Khamis, 16 Februari 2012

NOTA SOALAN DAN JAWAPAN BAB 5 TINGKATAN 4


BAB 5: KERAJAAN ISLAM DI MADINAH
 
1.
a.
Terangkan latar belakang kota Madinah secara ringkas. (Rujuk Buku Teks m.s: 118)


                                                                                    


Madinah terletak di utara Makkah dan merupakan kota yang penting bagi pedagang Arab sebelum kemunculan Islam. Kedudukannya yang strategik di tengah-tengah perjalanan di antara Makkah dan Syam telah mendorong pedagang luar mengunjunginya. Terdapat tiga golongan penduduk di Madinah iaitu, Nasrani, Yahudi dan Arab. Golongan Yahudi terdiri daripada Bani Quraizah, Bani Qunaiqa’ dan Bani Nadhir. Golongan Arab pula terdiri daripada suku Aus dan Khazraj. Suasana kehidupan di Madinah kurang aman disebabkan oleh pergeseran yang berlaku di kalangan suku Arab dan penguasaan ekonomi oleh orang Yahudi.






2.
a.
Ceritakan peristiwa yang menyebabkan Perjanjian Aqabah pertama ditandatangani. (Rujuk Buku Teks m.s: 118) 


Semasa dakwah Islamiah disebarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. di kota Makkah, baginda telah dikunjungi oleh beberapa orang Arab Madinah yang terdiri daripada suku Khazraj. Mereka telah menemui Nabi Muhammad s.a.w. di Aqabah dan kemudian memeluk Islam. Sekembalinya mereka ke Madinah, mereka telah menyebarkan Islam di kalangan masyarakat Madinah yang lain.
Pada musim haji yang berikutnya, iaitu pada tahun 621 M., sekumpulan orang Arab Madinah yang terdiri daripada suku Aus dan khazraj telah mengunjungi Nabi Muhammad s.a.w. sekali lagi. Menerusi pertemuan ini terjalinlah perjanjian antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan orang Arab Madinah tersebut. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Aqabah Pertama.


b.
Senaraikan perkara-perkara yang dipersetujui dalam perjanjian ini.



1.  Suku Aus dan Khazraj hendaklah beriman kepada Allah dan Rasul.
2.  Mereka juga berjanji akan membantu perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.
3.  Tidak akan melakukan amalan jahiliyah seperti mencuri, meminum arak dan membunuh bayi perempuan.



3.
a.
Apakah Perjanjian Aqabah kedua? (Rujuk Buku Teks m.s: 118-119)


Perjanjian yang ditandatangani pada tahun 622 M., antara suku Aus dan Khazraj dengan Nabi Muhammad s.a.w.


b.
Apakah perkara-perkara yang dipersetujui dalam perjanjian ini?


1.  Suku Aus dan Khazraj memeluk Islam dan mengukuhkan lagi taat setia kepada Nabi Muhammad s.a.w.
2.  Suku Aus dan Khazraj menjemput Nabi Muhammad s.a.w. dan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah.
3.  Mereka secara sukarela akan menyediakan tempat tinggal dan menjanjikan keselamatan untuk baginda dan orang Islam Makkah serta menyatakan kesediaan mempertahankan Islam.



4.
a.
Bilakah peristiwa hijrah berlaku?                                     (Rujuk Buku Teks m.s: 119)



Peristiwa hijrah orang Islam Makkah ke Madinah berlaku pada 1 Rabiulawal bersamaan 12 September tahun 622 M.
Penghijrahan ini dilakukan secara rahsia dan berperingkat-peringkat. Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah bersama-sama sahabatnya, Abu Bakar al-Siddiq, selepas penghijrahan orang Islam yang lain. Perjalanan baginda dan Abu Bakar al-Siddiq memakan masa selama lebih kurang 12 hari.
Umar bin al-Khattab berhijrah secara sendirian dan terang-terangan kerana sifat keberaniannya.

5.
a.
Apakah “hijrah”?   (Rujuk Buku Teks m.s: 119-120)



Hijrah ialah perkataan Arab yang bermaksud berpindah (berlaku dari satu tempat ke satu tempat yang lain).
Dalam konteks Islam – hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari kota Makkah ke Madinah dalam usaha untuk memperkukuh kedudukan Islam serta merupakan strategi baru untuk menyebarkan Islam.
Penghijrahan juga mempunyai pengertian yang luas dan mendalam, antaranya
·         Perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan meninggalkan keburukan dan kejahatan.
·         Dilambangkan dengan semangat ingin berubah dan perubahan ini boleh berlaku dalam pelbagai keadaan seperti perubahan dari segi sikap, cara berfikir dan tingkah laku.


b.
Apakah pandangan Orientalis Barat tentang hijrah?

Mentafsirkan hijrah secara negatif, iaitu sebagai suatu pelarian.


c.
Nyatakan hujah-hujah yang boleh kita gunakan untuk menyangkal pandangan negatif Orientalis Barat tersebut?

Empat hujah;
1.  Penghijrahan orang Islam Makkah ke Madinah adalah kerana jemputan orang Arab Madinah seperti yang tercatat dalam Perjanjian Aqabah Kedua.
2.  Ketibaan orang Islam Makkah juga telah disambut dengan rela dan meriah oleh orang Madinah.
3.  Orang Islam Makkah diberikan tempat tinggal yang sewajarnya selain dijamin tentang keselamatan mereka oleh orang Arab Madinah.
4.  Nabi Muhammad s.a.w. telah dilantik sebagai pemimpin Madinah dan baginda diterima oleh kesemua golongan masyarakat Madinah termasuk orang bukan Islam.

d.
Ceritakan peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah.

Penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah bermula setelah baginda berjaya melepaskan diri daripada kepungan pemuda Quraisy terhadap rumah baginda. Sebelum itu, Ali bin Abu Talib telah menawarkan diri untuk tidur di tempat tidur baginda dengan menggunakan selimut baginda. Setelah keluar dari rumah, baginda telah menemui Abu Bakar al-Siddiq dan menyatakan tentang

perintah Allah supaya baginda berhijrah. Namun, baginda dan Abu Bakar al-Siddiq telah bersembunyi di Gua Thur sebelum meneruskan hijrah ke Madinah. Perjalanan baginda dan Abu Bakar al-Siddiq ke Madinah dipandu oleh Abdullah bin Arqat (belum memeluk Islam semasa menjadi jurupandu hijrah).
6.
a.
Nyatakan faktor-faktor yang menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Madinah. (Rujuk Buku Teks m.s: 121)



1. Perintah Allah menerusi wahyu. Dalam wahyu ini, Allah telah menyatakan niat dan pakatan orang Quraisy untuk membunuh baginda dan Allah telah memerintahkan baginda supaya segera berhijrah. (Surah al-Anfal)

2. Hijrah bertujuan untuk meneruskan penyebaran Islam. Di Makkah, ancaman daripada orang Arab Quraisy telah menjejaskan aktiviti penyebaran Islam. Walau bagaimanapun, penghijrahan itu bukan bererti yang orang Islam kecewa dengan penentangan tersebut tetapi ini merupakan strategi Nabi Muhammad s.a.w. untuk mengembangkan Islam.

3. Jemputan masyarakat Arab Madinah yang sedang menghadapi konflik. Pada ketika itu, suku Aus dan Khazraj di Madinah sering bertelagah sesama sendiri dan ekonomi mereka pula dikuasai oleh orang Yahudi. Oleh itu, orang Arab Madinah memerlukan pemimpin yang berkaliber seperti Nabi Muhammad s.a.w. untuk mengetuai kepimpinan mereka. Baginda juga diperlukan untuk mendamaikan masyarakat Madinah yang sentiasa bermusuhan.
7.
a.
Huraikan kepentingan hijrah.                             (Rujuk Buku Teks m.s: 122-124)



1. Dakwah Islamiah dapat dilaksanakan dengan aman dan tanpa berselindung
     lagi, sedangkan di Makkah seruan terhadap Islam sering terganggu.

2. Memberikan peluang kepada Nabi Muhammad s.a.w. mendamaikan suku Arab di Madinah yang sering bersengketa khususnya suku Aus dan Khazraj, melalui semangat persaudaraan sesama Islam.

3. Menjalinkan hubungan persaudaraan antara orang Islam Makkah dengan orang Islam Madinah. Hubungan ini terjalin melalui sikap yang diperlihatkan oleh orang Islam Madinah sehinggakan orang Islam Makkah yang berhijrah tidak berasa asing atau rendah diri berada dalam masyarakat baru yang terbentuk . Nabi Muhammad s.a.w. seterusnya telah memberikan gelaran Muhajirin kepada orang Islam Makkah yang berhijrah ke Madinah manakala orang Islam Madinah yang memberi bantuan kepada Muhajirin digelar Ansar.

4. Menyatupadukan penduduk Madinah yang terdiri daripada suku, budaya dan agama. Perpaduan ini telah melahirkan kehidupan yang harmoni di Madinah. Ini sangat penting kerana dengannya masyarakat Madinah dapat menjalankan kegiatan ekonomi, agama, dan kegiatan lain untuk menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup.

5. Pembinaan sebuah masjid iaitu  Masjid al-Nabawi. (Bagaimanapun, masjid yang pertama dibina dalam sejarah perkembangan Islam ialah Masjid Quba’). Masjid telah dijadikan sebagai tempat untuk beribadat dan belajar di samping sebagai tempat untuk bertemu dan membincangkan masalah yang dihadapi oleh orang Islam. Di kawasan persekitaran masjid juga dibolehkan orang Islam mengadakan aktiviti harian seperti berjual beli.

6. Wujud kiraan tahun hijrah dalam takwim Islam. Takwim hijrah ini telah mula digunakan pada zaman Khulafa al-Rasyidin kedua, Khalifah Umar al-Khattab.

7. Nabi Muhammad s.a.w. telah menukarkan nama Yathrib kepada Madinah al-Munawwarah atau kota bercahaya. Perubahan ini merupakan salah satu usaha baginda untuk menjadikan Madinah sebagai pusat tamadun Islam dan agama Islam menjadi cara hidup yang merangkumi semua bidang termasuk politik, ekonomi dan sosial.

8. Menunjukkan bahawa sikap toleransi kaum dan tolong-menolong boleh melahirkan masyarakat cemerlang. Orang Madinah telah memberikan bantuan yang besar kepada orang Islam Makkah yang berhijrah. Mereka sanggup memberikan tempat tinggal, menyediakan makanan dan keperluan asas yang lain, serta menerima orang Islam Makkah sebagai saudara dan sebahagian daripada masyarakat Madinah.

9. Hijrah berjaya dengan sokongan dan pengorbanan sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Seperti Abu Bakar al-Siddiq, Ali bin Abu Talib dan Abdul Rahman bin Auf.

10. Mempelihatkan bahawa wanita juga dapat memainkan peranan penting selain sebagai suri rumah untuk menggerakkan kemajuan sesebuah negara. Contohnya, puteri Abu Bakar al-Siddiq, Asma’. Beliau telah berjaya membantu perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. apabila beliau dengan beraninya telah menghantar makanan dan menyampaikan berita tentang gerakan orang Quraisy kepada Nabi Muhammad s.a.w. di Gua Thur walaupun, menyedari tindakannya berbahaya serta laluan ke Gua Thur berliku dan berbatu besar.

11. Menampakkan kebijaksanaan Nabi Muhammad s.a.w. mengatur strategi perjuangan. Semasa berhijrah, baginda tidak terus berangkat ke Madinah tetapi bersembunyi terlebih dahulu di Gua Thur. Baginda memilih jalan lain, iaitu jalan ke selatan menuju ke Tihamah berhampiran Laut Merah. Baginda berpendapat jalan ke Madinah menerusi utara Makkah kurang selamat.    

 
8.
a.
Apakah Piagam Madinah?       (Rujuk Buku Teks m.s: 124-129)


Piagam Madinah atau sahifah Madinah merupakan sebuah perlembagaan bertulis yang telah dirangka oleh Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622M., berpandukan wahyu Allah. Piagam madinah menjadi asas pemerintahan kerajaan Islam Madinah yang terdiri daripada masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam. Piagam ini mencatatkan tentang peraturan, tanggungjawab ketua negara dan rakyatnya, serta dirangka berasaskan persetujuan orang Islam (Muhajirin dan Ansar) dan orang bukan Islam (Yahudi dan suku Arab yang lain).
















b.
Terangkan kandungan Piagam Madinah  

 Piagam Madinah mengandungi 47 fasal, 23 fasal membincangkan hubungan dalam kalangan orang Islam dan tanggungjawab mereka dan 24 fasal lagi adalah tentang tanggungjawab orang bukan Islam termasuk orang Yahudi terhadap negara Madinah. Perlembagaan Madinah merupakan perlembagaan bertulis yang pertama digubal di dunia yang menjadi asas kepada sebuah negara berdaulat.

Kandungan PiagamMadinah boleh dirumuskan kepada tujuh aspek penting yang merangkumi bidang politik, sosial dan ekonomi, iaitu dalam aspek pentadbiran, agama, sosial, perundangan, pertahanan, dan kedudukan kaum Yahudi seperti yang tertera dalam jadual dibawah.

Intisari kandungan Piagam Madinah.


Bil
Perkara
Rumusan                               


1.
Politik
·         Nabi Muhammad s.a.w. pemimpin di Madinah.

·         Baginda adalah sebagai hakim yang menyelesaikan masalah yang timbul antara orang Islam dengan orang bukan Islam.


2

Agama           

·         Masyarakat Madinah bebas mengamalkan agama masing-masing.

·         Mereka bebas mengamalkan adat mereka masing-masing selagi tidak bertentangan dengan Islam.


3
Sosial 

·         Masyarakat Madinah dianggap sebagai satu ummah dan mempunyai tanggungjawab yang sama terhadap negara.

·         Masyarakat Madinah tidak boleh bermusuhan sesama sendiri.


4
Perundangan
·         Undang-undang Islam diguna pakai secara menyeluruh tetapi peraturan kekeluargaan di dalam sesuatu kabilah boleh diamalkan selagi tidak bertentangan dengan Islam.



5
Ekonomi
·         Kerjasama antara masyarakat Madinah dituntut demi memajukan ekonomi negara.

·         Unsur penipuan dan riba dihapuskan dalam sistem perniagaan.


6
Pertahanan
·         Semua anggota masyarakat dikehendaki mempertahankan Madinah daripada ancaman luar.


7
Kedudukan Yahudi
·         Keselamatan orang bukan Islam (khususnya Yahudi) terjamin selagi mereka mematuhi perlembagaan Madinah.




c.
Jelaskan kepentingan Piagam Madinah.


1. Nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya membentuk masyarakat baru berasaskan
ummah, iaitu masyarakat yang hidup bersatu dan aman. Nilai hidup yang ditanam adalah berasaskan semangat ukhuwah Islamiah. Taraf dan kedudukan rakyat adalah sama. Dengan itu, konsep keadilan sosial telah dipraktikkan di Madinah. Dari segi hak, Islam telah menekankan persamaan hak dan persaudaraan Islam. Tiada lagi perbezaan taraf di kalangan masyarakat.

2. Menerusi pembentukan perlembagaan ini, masyarakat Madinah daripada pelbagai keturunan, budaya dan agama dapat mendiami sebuah negara yang mempunyai undang-undang yang lengkap dan sempurna. Syariah Islam yang diperkenalkan adalah adil.

3. Cara Nabi Muhammad s.a.w. mendirikan sebuah kerajaan berbeza daripada cara yang dilakukan oleh pemimpin lain di dunia. Baginda menyusun perlembagaan negara terlebih dahulu sebelum mengasaskan sebuah kerajaan. Di sini menunjukkan bahawa masyarakat Madinah telah diikat dahulu dengan perjanjian yang lengkap sebelum bernaung di bawah sebuah pemerintahan. Sistem pemerintahan yang diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. merupakan sistem pemerintahan yang meletakkan Allah sebagai kuasa yang tertinggi.

4.  Piagam Madinah juga berjaya menyusun masyarakat yang sistematik. Setiap kaum terikat dengan undang-undang yang telah digariskan. Orang Yahudi, misalnya, tidak boleh  menindas kaum Arab yang lain. Kesemua bangsa ada hak dalam  negara Madinah dan mereka harus mematuhi peraturan  dan cara hidup yang menjadi panduan masyarakat. Mereka bertanggungjawab mempertahankan keselamatan Negara Madinah daripada serangan luar. Dengan adanya kerjasama daripada semua masyarakat, negara Madinah menjadi kuat dan disegani oleh negara luar di sekitarnya dan di Semenanjung Tanah Arab.

9.
a.
Jelaskan strategi yang diatur oleh Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyebarkan agama Islam. (Rujuk Buku Teks m.s: 129-131)



1. Strategi yang diatur oleh Nabi Muhammad s.a.w.  menyebarkan Islam dengan menghantar perutusan ke Rom, Rom Timur, Parsi Mesir, Habsyah, dan wilayah di sekitar Semenanjung Tanah Arab. Dalam menyebarkan Islam, Nabi Muhammad s.a.w. tidak memaksa mereka memeluk lslam tetapi menggunakan diplomasi dan menunjukkan nilai-nilai yang baik.

2. Selain menyeru mereka memeluk Islam menerusi warkah, baginda juga ingin mewujudkan rasa persefahaman dengan wilayah tersebut.


3.  Oleh sebab orang Arab Quraisy cenderung untuk melakukan keganasan dengan menyerang kafilah perdagangan Islam, Nabi Muhammad s.a.w, telah mengambil keputusan untuk membetulkan keadaan itu. Mengikut ajaran Islam, peperangan tidak dibenarkan kecuali bertujuan untuk mempertahankan maruah diri, agama dan negara. Peperangan hanya boleh dilakukan dengan keizinan Allah, iaitu setelah wahyu diturunkan oleh Allah.

Peperangan.

Di Madinah, sejak tahun 622M. atau 1H. sehinggalah pembukaan semula kota Makkah pada tahun 630M. atau 8H., beberapa siri peperangan antara orang Quraisy Makkah dengan orang Islam Madinah telah berlaku. Peperangan tersebut ialah Perang Badar pada tahun 624M. / 2H., Perang Uhud pada tahun 625M. / 3H., Perang Khandak 627M. / 5H., dan Perang Tabuk 630M. / 8H..

Di Makkah, setelah beberapa lama ditindas oleh orang Arab Quraisy, Allah telah memberikan keizinan kepada umat Islam untuk berperang, iaitu setelah orang Arab Quraisy menyerang orang Islam. Peperangan yang berlaku dalam Islam juga harus mengikut prinsip tertentu. Antaranya,
1. Allah membenarkan orang Islam berperang apabila mereka diserang oleh musuh.

2. Allah juga membenarkan orang Islam berperang untuk mencari keamanan supaya tempat ibadat mereka terjaga. Peperangan yang berlaku pada masa ini adalah lebih kepada menjaga maruah negara serta memusnahkan harta benda dan manusia yang tidak berdosa. Islam tidak melakukan tindakan sedemikian.

3. Setiap pertempuran dan peperangan dalam Islam adalah untuk menentang kezaliman dan mempertahankan diri. Islam menganjurkan perdamaian, seandainya musuh Islam inginkan perdamaian, maka, orang Islam  harus memilih perdamaian.

Dalam Islam, dakwah Islamiah mestilah dilakukan dengan bijaksana dan menerusi nasihat yang balk. Peperangan yang berlaku antara orang Islam Madinah dengan pihak Arab Quraisy Makkah terbukti adalah untuk mempertahankan maruah agama, bangsa, dan negara semata-mata.

Sungguhpun peperangan telah berlaku, namun, Islam tidak berkembang dengan paksaan malah perkembangannya adalah secara sukarela dan toleransi. Misalnya, dalam Peperangan Badar, walaupun pihak Islam beroleh kemenangan, Nabi Muhammad s.a.w. telah mengampunkan tawanan Arab Quraisy. Tawanan wanita dan kanak-kanak telah dibebaskan sementara tawanan lelaki diberikan syarat untuk membebaskan diri mereka. Tawanan lelaki yang berjaya mengajar kira-kira 10 orang kanak-kanak Islam membaca dan menulis sehingga pandai, akan dibebaskan.

Tentera Islam yang berjuang di medan peperangan juga dilarang membunuh sesuka hati malah tumbuh-tumbuhan juga dilarang dimusnahkan.  

 
10.
a.
Apakah Perjanjian Hudaibiyah? (Rujuk Buku Teks m.s: 131-133)


Perjanjian Hudaibiyah dimeterai antara pihak Islam dengan Arab Quraisy (yang diwakili oleh Suhail bin Amru) di Hudaibiyah pada tahun 628 M. bersamaan 6 H.

b.
Ceritakan peristiwa yang menyebabkan Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani.

Peristiwa-peristiwa penting yang menyebabkan Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani adalah seperti berikut;
·           Pada tahun 628 M., rombongan orang Islam telah ke Makkah kerana ingin
        menunaikan umrah.
·           Mereka telah disekat di Hudaibiyah  Nabi Muhammad s.a.w. menghantar
       Uthman bin Affan ke Makkah untuk menerangkan tujuan kedatangan
        mereka.
·           Orang Islam mendengar khabar angin tentang kematian Uthman telah        bersumpah setia, yang dikenali dengan "Baiah al-Ridwan". Orang Arab
       Quraisy berasa bimbang terhadap kata sepakat orang Islam. Lalu, mereka
        menemui Nabi Muhammad s a w.,
·           Baginda bersedia mengadakan perjanjian dan termeterailah Perjanjian
       Hudaibiyah antara Nabi Muhammad s.a.w.(Islam) dengan Suhail bin Amru (Quraisy).


c.
Senaraikan syarat-syarat yang dipersetujui dalam perjanjian ini.


Kandungan Perjanjian Hudaibiyah
1.  Bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata selama 10 tahun.
2.  Kabilah Arab yang lain bebas memihak sama ada kepada orang Islam Madinah
     atau orang Quraisy Makkah.
3.  Orang Islam Madinah yang memihak ke Makkah tanpa kebenaran penjaganya
     tidak perlu dipulangkan.
4.  Orang Quraisy Makkah yang memihak ke Madinah tanpa kebenaran
     penjaganya  perlu dipulangkan semula.
5.  Umat Islam hanya boleh mengerjakan umrah pada tahun berikutnya.

Perjanjian Hudaibiyah yang telah dimeterai itu, tidak dapat diterima sepenuhnya oleh para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. pada peringkat awal. Mereka menganggap perjanjian itu menguntungkan pihak Arab Quraisy. Walau bagaimanapun, akhirnya, mereka dapat menerimanya sebagai satu pengajaran yang besar.  Demi mencapai kata sepakat dan menjalin hubungan yang baik antara dua pihak, orang Islam menganjurkan perdamaian. Dengan wujudnya keamanan, misi perjuangan Islam dapat dilaksanakan.


d.
Huraikan kepentingan Perjanjian Hudaibiyah.



1.  Menerusi Perjanjian Hudaibiyah, orang Islam berpeluang menunaikan haji pada tahun berikutnya, iaitu pada tahun 629 M.. Peluang ini juga telah memberikan kebebasan kepada orang Islam untuk memasuki Makkah dan seterusnya beribadat di Kaabah pada bila-bila masa.

2. Tempoh perdamaian dalam perjanjian ini membolehkan Nabi Muhammad s.a.w. merangka program dakwah Islamiah ke seluruh Semenanjung Tanah Arab secara aman. Menerusi perjanjian ini, suku Arab boleh menganut sebarang agama yang mereka sukai tanpa halangan daripada mana-mana pihak. Dengan itu Islam dapat berkembang dengan meluas. Sesetengah sejarawan mengatakan bahawa selepas dua tahun perjanjian ini dimeterai mereka yang memeluk Islam telah berganda bilangannya.

3. Kandungan Perjanjian Hudaibiyah menggambarkan bahawa Islam tersebar dengan aman. Walaupun isi perjanjian yang ketiga dan keempat kelihatan menguntungkan orang Arab Quraisy tetapi Nabi Muhammad s.a.w. yakin Islam akan memperoleh keuntungan dari segi jangka panjang. Ini terbukti dengan pengislaman tokoh panglima Arab Quraisy yang berpengaruh, iaitu Khalid bin
al-Walid,  Amru bin al-As, dan Uthman bin Talhah sejurus selepas Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani.

4. Perjanjian Hudaibiyah melambangkan ketokohan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin yang unggul dan dikagumi. Kita mendapati sesuatu tindakan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. tidak dilakukan secara terburu-buru malah baginda melihatnya secara menyeluruh, terperinci dan berwawasan.

5.  Persetujuan orang Arab Quraisy menandatangani perjanjian ini menunjukkan bahawa mereka telah mengiktiraf kerajaan Islam di Madinah. Sebelum ini mereka tidak mahu langsung bekerjasama dengan orang Islam malah sentiasa mencari jalan menentang Islam.

6.  Perjanjian Hudaibiyah menjadi perintis ke arah pembukaan semula kota Makkah.

Walau bagaimanapun, perdamaian yang dipersetujui antara kedua-dua pihak ini bertahan selama dua tahun sahaja. Orang Arab Quraisy sengaja melanggar isi perjanjian yang pertama. Mereka memberi sokongan kepada Bani Bakar yang berperang dengan Bani Khuza'ah. Mengikut syarat Perjanjian Hudaibiyah gencatan senjata haruslah dikekalkan selama 10 tahun tetapi orang Quraisy telah mencabulinya. Nabi Muhammad s.a.w. telah bertindak tegas dalam menangani hal itu dengan menyediakan dan menghantar pasukan tentera ke Makkah.

11.
a.
Ceritakan peristiwa pembukaan semula Kota Makkah. (Rujuk Buku Teks m.s: 134-137)



Kota Makkah ialah tempat kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. dan tempat lahirnya agama Islam. Oleh sebab dakwah Islamiah tidak diterima sepenuhnya oleh orang Arab Quraisy pada masa itu, Nabi Muhammad s.a.w. dan orang Islam telah berhijrah ke Madinah pada tahun 622 M.. Setelah hampir lapan tahun Nabi Muhammad s.a.w. tinggal di Madinah dan berjaya mendirikan sebuah kerajaan Islam di situ, baginda akhirnya dapat menguasai semula kota Makkah pada tahun 630 M. bersamaan 8 H.. Tindakan ini dilakukan oleh pihak Islam kerana mereka mendapati pihak Arab Quraisy melanggar Perjanjian Hudaibiyah dan tidak menghormati hak kebebasan yang telah dipersetujui bersama. Mereka telah membunuh beberapa orang Bani Khuza'ah yang berpihak kepada Islam.

Selain itu, pembukaan kota Makkah juga merupakan strategi jangka panjang bagi meneruskan penyebaran Islam. Nabi Muhammad s.a.w. berpendapat jika Makkah dapat dikuasai,  kedudukan kerajaan Islam di Madinah tentu akan menjadi mantap. Oleh itu, baginda merancang untuk memasuki kota Makkah secara bijak dan berpegang pada prinsip aman tanpa kekerasan.

Kedatangan tentera Islam ke Makkah sangat dikhuatiri oleh orang Arab Quraisy, khususnya pembesar Quraisy. Bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w., al-Abbas dan ketua Arab Quraisy, Abu Sufian, telah mengambil keputusan memeluk Islam sebelum tentera Islam menguasai Makkah. Mereka memeluk Islam bukan disebabkan takut dengan kekuatan tentera Islam tetapi menyedari kepalsuan perjuangan mereka selama ini.

Nabi Muhammad s.a.w. telah menyediakan empat pasukan tentera yang terdiri daripada 10 000 orang. Empat pasukan itu ialah pasukan Khalid bin al-Walid,  Abu Ubaidah al-Jarrah,  Saad bin Ubadah dan Zubair bin al-Awwam. Keempat-empat pasukan tentera Islam ini bergerak masuk ke kota Makkah menerusi empat arah yang berlainan, iaitu dari arah utara, selatan, barat, dan barat daya Makkah. Taktik ini telah memberi kejayaan yang besar kepada tentera Islam untuk membuka semula kota Makkah secara mudah kerana orang Quraisy telah dikepung dengan rapi.


Semangat ketakwaan dan keyakinan tentera Islam telah berjaya membuka semula kota Makkah tanpa mendapat apa-apa rintangan yang besar, kecuali penentangan kecil yang diterima oleh pasukan Khalid bin al-Walid daripada segelintir orang Quraisy.  Tetapi penentangan tersebut dengan mudah dapat ditewaskan oleh tentera Islam.



b.
Nyatakan kepentingan pembukaan semula Kota Makkah.


1.  Kejayaan pembukaan semula kota Makkah menyebabkan Kaabah terpelihara daripada unsur-unsur Agama menyembah berhala yang selama ini menjadi amalan masyarakat Arab Jahiliah dihapuskan selama-lamanya dan digantikan dengan Islam.

2. Masyarakat Islam telah mula mendalami ilmu pengetahuan Islam.

3. Kota Makkah dijadikan sebagai kota suci umat Islam. Dengan terdapatnya Kaabah di Makkah, kota ini menjadi tumpuan kesemua umat Islam dari seluruh dunia untuk melakukan ibadat.

4. Pembukaan semula kota Makkah membuktikan bahawa negara Islam yang dibentuk di Madinah begitu kukuh di bawah kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w.

5.  Kebanyakan sejarawan mengatakan bahawa peristiwa pembukaan semula kota Makkah ini menjadi pembuka jalan ke arah penyebaran Islam ke seluruh Tanah Arab. Dakwah Islam telah tersebar secara aman sehingga masyarakat negara kita juga memeluk Islam secara sukarela, tanpa paksaan daripada mana­-mana pihak.

6.  Penguasaan terhadap Makkah, telah mewujudkan sebuah pusat pemerintahan Islam yang kuat. Walaupun Makkah telah berjaya dikuasai, namun, Nabi Muhammad s.a.w. tetap menjadikan Madinah sebagai pusat pentadbiran Islam, manakala Makkah dijadikan sebagai salah sebuah wilayah Islam. Di Makkah, baginda telah melantik wakil bagi menjalankan pemerintahan Islam.

Pengislaman Abu Sufian dan Abbas merupakan faktor penting yang memudahkan kota Makkah dikuasai oleh orang Islam. Dengan pengislaman kedua-dua pembesar ini, orang Arab Quraisy yang lain turut sama memeluk Islam.

Nabi Muhammad s.a.w. telah memberi jaminan keselamatan kepada mereka yang terkepung semasa pembukaan kota Makkah. Jaminan keselamatan ini menjadi faktor utama kepada kejayaan pembukaan semula kota Makkah.

Setelah berjaya menguasai kota Makkah Nabi Muhammad s.a.w. telah bertawaf sebanyak tujuh kali mengelilingi Kaabah dan kemudian berpidato kepada umat Islam dengan membacakan ayat al-Quran yang menekankan kepentingan perpaduan diamalkan dalam sesebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Sifat pemaaf Nabi Muhammad s.a.w. terhadap orang Arab Quraisy yang dikepung begitu ketara. Nabi Muhammad s.a.w. tidak membalas dendam terhadap penduduk Makkah yang selama ini memusuhi Islam, malah baginda memaafkan mereka. Amalan sifat pemaaf ini menjadi kunci kejayaan penyebaran Islam seterusnya.

Pembukaan Semula Kota Makkah
Semasa memasuki kota Makkah, Nabi Muhammad s.a.w. telah meminta seorang sahabat mengumumkan kata-kata yang berunsurkan pengampunan kepada orang Quraisy yang ditawan. Antara kata-kata itu termasuklah  "Wahai kaum Quraisy, sesiapa yang memasuki rumah Abu Sufian, maka, dia selamat, sesiapa yang berada di rumah sendiri dia akan selamat, sesiapa yang memasuki Masjid al-­Haram, dia juga akan selamat".

Semasa berhadapan dengan orang Quraisy yang ditawan, baginda juga telah bertanya kepada mereka. Kata baginda "Wahai orang Quraisy, menurut
pendapat kamu apakah yang akan aku lakukan kepada kamu sekarang”? Jawab orang Quraisy "Tentu yang baik, kerana saudara orang baik, daripada anak orang yang baik-baik dan pemaaf lagi pemurah". Selepas mendengar jawapan orang Quraisy itu Nabi Muhammad s.a.w. terus mengatakan "Pergilah kamu sekalian, kamu sekarang sudah bebes. Dengan ucapan itu, kesemua orang Quraisy dan penduduk Makkah telah diampunkan oleh Nabi Muhammad s.a.w..


12.
a.
Nyatakan pengajaran daripada sejarah perkembangan Islam di Madinah ini?  (Rujuk Buku Teks m.s: 137-138)

1.  Kesabaran, kebijaksanaan dan kemurniaan akhlak yang dipaparkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. merupakan kunci kejayaan pembentukan tamadun Islam.

2. Pembentukan kerajaan Islam Madinah yang kukuh dan mengambil kira perpaduan serta keharmonian hidup perlu dicontohi.

3.  Prinsip dan nilai murni yang ditunjukkan oleh Nabi Munammad s.a.w. dapat menjadi pedoman kepada generasi  muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara.




4. Sikap tidak pernah menyerah kalah untuk meneruskan perjuangan murni harus ditanam dalam jiwa kita. Rintangan dan halangan harus ditempuhi dengan cekal demi memperoleh kejayaan yang cemerlang. Dengan akhlak yang terpuji ini, Nabi Muhammad s.a.w. dapat berhadapan dengan golongan penentang Islam sebelum ini dan menerima mereka sebagai kawan. Inilah ciri dan sifat yang harus dimiliki oleh generasi Islam pada masa sekarang demi menghadapi zaman yang mencabar.








                                                                                                                       




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...