Khamis, 16 Februari 2012

NOTA SOALAN DAN JAWAPAN BAB 4 TINGKATAN 4


BAB 4:  KEMUNCULAN TAMADUN ISLAM DAN
PERKEMBANGANNYA DI MAKKAH
 
1.
a.
Apakah maksud “jahiliah”?  (Rujuk Buku Teks m.s. 99)


Berasal daripada perkataan bahasa Arab,  jahala yang bermaksud jahil dan tidak mengetahui atau tidak mempunyai ilmu pengetahuan.  Istilah ini telah digunakan oleh orang Islam untuk menggambarkan perubahan yang dibawa oleh Islam dalam corak kehidupan dan pemikiran masyarakat.


b.
Jelaskan tentang Masyarakat Arab Jahiliah. (Rujuk Buku Teks m.s. 100)


·         Masyarakat yang hidup di Semenanjung Tanah Arab dalam jangka masa selepas runtuhnya Empangan Maarib di Sabak sehingga turunnya wahyu Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.
·         Dari tahun 300 M hingga 610 M (lebih kurang 310 tahun).
·         Digelar sebagai masyarakat Arab Jahiliah kerana mereka tidak menerima kebenaran dan tidak mengikut ajaran para nabi dan rasul sebelumnya seperti Nabi Sulaiman, Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Musa dan Nabi Isa.
·         Menyembah berhala dan mempercayai animisme
·         Kehidupan mereka kucar-kacir
·         Akhlak mereka adalah rendah , misalnya, mereka bersifat kejam, angkuh dan degil.
                                                                                                           
2.
a.
Terangkan ciri-ciri masyarakat Arab jahiliah. (Rujuk Buku Teks m.s. 100-102)


·         Dikategorikan kepada dua golongan iaitu  masyarakat Badwi dan masyarakat Hadari. Masyarakat Badwi tinggal di kawasan gurun dan pedalaman, iaitu di bahagian tengah Semenanjung Tanah Arab. Masyarakat Hadari pula menetap di kawasan pesisiran pantai Semenanjung Tanah Arab.
·         Mengamalkan perbuatan yang tidak bermoral seperti berjudi, berzina dan meminum arak. Seseorang  lelaki yang meminum arak sehingga mabuk, menunjukkan mereka telah sempurna sebagai lelaki.

·         Kedudukan wanita adalah rendah, sehingga mereka tidak dapat mewarisi harta pusaka tinggalan ibu bapa mereka.  Terdapat di kalangan mereka yang menanam bayi perempuan hidup-hidup sejurus dilahirkan. Ini kerana mereka beranggapan anak perempuan akan menjatuhkan maruah keluarga.
·         Dalam soal perkahwinan tidak ada peraturan khusus, lelaki boleh berkahwin dengan beberapa orang wanita sekali gus atau dengan sesiapa yang disukainya.
·         Aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh para pedagang berasaskan riba dan penindasan. Lebih mementingkan keuntungan dan kekayaan semata-mata. Kegiatan merompak dan merampas barangan daripada kafilah merupakan punca mata pencarian dan dianggap sebagai suatu kewajipan.  Selain itu, eksploitasi golongan kaya terhadap golongan miskin merupakan amalan biasa.
·         Empat bentuk kepercayaan agama dalam masyarakat Arab Jahiliah ialah agama wathani (menyembah berhala), animisme (memuja alam seperti pokok), samawi (Kristian dan Yahudi) dan kepercayaan (seperti menilik nasib, sihir, dan mempercayai roh orang mati menjadi burung).
·         Agama Hanif, bagaimana pun setelah 3500 tahun, penganutnya telah melupakan ajaran ini secara beransur-ansur, malah ada yang mencampuradukkan ajaran agama Hanif dengan amalan tradisi masyarakat Arab Jahiliah.
·         Mengamalkan Sistem Kabilah yang berasaskan cara hidup berpuak-puak dan berkelompok. Ahlinya terdiri daripada suku tertentu dan mereka tinggal dalam sebuah kawasan. Setiap kabilah mempunyai identiti dan peraturannya sendiri sementara ahlinya sangat taasub dan fanatik terhadap kabilah masing-masing. Diketuai oleh seorang syeikh yang juga merupakan lambang perpaduan kaum. Perlantikannya berdasarkan syarat-syarat seperti disukai oleh ahli kabilah dan dilantik atas persetujuan ramai, berfikiran matang, gagah, berani dan pandai berpidato. Kesan negatif yang ditimbulkan oleh sistem ini ialah kemunculan semangat assabiah atau semangat kesukuan yang melampau dan tercetusnya peperangan di kalangan masyarakat. Peperangan antara kabilah boleh berlaku walau pun atas sebab yang kecil, contohnya Peperangan al-Basus.





·     
















3.













 



b.
Terangkan secara ringkas latar belakang keturunan Nabi Muhammad s.a.w.
(Rujuk Buku Teks m.s. 102-103)



Berasal daripada keturunan pemimpin Makkah yang terkenal iaitu Qusai bin Kilab. Namun, keturunan baginda sering dirujuk kepada Hasyim, iaitu moyang baginda. Qusai ialah pemimipin Arab Quraisy yang telah mentadbir Makkah, kira-kira 100 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Ini bermakna kaabah dan telaga zamzam juga dikuasai oleh keluarga Nabi Muhammad s.a.w. Keturunan ini telah menguruskan pentadbiran Makkah dengan bijak. Selain Qusai, Abdul Manaf dan Hasyim, Abdul Muttalib, iaitu datuk Nabi Muhammad s.a.w. juga pernah menerajui kepimpinan Makkah pada zaman Jahiliah.


c.
Huraikan latarbelakang kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. sejak lahir sehingga dewasa.  (Rujuk Buku Teks m.s. 103-105)



Nabi Muhammad s.a.w. berketurunan bangsa Quraisy yang sangat dihormati. Nama penuh baginda ialah Muhammad bin Abdullah. Bapa baginda ialah Abdullah bin Abdul Muttalib dan ibu baginda Aminah binti Wahab. Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan pada 20 April, tahun 570M, iaitu pada malam Isnin bersamaan 12 Rabiulawal pada Tahun Gajah. Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan di rumah datuk baginda, Abdul Muttalib dan dinamakan Muhammad yang bermaksud terpuji.

Bapa baginda meninggal dunia pada ketika Nabi Muhammad s.a.w. masih dalam kandungan ibunya. Setelah beberapa hari dilahirkan, Nabi Muhammad s.a.w. telah diserahkan kepada Halimatus Sa’diyah untuk dipelihara dan disusui. Pada ketika berusia enam tahun, ibu baginda, Aminah binti Wahab pula meninggal dunia dan baginda telah dipelihara oleh datuk baginda, Abdul Muttalib. Selepas Abdul Muttalib meninggal dunia, baginda dipelihara pula oleh Abu Talib, iaitu bapa saudara baginda. Dengan itu, Nabi Muhammad s.a.w. telah menjadi yatim piatu sejak berumur enam tahun.

Dari segi pekerjaan, baginda pernah menggembala kambing kepunyaan bapa saudara baginda, Abu Talib. Pengalaman baginda dalam perniagaan pula diperoleh sejak baginda berusia 12 tahun, iaitu dengan mengikut rombongan perniagaan bapa saudara baginda ke Syam, sebuah kawasan yang terletak di utara Semenanjung Tanah Arab.  Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. telah diramalkan oleh seorang pendeta Nasrani bernama Buhaira, semasa rombongan ini singgah di Basrah.

Pada ketika berusia 20 tahun, baginda lebih giat berdagang dan baginda pernah berniaga secara berseorangan dan berkongsi dengan temannya. Oleh kerana Abu Talib menginginkan baginda mempunyai pekerjaan tetap maka, beliau telah mencadangkan agar baginda menjalankan perniagaan Khadijah binti Khuwailid. Abu Talib telah menemui Khadijah.

Baginda menguruskan perniagaan ini bersama-sama Maisarah, iaitu hamba Khadijah. Kemuliaan budi pekerti, sifat amanah, dan kebolehan baginda menjalankan perniagaan telah menarik hati Khadijah untuk terus memberikan modal yang lebih besar kepada baginda.  Perniagaan ini memperoleh keuntungan yang berlipat ganda.

Ketinggian budi pekerti dan kebijaksanaan Nabi Muhammad s.a.w. berniaga telah menimbulkan perasaan hormat Khadijah terhadap baginda dan hubungan ini telah membawa kepada perkahwinan. Peristiwa ini berlaku ketika baginda berumur 25 tahun dan Khadijah pula berumur 40 tahun.



4.
a.
Huraikan sifat-sifat peribadi Nabi Muhammad s.a.w. (Rujuk Buku Teks m.s. 105 - 106)



·         Memiliki empat sifat terpuji yang utama iaitu
Ø  siddiq(berkata benar),
Digelar al-Amin oleh orang Arab Quraisy kerana perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai dan tidak pernah berbohong. Panggilan ini telah sebati dalam kalangan masyarakat Arab sehinggakan panggilan Muhammad tidak digunakan.
Ø  amanah (dipercayai),
Sifat amanah ini telah menyebabkan Khadijah binti Khuwailid sanggup menyerahkan modal yang besar kepada baginda untuk diperniagakan.
Ø  tabliq (menyampaikan)
Setelah dilantik sebagai rasul, baginda telah menyampaikan ajaran Islam dengan bersungguh-sungguh walau pun menghadapi pelbagai rintangan.
Ø  fatanah (bijaksana)

·         Kewibawaan baginda sebagai tokoh pemimpin unggul terbukti sebelum dilantik menjadi rasul. Contohnya, semasa berumur 35 tahun, baginda telah menyelesaikan satu persengketaan dalam kalangan kabilah Quraisy. Hal ini berpunca daripada peristiwa untuk meletakkan semula Hajar Aswad (batu hitam) ke tempat asalnya, iaitu penjuru timur Kaabah. Hajar Aswad ini terjatuh semasa banjir melanda Kota Makkah.

·         Baginda merupakan ketua keluarga yang patut dicontohi kerana sifat kepimpinannya, sifat pengasihnya dan bertimbang rasa. Baginda sering membantu isterinya memasak, menampal pakaian yang rosak, melayan anak dan membersihkan rumah.  Anak-anak diberi pendidikan agama secukupnya dan baginda menjadikan diri baginda teladan kepada anak-anak.

·         Baginda sentiasa merendah diri. Ini terbukti daripada pergaulan baginda dengan semua lapisan masyarakat sama ada yang kaya atau yang miskin. Selain itu, baginda bersifat penyayang terhadap orang tua dan kanak-kanak. Semasa pembukaan semula Kota Makkah pada tahun 630 M, baginda telah menunjukkan sifat pemaaf. Orang Arab Quraisy yang menyerah diri telah diampunkan dan dibebaskan.

·         Baginda juga terkenal dengan sifat bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Sifat ini terserlah semasa baginda memeterai Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 628 M. Dengan orang Arab Quraisy Makkah. Walau pun kandungan perjanjian ini kelihatan berat sebelah, baginda menerimanya sebagai satu hikmah untuk menyebarkan Islam seterusnya.


b.
Terangkan amalan Nabi Muhammad sebelum dilantik sebagai Rasul. (Rujuk Buku Teks m.s. 107)


·         Baginda sering memikirkan tentang kehidupan masyarakat sekelilingnya yang tidak bermoral dan taasub dengan amalan jahiliah. Nabi Muhammad s.a.w. berusaha mencari suatu cara untuk dapat mengubah nilai yang dipegang oleh masyarakat disekelilingnya.

·         Baginda mengasingkan diri daripada masyarakat dengan cara bertahannuth (mengasingkan diri untuk beribadat) kepada Allah di Gua Hirak yang terletak di Bukit Nur. Baginda dengan sabar telah mendaki bukit ini semata-mata untuk mendapatkan tempat beribadat yang sunyi dan tenang.



5.
a.
Terangkan peristiwa “perlantikan” Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul.
(Rujuk Buku Teks m.s. 107-108)


·         Selepas lebih kurang enam bulan baginda berulang alik dan bertahannuth di Gua Hirak, akhirnya, pada 6 Ogos tahun 610 M., bersamaan 17 Ramadhan, Allah telah menurunkan wahyu yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. menerusi Jibril. Pada waktu itu, Nabi Muhammad s.a.w. berumur 40 tahun. Wahyu ini menjadi tanda pemisah antara Zaman Jahiliyah dengan Zaman Islam. 

·         Wahyu yang pertama diturunkan oleh Allah ialah surah al-Alaq ayat 1 – 5 yang memerintahkan umat Islam supaya membaca. Ini kerana melalui pembacaan, seseorang itu akan mendapat ilmu atau menyampaikan ilmunya. Islam bukan sahaja mementingkan aktiviti membaca, malah menggalakkan kajian terhadap sesuatu perkara. Dengan membaca dan membuat kajian, seseorang atau sesuatu bangsa itu akan berilmu  dan dengan ilmu bangsa itu dapat mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelbagai bidang dan seterusnya meningkatkan tamadunnya.

·         Nabi Muhammad s.a.w. mula merancang untuk mengubah akidah dan kehidupan masyarakat sekelilingnya. Perkara utama yang ditekankan oleh baginda pada tahap ini ialah usaha membetulkan akidah masyarakat Arab dengan menanamkan keimanan kepada Allah Yang Maha Esa. Nabi Muhammad s.a.w. menggesa masyarakat di sekelilingnya untuk meninggalkan amalan yang keji seperti menindas sesama manusia, membunuh atau mencuri.                                                                                 



6.
a.
Jelaskan cara-cara penyebaran Islam secara rahsia.  (Rujuk Buku Teks m.s. 108-109)


·         Berjalan selama tiga tahun, yang ditujukan kepada ahli keluarga baginda, sahabat rapat dan kaum kerabat.

·         Mereka yang awal memeluk Islam ialah Khadijah binti Khuwailid (isteri baginda), Ali bin Abu Talib (sepupu baginda, berumur 10 tahun), Zaid bin Harithah (anak angkat) dan Abu Bakar al-siddiq (sahabat karib). Melalui Abu Bakar al-Siddiq, beberapa tokoh Quraisy telah memeluk Islam antaranya, Uthman bin Affan, Zubair bin Awam dan al-Arqam bin Abu Arqam.

·         Al-Arqam telah menjadikan rumahnya sebagai pusat kegiatan Islam yang pertama di Makkah.

·         Bilangan penganut Islam pada peringkat ini kecil.

·         Ketinggian akhlak Nabi Muhammad s.a.w. dan kejujuran para sahabat telah menyebabkan dakwah Islamiah pada peringkat awal mendapat sambutan (terdiri daripada golongan bangsawan seperti Khadijah binti Khuwailid dan Abu Bakar al-siddiq dan juga golongan bawahan).




b.
Jelaskan cara-cara penyebaran Islam secara terbuka. (Rujuk Buku Teks m.s. 109)     

·         Berjalan selama 10 tahun,  dilakukan setelah Nabi Muhammad s.a.w. menerima perintah Allah.

·         Memulakan penyebaran ini dengan menyampaikannya kepada keluarga Abdul Muttalib, iaitu kaum kerabat baginda. Untuk melaksanakan perintah ini, baginda telah bermusyawarah dengan para sahabat, dan hasilnya baginda telah mengadakan majlis ceramah di rumah Ali bin Abu Talib. Dalam majlis ini, baginda menerangkan tentang Islam. Ada yang menerima dan ada juga yang menolaknya. Orang yang paling kuat menentang ialah Abu Lahab.

·         Dakwah Islam kepada orang ramai dilakukan di Bukit Safa, Makkah, setelah Allah menurunkan perintah menerusi ayat al-Quran, al-Hijr, ayat 94. Majlis ini dihadiri oleh semua ketua pentadbir kota Makkah. Ketua Bani Abdul Muttalib, Bani Zuhrah, Bani Tamim, Bani Makhzum dan Bani Asad. Perbahasan hebat telah berlaku antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan Abu Lahab yang telah menghina baginda sehingga dakwah Islamiah yang hendak disampaikan oleh baginda terganggu.


                                                                                                         
7.
a.
Berikan sebab-sebab Islam dapat diterima oleh golongan tertentu pada peringkat awal tersebut. (Rujuk Buku Teks m.s. 110-111)

·         Tertarik dengan ajaran Islam yang memberikan layanan yang sama kepada semua manusia. Golongan hamba, seperti Bilal bin Rabah telah dijerut lehernya dengan tali oleh tuannya, Umaiyah bin Khalaf. Keluarga Yassir telah dijemur di padang pasir sehingga Yassir dan isterinya, Sumaiyah, mati syahid. Amir bin Fuhairah telah diseksa dengan kejam oleh tuannya sehingga menjadi gila dan Zunainah diseksa oleh Abu Lahab sehingga menjadi buta.

·         Kemurnian ajaran Islam dan kebijaksanaan Nabi Muhammad s.a.w. berdakwah. Baginda berdakwah secara lemah lembut dan berhikmah. Baginda tidak memaksa orang ramai memeluk Islam tetapi memujuk mereka dengan menggunakan akal yang dianugerahi Allah. Antara pendekatan yang digunakan adalah membandingkan antara nilai akhlak masyarakat Arab Jahiliah dengan nilai akhlak yang disaran oleh Islam. Selain itu, Nabi juga membacakan ayat al-Quran untuk menjawab pertanyaan para sahabat, di samping memberikan penerangan dan menunjukkan teladan yang baik.



·         Peribadi Nabi Muhammad s.a.w. yang sememangnya terkenal sebagai orang yang berakhlak mulia.


b.
Berikan contoh-contoh golongan yang menerima Islam pada peringkat awal.
(Rujuk Buku Teks m.s. 110 – 111)

·         Ahli keluarga,
·         Sahabat rapat baginda,
·         Golongan bawahan seperti hamba (Bilal bin Rabah, keluarga Yassir, Amir bin Fuhairah dan Zunainah).



8.
a.
Mengapakah orang Arab Quraisy menentang ajaran Islam?
(Rujuk Buku Teks m.s. 111 – 112)


·         Perbezaan dari segi kepercayaan dan amalan antara orang Arab Quraisy dengan Islam. Ajaran Islam berasaskan kepercayaan kepada  Allah Yang Maha Esa sedangkan orang Arab Quraisy mempercayai dan mengamalkan tradisi turun-temurun mereka, iaitu menyembah patung berhala dan mempercayai animisme.

·         Ajaran Islam yang menyarankan prinsip persamaan taraf sesama manusia. Prinsip ini amat bertentangan dengan sistem sosial masyarakat Arab jahiliah yang mewujudkan perbezaan darjat antara golongan atasan dengan bawahan.

·         Menolak konsep persaudaraan Islam yang sangat bertentangan dengan konsep assabiah yang menjadi pegangan mereka.

·         Amalan dan akhlak yang keji seperti mencuri dan menindas yang menjadi kebiasaan mereka telah dilarang sama sekali oleh Islam.

·         Dari segi politik, mereka mempunyai tanggapan yang salah terhadap tugas nabi. Mereka menganggap jika mereka menerima agama Islam, mereka terpaksa tunduk kepada kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. Sejak dahulu masyarakat Makkah sentiasa bersaing untuk menjadi ketua atau pemerintah Makkah. Penyebaran Islam ini pasti akan menggugat pengaruh dan kedudukan keluarga mereka di Makkah.

·         Penyebaran Islam juga menggugat ekonomi orang Arab Quraisy kerana hal ini menjejaskan perusahaan mengukir patung berhala yang merupakan sebahagian daripada aktiviti ekonomi mereka. Islam mewajibkan penganutnya menyembah Allah Yang Maha Esa dan melarang penyembahan berhala. Secara tidak langsung, perniagaan patung berhala akan terjejas.
















b.
Nyatakan cara-cara orang Arab Quraisy menentang Islam. 
(Rujuk Buku Teks m.s. 112)


·         Dicemuh dan diejek. Penyair Arab Quraisy sering mengejek ajaran Islam melalui puisi mereka.

·         Diganggu semasa beribadat. Contohnya, semasa baginda bersembahyang, benda-benda yang kotor telah diletakkan di tengkuk baginda.

·         Memujuk Nabi Muhammad s.a.w. agar meninggalkan dakwah Islamiah. Pujukan ini termasuklah menawarkan kedudukan, wanita cantik dan harta. Pujukan ini ditolak oleh baginda.

·         Pemulauan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan keluarga baginda. Mereka telah menulis pernyataan tentang pemulauan ini dan menggantungkannya di Kaabah. Semasa pemulauan ini berlangsung, kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. dan orang Islam sangat terhimpit. Walau bagaimanapun, Abu Talib, bapa saudara baginda sentiasa melindungi dan membantu baginda. Pemulauan ini berjalan selama tiga tahun sahaja kerana kedapatan dalam kalangan orang Quraisy yang tidak mematuhi peraturan pemulauan ini dengan memberikan bantuan kepada orang Islam.


                                                                                      
9.
a.
Jelaskan cara-cara Nabi Muhammad s.a.w. menyelesaikan masalah penentangan orang Arab Quraisy ini. (Rujuk Buku Teks m.s: 113)



·         Hijrah ke Habsah. Baginda telah membenarkan orang Islam berhijrah ke Habsah untuk mendapatkan perlindungan. Baginda tidak turut serta ke Habsah kerana ingin memberikan  tumpuan kepada penyebaran Islam di Makkah dan menjaga keselamatan orang Islam yang tidak berhijrah.

·         Nabi Muhammad s.a.w. dan Zaid bin Harithah merancang ke Taif untuk menyebarkan Islam ke tempat baru. Usaha ini kurang berkesan.

·         Berhijrah ke Madinah pada tahun 622 M. setelah menerima perintah Allah dan untuk memenuhi jemputan suku Aus dan Khazraj.


                                                                                                                  
10.
a.
Apakah pengajaran yang kita perolehi daripada sejarah perkembangan Islam di Makkah ini? (Rujuk Buku Teks m.s. 114)



·         Ketokohan dan kewibawaan seseorang pemimpin merupakan faktor utama ke arah kewujudan sesuatu tamadun yang gemilang. Selain itu, pemimpin itu juga hendaklah berkaliber, bijaksana, gigih dan sabar dalam menangani masalah dan halangan yang ditempuhi.

2 ulasan:

  1. Terima kasih atas perkongsian ini. Sudah saya salinkan :) Sangat membantu

    BalasPadam
  2. nak contoh iktibar daripada dakwah islamiah nabi

    BalasPadam

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...