Sabtu, 20 Oktober 2012

SOALAN 10 PERCUBAAN K2 PAHANG 2012

10. Bincangkan kesan-kesan social akibat pentadbiran barat di Indonesia dan Myanmar(Burma)

PENGENALAN
Pentadbiran Barat iaiatu British di Burma dan Belanda di Indonesia telah membawa beberapa perubahan bukan sahaja dalam bidang pentadbiran dan ekonomi tetapi juga dalam bidang social. Antara perubahan yang ketara ialah perubahan dalam cara hidup masyarakat tempatan, kesihatan dan pendidikan
KESAN-KESAN SOSIAL DI BURMA
Kehilangan hak tanah
- Perkembangan ekonomi Burma yang pesat juga turut mendatangkan kesan negatif. Masalah pemindahan pemilikan tanah menyebabkan kaum tani menjadi miskin. Keadaan ini berlaku kerana, untuk memajukan penanaman padi, kaum tani yang kekurangan modal meminjam wang dari ceti-ceti dengan kadar bunga yang tinggi.
- Mereka terpaksa menyerahkan hak pegangan tanah mereka sebagai cagaran. Kebiasaannnya tanah mereka tergadai dan menjadi milik golongan ceti jika mereka tidak dapat membayar hutang. Kesannya kaum tani menjadi penyewa tanah atau pekerja di tanah sendiri.
- Mereka tidak mampu menggunakan kaedah penanaman moden bagi meningkatkan hasil tanaman dan tanah menjadi kurang subur, mereka semakin miskin. Pada tahun 1930, 50% tanah pertanian di Burma dimiliki oleh golongan ceti. Di antara tahun 1915-1930 lebih kurang 1 300 000 ekar tanah delta terlepas kepada golongan ceti kerana petani-petani tidak mampu membayar hutang yang berjumlah 40juta dolar.
Pendidikan
- Kerajaan British berusaha mengatasi masalah pelajaran tempatan. British membentuk satu sistem pelajaran dengan berdasarkan sekolah rahib(monastic). Phayre membawa masuk banyak buku teks dan guru.
- Pada tahun 1866 Pengarah Jabatan Pelajaran Awam telah dilantik untuk menyelia rancangan sistem pelajaran ini. Selepas kematiannya rancangan ini tidak diteruskan. Kerajaan Inggeris kemudian cuba menggantikan sekolah-sekolah rahib dengan sekolah-sekolah moden.
- Tambahan pula permintaan terhadap Pendidikan Inggeris amat menggalakkan dan ia telah membawa perkembangan pesat sekolah-sekolah vernacular Inggeris.
- Pada tahun 1880an, sistem pelajaran keseluruhannya dikaji semula. Sunggupun terdapat sekolah-sekolah yan gdibiayai oleh kerajaan seperti Regional Government Anglo-Vernacular School yang diasaskan pada 1873, memang menjadi dasar Inggeris untuk membina sekolah-sekolah mubaligh.
- Pada tahun 1900 terdapat 16 buah sekolah menengah mubaligh dan 5 buah maktab perguruan. Pelajar-pelajar yang cemerlang dihantar mengikuti kursus matrikulasi di Universiti Calcutta.
- Kurun ke-20 menyaksikan satu kenaikan permintaan terhadap pendidikan Inggeris. Pendidikan di sekolah rahib merosot. Bahasa Inggeris semakin dipentingkan malah orang-orang Burma terpaksa mempelajari Bahasa Inggeris untuk menjadi pegawai kerajaan.
Kemerosotan Cara Hidup Tradisonal
- Penghapusan pemerintahan beraja juga mendatangkan kesan kepada agama Buddha yang kehilangan pelindungnya. British meletakkan golongan sami Buddha di bawah penguasaan dan pengawasan undang-undang dan polis. Mereka kehilangan taraf social yang tinggi sebelumnya.
- Selain itu adat resam dan kebudayaan Burma serta agama Buddha semakin merosot dan terjejas. Sangha Buddha berpecah, kebanyakan sami Buddha berkecimpung dalam politik untuk menyelamatkan nilai-nilai agama Buddha dan kebudayaannya. Mereka menubuhkan Persatuan Pemuda Buddha dan Sangha Samatgi untuk mempertahankan nilai-nilai agama Buddha.
- Pemerintahan dan pentadbiran Inggeris serta perkembangan ekonomi moden memerlukan tenaga kerja dan kakitangan pentadbiran yang berpendidikan Inggeris. Keadaan ini menyebabkan semakin ramai orang Burma menerima sistem Pendidikan Inggeris dan secara tidak langsung mengamalkan nilai-nilai social barat. Di samping itu ideologi-ideologi barat seperti liberalisme, domokrasi, sosialisme dan komunisme mula meresapi fikiran pelajar Burma.
Masyarakat berbilang Kaum
- Pemerintahan Inggeris dan pertumbuhan ekonomi di Burma menarik kemasukan ramai orang India. Pada awal tahun 1900 kira-kira 250 000 orang India masuk ke Burma setiap tahun. Angka ini meningkat setiap tahun sehingga menjadi 480 000 orang setahun pada 1927.
- Selain itu terdapat juga kemasukan orang Cina secara kecil-kecilan. Kebanyakan mereka menceburi bidang perniagaan dan perlombongan. Kewujudan kedua-dua kaum ini telah mewujudkan masyarakat berbilang kaum di Burma.

KESAN-KESAN SOSIAL DI INDONESIA
Pertambahan Penduduk Dan Rancangan Perpindahan
- Pertambahan penduduk Indonesia terutama di Pulau Jawa dan Madura meningkat dengan kadar yang tinggi. Antara tahun 1831 dan 1840 pertambahan penduduk ialah 3.5 juta. Berlakunya pertambahan ini adalah disebabkan oleh adanya perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, keadaan aman dan kemudahan perhubungan. Keseluruhan pertambahan penduduk pada zaman ini ialah dari 6 juta kepada 9.5 juta.
- Pada 1900 bilangan penduduk Jawa dan Madura berjumlah 28 300 000 tetapi pada tahun 1905, bertambah kepada 29 700 000 dan pada tahun 1920 terus meningkat kepada 34 400 000. Pertambahan penduduk yan gramai menyebabkan timbulnya masalah sosial seperti masalah tanah pertanian, penempatan dan makanan yang mencukupi.
- Bagi mengatasi masalah pendudukan Jawa yang terlalu ramai, dijalankan rancangan memindahkan orang-orang Jawa ke pulau-pulau luar terutama ke Sumatera. Dengan rancangan itu juga dapat menampung kekurangan tenaga kerja yang dihadapi di pulau-pulau luar. Tetapi rancangan perpindahan ke pulau-pulau luar itu hanya mendapat sambutan pada tahun-tahun 1930an.
KEMASUKAN ORANG CINA
- Perkembangan pertanian dan perusahaan, ia telah mempengaruhi berlakunya penghijrahan orang-orang asing seperti Cina ke Indonesia. Pada tahun 1900 jumlah penduduk Cina ialah 277 000 orang di Pulau Jawa dan 250 000 orang di pulau-pulau luar. Dengan adanya kemudahan-kemudahan seperti kesihatan dan perhubungan menyebabkan kadar penambahan penduduk tempatan semakin tinggi.
- Menjelang 1900 sikap orang-orang Cina telah berubah dan semakin ramai orang Cina menetap di Indonesia terutama orang-orang Cina dari Canton. Mereka berjaya menjalankan pengaruh ekonomi dengan menguasai perniagaan runcit yang dikembangkan oleh Belanda. Pada tahun 1900 bilangan orang Cina di Jawa kira-kira 280 000 orang dan jumlah itu terus meningkat. Di Sumatera bilangan penduduk Cina berjumlah 260 000 pada tahun 1900 tetapi meningkat kepada 1 250 000 orang pada tahun 1920.
- Orang-orang Cina telah mendirikan sekolah, pertubuhan dan persatuan seperti Pergerakan Cina Muda. Selain orang Cina terdapat juga orang Jepun. Pemerintah Belanda telah memberi kebenaran kepada mereka tinggal di Indonesia sejak 1899. Pada tahun 1923 bilangan mereka kira-kira 4 200 orang. Dengan kemasukan orang-orang Cina muncul masyarakat majmuk di Indonesia.
- Pada tahun 1815 jumlah penduduk Indonesia kira-kira 6 juta orang tetapi menjelang awal ke-20 jumlah itu meningkat kira-kira 50 juta orang. Dalam masa yang sama penduduk Jawa dan Madura menunjukkan pertambahan daripada 4.5 juta orang kepada 40 juta orang. Pertambahan penduduk yang besar telah menimbulkan masalah makanan kerana pengeluaran beras tidak dapat menampung permintaan penduduknya.
Perubahan dalam sistem masyarakat tempatan
- Sistem ini memperkuatkan kedudukan golongan bangsawan dan ningrat kerana mereka telah dilantik menjadi pegawai-pegawai kerajaan. Mereka membantu Residen dan Penolong Residen mengawasi perlaksanaan sistem ini.
- Mereka diberi kuasa penuh dan ganjaran gaji yan glumayan. Walau bagaimanapun hubungan ketua kampung dengan penduduk kampung semakin renggang. Ia terjadi disebabkan ketua-ketua kampung telah menjadi orang upahan Belanda dan golongan atasan. Orang kampung hanya menghormati ketua-ketua yang mereka pilih, sebaliknya membenci ketua yan gdipilih oleh Belanda terutama ketua yang menyalah gunakan kuasa.
- Selain itu orang kampung juga telah meninggalkan pekerjaan tradisi iaitu meninggalkan kampung dan mencari pekerjaan seperti membina jalan raya, tali air dan sebagainya. Pekerjaan di sawah padi ditinggalkan kerana dianggap tidak menguntungkan.
Wujud masyarakat Indo Belanda
- Dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Belanda juga telah menarik ramai orang Eropah terutama Belanda datang ke Indonesia. Menjelang pertengahan kurun ke-19, bilangan mereka yang ada di negeri itu melebihi 20 000 orang. Dari bilangan tersebut 50% terdiri dari golongan peranakan Indo Belanda.
- Perempuan-perempuan Indonesia yang bersuamikan lelaki Belanda dipanggil Nyai dan mereka bergaul sesama mereka sahaja. Dalam kehidupan seharian mereka mengikut kehidupan Belanda dan diterima oleh masyarakat Belanda. Dalam kedudukan masyarakat mereka tergolong sebagai golongan pertengahan dan mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada orang-orang Indonesia sendiri.
- Kejayaan Dasar Liberal pada peringkat awal mendorong penghijrahan orang Belanda ke Indonesia. Kebanyakan dari mereka yang datang terdiri dari golongan peniaga, penguasaha persendirian dan profesional terutama selepas 1870. Sehingga tahun 1900 bilangan orang Belanda dan Eropah di Indonesia kira-kira 62 477 orang di Pulau Jawa dan 13 356 orang di pulau-pulau luar
- Usaha-usaha telah dibuat oleh Belanda untuk memajukan bidang pelajaran di Indonesia. Pada tahun 1882 pemerintah Belanda menyediakan peruntukan sebanyak 1.2 juta guilders untuk pelajaran. Ketika ini terdapat kira-kira 300

buah sekolah bumiputera di Pulau Jawa dan 400 buah di pulau-pulau luar. Jumlah pelajar dianggarkan seramai 40 000 orang.
- Selain sekolah-sekolah bumiputera terutama sekolah rendah, sekolah-sekolah Belanda juga didirikan tetapi hanya anak-anak golongan bangsawan yang dibenarkan memasuki sekolah Belanda. Bilangan pelajar bumiputera yang memasuki sekolah-sekolah Belanda telah bertambah. Pada tahun 1870 bilangan pelajar bumiputera yan gbelajar di sekolah Belanda hanya 266 orang tetapi pada tahun 1900 meningkat kepada 2 000 orang.
- Pada awal abad ke-20, pemerintah Belanda mengadakan peruntukan yan gbesar untuk membina lebih banyak sekolah di Indonesia. Menjelang 1900 Belanda telah mendirikan institusi pengajian tinggi seperti Sekolah Perubatan Stovia. Pada tahun 1901 didirikan pula sekolah teknik yang pertama iaitu Sekolah Queen Wilhelmina. Sejak 1907 lebih banyak sekolah menengah dibina termasuk Sekolah Haiwan 1907, Sekolah Undang-Undang 1908, Sekolah Perdagangan dan Kelautan Prince Henry 1911 serta Sekolah Pertanian 1913. Pada tahun 1913 terdapat 7 000 buah sekolah kebanyakan sekolah rendah dengan 227 000 murid. Kesan dari system pendidikan ini kemunculan satu golongan elit baru. Walaupun mereka berpendidikan barat golongan ini tidak mesra dengan Belanda kerana mereka mengalami diskriminasi. Mereka mengkritik Belanda.
KESIHATAN
- Pihak Belanda telah memberi sumbangan besar dalam bidang kesihatan kerana telah berusaha untuk membanteras penyakit. Pada tahun 1900 penyakit disebabkan kuman tikus dapat dikesan dan merupakan penyakit yang ditakuti. Pada tahun 1911 kira-kira 2 000 orang telah mati dan meningkat pada tahun 1913 kepada 12 000 orang. Kerajaan telah meruntuhkan rumah-rumah yang penghuninya terkena penyakit itu jumlahnya lebih setengah juta rumah dan kerajaan membelanjakan kira-kira 30 juta guilders untuk menggantikan rumah yang diruntuhkan.
- Selain kuman tikus berlaku juga taun mangga dan beri-beri yang berpunca daripada nasi. Taun mangga telah menyerang kira-kira 14 000 orang pada tahun 1911 tetapi jumlah itu dapat dikurangkan kepada hanya 50 orang pada tahun 1935. Kerajaan juga berjaya mengurangkan kadar kematian dengan adanya pembinaan hospital, suntikan beramai-ramai, menyediakan tempat tinggal yang lebih baik dan memberi penerangan mengenai kesihatan.
- Kejayaan Belanda membenteras penyakit dan mengadakan perkhidmatan kesihatan yang besar disebabkan adanya peruntukan disediakan. Pada tahun 1900 kira-kira 2.2 juta guilders telah digunakan tetapi pada tahun 1915 jumlahnya meningkat 11.1juta. Kerajaan juga berjaya menyediakan perkhidmatan doctor. Pada tahun 1900 terdapat 38 doktor bangsa Eropah di Jawa dan pulau-pulau luar. Tetapi pada tahun 1910 terdapat 217 doktor bangsa Eropah dan 148 bumiputera.
KESIMPULAN
- Pentadbiran Brtish di Burma menyebabkan beberapa perubahan berlaku. Perubahan-perubahan ini mendatangkan kesan baik dan negatif ke atas Burma. Secara umumnya berlaku kemerosotan taraf hidup, social dan politik di Burma kerana persaingan dengan British dan kaum-kaum lain terutama India dan Cina. Keadaan tidak puas hati dan kebangkitan golongan berpendidikan barat telah menyebabkan mereka bangkit menentang British.
- Perubahan-perubahan social yang berlaku juga menyebabkan kehidupan social masyarakat berubah dan akhirnya perkembangan pesat dalam system pendidikan turut menyumbang kepada kebangkitan semangat nasionalisme di kalangan masyarakat tempatan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...