Khamis, 17 Februari 2011

NOTA SEJARAH BAB 4 TINGKATAN 5

Bab 4
PEMBINAAN NEGARA DAN BANGSA MALAYSIA
MALAYAN UNION

1. Pengenalan Malayan Union pada tahun 1946 merupakan usaha British untuk menghapuskan negara dan bangsa yang telah dibina sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
2. Selama ini British menjalankan dasar menerima Negeri Melayu, Raja Melayu, dan orang Melayu sebagai pemilik Tanah Melayu.
3. Selain itu, British juga menerima bahawa adat istiadat Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu ialah budaya Tanah Melayu.
SEBAB-SEBAB PENGENALAN MALAYAN UNION
1. Kerajaan British memperkenalkan Malayan Union berdasarkan beberapa faktor.
2. Antaranya termasuklah sebagai persediaan kepada Tanah Melayu ke arah membentuk pemerintahan sendiri.
3. British juga menginginkan pentadbiran yang licin dan menjimatkan kos.
4. Sebelum Perang Dunia Kedua, Tanah Melayu terbahagi kepada tiga unit pentadbiran yang berbeza, iaitu Negeri-Negeri Selat (NNS), Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu(NNMTB).
5. Kepelbagaian sistem ini telah menelan kos yang besar dan menyebabkan pembangunan ekonomi di setiap negeri tidak seimbang.
6. Selain itu, British berhasrat membentuk sebuah bangsa Malayan Union supaya golongan pendatang dapat
melupakan negara asal mereka dan menumpukan taat setia kepada Malayan Union. Justeru, British dapat memastikan sumber tenaga dan pelaburan untuk memajukan ekonomi Tanah Melayu tidak terbantut.
7. Di samping itu, British dapat menjamin penguasaan yang berterusan terhadap sumber ekonomi Tanah Melayu
8. Ia juga untuk mengurangkan kuasa politik orang Melayu.
CIRI-CIRI MALAYAN UNION
1. Perjanjian Malayan Union 1946 telah menggabungkan semua negeri di Tanah Melayu dalam satu unit
pentadbiran. Syarat-syarat utama Perjanjian Malayan Union ialah:
a. Semua Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu serta dua Negeri Selat, disatukan.
b. Seorang gabenor British yang dilantik oleh Baginda Ratu England akan mengetuai Malayan Union.
c. Majlis Eksekutif dan Majlis Undangan Malayan Union dibentuk.
d. Singapura diasingkan kerana kepentingannya sebagai pelabuhan bebas.
e. Kewarganegaraan sama rata dengan prinsip jus soli menjadi asas kerakyatan Malayan Union.
f. Raja-Raja Melayu menjadi ahli Majlis Raja-Raja Melayu yang hanya membincangkan soal agama Islam dan adat istiadat Melayu.
g. Seorang Pesuruhjaya Negeri dilantik bagi setiap negeri sebagai ketua pentadbir.
KERAKYATAN MALAYAN UNION
1. Jus soli merujuk pada kelayakan menjadi rakyat Malayan Union kepada sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu dan Singapura.
2. Mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas serta bermastautin selama 10 hingga 15 tahun akan diberikan kerakyatan.
3. Mereka yang berumur kurang daripada 18 tahun yang merupakan anak warganegara di atas, turut diberikan kerakyatan.
4. Semua rakyat British daripada tanah jajahan takluknya boleh menjadi rakyat Malayan Union.
PENTADBIRAN MALAYAN UNION
1. Dari segi pentadbiran, Malayan Union berusaha mewujudkan sebuah kesatuan yang dikuasai oleh sebuah pemerintah pusat yang kuat.
2. Pentadbirannya tidak lagi tertakluk kepada Singapura seperti sebelum ini, sebaliknya, terus kepada Parlimen British di London.
3. Konsep pentadbiran baru ini telah menolak tradisi dan sistem politik Melayu.
4. Kerajaan Malayan Union telah diisytiharkan pada 1 April 1946 di King's House (Carcosa Seri Negara), Kuala Lumpur.
5. Gabenor pertamanya ialah Sir Edward Gent. Pengisytiharan ini secara rasmi menggantikan Pentadbiran Tentera British atau British Military Administration (BMA) yang dijalankan di Tanah Melayu sejak bulan September tahun 1945.
6. Kesimpulannya, pembentukan Malayan Union adalah untuk mengubah sistem pentadbiran lama yang berpecah-pecah kepada sistem pentadbiran yang berpusat di bawah penjajahan British.
7. Hal ini memudahkan British menyeragamkan dasar pentadbiran, kehakiman, keselamatan, politik dan ekonomi Tanah Melayu bagi kepentingan imperialismenya.
8. Tindakan British yang bertentangan dengan dasar perlindungan sebelum ini telah membangkitkan kemarahan orang Melayu. Justeru, tidak hairanlah orang Melayu bersatu menentang Malayan Union.
REAKSI TERHADAP MALAYAN UNION
1. Pelbagai reaksi penduduk Tanah Melayu muncul apabila Malayan Union diperkenalkan. Kebanyakan daripada mereka menentang Malayan Union disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya:
2. Orang Melayu membantah tindakan Sir Harold MacMichael yang mengugut Raja-Raja Melayu bahawa baginda akan diturunkan daripada takhta sekiranya enggan menerima Malayan Union seperti yang terjadi kepada Sultan Badlishah,Kedah.
3. Kebanyakan sultan tidak diberikan masa yang cukup untuk berunding dengan Majlis Mesyuarat Negeri seperti yang berlaku kepada Sultan Perak.
4. Terdapat sultan yang menandatangani Perjanjian Malayan Union atas dasar setia kawan kepada British seperti Sultan Selangor dan Sultan Johor.
5. Bagi orang Melayu, keadaan selepas Perang Dunia Kedua tidak sesuai untuk British membuat pembaharuan politik. Orang Melayu secara prinsipnya menentang penghakisan kuasa Raja-Raja Melayu dalam Malayan Union.
6. Raja-Raja Melayu hanya menjadi ahli Majlis Raja-Raja Melayu tanpa sebarang kuasa. Mereka juga kehilangan takhta dan kredibiliti sebagai ketua orang Melayu.
7. Walaupun mereka masih membincangkan soal agama Islam tetapi zakat fitrah dipungut di bawah nama Gabenor Malayan Union. Keadaan ini bertentangan dengan kedudukan sultan sebelum yang merupakan ketua agama Islam. Justeru, orang Melayu bimbang agama Islam akan tercabar.
8. Pemberian kerakyatan yang longgar kepada orang dagang juga ditolak oleh orang Melayu. Dasar terbuka British ini dilihat akan mengancam status quo orang Melayu sebagai peribumi.
9. Jumlah orang Melayu akan menjadi kecil dengan kemasukan orang dagang manakala ekonomi dan aendidikan mereka akan bertambah mundur.
10. Orang Melayu juga bimbang akan kehilangan warisan tamadun yang telah dibina oleh kerajaan Melayu seperti kesultanan Melayu Melaka. Bagi mereka, pengenalan Malayan Union akan menghapuskan sejarah yang dibina oleh kerajaan tersebut. Lantaran itu kebanyakan orang Melayu menentang Malayan Union dengan mengadakan demontrasi secara besar-besaran.
SOKONGAN TERHADAP MALAYAN UNION
1. Terdapat juga sebahagian kecil yang menyokong Malayan Union antaranya termasuklah orang dagang dan golongan Melayu radikal.
2. Mereka bersetuju dengan dasar menyatukan negeri-negeri Melayu menjadi sebuah unit politik untuk melicinkan pentadbiran.
3. Mereka juga menyokong dasar sama rata Malayan Union yang. akan menghapuskan hak-hak perlindungan kepada orang Melayu.
4. Kerakyatan Malayan Union yang terbuka juga disokong kerana mereka boleh mengekalkan kerakyatan asal masing-masing.
5. Mereka juga mempercayai janji British yang akan memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bagaimanapun, British perlu menjajah Tanah Melayu sebelum proses berkerajaan sendiri dilaksanakan dan kemerdekaan diberikan.
6. Janji ini merupakan harapan semua parti dan persatuan yang menyokong Malayan Union.
7. Malayan Union disokong oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) kerana pemerintahannya bersifat Barat serta menghapuskan sistem feudal Melayu dan tidak mengiktiraf kuasa raja dan pembesar Melayu. Justeru, konsep republik seperti di Indonesia dapat dijalankan dan seterusnya konsep Melayu Raya dapat dilaksanakan.
8. Ekoran itu juga konsep Malayan Union mendapat sokongan daripada Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Malaya (BATAS).
9. Penyatuan pentadbiran agama Islam dalam Malayan Union disokong oleh PKMM kerana hal ehwal pentadbiran Islam dipermudah.
10. Terdapat juga pegawai tadbir Melayu yang menyokong Malayan Union dengan alasan British merupakan kuasa besar dan mempunyai kecekapan untuk membangunkan Tanah Melayu.
TINDAKAN ORANG MELAYU MENENTANG
1. Bantahan orang Melayu terhadap Malayan Union dibuat dalam pelbagai tindakan, iaitu:
(a) Akhbar-akhbar Melayu seperti Utusan Melayu, Majlis dan Warta Negara telah menyuarakan bantahan secara berterusan.
(b) Orang Melayu telah mengadakan demonstrasi secara damai semasa Sir Harold MacMichael mendapatkan
(c) tandatangan Raja-Raja Melayu. Ini berlaku di Kota Bharu, Kelantan, dan di Alor Setar, Kedah.
(d) Persatuan-persatuan Melayu dihidupkan semula untuk menentang Malayan Union. Mereka menghantar telegram dan surat bantahan ke Pejabat Tanah Jajahan di London.
(e) Pada 23 Januari 1946, Dato' Onn Ja'afar menyeru orang Melayu berkongres dan menubuhkan United Malays Organization (U.M.O) sebagai benteng menentang Malayan Union.
(f) Kongres Melayu 1946 telah diadakan dari 1 hingga 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kongres ini dihadiri oleh 41 buah persatuan dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Kongres ini bersetuju menubuhkan United Malays National Organization (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu untuk menentang Malayan Union.
(g) Kongres Melayu Kedua diadakan dari 30 hingga 3 1 Mac 1946 untuk membantah pengisytiharan Malayan Union pada 1 April 1946.
(h) Orang Melayu mengadakan rapat umum di setiap bandar besar untuk menunjukkan bantahan mereka kepada ahli-ahli Parlimen British, iaitu L.D. Gammans dan David Reese Williams.
(i) Raja-Raja Melayu telah berkumpul di Kuala Kangsar pada 28 April 1946 untuk menyatakan bantahan mereka kepada ahli-ahli parlimen tersebut.
2. Langkah tegas orang Melayu ini telah mendorong British memulakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dan UMNO. Hasil daripada rundingan ini, Persekutuan Tanah Melayu telah dibentuk.
3. Kesimpulannya, Malayan Union telah menyatukan orang Melayu untuk mempertahankan status quo mereka.
4. Kongres Melayu 1946 telah melahirkan UMNO yang menjadi benteng perjuangan menentang Malayan Union.
5. British telah bersetuju untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dan UMNO bagi membentuk sistem politik dan pentadbiran yang lebih baik. Perpaduan kebangsaan yang diperlihatkan itu patut dicontohi oleh kita.
SUDUT MAKLUMAT
Demonstrasi orang Melayu

a. Di Kota Bharu (Kelantan), seramai 10 000 orang dan di Kedah seramai 50 000 orang berarak menentang Malayan Union pada bulan Januari 1946.
b. Di Batu Pahat dan Johor Bahru (Johor), orang ramai telah keluar membantah Malayan Union.
SUDUT MAKLUMAT
Golongan Melayu Radikal

a. Kumpulan orang Melayu yang menolak sistem politik feudal dan memandang Indonesia sebagai inspirasi.
b. Juga mendokong penubuhan negara Melayu Raya dan bergabung dengan Indonesia Raya.
c. Kebanyakan mereka berasal dari Indonesia.
SUDUT MAKLUMAT
Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

a. Ditubuhkan pada bulan Oktober 1945 di Ipoh, Perak.
b. Dianggotai oleh bekas ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM).
c. Presiden pertamanya ialah Mokhtaruddin Lasso, pemimpin Rejimen ke -10, Parti Komunis Malaya.
d. Timbalan presiden ialah Dr. Burhanuddin al-Helmy. Nama sebenarnya ialah Abdullah Sani.
e. Pernah menjadi wartawan.
f. Ditahan di bawah Akta Darurat 1948-1955.
PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
1. Beberapa faktor telah menyumbang kepada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Antaranya:
(a) Ketegasan orang Melayu membantah Malayan Union di bawah pimpinan Dato' Onn Ja'afar.
(b) Perpaduan di kalangan orang Melayu yang terdiri daripada golongan raja dan rakyat telah dapat mengatasi pihak lain yang menyokong Malayan Union.
(c) Keupayaan orang Melayu memujuk dan mendesak British untuk menghidupkan semula dasar perlindungan telah membantu mereka menolak Malayan Union.
(d) Sokongan bekas pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua juga mendorong British membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Antara mereka termasuklah Sir Frank Swettenham, Sir R.O. Winstedt, Sir George Maxwell dan Sir Cecil Clementi. Mereka menolak dasar menakluk Tanah Melayu.
(e) Sokongan daripada pegawai tinggi British seperti Sir Malcolm MacDonald, Sir Edward Gent dan L. D.Gammans telah membantu orang tempatan menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu.
(f) Sikap politik orang Melayu yang sederhana telah mendorong British menerima kehendak mereka. Orang Melayu hanya menulis dalam akhbar, berdemonstrasi, berkongres dan memujuk Raja-Raja Melayu untuk menyokong penentangan terhadap British. Mereka tidak mengangkat senjata seperti Parti Komunis Malaya(PKM).
(g) British memilih UMNO dan Raja-Raja Melayu kerana kedua-duanya hanya menuntut rundingan untuk menolak Malayan Union. Mereka tidak menuntut kemerdekaan daripada British. Faktor inilah yang menyebabkan British menerima pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.
(h) British juga bimbang orang Melayu akan dipengaruhi oleh gerakan politik Indonesia yang dikuasai oleh golongan radikal seperti PKMM, API, AWAS dan BATAS.
(i) Piagam Atlantik 1945 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak
menggalakkan penjajahan baru, sebaliknya, meminta negara-negara kolonial memberikan latihan berkerajaan sendiri kepada penduduk tempatan.
(j) Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu merupakan satu langkah yang sesuai ke arah mencapai hasrat PBB tersebut.
SUDUT MAKLUMAT
DATO ONN JAAFAR

a. Pernah menjadi Pegawai Tadbir Johor
b. Wartawan
c. Presiden UMNO
d. Menteri Besar Johor
e. Ahli Dalam Negeri
f. Ahli Parlimen Parti Negara

LANGKAH-LANGKAH PEMBENTUKAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
1. British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang dianggotai oleh 12 orang ahli. Mereka terdiri daripada
pegawai kanan British, pemimpin UMNO dan wakil RajaRaja Melayu.
2. Mereka mengadakan mesyuarat di King's House, Kuala Lumpur. Pada dasarnya, ada lima tuntutan orang Melayu,
iaitu:
a. Raja-Raja Melayu dan UMNO menolak semua prinsip dan struktur Malayan Union.
b. Mereka menginginkan sebuah persekutuan seperti konsep Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
c. Mereka menolak kerakyatan terbuka Malayan Union.
d. Mereka meminta dasar perlindungan terhadap Negeri Negeri Melayu dan orang Melayu dipulihkan.
e. Mereka menuntut supaya Raja-Raja Melayu sebagai ketua Negeri-Negeri Melayu diakui semula.
3. Perundingan ini ditentang oleh orang dagang dan golongan radikal Melayu pimpinan Dr. Burhanuddin al-Helmy.
4. Mereka berpendapatJawatankuasa Eksekutif itu tidak mewakili semua pihak kerana tidak disertai oleh seorang pun
perwakilan orang dagang. Mereka menuntut konsep sebuah republik dan kemerdekaan penuh.
5. Mallis Tindakan Bersama Seluruh Malaya atau All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) dan Pusat Tenaga
Rakyat (PUTERA) telah ditubuhkan pada awal tahun 1947 untuk menentang British dan UMNO.
6. Mereka mengadakan pelbagai tindakan seperti ceramah politik, demonstrasi dan mogok. Mereka turut mencadangkan
sebuah perlembagaan, iaitu Perlembagaan Rakyat.
7. Untuk berlaku adil, British telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perunding bagi mendapatkan pandangan mereka
dalam menyediakan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.
SUDUT MAKLUMAT
UMNO

a. Ditubuhkan secara rasmi pada 1 1 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru, Johor.
b. Sebanyak 29 buah persatuan negeri telah bergabung untuk mengasaskan UMNO.
SUDUT MAKLUMAT
Dr. Burhanuddin al-Helmy '

a. Presiden PKMM dan penasihat PUTERA.
b. Nama sebenArnya, Burhanuddin Haji Mohd. Nor.
c. Berpendidikan Madrasah al-Mashyor dan Universiti Aligrah, India.

PERLEMBAGAAN RAKYAT 1947
1. Ciri-ciri Perlembagaan Rakyat 1947 ialah:

a. Singapura disatukan dengan Tanah Melayu.
b. Sebuah Kerajaan Pusat dan Majlis-Majlis Negeri dipilih.
c. Raja-Raja Melayu akan mempunyai kuasa sebenar dan bertanggungjawab kepada rakyat.
d. Kedudukan istimewa orang Melayu dikembalikan.
e. Adat istiadat dan agama Islam dikawal oleh orang Melayu.
f. Kerakyatan yang sama rata.
g. Merah dan putih menjadi warna bendera Tanah Melayu.
h. Bahasa Melayu haruslah menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
i. Pertahanan dan hal ehwal luar negeri haruslah menjadi tanggungjawab bersama British dan Tanah Melayu.
j. Warganegara Tanah Melayu harus dinamai Melayu.
PERJANJIAN PERSEKUTUAN 1948
1. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah ditandatangani pada 21 Januari 1948 antara Raja-Raja Melayu dengan British di King's House, Kuala Lumpur.
2. Dengan perjanjian ini, pada 1 Februari 1948 Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dengan rasmi.
3. Perjanjian ini mempunyai ciri-ciri penting yang menjadi asas pentadbiran negara selepasnya.
4. Dalam rajah sistem pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu 1948 di halaman sebelah , ternyata British masih menguasai Tanah Melayu kerana kemerdekaan belum diberikan.
5. Perkongsian kuasa telah dilakukan antara Majlis RajaRaja dengan Pesuruhjaya Tinggi pada peringkat pusat.
6. Pada peringkat negeri, Sultan menjadi ketua negeri dan berkuasa melantik Menteri Besar sebagai ketua pentadbir negeri.
7. Perjanjian ini telah mengasaskan sistem pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri dan seterusnya membentuk Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri.
8. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 ini juga menjelaskan perkara-perkara berikut:
a. Syarat kerakyatan diperketatkan. Prinsip kerakyatan jus soli adalah untuk Rakyat Raja Melayu bagi Negeri Negeri Melayu dan Rakyat British bagi Negeri-Negeri Selat (Melaka dan Pulau Pinang).
b. British mengiktiraf semula ketuanan Melayu sebagai asas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Dasar ini memang telah diakui oleh British sejak Perjanjian Pangkor 1874.
c. Institusi Raja Melayu dikekalkan dengan bidang kuasa dan kedudukannya yang jelas dalam pentadbiran.
d. Setiap negeri Melayu telah mengadakan perjanjian dan perlembagaan bertulis dengan British. Perlembagaan itu dikenali sebagai Undang-undang Tubuh Negeri yang digunakan sehingga hari ini.
9. Pengenalan semula Rakyat Raja Melayu membuktikan penerusan dasar perlindungan British terhadap kedudukan istimewa orang Melayu, status quo Negeri-Negeri Melayu yang dilindungi, agama Islam dan adat istiadat Melayu sebagai teras ketuanan bangsa Melayu.
10. Prinsip-prinsip ini yang dicadangkan oleh UMNO dan Raja-Raja Melayu telah dimasukkan ke dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 sebagai undang-undang bertulis.
11. Perkara ini menjadi asas kepada Kontrak Sosial antara British dengan Raja-Raja Melayu dan orang Melayu yang diteruskan selepas tahun 1948.

SUDUT MAKLUMAT
Ciri-ciri Utama Perjanjian~ Persekutuan Tanah Melayu 1948

a. Sebuah persekutuan dibentuk dengan gabung sebelas buah negeri.
b. Persekutuan Tanah Melayu diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British.
c. Konsep Raja Berperlembagaan diwujudkan.
d. Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri dibentuk.
e. Pesuruhjaya Tinggi British menjaga kedudukan istimewa orang Melayu.
SUDUT MAKLUMAT
a. Rakyat Raja Melayu Orang Melayu yang lahir di sesebuah Negeri Melayu itu
ialah rakyat negeri tersebut secara automatik.
b. Rakyat British ialah mereka yang tinggal dan lahir di Pulau Pinang dan Melaka.
TOKOH PENGGERAK PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
1. Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 melibatkan ramai pemimpin tempatan, pihak British, Raja Melayu dan pemimpin UMNO.
2. Terdapat sembilan orang Raja Melayu yang terlibat. Mereka telah menyediakan tuntutan dan cadangan yang sesuai untuk menjaga status dan keselamatan rakyat. Antara sultan yang bersuara tegas ialah Sultan Badlishah (Kedah), Sultan Abdul Aziz (Perak) dan Sultan Ibrahim (Johor). Mereka telah menuntut supaya kuasa RajaRaja Melayu dikembalikan seperti sebelum tahun 1941.
3. Perlindungan kepada rakyat Melayu sebagai Rakyat Raja Melayu juga patut dikekalkan. Mereka tidak menolak kehadiran British tetapi menuntut supaya kuasa mereka serta perlindungan kepada orang Melayu dan hal ehwal ketuanan Melayu dipelihara.
4. Rakyat pula telah diwakili oleh para pembesar yang bertindak sebagai penasihat kepada raja masing-masing.
5. Sebahagian daripada mereka merupakan pemimpin UMNO yang mendukung idea penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Mereka bersama-sama Raja-Raja Melayu mencadangkan dan mendesak British melindungi kepentingan orang Melayu berserta Raja-Raja Melayu.
6. Kerjasama mereka telah membolehkan prinsip-prinsip politik, pentadbiran, agama Islam dan bahasa Melayu serta pengekalan institusi Raja Melayu berjaya dimasukkan ke dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.
7. Antara tokoh tersebut termasuklah Dato' Onn Ja'afar (Menteri Besar Johor dan juga Yang Dipertua UMNO), dan Dato' Nik Ahmed Kamil (Menteri Besar Kelantan).
8. Sikap kerjasama di kalangan Raja-Raja Melayu dan para pemimpin Melayu dalam merealisasikan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengajar kita erti perpaduan dalam sebuah perjuangan. Konsep aur dengan tebing patut menjadi pegangan bersama.
SUDUT MAKLUMAT
Dato’ Nik Ahmed Kamil

a. Terlibat dalam penubuhan UMNO.
b. Mewakili Raja-Raja Melayu dalam rundingan kemerdekaan pada tahun 1956.
PERGERAKAN POLITIK DI SARAWAK
1. Perkembangan politik di Sarawak. Di Tanah Melayu, orang Melayu berjaya menolak penjajahan mutlak British.
2. Sarawak telah dipaksa untuk menerima penjajahan British secara mutlak.
3. Keturunan James Brooke dan SBUB telah menyerahkan Sarawak dan Sabah kepada kerajaan British di London sebagai tanah jajahan mahkota.
4. Vyner Brooke, iaitu Raja terakhir Sarawak telah menyerahkan Sarawak kepada kerajaan British disebabkan beberapa alasan. Antaranya termasuklah kerana beliau telah tua dan uzur. Penggantinya pula, iaitu Anthony Brooke, didapati tidak layak untuk mentadbir dengan berkesan.
5. Vyner Brooke telah menghantar Gerald MacBryan untuk mendapatkan persetujuan pembesar Sarawak.
6. Pengisytiharan penyerahan Sarawak kepada British dibuat oleh Vyner Brooke pada 8 Februari 1946.
7. Beberapa orang pemimpin dan persatuan kaum tempatan telah membantah tindakan ini. Antaranya termasuklah Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, iaitu ketua masyarakat Melayu Sarawak, Persatuan Melayu Sarawak (PMS) dan juga Persatuan Dayak Sarawak (PDS). Mereka menentang tindakan Vyner Brooke itu kerana perkara tersebut bercanggah dengan Perlembagaan 1941.
8. Keputusan itu dibuat oleh Vyner Brooke tanpa berunding dengan orang tempatan atau ketua-ketua mereka.
9. Walaupun Vyner Brooke telah mengadakan mesyuarat dengan Majlis Negeri tetapi sokongan anggota bukan bumiputera dan pegawai-pegawai British menyebabkan Sarawak diisytiharkan sebagai Tanah Jajahan Mahkota British pada 1 Julai 1946.
10. Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Barisan Pemuda Sarawak (BPS), Barisan Pemuda Melayu (BPM) Sibu dan PDS menentang perisytiharan tersebut secara terbuka.
11. Kaum ibu dalam PKMS turut membantah dengan berdemonstrasi dan menghantar surat bantahan kepada kerajaan British.
12. Kerajaan British telah mengeluarkan Surat Pekeliling Bil. 9 yang memberikan amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap kakitangan kerajaan yang terlibat. Seramai 338 orang kakitangan awam meletakkan jawatan sebagai tanda bantahan.
13. Pakatan sulit antara kaum terpelajar dengan orang muda Sarawak telah menghasilkan penubuhan kumpulan Rukun Tiga Belas, sebagai tindak bolas terhadap tekanan politik British.
14. Sir Duncan Stewart, iaitu Gabenor Sarawak yang baru dilantik telah ditikam oleh Rosli Dhobi semasa beliau melawat Sibu pada 3 Disember 1949.
15. British telah menghukum gantung Rosh Dhobi dan tiga orang lagi yang terlibat dalam kejadian tersebut.
16. Tindakan Rosli Dhobi dan rakan-rakannya tidak berjaya kerana pemimpin Sarawak tidak bersatu.
SUDUT MAKLUMAT
Perlembagaan 1941

a. Perlembagaan bertulis pertama di Sarawak.
b. Vyner Brooke berjanji akan memberikan kerajaan sendiri kepada Sarawak dan kuasa mentadbir akan diberikan kepada Majlis Negeri.
c. Ahli-ahli Majlis Negeri akan dilantik oleh Raja Sarawak.
SUDUT MAKLUMAT
Rukun Tiga Belas

a. Kumpulan yang menentang penyerahan Sarawak kepada kerajaan British.
b. Dianggotai oleh golongan muda Pergerakan Pemuda Melayu Sibu.

PERGERAKAN POLITIK DI SABAH
1. Pergerakan politik di Sabah amat berbeza.
2. Sabah dipaksa untuk menerima penjajahan Brtish secara mutlak.
3. Kegiatan membangkitkan kesedaran politik di Sabah amat perlahan, berpecah belah dan tidak berkesan.
4. Persatuan Kebangsaan Melayu Labuan (PKML), Persatuan Melayu Jesselton (PMJ) serta Barisan Pemuda (BARIP) Labuan dan Jesselton ialah persatuan sosioekonomi yang bersifat sederhana.
5. Lantaran itu, semasa Sabah dijadikan jajahan takluk oleh British pada tahun 1946, tidak terdapat tentangan yang jelas dan terbuka daripada penduduk tempatan, malah, pada tahun 1951 persatuan-persatuan ini telah terkubur begitu sahaja.
KESIMPULAN
1. Kesimpulannya, perkembangan politik di Persekutuan Tanah Melayu turut mempengaruhi perkembangan politik di Sarawak dan Sabah.
2. Walaupun tidak berjaya menolak penjajahan British, namun, semangat juang tetap wujud di jiwa mereka. Semangat seperti inilah yang patut dicontohi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...