunaan pada masa aman. Penciptaan roda membolehkan orang Mesopotamia mencipta kincir air untuk mengalirkan air ke kawasan tandus dan meningkatkan hasil pertanian di samping mengawal banjir.

5. Penciptaan alat pengangkutan.
Orang Sumeria menggunakan kapal layar serta pengangkutan beroda sejak tahun 3000 S.M. Ini membolehkan mereka menguasai jalan darat dan jalan laut sehingga mereka dapat berhubung dengan wilayah di India serta wilayah di kawasan Laut Mediterranean.

6. Cara membuat batu bata daripada tanah liat.
Dalam seni bina, mereka mencipta arca dan tiang batu. Contoh arca tersebut ialah patung Raja Gudea. Arca dan tiang batu juga dapat dilihat dalam seni bina zigurat.



6.
a.
Tunjukkan lokasi Tamadun Mesir Purba.  (Buku Teks m.s: 17 - 22)


Tamadun Mesir Purba dianggap sebagai anugerah daripada Sungai Nil yang mengalir dari bahagian utara Mesir ke Laut Mediterranean. Di tebing sungai inilah lahirnya tamadun Mesir Purba. Sungai Nil berpunca daripada dua anak sungai, iaitu Sungai Nil Biru yang bermula dari tanah tinggi di Ethiopia dan Sungai Nil Putih yang bermula dari Tasik Victoria di Uganda.

b.
Jelaskan kerangka masa  kewujudan Tamadun Mesir Purba.


Berkembang daripada petempatan awal pada Zaman Neolitik, iaitu antara 10,000 S.M. hingga 5000 S.M.
Dibahagikan kepada empat peringkat, iaitu

Zaman
Kerangka Masa
Awal
3100 – 2200 S.M.
Pertengahan
2040 – 1785 S.M.
Empayar
1570 – 1085 S.M.
Keruntuhan
 1085 – 322 S.M.

Selepas zaman kegemilangannya pada Zaman  Empayar, tamadun ini mengalami zaman keruntuhannya apabila pemerintahan dikuasai oleh orang asing seperti Libya (1100 – 947 S.M.), Kush (730 – 670 S.M.), Assyria (663 – 609 S.M.), Parsi (525 S.M.), Yunani (322 – 30 S.M.) dan Rom (30 S.M.)


c.
Terangkan proses pembentukan Tamadun Mesir Purba.


Penduduk di Lembah Nil telah mencapai tahap kebudayaan gangsa pada Zaman Logam sejak tahun 5000 S.M. Penggunaan alat logam membolehkan mereka membina sistem perparitan dan pengairan yang baik untuk pertanian. Daya cipta ini, membolehkan mereka membina peralatan kawalan air dan terusan untuk meninggikan lagi nilai kesuburan tanah. Ini dilakukan untuk mendirikan petempatan tetap yang berteraskan pertanian.

Petempatan tetap ini kemudian berkembang menjadi perkampungan. Gabungan kampung-kampung mewujudkan beberapa buah bandar yang kemudiannya bergabung dan membentuk sebuah nome  atau daerah. Kemudian kesemua nome disatukan dengan salah sebuah bandarnya menjadi pusat pentadbiran. Contohnya bandar Thinis, Memphis dan Thebes.



d.
Huraikan ciri-ciri Tamadun Mesir Purba.


1.      Kehidupan bandar.
Firaun Menes (3200 S.M) berjaya menyatukan semua nome bagi menjadi kerajaan, beliau telah mengasaskan pusat pentadbirannya di bandar Thinis yyang terletak di bahagian tengah Sungai Nil. Selepas itu, pusat pentadbiran berpindah ke bandar Memphis yang hampir dengan delta Sungai Nil. Pada kemuncak Zaman Pertengahan, berpindah lagi ke bandar Thebes. Selain itu, terdapat beberapa bandar penting yang lain seperti Heliopolis, Fayoum dan Abydos.

Kehidupan bandar ini penting kerana di bandar ini terdapat tempat kediaman firaun, pusat pemerintahan dan pentadbiran, pelabuhan, pusat keagamaan dan pusat tumpuan penduduk.

2.  Kehidupan berorganisasi.
Diketuai oleh Firaun yang merupakan raja yang berkuasa mutlak dan dianggap suci. Jawatan firaun (raja Mesir) diwarisi secara turun-temurun. Pada zaman kerajaan lama, firaun dianggap sebagai jelmaan Tuhan Horus. Tetapi semasa pemerintahan dinasti ketiga dan keempat, firaun digelar sebagai Raja Matahari kerana dipercayai bahawa firaun ialah anak Tuhan Matahari, iaitu Amon-Re. Firaun juga merupakan ketua pendeta, pemilik tanah, ketua hakim dan ketua pahlawan.

Selepas firaun ialah golongan bangsawan, rahib, tuan tanah dan jurutulis. Diikuti dengan golongan rakyat bebas yang terdiri daripada petani, pedagang dan artisan. Lapisan yang terkebawah ialah hamba.

3. Sistem pemerintahan.
Diterajui oleh raja, iaitu firaun. Dibantu oleh golongan bangsawan untuk menjalankan pentadbiran, menjaga keamanan, mengurus dan mengagihkan penghasilan makanan di dalam negara. Golongan bangsawan ini merupakan pembesar yang terdiri daripada pegawai, penasihat, dan gabenor (mentadbir wilayah yang ditakluki). Para rahib dipertanggunjawabkan untuk mentadbir hal keagamaan. Urusan pentadbiran juga dibantu oleh jurutulis yang terdiri daripada orang awam yang dilantik untuk menulis segala rekod kerajaan.

4. Pengiktirafan terhadap wanita.
Wanita dilantik sebagai pemimpin dengan menjadi firaun, iaitu Foraun Hatshepsut (1501 – 1479 S.M.). Era pemerintahannya penuh dengan pembaharuan seperti pembinaan terusan dan penukaran padang pasir kepada tanah pertanian yang subur. Keupayaan ini meletakkan beliau setanding dengan pencapaian  firaun yang lain. Ini juga menunjukkan bahawa wanita dalam tamadun Mesir Purba mampu memerintah dan memiliki status yang tinggi.

5.  Pengkhususan kerja.
Aktiviti ekonomi seperti penenunan, pembuatan barang tembikar, dan peralatan berkembang maju. Eksport utama Mesir Purba ialah tekstil dan kertas. Aktiviti ekonomi lain termasuklah perlombongan emas di kawasan Nubia.

6. Pengangkutan air.
Memainkan peranan penting. Sungai Nil yang lebar dan dalam telah membolehkan kapal-kapal menyusurinya dan berlabuh di pelabuhan-pelabuhan seperti Thebes, Memphis, Fayoum dan Heliopolis. Sistem pemerintahan yang terancang berjaya menarik pedagang-pedagang dari Laut Mediterranean dan Laut Merah untuk singgah di pelabuhan Mesir Purba.

7. Konsep Politeisme (kepercayaan kepada banyak tuhan).
Setiap orang dikaitkan dengan unsur alam seperti Re (Tuhan Matahari), Ra-Atum (Tuhan Langit) dan Amun (Tuhan Angin). Orang Mesir Purba juga percaya kepada kehidupan selepas mati. Oleh itu, mayat perlu disimpan dan dijaga dengan teliti. Makam mayat mesti dipenuhi dengan peralatan serta keperluan selepas mati. Mayat diiringi barangan dan kelengkapan harian yang akan ditanam bersama-sama dengannya. Solekan mayat, alat kebesaran dan jumlah barang yang dikebumikan di dalam makam menunjukkan kedudukan atau status mayat tersebut.



8.  Sistem tulisan.
Dikenali sebagai hieroglif. Ia berasaskan kombinasi gambar dan simbol yang berdasarkan bunyi. Sistem tulisan sangat penting terutamanya untuk tujuan mencatatkan rekod aktiviti pertanian,  pengutipan cukai, tujuan keagamaan dan amalan  ritual  kepercayaan.


e.
Jelaskan sumbangan Tamadun Mesir Purba.              


1. Seni bina (piramid)
Pembinaan piramid bermula daripada ilham Imhotep, iaitu saintis, ahli fizik, arkitek dan penasihat penting kepada Firaun Djoser (3150 S.M). Beliau memperkenalkan teknik pembinaan bangunan dengan menggunakan batu bata. Beliau juga merupakan pengamal ilmu perubatan dan pengarang buku sains dan sastera. Pembinaan piramid menggambarkan kreativiti masyarakat Mesir Purba dalam bidang pembinaan. Sehingga hari ini kejayaan mereka masih dikagumi.

2.  Penggunaan kertas.
Pencapaian ini merupakan hasil kepandaian orang Mesir Purba mencipta kertas daripada pokok papyrus yang banyak hidup di Lembah Nil. Penciptaan kertas telah memudahkan penyimpanan  dan meninggalkan kebergantungan pada kepingan batu bata untuk menyimpan khazanah bangsa.

3. Rekod bertulis.
Sistem tulisannya iaitu hieroglif, telah membolehkan rekod ditulis dan dipahat dengan cantik, halus dan penuh seni pada makam dan batu.
4. Kemajuan pendidikan.
Sistem pendidikan diwujudkan untuk kanak-kanak daripada keluarga atasan. Mereka diberikan pendidikan sejak dari umur yang rendah. Institusi pendidikan diuruskan oleh rumah ibadat dan diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan. Penekanan terhadap pendidikan bertujuan untuk melahirkan para pegawai kerajaan terutamanya jurutulis yang sempurna dan terlatih. Ilmu geometri, matematik dan sains diajar bagi melahirkan golongan terlatih yang boleh menguruskan hal ehwal pertanian, pengawalan air Sungai Nil, pembinaan bangunan dan piramid.
5. Ilmu perubatan.
Kemajuan ilmu perubatan membolehkan tamadun ini melahirkan pengamal perubatan yang mendapat status yang tinggi dalam masyarakat dan berkhidmat untuk firaun dan masyarakat. Kemajuan bidang perubatan terutama proses memumiakan mayat berkait rapat dengan kepercayaan orang Mesir Purba. Tahap keilmuan dan kemahiran dalam bidang fizik, kimia, perubatan dan pembedahan memberikan sumbangan besar kepada perkembangan ilmu hingga hari ini.

6. Ilmu matematik.
Perkembangan ilmu matematik seperti algebra, geometri dan astronomi telah digunakan sepenuhnya dalam usaha orang Mesir Purba mengawal banjir Sungai Nil yang berlaku sekali setahun. Pemerintah Mesir Purba telah berjaya mencipta sistem pengairan yang telah menukarkan kawasan padang pasir menjadi kawasan tanah pertanian. Semasa pemerintahan Firaun Senuusret III, beliau telah membina sebuah tembok pengairan sepanjang 123 kilometer bagi menebus guna kawasan padang pasir dan membina terusan untuk mengairkan tanah seluas 10, 000 hektar. Pengetahuan dalam bidang astronomi dan matematik membolehkan orang mesir Purba memperkenalkan sistem kalendar 365 hari berdasarkan 12 bulan dalam setahun.


                                                                                                        
7.
a.
Tunjukkan lokasi Tamadun Indus.        (Buku Teks m.s: 23 - 28)


Terletak di Lembah Indus yang disaliri oleh Sg Indus, yang berpunca dari pergunungan Himalaya dan mengalir ke Laut Arab.
Dikenali juga sebagai Tamadun Harappa, terletak di bahagian Barat Laut India.
Kawasan ini dikelilingi oleh Banjaran Makran, pergunungan Baluchistan, Punjab dan Rajasthan di Bahagian Timur dan Kathiawar dan Gujerat di Bahagian Tenggara.


b.
Jelaskan kerangka masa  kewujudan Tamadun Indus.

Sekitar tahun 2500 s.m. dan merosot pada tahun 1800 s.m.


c.
Terangkan proses pembentukan Tamadun Indus.


Di bahagian Barat Laut India telah wujud penduduk yang mengamalkan kehidupan secara nomad iaitu hidup berpindah-randah dan menyara hidup dengan memburu dan mengumpul makanan.

Penduduk ini kemudian, telah membentuk petempatan kekal di sepanjang Sg. Indus. Petempatan kekal wujud disebabkan oleh Sg Indus yang bukan sahaja menyediakan sumber air tetapi juga telah dapat menyuburkan tanah.

Kepandaian penduduk  di kawasan ini menyesuaikan diri dengan alam sekitar telah meningkatkan penghasilan pertanian yang membawa kepada pertambahan jumlah penduduk. Faktor ini telah menyumbang kepada perkembangan bandar iaitu bandar utama yang terbentuk di Lembah Indus iaitu Mohenjo-Daro dan Harrapa. Manakala Lothal dan Sutkagen Dor merupakan bandar pelabuhan yang penting.




d.
Huraikan ciri-ciri Tamadun Indus.

1. Petempatan kekal.
Petempatan kekal ini membawa kepada pembentukan bandar terancang. Bandarnya terbahagi kepada dua bahagian dan dikelilingi tembok. Bahagian utama merupakan pusat pentadbiran dan keagamaan yang menempatkan bangunan pentadbiran, tempat mandi awam yang digunakan untuk upacara ritual dan pembersihan, dan tempat penyimpanan hasil pertanian. Bahagian kedua bandar ialah kawasan perumahan. Bandar-bandar dalam tamadun ini dirancang dengan sebegitu rapi terutama dari sudut susun atur yang sistematik. Perancangan bandarnya dibantu oleh kemajuan ilmu geometri dan pembinaan, serta sumbangan tamadun Mesopotamia dan Mesir Purba. Bandar-bandarnya disusun berasaskan blok-blok berbentuk segi empat dengan setiap blok dipisahkan oleh satu rangkaian jalan raya yang lurus dan bersambung antara satu sama lain.

2. Organisasi sosial.
Terbahagi kepada dua golongan (berasaskan jumpaan arkelogi) iaitu golongan atasan yang terdiri daripada pendeta dan pedagang. Pendeta  mempunyai kuasa dan pengaruh terutamanya yang melibatkan kegiatan keagamaan. Selain itu, pendeta juga memegang tampuk pemerintahan. Golongan bawahan pula terdiri daripada petani dan buruh. Golongan petani menjalankan aktiviti pertanian dan menyalurkan sebahagian daripada hasil tersebut kepada pihak berkuasa. Golongan buruh menjalankan kerja perburuhan seperti menjaga kebersihan bandar, membina tembok dan benteng dan membina terusan.

3. Pengkhususan pekerjaan.
Masyarakat ini menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi seperti perdagangan, pertanian, pertukangan dan pembuatan. Aktiviti perdagangan secara khusus membabitkan perdagangan termasuklah dengan Mesopotamia. Hubungan dagang antara kedua-dua tamadun dapat dibuktikan melalui penemuan cap mohor buatan masyarakat Lembah Indus di Mesopotamia. Antara hasil dagangan yang penting termasuklah emas, gading gajah, manik, dan hasil pertanian. Petani pula menjalankan aktiviti bercucuk tanam terutamanya bagi tanaman makanan seperti barli, kacang dan sebagainya. Selain menjadi petani dan pedagang, ada ahli masyarakat yang secara khusus menjadi artisan. Mereka ini terlibat dalam pembinaan dan penghasilan barangan logam dan barangan tembikar.


4. Amalan agama.
Dibuktikan dengan penemuan patung dan ukiran yang mempunyai unsur keagamaan. Antara yang paling penting termasuklah penemuan sebuah patung yang dirujuk sebagai patung proto-siva. Objek tersebut menunjukkan seseorang  duduk bersila dengan stail yoga dan terdapat tiga tanduk di kepalanya yang melambangkan Dewa Brahma, Visnu dan Siva. Kewujudan objek proto-siva ini menjadi sangat penting terutama dari sudut perkaitannya dengan agama Hindu kemudiannya. Selain itu, masyarakat dalam tamadun ini juga, percaya kepada Tuhan ibu.

5. Sistem tulisan.
Sistem tulisan berbentuk piktograf, walau bagaimanapun, sehingga hari ini tulisan tamadun Indus masih lagi menjadi misteri dan masih belum dapat ditafsirkan.


e.
Jelaskan sumbangan Tamadun Indus.                    

1. Keupayaan serta kebolehan
Masyarakat Lembah Indus mengeksploitasikan kelebihan yang mereka miliki untuk memudahkan kehidupan mereka sehingga akhirnya menjadi asas kepada perkembangan tamadun. Mengeksploitasikan Sg. Indus untuk memajukan kehidupan harian mereka.               
2. Perancangan bandar.
Mewujudkan sebuah bandar terancang seperti Mohenjo-Daro dan Harappa. Pembangunan bandar ini memerlukan gabungan kepakaran dari sudut letak bandarnya dan sudut pengisiannya. Oleh itu, pemahaman tentang ilmu geometri, kesenian dan matematik sangat diperlukan. Tamadun ini mencapai pemahaman dalam ilmu geometri hasil pertembungan dengan tamadun Mesopotamia. Pertembungan dengan tamadun Mesir Purba, membolehkan perancangan bandar disusun berasaskan bentuk segi empat yang diikuti oleh jalan raya  yang lurus. Selain itu, masyarakat ini juga telah meningkatkan mutu bahan binaan. Lazimnya panas matahari digunakan untuk membuat batu bata daripada tanah liat, sebaliknya mereka menghasilkan batu bata tersebut melalui pembakaran dengan suhu yang tinggi.

3. Sifat keterbukaan.
Membuat hubungan dengan tamadun lain. Tamadun Indus memperlihatkan bahawa sesebuah masyarakat itu tidak akan mampu mencapai kecemerlangan tanpa membuat hubungan serta bertukar pandangan dengan pihak lain. Hubungan dengan tamadun Mesopotamia serta tamadun Mesir Purba telah membolehkan kedua-dua belah pihak memperoleh manfaatnya sama ada dalam bentuk pertukaran atau seumpamanya.



                                                                                                        
8.
a.
Tunjukkan lokasi Tamadun Hwang Ho.          (Buku Teks m.s: 28 - 33)


Sungai menjadi nadi utama dalam pembentukan tamadun Hwang Ho.  Tamadun ini muncul daripada kesuburan tanah yang terletak di Hwang Ho atau Sungai Kuning. Hwang Ho merupakan sungai kedua terpanjang di China (5464km) dan terletak di bahagian utara negara China. Sungai ini mengalir dari kawasan tanah tinggi di sebelah barat ke Teluk Bo Hai di sebelah timur. Ciri fizikalnya bergunung-ganang dan berpadang pasir menyebabkan tamadun ini bersifat setempat.


b.
Jelaskan kerangka masa  kewujudan Tamadun Hwang Ho.

Dikesan daripada jumpaan tengkorak homo sapien yang dikenali sebagai Peking Men yang dikatakan hidup pada sekitar tahun 400, 000 S.M. Jumpaan ini membuktikan adanya kehidupan Zaman Paleolitik. Pada zaman Neolitik sekitar tahun 5000 S.M., muncul aktiviti pertanian dan penternakan. Dinasti beraja pertama di China diasaskan oleh Dinasti Hsia yang bermula sekitar tahun 2205 – 1766 S.M. Namun, belum ada bukti sejarah yang mengesahkan kewujudan Dinasti Hsia sebagaimana Dinasti Shang yang dapat dibuktikan melalui jumpaan arkeologi pada sekitar tahun 1766 – 1050 S.M. Pada penghujung pemerintahan Dinasti Shang  muncul kebangkitan hamba kerana kezaliman pemerintahan Raja Shang. Ini mendorong suku Chou yang mendiami Lembah Sungai Wei di bahagian barat mengambil kesempatan untuk menyingkirkan dan menggantikan pemerintahan Shang dengan pemerintahan Dinasti Chou dari tahun 1050 S.M. hingga tahun 256 S.M.


c.
Terangkan proses pembentukan Tamadun Hwang Ho.


Pembinaan tamadun ini berasaskan peranan  Hwang Ho yang telah menyuburkan kawasan sekitarnya. Ini menarik penduduk nomad untuk tinggal menetap dan membina petempatan awal di kawasan tersebut. Tapak Banpo yang berdekatan bandar Sian moden merupakan petempatan awal penduduk Hwang Ho. Penduduk di kawasan ini menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan binatang selain mengumpul hasil hutan dan memburu.  Perkembangan petempatan awal ini telah melahirkan beberapa buah bandar di Lembah Hwang Ho.


Salah sebuah bandar awal tamadun Hwang Ho ialah Anyang. Bandar ini merupakan pusat kerajaan Dinasti Shang. Pembentukan Dinasti Shang telah membawa banyak lagi kemajuan, khususnya dalam usaha perluasan wilayah dan penyebaran budaya ke kawasan sekitar Lembah Hwang Ho. Semasa Dinasti Chou, tamadun ini tersebar hingga ke bahagian selatan Sungai Yangtze.




d.
Huraikan ciri-ciri Tamadun Hwang Ho.

1.  Negara Kota.
Anyang merupakan salah satu contoh negara kota dalam tamadun Hwang Ho.  Anyang terletak di kawasan tanah tinggi  di Sungai Huan. Di bandar ini terdapat istana, kuil dan pusat pentadbiran. Ketua pemerintah, iaitu raja, golongan pembesar, dan golongan agama juga tinggal di kawasan bandar. Bandar Anyang dilengkapi dengan tembok untuk menghalang pencerobohan musuh dan dikelilingi oleh perkampungan yang didiami oleh masyarakat petani.

2.  Organisasi Sosial.
Golongan raja dan pembesar menduduki lapisan paling atas yang diterajui oleh raja. Sedangkan lapisan bawahan, iaitu golongan petani yang membentuk sebahagian besar penduduk, mendiami kawasan di luar bandar, iaitu di sekeliling negara kota ini. Dalam lapisan ini terdapat juga golongan artisan. Golongan ini wujud sebahagian besarnya disebabkan oleh kemahiran yang muncul dalam tamadun Shang, iaitu penguasaan mereka dalam teknologi gangsa. Gangsa telah digunakan bagi menghasilkan senjata, perisai dan hiasan pada kereta kuda yang digunakan oleh tentera dan peralatan untuk upacara keagamaan. Oleh sebab golongan pembesar sahaja yang mampu memiliki tentera dan senjata gangsa ini, maka golongan ini telah dapat menggunakan keistimewaan mereka ini untuk menundukkan golongan bawahan. Golongan paling bawah dalam masyarakat Shang ialah hamba. Perhambaan merupakan satu ciri utama dalam Dinasti Shang.

3. Pengkhususan Pekerjaan.
Golongan tentera mempunyai tentera masing-masing. Terdapat dua kumpulan tentera, iaitu tentera yang menggunakan kereta kuda dan tentera berjalan kaki. Golongan petani merupakan tonggak ekonomi dan pentadbiran berperanan memenuhi keperluan golongan atasan. Golongan petani pula membentuk kumpulan artisan. Golongan artisan telah mereka cipta pelbagai barangan tembaga seperti bekas makanan dan minuman, senjata dan barang tembikar.  Golongan hamba berfungsi sebagai tentera paksaan dan digunakan untuk kerja-kerja perburuhan, dan untuk tujuan korban dalam upacara penyembahan.

4.  Sistem pemerintahan.
Dinasti Shang berbentuk pemerintahan beraja dan pengganti raja selalunya dilantik daripada kalangan saudara lelaki yang lebih muda atau anak lelaki raja. Raja-raja Shang mempunyai kewibawaan politik, ekonomi, sosial dan agama. Raja berkuasa secara langsung di kawasan pusat pentadbiran. Masyarakat percaya yang kuasa raja merupakan mandat daripada tuhan dan raja tidak perlu mendapatkan pengesahan politik kerana mereka adalah daripada keturunan pemerintah agama. Dalam urusan pentadbiran raja dibantu oleh golongan bangsawan dan pegawai kerajaan. Bagi wilayah di luar pusat pentadbiran, pemerintahan dibantu oleh golongan bangsawan. Golongan bangsawan ini dipertanggungjawabkan untuk mentadbir wilayahnya.Oleh itu, mereka berhak mewujudkan sistem pentadbirannya sendiri dalam hal seperti pungutan cukai, pertahanan dan undang-undang. Sistem yang sama telah diasimilasikan oleh Dinasti Chou apabila mereka mengambil alih pemerintahan Shang.

Raja-raja Dinasti Chou membahagikan pemilikan tanah kepada wilayah-wilayah dan melantik pembesar tempatan di setiap wilayah ini. Raja-raja Dinasti Chou mengikat pembesar tempatan melalui ikrar taat setia kepada pemerintah Chou, di samping memberikan hadiah seperti kereta kuda, senjata gangsa, hamba dan binatang. Mereka juga diminta melindungi raja dan memberikan bantuan tentera pada masa perang. Pembesar tempatan diberikan hak untuk bertindak sebagai ketua agama untuk menjalankan upacara pengorbanan.

5.  Agama dan kepercayaan.
Masyarakat tamadun Hwang Ho mengamalkan banyak kepercayaan termasuk animisme dan politisme. Masyarakat Shang mengamalkan penyembahan roh nenek moyang, menyembah tuhan syurga (shang-ti) dan tuhan bumi (Tu), penyembahan terhadap sungai, bukit dan gunung. Upacara penyembahan melibatkan permainan muzik, tarian dan upacara korban, yang  diketuai oleh golongan bomoh. Satu lagi keunikan tamadun ini ialah jumpaan tulang binatang dan kulit kura-kura di Anyang. Tulang yang ditemui ini dikenali sebagai tulang oracle. Fungsi tulang  oracle adalah untuk meramal sesuatu keadaan. Bomoh yang terlibat dalam upacara penilikan akan meletakkan tulang ini di atas unggun api sehingga timbul rekahan dan rekahan ini ditafsirkan dan disabitkan dengan sesuatu kejadian.

6.  Sistem tulisan.
Muncul sebagai akibat daripada amalan penilikan tulang oracle. Rekahan pada tulang menimbulkan idea masyarakat tempatan untuk mencipta tulisan. Tulisan ini berbentuk ideogram, iaitu tulisan berbentuk simbol. Tulisan asal ini mempunyai gambar seperti kanak-kanak, bulan, matahari dan sungai. Namun, tulisan ini mula berubah kepada bentuk yang lebih kompleks seperti yang terdapat pada hari ini.





e.
Jelaskan sumbangan Tamadun Hwang Ho.                

1. Sistem pemerintahan.
Sistem pemerintahan monarki diteruskan hingga ke zaman Dinasti Ching. Hanya sedikit perubahan dilakukan iaitu gelaran raja ditukar kepada maharaja. Konsep anak syurga dan mandat dari syurga yang dikaitkan dengan maharaja (raja) dan amalan putaran dinasti diteruskan oleh dinasti-dinasti di China hingga abad ke-20.

2.  Ekonomi.
Pembinaan sistem pengairan. Sejak zaman awal dinasti China terutama zaman Shang, pemimpinnya amat prihatin terhadap pembangunan pertanian. Oleh itu, terusan telah dibina untuk mengairkan kawasan pertanian dan mengelakkan berlakunya banjir. Proses ini diteruskan pada zaman Chin oleh Shih Huang Ti ke kawasan barat daya China. Sebuah terusan dibina di Szechwan untuk mengairkan kawasan pertanian di wilayah tersebut.

Pembangunan sektor pertanian juga membawa kepada kemajuan dalam teknologi pembajakan dan penciptaan cangkul serta sabit. Pada zaman ini, petani mula menggunakan batas untuk tujuan penanaman. Perubahan secara evolusi juga berlaku apabila petani China mula menggantikan alat pertanian yang dibuat daripada kayu dengan yang dibuat daripada besi.

3. Sistem tulisan.
Sistem tulisan ini berkembang secara evolusi dan masih digunakan oleh orang China sehingga hari ini. Penggunaan tulisan secara meluas digunakan dalam bidang penulisan dan percetakan. Tulisan ini diajar di sekolah-sekolah China. Malah, tulisan ini terus berkembang dengan penggunaannya oleh orang Korea dan Jepun.

4.  Sistem Kepercayaan.
Pemujaan roh nenek moyang masih diamalkan sehingga ke hari ini. Unsur pemujaan yang dijalankan sejak zaman Shang diteruskan mengikut kesesuaian masa. Misalnya, unsur korban manusia tidak lagi diamalkan dan digantikan dengan unsur makanan, duit kertas dan barangan perhiasan. Konsep Yin dan Yang, dan Feng Hsui juga terus diamalkan sehingga hari ini.

5. Sistem kalendar.
Semasa pemerintahan Shang, sistem kalendar diperkenalkan dengan terdapat 30 hari sebulan dan 360 hari setahun. Raja menggunakan kalendar untuk menentukan musim menanam, musim menuai, untuk menjalankan aktiviti harian seperti upacara perkahwinan, perburuan dan pengkebumian.


6. Pengamalan falsafah perang Sun Tzu.
Karya Sun Tzu, iaitu The Art of War yang membicarakan tentang selok-belok perang dan bagaimana menangani musuh telah diulang cetak dalam pelbagai bahasa. Pada hari ini, falsafah tersebut diaplikasikan sebagai taktik dalam urusan perniagaan.


                                                                                                        
9.
a.
Apakah persamaan yang dapat pelajar kesan daripada empat tamadun awal tersebut?                        
                                                                                                 (Buku Teks m.s: 34)


1.  Dari segi proses pembentukannya.
Setiap tamadun berkembang daripada perkampungan prasejarah akhir, iaitu daripada perkampungan lahirlah bandar dan negara kota.

2. Perkembangan kegiatan ekonomi.
Kegiatan ekonomi berkembang pesat  di kota-kota akibat daripada pertambahan penduduk.  Kepelbagaian ekonomi membawa kepada pengkhususan kerja dan keperluan infrastruktur seperti jalan dan kawalan undang-undang.

3. Sistem pemerintahan.
Sistem pemerintahan berubah menjadi bertambah kompleks sebagai akibat daripada kepesatan dan perkembangan kegiatan ekonomi.


b.
Terangkan aspek-aspek yang dapat kita teladani daripada empat tamadun awal tersebut



1.  Setiap tamadun adalah unik dan istimewa.
Tamadun Mesopotamia telah memperlihatkan usaha manusia untuk hidup lebih aman melalui pengenalan Undang-Undang Hammurabi. Tamadun Mesir Purba dengan keajaiban seni binanya. Tamadun Indus dengan keunikan sistem perancangan bandarnya. Tamadun Hwang Ho pula, menunjukkan kecekalan para pemerintah dan masyarakatnya mengawal aliran Hwang Ho agar tidak memudaratkan kegiatan
pertanian mereka.Masyarakat Hwang Ho tidak melarikan diri atau berpindah daripada bahaya banjir yang melanda, sebaliknya mereka membina sistem pengairan bagi mengelakkan bahaya tersebut.                                                                   


2. Setiap kejadian Yang Maha Esa itu mempunyai hikmah dan faedah.
Hikmah dan faedah itu akan dapat dihasilakn sekiranya manusia bersikap cekal dan berttindak secara inovatif. Sikap seperti ini, masih tetap relevan pada zaman moden untuk membina tamadun masa kini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...