Khamis, 16 Februari 2012

NOTA SOALAN DAN JAWAPAN BAB 7 TINGKATAN 4




 1.
 BAB7

a.
 ISLAM DI ASIA TENGGARA

Nyatakan tokoh yang mengemukakan teori Islam disebarkan ke 
 Asia Tenggara dari  Semenanjung Tanah Arab. (Rujuk Buku Teks m.s: 175-176)


·       John Crawford dan disokong
·       Profesor  Syed Muhammad Naquib al-Attas.

b.
Jelaskan bukti-bukti yang menyokong teori ini.


John Crawford,
Islam berkembang ke Asia Tenggara menerusi aktiviti para pedagang.
·      bukti catatan China yg mengatakan bahawa orang Arab dan Parsi telah mempunyai pusat perniagaan dan petempatan di Canton atau Amoy sejak tahun 300 M..
·      Sejak awal lagi pedagang Arab telah menguasai perdagangan laut dari pelabuhan Iskandariah di Mesir hingga ke China. Mereka berdagang secara berterusan di rantau ini terutama setelah kemunculan Islam di Makkah pada abad ketujuh Masihi.
·      Pedagang Arab yang berdagang ke China telah singgah di pelabuhan utama di Asia Tenggara terutamanya pelabuhan di Selat Melaka. Disebabkan kedudukan Selat Melaka yang strategik kerana terletak di tengah-tengah laluan perdagangan, pelabuhan-­pelabuhan tersebut menjadi tempat menunggu perubahan angin monsun untuk ke China.
·      Kebanyakan pedagang Arab menetap selama beberapa bulan sebelum meneruskan perjalanan sehingga sebahagian besar daripada mereka telah membina perkampungan di situ. Perkampungan ini penting kerana menyediakan tapak untuk berdagang serta berfungsi sebagai tempat mengumpul barang jualan dan tempat membeli barang-­barang mewah yang datang dari China dan India.
·      Selain itu, terdapat orang Arab di perkampungan ini yang berkahwin dengan wanita tempatan.
·      Masa menunggu perubahan angin monsun digunakan oleh para pedagang  untuk berbincang serta berinteraksi dengan pedagang tempatan dan Asia Tenggara tentang kepercayaan dan agama.
·      Kehidupan serta nilai Islam yang murni yang diperlihatkan oleh para pendakwah serta pedagang Islam telah menarik minat orang tempatan untuk mendalami agama Islam.
·      Kejujuran pedagang Islam menjalankan perniagaan, sifat mementingkan kebersihan, dan berhemah tinggi merupakan sesuatu yang menarik minat masyarakat dan pedagang tempatan kepada Islam.
·      Kehidupan dan aktiviti para pedagang Arab ini terdapat dalam catatan China yang mengatakan bahawa telah wujud sebuah perkampungan Islam bernama Ta Shih di Sumatera Utara pada tahun 650 M.. Perkampungan ini menunjukkan bahawa Islam telahpun bertapak di Asia Tenggara sejak abad ketujuh Masihi.
Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas menggunakan bukti
·      Wujud  persamaan antara bahan penulisan dan kesusasteraan di Asia Tenggara dengan yang terdapat di Semenanjung Tanah Arab.
·      Perkataan Arab yg terdapat pada tulisan jawi telah diambil drpd bahasa Arab.
·      Adat resam dan kebudayaan orang Melayu banyak dipengaruhi oleh budaya Arab. Contohnya, amalan menghormati tetamu dan muzik Melayu seperti dabus dan tarian zapin.
·      Kebanyakan karya tempatan menceritakan bahawa pengislaman raja di Asia Tenggara dilakukan oleh syeikh dari Semenanjung Tanah Arab. Misalnya, Hikayat Raja-Raja Pasai menceritakan bahawa mubaligh atau pendakwah yg pertama tiba di Pasai ialah sufi berketurunan Arab bernama Syeikh Ismail. Beliau berjaya mengislamkan Raja Pasai iaitu Merah Silu yg bergelar Malik al-Salih. Manakala, Raja Pattani,  Phaya Tu Nakpa diislamkan oleh Syeikh Said.  

Bukti tambahan,
·      Kebanyakan kitab agama dalam bahasa Melayu menggunakan bahasa dan gaya penulisan yg dipengaruhi oleh bahasa Arab.Contohnya, Hikayat Nabi Bercukur.
·      Tiada unsur India dalam kitab karangan ulama tempatan
·      Kitab tempatan seperti tauhid, tafsir al-Quran dan hadis didapati menggunakan bahasa Arab dan sumber rujukan dari Semenanjung Tanah Arab.



2.
a.
Nyatakan tokoh yang mengemukakan teori Islam disebarkan ke Asia Tenggara dari China. (Rujuk Buku Teks m.s: 177-178)


·      Emanuel Gadinho Eredia dan
·      S. Q. Fatimi.

b.
Jelaskan bukti-bukti yang menyokong teori ini.


Emanuel Gadinho Eredia memberikan alasan
·      Khan Fo atau Canton (sekarang dikenali Guang Zhou) menjadi pusat perniagaan  terkenal dlm kalangan peniaga Arab yang beragama Islam sejak abad kesembilan Masihi. Jalinan hubungan antara peniaga ini, juga membolehkan Islam berkembang di kalangan peniaga China di negara China. Apabila peniaga China Islam ini berdagang ke Asia Tenggara, mereka turut menyebarkan Islam kepada masyarakat Asia Tenggara.
S. Q. Fatimi pula memberikan bukti
·      berlaku perpindahan beramai-­ramai  pedagang Islam  yang tinggal di Canton atau Amoy ke Asia Tenggara pada sekitar tahun 876 M. Pendapat ini dikukuhkan dengan penemuan Batu Bersurat Terengganu di Kuala Sungai Tersat, Kuala Berang, Terengganu. Walaupun Batu Bersurat Terengganu ini masih tidak diketahui asal usulnya, namun, di Terengganu telah wujud sebuah kerajaan tua yang bergantung kepada perdagangan.

Pendapat lain,
·      terdapat persamaan unsur seni bina di China dengan unsur seni bina pada masjid-masjid di Nusantara seperti di Kelantan, Melaka dan Pulau Jawa.
·      Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Islam berkembang ke Asia Tenggara dari China tetapi menerusi Champa.
·      Di Melaka, unsur seni bina China dapat dilihat pada bentuk bumbung masjid yang mempunyai persamaan dengan bentuk  bumbung rumah ibadat China (pagoda), iaitu bahagian hujung perabung atapnya kelihatan melentik. Selain itu, terdapat pengaruh atap genting China serta warna merah dan kuning pada kayu kepala pintu dan tingkap masjid. Begitu juga pada jubin lantai, dinding, tangga, dan kolam air di masjid.

Bukti tambahan,
·      Pada tahun 1953 sepasang batu nisan yang mempunyai tulisan ayat-ayat al-Quran dan kalimah Allah bertarikh 1028 M, ditemui di Kampung Permatang Pasir, Pulau Tambun, Pekan, Pahang.
·      Ini menunjukkan, Islam telah sampai ke kawasan Pantai Timur Tanah Melayu sebelum abad ke-13.
·      Pandangan ini mendakwa bahawa Islam telah dibawa oleh mubaligh China Islam menerusi Laut China Selatan, ke Phang Rang di Indo China, dan ke Pekan, Pahang.



3.
a.
Nyatakan tokoh yang mengemukakan teori Islam disebarkan ke Asia Tenggara dari India. (Rujuk Buku Teks m.s: 178)


·         Snouck Hurgronje, sejarawan Belanda.

b.
Jelaskan bukti-bukti yang menyokong teori ini.


Snouck Hurgronje berpendapat
·      Hubungan perdagangan yang lama wujud antara India dengan Asia Tenggara membolehkan pedagang India Islam menyebarkan Islam ke rantau ini.
·      Gujerat ialah pelabuhan penting pada zaman pemerintahan Alaudin Khilji di India. Menerusi perdagangan, pedagang Islam menyebarkan Islam kepada pedagang atau masyarakat di rantau Asia Tenggara.
·      Terdapat batu marmar pada batu nisan di perkuburan Malik Ibrahim di Gerisik, Jawa, dan batu nisan Malik al-Salih di Pasai yang mempunyai ciri buatan  India. Dengan itu, wajarlah dikatakan Islam telah disebarkan ke Kepulauan Melayu ini oleh pedagang India Islam.
·      Masyarakat Asia Tenggara juga mempunyai perkaitan yang  rapat dengan India terutama dari segi budaya.  Kewujudan unsur kebudayaan Hindu di Asia Tenggara menunjukkan terdapat hubungan yang rapat antara kedua-dua negara sejak dahulu lagi.

Walaupun ada pelbagai pendapat tentang kedatangan Islam ke Asia Tenggara, namun, sejarawan bersetuju bahawa kedatangan Islam ke rantau ini telah dibawa oleh pedagang Islam. Mereka terdiri daripada pedagang Arab, China dan India.



Hasil Pembelajaran

Pada akhir pelajaran ini, murid-murid akan dapat;

Memahami proses penyebaran Islam di Asia Tenggara
Aras 1
·         Menyenaraikan cara penyebaran Islam di Asia Tenggara
Aras 2
·         Menghuraikan cara penyebaran dan penerimaan Islam di Asia Tenggara
Aras 3
·         Merasionalkan keistimew aan Islam yang menarik minat masyarakat Asia 
Tenggara untuk memeluk Islam

4.

Terangkan cara-cara penyebaran Islam melalui:  (Rujuk Buku Teks m.s: 179-185)

a.
Perdagangan.



·      Dakwah Islamiah disebarkan ke Asia Tenggara oleh para pedagang Arab, China dan India.
·      Mereka telah lama menjalin hubungan perdagangan dengan pelabuhan utama di Asia Tenggara seperti pelabuhan di Selat Melaka, Teluk Siam, Indo-China serta pelabuhan di Kepulauan Rempah seperti Maluku dan Makasar termasuk pelabuhan di Laut Jawa.
·      Pelabuhan menjadi pusat kegiatan manusia dari pelbagai tempat termasuk masyarakat tempatan. Kepercayaan dan amalan baru sentiasa menjadi tajuk perbualan serta ikutan mereka yang berada di tempat ini.
·      Kemurnian sikap dan tingkah laku pedagang Islam yang datang dari Semenanjung Tanah Arab, India dan China, telah menjadi ikutan penduduk setempat.
·      Perkampungan pedagang Islam ini, telah menjadi pusat perbincangan tentang agama Islam di kalangan pedagang yang tinggal di situ.
·      Semangat dakwah Islamiah yang tertanam di hati pedagang telah menarik minat masyarakat tempatan di bandar-bandar pelabuhan.
·      Selain berdakwah, para pedagang juga membawa ulama untuk menyebarkan Islam. Mereka tinggal selama beberapa bulan atau sesetengahnya menetap di pelabuhan di Asia Tenggara untuk menjalankan kegiatan dakwah Islamiah di bandar  pelabuhan tersebut.
·      Islam lebih cepat tersebar apabila pedagang yang berdakwah mengamalkan sifat berhemah dan lemah lembut semasa menyampaikan ajaran Islam. Sifat mahmudah yang ada pada mereka telah menarik lebih ramai penduduk tempatan memeluk Islam.
·      Islam juga tersebar kerana adanya hubungan baik antara pedagang Islam dengan pemerintah tempatan. Pemerintah tempatan, memberikan keistimewaan tertentu kepada pedagang yang singgah di kawasan mereka dan peluang ini digunakan oleh pedagang Islam untuk berdakwah kepada masyarakat setempat.
·      Disebabkan kejujuran dan sifat amanah para pedagang Islam ini, ramai di kalangan mereka telah dianugerahkan jawatan syahbandar di beberapa bandar pelabuhan di Asia Tenggara. Dengan itu Islam juga tersebar menerusi peranan syahbandar.  (Syahbandar ialah pentadbir pelabuhan yang bertanggung­jawab berurusan dengan setiap pedagang tentang hal perdagangan. Syahbandar amat penting kerana beliaulah yang menentukan kemajuan perdagangan. Kejujuran syahbandar dan kebijaksanaannya mengurus para pedagang dari pelbagai tempat inilah yang menentukan kejayaan pelabuhan tersebut).


b.
Perkahwinan


·         Islam juga tersebar menerusi perkahwinan, termasuk perkahwinan
siasah dan perkahwinan biasa.
·         Perkahwinan siasah berlaku dalam kalangan kerabat diraja. Misalnya, di Melaka, Sultan Mansur Syah dan Sultan Muzafar Syah mengahwinkan puteri-puteri mereka dengan raja Siak, Kampar, Inderagiri, dan Jambi di Sumatera
Utara. Selain itu, puteri raja Melaka juga dikahwinkan dengan raja Pahang dan raja Kedah. Dengan perkahwinan itu, negeri‑negeri tersebut dapat diislamkan.
·         Perkahwinan biasa pula berlaku antara pedagang Islam atau ulama Islam dari
Semenanjung Tanah Arab dengan penduduk tempatan. Menerusi perkahwinan ini, Islam tersebar di kalangan keluarga orang yang baru dikahwini. Seterusnya, Islam tersebar pula di kalangan masyarakat sekeliling keluarga yang dikahwini oleh pedagang tersebut.



c.
Pengislaman raja dan golongan bangsawan


·         Islam seterusnya tersebar menerusi peranan raja dan golongan bangsawan.
·         Masyarakat Asia Tenggara khususnya masyarakat Melayu, sangat mentaati golongan pemerintah. Keadaan ini menyebabkan raja dan golongan bangsawan mempunyai pengaruh yang kuat terhadap rakyat. Apabila raja di sesebuah negeri memeluk Islam, amalan ini akan diikuti oleh rakyatnya.
·         Sebagai contoh, pengislaman Megat Iskandar Syah telah diikuti oleh pembesar Melaka, keluarga diraja, dan rakyat Melaka secara keseluruhannya. Di Pasai, pengislaman Raja Malik al-Salih, menyebabkan para pembesar turut memeluk Islam. Selepas pengislaman Raja Malik al-Salih, Pasai menjadi sebuah kerajaan Islam yang kuat dan menerusi usaha yang dijalankan oleh pihak pemerintah, Islam tersebar dengan cepat.



d.
Kelahiran kerajaan Islam
·         Antara kerajaan Islam awal di Asia Tenggara termasuklah kerajaan Perlak, Samudera-Pasai, Melaka, Acheh, Demak, Mataram, Sulu dan Mindanao. Kerajaan ini meluaskan Islam menerusi penguasaan terhadap kawasan baru.
·         Sejak abad ke-15, Melaka muncul sebagai pusat penyebaran Islam yang terkenal. Tokoh yang memainkan peranan penting ialah Tun Perak.
·         Tun Perak, bendahara Melaka telah berjaya menguasai beberapa kawasan baru seperti kawasan pesisiran pantai Sumatera Utara,  iaitu  Aru, Rokan, Siak, Kampar, dan Inderagiri menerusi penaklukan.

·         Penguasaan terhadap kawasan ini membolehkan rakyat kawasan baru yang dikuasai itu mendapat keistimewaan daripada Melaka. Ini mendorong mereka memeluk Islam.
·         Selepas rakyat memeluk agama Islam, ulama telah dihantar ke kawasan tersebut untuk mengajar mereka tentang agama Islam.
·         Kerajaan Johor-Riau merupakan warisan daripada Kesultanan Melayu Melaka telah berusaha mengembalikan kegemilangan kerajaan Melaka. Usaha kerajaan ini untuk menguasai Melaka telah dapat meningkatkan penyebaran Islam. Kerajaan ini berusaha menawan kembali Melaka daripada Portugis bagi mengelakkan Melaka menjadi pusat penyebaran agama Kristian.
·         Setelah menguasai Majapahit, kerajaan Demak juga menyebarkan Islam ke seluruh Pulau Jawa. Usaha  ini telah diikuti oleh kerajaan Islam lain di Jawa seperti kerajaan Pajang dan kerajaan Mataram.
·         Pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Acheh telah menjadi kuasa yang kuat di Asia Tenggara. Kehadiran Barat dan pengaruh agama Kristian di Kepulauan Melayu menyebabkan Acheh berusaha untuk menyekat perkembangan agama tersebut.
·         Antara langkah yang dilakukan oleh Acheh termasuklah menaungi beberapa negeri kecil di Sumatera Utara dan menakluki negeri-negeri di Tanah Melayu. Tujuannya agar agama Kristian tidak berkembang ke kawasan pedalaman.  
·         Kerajaan Acheh merupakan sebuah kerajaan yang kukuh dan menjadi pusat perdagangan penting di bahagian Utara Selat Melaka yang digelar Serambi Makkah. Kebanyakan orang Islam dari Asia Tenggara akan singgah.di Acheh dalam pejalanan ke Makkah untuk menunaikan haji.
·         Kerajaan Melayu tua di Asia Tenggara, iaitu Pattani telah diislamkan pada tahun 1457, berlaku apabila rajanya Raja Phaya Tu Nakpa menganut Islam dan  menukar namanya kepada Sultan Mahmud Syah. Walaupun Raja Pattani diislamkan pada abad ke-15 tetapi Islam telah berkembang ke Pattani sejak
     abad ke-10 1agi dengan  kedatangan para pendakwah serta pedagang Islam Arab dan Parsi ke Pattani.
·         Penyebaran Islam di Pattani dilakukan sepenuhnya semasa pemerintahan Sultan Mudzaffar Syah dengan pengislaman keseluruhan wilayahnya.
·         Islam bertapak di Brunei menerusi peranan Brunei sebagai pusat perdagangan yang penting di Borneo. Bukti tentang ketibaan Islam di Brunei adalah berasaskan catatan China pada tahun 977 M. yang mengatakan Brunei telah menghantar seorang pembesar, iaitu Pu Ali, ke China.
·         Walau bagaimanapun, Islam tersebar dengan meluas di Brunei dan di pantai pulau Borneo hanya pada abad ke-15 dan ke-16.
·         Salah seorang pendakwah yang telah menyebarkan Islam di wilayah ini ialah Syariff Ali Mufaqih Muqaddam atau Syariff Berkat yang berasal daripada keturunan Nabi Muhammad s.a.w.
·         Dengan pengislaman Brunei, wilayah di sekitarnya seperti Kepulauan Sulu dan Mindanao telah diislamkan.
·         Bukti kukuh tentang kedatangan Islam ke Champa adalah agak lewat. Bukti tersebut ialah penemuan batu nisan yang bertarikh 1039 M. dan sebuah prasasti bertarikh 1025 M. yang mencatatkan syarat pembayaran cukai dan hutang.


e.
Peranan pusat kebudayaan


·      Pusat kebudayaan di Asia Tenggara wujud di Perlak, Samudera-Pasai, Riau dan Acheh.  
·      Pusat kebudayaan ini bertindak sebagai pusat keilmuan dan pusat penyebaran Islam. Di sini terdapat institusi pendidikan dan golongan cerdik pandai.
·      Pada zaman keagungan kerajaan Samudera-Pasai, bandar ini telah menjadi pusat penterjemahan di Kepulauan Melayu. Banyak kitab Arab diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
·      Sultan Mansur Syah yang memerintah Melaka pernah mengirimkan kitab al-Dur al-Manzum ke Samudera-Pasai untuk diterjemahkan oleh ulama Pasai.
·      Cerdik pandai dan ulama di Samudera-Pasai juga menjadi pakar rujuk kepada para ulama dari luar. Sultan Mahmud Syah dari Melaka pernah merujuk ke Samudera-Pasai tentang kemusykilan berkaitan masalah agama.
·      Pada zaman kemuncak keagungan kerajaan Melayu Melaka, terdapat beberapa buah buku kesusasteraan yang dipengaruhi oleh gaya tulisan Arab seperti Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Nabi Bercukur.
·      Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Ali Hanafiah bukan sahaja menjadi bahan bacaan tetapi telah memberi semangat serta kekuatan kepada orang Islam untuk menentang musuh di medan peperangan.
·      Di Acheh, terdapat banyak karya puisi seperti syair yang dihasilkan oleh penulis tempatan telah menarik pembaca untuk menghayati Islam. Karya seperti Bustanus Salatin yang mengisahkan keindahan sebuah kerajaan, istana kota dan taman-taman.
·      Di samping itu, terdapat ulama Islam yang menghasilkan karya tentang pemikiran Islam seperti Hamzah al-­Fansuri, Syeikh Nurudin al-Raniri, Syeikh Syamsudin al­-Sumaterani dan Abdul Rauf Singkel. Karya mereka telah memperkaya pemikiran dan kebudayaan rantau Asia Tenggara dan seterusnya membantu perkembangan Islam dalam jangka panjang.
·      Usaha-usaha sebegini juga dilakukan oleh kerajaan Johor-­Riau yang memainkan peranan sebagai pusat kebudayaan Islam pada abad ke-18.
·      Pelabuhan Johor-Riau pada masa ini merupakan pusat empo­rium yang penting di Asia Tenggara. Banyak hasil kesusasteraan ditulis pada zaman kegemilangan kerajaan ini seperti Tuhfat al-Nafis dan Peringatan Sejarah Johor.


f.
Peranan mubaligh atau pendakwah


·      Mubaligh atau pendakwah, ulama, dan ahli sufi telah memainkan peranan secara langsung untuk menyebarkan Islam di Asia Tenggara.

·      Syeikh Ismail dan Fakir Muhammad merupakan pendakwah terawal berdakwah di Asia Tenggara. Selepas itu, pendakwah lain telah datang ke Asia Tenggara untuk meneruskan penyebaran Islam.
·      Syarif Amir Sayyid al-Syirazi dan Tajuddin al-Asfahani menyebarkan dakwah Islamiah di Pasai.
·      Di Melaka terdapat pendakwah seperti Syeikh Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar dan Maulana Yusuf.
·      Pendakwah yang mempunyai keperibadian yang baik, jujur dan berlemah-lembut tentu berjaya mencapai matlamat masing-masing.
·      Di Melaka, pada peringkat awal, ulama mengajar perkara asas tentang Islam secara tidak formal tetapi apabila Islam semakin berkembang, mereka mengajar perkara ini secara formal. Mereka menjadikan masjid, istana dan rumah mereka sebagai tempat untuk mempelajari ilmu pengetahuan Islam.
·      Institusi pendidikan awal ini berkembang menjadi pusat pendidikan seperti pondok atau pesantren. Di Acheh, pondok dikenali sebagai dayah.
·      Muncul ulama tempatan seperti Hamzah al-Fansuri, Syamsudin al-Sumaterani dan Abdul Rauf Singkel.
·      Acheh menjadikan ulama sebagai penasihat kepada raja yang memerintah. Seramai 22 orang ulama telah ditugaskan di Balai Gadang untuk memberikan bantuan kepada pentadbiran Acheh. Dengan itu Is­lam dapat dipraktikkan dalam politik dan pentadbiran Acheh.
·      Di Jawa, kebijaksanaan Wali Songo (Wali Sembilan) berdakwah berjaya mengislamkan ramai masyarakat tempatan. Pada masa pemerintahan kerajaan Islam Demak di Jawa, Wali Songo telah menjadikan Demak sebagai pusat pergerakan dakwah Islamiah. Mereka mendirikan sebuah masjid, iaitu Masjid Agung Demak untuk menjadi markas dakwah Islamiah.



g.
Keistimewaan Islam


·      Kemurnian ajaran Islam telah menarik orang ramai menganuti agama Islam.
·      Konsep Tuhan Yang Maha Esa atau Tauhid, keadilan, hak individu dan masyarakat, kehidupan yang harmoni, menyanjung ­akhlak mulia, dan menganjurkan konsep kebahagian di dunia dan akhirat. Hal ini menyebabkan agama Islam tersebar meluas di Asia Tenggara.
·      Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. merupakan agama yang menuntut manusia berfikir secara rasional dan pemikiran ini berjaya diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat di Asia Tenggara.



Hasil Pembelajaran

Pada akhir pelajaran ini, murid-murid akan dapat;

Memahami pengaruh Islam di Asia Tenggara
Aras 1
·         Menyatakan pengaruh Islam dalam masyarakat di Asia Tenggara
·         Menyenaraikan kerajaan-kerajaan Islam di Asia Tenggara
Aras 2
·         Mengklasifikasikan pengaruh Islam dalam masyarakat di Asia Tenggara
·         Menghuraikan pengaruh Islam dalam bidang pentadbiran dan pemerintahan kerajaan Asia Tenggara
Aras 3
·         Mengkaji sumbangan kerajaan-kerajaan Islam dalam perkembangan Islam di Asia Tenggara

5.

Huraikan pengaruh Islam di Asia Tenggara dalam aspek-aspek berikut;
(Rujuk Buku Teks m.s: 185-191)


·      Sebelum agama Islam berkembang ke Asia Tenggara, masyarakat di rantau ini berpegang pada prinsip dan budaya Hindu.
·      Kedatangan Islam telah mencorakkan kehidupan baru yang berbeza daripada zaman sebelumnya. Unsur-unsur yang diperkenalkan oleh Islam kekal hingga ke hari ini.

a.
Pemerintahan dan pentadbiran


·      Dengan kedatangan Islam beberapa pengubahsuaian telah dilakukan pada sistem pemerintahan beraja. Pengubahsuaian yang besar ialah sistem pemerintahan berasaskan Islam.
·      Institusi kesultanan telah diperkenalkan dan ini diwarisi daripada amalan pemerintah kerajaan Abbasiyah di Baghdad dan kerajaan Turki Uthmaniyah.
·      Sultan sebagai ketua negara.
·      Mufti dilantik sebagai penasihat sultan dalam hal ehwal agama Islam dan pentadbiran negara. Selain mufti, wujud pegawai dan petugas seperti kadi, khatib, bilal, pemungut zakat, penyelia baitulmal, dan penjaga harta wakaf.
·      Penggunaan gelaran sultan telah mengukuhkan kedudukan kerajaan Islam di Alam Melayu dan menjamin kewibawaan raja. Penyelarasan gelaran ini meletakkan mereka setaraf dengan pemerintah kerajaan Islam lain di seluruh dunia dan memupuk semangat persaudaraan di kalangan umat Islam.
·      Dalam Hukum Kanun Melaka, raja-raja Melaka diberi gelaran Khalifatul Mukminin yang bererti pemimpin orang mukmin.
·      Perkataan Khalifatul Mukmin juga tercatat pada mata wang syiling dalam kerajaan Melayu Melaka, Johor,  Pahang,  Kedah,  Terengganu  dan  Kelantan.
·      Gelaran Zillulah fil 'Alam yang bermaksud bayangan Allah di dalam alam juga digunakan oleh raja-raja Melaka.
·      Islam dijadikan agama rasmi oleh kerajaan Islam di Asia Tenggara, seperti kerajaan Melayu Melaka, kerajaan Acheh dan kerajaan Brunei.
·      Sultan merupakan khalifah Allah atau wakil Allah di bumi dan mereka haruslah menunaikan amanah Allah, iaitu memerintah dengan adil.
·      Beberapa orang sultan yang alim berpegang teguh kepada ajaran Islam seperti Sultan Malik al-Zahir dari Samudera-Pasai, Sultan Ali Mughayat Syah, dan Sultan Iskandar Thani dari Acheh. Sultan-sultan ini menerapkan unsur-unsur Islam dalam pemerintahan mereka bagi menggantikan sistem pemerintahan beraja Hindu yang berasaskan konsep dewa­raja.
·      Unsur-unsur Islam juga diterapkan pada nama  negeri seperti Acheh Darus Salam. Nama raja juga menggunakan  nama Islam seperti Sultan Mansur Syah yang bermaksud pemerintah yang dibantu oleh Allah dan Sultan Mahmud Shah pula bermaksud sultan terpuji.
·      Bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negeri, pemimpin kerajaan Islam Asia Tenggara telah memperkenalkan undang­undang syariah. Walaupun undang-undang ini tidak dapat dijalankan sepenuhnya kerana masih terikat dengan undang-­undang adat,  namun,  beberapa perubahan dapat dilihat. Misalnya, dalam mengendalikan kes jenayah seperti kecurian dan pembunuhan, urusan pernikahan,  perniagaan, dan pembahagian harta pusaka.
·      Kerajaan Melayu Melaka, mempunyai undang-undang awam dan jenayahnya sendiri berdasarkan undang-undang syariah dan undang-undang adat. Undang­undang syariah ini termaktub dalam Hukum Kanun Melaka yang digubal oleh Sultan Muzzafar Syah.  Pada zaman pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Syah, undang-undang Islam ini dipraktikkan dengan tegas di Melaka.
·      Di Acheh, terdapat kanun yang mempunyai ciri-ciri sebuah perlembagaan Islam yang dikenali sebagai Kanun Mahkota Alam.
·      Kedatangan Islam juga telah menggerakkan semangat jihad di kalangan rakyat tempatan untuk menentang penjajahan Barat.  Di Acheh, sultan menggunakan semangat jihad untuk melindungi kesucian Islam daripada serangan Portugis. Begitu juga di Jawa, rakyat tempatan bersatu teguh dengan prinsip-prinsip Islam untuk menghalau penjajah Portugis dan Belanda.
·      Semangat jihad disebarkan kepada rakyat tempatan Acheh menerusi penulisan ulama dalam kitab tertentu. Syeikh Nurudin al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel menegaskan tentang kewajipan berjihad bagi setiap orang Islam.  Menurut mereka, sesiapa yang tidak berjihad akan berdosa besar.
·      Syeikh Daud al-Pattani turut memuatkan penerangan tentang kelebihan berjihad dalam kitab karangannya. Walaupun tidak menetap di Pattani, namun, beliau sering menulis surat  kepada pelajarnya di Pattani supaya menentang penjajah Siam.


b.
Sistem pendidikan


·         Sebelum kemunculan Islam di Asia Tenggara golongan awam tidak berpeluang mendapat pendidikan. Pendidikan hanya terbatas kepada golongan bangsawan.
·         Dengan kedatangan Islam, sikap terhadap kepentingan ilmu dapat ditanamkan ke dalam jiwa kesemua golongan masyarakat. Ini berasaskan seruan Islam yang mewajibkan setiap orang Islam menuntut ilmu.
·         Sikap mementingkan ilmu menjadi titik tolak kepada perkembangan pendidikan dan kewujudan institusi pendidikan formal di Asia Tenggara seperti istana, pondok, pesantren, madrasah dan surau.
·         Pusat pendidikan Islam formal terawal di Asia Tenggara muncul dalam pemerintahan kerajaan Perlak di Sumatera Utara. Pusat pendidikan tersebut ialah pondok atau dayah; Dayah Bukit Ce Breek yang didirikan pada abad ke-9 Masihi.
·         Di Samudera-Pasai, muncul pusat penterjemahan karya agama yang menjadi tempat rujukan kerajaan Islam lain seperti kerajaan Melayu Melaka.
·         Pendidikan pondok berkembang ke negara Asia Tenggara yang lain seperti Pattani, Acheh, dan Jawa dengan menggunakan nama-nama tertentu.
·         Di Pattani, pelajar yang menuntut di pondok ini terdiri daripada masyarakat tempatan dan pelajar dari negeri lain di Asia Tenggara.
·         Dalam Kesultanan Melayu Melaka, institusi pondok belum wujud pada masa itu. Walau bagaimanapun, masyarakat digalakkan menuntut ilmu pengetahuan di rumah ulama, masjid dan surau. Manakala istana pula merupakan pusat pendidikan formal untuk golongan bangsawan.
·         Acheh menggantikan Melaka sebagai pusat pendidikan Islam selepas Melaka dikuasai oleh Portugis. Sistem pendidikan di Acheh lebih sistematik berbanding dengan kerajaan Perlak, Samudera-Pasai, dan kerajaan Melayu Melaka.
·         Terdapat beberapa peringkat sistem pendidikan di Acheh, iaitu peringkat rendah (rangkang), menengah (muenasah), dan pengajian tinggi atau universiti (Jamiah Bait al-Rahman).
·         Kepesatan perkembangan institusi pendidikan menyebabkan ramai pelajar dari luar Acheh mendalami ilmu pengetahuan Islam di Acheh pada abad ke-16 dan ke-17 sehinggakan Acheh digelar sebagai Serambi Makkah.
·         Pada zaman pemerintahan kerajaan Acheh, wanita juga digalakkan belajar di dayah dan diberi peluang memegang jawatan dalam pentadbiran.
·         Pendidikan Islam seterusnya tersebar meluas ke Pulau Jawa, Pattani, Filipina, Riau, dan Semenanjung Tanah Melayu.
·         Ini menunjukkan bahawa wujud sistem pendidikan formal di Asia Tenggara sebelum kedatangan Barat.


c.
Bahasa dan kesusasteraan


·         Kedatangan Islam telah meningkatkan mutu bahasa dan kesusasteraan Melayu. Pengaruh Islam dalam bidang bahasa dapat dikenal pasti dalam aspek tulisan khususnya dengan kewujudan tulisan jawi.
·         Angka dalam tulisan jawi berasal daripada tulisan Arab (tulisan al-Quran) dan ulama tempatan telah mengubahsuai huruf Arab dalam al-Quran bagi menulis perkataan Melayu. Tulisan ini kemudian menjadi tulisan rasmi dalam pentadbiran kerajaan Islam sehingga berupaya mengambil tempat tulisan Palava Dewanagari yang diperkenalkan pada zaman Hindu-Buddha.
·         Melalui tulisan jawi, istilah bahasa Arab digunakan dalam bahasa Melayu seperti sultan, syukur, masjid, berkat dan alam. Dengan huruf jawi juga, masyarakat Melayu telah menggunakannya untuk membaca dan menulis.
·         Lahir sasterawan tempatan seperti Tun Sri Lanang, Syamsudin al-Sumaterani dan Abdul Rauf Singkel.
·         Bahasa Melayu berkembang dan menjadi bahasa lingua-franca bagi kawasan Kepulauan Melayu yang mampu bersaing dengan bahasa lain di dunia. Bahasa Melayu juga telah meningkat tarafnya sehingga menjadi bahasa ilmu.
·         Sebelum kedatangan Islam, bahasa-bahasa lain tidak dapat berperanan menyampaikan ilmu dengan berkesan.
·         Kedatangan Islam juga menyebabkan bahasa Melayu menjadi lebih mantap, misalnya, cerita-cerita panji yang ditulis dalam bahasa Jawa telah disampaikan dalam bahasa Melayu.
·         Hasil kesusasteraan Melayu turut terpengaruh dengan gaya dan tatabahasa bahasa Arab. Begitu juga dengan bentuknya, yang dipengaruhi oleh bentuk sastera Islam seperti syair, gurindam, nazam, dan cerita hikayat.
·         Fungsi sastera juga berubah, iaitu daripada tujuan untuk berhibur kepada tujuan untuk mengkritik.
·         Penggunaan bahasa Melayu merangkumi juga bidang perdagangan. Kedudukan Asia Tenggara yang strategik, iaitu di persimpangan jalan perdagangan yang penting dan kebanyakan pedagang dari Asia Tenggara ialah pedagang Melayu, menyebabkan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perantaraan di kalangan para pedagang dari Timur dan Barat.
·         Pada masa itu, seseorang  akan berasa kekurangan jika mereka tidak pandai bertutur dalam bahasa Melayu.

d.
Cara hidup


·         Sebelum kedatangan Islam, budaya dan cara hidup masyarakat Asia Tenggara banyak dipengaruhi oleh animisme serta agama Hindu dan Buddha. Tetapi, setelah Islam bertapak dengan kukuh unsur kepercayaan lama seperti memuja semangat dan mempercayai keramat beransur hilang.
·         Cara hidup Islam diasimilasikan ke dalam budaya masyarakat Asia Tenggara. Dengan itu, lahirlah  cara hidup yang berorientasikan Islam seperti cara berpakaian, iaitu bertudung kepala dan bersongkok.  Islam dijadikan sebagai 'ad-din' iaitu satu  cara hidup yang lengkap dan menyeluruh.
·         Islam juga mengubah sistem sosial masyarakat yang mempunyai kelas kepada konsep persaudaraan dan persamaan taraf sesama manusia.
·         Nilai-nilai akhlak Islam dijadikan panduan dalam kehidupan harian. Sifat tolong-menolong, hormat-menghormati, dan bekerjasama menjadi budaya masyarakat.
·         Kemurnian Islam tergambar dalam cara hidup yang diamalkan oleh orang Melayu seperti amalan gotong-royong di kampung-kampung. Ini membuatkan kerja berat menjadi ringan kerana dilakukan bersama-sama. Sikap dan amalan bersatu padu di kalangan masyarakat kampung dapat dipupuk dan diperkukuh. Kerja-kerja di ladang yang memerlukan banyak tenaga kerja dilakukan dengan semangat kerjasama.


e.
Kesenian


·         Kesenian Islam telah meresap dalam kehidupan masyarakat Asia Tenggara khususnya dalam seni khat, seni bina, dan seni ukir.
·         Pengaruh Islam dalam seni khat dikenal pasti pada batu nisan dan ukiran kayu. Pada batu  nisan ini terdapat tulisan abjad Arab dan jawi yang mengandungi ayat-ayat al-Quran dan hukum.
·         Usaha dan kreativiti penduduk tempatan seterusnya menjadikan hiasan pada batu nisan ini lebih menarik. Ini dilihat pada batu nisan Malik Ibrahim yang dibawa dari Gujerat, mempunyai bentuk seperti kapal terbalik dan ini menunjukkan adanya pengaruh Parsi.
·         Makam Naina Hisham al-Din yang meninggal dunia pada tahun 1420 M. yang ditemui di Pasai, juga mempunyai pengaruh seni Islam dari Parsi. Pada makam tersebut terdapat tulisan syair Parsi dan pada permukaannya dilukis dengan pola hiasan daun yang mempunyai persamaan dengan hiasan permaidani Parsi.
·         Seni khat juga merakamkan ayat suci al-Quran, hadis, dan catatan tentang sejarah sesebuah pemerintahan tempatan.
·         Terdapat juga seni khat yang diukir pada bilah mata keris. Ayat suci al-Quran ditatahkan dengan emas, perak dan permata.
·         Seni khat tertua di Semenanjung terdapat pada batu bersurat di Terengganu bertarikh 1303 M.. Batu ini merupakan seni khat dalam bahasa Melayu yang menggunakan huruf jawi.
·         Unsur seni khat Islam juga terserlah dalam seni ukiran kayu masyarakat Melayu Asia Tenggara. Unsur seni kaligrafi ini mengambil contoh huruf Arab, ayat al-Quran dan tulisan jawi. Terdapat juga unsur.seni yang dicantumkan dengan unsur tumbuh­-tumbuhan.
·         Unsur khat boleh dilihat pada bangunan masjid, surau, dan rumah kediaman, misalnya, rangkaian kalimah syahadah dijadikan sebagai hiasan utama.
·         Pengaruh seni bina Islam dapat dilihat pada bentuk bangunan masjid, kubah, mimbar, mihrab, dan menara azan. Bangunan masjid seperti Masjid Ubaidiyah, di Kuala Kangsar, Perak, dan Masjid Brunei merupakan seni bina yang unik dan terserlah dengan kemurnian Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia Tenggara.


f.
Ekonomi


·         Islam juga mempengaruhi sistem ekonomi masyarakat Asia Tenggara.
·         Institusi ekonomi seperti baitulmal diperkenalkan di Acheh oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Baitulmal ini berfungsi sebagai perbendaharaan negara dan hasilnya diperoleh daripada zakat dan sedekah.
·         Islam menggalakkan umatnya supaya rajin bekerja dan mencari rezeki yang halal dan melarang perbuatan mengemis. Islam menggalakkan orang Islam berdagang dan mengamalkan unsur-­unsur yang halal semasa berurus niaga.
·         Amalan riba, penindasan, dan penipuan adalah dilarang.
·         Nilai-nilai murni dalam ekonomi turut disarankan seperti berjimat cermat dan berusaha dengan bersungguh-sungguh.

6.
a.
Jelaskan nilai-nilai yang boleh kita amalkan melalui sejarah penyebaran Islam ke Asia Tenggara ini. (Rujuk Buku Teks m.s: 191-192)


·         Penyebaran Islam secara aman ke Asia Tenggara merupakan pengajaran sejarah  iaitu dakwah Islamiah haruslah dilakukan dengan bijaksana. Selain itu, sikap terbuka dan tanpa prejudis masyarakat tempatan membolehkan Islam tersebar dengan aman tanpa konflik atau peperangan.
·         Memartabatkan ilmu pengetahuan. Kegiatan keilmuan seperti penulisan dan penterjemahan karya telah dilakukan oleh pembesar, ulama dan orang awam. Sifat keprihatinan terhadap ilmu pengetahuan dan kerjasama semua golongan menyebabkan terbinanya pusat pengajian dan terhasilnya karya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...