Selasa, 15 Februari 2011

SOALAN SEJARAH 2 STPM (MALAYSIA) TEMA 2


TEMA 2 : TRANSFORMASI MASYARAKAT
BAB 7 : KESAN TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA

Gerakan penentangan terhadap campur tangan British di Pahang dan Perak pada pertengahan abad ke-19 menggambarkan perasaan tidak puas hati masyarakat tempatan di negeri- negeri berkenaan. Bincangkan.

Pendahuluan ( 3/2 m)

             Pada bulan Oktober 1887, Sultan Ahmad melantik Hugh Clifford sebagai wakil British di Pahang. Beliau kemudian diganti oleh J.P Rodger pada bulan Oktober 1888 sebagai Residen British di Pahang yang pertama. Selepas campur tangan di Pahang, British mula mengadakan perubahan dalam pertadbiran negeri dengan memperkenalkan beberapa peraturan baru yang secara tidak langsung telah mengancam kedudukan para pembesar dan rakyatnya.  Penentangan ini berkesudahan dengan kebangkitan Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk Bahaman.  Di Perak , mengikut Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, Perak diletakkan di bawah naungan British. Residen pertama British di Perak ialah JWW Birch. Beliau memulakan tugas pada bulan November 1874 . Kehadirannya tidak disenangi oleh Sultan dan pembesar Melayu. Perasaan ini terus berkembang sehingga menimbulkan pakatan menentangnya. Kemuncak penentangan ialah pembunuhan Birch pada 2 November 1875.

Isi (20 m)

A.        Pahang (10 m)

1.            Perasaan tidak puashati sultan akibat kehilangan kuasa politik.

a.         Pengenalan Sistem Residen di Pahang menyebabkan sultan dan pembesar-pembesar kehilangan kuasa. Pihak British telah memperkenalkan perubahan politik di Pahang melalui undang-undang berkaitan dengan undang-undang tanah , sistem kerah dan penghapusan hamba abdi yang diluluskan oleh Majlis Negeri pada 31 Disember  1889.   Sultan  tidak berpuashati kerana  baginda hanya mempunyai ‘nama’ sahaja dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Semua keputusan adalah dibuat oleh Residen JP Rodger. Selain itu, sultan juga murka apabila J.P Rodger memaksa sultan melantik putera sulung baginda  Tengku Mahmud sebagai Pemangku Raja, atas alasan sultan tidak taat kepada Inggeris. Oleh sebab ugutan dan tekanan, sultan terpaksa mengisytiharkan perlantikan itu pada Julai 1889.

b.         Sultan Ahmad mempunyai pengaruh yang besar ke atas pembesar negeri. Jika para pembesar diarah untuk tidak memberi kerjasama sudah tentu ia akan menggagalkan perjalanan Sistem Residen di Pahang. British berjaya memujuk sultan Ahmad menandatangani satu perisytiharan untuk melantik putera baginda (Tengku Mahmud) atau Tengku Besar sebagai Pemangku Raja. Melalui perisytiharan yang bertarikh 22 Julai 1889, baginda memberi kuasa penuh kepada Tengku Mahmud untuk mewakili baginda dalam urusan pentadbiran negeri serta mengadakan rundingan dengan British.

c.         Tindakan sultan menyerahkan kuasa kepada  Tengku Mahmud merupakan satu kesilapan besar . Kuasa baginda telah berpindah kepada Tengku Mahmud yang dilihat mudah diperalat oleh Inggeris. Hubungan Sultan Ahmad menjadi tegang. Bagi meredakan keadaan, pada bulan Disember 1889 Sultan Ahmad membuat keputusan  meninggalkan Pekan dan menetap di Pulau Tawar kerana daerah itu di bawah jagaan Tok Gajah, iaitu seorang pembesar negeri yang sangat dipercayai.  Sultan  berpakat dengan pembesar-pembesar untuk menentang Sistem Residen di Pahang. 

2.            Ketidakpuasan  hati pembesar-pembesar Pahang          

a.            Antara perubahan yang dilakukan dalam pentadbiran ialah dengan membahagikan Pahang kepada 6 buah daerah.  Setiap satu diletakkan di bawah pentadbiran Majistret dan Pemungut Hasil.  Pekan di bawah F. Belfield, Hulu Pahang (W.C Mitchell), Kuantan ( W.H Wall), Temerloh (E.A Wise), Rompin (G.F Owen), Kuala Pahang (W.W Mitchell). Akibat pengenalan beberapa peraturan baru terutama berhubung dengan perlantikan Majistret dan Pemungut Hasil sebagai ketua setiap daerah, para pembesar tidak lagi bebas kerana kuasa mereka telah diambil alih khususnya hak memungut cukai.

b.         Pendapatan pembesar terjejas teruk, misalnya elaun yang dicadangkan pihak Inggeris amat tidak berpatutan. Pembesar-pembesar seperti Tok Gajah, Temenggung, Dato’ Shahbandar, Maharaja Perba Jelai, Orang Kaya Chenor,  Tok Gajah, Orang Kaya Temerloh, Orang Kaya Semantan dan Abdullah dari Bera hanya dibayar elaun $1200 setahun dan  Dato’ Bahaman dibayar $840 setahun. Pembesar-pembesar ini menulis surat enggan bekerjasama dengan Residen dan mengancam tidak akan mematuhi segala keputusan yang dibuat Majlis Mesyuarat Negeri. Malangnya elaun ini tidak mencukupi untuk menanggung pengikut-pengikut mereka.

c.         Inggeris juga campur tangan dalam soal perhambaan dan kerah yang diluluskan oleh mereka. Setiap pemilik hamba diwajibkan mendaftarkan hamba-hambanya kepada Pemungut Cukai Daerah dengan memberi maklumat secara terperinci  seperti jumlah hamba dan nama hamba, jenis pekerjaan dan jumlah hutang. Mereka yang gagal mematuhi akan kehilangan hak ke atas hamba tersebut.

d.         Mengenai undang-undang kerah setiap orang yang dikenakan kerah tidak boleh lebih daripada dua bulan dalam setahun. Mereka dihadkan kerja secara kerahan kepada kerja-kerja kerajaan sahaja. Antara kerja kerahan yang dilakukan ialah membersih sungai, membuat jalan, menebang kayu, menanam padi, mengangkat barang-barang, dan menemani ketua mereka dalam perjalanan. Setiap orang diwajibkan kecuali sakit atau munasabah. Sekiranya tiada alasan mereka dikenakan bayaran ganti rugi sebanyak 25 sen sehari. 

e.         Perlantikan Majistret dan Pemungut Hasil sebagai ketua daerah telah menyebabkan mereka tidak lagi mengadili kes-kes jenayah dan sivil serta memungut cukai di kawasan masing-masing.  Dato Bahaman menentang Inggeris kerana beliau tidak dibenarkan memungut cukai dan tidak diberi elaun-elaun yang setanding dengan elaun Orang Berempat, iaitu sebanyak $500. Beliau ditawarkan elaun sebanyak $70. Tindakan ini menyinggung perasaannya. Beliau juga marah apabila Inggeris membina sebuah balai polis di Lubuk Trua di daerah Semantan yang di bawah jagaannya tanpa meminta izin terlebih dahulu. Beliau menulis surat kepada Majistret di Temerloh tetapi tidak dilayan sebaliknya diberi amaran.

f.          Seorang lagi pembesar yang hilang hak ke atas cukai ialah Tok Gajah. Beliau adalah seorang pembesar dari Pulau Tawar. Atas jasanya kepada Sultan Ahmad dalam Perang Saudara (1857- 1863) beliau dianugerahkan gelaran Orang Besar Raja. Beliau marah kepada Inggeris apabila rayuannya untuk menambah elaun ditolak oleh pihak Inggeris pada bulan Januari 1890. Permintaannya supaya menangguhkan pembayaran cukai tanah juga ditolak oleh Majlis Mesyuarat Negeri pada bulan Disember 1890. Beliau disokong oleh anaknya Mat Kilau dalam penentangannya terhadap Inggeris.

3.            Perasaan tidak puas hati rakyat Pahang

a.         Pihak Inggeris memperkenalkan undang-undang baru yang menjejaskan penghidupan seharian mereka. Antaranya cukai tanah kampung, paya, dusun dan tanaman nipah pada kadar 40 sen seekar dikenakan ke atas tanah kampung, tanah paya, dusun dan tanah nipah. Sistem permit dan lesen digunakan untuk membolehkan rakyat memungut hasil hutan dan pokok nipah untuk mendirikan rumah. Dahulu diperoleh secara percuma. Rakyat juga dikehendaki bekerja selama dua bulan dalam setahun sebagai buruh paksa bagi melaksanakan projek-projek awam. Sekatan yang tidak membenarkan rakyat tempatan membawa senjata seperti keris ke mana sahaja mereka pergi. Pihak yang dibenarkan membawa senjata hanyalah pengawal peribadi dan pengikut mereka yang terdekat.

b.         Peraturan yang melarang membawa senjata ternyata bercanggah dengan tradisi orang Melayu yang sangat terikat dengan nilai-nilai feudalisme kerana senjata merupakan alat mutlak yang sangat diperlukan. Keris umpamanya, bukan sahaja sebagai senjata tetapi juga menjadi pakaian dan simbol keberanian seorang lelaki Melayu Pahang.

c.         Kebencian rakyat juga berpunca daripada kehadiran pasukan polis kaum Sikh dan India yang jahil tentang budaya Melayu. Penubuhan pasukan polis pada tahun 1888  telah menghapuskan kuasa penguatkuasa undang-undang yang dipegang oleh Sultan dan pembesar. Pasukan polis ini terdiri daripada 200 anggota, 150 Melayu (Kelantan dan Terengganu), 50 Sikh di bawah pimpinan Mr. Syers.

B.        Perak (10 m)

1.    Kelemahan Perjanjian Pangkor 1874

a.         Walaupun perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874, tetapi Birch hanya memulakan tugasnya sebagai Residen British di Perak pada 4 November 1874, iaitu hampir 10 bulan kemudian. Kelewatan ini membolehkan pembesar-pembesar yang tidak berpuashati dengan Sistem Residen telah menentang Raja Abdullah. Sepanjang kelewatan Birch hadir memberi peluang kepada Sultan Abdullah memerintah Perak dengan  sebebas-bebasnya. Baginda dikatakan banyak menghabiskan masa dengan berjudi, menyabung ayam dan menambahkan hutang. Perjanjian Pangkor membolehkan Sultan Abdullah dilantik menjadi sultan. Namun demikian, baginda masih gagal menyelesaikan masalah tuntutan takhta oleh Raja Ismail dan Raja Yusof. Raja Ismail masih tidak menyerahkan alat-alat kebesaran negeri yang menjadi syarat kepada pertabalan sultan.  

b.         Birch telah melanggar syarat yang diperuntukan dalam perjanjian Pangkor. Mengikut perjanjian tersebut sempadan Dinding dan Pangkor yang diserahkan  kepada pihak British  mengikut perjanjian Low akan dikembalikan semula. Tindakan yang sama juga diambil ke atas sempadan di Sungai Kerian. Walaupun begitu, dalam penyelesaian  sempadan ini kawasan lebih kurang 200 batu persegi termasuk sebahagian Selama yang mempunyai banyak bijih timah dimasukkan ke dalam pentadbiran British. Tindakan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembesar Perak.

2.   Kelemahan Peribadi Birch

a.         Perlantikan Birch sebagai Residen tidak disenangi oleh Sultan Abdullah dan para pembesar. Birch dianggap tidak sesuai kerana beliau tidak mempunyai pengalaman dalam urusan pentadbiran di negeri-negeri Melayu. Beliau tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu serta tidak memahami budaya dan adat resam Melayu. Kekurangan ini menyebabkan beliau sukar untuk menjalin hubungan dengan sultan dan pembesar Melayu. Birch juga dilihat tidak sabar dan enggan bertolak ansur apabila berurusan dengan sultan dan pembesar. Ia bertentangan dengan adat Melayu yang menjunjung tinggi sultan dan pembesar sebagai pemimpin yang dihormati.

b.            Birch juga tidak peka dengan  perasaan orang Melayu. Pembaharuan yang dilakukan dibuat secara tergesa-gesa tanpa berunding dengan Sultan Abdullah. Sultan Abdullah pernah mengingatkan Birch supaya memberitahu baginda dahulu sebelum pembaharuan dibuat. Birch mengarahkan sultan Abdullah berdiam diri dan menurut segala nasihat yang diberi. Tindakan ini menyebabkan Sultan Abdullah mengutus wakil baginda, Raja Idris, Laksmana dan Muhammad Arshad untuk bertemu Sir Andrew Carke tetapi tidak dilayan malah Sultan Abdullah diminta mematuhi nasihat Residen.  Dalam usaha melaksanakan pembaharuan Birch telah menggunakan tekanan kepada Sultan Abdullah. Beliau pernah mengugut akan menyerahkan jawatan sultan kepada Raja Yusof sekiranya sultan enggan menandatangani perisytiharan tersebut.

3.   Pembaharuan-pembaharuan Birch.

a.         Antara pembaharuan-pembaharuan yang dilakukan oleh Birch seperti pungutan cukai, sistem kewangan dan perlembagaan. Birch telah membatalkan pajakan Kuala Sungai Perak yang dibuat oleh Sultan Abdullah dengan Lee Cheng Tee dengan kadar $26,000 setahun, selama 10 tahun. Birch mengarahkan saudagar tersebut memohon semula pajakan berkenaan.

b.            Birch juga telah membatalkan cukai bijih timah di Batang Padang yang sebelum ini dinikmati oleh sultan, dan diganti dengan bayaran royalti $9.00 bagi setiap bahara yang dipungut di Kuala Perak. Bagi mendapatkan wang kerajaan negeri telah memusatkan pungutan cukai dengan meletakkannya di bawah pegawai Eropah. Hanya pegawai-pegawai yang dilantik oleh Residen, sebagai wakil sultan dibenarkan mengutip cukai. Pembesar lain tidak lagi dibenarkan memungut cukai dan mereka yang engkar akan didenda. Arahan ini bercanggah dengan nilai-nilai yang diwarisi sejak turun temurun. Pembesar-pembesar Melayu telah dianugerahkan kawasan oleh sultan dan ini memberi kuasa untuk mentadbir dan memungut cukai di kawasan masing-masing. Cukai merupakan hasil utama pembesar. Misalnya Dato Maharaja Lela dan Dato Sagor mendapat hasil daripada setiap perahu yang keluar masuk.

c.         Dalam melaksanakan peraturan cukai baru ini, Birch bertindak keterlaluan iaitu, dengan membakar rumah Raja Ngah di Bidor kerana memungut cukai daripada pelombong Cina di situ. Raja Ngah adalah saudara kepada Raja Ismail. Sebelum ini, baginda bersifat berkecuali tetapi tindakan Birch ini telah menimbulkan dendam terhadap beliau.
d.         Birch juga campur tangan dalam soal perhambaan yang diamalkan di Perak. Sistem ini menjadi kebanggaan para pembesar Perak sejak sekian lama. Kebanyakan hamba yang lari adalah wanita yang diberi perlindungan oleh Birch di rumah kediamannya di Bandar Bahru. Hamba-hamba ini tiada dikembalikan kepada tuan punya sehingga menimbulkan syak wasangka tentang moral Birch. Beliau juga dikatakan menyeludup seorang perempuan Melayu  ke Pulau Pangkor. Tuntutan Sultan Abdullah terhadap hamba-hamba ini dikembalikan tidak dilayan oleh Birch.

e.            Penubuhan balai-balai polis di Kuala Kurau, Bruas, Kota Setia, Durian Sebatang, Tanjung Piandang, Bidor, Kuala Kangsar, Trong dan Lumut telah menyebabkan pegawai polis mengambilalih kuasa pentadbiran di peringkat tempatan. Jawatan penghulu yang dilantik oleh Sultan dan pembesar dengan menggunakan sistem warisan telah terjejas.

f.          Birch juga telah menyusun semula cukai-cukai pajak candu, arak, judi, permit balak, cukai perahu, senjata, padi dan memotong atap.  Cukai-cukai turut dikenakan ke atas perahu dan perahu dagang. Perahu nelayan yang boleh membawa 3 orang di dalamnya dikenakan cukai 50 sen. Perahu dagang dan tongkang dikenakan $1.00. Sesiapa yang melanggar arahan akan didenda $25.00 dan perahu mereka akan dirampas.


Kesimpulan (2/3 m)

Perasaan tidak puas hati ini mencapai kemuncak pada Oktober 1875 apabila satu mesyuarat diadakan di Pasir Panjang yang dihadiri oleh Dato Maharaja Lela, Dato Sagor dan Syahbandar. Dalam mesyuarat itu mereka bersetuju untuk membunuh Birch. Peristiwa ini berlaku pada 2 November 1875. Peristiwa ini telah membawa kepada peristiwa Perang Perak yang belaku pada November 1875 dan berlanjutan hingga 1876. Sementara di Pahang, kebangkitan menentang British memakan masa yang panjang. Ia berlarutan dari tahun 1891 hingga 1895. Walaupun British berjaya mematahkan penentangan ini, namun ia memberi kesan terhadap pentadbiran, terutama kedudukan kewangan Pahang. Masalah kewangan menyebabkan mereka menyertai  Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896.












SEJARAH MALAYSIA
TEMA 2 : TRANSFORMASI MASYARAKAT
BAB 7 : KESAN TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA

Galurkan pelaksanaan dasar pengagihan kuasa pusat oleh kerajaan British di Tanah Melayu  pada tahun-tahun 1920-an dan 1930-an.


Pendahuluan (3/2 m)

Pengagihan kuasa pusat kepada kerajaan negeri (desentralisasi) telah dilaksanakan oleh kerajaan British di Tanah Melayu melalui dua peringkat iaitu peringkat pertama semasa zaman Sir Lawrence Guillemard menjadi Pesuruh Jaya Tinggi 1920-an dan peringkat kedua semasa zaman kemelesetan ekonomi 1930-an. Antara sebab utama pelaksanaan dasar ini ialah kerana pembentukan Persekutuan 1896 telah mewujudkan satu sistem pemusatan kuasa yang keterlaluan di tangan Residen Jeneral di Kuala Lumpur. Sultan-sultan telah kehilangan kuasa politik manakala Majlis Mesyuarat Negeri tidak mempunyai apa-apa fungsi lagi. Walau bagaimanapun, kedua-dua rancangan desentralisasi ini gagal dilaksanakan atas sebab-sebab tertentu.

A.        Langkah Pelaksanaan Dasar Pengagihan Kuasa Pusat 1920-an (10 m)

i.              Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Sir George Maxwell 1923

a.         Sir George Maxwell, iaitu Ketua Setiausaha Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah berselisih pendapat dengan Sir Lawrence Guillemard iaitu Pesuruhjaya Tinggi dan Gabenor Negeri-negeri Selat yang dilantik pada 3 Februari 1920. Perselisihan faham tersebut berkaitan dengan masalah pengagihan kuasa. Maxwell telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa pengagihan kuasa pusat pada tahun 1923 bagi mengkaji perkara berkaitan pengagihan kuasa. Jawatankuasa ini dianggotai oleh Ketua Setiausaha dibantu oleh ketua-ketua jabatan dan Pegawai-pegawai Sekretariat Persekutuan. Jawatankuasa ini memperakukan bahawa pengagihan kuasa pusat adalah perlu bagi mengukuhkan kedudukan Residen, Sultan dan Majlis Mesyuarat Negeri masing-masing.

b.            Jawatankuasa ini telah mengemukakan beberapa cadangan yang utama iaitu:

i.          Memberi kuasa penuh kepada Kerajaan Inggeris negeri untuk mengawal kewangan negeri masing-masing.

ii.       Kuasa Residen ditambah supaya seimbang dengan kuasa Ketua Setiausaha Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan ketua-ketua Jabatan.

iii.     Ketua pengawalan Jabatan Pertanian dan Jabatan Perhutanan.

iv.     Jabatan Polis dan Jabatan Perubatan dipindahkan kepada kawalan Kerajaan Inggeris negeri.

c.         Jawatankuasa ini masih mempunyai beberapa kelemahan, iaitu kedudukan Sultan gagal dipulihkan dan Sultan masih tidak mempunyai pengaruh politik dalam pentadbiran negeri.


ii.          Cadangan-cadangan Sir Lawrence Guillemard, 1925

a.         Kelemahan cadangan Jawatankuasa tersebut telah menyebabkan Sultan Idris berangkat ke London pada  tahun 1924 untuk berunding dengan Pejabat Tanah Jajahan tentang pelaksanaan dasar pengagihan kuasa pusat yang tidak memuaskan. Oleh itu, Sir Lawrence Guillemard telah mengemukakan beberapa cadangan baru mengenai pengagihan kuasa pusat, antaranya,

  1. Jawatan Ketua Setiausaha dihapuskan dan kuasanya diagihkan kepada Residen-residen dan Majlis-majlis Negeri.

  1. Semua Jabatan seperti pertanian, pelajaran, pesara, gaji pembesar dan sultan, parit dan tali air menjadi tanggungjawab negeri manakala jabatan-jabatan penting seperti perkhidmatan kereta api, kastam dan eksais serta pos dan telegraf diletakkan di bawah penguasaan Persekutuan kerana mempunyai kepentingan umum.

  1. Hal-hal kewangan dibahagikan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan-kerajaan Negeri. Perkara yang berkaitan dengan pentadbiran Persekutuan dibiayai oleh kerajaan Persekutuan, sementara jabatan-jabatan negeri dibiayai oleh kerajaan negeri.

b.         Bagaimanapun, cadangan-cadangan Guillemard itu tidak banyak mencapai kejayaan kerana adanya bantahan-bantahan terutamanya daripada para pedagang dan pelombong Eropah dan Cina. Mereka khuatir bahawa pengagihan kuasa pusat akan menjejaskan kecekapan pentadbiran dan kepentingan ekonomi mereka dan mengurangkan keberkesanan sistem politik negeri-negeri Melayu. Ini disebabkan penghapusan jawatan Ketua Setiausaha akan menyebabkan kuasa beliau akan diambil alih oleh Pesuruhjaya Tinggi di Singapura.

c.         Seperkara lagi yang menjadikan cadangan-cadangan Guillemard itu tidak terlaksana dengan baik ialah sewaktu cadangan itu diluluskan, beliau tidak lagi menjadi Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Jawatan itu diambil alih oleh Sir Hugh Clifford, seorang yang tidak begitu menyokong dasar pengagihan kuasa pusat.

d.         Cadangan-cadangan Guillemard tidak dilaksanakan oleh Kerajaan Inggeris tetapi berkompromi dengan pihak Sultan dengan mencadangkan penyusunan semula Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) pada tahun 1925. Cadangan-cadangan perubahan perlembagaan dikuatkuasakan setelah ditandatangani oleh Sultan-sultan pada 24 April 1927.

e.         Antara perubahan-perubahan perlembagaan yang dicadangkan ialah:

i.          Sultan-sultan tidak lagi menjadi ahli dalam MMP.  Mereka diganti oleh 4
orang Melayu sebagai wakil Sultan.

ii.          MMP akan membuat undang-undang tetapi Rang Undang-undang 
mestilah  ditandatangani oleh Raja-raja untuk dikuatkuasakan.

iii.            Pesuruhjaya Tinggi dan Ketua Setiausaha dikehendaki mengadakan perbincangan dengan Raja-raja tentang polisi kerajaan dari semasa ke semasa.

iv.           Majlis Mesyuarat Persekutuan diperbesarkan dengan ahli-ahlinya bertambah menjadi 24 orang. Seramai 13 orang ahli rasmi yang dilantik daripada ketua-ketua jabatan dan 11 orang ahli tidak rasmi yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan dan wakil-wakil kaum.

v.            Persidangan Raja-raja atau Durbar dipulihkan kembali.

vi.           Majlis Mesyuarat Negeri akan diberi kuasa yang lebih ke atas kewangan.

f.          Walaupun perubahan-perubahan yang dicadangkan oleh Guillemard memperlihatkan sedikit kemajuan dalam kedudukan Sultan-sultan, tetapi kedudukan Sultan-sultan tidaklah terlalu banyak dipulihkan. Contohnya, Rang Undang-undang yang dibuat oleh MMP tidak dapat dijadikan undang-undang sebelum ditandatangani oleh  Sultan-sultan tetapi mereka tidak mempunyai kuasa pembatal.  Oleh itu, tandatangan Sultan-sultan itu tidak lebih sebagai ‘formality’ sahaja. 

g.         Sir Hugh Clifford yang menggantikan Sir Lawrence Guillemard pada tahun 1927 sebagai Pesuruhjaya Tinggi gagal melakukan sebarang usaha untuk mengagihkan kuasa pusat.  Beliau berpendapat bahawa proses desentralisasi hanya tindakan sia-sia kerana ia tidak menjamin dapat melindungi kepentingan orang Melayu.

B.        Langkah-langkah Pengagihan Kuasa Pusat (Desentralisasi) Tahun 1930-an (10 m)

i           Cadangan Sir Clementi

a.         Jawatan Ketua Setiausaha dihapuskan dan digantikan dengan Setiausaha Persekutuan yang mempunyai kedudukan lebih rendah daripada Residen. Semua jabatan harus ditadbir oleh kerajaan Inggeris negeri kecuali Jabatan Perkhidmatan Kereta Api, Jabatan Kastam dan Jabatan Pos. Kesatuan Kastam telah dibentuk bagi membantu kemajuan perdagangan antara negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat.

b.        Sultan di Negeri-negeri Melayu turut menyatakan sokongan Clementi.  Namun, cadangan tersebut ditentang oleh golongan peniaga Cina dan Eropah serta pemerintah di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.  Peniaga Cina bimbang mereka akan dikuasai oleh kerajaan Inggeris negeri  yang dipimpin oleh orang-orang Melayu. Sultan di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu turut bimbang dengan penubuhan Kesatuan Tanah Melayu yang akan menyebabkan mereka kehilangan kuasa autonomi dalam pemerintahan. Hasil tentangan tersebut, memaksa Clementi menarik balik cadangan bagi mengagihkan kuasa pusat.

ii.         Cadangan Sir Samuel Wilson
           
a.         Pada tahun 1932, Kerajaan Inggeris telah menghantar Sir Samuel Wilson, iaitu Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan ke Tanah Melayu bagi mengkaji usaha pengagihan kuasa pusat.

Sir Samuel Wilson telah menyediakan satu laporan lengkap yang menyatakan persetujuannya terhadap rancangan yang dikemukakan oleh Clementi. Cuma beliau berpendapat, Kesatuan Kastam perlu dihapuskan.

b.         Cadangan dan laporan Wilson telah dihantar ke Parlimen Inggeris. Hasilnya, pengagihan kuasa pusat mula dilaksanakan secara berperingkat mulai Ogos 1934.

c.         Pada tahun 1935, jawatan Ketua Setiausaha dihapuskan dan digantikan dengan Ketua Setiausaha Persekutuan.  Pada tahun  1939, Jabatan Perhutanan dan Pertanian, Kesihatan, Pendidikan, Perlombongan dan Jabatan Kerja Raya telah dipindahkan dari kawalan Kerajaan Pusat kepada kawalan Kerajaan Negeri.  Sementara Jabatan Polis, Kastam, Ukur, Buruh dan Pertahanan diletakkan di bawah kuasa Kerajaan Pusat.

d.         Majlis Mesyuarat Negeri telah diperbesarkan dengan melantik ahli-ahli tidak rasmi yang terdiri daripada bangsa Eropah, Cina dan India.  Majlis ini juga diberi kuasa tambahan terutamanya kewangan, pentadbiran dan menggubal undang-undang negeri masing-masing.  Kerajaan negeri tidak dibenarkan mengutip cukai dan hasil sendiri, tetapi diberi pemberian tahunan oleh Kerajaan Pusat.

e.         Selepas tahun 1939, tiada sebarang langkah yang berkesan diambil untuk mengagihkan kuasa pusat.  Pada tahun 1941, rancangan pengagihan kuasa pusat ini terpaksa dihentikan apabila Jepun menyerang Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua (1941-1945)
           

Penutup (2/3 m)
           
            Pada keseluruhannya, Pengagihan Kuasa Pusat 1920-an dan 1930-an gagal dilaksanakan oleh Inggeris.  Selepas pengunduran tentera Jepun dari Tanah Melayu 1945, berlaku kekosongan kuasa di Tanah Melayu untuk satu tempoh masa yang telah memberi peluang kepada pihak komunis berkuasa, sehinggalah Inggeris kembali semula dengan satu Perlembagaan baru iaitu Malayan Union.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...