Isnin, 28 Februari 2011

SEJARAH 2 (ASIA) CHINA

TEMA 2
BAB 5: Penjelajahan dan campur tangan Barat

Perang Candu 1839-1842
  Pengenalan
Peperangan British-China 1839-1842 juga dikenali sebagai Perang Candu I. Peperangan ini merupakan titik peralihan dalam sejarah moden negeri China kerana selepas peperangan ini, khususnya selepas termeterai Perjanjian Nanking pada 29 Ogos 1842, China terpaksa menamatkan dasar isolasi dan seterusnya mengadakan hubungan dengan kuasa-kuasa barat. Orang Cina menganggap peperangan ini berlaku kerana masalah candu. Orang-orang barat pula menganggap peperangan ini berlaku kerana masalah politik, ekonomi dan sosial yang berkaitan dengan hubungan diplomatic, perdagangan bebas dan sistem keadilan. Masalah candu hanya merupakan faktor sampingan yang mempercepatkan peperangan. Ramai ahli sejarah mendakwa peperangan ini berlaku akibat pertembungan dua kebudayaan.
 

Sebab-sebab

1.    Hubungan Diplomatik
Ahli-ahli sejarah seperti Fairbank, Edgar Holt dan Soothills menganggap keengganan China untuk mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf dengan kuasa-kuasa barat menjadi sebab utama berlakunya Perang Candu Pertama. Orang-orang Cina menganggap China sebagai “Middle Kingdom” atau “Chung Koa” yang lebih bertamadun. Maharaja China dianggap sebagai anak syurga dan pemerintah universal. Orang-orang asing dianggap sebagai orang gasar atau barbarian atau fan kwae, iaitu hantu-hantu asing yang tidak bertamadun. Kedatangan orang asing dianggap sebagai kehadiran wakil-wakil negara pembayar ufti yang mahu tunduk di bawah kekuasaaan China. Dasar ini tidak dipersetujui oleh orang-orang barat, terutamanya British kerana mereka mengamalkan konsep persamaan taraf, lebih-lebih lagi selepas termeterainya Perjanjian Westphalia 1648 antara negara-negara Eropah yang menegaskan hubungan antara negara mesti dijalankan atas dasar sama taraf, tidak kira negara itu kecil atau besar.
        Sebelum Perang Candu, China tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian dengan kuasa-kuasa barat kecuali dua perjanjian mengenai sempadan dengan Rusia, iaitu Perjanjian Nerchinsk 1689 dan Perjanjian Kiachta 1727. Usaha-usaha British untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China gagal kerana China tidak dapat menerima konsep persamaan taraf yang diamalkan oleh British. Antara utusan British yang dihantar ke negeri China ialah utusan Lord Macartney 1793, utusan Lord Amherst 1816 dan utusan Napier 1834. Faktor utama yang menggagalkan utusan tersebut ialah masalah “kow tow” (adat menyembah raja) yang dikenakan ke atas utusan-utusan tersebut.
     Orang-orang barat tidak boleh mengadakan hubungan secara langsung dengan Kerajaan China. Hubungan mesti dijalankan melalui sebuah badan iaitu “cohong” yang ditubuhkan pada 1720. Keengganan China untuk mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf telah menyebabkan kuasa-kuasa barat terutamanya British terpaksa mengambil tindakan secara kekerasan. Edgar Holt dalam bukunya “The Opium Wars in China” menegaskan “the opium war was fought to end forever China’s assumption of superiority to all other nations”.
Pembubaran monopoli perdagangan China Syarikat Hindia Timur British pada tahun 1833 telah menyebabkan ramai pedagang British datang ke negeri China. Untuk melindungi mereka, seorang penguasa perdagangan atau Taipan telah dilantik di Canton. Penguasa perdagangan yang pertama dilantik pada Mac 1834 ialah Lord Napier. Kegagalan untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China telah mengecewakan beliau sehingga meninggal dunia di Macau pada Oktober 1834. beliau digantikan oleh L.V. Davies pada tahun 1835. L.V. Davies juga gagal mewujudkan hubungan diplomatic dengan China dan terpaksa bersara pada 1837. Beliau digantikan oleh GeorgeBest Robinson. Robinson juga menerima nasib yang sama sehingga terpaksa bersara pada 1839 dan digantikan oleh Charles Elliot. Semasa Charles Elliotlah berlaku Perang Candu 1839-1842.
2.         Perdagangan bebas
Christopher Hibbert dalam bukunya “The Dragon Wakes” dan Kenneth Scott Latourette dalam bukunya “A History of Modern China” menegaskan masalah perdagangan bebas khususnya sekatan China ke atas perdagangan asing merupakan faktor utama berlakunya Perang Candu I 1839-1842. Dewasa itu, British mengamalkan dasar perdagangan bebes yang menganggap mereka berhak berdagang di mana sahaja dan dengan siapa sahaja. Akibat perkembangan Revolusi Perusahaan, British memerlukan negeri China sebagai pasaran kepada barang-barang keluaran industri mereka serta untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya teh dan sutera. Bagi British, perdagangan dianggap sebagai hak manakala China menganggapnya sebagai keistimewaan yang diberi dan boleh ditarik balik jika difikirkan perlu.
        China bersikap anti perdagangan asing. Mereka menganggap perdagangan asing tidak penting kerana keperluan dalam negeri khususnya makanan mencukupi disebabkan pertanian merupakan punca utama ekonomi China. Dalam susunlapis masyarakat China, peniaga/pedagang merupakan golongan yang terendah dan kegiatan perdagangan atau perniagaan sebagai pekerjaan yang hina. Malah orang-orang Cina yang berdagang dengan orang-orang asing dianggap sebagai pengkhianat. Akibat daripada itu, China telah mengenakan pelbagai sekatan ke atas perdagangan asing. Sekatan-sekatan ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati pedagang-pedagang asing.
        Mengikut perintah diraja 1757 yang dikeluarkan oleh Maharaja Chien Lung, pedagang-pedagang asing hanya dibenarkan berdagang di Canton. Pedagang-pedagang asing di Canton telah dikenakan pelbagai sekatan. Mereka hanya dibenarkan berada di Canton dalam musim perdagangan dari bulan Oktober hingga Januari. Di luar musim perdagangan, pedagang-pedagang asing dikehendaki meninggalkan Canton. Untuk menjamin mereka tidak menetap di Canton, pedagang-pedagang asing tidak dibenarkan membawa keluarga mereka. Keluarha mereka mesti ditinggalkan di Macau (wilayah Portugis). Mereka juga tidak boleh bergerak bebas kecuali pada 8, 18 dan 28 hari bulan tiap-tiap bulan dalam musim perdagangan. Selain itu, pedagang-pedagang asing tidak boleh berdagang secara langsung dengan orang Cina. Perdagangan mesti dijalankan melalui cohong yang dianggotai oleh 13 pegawai dan ketuanya bergelar Hoppo. Cohong mempunyai kuasa penuh dalam perdagangan asing seperti memberi kebenaran berdagang, kebenaran menggunakan sungai, menetapkan harga dan cukai, menentukan jenis perdagangan dan sebagainya. Malah hubungan antara orang asing dengan Kerajaan China mesti dijalankan melalui cohong.
        Pedagang-pedagang asing mahu berdagang di bahagian-bahagian lain di China selain di Canton. Mereka mahu berdagang secara bebas dan mendapatkan harga yang berpatutan bagi barang-barang China. Tindakan cohong mengenakan cukai dan harga yang tinggi serta tidak tetap menimbulkan perasaan tidak puas hati pedagang-pedagang asing. Sekatan China ke atas pedagang asing telah menyebabkan peperangan tidak dapat dielakkan antara British yang merupakan negara progresif, perindustrian dan kapitalis dengan China yang merupakan negara pertanian, tidak progresif dan bersikap anti perdagangan asing.
3.         Sistem keadilan
Dari segi sosial, timbul masalah keadilan kerana konsep keadilan China berbeza dengan konsep keadilan British. Kerajaan China telah mengeluarkan arahan supaya semua orang asing yang berada di China mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan di China. Arahan ini tidak dipersetujui oleh pedagang asing kerana mereka menganggap undang-undang China sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. Contohnya, pada 1784, seorang anak kapal “Lady Hughes” telah dijatuhkan hukuman dicekik sampai mati kerana kesalahannya membunuh secara tidak sengaja seorang rakyat China semasa upacara kehormatan di Whampoa. Hukuman yang sama juga dikenakan kepada Terranova iaitu anak kapal “Emily” pada 1821. Pada 12 Julai 1839, 3 orang British yang mabuk telah membunuh seorang rakyat China iaitu Lin Wei Hsi. Pesuruhjaya Tinggi China di Canton, Lin Tse Hsu telah mengarahkan penguasa perdagangan British Charles Elliot menyerahkan ketiga-tiga orang British yang terlibat dalam pembunuhan tersebut kepada pihak China untuk diadili. Charles Elliot yang menyedari hukuman yang akan dijatuhkan enggan menyerahkan mereka. Sebaliknya beliau membicarakan mereka dan menjatuhkan hukuman penjara. Tindakan Charles Elliot sudah tentu menjejaskan hubungan antara British dan China
        Mengikut undang-undang China, seseorang yang dituduh melakukan kesalahn tetap bersalah sehingga beliau dapat membuktikan dirinya tidak bersalah. Mengikut undang-undang British pula, seseorang yang dituduh melakukan kesalahan tidak bersalah sehingga pihak pendakwa dapat membuktikan beliau bersalah. China mengamalkan undang-undang kumpulan dan tanggungjawab ketua. Mengikut undang-undang kumpulan, jika seseorang melakukan kesalahan, semua anggota dalam kumpulannya bertanggungjawab dan boleh dijatuhkan hukuman. Mengikut undang-undang tanggungjawab ketua, sekiranya anak buah melakukan kesalahan ketuanya juga bertanggungjawab dan juga boleh dijatuhkan hukuman. Undang-undang ini tidak dipersetujui oleh British kerana mereka mengamalkan undang-undang tanggungjawab individu. Hanya mereka yang melakukan kesalahan bertanggungwab di atas kesalahannya dan boleh dijatuhkan hukuman. Di negeri China, tidak ada perbezaan antara undang-undang dan perintah. Perintah pegawai lebih-lebih lagi perintah maharaja sudah dianggap sebagai undang-undang yang mesti dilaksanakan.
4.         Masalah candu
Perdagangan antara British dan China tidak seimbang. British memerlukan barang-barang China terutamanya teh dan sutera tetapi China tidak memerlukan barang-barang British. Akibatnya banyak wang British mengalir ke negeri China. 1780-1790, 14 juta taels  dan 1790-1800,    26 juta taels
Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada British. Untuk mengimbangi perdagangan, British membawa masuk candu dari India dan Turki sejak 1773.
                             Sebelum 1720                 200 peti candu setahun
                             Sebelum 1750                 400 peti candu setahun
                             Sejak 1773                         1000 peti candu setahun
                                       1800                         4500 peti candu setahun
                                       1810                       10000 peti candu setahun
                                       1820                       20000 peti candu setahun
                                       1830                       30000 peti candu setahun
                             1837-1840             40000-60000 peti candu setahun
Kemasukan candu telah menjejaskan negeri China dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik berlaku ketidakcekapan dalam pentadbiran, rasuah serta penyelewengan kerana ramai pegawai kerajaan telah menjadi penagih candu. Dari segi ekonomi banyak wang China mengalir keluar kerana mengimport candu. Nilai import candu telah melebihi nilai eksport barang-barang lain. Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada Kerajaan China. Dari segi sosial, timbul masalah kesihatan dan keruntuhan akhlak kerana ramai rakyat China menjadi penagih candu. Untuk mengatasi masalah ini, beberapa arahan telah dikeluarkan oleh Maharaja Chien Lung (1736-1796), Maharaja Chia Ching (1796-1820) dan Maharaja Tao Kuang (1820-1850) mendesak pedagang-pedagang asing menghentikan perdagangan serta penyeludupan candu. Arahan ini tidak mendapat layanan pedagang-pedagang asing dan mereka enggan menghentikan perdagangan candu yang amat menguntungkan mereka.
        Pada 1 Mac 1839 Maharaja Tao Kuang telah melantik Lin Tse Hsu sebagai Pesuruhjaya Tinggi China di Canton dengan tugas khas untuk menghapuskan perdagangan, penyeludupan dan penggunaan candu. Beliau tiba di Canton pada 10 Mac 1839. Pada 18 Mac 1839, beliau mengeluarkan arahan mendesak pedagang-pedagang asing menghentikan perdagangan serta penyeludupan candu, menyerahkan candu kepada pihak China untuk dimusnahkan dan menandatangani surat sumpah tidak akan menjalankan perdagangan dan penyeludupan candu. Bila arahannya tidak mendapat layanan, Lin Tse Hsu telah mengepung 350 orang pedagang asing yang kebanyakannya terdiri daripada pedagang British termasuk penguasa perdagangan Charles Elliot di Canton. Apabila terdesak, Charles Elliot telah mengarahkan pedagang-pedagang asing menyerahkan candu kepada pihak China. Sebanyak 20283 peti candu diserahkan dan dimusnahkan oleh pihak China. Peristiwa inilah yang memulakan peperangan antara British dengan China. Setiausaha Luar British, Lord Palmestone telah menjadikan peristiwa candu sebagai alasan menyerang China. Ahli-ahli sejarah menganggap masalah candu hanya merupakan faktor segera yang mempercepatkan Perang Candu I. W.E. Soothills dalam bukunya “China and the west” menegaskan “opium was the accidental cause”.
 

Peristiwa peperangan

British mengisytiharkan perang ke atas China pada 31 Januari 1840. Angkatan British diketuai oleh Charles Elliot dan Laksamana George Elliot. Mereka telah menyerang Canton, Amoy, Foochow dan Pulau Chu Shan. Kemaraan tentera British membimbangkan China menyebabkan mereka bersetuju mengadakan rundingan. China diwakili oleh Chi Shan dan British diwakili oleh Charles Elliot. Hasil daripada rundingan tersebut, Konvensi Chuenpi ditandatangani pada 20 Januari 1841. Syarat-syaratnya :
1.           Hong Kong Diserahkan kepada British.
2.           China dikehendaki membayar ganti rugi sebanyak 6 juta taels ke atas candu yang dimusnahkan oleh pihak China.
3.           Hubungan antara British dengan China mesti dijalankan atas dasar sama taraf.
4.           Canton dibuka semula kepada pedagang asing.
Konvensi Chuenpi tidak diterima oleh Setiausaha Luar iaitu Lord Palmestone dan Maharaja Tao Kuang. Akibatnya peperangan antara British dan China berterusan. Pada Ogos 1841, Henry Pottingger menggantikan Charles Elliot. Di bawah Henry Pottingger angkatan British menyerang Canton, Amoy, Foochow, Ningpo, Shanghai dan Chinkiang. Pada 9 Ogos 1842 mereka menyerang Nanking dan berjaya memusnahkannya pada 14 Ogos 1842. Kejatuhan Nanking membimbangkan China menyebabkan mereka bersetuju mengadakan rundingan. Rundingan diadakan di atas kapal perang British Cornwallis sejak 20 Ogos 1842. China diwakili oleh Ki Ying, Nieu Chien dan Illippi. British diwakili oleh Henry Pottingger. Hasil daripada rundingan tersebut, Perjanjian Nanking telah ditandatangani pada 29 Pgos 1842. Syarat-syarat perjanjian ialah :
1.           Hong Kong diserahkan kepada British.
2.           China bersetuju membayar ganti rugi sebanyak 21 juta taels, iaitu 12 juta taels ganti rugi peperangan, 6 juta taels ganti rugi ke atas candu yang dimusnahkan oleh China dan 3 juta taels hutang cohong kepada pedagang-pedagang British.
3.           Sistem monopoli cohong dalam perdagangan asing dihapuskan.
4.           China membuka 5 pelabuhannya kepada pedagang asing iaitu Canton, Amoy, Foochow, Ningpo dan Shanghai.
5.           Konsul British akan ditempatkan di setiap pelabuhan perjanjian.
6.           Pedagang-pedagang asing bebas berdagang sepanjang tahun di pelabuhan-pelabuhan perjanjian.
7.           Hubungan antara British dengan China akan dijalankan atas dasar sama taraf.
8.           Sistem cukai yang tetap dan adil akan dilaksanakan.
9.           Sebarang pindaan ke atas syarat perjanjian perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
10.       Selepas perjanjian ini, sekiranya China memberi sebarang keistimewaan kepada kuasa-kuasa lain, maka British berhak menikmatinya.
 

Kesan-kesan

1.           Merugikan China
Perjanjian Nanking yang ditandatangani pada 29 Ogos 1842 amat merugikan pihak China. China bukan sahaja terpaksa menyerahkan Hong Kong kepada British, malah dikehendaki membayar ganti rugi sebanyak 21 juta taels kepada British, iaitu 12 juta taels untuk ganti rugi peperangan, 6 juta taels untuk ganti rugi ke atas candu yang dimusnahkan oleh pihak China dan 3 juta taels hutang cohong kepada pedagang-pedagang British. Selain itu, China juga terpaksa membuka 5 pelabuhannya kepada pedagang asing, iaitu Canton, Amoy, Foochow, Ningpo dan Shanghai.
2.           Menguntungkan British
Di pihak lain, Perjanjian Nanking amat menguntungkan British. Pihak British bukan sahaja mandapat Hong Kong, malah dibayar ganti rugi sebanyak 21 juta taels yang terdiri daripada 12 juta taels untuk ganti rugi peperangan, 6 juta taels untuk ganti rugi ke atas candu yang dimusnahkan oleh pihak China dan 3 juta taels hutang cohong kepada pedagang-pedagang British. Pada masa yang sama, pedagang-pedagang British juga dibenarkan berdagang sepanjang tahun di pelabuhan-pelabuhan yang dibuka untuk pedagang asing iaitu Amoy, Foochow, Canton, Ningpo dan Shanghai. Di samping itu, China juga menjadi pasaran kepada barangan keluaran industri barat serta tempat untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya the dan sutera.
3.           Perjanjian
Perjanjian Nanking menandakan permulaan kepada termeterainya perjanjian-perjanjian lain antara China dengan kuasa-kuasa barat. Perjanjian Bogus ditandatangani pada 8 Oktober 1843 dengan British yang diwakili oleh Henry Pottingger. Perjanjian Bogus menetapkan cukai import dan eksport sebanyak 5%. Perjanian tersebut juga memberi keistimewaan-keistimewaan tambahan kepada British seperti “Hak Wilayah Asingan” dan “layanan negara yang diutamakan”. Perjanjian Wanghsia ditandatangani pada 3 Julai 1844 dengan Amerika yang diwakili oleh Caleb Kushing. Perjanjian Wanghsia memberi keistimewaan kepada Amerika seperti yang dinikmati oleh British. Perjanjian Whampoa ditandatangani pada 24 Oktober 1844 dengan Perancis yang diwakili oleh Theodore da Lagrini. Perjanjian tersebut memberi keistimewaan kepada Perancis seperti yang dinikmati oleh British dan Amerika. Selain itu, Perancis juga dibenarkan menyebarkan agama Kristian serta mendirikan gereja di pelabuhan-pelabuhan perjanjian. Pada 20 Mac 1847, China menandatangani perjanjian dengan Norway dan Sweden.
4.           Cohong
Perjanjian Nanking telah menamatkan sistem monopoli cohong dalam perdagangan asing. Pedagang-pedagang asing bebas menjalankan perdagangan secara langsung dengan pihak China. Sebelum Perang Candu, pedagang-pedagang asing terpaksa berdagang melalui cohong yang mempunyai kuasa penuh dalam perdagangan asing seperti memberi kebenaran berdagang, menetapkan cukai dan sebagainya.
5.           Persamaan taraf
Buat pertama kalinya China terpaksa menerima konsep persamaan taraf dalam hubungannya dengan kuasa-kuasa barat. Sebelum Perang Candu, orang-orang Cina menganggap negeri China sebagai “Middle Kingdom” atau “Chung Koa” yang lebih bertamadun. Orang-orang asing merupakan Barbarian yang tidak bertamadun.
6.           Tidak menyelesaikan masalah
Perjanjian Nanking hanya menamatkan peperangan antara British dengan China tetapi tidak menyelesaikan masalan dalam hubungan antara mereka. Hubungan natara mereka tetap runcing sehingga mengakibatkan perang yang kedua pada 1856-1860 yang dikenali sebagai Perang Candu Kedua atau Perang Arrow.
7.           Candu
Orang-orang Cina mendakwa perjanjian tersebut berlaku kerana masalah candu. Walau bagaimanapun dalam Perjanjian Nanking, tidak terdapat syarat yang berkaitan dengan perdagangan Candu. Candu terus dibawa masuk dengan kadar yang lebih banyak.
                            1843 – 33000 peti
                            1848 – 46000 peti
                            1850 – 52929 peti
Kemasukan candu menjejaskan China dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik, berlaku ketidakcekapan dalam pentadbiran, rasuah serta penyelewengan kerana ramai pegawai kerajaan telah menjadi penagih candu. Dari segi ekonomi, banyak wang China mengalir keluar kerana mengimport candu. Nilai import candu telah melebihi nilai eksport barang-barang lain. Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada Kerajaan China. Dari segi sosial, timbul masalah kesihatan dan keruntuhan akhlak kerana rakyat China telah menjadi penagih candu. Desakan China supaya British menghentikan perdagangan candu dan keengganan British untuk mematuhi arahan China telah meruncingkan hubungan antara mereka.


8.           Perkembangan perdagangan
Pembukaan 5 pelabuhan China kepada pedagang asing serta keistimewaan-keistimewaan yang diberi telah mengakibatkan perkembangan perdagangan asing di China. Negeri China telah menjadi pasaran barang-barang keluaran industri barat serta tempat untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya teh dan sutera. Perkembangan perdagangan terbukti daripada pertambahan nilai eksport. Contohnya, eksport teh pada 1850 telah meningkat ₤100 juta.
9.           Krisis ekonomi
Perang Candu telah menyebabkan negeri China mengalami krisis ekonomi. China terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menghadapi peperangan serta bayaran ganti rugi. Kemasukan barang-barang barat telah menjejaskan pasaran barang-barang tempatan. Akibatnya, banyak industri tempatan terpaksa ditutup. Kemasukan candu meruncingkan lagi masalah ekonomi negeri China. Bagi mengatasi masalah ekonomi, China telah marayu supaya British mengurangkan bayaran ganti rugi. Keengganan British untuk berbuat demikian telah menjejaskan hubungan antara mereka.
10.       Pengaruh barat
Pembukaan pelabuhan China kepada orang asing telah mengakibatkan kemasukan pengaruh barat. Ramai rakyat China terutamanya golongan muda di pelabuhan-pelabuhan perjanjian telah terpengaruh dengan budaya barat. Selain itu, berlaku perkembangan agama Kristian di pelabuhan-pelabuhan perjanjian.
11.       Menjatuhkan maruah Manchu
Buat pertama kalinya China telah dikalahkan oleh kuasa-kuasa barat. Kekalahan ini telah menjatuhkan maruah negeri China serta menghilangkan keyakinan orang ramai terhadap pemerintahan Dinasti Manchu. Kekalahan ini mendedahkan kelemahan Manchu sehingga mengakibatkan bertambahnya gerakan anti-Manchu, terutamanya di wilayah selatan. Antara gerakan anti-Manchu ialah Pemberontakan Taiping, Pemberontakan Nien dan Pemberontakan Muslim.
12.       Permulaan kepada bertapaknya kuasa asing
Perjanjian Nanking menandakan permulaan kepada bertapaknya kuasa asing di China. Mengikut perjanjian ini, 5 pelabuhan China dibuka kepada pedagang asing, iaitu Amoy, Ningpo, Shanghai, Foochow dan Canton. Seterusnya dalam perjanjian Tientshin pada 26 Jun 1858, 11 lagi pelabuhan China dibuka kepada perdagangan asing iaitu Newchwang, Tungchow, Chefoo, Chinkiang, Hankow, Kiukiang, Swatow, Tainan, Tanshui, Kiungchow dan Nanking.
13.       Dasar isolasi
Selepas Perjanjian Nanking ditandatangani, China terpaksa menamatkan dasar isolasinya yang diamalkan selama ini. Sejak itu, China mula melaksanakan dasar buka pintu kepada orang-orang asing yang kebanyakannya terdiri daripada pedagang.
14.       Penghijrahan
Selepas Perang Candu, ramai rakyat China mula berhijrah ke seberang laut, terutamanya ke Asia Tenggara. Penghijrahan rakyat China semakin hebat bila British menjalankan perdagangan kuli bagi memenuhi keperluan tenaga buruh di Asia Tenggara. Orang-orang sanggup berhijrah kerana mereka telah hilang keyakinan terhadap Kerajaan Manchu serta untuk melarikan diri daripada penderitaan di negeri China.
15.       Pengajaran
Buat pertama kalinya China terpaksa menerima hakikat bahawa kuasa-kuasa barat lebih superio daripada China. Sarjana-sarjana China telah mencadangkan supaya China meniru teknik-teknik barat dalam usaha untuk menguatkan negeri China. Contohnya Wei Yuan dalam bukunya “Hai Koa Tu Chih” mencadangkan supaya China meniru teknik-teknik barbarian dalam usaha untuk mengalahkan barbarian. Pendapat ini disokong oleh sarjana-sarjana lain seperti Liang Ting Nan dalam bukunya “Ro Chung Kao Shuo” dan “I Fen Chi Wan” dan Hsu Chi Yu dalam bukunya “Ying Huan Chih Luah”. 


Perang Candu 2 (1856-1860)
 
Pengenalan
Pada tahun 1839-1842 berlaku peperangan antara British dengan China yang dikenali sebagai Perang Candu Pertama. Peperangan ini ditamatkan dengan termeterainya Perjanjian Nanking pada 29 Ogos 1842. Perjanjian Nanking hanya menamatkan peperangan tetapi tidak menyelesaikan masalah dalam hubungan antara China dan British. Hubungan antara mereka tetap runcing sehingga mengekibatkan peperangan yang kedua pada 1856-1860 yang dikenali sebagai Perang Candu Kedua atau Perang Arrow.
 
Sebab-sebab
1.         Kelemahan Perjanjian Nanking
Ahli-ahli sejarah seperti Fairbank, Paul H. Clyde dan Burton F. Beers mendakwa kelemahan Perjanjian Nanking merupakan faktor utama meletuskan peperangan yang kedua antara China dengan British pada 1856-1860. Keengganan China untuk mematuhi syarat-syarat Perjanjian Nanking dan tindakan British untuk memaksa China mematuhinya serta menuntut keistimewaan-keistimewaan tambahan telah meruncingkan hubungan antara China dan British.
a.       Masalah Amoy dan Ningpo
Mengikut Perjanjian Nanking 1842, China membuka 5 pelabuhannya kepada pedagang asing iaitu Canton, Amoy, Foochow, Ningpo dan Shanghai. Walau bagaimanapun, selepas perjanjian tersebut ditandatangani, British mendapati Amoy dan Ningpo tidak sesuai dari segi perdagangan. Oleh itu, mereka telah mendesak China menukar pelabuhan-pelabuhan tersebut dengan pelabuhan-pelabuhan lain yang lebih sesuai. Selain itu, British berhasrat untuk mengembangkan kegiatan perdagangan ke seluruh China. Mereka tidak mahu kegiatan perdagangan hanya tertumpu di 5 pelabuhan perjanjian. Oleh itu, mereka telah mendesak China membuka lebih banyak pelabuhan kepada pedagang asing. Kehendak British tidak dipersetujui oleh China kerana mereka menganggap negeri China telah memberi terlalu banyak keistimewaan kepada kuasa-kuasa barat. Keengganan China untuk memenuhi kehendak British dan tindakan British untuk memaksa China memenuhi tuntutan mereka sudah tentu meruncingkan hubungan antara China dan British.

b.      Masalah Canton dan Foochow
Mengikut Perjanjian Nanking, pedagang-pedagang asing diberi kebebasan berdagang di kesemua 5 pelabuhan perjanjian. Walau bagaimanapun, pedagang-pedagang asing masih lagi dikenakan sekatan-sekatan dan tekanan-tekanan terutamanya di Canton dan Foochow. Keadaan ini berlaku kerana sikap anti asing penduduk tempatan lebih-lebih lagi kerana mereka dipengaruhi oleh pegawai-pegawai sarjana yang merasai kepentingan mereka terjejas akibat kehadiran barat. Selain itu, Maharaja China yang baru menaiki takhta pada 1850 iaitu Hsien Feng dan Pesuruhjaya Tinggi China yang baru dilantik pada 1852 iaitu Yeh Ming Chen juga bersikap anti asing. Penduduk-penduduk tempatan telah memulaukan barang-barang barat. Selain itu, berlaku di Canton pada 1843 dan 1846 iaitu John Davies telah mengarahkan kapal perang British membedil Canton. Sebagai tindak balas, pihak China telah membunuh 6 orang rakyat British. Peristiwa ini sudah tentu meruncingkan hubungan antara China dengan British.
c.       Masalah candu
Orang-orang cina mendakwa peperangan British dengan China 1839-1842 berlaku kerana masalah candu. Walau bagaimanapun, Perjanjian Nanking, tidak terdapat sebarang syarat yang berkaitan dengan perdagangan candu. Candu terus dibawa masuk ke negeri China dengan kadar yang lebih banyak.
          1843 – 33000 peti
          1848 – 46000 peti
          1850 – 52929 peti
Kemasukan candu menjejaskan China dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik, berlaku ketidakcekapan dalam pentadbiran, rasuah serta penyelewengan kerana ramai pegawai kerajaan telah menjadi penagih candu. Dari segi ekonomi, banyak wang China mengalir keluar kerana mengimport candu. Nilai import candu telah melebihi nilai eksport barang-barang lain. Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada Kerajaan China. Dari segi sosial pula, timbul masalah kesihatan dan keruntuhan akhlak kerana ramai rakyat China yang menjadi penagih candu. Desakan China supaya British menghentikan perdagangan candu dan keengganan British mematuhi arahan China telah meruncingkan hubungan antara mereka.
d.      Cohong
Mengikut Perjanjian Nanking, sistem monopoli cohong dalam perdagangan asing dihapuskan. Walau bagaimanapun, pada tahun 1840-an dan 1850-an terdapat usaha pihak penguasa China untuk menghidupkan kembali sistem cohong di mana bekas anggota cohong diberi monopoli dalam perdagangan teh. Tindakan ini mendapat bantahan pedagang-pedagang asing terutamanya pedagang British kerana mereka menganggap kewujudan semula sistem cohong akan menjejaskan perdagangan asing, lebih-lebih lagi ramai di antara mereka terlibat dalam perdagangan teh.
e.       Hubungan diplomatik
Mengikut Perjanjian Nanking, China bersetuju untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa barat atas dasar sama taraf. Syarat ini kemudiannya tidak dipersetujui oleh China kerana mereka menganggap tindakan tersebut akan menjatuhkan maruah China. Orang-orang China masih menganggap negara China sebagai “Middle Kingdom” atau “Chung Kao" yang lebih bertamadun. Orang-orang asing masih dianggap sebagai barbarian, gasar atau “fan kwae” iaitu hantu-hantu asing yang tidak bertamadun. Kedatangan orang asing masih lagi dianggap sebagai kehadiran wakil negara pembayar ufti yang mahu tunduk di bawah kekuasaan China. Pada 1849, Setiausaha Luar British Lord Palmerston telah mengutus surat kepada Maharaja Toa Kuang mendesak China mewujudkan hubungan diplomatik dengan British. Walau bagaimanapun, surat ini tidak mendapat layanan pihak China. Sehingga tahun 1856, tidak terdapat sebarang kuasa barat yang berjaya mewujudkan diplomatik dengan China.
f.        Krisis ekonomi
Perang Candu pertama telah menyebabkan negeri China mengalami krisis ekonomi. China terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menghadapi peperangan serta bayaran ganti rugi. Kemasukan barang-barang barat telah menjejaskan pasaran barang-barang tempatan. Akibatnya banyak industri tempatan terpaksa ditutup. Kemasukan candu meruncingkan lagi masalah ekonomi negeri China. Bagi mengatasi masalah ekonomi, China telah merayu supaya British mengurangkan ganti rugi. Keengganan British telah menjejaskan hubungan antara mereka.
g.       Mambaharui perjanjian
Bila Brtitish menyedari China tidak mematuhi sepenuhnya syarat-syarat Perjanjian Nanking, mereka telah mendesak China supaya diadakan rundingan bagi mengkaji semua syarat-syarat Perjanjian Nanking. Tindakan ini diambil kerana British dipengaruhi oleh syarat Perjanjian Wanghsia 3 Julai 1844 antara China dengan Amerika dan Perjanjian Whampoa 24 Oktober 1844 antara China dengan Perancis yang menegaskan perjanjian-perjanjian tersebut akan dikaji semula dalam tempoh 12 tahun. British menuntut keistimewaan ini berdasarkan prinsip “layanan negara yang diutamakan”. Sekiranya keistimewaan ini dinikmati oleh British, bermakna Perjanjian Nanking perlu dikaji semula pada 1854. British mahu mengkaji semula syarat-syarat Perjanjian Nanking dengan tujuan untuk mendapatkan keistimewaan-keistimewaan tambahan seperti kebebasan berdagang di kawasan pedalaman, Bandar-bandar serta pelabuhan-pelabuhan di pinggir pantai dan juga untuk menempatkan perwakilan diplomatik di Peking. Desakan British supaya China mengkaji semula syarat Perjanjian Nanking dan keengganan China untuk memenuhi kehendak tersebut telah meruncingkan hubungan antara mereka. Pihak China telah mendakwa negeri China telah memberi terlalu banyak keistimewaan kepada kuasa-kuasa barat.
2.         Pembunuhan Augustus Chapdelaine
Pada Februari 1856, seorang mubaligh Perancis iaitu Augustus Chapdelaine telah dibunuh di Sin Lin di wilayah Kwangsi atas tuduhan mempengaruhi penduduk tempatan menentang pemerintahan Manchu. Pembunuhan ini telah melanggar prinsip “Hak Wilayah Asingan” yang diberikan kepada Perancis dalam Perjanjian Whampoa 1844. Akibatnya Perancis menyertai British untuk memerangi China dengan tujuan untuk menuntut bela di atas kematian Augustus Chapdelaine. Selain itu, Perancis mahu mengalahkan China dengan tujuan untuk mendapatkan keistimewaan-keistimewaan lain di China.
3.         Kuasa lain
Selain British dan Perancis, peperangan 1856-1860 juga disertai oleh Amerika dan Rusia. Angkatan Amerika dipimpin oleh William Reed dan angkatan Rusia dipimpin oleh Count Putyatin. Mereka menyertai peperangan dengan tujuan untuk mendapatkan keistimewaan-keistimewaan di China sekiranya berjaya mengalahkan negeri China. Selain itu, mereka mahu menjamin kejayaan British kerana kekalahan British bukan sahaja akan menjejaskan kepentingan British, tetapi juga kepentingan kuasa-kuasa barat lain di China.
4.         Peristiwa “Arrow”
Pada 8 Oktober 1856, polis peronda China atas arahan Pesuruhjaya Tinggi Yeh Min Chen telah menaiki kapal “Arrow” dan menangkap 12 daripada 14 anak kapalnya atas tuduhan terlibat dalam penyeludupan dan pelanunan. Kapal “Arrow” kepunyaan seorang saudagar China yang didaftarkan di Hong Kong. Nahkodanya seorang British dan kapal ini mengibarkan bendera “Union Jack”. Tindakan polis peronda China dianggap menjatuhkan British lebih-lebih lagi bendera “Union Jack” diturunkan. Gabenor Hong Kong, iaitu Sir John Bowring telah mengarahkan konsul British di Canton Harry Parkes mendesak Yeh Min Chen membebaskan anak kapal “Arrow” dan memohon maaf secara rasmi daripada British. Walaupun anak kapal “Arrow” kemudiannya dibebaskan tetapi Yeh Min Chen enggan memohon maaf. Ahli-ahli sejarah seperti Fairbank, Paul H. Clyde dan Burton F. Beers menganggap peristiwa “Arrow” sebagai faktor segera yang mengakibatkan peperangan antara British dengan China 1856-1860.
 
Peristiwa peperangan
Berikutan daripada peristiwa Arrow, angkatan British di bawah Laksamana Seymour menyerang Canton pada 23 Oktober 1856. Walau bagaimanapun, serangan ke atas China kemudiannya dihentikan kerana tidak mendapat kebenaran Kerajaan British dan juga kerana berlakunya Dahagi India pada Mei 1857 di mana tentera British terpaksa dikerahkan ke India. Bila keadaan di India telah reda, serangan ke atas China diteruskan. Angkatan British dipimpin oleh Lord Elgin, Perancis oleh Baron Gros, Amerika oleh William Reed dan Rusia oleh Count Putyatin. Pada 29 Disember 1857, mereka menyerang Canton. Pada April 1858, angkatan barat menyerang Shanghai. Pada 20 Mei 1858, angkatan barat memusnahkan kubu China di Taku dan seterusnya menawan Tientsin. Kejatuhan Tientsin menyebabkan China bersetuju mengadakan rundingan. Pihak China diwakili oleh Kuei Ling dan Hu Shana manakala pihak barat diwakili oleh Lord Elgin (British), Baron Gros (Perancis), William Reed (Amerika) dan Count Putyatin (Rusia). Hasil daripada rundingan tersebut, Perjanjian Tientsin ditandatangani pada 26 Jun 1858. Syarat-syaratnya ialah :
1.           China bersetuju mengadakan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf dengan kuasa-kuasa barat. Perwakilan diplomatik akan ditempatkan di Peking.
2.           11 pelabuhan China dibuka kepada pedagang asing iaitu Newchwang, Nanking, Kiukiang, Chinkiang, Swatow, Tainan, Tanshui, Hankow, Kiungchow, Tungchow dan Chefoo.
3.           Mubaligh diberi kebebasan untuk menyebarkan agama Kristian dan mereka mendapat perlindungan dari China.
4.           Orang asing yang mempunyai passport yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa China diberi kebenaran untuk meneroka kawasan pedalaman China.
5.           Kapal perdagangan asing dibenarkan belayar di sepanjang Sungai Yangtze hingga ke Hankow.
6.           Perdagangan candu dibenarkan dan cukai ke atas candu ditetapkan sebanyak $21.60 satu peti.
7.           Cukai import dan eksport ditetapkan sebanyak 5%.
8.           Kuasa asing diberi kebenaran untuk menempatkan konsul mereka di tiap-tiap pelabuhan perjanjian.
9.           Kapal perang asing dibenarkan berlabuh di semua pelabuhan China dengan tujuan untuk dibaiki ataupun mendapat bekalan.
10.       China bersetuju membayar ganti rugi sebanyak 4 juta taels kepada tiap-tiap kuasa barat yang terlibat dalam Perang Arrow.
11.       Kuasa asing mendapat “Hak Wilayah Asingan”
12.       China tidak akan menyekat penghijrahan rakyatnya ke seberang laut.
13.       Kowloon diserahkan kepada British.
Selepas Perjanjian Tientsin ditandatangani angkatan barat kembali ke Hong Kong. Maharaja Hsien Feng mengarahkan panglimanya Sengko Lin Chin membina semula kubu China di Taku yang telah dimusnahkan oleh pihak barat. British menganggap tindakan China sebagai percubaan tidak mahu mematuhi syarat-syarat Perjanjian Tientsin. Akibatnya angkatan British di bawah Lord Elgin dan angkatan Perancis di bawah Baron Gros telah mara ke utara. Mereka mendapat bantuan daripada Jeneral Hope Grant (British) dan Jeneral De Moutouban (Perancis). Pada Ogos 1860 mereka berjaya menawan Tientsin. Pada Oktober 1860, mereka menyerang Peking dan memusnahkan “Istana Musim Panas”. Maharaja Hsien Feng melarikan diri ke Jehol. Pihak China kemudiannya bersetuju mengadakan rundingan. Mengikut rundingan tersebut, China diwakili oleh Putera Kung, British diwakili oleh Lord Elgin dan Perancis oleh Baron Gros. Hasil daripada rundingan tersebut, Perjanjian Peking ditandatangani pada 24 Oktober 1860. Syarat-syaratnya ialah :
1.           China bersetuju membayar ganti rugi sebanyak 2 juta taels kepada British dan 2 juta taels kepada Perancis. British akan menduduki Tientsin sehingga bayaran ganti rugi diselesaikan.
2.           Tientsin dibuka kepada pedagang asing.
3.           Pulau Stone Cutter diserahkan kepada British.
4.           Mubaligh diberi kebenaran untuk membeli atau menyewa tanah serta membina bangunan di China.
5.           China tidak akan menyekat penghijrahan rakyatnya ke seberang laut.
6.           Perjanjian ini mengesahkan semua perjanjian yang telah ditandatangani antara China dengan kuasa-kuasa barat.
 
Kesan-kesan
1.           Menyedarkan China barat lebih superior
Kekalahan China dalam Perang Candu kedua merupakan kekalahan kedua mereka kepada kuasa-kuasa barat dalam tempoh 2 dekad. Kekalahan inimenyedarkan mereka bahawa barat lebih superior daripada China. Buktinya mereka mula meniru teknik-teknik barat untuk dilaksanakan di negeri China. Pemimpin-pemimpin China seperti Tseng Kao Fan, Tso Tsung Tang dan Li Hung Chang telah meniru idea-idea barat dalam politik, ekonomi dan sosial untuk dilaksanakan dalam Rancangan Pembaharuan “Gerakan Memperkuatkan Diri 1864-1894”.
2.           Merugikan China
Perjanjian Tientsin dan Perjanjian Peking yang ditandatangani amat merugikan pihak China. China terpaksa membayar ganti rugi sebanyak 2 juta taels kepada kuasa-kuasa barat yang terlibat dalam Perang Arrow. Dalam Perjanjian Tientsin misalnya ganti rugi sebanyak 4 juta taels telah dibayar kepada setiap kuasa barat, iaitu Perancis, Rusia, Amerika dan British. Dalam Perjanjian Peking pula, British dan Perancis masing-masing dibayar ganti rugi sebanyak 2 juta taels lagi. Selain bayaran ganti rugi, China juga terpaksa menanggung perbelanjaan perang yang banyak. Kemasukan barangan barat pula menjejaskan industri tempatan sehingga banyak yang terpaksa ditutup. Kemasukan candu telah merugikan lagi pihak China.
3.           Menguntungkan British
Di pihak British pula, Perjanjian Tientsin dan Perjanjian Peking amat menguntungkan mereka. Mereka telah mendapat ganti rugi sebanyak 6 juta taels iaitu 4 juta taels di bawah Perjanjian Tientsin dan 2 juta taels lagi di bawah Perjanjian Peking. Selain itu mereka juga mendapat Kowloon dan Pulau Stone Cutter. Tambahan pula, mereka juga diberi kebenaran yang lebih luas untuk berdagang di pelabuhan-pelabuhan perjanjian. Di samping itu, China juga menjadi pasaran kepada barangan keluaran industri barat serta tempat untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya teh dan sutera.
4.           Menguntungkan kuasa-kuasa lain
Selain British, Perjanjian Tientsin dan Perjanjian Peking juga menguntungkan kuasa-kuasa barat yang lain termasuklah Perancis, Rusia dan Amerika. Di bawah Perjanjian Tientsin misalnya setiap kuasa tersebut telah dibayar ganti rugi sebanyak 4 juta taels manakala dalam Perjanjian Peking, Perancis telah dibayar ganti rugi tambahan sebanyak 2 juta taels. Selain itu, kuasa-kuasa barat ini juga dibenarkan berdagang sepanjang tahun di pelabuhan-pelabuhan perjanjian. China kemudiannya turut menjadi pasaran kepada barangan keluaran industri barat serta tempat untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya teh dan sutera.
5.           Lahir dua golongan
Peperangan Arrow telah mengakibatkan lahirnya 2 golongan dalam masyarakat China iaitu golongan pro barat dan golongan anti barat. Golongan pro barat meniru idea-idea barat untuk dilaksanakan di negeri China manakala golongan anti barat menjalankan kegiatan menentang kegiatan orang barat serta pengaruh mereka di China. Contohnya pada 21 Jun 1870, mereka telah menyerang rumah kanak-kanak yatim Kristian di Tientsin menyebabkan 20 orang terbunuh termasuk 10 rahib wanita. Pada tahun 1875, Raymond Margary serta 5 orang Cina yang menjadi pengikutnya telah dibunuh semasa menjalankan penyelidikan untuk mencari jalan darat dari Myanmar ke China.
6.           Hubungan diplomatik
Selepas Perang Arrow, China mula mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf dengan kuasa-kuasa barat. Bagi menguruskan hubungan dengan kuasa-kuasa barat, Pejabat Hal Ehwal Luar yang dikenali sebagai Tsungli Yamen telah diwujudkan pada 11 Mac 1861. Sejak tahun 1861, duta-duta asing mula ditempatkan di Peking. Antara mereka ialah Anson Burlingame (duta Amerika), Frederick Bruce (British), M. Buthemy (Perancis) dan De Balluseck (Rusia). Pada tahun 1866, dengan bantuan Robert Hart, satu perwakilan China yang diketuai oleh Pin Chun telah dihantar ke Eropah. Pada tahun 1868 dengan bantuan Anson Burlingame, satu perwakilan China yang diketuai oleh Chih Kong dan Sun Chia Ku telah dihantar ke Amerika. Perwakilan ini kemudiannya melawat negara-negara Eropah. Sejak tahun 1877, duta-duta China mula ditempatkan di negara-negara asing seperti di Amerika, British, Perancis, Jerman, Rusia, Sweden, Sepanyol dan lain-lain lagi.
7.           Pengaruh barat
Pembukaan lebih banyak pelabuhan China dan keistimewaan-keistimewaan yang diberi kepada pedagang asing telah mengakibatkan kemasukan pengaruh barat di negeri China. Ramai rakyat China telah terpengaruh dengan budaya barat. Kebebasan yang diberi kepada mubaligh-mubaligh telah menyebabkan ramai rakyat China terutamanya golongan muda di pelabuhan-pelabuhan perjanjian memeluk agama Kristian.
8.           Penglibatan orang barat
Sejak tahun 1861, ramai orang barat terlibat dalam hal ehwal pentadbiran orang Cina. Mereka dilantik untuk membantu China memodenkan pentadbiran mengikut sistem pentadbiran barat. Semasa pelaksanaan “Gerakan Memperkuatkan Diri”, pihak China telah mengambil ramai pegawai barat untuk memodenkan China dari segi politik, ekonomi dan sosial. Antara mereka ialah Robert Hart, Horatio N. Lay dan W.A.P. Martin.
9.           Menjatuhkan maruah
Kekalahan dalam perang Arrow merupakan kekalahan kedua Manchu kepada kuasa-kuasa barat dalam tempoh 2 dekad. Kekalahan ini telah menjatuhkan maruah Manchu serta menghilangkan keyakinan orang ramai terhadap Kerajaan Manchu. Kekalahan ini juga mendedahkan kelemahan tentera serta kerendahan imej mereka. Akibatnya gerakan anti Manchu semakin bertambah terutamanya di kawasan selatan. Orang-orang China menganggap Kerajaan Manchu telah kehilangan mandat untuk memerintah negeri China. Antara pemberontakan itu termasuklah Pemberontakan Taiping, Pemberontakan Nien dan Pemberontakan Muslim.
10.       Krisis ekonomi
Perang Arrow telah menyebabkan negeri China mengalami krisis ekonomi. China terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menghadapi peperangan serta bayaran ganti rugi. Kemasukan barang-barang barat telah menjejaskan pasaran barang-barang tempatan. Akibatnya banyak industri tempatan terpaksa ditutup. Kemasukan candu meruncingkan lagi masalah ekonomi di China.
11.       Penghijrahan
Selepas Perang Arrow, ramai rakyat China mula berhijrah ke seberang laut, terutamanya ke Asia Tenggara. Penghijrahan rakyat China semakin hebat bila British menjalankan perdagangan kuli bagi memenuhi keperluan tenaga buruh di Asia Tenggara. Tambahan pula, Kerajaan China juga tidak menyekat penghijrahan rakyatnya ke seberang laut selepas termeterainya Perjanjian Tientsin dan Perjanjian Peking. Orang-orang China sanggup berhijrah kerana mereka telah hilang keyakinan terhadap Kerajaan Manchu serta untuk melarikan diri daripada penderitaan di China.
 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...