Selasa, 13 September 2011

SEJARAH 2 (Bahagian B Asia)STPM TEMA 2


Bincangkan perkembangan sosial ekonomi Myanmar di bawah pemerintahan British dan Indo- China di bawah Perancis


Pengenalan
-     Sebelum kehadiran kuasa barat, masyarakat Myanmar dan IndoChina terikat dengan sistem social dan ekonomi tradisional
-     Kehadiran  barat  telah  mengubah  kehidupan  masyarakat  tempatan.  Melalui  sistem  pendidikan barat,  agama  kristian  dan  pengenalan  ekonomi  berasaskan  keuntungan  telah  merubah  wajah ekonomi dan sosial tempatan

British di Myanmar

Keseluruhan Myanmar ditakluki oleh British pada 1 Januari 1886 dan menamatkan dinasti terakhir di Myanmar iaitu Dinasti Konbaung yang ditubuhkan pada tahun 1752. Pemerintahan British telah membawa kepada perubahan-perubahan kehidupan dalam pelbagai aspek di Myanmar. Sementara itu, pada  25  Ogos  1883,  Maharaja   Indo-China   telah  mengaku  bernaung  di  bawah  Perancis  dan menyerahkan  segala hal ehwal perhubungan  luarnya kepada Perancis. Perancis  juga berhak untuk melantik residen-residennya di bandar-bandar penting di sana.
Sememangnya  Myanmar  mengalami  banyak  perubahan  semasa  di  bawah  pemerintahan  British. British mengamalkan dasar ekonomi laissez-faire dan ini mengakibatkan banyak perubahan ekonomi dan sosial. Pemerintahan British menyebabkan Myanmar mengalami kepesatan penduduk. Keadaan ini  berlaku  terutamanya   di  Myanmar  Hilir.  Misalnya,  pada  tahun  1900,  penduduk  Myanmar berjumlah 9.28 juta orang dan jumlah ini menjadi 13.2 juta orang pada tahun 1921. Ramai petani dari kawasan  Myanmar  Hulu  telah  berpindah  ke  Myanmar  Hilir  untuk  membuka  dan  mengerjakan kawasan baru untuk penanaman padi. Selain itu, British juga telah membawa masuk imigran India ke Myanmar  untuk  membangunkan  ekonomi  sekali  gus  mengelakkan  penderitaan  mereka  di  India. Sehingga  tahun 1890, kemasukan  orang India ke Myanmar mencecah  250 000 orang setahun dan mereka ini bertumpu di bandar-bandar.
Selain dari  India,  British  juga  telah  membawa  masuk  imigran  Cina.  Kebanyakan  orang  Cina  ini terlibat dalam perdagangan dan perindustrian. Sehingga tahun 1931, terdapat hampir 200 000 orang Cina di Myanmar. Dengan kemasukan orang India dan Cina ini, masyarakat Myanmar telah menjadi masyarakat berbilang kaum.
Selain  itu,  wujud  juga  masalah  perpindahan  hak  tanah  petani.  Hal  ini  disebabkan  petani-petani Myanmar telah meminjam wang daripada ceti untuk mengerjakan sawah padi mereka. Kebanyakan petani ini tidak mampu membayar balik dan menyebabkan tanah mereka telah diambilalih oleh ceti- ceti ini. Keadaan ini menyebabkan ramai petani kehilangan tanah mereka dan menjadikan sebahagian tanah pertanian di Myanmar Hilir dipegang oleh tuan-tuan tanah yang tidak menetap di tanahnya.


Pemerintah British telah menyebabkan gaya hidup tradisional, kebudayaan dan keagamaan orang Myanmar merosot. British telah menghapuskan istana dan sistem hierarki birokratik yang selama ini menjadi pusat kepada perkembangan kebudayaan seperti sastera dan muzik. Oleh itu, perkembangan kebudayaan  pun merosot. Kepentingan  bahasa Myanmar juga merosot kerana mahkamah,  sekolah dan pentadbiran kerajaan menggunakan bahasa Inggeris. Disiplin sami-sami Buddha turut merosot kerana  British tidak menyokong  ajaran Buddha. Sami Buddha  juga diletakkan  di bawah kawalan mahkamah dan polis.

British  juga  mengakibatkan  perubahan  dalam  pimpinan  Myanmar.  Sistem  tradisional  berbentuk monarki  dihapuskan.  Kuasa  peringkat  tempatan  diberikan  kepada  Thugyi,  tetapi  Thugyi  tidak dihormati  kerana  mereka  merupakan  pegawai  kerajaan.  Tindakan  British  menyebabkan  Persatuan Belia Buddha ditubuhkan pada tahun 1906 bertujuan menghidupkan semula nilai-nilai tradisional dan agama Buddha. Hal ini lebih-lebih lagi apabila British cuba menyebarkan agama Kristian.

British juga membina banyak sekolah Inggeris di samping sekolah kebangsaan Myanmar. Universiti Rangoon ditubuhkan pada tahun 1920. Sekolah-sekolah  teknik dan maktab perguruan turut dibina. Hingga tahun 1900, telah wujud sebanyak lima buah sekolah untuk melatih guru. Fenomena tersebut menyebabkan pendidikan tradisional oleh sami Buddha merosot. Bagi aspek kesihatan pula, hospital awam telah dibina. Selain itu, pada tahun 1907, Kolej Perubatan dan Jabatan Kesihatan Awam ditubuhkan.

British turut membuat perubahan dari sudut ekonomi Myanmar. Padi telah muncul sebagai tanaman dagangan. British menggalakkan pembukaan lebih banyak kawasan menanam padi. Buruh dari India dibawa masuk sebagai petani. Terusan Suez yang dibuka pada tahun 1869 telah membantu perkembangan perusahaan beras. Hingga akhir abad ke-19, eksport beras telah berjumlah sebanyak 2 juta tan.

Perusahaan kayu jati turut dikembangkan. Jumlah pengeluaran kayu jati antara tahun 1919-1924 ialah sebanyak 500 000 tan setahun. Hal ini menggalakkan perusahaan papan dan pembuatan kapal. British juga mengambilalih  perusahaan  minyak  Myanmar  melalui Syarikat  Minyak  Myanmar  pada tahun 1886. Pengeluaran minyak pada tahun 1898 berjumlah 90 juta litar meningkat kepada 1225 juta liter pada tahun 1923. Secara keseluruhan,  nilai eksport Myanmar meningkat  sebanyak 660 juta rupee antara tahun 1926 hingga 1927. Nilai import bagi tahun yang sama meningkat  sebanyak 390 juta rupee. Selain perkembangan  dalam aspek ekonomi,  British juga memperbaiki  sistem perhubungan Myanmar. Jalan raya, jalan keretapi dan jambatan dibina. Penggunaan bot stim di Sungai Irrawaddy diluaskan.

Perancis di Indo-China

Perancis  di  Indo-China  turut  melaksanakan  beberapa  perubahan  dari  aspek  ekonomi  dan  sosial. Perancis memberi perlindungan  ketat kepada 2 pusat penanaman padi di Delta Sungai Merah dan Sungai Mekong. Namun begitu, penduduk Indo-China masih kekal sebagai petani. Kehidupan mereka terlalu miskin dan masih tidak berupaya membeli barangan Perancis yang dibawa masuk ke Indo- China. 60% petani hanya memiliki 1 ekar tanah, 63 peratus daripada pembayar cukai pula memiliki kurang daripada seekar tanah.


Perancis lebih banyak melaksanakan penubuhan ladang-ladang besar dan ladang Eropah. Di Cochin- China, mislanya, 80 peratus sawah padi dikuasai oleh tuan tanah. Polisi Perancis  lebih berbentuk menyatukan ladang-ladang besar daripada membuat pembahagian semula tanah-tanah tersebut. Orang Cina menguasai pembelian beras. Sistem “Credit Populaire” ditubuhkan pada tahun 1926 dan disusun semula pada tahun 1933. Badan ini memberikan pinjaman kepada syarikat kerjasama pertanian yang melibatkan pelbagai jenis tanaman seperti jagung, tembakau, teh, kopi dan terutamanya padi. Namun begitu, usaha Perancis untuk menarik penduduk di delta mengerjakan  ladang tidak berjaya kerana Indo-China tidak suka berpindah-randah.

Perusahaan  perlombongan  juga berkembang.  Perlombongan  bijih timah bermula  pada tahun 1901 dengan modal sebanyak 2 juta francs. Zink mula dilombong pada tahun 1906 dengan modal yang serupa.  Sebuah  syarikat  Artificial  Portland  Seaman  Company  didirikan  pada  tahun  1899  dengan modal sebanyak 1 juta francs.

Pertalian ekonomi antara Indo-China  dan Perancis bertambah  kuat. Antara tahun 1911-1920, 19.6 peratus eksport Indo-China dibawa ke Perancis dan pada tahun 1938, jumlahnya meningkat kepada 53 peratus. Bagi import pula, antara tahun 1911-1920, import dari Perancis ke Indo-China berjumlah 29.6 peratus. Perusahaan kain dan logam Perancis merupakan dua pasaran yang menguntungkan di Indo-China.

Kesimpulan

Secara keseluruhan,  British dan Perancis telah membuat pelbagai perkembangan  di Myanmar dan Indo-China.  Perkembangan  ekonomi  dan  sosial  ini secara  tidak  langsung  memberi  kesan  kepada perkembangan masyarakat di kedua-dua negara. Sistem tradisional sama ada dalam bentuk ekonomi dan sosial telah berubah akibat tindakan daripada kedua-dua kuasa penjajah tersebut. Namun perkembangan    ini   telah   membuka    negara   tersebut   kepada   perdagangan    yang   seterusnya mengakibatkan berlakunya proses sosialisasi dan asimilasi budaya luar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...