Ahad, 9 September 2012

SOALAN 12 PERCUBAAN SEJARAH 2 KEDAH 2012

12. Bandingkan peranan Sukarno dan Mahatma Gandhi dalam gerakan nasionalisme
di Indonesia dan India sehingga Perang Dunia Kedua.


A. Pengenalan ( 2 @ 3 M )
1. Mahatma Gandhi telah dilahirkan pada 2 hb Oktober 1869 di Perbandar,Gujerat
di India barat. Beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga Hindu yang berfikiran
ortodoks. Beliau memperolehi ijazah undang-undang di Britain ketika berusia 19
tahun dan pernah berkhidmat di Bombay dan Afrrika Selatan. Beliau berjuang
menentang dasar apartheid di Afrika Selatan selama 21 tahun. Mahatma Gandhi
telah melibatkan diri dalam politik selepas Perang Dunia Pertama dengan
menyertai Parti Kongres Kebangsaan India pada tahun 1919.
2. Berbanding dengan Sukarno pula yang dilahirkan pada 6 hb Jun 1901 di Blittar
Jawa Timur. Ibunya Ida Ayu Nyoman Rai, keturunan Bali dan bapanya pula
Raden Sukemi seorang guru keturunan Jawa.Beliau mendapat pendidikan awal
di sekolah Tinggi Belanda di Surabaya. Antaratahun 1921-1926, beliau telah
melanjutkan pelajaran ke Maktab Teknik Bandung dalam bidang kejuruteraan.
Pada tahun 1925, beliau telah menubuhkan Kelab Pelajar Bandung bersama
rakan-rakannya. Pada tahun1926, beliau telah menerima Ijazah dalam bidang
kejuruteraan.
B. Isi ( 20 M )
1. Peranan Mahatma Gandhi dalam gerakan nasionalisme India ( 10 M )
a) Pada tahun 1919, Gandhi telah melaksanakan bantahan yang dikenali
sebagai Penentangan Pasif apabila British bertindak menguatkuasakan Akta
Rowlatt pada tahun 1919. Dalam bantahan ini penduduk India diarahkan agar
tidak mematuhi undang-undang baru tersebut secara aman sehingga
undang-undang tersebut ditarik balik. Tindakan ini menyebabkan Gandhi
semakin popular dikalangan masyarakat India.
b) Pada tahun 1920, Gandhi telah melancarkan satu perarakan secara besarbesaran
di seluruh negara yang dikenali sebagai Satyagraha atau
Penentangan Tanpa Kekerasan. Melalui penentangan ini mereka tidak
bekerjasama dengan British, menutup kedai dan mengadakan
mogok.Malangnya British bertindak balas menentang perarakan tersebut
dengan cara membunuh dan mencederakan seramai 2000 orang awam.
Tragedi ini dikenali sebagai Pembunuhan Beramai-ramai di Amritsar.
c) Akibat peristiwa ini, pada bulan Ogos 1920, Gandhi telah melaksanakan
dasar tidak bekerjasama dengan British dengan cara memulaukan majlis
perundangan, mahkamah, kolej dan sekolah.
d) Tindakan ini telah menyebabkan tercetusnya rusuhan pada tahun 1922. Ini
menyebabkan Gandhi terpaksa membatalkan dasar tidak bekerjasama
dengan British. Akibat peristiwa ini, British bertindak menangkap dan
menjatuhkan hukuman penjara terhadap Gandhi sehingga beliau dibebaskan
pada tahun 1924.

e) Pada tahun 1929, British mencadangkan satu persidangan meja bulat bagi
membincangkan isu perlembagaan baru. Namun begitu Parti Kongres yang
bersidang di Lahore pada tahun 1929 telah meluluskan satu resolusi menolak
Persidangan Meja Bulat kerana mereka hanya mahukan kemerdekaan
negara India.
f) Apabila pihak British bersikap dingin terhadap tuntutan Parti Kongres, maka
Parti Kongres bertindak melancarkan Pergerakan Penderhakaan Awam pada
tahun 1930. Dalam pergerakan ini Gandhi telah mengambil bahagian dalam
perbarisan berjalan kaki sejauh 330 km sebagai tanda bantahan terhadap
kerajaan yang mewajibkan rakyat membeli garam dari kerajaan. Pada masa
ini garam merupakan barangan yang dimonopoli oleh kerajaan.
g) Bagi menyelesaikan masalah tersebut, pihak British telah bekerjasama
dengan Parti Kongres dan menganjurkan Persidangan Meja Bulat Kedua di
London pada tahun 1931.Gandhi telah hadir dalam persidangan tersebut.
Rundingan antara Gandhi dengan Wizurai Lord Irwin telah menghasilkan
Pakatan Gandhi-Irwin 1931. Menurut pakatan ini Gandhi bersetuju
membatalkan kempen melanggar perintah awam.Sementara British pula
bersetuju menarik balik segala langkah dan tindakan kekerasan serta
memberi jaminan untuk membebaskan nasionalis India yang ditahan.
h) Bagaimanapun, hasil rundingan tersebut tidak dapat dilaksanakan apabila
Parti Konservatif yang mengambil alih kerajaan Britain telah bertindak tegas
terhadap Parti Kongres.Sikap kerajaan British yang enggan bertolak ansur
menyebabkan Gandhi pulang ke India dan meneruskan kembali kempen
melanggar perintah awam dan memulaukan barangan British. Akibatnya
British bertindak menangkap Gandhi dan Parti Kongres diistyharkan sebagai
sebuah parti yang tidak sah.
i) Hubungan antara British dengan masyarakat India semakin tegang apabila
British mengistyharkan Anugerah Perkauman pada bulan ogos1932.Gandhi
yang berada dalam tahanan ketika itu telah membantah tindakan kerajaan
British tersebut dengan melancarkan mogok lapar dalam penjara.Tindakan
mogok lapar ini telah diberhentikan oleh Gandhi apabila beliau bersetuju
dengan Pakatan Poona yang dibuat oleh British.
j) Dalam Persidangan Meja Bulat Ketiga yang diadakan pada tahun 1932, pihak
British telah memutuskan beberapa usul untuk memulihkan kerajaan India.
Usul ini telah diterima oleh parlimen India dan akhirnya diluluskan sebagai
Akta Kerajaan India 1935 yang menjadi asas kemerdekaan India.
2. Peranan Sukarno dalam Gerakan Nasionalisme Indonesia ( 10 M )
a) Peranan Sukarno dalam Parti Nasionalis Indonesia.
i. Menubuhkan Parti Nasionalis Indonesia ( PNI) pada 4 Julai 1927 untuk
menuntut kemerdekaan penuh bagi Indonesia dengan cara menyatukan
seluruh rakyat Indonesia dan melaksanakan dasar tidak bekerjasama dengan
Belanda.
ii. Melaungkan slogan Perpaduan Nasional dan berdikari dalam kalangan rakyat
Indonesia dan menerbitkan akhbar Persatuan Indonesia bagi menyebarkan
konsep nasionalismenya.

iii. Berjuang untuk menjadikan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi di
Indonesia.
iv. Mengukuhkan kesatuan-kesatuan sekerja, memajukan syarikat-syarikat
kerjasama dan membantu pendidikan nasional di Indonesia terutamanya
Sekolah-Sekolah Taman Siswa.
v. Menyeru rakyat Indonesia memulaukan Volksraad dan Perkhidmatan Awam
di Indonesia.
vi. Di bawah pimpinan Sukarno, bahagian pemuda PNI telah menganjurkan satu
kongres pemuda pada 28 hb Oktober 1928 yang telah menghasilkan sumpah
pemuda. Sumpah pemuda ini melaungkan slogan Satu Negara, Satu Bangsa
dan Satu Bendera iaitu Sang Saka Merah Putih dengan lagu kebangsaannya
Indonesia Raya. Sumpah pemuda ini menyebabkan perkataan Indonesia
benar-benar menjiwai perjuangan nasionalisme mereka.
vii. Pada 17 Disember 1928, Sukarno telah berjaya menyatukan hampir semua
pertubuhan nasionalis di Indonesia dalam satu Persekutuan Permuafakatan
Perhimpunan Politik Kebangsaan Indonesia (PPPKI)yang longgar. PPPKI
telah disertai oleh Sarekat Islam, Budi Ottomo,Pasuendan,Ikatan Sumatera,
Kelab Pelajar Surabaya dan PNI sendiri.
viii. Sukarno juga bertanggungjawab bagi kepopularan PNI. Ini kerana Sukarno
merupakan ahli pidato yang lantang dan berkarisma. Pidato Sukarno yang
berapi-api telah menambahkan sokongan rakyat terhadap perjuangan PNI. Ini
menyebabkan PNI muncul sebagai sebuah parti nasionalis yang paling kuat
dan berpengaruh di Indonesia. Menjelang tahun 1929, jumlah anggota PNI
ialah 10,000 orang dengan cawangan-cawangannya di Pulau Jawa dan
pulau-pulau di luar Pulau Jawa.
ix. Kepopularan PNI dan sifat antipenjajahnya amat membimbangkan kerajaan
Belanda. Justeru itu, Belanda bertindak menarik balik lesen penerbitan
akhbar Persatuan Indonesia dan menangkap Sukarno serta 7 orang
pemimpin PNI yang lain pada 24 Disember 1929. Sukarno telah dijatuhkan
hukuman penjara selama 3 tahun. Serentak dengan itu PNI telah diharamkan
dan seterusnya dibubarkan pada bulan April 1931.
b. Peranan Sukarno dalam Parti Indonesia ( PARTINDO )
i. Sukarno telah dibebaskan dari penjara oleh Belanda pada bulan Jun 1931.
Setelah dibebaskan, Sukarno cuba menyatukan gerakan–gerakan yang
bersifat revolusiner di Indonesia bagi menentang Belanda, tetapi gagal.
ii. Justeru itu, pada bulan ogos 1932, Sukarno telah menyertai Parti Indonesia
( PARTINDO ). Beliau telah menjelajah ke seluruh Indonesia untuk
menyampaikan pidatonya serta menyeru mereka menyertai PARTINDO.
Tindakan ini menyebabkan keanggotaan PARTINDO bertambah dengan
pesat. Buktinya pada bulan Februari 1932, anggota PARTINDO hanyalah
seramai 3000 orang sahaja. Namun menjelang bulan Ogos 1933, jumlah
anggota PARTINDO telah meningkat kepada 20, 000 orang.
iii. Kegiatan Sukarno dalam PARTINDO dianggap mengancam Pemerintahan
Belanda di Indonesia. Akhirnya Sukarno ditangkap sekali lagi pada bulan

Ogos 1933 dan dibuang ke Flores dan seterusnya ke Bangkulan serta
dipenjarakan di sana.
C. Penutup ( 2 @ 3 M )
1.. Berdasarkan huraian di atas, jelaslah bahawa Mahatma Gandhi telah memainkan
peranan penting dalam gerakan nasionalisme di India.Perjuangan Gandhi dalam
gerakan nasionalisme ini telah meletakan asas bagi India mencapai
kemerdekaan. Hasil daripada perjuangan beliau telah memaksa British untuk
mengisytiharkan kemerdekaan India pada 15 hb Ogos 1947.
2. Sementara perjuangan Sukarno pula telah berakhir dengan kemerdekaan
Indonesia. Kejayaan ini telah menyebabkan Sukarno diisytiharkan sebagai
Presiden Republik Indonesia yang pertama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...