TEMA 1 : MASYARAKAT TEMPATAN
BAB 1 : INSTITUSI PEMERINTAHAN MASYARAKAT TEMPATAN
SUB TAJUK : KONSEP SULTAN Institusi sultan dalam kaca mata orang-orang Melayu merupakan satu rujukan kepada kekuasaan dan kekuatan yang ada pada individu yang diiktiraf oleh masyarakat sebagai sultan. Dalam hal ini sultan sering kali ditanggap sebagai seseorang yang mempunyai kuasa yang begitu teguh. Ini sering kali dikaitkan dengan konsep bahawa sultan itu sebagai wakil tuhan. Dengan kepecayaan ini, seseorang individu merasakan menderhaka kepada sultan akan membawa padah yang amat dahsyat. Konsep ketuhanan ini telah berakar umbi sejak masyarakat Melayu dipengaruhi oleh unsur agama Hindu dan seterusnya disenyawakannya dengan unsur-unsur Islam. Dalam hal ini, Sultan dianggap sebagai khalifah atau wakil Allah dalam memimpin masyarakat Islam. Sultan dianggap sebagai imam dalam memimpin rakyat ke arah kesejahteraan.
Selain itu, sultan juga dianggap mempunyai kekuatan dan keajaiban. Sultan dianggap sebagai individu yang perkasa dan boleh mendatangkan kecelakaan kepada mereka yang menentang. Dalam aspek ini konsep daulat, tulah, dan derhaka telah menghantui masyarakat melayu supaya sentiasa patuh dan menuruti kehendak sultan. Dalam konsep daulat, sultan dianggap mempunyai kuasa dan tidak boleh disentuh. Kedaulatan sultan telah dimengertikan melampaui batas kekuasaan sultan dalam politik. Ia melampaui batas-batas kuasa dan sentiasa menganggap sultan sebagai mempunyai kuasa ketuhanan untuk memberi pembalasan terhadap individu yang menderhaka. Dengan kata lain konsep daulat memberi pengertian bahawa sultan merupakan seorang yang terpilih dan diterima oleh tuhan untuk memimpin kesejahteraan masyarakat. Dengan konsep ini sultan dianggap boleh mencelakakan kehidupan orang yang derhaka. Hal ini dapat dilihat daripada peristiwa penderhakaan Laksamana Bentan terhadap Sultan Mahmud. Sumpah sultan terhadap keturunan Laksamana dianggap sebagai satu kuasa dan ia dikaitkan dengan daulat sultan.
Dalam memahami konsep ini, ia juga berkaitan dengan knsep tulah. Tulah bermaksud sumpahan. Seseorang yang terkena tulah sultan dianggap sebagai seorang yang derhaka. Oleh itu, masyarakat melayu menganggap sultan sebagai seorang individu yang istimewa serta sentiasa ingin mendapat rahmatnya untuk memperoleh kehidupan yang terjamin. Jika ia ditulah maka ia akan menerima bencana seperti keturunan Laksaman Bentan Megat Sri Rama. Dalam hal ini rakyat akan sentiasa mencari peluang untuk berbakti kepada sultan. Ini menimbulkan satu konsep kerja raja dijunjung , kerja sendiri dikelek . Sebagai kesan daripada konsep ini, mereka berbangga meninggalkan kerja-kerja mereka semata-mata untuk berbakti serta mengelakkan diri daripada tulahan dan daulat sultan. Hal ini seterusnya menimbulkan satu amalan berkenaan sistem hamba dan kerahan yang dianggap olah sejarawan barat sebagai satu institusi yang melemahkan sistem politik Melayu. Terjadinya sistem kerah, serah dan hamba ini timbul berikutan kehendak rakyat untuk mendapat pengiktirafan sultan sebagai rakyat yang setia. Dalam hal ini maka timbullah kesetiaan dan ketaatan yang membabi buta seperti yang ditonjolkan oleh Hang Tuah yang sanggup membunuh rakannya semata-mata untuk membukti kesetiaannya kepada sultan.
Oleh itu dalam memperkatakan institusi kesultanan ini, konsep daulat memberi ruang kepada sultan untuk meletakkan dirinya berbeza dengan orang lain. Hal ini juga berkaitan dengan unsur ketuhanan atau sebagai wakil tuhan yang dimilik sultan. Ia seterusnya mencerminkan kelebihan-kelebihan yang ada pada sultan serta tidak boleh digunakan oleh orang lain. Hal ini mencetuskan konsep daulat dari segi kehidupan sultan itu sendiri sebagai golongan elit yang tidak boleh dikongsi bersama dengan rakyat. Ini memberikan banyak keistimewaan kepada sultan seperti hanya sultan yang boleh berpakaian kuning, penggunaan bahasa dalam yang sering menggambarkan kehinaan rakyat, penggunaan alat-alat kebesaran , nobat, dan lambang kebesaran dan kemuliaan.
Berdasarkan kepada keistimewaan ini institusi raja merupakan institusi yang menjadi sanjungan dan sesebuah kerajaan melayu tidak akan lengkap tanpa sultan. Hal ini dapat dilihat bagaimana luak-luak undang di Negeri Sembilan meminta kerabat Sultan di Minangkabau untuk diangkat sebagai sultan bagi mendaulatkan negeri tersebut.
Sistem Pertabalan
Pertabalan dan penggantian sultan berbeza antara satu negeri dan negeri yang lain. Dalam konteks ini ia juga melibatkan sistem undang-undang adat. Negeri-negeri yang beradatkan adat temenggong mempunyai sistem pertabalan yang berbeza dengan negeri yang mengamalkan adat perpatih. Begitu juga dalam sistem adat temenggong penggantian sultan juga terdapat sedikit perbezaan.
Dalam mengkaji sistem ini kita dapati terdapat tiga bentuk sistem pertabalan yang diamalkan di negeri-negeri Melayu. Di Negeri Sembilan sistem penggantian sultan mengikut undang-undang dalam adat perpatih. Dalam adat ini Yang Dipertuan Besar dilantik dan mesti dipersetujui oleh luak-luak undang. Dalam aspek ini sistem yang diamalkan itu seolah-olah memaparkan perlantikan secara demokrasi. Yang Dipertuan Besar tidak akan ditabalkan jika mereka tidak mendapat persetujuan daripada luak undang ini. Dan mengikut adat ini Yang Dipertuan Besar tidak bernegeri dan pemerintahan dibawah Undang Luak. Hanya selepas penguasaan Inggeris setiap Undang dikehendaki menumpahkan taat setia kepada Yang Dipertuan Besar. Walaupun begitu, waris sebagai Yang Dipertuan Besar adalah daripada lingkungan kekeluargaan Yang Dipertua Besar cuma ia perlu mendapat pengesahan daripada Undang Luak (Ismail Hamid:1988).
Hal ini berbeza dengan sistem penggantian dan pertabalan di negeri Perak. Sistem di Perak mengikut peraturan adat temenggong. Ia biasanya meletakkan waris daripada anak lelaki pertama untuk mewarisi takhta .Walaupun begitu ia tertakluk kepada permuafakatan pembesar untuk memilih siapakah yang layak mewarisinya. Sistem penggantian di Perak melibatkan tiga keluarga daripada keturunan atau susur Sultan Ahmadin iaitu waris keluarga Sultan Abdullah ( 1825-1830), Sultan Shahbudin ( 1830-51), dan Sultan Abdullah Muhamad Syah ( 1851-65)( Gullick:1958 ). Dengan tuntutan daripada tiga keluarga ini sistem pertabalan dan penggantian sultan di Perak lebih menjurus pada sistem giliran.. Ini bagi memberi peluang kepada setiap keluarga tersebut untuk ditabalkan menjadi sultan berdasarkan giliran mereka. Cara ini dijalankan bagi menggelakkan berlaku perang saudara dan perebutan kuasa antara keluarga diraja. Pengiliran ini dapat dilihat melalui tahap kedudukan waris raja seperti hiraki berikut: Raja Dihilir, Raja Bendahara, Raja Muda, dan Sultan.( Buyong Adil: 1985,Andaya: 1983, Joginder Singh: 1976). Seperti kata Andaya:1983 ... perbalahan mengenai hak waris telah lama berlarutan. Sistem menggilirkan takhta di antara tiga keturunan diraja yang berlainan yang diasaskan sejak awal kurun itu, dimaksudkan supaya menghalang sebarang pertikaian, tetapi tidak pernah berjalan dengan sempurna. Ketidaksempurnaan kerana ia tertakluk kepada peranan sultan dan pembesar. (Andaya:1983, Joginder Singh: 1976, K.Ratnam: 2001). Maka pada 1874, bermulalah persengketaan tuntutan terhadap takhta Perak yang dituntut oleh waris-waris daripada tiga keluarga ini iaitu Raja Abdulllah, Raja Ismail, dan Raja Yusuf sehingga berlakunya campur tangan Inggeris di Perak dan pengenalan Sistem Residen.
Bagi negeri-negeri lain yang mengamalkan adat temenggong biasanya anak lelaki sulong terus ditabalkan menjadi sultan dan ini boleh dikenali sebagai sistem warisan. Negeri-negeri yang mengamalkan sistem ini adalah seperti Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Trengganu dan Perlis.Walaupun begitu dalam keadaan tertentu ia tidak berlaku. Malahan ia boleh melibatkan adik, cucu dan menantu sultan dalam keluarga diraja (Gullick:1958).
Jika dilihat daripada sistem-sistem yang diamalkan ini kelihatan seolah-olah sistem pepatih mempunyai unsur yang lebih adil dengan memberi hak kepada rakyat untuk menentukan sultan yang berhak ditabalkan melalui peranan Undang Luak. Hal ini kerana luak undang yang dilantik juga mesti melalui cara yang sama. Dengan kata lain rakyat mempunyai hak dan disalurkan melalui luak yang dipilih. Ini bertepatan dengan amalan demokrasi yang memberikan kelebihan kepada rakyat untuk membuat pilihan. Dengan kata lain negeri-negeri yang mengamalkan adat temenggong lebih menjurus pada sistem monarki warisan. Walaupun begitu dalam undang-undang tubuh negeri Johor, rakyat masih boleh engkar dan tidak menumpahkan taat setia kepada sultan jika sultan ttidak mengikut undang-undang tubuh serta nasihat daripada pembesar. Keadaan ini pernah diucapkan oleh Dato Onn semasa pertikaian dalam gagasan Malayan Union 1946.
Selain sistem yang diamalkan pengganti sultan mesti anak gahara ataupun waris benih atau tanah di Perak. Dalam hal ini, anak daripada isteri kedua dan seterusnya dianggap kurang berpeluang untuk menjadi sultan. Peluang itu hanya wujud jika isteri pertama tidak mempunyai anak lelaki dan isteri sultan seterusnya mempunyai anak lelaki dan menjadi pilihan pembesar-pembesar.
Begitu juga dalam perlantikan dan pertabalan, pengganti sultan perlu menghadiri upacara pengkebumian sultan yang mangkat. Jika ini tidak dapat dituruti, maka ia akan digantikan dengan waris lain. Keadaan ini pernah berlaku di Perak, yang menyaksikan Raja Abdullah terlepas daripada ditabalkan menjadi Sultan kerana beliau tidak menghadiri upacara pengkebumian Sultan Ali. Keadaan ini jelas dinyatakan oleh Joginder Singh: 1976, dan Buyong Adil: 1985. Sebagai kesan daripada itu. Raja Ismail yang turut sama menghadiri upacara tersebut telah dilantik menjadi sultan atas permuafakatan para pembesar.
Dalam keadaan-keadaan tertentu, misalannya apabila Sultan tidak mempunyai waris , maka Bendahara boleh dilantik menjadi Sultan dengan persetujuan pembesar dan rakyat. Ini pernah berlaku kepada Bendahara Tun Habab yang menjadi Sultan Johor. Dalam kita mengkaji perlantikan dan pertabalan seseorang Sultan sebenarnya ia lebih bercirikan kesanggupan rakyat untuk menerima seseorang yang berpengaruh dalam sesuatu wilayah. Sebab itu kita dapati Bendahara Tun Habab, Bendahara Wan Ahmad di Pahang dan Keluarga Temenggong Abd. Rahman dapat ditabalkan dan akhirnya diakui sebagai sultan. Dalam hal ini, kita akui bahawa sebagai tradisinya seseorang yang dilantik ke jawatan Sultan itu pada peringkat awalnya ialah waris dan keturunan diraja, tetapi ini sebenarnya tidak menghalang bukan keturunan diraja dilantik dan ditabalkan menjadi sultan jika mereka mendapat sokongan pembesar dan rakyat. Oleh itu, dalam melihat kuasa dan kekuasaan seseorang sultan ialah sejauh manakah ia mendapat sokongan daripada pembesar dan rakyat.
Peranan Sultan
Dalam membicarakan peranan-peranan sultan dalam sistem politik tradisional Melayu kita harus meneliti aspek kuasa dan kekuasaan yang ada pada seseorang sultan. Apakah kuasa yang ada pada seseorang dan bagaimanakah kuasa ini boleh menentukan kekuasaannya. Dalam memngkaji kuasa seseorang sultan kita boleh perhatikan dari sudut kuasa fizikal, dan kuasa rohani. Dalam kuasa fizikal kita boleh tentukan bahawa seseorang sultan itu mempunyai kekuatan tenaga yang kuat seperti handal bermain senjata, kebal daripada senjata, boleh mempengaruhi rakyat dengan renungan, dan mempunyai ilmu persilatan yang tinggi. Dalam kuasa rohani kita disogokkan dengan kekuatan yang ada pada sultan seperti kuasa daulat dan tulah. Ia juga mempunyai kaitan dengan unsur ketuhanan dan sultan dianggap sebagai orang yang terpilih oleh tuhan dan wakil tuhan. Dengan ini sultan dianggap mempunyai kekusaan yang luar biasa. Untuk mengketengahkan unsur ini dicipta pelbagai mitos mengenai kekuasaan rohani sultan ini. Maka timbullah sultan ialah daripada keturunan Nabi Sulaiman, dan berketurunan buluh bentung. Ini semua bagi mendapatkan ketaatsetiaaan rakyat agar tidak memberontak dan dihubungkan dengan kepercayaan masyarakat Melayu lama. Melalui kuasa inilah sultan dapat menentukan kekuasaan dan peranannya dalam politik masyarakat Melayu.
Sultan dikaitkan dengan kemampuannya untuk menarik minat rakyat bagi memeluk sesuatu agama. Dengan peranan ini juga ia dilantik secara tidak langsungnya sebagai ketua agama bagi sesebuah negeri. Kemampuan sultan dalam mempengaruhi rakyatnya memeluk agama baru dapat dibuktikan melalui pengislaman sultan Melaka, iaiatu Parameswara Dewa Syah. Dengan pemulukan Islam oleh baginda seluruh rakyat Melaka mengikuti sama memeluk agama Islam. Hal ini kerana, sebelumnya sultan dianggap sebagai wakil kepada tuhan. Ini diterima pakai semasaa Melaka dibawah pengaruh Hindu. Bagi rakyat, dengan sultan sebagai wakil tuhan telah memeluk Islam, mereka mesti sama-sama memeluknya agar tidak ditulah dengan daulat sultan. Dalam sistem kesultanan masa kini sultan setiap negeri mempunyai kuasa dalam hal ehwal agama. Setiap perundangan yang hendak digubal dan dipinda perlu mendapat perkenan sultan. Malahan bagi kes-kes perkahwinan yang tidak mempunyai wali sultan dianggap sebagai wali kepada peihak perempuan.
Peranan kedua yang dimainkan oleh sultan ialah baginda dilambangkan sebagai lambang perpaduan bagi kesejahteraan negara. Dalam sistem politik Melayu yang berteraskan sistem feudal, para pembesar menguasai wilayah-wilayah tertentu. Para pembesar ini mempunyai hak istimewa untuk memungut dan mengenakan cukai kepada para pengikutnya. Seringkali juga para pembesar ini berselisih faham mengenai hak dan kekuasaan mereka. Ini selalunya menimbulkan kekacauan. Bagi mencari jalan penyelesaian tuntutan mereka sultan diangap sebagai orang tengah yang terbaik. Oleh itu, setiap pembesar dalam membuat tindakan akan berusaha untuk mendapatkan perkenan dan restu Sultan. Jika tidak mereka dianggap derhaka dan akan diperangi oleh sultan dan pembersar-pembesar yang menyokong sultan. Keadaan ini dapat juga dilihat bagaimana Dato Maharajalela bermuafakat dengan Sultan Abdullah untuk membunuh JWW Birch. Jika Sultan Abdullah tidak memberikan perkenan maka Maharajalela tidak akan membunuh Birch. Dalam sistem sultan masa kini Yang Dipertuan Agong mempunyai peranan sebagai lambang perpadua masyarakat yang berbilang kaum. Ini terbukti apabila dalam salah satu prinsip Rukunegara yaang meletakkan Kesetiaan kepada Raja dan Negara sebagai satu perlambangan peranan Sultan ini.
Aspek ketiga dalam peranan sultan dapat dilihat fungsi sultan dalam bidang kehakiman. Dalam aspek ini sultan mempunyai kuasa dalam menentukan hukuman yang akan dikenakan oleh pesalah terutama hukuman mati. Selalunya hukuman yang dikeluarkan oleh mulut sultan merupakan hukuman yang muktamad dan tiadak ada rayuan yang boleh dilakukan. Keadaan seperti ini pernah berlaku seperti peristiwa Laksamana Hang Tuah yang dijatuhi hukuman mati. Selain itu, sultan juga boleh menurunkan kuasanya kepada pembesar daerah dalam menjatuhkan hukuman. Walau bagaimanapun hukuman tersebut hanya hukuman ringan dan jika terdapat hukuman berat hendaklah ia dihadapkan kepada sultan. Walaupun begitu, ada sesetengah pembesar yang tidak mengendahkan peraturan ini kerana mereka beranggapan bahawa mereka berkuasa di dalam wilayah jajahan mereka. Keadaan ini menunjukkan bahawa sultan adakalanya tidak mempunyai kuasa. Kekuasaan yang ada pada sultan dilihat sebagai sebahagian daripada kekuasaan berdasarkan kepercayaan masyarakat melayu lama iaitu sultan merupakan individu yang mempunyai kekuasaan ketuhanan yang didasarkan pada konsep daulat dan tulah. Dengan konsep inilah sultan diibaratkan sebagai seorang yang tidak mungkin melakukan kesalahan dan ia boleh laksanakan hukuman berdasarkan budibicaranya sendiri.
Peranan keempat yang dimainkan oleh sultan ialah sultan merupakan seorang ketua negara dan ketua kerajaan. Sultan dianggap sebagai empunya tanah di wilayah jajahan takluknya. Dengan fungsinya seperti ini sultan boleh melakukan apa-apa sahaja serta berkuasa dalam membuat perlantikan terhadap pembesar negara. Dalam soal tanah sultan berkuasa dalam mengkurniakan tanah kepada rakyatnya. Dengan pengkurniaan inilah rakyat dapat bercucuk tanam dan menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi. Sebagai ketua negara dan kerajaan sultan menentukan dasar-daar negara dengan dinasihati oleh para pembesar terutamanya oleh Bendahara. Sering kali dalam memberikan nasihat ini Bendahara mempunyai pengaruh yang amat penting. Walaupun begitu disebabkan institusi kesultanan lebih berfokuskan kepada sultan maka berlakulah aktiviti mendapatkan sokongan sultan. Keadaan inilah yang sering menyebabkan berlakunya fitnah seperti yang berlaku kepada keluarga Tun Mutahir, Bendahara Melaka yang difitnah oleh Raja Mendaliar. Berlakunya fitnah ini disebabkan oleh tiadanya kuasa pengimbang yang boleh membela Tun Mutahir kerana kesemua kuasa terletak pada sultan. Ini dilemahkan lagi apabila penasihat sultan iaiatu Bendahara sendiri yang didakwa melakukan kesalahan.
Peranan kelima kita dapati sultan diibarat sebagai seorang individu yang mempunyai kuasa keramat. Dengan kuasa ini sultan dilambangkan sebagai manusia yang berlainan daripada individu lain. Malahan individu yang menjadi sultan juga dilihat sebagai seorang yang berlainan sebelum ia dittabalkan sebagai sultan. Peranan kekeramatan ini dapat dilihat apabila seseuatu anugerah sultan dilihat sebagai ada sakti dan orang yang menggunakannya akan menjadi handal atau kebal. Dengan sifat ini sultan dianggap mempunyai kesucian dan kemuliaan. Ia ditambahkan lagi dengan adanya alat-alat seperti alat muzik, senjata dan beberapa alatan pertabalan dan lambang jawatan sebagai mempunyai kuasa seiring dengan kuasa sultan. Sebagai contoh nobat, sebagai alat muzik tradisi Melayu dianggap hanya boleh digunakan dan dimainkan jika mendapat kebenaran sultan. Jika ia tidak mendapat kebenaran maka si pemainnya akan mendapat kecelakaan. Dengan sifat inilah sultan dapat menggerakkan rakyatnya gara tunduk dan memberikan tumpah taat setia. Keadaan ini termasuklah para pembesar. Inilah yang dikaitkan dengan daulat. Kepada mereka yang derhaka maka kekeramatan dan kesucian sultan ini akan mendatangkan tulah kepada penderhaka. Inilah yang berlaku kepada Hang Jebat dan Megat Sri Rama Laksamana Bentan yang tewas dengan keperkasaan pahlawan yang mendapat restu sultan. Malahan dalam kes Megat Sri Rama orang Melayu berkepercayaan bahawa keluarga Laksamana telah disumpah selama tujuh keturunan dan tidak boleh menyeberangi sungai Kota Tinggi. Jika ini dilanggar maka ia akan muntah darah. Dengan peranan kekeramatan ini sultan dapat menjaga keharmonian negara dan menerima ketaatan daripada rakyat.
Sebagai kesimpulan daripada peranan-peranan yang dimainkan oleh sultan, ia sebenarnya mempunyai sifat-sifat pro dan kontra. Dalam satu segi ia kelihatan baik bagi mendapatkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, tetapi bagi sultan yang zalim institusi ini mendatangkan banyak masalah. Oleh sebab itu, selepas kedatangan dan dalam zaman penjajahan British konsep sultan serta peranan mereka dalam sistem pentadbiran Melayu lama ini telah diubah agar ia mencerminkan kewibawaan untuk melindungi rakyat dan membawa kesejahteraan negara. Maka setelah wujudnya perlembagaan Persekuuan Tanah Melayu 1948 peranan sultan telah banyak berubah serta kekuasaan sultan mesti mengikut perlembagaan yang diluluskan oleh parlimen.
TEMA 1 : MASYARAKAT TEMPATAN
BAB 1 : INSTITUSI PEMERINTAHAN MASYARAKAT TEMPATAN
SUB TAJUK : SISTEM PEMBESAR
Dalam sistem politik melayu, pemerintahannya dijalankan bersama oleh sultan dan pembesar. Pembesar-pembesar yang menjalankan tugas pemerintahan ini dilantik oleh sultan. Di Negeri Sembilan Yang Dipertuan Besar tidak melantik pembesar, tetapi disebaliknya, Undang Luak yang bermuafakat untuk melantik Yang Dipertuan Besar. Begitu jugalah seterusnya bagi jawatan Undang ia akan dilantik oleh anak buahnya.
Di negeri-negeri yang mengamalkan adat Temenggong Sultan berkuasa untuk melantik para pembesarnya. Pelantikan para pembesar ini pula mempunyai pelbagi peringkat seperti:
k Pembesar di peringkat pusat iaitu yang menjawat jawatan di istana.
k Pembesar Daerah yang pelantikannya dilakukan oleh sultan serta menguasai daerah-daerah yang diberi mandat oleh sultan.
k Pembesar kampung yang pelantikannya dilakukan oleh pembesar daerah yang mendapat kuasa daripada sultan. Biasanya taat setianya diberikan lebih kepada pembesar daerah jika dibandingkan dengan sultan.
1. Pembesar Pusat
Dalam kategori ini pembesar-pembesar yang dilantik memegang jawatan-jawatan berikut:
i. Bendahara
ii. Temenggong
iii. Laksamana
iv. Penghulu Bendahari
v. Shahbandar
Susunan pembesar di perinkat ini adalah warisan daripada sistem pembesar yang diamalkan oleh kesultanan Melayu Melaka dan digunapakai juga oleh kerajaan Johor Riau. Selepas perpecahan kerajaan melayu Johor Riau sistem pembesar didapati sistem pembesar ini disusun mengikut keadaan semasa , umpamanya di Johor terdapat jawatan Menteri Besar, Dato Penggawa Dalam, Dato Penggawa Luar. Di Kelantan , Menteri Perendaharaan, Menteri Peperangan, Menteri Pentadiran dan Menimarahkan Negeri, Menteri Lluar Negeri, Menteri dalam Negeri, Menteri Istana, Menteri Kehakiman dan Keadilan, dan Menteri Penasihat Raja.
2. Pembesar Daerah
Pembesar daerah meguasai sesebuah kawasan dan dilantik memegang jawatan oleh Sultan melalui surat taulaih dan alat-alat kebesaran yang dilambangkan sebagai penurunan kekuasaan sultan kepada pembesar. Dengan kekuasaan yang ada pada pembesar mereka beperanan dan menentukan corak pentadbiran politik melayu dalam daerah yang dikuasa mereka.
Dalam hal ini secara umumnya peranan yang dimainkan oleh para pembesar mirip tugas yang dijalankan sultan, tetapi ia hanya diakui kekuasaannya oleh rakyat yang berada di dalam daerahnya sahaja. Dalam menganalisis peranan pembesar ini kita dapat lihat dari aspek yang berikut:
1. Kuasa dan kekuasaan
k Boleh membuat pelantikan kepada orang lain. Contoh Dato Maharajalela melantik Pandak Indut untuk mengetuai serangan terhadap Birch. Diberi surat tauliah lantikan dan sepersalinan pakaian sebagai hadiah pelantikan. Membolehkan Pandak Indut memiliki kuasa dan rakyat perlu menurut perintah beliau.
k Boleh mengarahkan rakyat untuk melaksanakan tugas-tugas pembesar dalam sistem kerah dan serah.
k Membekalkan tenaga tentera dan buruh untuk pembesar.
k Kekuatan dan kekuasaannya melebihi kekuatan sultan hingga adakalanya mereka boleh engkar terhadap perintah sultan.
2. Pemugut cukai dan hasil pendapatan
k Berkuasa dalam membuat pungutan cukai dan hasil daripada rakyat. Tugas sebenarnya sebagai wakil kepada sultan tetapi biasanya hasil cukai yang dipungut tidak diserahkan kesemua sebaliknya hanya 1/10 daripada cukai tersebut yang diserah kepada sultan.
k Lebihan hasil membolehkan mereka meningkatkan kekuatan dan pengaruh untuk bersaing dengan sultan.
3. Keselamatan
k Memstikan keselamatan dan kesejahteraan daerah yang dikuasai mereka dan jika tidak berkemampuan meminta bantuan daripada sultan.
4. Penghakiman
k Bagi pembesar yang merasai diri mereka lebih kuat daripada sultan mereka adakalanya menjatuhkan hukuman terhadap para pesalah sehingga melibatkan hukuman mati. Dalam hiraki kekuasan kehakiman biasanya pembesar hanya boleh menjatuhkan hukuman-hukuman bagi kesalahan kecil sahaja.
5. Ketua daerah
k Kekuasaan pembesar daerah hanya tertakluk dalam lingkungan daerahnya dan bagi meluaskan kuasanya mereka perlu mendapatkan banyak sumber sama ada dalam bentuk kewangan, hasil alam, dan pengikut. Ini bagi membolehkan pengaruh mereka bertambah kuat serta menggerunkan kampung-kampung yang tidak berada dalam lingkungan wilayah mereka.
6. Keturunan
Ë Biasanya mereka yang menjadi pembesar daerah dan pusat biasanya terdiri daripada kalangan keturunan Raja atau mereka yang ada kaitan dengan golongan kelas pembesar yang memerintah. Jarang sekali seorang rakyat biasa boleh menjadi pembesar kecuali yang benar-llllbenar menunjukkan kebolehan yang luar biasa. Sebagai contoh Hang Tuah dan sahabatnya.
Menyentuh pembesar pusat dan daerah, Dalam zaman kesultanan Melayu Melaka, empat pembesar utama berada dalam lingkungan daerah tedbir sultan. Ini dapat memperlihatkan dengan jelas perbezaan tugas mereka dengan pembesar yang duduk dalam daerah mereka. Walaupun pembesr-pembesar-pembesar ini diberikan tugas menjaga wilayah tertentu, tetapi ia lebih rapat kepada Sultan. Peranan ini akhirnya berubah apabila runtuhnya empayar Melaka. Keadaan penguasaan wilayah serta pemisahan kuasa ini dapat dilihat dalam kerajaan melayu Johor yang menyaksikan Temenggong menguasai Wilayah Johor dan Singupura, Bendahara di Pahang, dan Sultan di Riau. Keadaan ini memperlihatkan kekuasaan Temenggong dan Bendahara sehingga membolehkan mereka menandatangani perjanjian dengan Inggeris tanpa mendapat persetujuan Sultan.
Oleh itu, jika hendak dibuat perbandingannya didapati fungsi mereka terdapat sedikit perbezaan. Ini dapat ditafsirkan yang pembesar pada zaman Melaka masih terikat dan begitu setia dengan Sultan, tetapi dalam zaman kerajaan Melayu Johor,pembesar menunjukkan kekuasaan mereka setanding dengan Sultan. Walau bagaimanapun urusan dan tugas mereka tetap sama.
Jika dibuat perbandingan antara pembesar daerah dengan kampung (penghulu) kita dapat lihat persamaannya dari aspek berikut:
1. Pemugut cukai dan hasil pendapatan bagi pembesar
2. Ketua dalam kampung
3. Keselamatan: menjaga keselamatan kampung.
4. Kuasa dan kekuasaan. Berkuasa dalam aspek berikut:
k Boleh mengarahkan rakyat untuk melaksanakan tugas-tugas yang diarahkan oleh pembesar dan ketua kampung dalam sistem kerah dan serah.
k Membekalkan tenaga tentera dan buruh untuk pembesar.
Kepentingan( Pengaruh) Pembesar dalam Sistem Pemerintahan Melayu
Kepentingannya dapat dilihat dari sudut berikut:
1. Wakil Sultan sama ada dalam sektor ekonomi , sosial, dan politik.
1.1 Dalam sektor ekonomi mereka sebagai wakil pemungut cukai bagi pihak sultan.
1.2 Dalam sektor politik ia bertindak menjalankan perintah sultan dalam bidang-bidang pentadbiran.
1.3 Ia juga melibatkan diri untuk mendapatkan ketaatsetiaan rakyat.
1.4 Agen kepada sultan bagi mendapatkan sumber tenaga sama ada tenaga buruh, tentera, dan pekerja istana.
1.5 Merupakan bayangan sultan dari sudut konsep ketuhanan kerana mereka dilantik sultan yang mempunyai kuasa luar biasa jika dibandingkan dengan rakyat.
2. Sebagai penasihat Sultan- menentukan tindaktanduk dan pelakuan Sultan.
3. Berkeupayaan menentukan pewarisan dan pertabalan Sultan.TEMA 1 : MASYARAKAT TEMPATAN
BAB 1 : INSTITUSI PEMERINTAHAN MASYARAKAT TEMPATAN
SUB TAJUK : SISTEM EKONOMI
Sistem ekonomi Melayu tradisi amat berlainan daripada sistem yang dibawa oleh British. Dalam sistem ekonomi Melayu, masyarakat Melayu berteraskan sistem ekonomi sara diri. Cuma setelah kehadiran dan penaklukannya terhadap negeri-negeri Melayu sistem tradisi ini telah bertukar kepada sistem ekonomi komersial. Walaupun begitu, sifat-sifat ekonomi komersial pernah juga dijalankan oleh masyarakat sebelum kedatangan penjajah barat. Cuma ia dijalankan secara kecil-kecilan sahaja.
Sistem Ekonomi Sara Diri
( Sebab-sebab )
Sistem ekonomi sara diri dari segi konsepnya ialah satu sistem pertanian sara hidup. Dalam konteks sistem ini barangan pertanian yang dikeluarkan ialah barangan untuk kegunaan keluarga sahaja. Ia tidak berfokuskan kepada lebihan pengeluaran. Ini berbeza dengan sistem pertanian komersial yang berfokuskan lebihan pengeluaran. Hal ini kerana dengan bahan pengeluaran yang berlebihan itu, usahawan yang mengusahakan boleh menjual dan mendapatkan keuntungan. Mengapakah masyarakat Melayu tradisi tidak menjuruskan sistem ekonominya ke arah sistem ekonomi komersial? Dalam menjawab persoalan ini pelbagai faktor perlu diambilkira. Ia perlu dilihat dari aspek sistem kerja, sistem pemilikan tanah, sistem kenegaraan, teknologi yang digunakan, hubungan petani dengan dunia luar, dan sumber pertanian.
Dari aspek sistem kerja, petani yang menggerakkan kerja pertanian berasaskan sistem kekeluargaan. Ia tidak melibatkan orang lain. Dengan sistem ini sebuah keluarga mengusahakan pertanian mereka sahaja. Mereka tidak melibatkan orang lain. Dengan kata lain mereka boleh mengusahakan tanah mereka atau tanah tuan mereka dengan keluarga mereka sahaja. Sebagai kesan daripada konsep ini mereka tidak perlu memikirkan untuk membayar upah kepada orang lain. Melalui cara ini mereka sekadar memuaskan hati dengan keperluan bagi keluarga mereka. Oleh itu, konsep lebihan untuk mencari untung tidak pernah difikirkan ( Amarjit Kaur. 1991; Ishak Shaari. 1991).
Keadaan sistem kerja ini diberatkan lagi dengan cara sistem pemilikan tanah. Dalam sistem pentadbiran Melayu tradisi sistem pemilikan tanah berpusatkan sultan. Hal ini berasaskan pendapat Maxwell yang menghubungkan kekuasaan raja dalam sistem Hindu yang digunapakai oleh kesultanan Melayu yang mempunyai konsep pemilikan tanah. Dalam hal ini Maxwell menyatakan bahawa Raja mempunyai hak dalam semua wilayah jajahannya. Hak-hak tersebut adalah seperti hak kekuasaan tanah, cukai, hasil bijian dan hak membahagikan tanah yang belum diterokai. Kesimpulan daripada itu para petani hanya boleh mengerjakan tanah jika mereka membayar sebahagian daripada hasil keluarannya. Biasanya ialah satu persepuluh. Dengan hak ini, para petani memikirkan apakah mereka berkesanggupan untuk membayarnya. Hal ini kerana jika mereka tidak dapat melunaskan bayaran tersebut berkemungkinan mereka akan menjadi hamba berhutang. Oleh itu sebagai mencari jalan keluar daripada masalah ini maka mereka lebih rela mencari hasil-hasil huitan bagi menyara kehidupan mereka. Hal pemilikan tanah ini lebih jelas seperti di Kelantan. Clifford menyatakan bahawa rakyat Kelantan tidak mempunyai hak dalam pemilikan tanah. Mereka dianggap sebagai golongan yang memberi sumber dan hasil untuk golongan pemerintah. Walaupun kedua-dua kenyataan ini menggambarkan seolah-olah sistem pentadbiran Melayu tidak mempunyai sistem pemilikan tanah yang teratur, ia dibantah oleh Jomo dan Wan Hashim. Walaupun jika adapun sistem pemilikan tanah dalam pentadbiran Melayu tetapi ia mungkin tidak menjamin hak miliknya kerana sultan masih lagi berkuasa dalam menentukan pemilikan secara hakiki ( Ishak Shaari.1991 ). Hal seperti ini sedikit sebanyak telah menjejaskan konsep mengkomersialkan pertanian di negeri-negeri Melayu.
Dalam aspek sistem kenegaraan ia melibatkan sistem serah dan sistem kerah. Kita ketahui bagaimanakah caranya sultan berperanan dalam mengketengahkan kekeramatan dan kemuliaan. Ia ditunjukkan melalui ilmu yang dimiliki, alatan, restu mahupun lambang-lambang kekuatan lain dan selalunya dihubungkan dengan ketuhanan. Oleh itu ia dapat menggerakkan rakyat untuk menyatakan kesetiaan dan ketaatannya. Untuk menunjukkan kesetiaan dan ketaatan inilah para petani terutama orang lelaki dipaksa bekerja untuk sultan mahupun pembesar. Selalunya kerja-kerja dalam sistem ini bukan sahaja melibatkan bidang pertanian, tetapi merangkumi pelbagai bidang lain. Ia pula dilakukan tanpa mempunyai ketetapan yang tetap. Oleh itu, jangka masa yang tidak tentu menyukarkan kerja-kerja pertanian yang hendak dijalankan. Selain daripada menunjukkan ketaatsetiaan dalam corak menyerahkan diri untuk kerja-kerja sultan, para petani juga diikat dengan sistem serah. Dalam hal ini para petani perlu menyerahkan sama ada lebihan hasil, barangan, keperluan dan lain-lain bahan untuk sultan. Ini bagi menunjukkan kesetiaan dan ketaatan. Ishak Shaari ( 1991 ) menyatakan sistem serah ini lebih teruk daripada sistem kerah. Ia membuatkan rakyat berasa bimbang bahawa lebihan mereka akan dirampas oleh sultan atau pembesar tempatan. Hal ini dapat dikuatkan lagi dengan kenyataan Munsyi Abdullah seperti yang berikut:
“Maka katanya ( seorang rakyat biasa yang ditemui oleh Abdullah ) Dan lagi baik perahu atau tanaman-tanaman dan hidup-hidupan sahaja sekalian, jikalau dikehendaki raja diambilnya sahaja dengan tiada berharga. Dan lagi, kalau ada berharta dan anak perempuan yang baik-baik, jikalau berkenan raja, diambilnya juga, tiada ditahankan kehendak raja; dan jikalau ditahankan atau tiada diberi, disuruhnya tikam mati-mati sahaja”.
Dengan keadaan sistem kenegaraan yang diamalkan serta teknologi yang digunakan sebenarnya ia tidak menjanjikan satu pulangan yang menguntungkan. Rata-rata petani yang mengusahakan tanah pertanian masih menggunakan teknologi pertanian kuno. Mereka masih menggunakan tulang empat kerat dengan beralatkan cangkul, parang, penyabit, dan penajak. Walaupun begitu, masih ada petani yang tidak mempunyai alatan yang mencukupi. Seperti kata Ishak Shaari. ( 1991 ), ada petani yang tidak mempunyai kerbau untuk membajak tanah. Jika tidak mempunyai peralatan yang mencukupi bagaimanakah para petani hendak mengubah teknologi pertanian ke arah sistem komersial. Keadaan ini sama juga berlaku kepada para petani di England sebelum wujudnya zaman revolusi pertanian di mana para petani di sana mengamalkan aspek yang diamalkan di Tanah Melayu. Hanya apabila ada gerakkan dalam menggerakkan revolusi pertanian maka wujudlah satu bentuk pemikiran pertanian ke arah sistem komersial.
Keterbatasan hubungan antara petani dengan dunia luar boleh menyumbangkan kemampuan petani untuk mengubah corak pertanian mereka. Biasanya hubungan dagangan hanya dilakukan oleh para pembesar dengan tidak memberi peluang kepada petani untuk menjalankan urusan perdagangan. Sebab itulah kalau dilihat daripada aktiviti kerja yang dijalankan oleh masyarakat Melayu sebahagian besarnya adalah berteraskan sektor pertanian. Mereka tidak dapat melihat peluang-peluang yang ada dalam aspek perdangan. Biasanya aspek ini dibolot oleh pembesar-pembesar atau sultan. Keterbatasan ini jugalah yang menyebabkan orang-orang Melayu tidak dapat melihat kebaikan sistem-sistem yang cuba dilaksanakan oleh orang-orang Inggeris. Kita harus akui ada sistem yang dibawa Inggeris boleh memecahkan kebuntuan dan kemiskinan orang Melayu. Hal ini boleh dilihat daripada mengasingkan konsep ketuhanan yang ada pada sultan dan mengendurkan ketaatan yang membabi buta. Ini didasarkan sebenarnya konsep komersial telah lama dijalankan, cuma ia diboloti oleh orang-orang yang mempunyai hubungan dengannya. Keadaan ini jauh berbeza dengan sikap petani dan orang barat yang mengamalkan sikap keterbukaan dan menerima revolusi sama ada revolusi pertanian dan industri. Hal ini kerana pada waktu itu mereka menjuruskan pemikiran mereka ke arah pemikiran inkuiri dan sentiasa ingin tahu berkenaan alam dan memangkinkan ilmu untuk kesejahteraan hidup. Inilah sebenarnya yang menjayakan Islam dan akhirnya hal ini jugalah yang ditinggalkan oleh Islam.
Selain itu, hak petani ke atas harta yang dicari mereka tidak terjamin. Ini berikutan daripada sistem pemilikan tanah yang menyaksikan petani tidak mempunyai hak ke atas tanah tesebut ( Clifford ). Ini menjadikan hasil yang didapati oleh petani menjadi sumber kepada golongan bangsawan. Ini dapat dilihat daripada kenyataan Graham yang menyatakan
“Kenyataan bahawa semua tanah pada asasnya menjadi milik pemerintah seperti yang terdapat di India dan Indonesia, wujud juga di Kelantan.... pada hakikatnya tidak terdapat tanah yang dimiliki secara bebas di negeri ini. “
Melalui keadaan ini petani tidak merasai akan terjamin usaha yang diljalankan oleh mereka dan berkemungkinan juga kurniaan yang diberikan itu boleh ditarik balik dan menjadikan mereka sebahagian daripada kerahan yang dilakukan untuk sultan dan pembesar ataupun tanah tersebut diberikan kepada orang lain.
Keadaan ini telah menyebabkan para petani menjalankan ekonominya secara kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petang dengan menjalankan pertanian secara kecil-kecilan khususnya dalam penanaman padi dengan padi huma dan sawah, mencari hasil hutan seperti buah-buahan hutan ,rotan serta akar kayu bagi ubatan tradisi, perternakan ayam itik, menangkap ikan di sungai dengan cara memancing ataupun memasang lukah yang tidak begitu produktif untuk hasil ekspot, dan pelombongan dengan cara mendulang. Usaha-usaha ini dijalankan hanya bagi menampung kehidupan dan tidak wujud satu pengkhususan kerja serta matlamat pengeluaran bagi tujuan ekspot. Oleh itu, petempatan masyarakat melayu banyak terdapat di pinggir-pinggir hutan dan sungai kerana di situlah banyak sumber bagi mereka menampung kehidupan seharian.
Ekonomi Komersial
( Bukti kewujudan aktiviti ekonomi komersial )
Dalam sistem ekonomi komersial aktiviti ekonomi menjurus pada lebihan pengeluaran. Hasil yang dikeluarkan diekspot dan dijual kepada pedagang bagi mendapatkan kewangan. Walaupun aktiviti ekonomi masyarakat Melayu didominasi oleh aktiviti pertanian sara diri, aktiviti dagangan masih beroperasi. Hal ini kerana sistem ekonomi masyarakat Melayu adalah terbuka.
Walaupun ekonomi Tanah Melayu lebih kepada ekonomi sara diri, aktiviti komersial masih dijalankan. Keadaan ini dimonopoli oleh golongan bangsawan dan bukannya petani. Ia dapat difahami kerana para bangsawan memiliki kuasa untuk mengenakan cukai, pengurniaan tanah, dan mengambil semula tanah. Kuasa dan kekuasaan yang dimiliki mereka menjadikan para petani sebagai golongan yang menjadikan golongan bangswan semakin kaya. Oleh sebab golongan petani ialah golongan yang mengikut dan memberikan tumpah taat setia yang tidak berbelah bahagi ini menyebabkan mereka terpaksa menyerah dan mematuhi kehendak para pembeasar. Biasanya kedaan ini difahami sebagai satu kesan yang tidak baik dalam sistem kerah dan serah. Melalui sistem inilah para pembesar menjadi para pedagang dan mempunyai bekalan yang mencukupi untuk didagangkan.
Aspek kedua yang mencetuskan perubahan sistem ekonomi ke arah sistem ekonomi komersial ialah terjumpanya bijih timah di Larut oleh Long Jaafar. Adanya penenmuan ini menyebabkan urusan dagangan dibuat oleh orang Eropah, terutamanya Inggeris dan Belanda. Ini diperteguhkan lagi dengan keperluan buruh-buruh Cina untuk menambahkan pengeluaran dan ia juga merupakan kesan yang menyebabkan Perak dicampur tangan oleh Inggeris. Dalam hal ini para pedagang negeri selat telah mendesak untuk menstabilkan Perak. Ini membuktikan bahawa aktiviti komersial ini ada walaupun ia hanya melibatkan golongan pembesar.
Peluasan dan keaktifan pelombongan bijih timah, bukan sahaja meluaskan dan mempercepat perubahan sistem ini, tetapi sebelumnya pada era kegemilangan kerajaan Melayu Kedah, Melaka dan Johor - Riau telah lebih awal lagi membantu perubahan sistem ekonomi sara diri. Inilah yang mengjhasilkan sebab ketiga mengapa berlakunya perubahan kepada sistem ekonomi sara diri kepada ekonomi komersial. Pembukaan dan perkembangan pelabuhan-pelabuhan di Melaka, Johor-Riau , dan Kuala Kedah sebagai pelabuhan entrepot telah menggalakkan kedatangan pedagang-pedagang dari luar, terutamanya pada abad yang ke 14, 15, dn 16. Dalam era ini, para pedagang Eropah mencari peluang perniagaan dan tanah jajahan serta memasukkan unsur-unsur peradaban ekonomi mereka seperti pengenalan sistem kewangan dan ekonomi kapitalis. Hal ini selanjutnya diteruskan dalam abad ke 19 dan 20 apabila perkembangan dan wujudnya Revolusi Pertanian dn Industri lebih merancakkan lagi permintaan bahan mentah sehingga diperkenalkan sistem-sistem ekonomi di negara jajahan. Keadaan ini lebih galak lagi apabila pelabuhan Singapura dibuka pada awal abad ke 19. Hal ini seterusnya telah mempengaruhi pembesar-pembesar tempatan dan sultan untuk merebut peluang ekonomi bagi mengaut keuntungan dan kekayaan. Fenomena ini mempuunyai pengaruh yang kuat yang boleh mengubah minda dan pemikiran orang-orang Melayu ke arah perubahan sistem. Hal ini juga membuktikan bahawa telah wujud aktiviti ekonomi komersial sejak awal abad ke 14 di Tanah Melayu.
Bukti keempat ialah wujudnya masyarakat yang berbilang kaum di Melaka. Masyarakat berbilang kaum ini yang terdiri daripada kaum Cina, India, Jawa, Arab, dan Eropah telah sedia ada. Dalam hal ini boleh dikatakan masyarakat India dan Arab merupakan masyarakat yang terawal datang ke Tanah Melayu. Kedatangan mereka bukan setakat untuk urusan perdagangan, tetapi menyebarkan fahaman agama dan bahasa mereka. Dengan adanya masyarakat majmuk ini, jelas bahawa aktiviti komersial dengan bertukar barangan telah lama wujud di Tanah Melayu. Ia lebih rancak lagi apabila adanya teknologi pengangkutan laut dan kedatangan orang Eropah ke Tanah Melayu. Kemajmukan bangsa ini telah membentuk pola-pola ekonomi terhadap masyarakat. Penguasaan perdagangan semakin jelas dengan pengusaan orang Eropah dan Cina. Andaya ( 1982 ) menyatakan pada tahun 1848-9 penguasaan orang Eropah dan Cina dalam perdagangan Tanah Melayu ialah 16% dan 19%, tetapi pada tahun 1868-9 berubahan pada 25% dan 12 %.
Kedatangan orang Eropah seperti Portugis, Belanda, Inggeris, Amerika Syarikat, Perancis dan lain-lain bangsa Eropah memperlihatkan pembukaan Pulau Pinang dan Singapura oleh kuasa Eropah. Penguasaan Melaka oleh Portugis merupakan asas kepada peluasan kuasa mereka. Peluasan kuasa yang dibuat mereka sebenarnya terhasil daripada aktiviti perdagangan komersial. Mereka bermula dengan hubungan dagangan secara persahabatan seterusnya mereka memetri perjanjian bagi mendapat bahan-bahan mentah yang diperlukan. Keperluan bahan mentah serta kerakusan dan persaingan untuk mendapatkannya antara mereka merupakan bukti bahawa wujud perdagangan secara komersial di Tanah Melayu dan rantau nusantara. Inilah bukti yang kelima yang nyata menunjukkan wujudnya perdagangan komersial.
Aspek keenam - Perjanjian Inggeris - Belanda 1824 - Pembahagian wilayah antara Inggeris dan Belanda bagi urusan dagangan kedua-dua buah negara. Dalam perjanjian ini kedua-dua kuasa ini bersetuju untuk tidak bersaing dalam satu kawasan yang sama yang boleh menyebabkan perseteruan. Hal ini kerana kedua-dua kawasan utara dan selatan khatulistiwa mempunyai sumber bahan mentah yang sama seperti bijih timah dan rempah ratus. Ini juga merupakan antara sebab mengapa kuasa-kuasa barat bersaing untuk menguasai wilayah. Keadaan ini boleh membuktikan wujudnya satu sistem perdagangan yang membolehkan kuasa Inggeris mengumpul dan mendapatkan bahan mentah ini. Keadaan seperti ini tidak akan wujud jika tidak ada pedagang Melayu yang kebanyakannya dikuasai oleh para pembesar selain daripada masyarakat pendatang seperti orang Cina dan India.
Aspek ketujuh dalam membuktikan telah wujudnya sistem ekonomi komersial ini ialah adanya ladang-ladang gambir yang dibuka secara besar-besaran oleh keluarga Temenggong Johor. Ini mewujudkan sistem kangcu dan surat sungai yang membolehkan perkembangan peladangan gambir ini dapat dibuat secara komersial dan bagi mengelakkan permusuhan dan peperangan antara puak-puak masyarakat Cina. Selain itu, wujudnya Sistem Pajak di Kedah membuktikan bahawa masyarakat Melayu mempunyai kecenderungan dalam bidang ekonomi komersial. Dalam sistem ini Sultan Kedah memajak tanah-tanah kepada pemodal-pemodal bagi penanaman hasil tani unutk ekspot.
Sebab Perubahan Ekonomi Sara Diri ke Ekonomi Komersial
Aspek Politik:
1. Perubahan sistem pemilikan tanah dan perubahan adat Melayu.
Perubahan dalam sistem pemilikan tanah yang dilakukan oleh Inggeris telah mengakibatkan kehilangan atau berlakunya perubahan dalam sistem kehidupan masyarakat Melayu terutamanya yang melibatkan sistem kerah, serah dan hamba abdi. Perubahan yang dilakukan Inggeris dengan memberikan hak milik kepada mereka yang berkenaan telah menjelaskan tentang hak milik tanah kepada pemiliknya secara sah. Penentuan dan pengsahan hak milik tanah di kalanagan masyarakat petani telah membolehkan para petani berusaha dalam menambahkan pengeluaran dan peningkatan hasil daripada tanah yang diusahakan. Mereka tidak lagi berasa bimbang akan hasil yang dikehendaki diserahkan kepada para pembesar, tetapi dapat menembahkan hasil bagi keluarga mereka untuk mendapatkan perubahan dalam taraf hidup. Perubahan pentadbiran yang menyentuh pemilikan tanah ini, walaupun ditentang oleh pembesar Melayau sebenarnya telah membantu golongan bawahan untuk mendapatkan hak milik terhadap tanah yang diusahakan.
2. Perubahan peranan pembesar dan Sultan dalam sistem tadbir penjajah. Pembesar jadi pegawai kerajaan, Sultan penasihat kepada residen. Keadaan ini bukan setakat men jejaskan kekuasaan kepimpinan Melayu tetapi ia membolehkan Inggeris membentuk satu sistem bagi mencegah ketidakadilan yang berlaku terhadap golongan bawahan Melayu yang dirasakan ditindas oleh golongan atasan melalui pelbagai sistem dan kepercayaan yang dikenakan terhadap masyarakat bawahan Dalam perubahan kepimpinan dan hiraki kepimpinan Melayu para pegawai Inggeris telah menentukan hala tuju dan undang-undang baru yang berteraskan undang-undang commom law Inggeris sehingga mengubah teras kepercayaan masyarakat terhadap instusi kesultanan dan pembesar. Walaupun keadaan ini menjejaskan masyarakat pembesar Melayu sedikit banyak ia telah membantu golongan bawahan Melayu untuk memiliki kekayaan dengan golongan pemerintah Melayu Walaupun pada hakikatnya Inggeris banyak menguasai memboloti kekayaan negara tetapi perubahan tanggapan masyarakat bawahan bagi penambahan hasil ekonominya telah juga berubah..
Aspek Ekonomi:
3. Wujudnya revolusi industri di Eropah dan kemahuan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah.
Kepesatan teknologi dan penemuan baru dalam era kegemilangan industri di Eropah telah mewujudkan persaingan bagi mendapatkan bahan mentah. Keadaan ini kelihatan banyak terdapat di Tanah Melayu yang menjadi pengeluar utama getah dan timah. Kehendak bagi bahan ini telah mendesak para pemodal untuk melaburkan modal. Jika tidak wujudnya revolusi ini maka kehendak bahan mentah ini tidak menjadi saingan bagi industri pemotoran, dan pengentinan.
4. Pemodal asing yang sanggup menanam modal seperti Guthrie, dan Sime Darby. Adanya pemodal-pemodal ini telah menyebabkan banyak tanah-tanah dibuka dan diterokai sama ada dalam bidang pelombongan ataupun pertanian. Pemodal-pemodal ini akhirnya telah menyebabkan ramai para buruh dibawa masuk dari India dan Cina. Kewujudan ini kerana masyarakat pemodal memerlukan lebih banyak bahan dapat dikeluarkan dan ini secara tidak langsung telah mengubah persepsi masyarakat melayu terhadap bentuk kehidupan mereka sebelumnya yang menjuruskan aspek sara diri. Lebih-lebih lagi apabila pihak Inggeris telah mengubah banyak sistem di Tanah Melayu terutama dalam sistem pencukaian, iaitu bayaran cukai dalam bentuk wang tunai.
5. Fahaman liberialisme dan kapitalisme yang bercirikan pasaran bebas galakan persaingan dan ekonomi wang merupakan asas kepada ekonomi dagangan. Keadaan ini telah memperlihatkan kemajuan yang begitu ketara di kalangan masyarakat pendatang, terutamanya masyarakat Cina yang banyak mengambil peluang daripada perubahan sistem ini. Ini secara tidak langsung telah mengubah pemikiran Melayu bagi mendapatkan kemajuan dan taraf yang sama dengan masyarakat pendatang. Perkembangan fahaman ini juga mengikiskan fahaman dalam sistem feudalisme yang tersemai dalam pemikiran masyarakat Melayu dan sedikit demi sedikit telah menghapuskan beberapa amalan tradisi seperti sistem kerah,sera dll sistem.
Aspek Sosial:
6. Adanya usaha pihak penjajah membawa masuk teknologi baru seperti teknik perlombongan - pam kelikir, dan kapal korek. - Teknik penorehan getah dan membawa masuk biji benih getah.
7. Kemasukan buruh asing Cina dan India untuk bekalan buruh yang murah.
8. Perkembangan pendidikan, dan prasarana serta pembukaan bandar dan hutan untuk pertanian.TEMA 1 : MASYARAKAT TEMPATAN
BAB 1 : INSTITUSI PEMERINTAHAN MASYARAKAT TEMPATAN
SUB TAJUK : SISTEM SOSIAL(KEPERCAYAAN DAN AGAMA)
Amalan kepercayaan masyarakat Melayu banyak dipengaruhi oleh amalan dan keprcayaan dalam amalan nenek moyang atau kepercayaan Hyang, Hindu, dan Buddha seperti percaya kewujudan ‘mana’, mentera atau jampi, sihir, bomoh atau dukun, sumpah atau tulah, daulat raja, dan pelbagai jenis hantu yang berhubung kait dengan konsep syaitan dalam Islam. Kepercayaan kepada penyembahan nenek moyang masih diamalkan oleh masyarakat Melayu walaupun setelah kemasukan agama Hindu dan Buddha. Keadaan ini dapat dilihat daripada pemujaan yang dilakukan mereka di candi-candi Lembah Bujang yang tidak mempunyai kesamaan dengan penyembahan kuil oleh masyarakat Hindu-Buddha di India. Oleh itu, kepercayaan ini lebih tertumpu kepada perkongsian amalan yang dicampuradukkan sehingga mewujudkan satu amalan bentuk baru, tetapi masih didominasi oleh kepercayaan Hindu. Sehingga kedatangan Islam amalan-amalan ini masih tidak luput daripada naluri orang Melayu. Walaupun, amalan-amalan ini bertentangan dengan syariat Islam, ornag-orang Melayu masih tidak membuangnya daripada budaya masyarakat. Keadaan ini dapat difahami berdasarkan sebab-sebab berikut:
- Penerimaan orang Melayu tentang konsep ketuhanan yang ada pada sultan.
· Ia menyentuh kosep daulat dan derhaka serta tulah. Kepercayaan yang sultan mempuunyai kekuasaan luar biasa dan selalunya dikaitkan dengan aspek ketuhanan. Maka timbul unsur hak sultan dalam agama.
- Pensenyawaan unsur Islam dan Hindu
· Unsur-unsur yang menjadi amalan agama Hindu diberi nafas baru dalam Islam. Sebagai contoh:
· Dalam majlis perkahwinan disenyawakan amalan seperti tepung tawar, berinai, bersanding, dan lenggang perut. Kalau dalam Hindu ia berkaitan dengan agama, tetapi diubah konseop menjadi adat dan budaya kepada masyakarat Melayu.
· Majlis Kematian: Diadakan kenduri 3,7,40 dan 100 hari. Dengan tujuan untuk mengingati jenazah. Dalam kepercayaan Hindu hari-hari tersebut ada bahagian-bahagian mayat yang pecah.
· Majlsi perayaan: Memasang pelita. Dengan harapan malaikat akan berkunjung ke rumah dalam hindu dewa. Walaupun begitu kesedaran agama Islam menyebabkan konsep ini ditukar kepada kemeriahan dan sebagai satu adat dan budaya.
- Cara pendakwahan
· Cara dakwah disebarkan dan kerelaan anutan agama Islam. Pendakwahan menggunakan aspek hiburan seperti dalam wayang kulit, mak yong, main puteri dan lain-lain hiburan tradisi yang masih mempunyai unsur kehinduaan.
· Dalam menentukan ia tidak ke arah syirik maka istilah dan bentuk upacara ditukarkan kepada unsur-unsur Islam seperti bacaan ayat suci dan tujuan diadakankan agar mendapat rahmat daripada Allah swt.
· Penerimaan Islam oleh masyarakat Melayu bukan kerana kefahaman mereka, tetapi kerana ikutannya dengan wibawa Sultan. Oleh sebab itu, proses pendakwahan dan pengembangan ajaran dan sebaran agama ini banyak dilakukan di istana-istana.
· Proses melambatkan proses mengubah konsep Hindu untuk digantikan dengan konsep dan amalan Islam.
- Konsep agama dan kepercayaan yang dicampuradukan.
· Konsep agama dan kepercayaan yang bercampur aduk hingga mengelirukan masyarakat. Masyarakat menganggap seolah-olah kepercayaan itu adalah sebahagian daripada agama sedangkan ia berbeza.
· Mohd Taib Othman mendefinisikan agama sebagai satu amalancara hidup yang berorganisasi dan bermatlamat, dan kepercayaan sebagai satu pernyataan tentang sesuatu perkara untuk dipercayai.
· Masyarakat Melayu tidak memisahkan konsep ini hingga kelihatan agama dan kepercayaan itu sama.
- Pengaruh adat dan budaya masyarakat.
· Masyarakat Melayu amat berpegang kepada konsep biar mati anak jangan mati adat. Oleh sebab adat-adat Melayu banyak bertentangan dengan Islam maka proses menukarkan adat ini perlu dijalankan dengan hati-hati. Oleh itu adat yang dirasakan tidak bertentangan dengan Islam secara langsung masih diterima cuma aspek kepercayaan keagamaan disishkan secara berhati-hati dengan amalan Al Quran dan sunnah Nabi saw.
· Keadaan ini adalah berikutan berlakunya proses pensenyawaan, reintperetation dan rearrangement.
- Proses pemberian makna baru ( reintepretation ) dan pengaturan dengan cara baru ( rearrangement ).
· Apabila wujud konflik antara amalan, adat dan agama masyarakat Melayu menggunakan proses-proses ini untuk diteruskan amalannya. Ini seterusnya berlaku pensenyawaan terhadap alan dan kepercayaan.Sebagai contoh:
· Konsep penunggu ditukar kepada konsep keramat.
· Konsep hantu ditukar kepada konsep syaitan
· Istilah Dewata Raya ditukar kepada Allah swt. Siva dianggap mahaguru, Nur muhamad dan Luqman Al-Hakim adalah pawang silam dan aku adalah pawang keempat, Pawang tuan juga dikaitankan dengan Siva, Nabi Muhamad dan kadang kala Allah swt.
Aspek Kepercayaan
Mana : Satu aspek kepercayaan yang membolehkan seseorang mendapat MANA atau kekuatan daripada seseorang yang dikalahkan atau dibunuh. Sebagai contoh seorang pahlawan yang berjaya membunuh musuhnya, pahlawan tersebut mendapat kekuatan atau kesaktian musuhnya yang dibunuhnya.
Mentera dan jampi : John D. Gimette dalam bukunya A Dictionary of Malay Medicine mentakrifkan Jampi atau mentera sebagai penggunaan serapah oleh bomoh atau pawang dalam amalan sihir orang Melayu. Selalu ia menggunakan kata-kata atau ayat-ayat tertentu yang difahami maksudnya oleh Bomoh. Apabila kedatangan Islam kata-kata atay ayat tersebut ditukar bentuk kepada ayat-ayat suci Al-Quran. Sebagai contohnya ayat-ayat yang digunakan sebelum kedatangan Islam adalah seperti yang berikut:
“ Hai pinang sepiak muri tanaman Maharaja Dewana......” Perkataan Maharaja Dewana ini boleh ditukarkan kepada nama para nabi atau wali dalam Islam.. dan boleh ditambah dengan kalimah syahadah.
Sihir dan tilik: Ibnu Khaldun melihat sihir dan tilik sebagai satu ilmu tentang persediaan jiwa manusia untuk mempengaruhi alam kebendaan sama ada tanpa bantuan atau dengan bantuan dari langit. Yang pertama dilihat sebagai sihir dan kedua tilik.
A.S. Hornby dalam Oxford Advanced Learner’s Dictionary of Current English menyatakan sihir adalah seni yang mengawal kejadian dengan pendakwaaan penggunaan tenaga luar biasa. Ia witchcraft, praktis tahyul primitif berdasarkan kepercayaan terhadap agen ghaib. Sihir hitam dilakukan dengan pertolongan syaitan dan sihir putih ( ? ) tanpa pertolongan syaitan.
Tahap-tahap atau martabat sihir:
1. Ia dapat mempengaruhi melalui kemahuan semata-mata tanpa bantuan. Ini yang disebut sihir oleh golongan failasuf.
2. Ia dapat mempengaruhi dari bantuan dari mizaj, bintang-bintang, elemen-elemen alam atau angka-angka bilangan, ini yang dinakan tilik , ia lebih lemah daripada yang pertama.
3. Ia dapat mempengaruhi perasaan yang berkhayal dan gambaran yang mahu diberikan dan kemudian membawanya kembali kepada alam nyata, seperti membuat mereka seolah-seolah ternampak sesuatu, sedangkan ia sebenarnya tidak ada di hadapan mereka. Ini yang disebut khayalan atau hallucination oleh golongan falsafah.
Setelah kedatangan Islam istilah sihir ditukar kepada jampi serapah atau mentera.
Bomoh /Pawang/Dukun: Dianggap oleh masyarakat Melayu berasal dari Luqman Al-Hakim, dan bertugas bagi menyembuhkan sihir. Ia sebagi alat bagi mengubati penyakit dan dilihat sebagai seorang yang berdekatan dengan Tuhan. Oleh itu, ia mendakwa diri mereka sebagai keturunan daripada para aulia atau wali, dan sebelum Islam biasanya ia mempunyai kuasa berhubung dengan para dewa seperti Siva.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan