TEMA 2
Bab 5:Penjelajahan & campur tangan Barat
Perang Inggeris-Burma Kedua, 1852
Bab 5:Penjelajahan & campur tangan Barat
Perang Inggeris-Burma Kedua, 1852
Pengenalan
Walaupun dalam peperangan yang pertama, Myanmar menerima kekalahan, namun sikap mereka masih lagi sombong dan bongkak. Akibatnya, British gagal untuk mendapatkan satu dasar keadilan dan hubungan diplomatik yang sama taraf. Perlantikan Residen British di Myanmar seperti yang tercatat dalam Perjanjian Yandabo tidak dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna. Dengan lain perkataan, pemerintah Myanmar tidak mahu menerima Residen British dan memberi kerjasama. Peristiwa ini telah membawa pertentangan kembali hubungan British dengan Myanmar. Hubungan yang genting ini akhirnya membawa kepada meletusnya peperangan kali kedua.
Sebab-sebab berlakunya peperangan
1. Kegagalan mengadakan hubungan diplomatik
Untuk menunaikan syarat-syarat Perjanjian Yandabo maka dalam bulan September 1826, John Crowford dilantik sebagai Residen British. Dalam bulan November, Crowford telah cuba membuat satu perjanjian baru mengenai perdagangan tetapi tidad ada keputusan kerana terdapat pertentangan di antara dua pihak. Pihak British cuba mendapatkan beras dari Rangoon tetapi ditolak oleh Kerajaan Myanmar sebagai reaksi dari keengganan British membincangkan masalah politik. Crowford merasa kecewa atas sikap Kerajaan Myanmar menyebabkan ia pulang ke India.
Setelah Crowford menarik dirinya dari tempatnya, ia diganti oleh Sir Henry Burney iaitu dalam bulan April 1830. Burney telah mendapat kepercayaan dari Raja Bagydaw dan ini membawa perhubungan yang baik antara Burney dengan raja dan tanda-tanda menunjukkan bahawa perselisihan dapat diselesaikan. Tetapi malangnya raja kemudiannya menjadi kurang siuman dan ini menjejaskan perhubungan yang baik dan perundingan-perundingan terhenti. Ketika Raja Bagydaw tidak siuman, Minthagyi, iaitu abang kepada Permaisuri Raja yang pertama telah cuba mengambil alih kuasa. Untuk mengelakkan dari berlaku perkara pertama maka pada tahun 1837, Tharawwaddy telah membunuh isteri dan anak-anak Minthagyi serta menteri-menteri yang menyokongnya. Burney telah cuba menghalang tindakan kejam Raja Tharawwaddy. Tharawwaddy menjadi marah dan ini membawa kepada hubungan yang buruk antara Burney dan Tharawwaddy.
2. Sikap anti-Inggeris
Harapan British untuk mendapatkan hubungan yang lebih erat dari Raja Tharawwaddy yang baru menjadi raja ternyata gagal. Raja ini ternyata dengan sifatnya yang anti-British. Tindakan baginda yang selanjutnya ialah menolak Perjanjian Yandabo. Bagi baginda, penyerahan Arakan dan Tennasserim sebagai satu penghinaan. Sikap dan tindakan baginda yang anti-British telah menimbulkan kebimbangan kepada Burney dan oleh sebab soal keselamatan, pada Jun 1837, Burney meninggalkan Amarapura menuju ke Rangoon. Burney mencadangkan kepada Calcutta agar British jangan menubuhkan residensinya di Myanmar lagi selagi Tharawwaddy tidak mahu mengakui Perjanjian Yandabo dan tindakan-tindakan tentera telah ditolak oleh Calcutta malahan Burney sendiri dimarahi. Pihak Calcutta masih percaya bahawa perhubungan dapat diadakan antara British dengan Myanmar.
Atas arahan dari Gabenor Jeneral Lord Auckland maka Richard Benson mengambil alih tugas Burney. Benson ditugaskan supaya menubuhkan kembali residensi British di Rangoon. Ternyata Benson juga gagal menjalankan tugasnya sebagai Residen kerana tidak mendapat kerjasama dari Myanmar. Tempat yang sudah ditetapkan untuk tapak residensi British telah ditolak oleh Kerajaan Myanmar dan sebagai ganti disediakan satu kawasan yang mudah banjir di Sungai Irrawaddy. Tindakan Kerajaan Myanmar dianggap sebagai satu penghinaan terhadap British. Oleh sebab Benson merasa ia tidak dapat meneruskan tugasnya maka pada bulan Mac 1839, ia bersara dengan alasan kesihatannya terganggu. Tempatnya diganti oleh Kapten William Maclood iaitu pembantu Benson di Amarapura. Seperti Benson, ia juga mengalami kegagalan. Memandangkan kegagalan residen-residen British di Myanmar, Gabenor Jeneral sedar bahawa Kerajaan Myanmar benar-benar enggan mengadakan hubungan diplomatik dengan British. Akhirnya, pada permulaan tahun 1840, Calcutta telah menarik balik residensinya dari Myanmar. Keadaan menjadi semakin genting apabila Raja Tharawwaddy telah mengadakan satu perbarisan tentera untuk menunjukkan kekuatan tenteranya. Peristiwa ini telah menyedarkan pihak British bahawa Myanmar telah bersiap sedia untuk mengadakan satu peperangan baru. Tetapi British tidak dapat bertindak kerana terlibat dalam Perang Afghan dan Sikh di India. Perang Afghan telah berlaku pada 1836-1839 iaitu dalam pemerintahan Lord Auckland (1836-1842), Perang Sikh Pertama pada 1845-4846 iaitu semasa Lord Hardings (1844-1848) dan Perang Sikh Kedua pada 1848-1849 semasa Lord Delhousie (1848-1856).
Cita-cita Raja Tharawwaddy untuk menentang British tidak dapat dilakukan kerana baginda mangkat pada tahun 1846 dan tempatnya digantikan oleh Pagan Min. Pagan Min seorang raja yang bersifat anti-British dan sangat kejam. Pagan Min telah membunuh ramai orang Myanmar sendiri antara tahun 1846-1848. Pagan Min juga merupakan seorang raja yang kurang bijak dalam menjalankan urusan-urusan pentadbiran sebaliknya menyerahkan tugas-tugasnya kepada para pegawai. Hanya yang dikehendaki ialah pegawai yang dapat menyediakan pendapatan negara.
3. Layanan buruk ke atas rakyat British
Selain Pagan Min, pegawai Myanmar juga bersifat anti-British. Misalnya Gabenor Pegu iaitu Maung Ok. Beliau seringkali menindas orang asing di Rangoon untuk mendapatkan wang. Tindakan ini juga dikenakan ke atas orang Inggeris lebih-lebih lagi tidak adanya Residen Inggeris yang dapat mengambil berat terhadap hal-ehwal orang Inggeris di sana. Tindakan menindas menyebabkan pada tahun 1851, saudagar British membuat pengaduan ke Calcutta. Berikutnya secara rasminya Calcutta telah membuat bantahan kepada Kerajaan Myanmar. Sikap permusuhan yang ditunjukkan oleh Pagan Min dan pegawai Myanmar telah mendalamkan lagi jurang perselisihan antara British dan Myanmar.
Oleh sebab sifatnya yang anti-British, Maung Ok telah melakukan penganiayaan terhadap orang Inggeris. Dalam bulan Julai dan Ogos 1851, beliau telah menghukum 2 kapten kapal berbangsa Inggeris iaitu Kapten Sheppard dari Kapal Monarch dan Kapten Lewis dari Kapal Champion. Mereka dituduh cuba membunuh sedangkan perkara sebenarnya seorang kelasinya telah terjatuh ke dalam laut. Seorang lagi dituduh cuba menggelapkan wang pekerja-pekerjanya. Kedua-duanya telah dihukum denda sebanyak 1000 rupee. Mereka berdua telah menyampaikan peristiwa tersebut kepada Gabenor Jeneral Lord Delhousie di India. Oleh sebab tindakan Kerajaan Myanmar sebagai satu tindakan permusuhan dan penghinaan dengan tujuan memalukan maka Lord Delhousie telah bertindak. Sungguhpun peristiwa itu hanya peristiwa yang kecil namun, Lord Delhousie merasa telah sampai masanya untuk menggunakan kekerasan terhadap Myanmar. Lagipun ketika itu, Perang Afghan dan Perang Sikh telah tamat dengan pihak British mendapat kejayaan yang besar. Lord Delhousie telah mengirim Komander Lambert dengan 3 buah kapal perang ke Rangoon. Lord Delhousie telah menuntut bayaran ganti rugi untuk Kapten Sheppard dan Lewis dan mendesak supaya Maung Ok dipecat dari jawatannya. Amaran yang diterima dari Lord Delhousie telah mencemaskan Pagan Min. Seorang pegawai baru dilantik untuk menggantikan Maung Ok, tetapi ia juga bersifat anti-British. Oleh sebab Lambert tidak sebar dengan sikap Myanmar yang melewat-lewatkan perundingan dan sentimen anti-British maka ia mengarahkan penutupan pelabuhan Rangoon dan menembak kapal-kapal Myanmar. Satu lagi kata dua telah sampai pada Februari 1852 dimana pihak British menuntut bayaran ganti rugi sebanyak 1 juta rupee. Apabila tarikh tuntutan tamat pada 1 April 1852, tanpa sebarang jawapan rasmi dari Kerajaan Myanmar, Lord Delhousie telah mengisytiharkan perang ke atas Myanmar. Pagan Min tidak menduga pihak British akan berbuat demikian sedangkan Myanmar belum bersedia untuk menghadapi peperangan terhadap British.
Peristiwa dan kesan peperangan
Setelah peperangan diisytiharkan, tentera British telah bertindak dan dengan senangnya mereka menawan Rangoon, Martaban dan Bassein dalam bulan Mei 1852. Kemudiannya dalam bulan Ogos 1852, Lord Delhousie telah melawat Rangoon dan mencadangkan pengambilan wilayah Pegu. Sebenarnya Delhousie tidak berniat untuk menawan wilayah Pegu dan merasa cukup menawan ketiga-tiga bandar itu. Tetapi akhirnya kepentingan wilayah Pegu telah dirasakan. Oleh itu, pada November 1852, Jeneral Godwin telah menawan Prome dan Pegu. Kemudian dalam Disember 1852, Major Arthur Purve sebagai Pesuruhjaya Pegu Pertama telah mengisytiharkan Pegu sebagai sebahagian dari wilayah British seperti Arakan dan Tennasserim.
Penaklukan Pegu adalah penting bagi British kerana kawasan itu dapat digunakan sebagai jalan darat ke China, merupakan kawasan pertanian dan kawasan yang penting dari segi kayu balak. Dengan penaklukan wilayah Pegu bermakna hanya tinggal Myanmar Hulu yang masih dikuasai oleh orang Myanmar. Hal ini adalah kesalahan pihak Myanmar sendiri yang masih menggunakan taktik berlambat-lambat untuk menantikan musim hujan tiba yang pada fikiran mereka musim tengkujuh akan menyudahkan pergerakan tentera British. Tetapi tafsiran pihak Myanmar telah silap kerana pihak British telah pun mempunyai persiapan yang cukup untuk menghadapi musim tengkujuh. Pengalaman dalam Perang Inggeris-Myanmar Pertama cukup untuk British memikirkannya jangan sampai peristiwa di mana British terpaksa berundur jangan berulang lagi. Kesan-kesan buruk akibat kemaraan tentera British telah dirasai oleh Mindon dan oleh sebab itu sebaik sahaja Mindon menjadi raja ia telah menghentikan peperangan dan meminta supaya British memulangkan kembali wilayah-wilayah yang telah ditawannya. Mindon telah merampas kuasa dari Pagan Min dalam Februari 1853 ketika peperangan masih berjalan. Mindon dari mula lagi tidak setuju dengan Pagan Min yang mengambil tindakan berperang dengan British.
Peperangan Inggeris-Myanmar Kedua telah memberi kesan yang buruk kepada Myanmar bukan sahaja kehilangan wilayah yang lebih luas malah dalam aspek-aspek yang lain. Pertama, keagungan dan kekuatan tentera Myanmar yang pada satu ketika sangat ditakuti sekarang dibukti kelemahannya. Sebagai bukti, Myanmar tidak berdaya untuk mempertahankan Pegu yang merupakan kawasan yang amat penting. Kedua, dengan penaklukan wilayah-wilayah pantai oleh British bermakna Myanmar Hulu terpencil dengan dunia luar. Ketiadaan pelabuhan akan mempengaruhi kejatuhan ekonomi Myanmar Hulu. Sedangkan bagi British pengambilan Myanmar Selatan terutama wilayah Pegu merupakan tambahan wilayah yang sangat menguntungkan. Wilayah Pegu ternyata dapat membekalkan kayu jati untuk kegunaan angkatan laut seperti pembinaan kapal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan