Selasa, 13 September 2011

SEJARAH 2 (Malaysia)STPM TEMA 1

Bincangkan hukum Adat yang diamalkan di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebelum campur tangan British.

PENDAHULUAN

Adat merupakan peraturan yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat turun-temurun sehingga sebati dengan cara hidup masyarakat berkenaan dan dianggap sebagai hukum atau undang-undang yang harus dipatuhi.

Undang-undang ini disebut sebagai hukum adat iaitu sesuatu peraturan yang menjadi undang-undang berdasarkan amalan, adat resam atau kebiasaan yang telah lama wujud dalam sesebuah masyarakat. Sesiapa melanggarnya boleh dihukum.

Adat penting bagi menjamin hak anggota masyarakat supaya anggota masyarakat boleh hidup selesa, aman dan makmur.

Ada dua jenis adat yang paling berkembang di Tanah Melayu iaitu Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Sementara di Sarawak, masyarakat Bumiputera mengamalkan Adat Dusun Tunggu manakala Adat Tenom, Adat Dusun dan Adat Temogun diamalkan di Sabah.

ISI

(A) Adat Temenggung
Pengasasnya Datuk Ketemenggungan, berasal dari Palembang, Sumatera. Dibawa ke Tanah Melayu oleh keturunan Diraja Palembang. Adat ini juga diresapi oleh unsur-unsur Islam Mazhab Shafie.

Adat ini diamalkan secara meluas di semua negeri Tanah Melayu kecuali Negeri Sembilan dan kawasan Naning di Melaka.

Adat Temenggung bersifat patriarchal iaitu lebih mengutamakan lelaki sebagai ketua keluarga.

Keluarga sebelah bapa dan sebelah ibu dianggap sama penting. Kaum lelaki mewarisi harta pusaka keluarga. Anak lelaki mewarisi harta dengan kadar 2/3 berbanding anak perempuan berdasarkan anak lelaki lebih besar tanggungjawabnya dalam keluarga berbanding anak perempuan. Manakala anak perempuan mendapat hak 1/3 daripada harta pusaka.

Sistem pemerintahan Adat Temenggung bersifat autokrasi iaitu sultan berkuasa penuh dalam pemerintahan. Sultan atau pemerintah berkuasa penuh ke atas masyarakat dan menentukan bentuk undang-undang.

Pelantikan seseorang sultan mengikut warisan. Biasanya putera sulung sultan akan menjadi pemerintah.

Hukuman ke atas kesalahan jenayah lebih keras. Bentuk hukuman berdasarkan prinsip pembalasan. Kesalahan membunuh akan dihukum bunuh.


Peraturan perkahwinan berdasarkan undang-undang Islam. Dibenarkan berkahwin dengan sesiapa sahaja asalkan tiada pertalian darah. Perempuan yang berkahwin dikehendaki tinggal bersama-sama dengan keluarga ibu bapa suaminya.

(B) Adat Perpatih

Diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang yang berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera. Adat ini telah dibawa masuk ke Tanah Melayu dan disebarkan oleh orang-orang Minangkabau dan berkembang di Negeri Sembilan serta Naning di Utara Melaka pada abad ke-17. Terdapat perbezaan antara Adat Temenggung dengan Adat Perpatih.

Adat Perpatih bersifat matriarchal iaitu lebih mengutamakan kaum wanita kerana wanita dianggap sebagai pengasas suku.

Harta pusaka turun-temurun ialah kepunyaan suku. Pewarisan harta pusaka diberatkan sebelah ibu, anak perempuan menjadi asas wujudnya suku.

Sistem pemerintahan Adat Perpatih bercorak demikrasi dan permuafakatan. Ini bermakna kuasa pemerintah tidak terletak di tangan seorang sahaja. Terdapat empat orang Undang memilih seorang kerabat diraja untuk menjadi Yam Tuan Besar Negeri Sembilan. Di bawah Undang dan Penghulu ialah Lembaga, di bawah Lembaga terdapat Buapak. Buapak menjadi ketua bagi Perut.

Hukuman Adat Perpatih bersifat pemulihan. Tidak bertujuan untuk menghukum pesalah, sebaliknya bertujuan untuk mendidik dan membaiki keadaan. Ia lebih bersifat kemanusiaan dan bertimbang rasa serta memberi peluang kepada pesalah insaf. Oleh itu, pesalah akan didenda dengan membayar ganti rugi seperti si pembunuh mesti menanggung kehidupan keluarga si mati.

Perkahwinan sesama suku dilarang kerana ahli dalam sesuatu suku mempunyai hubungan yang sangat erat dan dianggap bersaudara. Setelah berkahwin suami dikehendaki menetap bersama keluarga perempuan.

(C) Hukum Adat Masyarakat Bumiputera Sarawak dan Sabah

Di Sabah dan Sarawak hukum adat juga memainkan peranan penting dalam peraturan hidup.

Masyarakat bumiputera Sarawak mengamalkan Adat Dusun Tunggu dan Undang-undang Mahkamah Melayu. Hukum adat mengawal soal bertanam padi dan tempat tinggal orang Iban. Hukum adat menentukan tanah kampung halaman adalah kepunyaan bersama sesuatu kumpulan masyarakat.

Semua penduduk rumah panjang dalam kumpulan berkenaan berhak bercucuk tanam, memburu dan mengambil hasil-hasil hutan di kawasan kampung mereka.

Kegagalan melaporkan sesuatu bencana, kecemasan, tidak bekerjasama terhadap sesuatu tindakan yang dipersetujui bersama, pelawat yang memasuki rumah panjang tanpa menanggalkan parang adalah contoh yang akan dikenakan hukuman.

Di peringkat kampung, hukum adat dilaksanakan oleh ketua kampung atau Majlis Orang Tua-tua. Dalam sesuatu perbicaraan biasanya terdapat tiga orang hakim untuk mengadili kes iaitu Pengeran Temenggung atau Datuk Orang Kaya yang mewakili Sultan Brunei dan dua orang wakil suku-suku yang terlibat dalam kes berkenaan.

Bagi masyarakat Sabah, mereka mengamalkan Adat Dusun, Adat Tenom dan Adat Timogun.

KESIMPULAN

Hukum adat mempunyai peranan penting bagi mengekalkan peraturan hidup agar dapat menjamin keharmonian dalam masyarakat, menentukan hak dan mengawal tingkah laku individu dalam kehidupan masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...