TEMA 2
BAB 5:Penjelajahan & campur tangan Barat
Perang Inggeris-Burma Ketiga, 1885Pengenalan
Seperti yang diketahui, negeri Myanmar telah pun menghadapi 2 kali peperangan dengan British yang berkesudahan Myanmar kehilangan wilayah-wilayah Arakan, Tennasserim dan Myanmar Selatan. Sungguhpun demikian, pemimpin dan raja Myanmar belum lagi sedar akan pengalaman pahit yang mereka rasai. Mereka terus ingin mempertahankan maruah dan berusaha mendapatkan semula wilayah yang ditawan oleh British. Bagi British, mereka memanglah mempunyai rancangan yang seterusnya iaitu menguasai Myanmar Utara. Bagi British, Myanmar Utara mempunyai kepentingan politik dan ekonomi. Akhirnya, kedua-dua pihak telah berperang bagi kali ketiga pada tahun 1885.
Sebab-sebab berlaku peperangan
1. Kegagalan mengadakan hubungan diplomatik
Pihak British merasa perlu diadakan hubungan diplomatik dengan Myanmar demi menjamin kepentingan politik dan ekonomi. Tetapi pihak British gagal dalam tujuan tersebut memandangkan terjadinya hubungan yang runcing antara kedua-duanya. Hubungan yang runcing telah pun berlaku sejak pemerintahan Raja Mindon yang berpunca dari segi masalah kasut, masalah wilayah Kareni Barat dan hubungan baik dengan Perancis. Hubungan antara kedua-duanya menjadi semakin serius apabila Raja Thibaw (1878-1886) menaiki takhta. Beliau bersifat anti-British dan meneruskan hubungan dengan Perancis. Akibatnya pada akhir tahun 1879, Kerajaan India menarik balik residensinya dari Myanmar Utara. Dengan ini tidak ada lagi saluran rasmi untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan kedua-dua kerajaan itu. Memandangkan hal ini, Kerajaan Myanmar cuba mengadakan hubungan secara langsung.
2. Kekacauan politik di Myanmar Utara
Raja Thibaw seorang raja yang lemah tetapi zalim. Baginda tunduk di bawah pengaruh permaisuri yang jahat iaitu Permaisuri Supayalat. Sebaik sahaja baginda berkuasa, baginda telah melakukan pembunuhan ke atas kerabat diraja yang dianggap menjadi ancaman kepadanya. Tindakan baginda telah menimbulkan rasa dendam terhadap kerabat diraja yang terlibat. Pada tahun 1880, seorang saudara Thibaw sendiri yang berlindung di Calcutta kembali ke Myanmar dan melancarkan satu pemberontakan. Percubaan itu gagal dan beliau melarikan diri ke wilayah British. Kerajaan Myanmar telah menuduh British campur tangan dalam pemberontakan tersebut dan hal ini memburukkan lagi hubungan antara mereka.
Kekacauan yang berlaku juga disebabkan oleh pemberontakan oleh suku kaum Syan dan Kachin. Pada tahun 1884, orang Kachin telah melakukan pemberontakan di Utara dan perompak Cina telah menyerang Bhamo. Dengan danya kekacauan dan peristiwa pembunuhan, saudagar dan golongan ugama telah mendesak India supaya campur tangan. Bagi saudagar, kekacauan yang terus-menerus mengganggu perjalanan perdagangan mereka.
3. Desakan saudagar British
Selain Raja Thibaw, terdapat beberapa orang pegawai Myanmar yang anti-British. Akibatnya berlaku penindasan ke atas rakyat British terutama golongan saudagar. Pihak Myanmar telah mengenakan syarat-syarat yang ketat terhadap urusan perdagangan. Mereka tidak lagi melaksanakan perjanjian-perjanjian 1862 dan 1867 yang dibuat oleh Raja Mindon dengan British. Tekanan-tekanan yang dikenakan oleh Kerajaan Myanmar menyebabkan saudagar British membuat bantahan kepada India dan mendesak supaya diambil tindakan terhadap Myanmar. Selain itu, Myanmar Utara juga mempunyai kepentingan dari segi perdagangan. Sebuah syarikat iaitu Manchester Chamber of Commerce ingin menjadikan Myanmar sebagai pasaran baru bagi perusahaan kapasnya. Sejak tahun 1860, syarikat tersebut mendesak Kerajaan India membuka jalan perdagangan Moulmein-Yunnan yang dapat menghubungkan Myanmar dengan China. Untuk menjayakan rancangan ini, British terpaksa menguasai Myanmar Utara. Seterusnya, golongan saudagar British juga menyokong pengambilan seluruh Myanmar kerana ini akan membawa kepada keuntungan yang besar. Golongan saudagar telah banyak menanam modal di Lembah Irrawaddy, Arakan dan Tennasserim. Perniagaan ini perlu diberi perlindungan dan ini hanya terjadi jika Myanmar Utara diletakkan di bawah pentadbiran British. Atau setidak-tidaknya memaksa Myanmar Utara memberi beberapa hak istimewa kepada saudagar British.
4. Tekanan pengaruh Perancis
Raja Thibaw menyedari bahawa British tidak senang hati dengan kegiatan Perancis di Annam dan Tongking. Baginda menggunakan peluang ini untuk menentang tekanan-tekanan dari Inggeris. Oleh sebab itu, baginda mengambil keputusan untuk meneruskan semula rundingan dengan Perancis yang telah dihentikan sejak pemerintahan Mindon. Pada Mei 1883, baginda menghantar satu perwakilan ke Eropah atas alasan untuk mendapatkan pengetahuan mengenai perkilangan dan sains. Tetapi ternyata tujuan perwakilan itu ialah untuk mendapat bantuan senjata dari Perancis. Pada tahun 1884, Myanmar dan Perancis telah bersetuju secara sulit di mana Perancis akan menghantar alat-alat senjata ke Myanmar setelah tamatnya peperangan di Indo-China dan sebagai balasan Perancis akan dibenarkan mengusahakan lombong permata dan diberi beberapa hak istimewa yang lain. Persetujuan sulit tersebut diketahui oleh British. Hal ini benar-benar membimbangkan British kerana ini membuktikan dengan jelas juga usaha Thibaw untuk menghapuskan kepentingan British di Myanmar.
Kemuncak hubungan Myanmar-Perancis ialah bila pada tahun 1886 ditandatangani perjanjian yang memberi kemudahan yang luas kepada Perancis. Seorang Konsol Perancis dilantik di Mandalay. M. Ilaas telah dilantik sebagai Konsol Perancis yang pertama ke Myanmar. Sungguhpun Ilaas dipanggil pulang pada bulan Oktober 1885 dan pihak Perancis memberi jaminan tidak akan merosakkan hubungan dengan British, pihak British tetap curiga. Untuk mengelakkan penglibatan Perancis di Myanmar, British terpaksa menawan Myanmar Utara.
5. Perubahan dasar kerajaan British dan India
Sebab lain yang membantu keputusan Kerajaan India untuk berperang dengan Myanmar ialah berlakunya perubahan pucuk pimpinan dan dasar Kerajaan British di England dan juga Kerajaan India. Pada Jun 1885, di England, Parti Konservatif pimpinan Salisbury telah berjaya mengalahkan Parti Liberal pimpinan Gladstone. Kerajaan baru dari Parti Konservatif telah mengamalkan dasar yang tegas terhadap Myanmar. Begitu juga di India, Gabenor Jeneral Lord Ripon yang bersifat sederhana telah diganti oleh Lord Dufforin yang bersifat lebih radikal.
6. Denda ke atas Syarikat Perdagangan Bombay-Myanmar
Peristiwa tindakan Kerajaan Myanmar mengenakan denda kepada Syarikat Perdagangan Bombay-Myanmar merupakan sebab terakhir yang membawa kepada keputusan Inggeris untuk berperang dengan Myanmar. Syarikat tersebut diberi hak mengambil kayu balak di Ningyan selama 25 tahun dan permit itu telah diperbaharui pada tahun 1884. SPBB telah dituduh mengambil kayu balak yang berlebihan dari had yang ditetapkan. Ia juga dikatakan tidak membayar cukai eksportnya, memberi rasuah kepada pegawai Myanmar dan memberi gaji rendah kepada pekerja bangsa Myanmar. Akibatnya, SPBB didenda sebanyak 2.3 juta rupee. Pihak British meminta supaya masalah itu diselesaikan tetapi cadangan itu ditolak. Oleh sebab itu, Kerajaan India telah menghantar kata dua kepada Raja Thibaw bertarikh 22 Oktober 1885. British meminta supaya SPBB diselesaikan melalui orang tengah. Kata dua ini berakhir pada 10 November 1885.
Kata dua dari British tidak mendapat sambutan. Sebahagian besar pegawai Myanmar mendesak Thibaw untuk berperang. Ada juga yang mencadangkan perdamaian. Oleh sebab rasa bongkak, Thibaw telah memberi jawapan kepada British:
a. Baginda bersetuju melucutkan denda ke atas SPBB kalau rayuan diterima.
b. Wakil British dibenarkan menetap di ibu negeri Myanmar tetapi kebebasan bergerak sama seperti dulu.
c. Myanmar akan meneruskan perhubungan dengan Perancis, Itali dan negara lain.
Jawapan itu sampai ke Rangoon pada 9 November tetapi British tidak bersetuju dengan syarat itu. Tanpa memberi sebarang alasan, pada 11 November 1885, Kerajaan India mengisytiharkan perang ke atas Myanmar.
Peristiwa dan kesan peperangan
Apabila setelah peperangan diisytiharkan, Jeneral Prendergast diarahkan menawan Mandalay. Serangan tentera British ternyata tidak mendapat tentangan hebat dari tentera Myanmar. Raja Thibaw yang berada di Mandalay begitu yakin akan kerajaannya kerana beliau menerima berita yang sengaja dipalsukan mengenai kedudukan medan pertempuran. Tetapi setelah tentera British menawan Ava, Raja Thibaw bersetuju menyerah diri. Raja Thibaw bersama isterinya dan pengikutnya dibuang negeri ke India pada 11 Januari 1886. Raja Thibaw mangkat di India pada tahun 1916 dan permaisurinya Supayalat dibenarkan balik ke tanah airnya.
Dengan penaklukan Myanmar Utara bermakna seluruh negeri Myanmar ditakluk oleh British. Kejatuhan Myanmar Utara juga berakhirnya pemerintahan raja-raja dari Dinasti Kombaung yang telah diasaskan oleh Alaungpaya pada tahun 1752. Setelah Raja Thibaw ditangkap dan dibuang negeri ke India, tidak ada tokoh yang layak ditabalkan untuk menjadi raja. Ini terjadi disebabkan tindakan Thibaw yang membunuh kerabat diraja kerana bimbang berlaku rampasan kuasa. Kekosongan ini menyebabkan pemerintahan beraja ditamatkan pada Januari 1886. Dari segi pentadbiran, Myanmar diletakkan di bawah pentadbiran Kerajaan India sehingga tahun 1937.
Penghapusan pemerintahan beraja telah menimbulkan kekacauan buat seketika waktu kerana orang Myanmar menentangnya. Bagi orang Myanmar, “Raja” adalah satu-satunya simbol pengiktirafan kuasa politik Myanmar. Antara tahun 1886-1889, pejuang-pejuang dan gerila-gerila Myanmar menyerang pusat tentera British. Tentera British menghadapi kesukaran untuk menentang mereka kerana ia melibatkan rakyat biasa, ketua-ketua tempatan dan juga pemimpin agama. Sementara itu, Putera Myingun telah menuntut takhta kerajaan bagi Myanmar Utara yang dikosongkan oleh Thibaw dan Putera Limbin pula menuntut kekuasaan ke atas wilayah Syan. Tuntutan itu tidak dihiraukan oleh British. Pihak British telah mengambil masa 4 tahun untuk menenteramkan keadaan dalam negeri. Sungguhpun demikian, perasaan benci dan semangat untuk berjuang terus wujud di kalangan orang Myanmar. Keadaan ini disedari oleh pihak British dan oleh sebab itu, dikenakan beberapa kawalan politik terutama ke atas orang-orang Syan.
Ketika British berkuasa, mereka telah mengadakan beberapa perubahan dalam pentadbiran, ekonomi dan sosial. Sebagai contoh, dalam bidang pentadbiran sistem pemerintahan tradisional ketua-ketua puak (Myothugyi/Thaiktugyi) dimansuhkan dan diganti dengan ketua-ketua kampung. Hal ini bertujuan untuk menghindarkan munculnya semangat anti-British kerana ketua-ketua puak telah memainkan peranan penting dalam berlakunya penentangan terhadap British.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan