Sabtu, 20 Oktober 2012

SOALAN 2 PERCUBAAN K2 PAHANG 2012

2. Jelaskan sistem ekonomi saradiri di Tanah Melayu pada awal abad ke -19

PENGENALAN
- Sistem ekonomi Malaysia sebelum kedatangan barat bersifat pelbagai dengan sara diri di hampir semua
negeri, separa sara diri di Kedah dan Perlis, pertanian komersil di negeri-Negeri Selat (NNS) dan Johor di samping ekonomi komersil yang lain melibatkan perlombongan dan perdagangan. Walau bagaimanapun secara umumnya masyarakat Melayu sebelum kedatangan barat majoritinya mengamalkan ekonomi sara diri yang mengandungi kelompok kecil petani yang tinggal di kampung.
- Ekonomi masyarakat Melayu adalah berasaskan sara diri yang berteraskan pertanian, perburuan dan perikanan. Ekonomi sara diri ialah kegiatan ekonomi yang bertujuan atau sekadar mampu untuk menampung keperluan harian keluarga. Walaupun boleh dijual, hasil jualan akan digunakan untuk membeli barang keperluan yang lain yang menjadi asas keperluan seperti pakaian, perlindungan dan makanan. Di Tanah Melayu apabila menyentuh soal saradiri akan merujuk kepada pertanian dan perikanan.
- Kegiatan petani bertumpu di tebing sungai, hutan dan kawasan kecil tanah yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka. Lebihan jarang terdapat dan kalau ada pun mereka biasanya menukarkan dengan barangan lain di kampung sendiri. Tanah yang mereka miliki kecil dan pengurusan adalah bersama terutama dalam sistem kerah.
a) PERTANIAN
- Pertanian sara diri merupakan kegiatan utama masyarakat Melayu yang berteraskan kepada padi sawah dan padi huma. Masyarakat yang menguasahakan padi sawah terletak di tanah pamah Semenanjung iaitu Delta besar dan subur di Kedah, Kelantan, Kuala Selangor dan Perak. Tanaman diusahakan untuk sara diri dan jarang berlaku lebihan kerana sistem yang masih mundur dan terdapat pelbagai faktor lain terutamanya tenaga kerja akibat beban kerja kerah dan sistem serah yang membebankan rakyat.
- Di Kedah dan Kelantan penanaman padi diperkenalkan oleh orang Thailand sementara di Pahang oleh orang Minangkabau
- Pada peringkat awal sistem pengairan yang digunakan ialah sistem empangan iaitu air disekat menggunakan pancang kayu dan ranting. Terdapat juga kaedah kincir air yang diperkenalkan oleh orang Minangkabau yang diperbuat dari kayu
- Di Kedah pembukaan Terusan Wan Mat Saman telah meningkatkan lagi pengeluaran padi sehingga Kedah menjadi pengeluar padi sawah yang utama di Tanah Melayu. Terusan ini mula dibina pada tahun 1885 dan siap pada tahun 1895 yang bermula dari Alor Setar dan berakhir di Gurun
- Keadah tradisonal seperti lesung kaki, mesin kisar, pisau tuai, sabit dan tenggala digunakan
- Hanya beberapa buah negeri yang dapat menghasilkan lebihan contohnya di Kedah yang membekalkan beras ke Pulau Pinang dan negeri-negeri jiran. Kelantan contohnya pada tahun 1837 seperti yang disebut oleh Abdullah b. Abdul Kadir Munsyi dalam Kisah Pelayaran Abdullah menyebut bahawa tanaman padi yang baik diperolehi setiap tahun dan bukan sahaja untuk keperluan tetapi dieksport ke Singapura dan Pattani.
- Di Kedah pula hasil lebihan banyak dieksport ke Pulau Pinang. Pada tahun 1820 eksport 100 koyan padi, 50 koyan beras dan penanaman padi amat dipentingkan jelas dalam Undang-Undang Dato Seri Paduka Tuan
- Negeri-negeri lain seperti Perak, Selangor dan Terengganu juga ada lebihan tetapi pada akhir abad ke-19 merosot di Perak permintaan melebihi bekalan. Di Selangor pula sehingga pada pertengahan abad ke-19 mempunyai bekalan yang banyak terutama semasa pemerintahan Sultan Muhammad (1826-1857) yang mewajibkan rakyatnya menanam padi. Walau bagaimanapun perang saudara yang meletus pada tahun 1886-73 mengakibatkan kerosakan sawah dan kemerosotan pengeluaran.
- Penanaman padi bukit atau huma juga dijalankan oleh masyarakat di Tanah Melayu suku-suku kaum yang
tinggal pedalaman terutamanya masyarakat asli iaitu Semai, Jakun dan Temiar.
- Padi huma tidak memerlukan air yang banyak dan mereka sentiasa berpindah randah.
- Pertanian ini dijalankan dua kali penanaman dan boleh dituai selepas 6-8 bulan
- Dalam sejarah penanaman padi secara sara diri di Malaysia pada abad ke-19 sebenarnya tidak
banyak perubahan yang berlaku kerana ia berkembang mengikut tradisi turun temurun.
- Begitu penanaman padi huma apa yang jelas berbeza ialah padi sawah tidak perlu berpindah
randah setiap kali penanaman kerana tempat yang sama digunakan. Berbanding dengan padi bukit
penanamnya akan berpindah setiap kali ingin menanam padi kerana kesuburan tanah hilang atau berkurangan.
- Majoriti penanam padi mengusahakan tanaman mereka berdasarkan sara hidup. Untuk
menambah makanan mereka menternak ayam, itik dan hasil tanaman lain termasuk jagung, kopi, tembakau, pisang, ubi kayu di samping pelbagai jenis buah-buahan termasuk kelapa. Dalam usaha untuk mendapatkan keperluan asas seperti kain, garam dan tembakau, petani memungut hasil hutan seperti buluh, rotan dan damar untuk dijual di pasar.
- Orang Melayu bergantung kepada tanaman secukup hidup kerana kekurangan tenaga buruh kerana unit asas buruh ialah keluarga. Selain itu kurang teknologi moden. Akhirnya ialah wujudnya sistem serah dan kerah yang menyulitkan kehidupan rakyat. Semakin banyak hasil ditakuti pembesar akan semakin tamak dan membuat tuntutan berlebihan.
5
b) PERIKANAN DAN PEMUNGUTAN HASIL LAUT
- Sungai dan laut membekalkan makanan tambahan kepada petani. Perkampungan nelayan adalah
kecil dan berpencar(berselerakan). Cara penangkapan ikan pula berbeza dari satu tempat ke satu tempat. Tali, kail, bubu, jala dan pukat adalah di antara kaedah penangkapan ikan yang biasa digunakan. Sebahagian kelompok nelayan mengusahakan sendiri tangkapan dan sebahagian lain berasaskan ketua yang mempunyai modal yang besar.
- Di dalam bidang pemasaran pula kerap kali terdapat perkongsian iaitu terdapat pembahagian tugas berasaskan masa, modal dan pengalaman. Pengeringan dan memasinkan ikan dilakukan oleh wanita dan kanak-kanak. Kuala Terengganu Bandar perdagangan terbesar di pantai timur adalah juga pusat perdagangan ikan. Nelayan-nelayan membawa ikan basah atau kering dan sambal ikan ke hulu sungai atau sepanjang pantai kampung-kampung lain atau ke pasar sehari.
- Kegiatan menangkap ikan di laut dijalankan di antara bulan Mac hingga Oktober dan dihentikan pada musim tengkujuh iaitu antara bulan November hingga Februari kerana musim tengkujuh (laut bergelora)
- Selain itu pemungutan hasil laut juga diusahakan terutama mutiara dan agar-agar laut. Di kalangan kaum Bajau dan Sulu di Borneo aktiviti ini menjadi sumber penting.
c) PERTUKANGAN
- Frank Swettenham dan James Birch mencatatkan di Perak pada tahun 1874 di Kg Sg Siput
terkenal dengan hasil pertukangan seperti lembing, pisau. Di NNM Utara, terutama Terengganu terkenal dengan perkampungan utas, pekerja logam dan tukang kayu. Banyak senjata yang dihasilkan untuk dijual seperti keris, lembing, pedang, pisau dan kapak.
- Kaum wanita Terengganu pula terkenal dengan kemahiran menghasilkan tenunan kain sutera dan sarung. Hasil pertukangan lain ialah kayu dan tembaga. Kelantan juga terkenal dengan pengeluaran kain sarung, logam dan ukiran kayu, serta periuk belanga daripada tanah. Selain itu Kelantan, Terengganu dan Pahang juga menghasilkan perahu.
d) MENCARI HASIL HUTAN
- Malaysia terkenal dengan barangan seperti kayu-kayan, rotan, damar, madu lebah, nipah, buluh, kapur barus, buah-buahan, getah jelutung dan kayu cendana. Barangan ini dijual di pasar atau ditukar untuk mendapatkan keperluan asas yang lain seperti kain, garam dan tembakau.
- Dari hutan juga mereka mendapat bahan api, bahan-bahan untuk membuat pagar dan atap serta
daun-daun untukmembuat bakul dan menganyam tikar. Sumber penting hasil-hasil hutan ialah kayu cendana
dan rotan. Pengumpul utama hasil-hasil hutan terdiri daripada orang asli dan orang Melayu.
e) PENTERNAKAN DAN BERBURU
- Masyarakat tradisional juga menternak binatang ternakan seperti ayam, itik, lembu dan kerbau. Di samping menjadi sumber makanan, binatang seperti lembu dan kerbau juga digunakan untuk membajak sawah dan menarik kayu.
- Selain menternak masyarakat juga menjalankan aktiviti berburu. Binatang yang diburu antaranya termasuk kancil, rusa, pelanduk,seladang dan ayam hutan.
- Menjerat gajah menjadi satu kegiatan penting pada masa itu kerana gajah boleh digunakan untuk pelbagai keperluan. Antaranya membawa penumpang, alat pengangkut atau kenaikan utama golongan pemerintah di samping menjadi lambang ketinggian taraf seseorang pemerintah, barangan untuk hadiah serta kenaikan semasa peperangan. Kegiatan menjerat gajah dijalankan secara meluas di Pahang kerana terdapat banyak binatang liar di negeri itu.
KESIMPULAN
- Pada suku akhir abad ke-19 pemodal asing telah menguasai ekonomi di Malaysia. Kemasukan penjajah barat terutama British menjadikan sebahagian ekonomi dijelmakan ke dalm ekonomi penjajah. Orang-orang Melayu mewarisi ekonomi sara diri dan ekonomi komersil dikuasai oleh orang Cina dan Inggeris. Penguasaan golongan bangsawan seperti raja dan pembesar-pembesar dalam ekonomi turut diketepikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...