Rabu, 13 April 2011

SEJARAH 2 (MALAYSIA) STPM

TEMA 2 :TRANSFORMASI MASYARAKAT

BAB 5 : CAMPUR TANGAN BRITISH

Bincangkan kesan-kesan campur tangan British di Tanah Melayu menjelang tahun 1870-an.

Pendahuluan
 
Sebelum tahun 1874, British mengamalkan polisi tidak campur tangan di Negeri-negeri Melayu. Pegawai British juga diarahkan supaya hanya menumpukan perhatian di Negeri-negeri Selat. Tujuannya adalah untuk mengelakkan permusuhan dengan Siam kerana Negeri-negeri Melayu, khasnya Negeri-negeri Melayu Utara diakui sebagai negeri naungan Siam. Selain itu, penglibatan mereka dalam Perang Naning (1831-1832) yang menyebabkan mereka mengalami kerugian $100 ribu juga menyedarkan mereka supaya tidak campur tangan. Tetapi selepas tahun 1874, akibat beberapa faktor seperti faktor ekonomi, kebimbangan terhadap kuasa asing yang lain, keselamatan Negeri-negeri Selat, faktor kemanusiaan, perubahan pegawai dan tindakan Sir Andrew Clarke telah menyebabkan campur tangan British. Campur tangan British ini telah meninggalkan banyak kesan di Tanah Melayu, Borneo sama ada dari segi ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya.
 
Isi-isi

Kesan utama campur tangan British di Tanah Melayu ialah kewujudan msayarakat majmuk atau masyarakat berbilang kaum. Apabila British datang ke Tanah Melayu, tujuan utama mereka adalah memperolehi sumber bahan mentah seperti bijih timah bagi perusahaan mereka di Eropah. Akibat Revolusi Perindustrian yang berlaku di Eropah, permintaan terhadap bijih timah semakin meningkat sehingga akhirnya pengeluaran tidak dapat menampung permintaan. Kelebihan permintaan timah mendorong British menggalakkan para pengeluar untuk mengeluarkan lebih banyak bijih timah kerana perdagangan bijih timah ini amat menguntungkan. Tetapi masalah telah ditemui apabila para pelombong Melayu enggan bekerjasama dengan pihak British. British dengan initiatifnya telah membawa orang Cina dari China untuk bekerja di tapak perlombongan untuk mengatasi masalah kekurangan buruh di samping meningkatkan pengeluaran. Selain perusahaan bijih timah, perusahaan getah juga menjadi semakin giat pada abad ke-19. Ladang telah dibuka secara besar-besaran dan permintaan terhadap tenaga buruh untuk bekerja di ladang getah juga semakin meningkat. Orang Melayu di Tanah Melayu enggan bekerjasama dengan British dalam hal ini menyebabkan British terpaksa membawa masuk orang India ke Tanah Melayu untuk mengusahakan ladang getah. Orang Cina dan orang India yang datang membawa masuk bahasa, agama dan budaya mereka yang tersendiri. Mereka melibatkan diri dalam perusahaan yang berbeza. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak bergaul kecuali di pasar untuk membeli-belah.
 
Campur tangan British di Tanah Melayu juga menyebabkan masyarakat tempatan menentang kedatangan mereka terutamanya apabila tindakan mereka yang telah mengancam kepentingan mereka. Di Sungai Ujong, tindakan British yang melantik Dato’ Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong ditentang kuat oleh Dato’ Syahbandar. Sebagai balasan, Dato’ Syahbandar melancarkan serangan terhadap Dato’ Kelana. Tetapi, atas bantuan British, Dato’ Syahbandar dikalahkan oleh Dato’ Kelana dan terpaksa berundur ke Selangor. Dato’ Syahbandar dipaksa mengaku salah kemudian, pihak British menetapkannya di Singapura. Di Seri Menanti, Tengku Antah membantah perlantikan Kapten Tatham sebagai penolong Residen di Sungai Ujong. Dato’ Kelana di Sungan Ujong pula tidak mengiktiraf perlantikan Tengku Antah sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti. Perselisihan menjadi hebat apabila Dato’ Kelana menuntut kawasan Terachi. Pertempuran di antara mereka telah berlaku dan Tengku Antah telah dikalahkan oleh Dato’ Kelana yang dibantu oleh pihak British. Tengku Antah terpaksa berundur ke Bukit Putus tetapi kawasan ini akhirnya juga ditawan oleh British. Atas usaha Maharaja Abu Bakar di Johor, pada bulan Disember 1876, perundingan telah diadakan di antara British dengan Tengku Antah dan satu perjanjian damai telah ditandatangani bagi menyelesaikan masalah ini.
 
Di Perak pula, tindakan J.W.W. Birch telah menyebabkan masyarakat Melayu di Perak tidak senang hati. Pembaharuan Birch telah bercanggah dengan amalan tradisi Melayu seperti pembasmian hamba adbi dan pembatalan hak pajakan. Keadaan ini telah menyebabkan hubungan Birch dan Sultan Abdullah menjadi tegang. Tambahan pula, tindakan Sir William Jervols seterusnya menyebabkan keadaan menjadi semakin teruk. Maka, Sultan Abdullah telah mengadakan persidangan dengan pembesarnya di Durian Sebatang dan mengamanahkan Dato’ Maharaja Lela untuk membunuh Birch. Pada 2 November 1875, Birch ditikam oleh orang suruhan Dato’ Maharaja Lela di Sungai Pasir Salak. Peristiwa ini menggempakan British. British dengan segera mendapat bantuan dari India dan Hong Kong dan menawan Pasir Salak, Kota Lama dan kawasan di sekitar. Dato’ Maharaja Lela dan Pandak Induk serta Dato’ Sagor dihukum mati dan yang lain do buang negeri ke Pulau Seychelles termasuk Sultan Abdullah. Raja Ismail diarahkan pergi ke Johor dan Raja Yusof dilantik sebagai Sultan.
 
Di Pahang, campur tangan British tidak disenangi oleh pembesar-pembesar seperti Dato’ Bahaman dan Tok Gajah. Apabila J.P. Rodger dilantik sebagai Residen di Pahang, beliau mengambil langkah terburu-buru untuk memperkenalkan peraturan baru yang bercanggah dengan sistem tradisional Pahang. Tindakan ini menyebabkan Dato’ Bahaman melancarkan tentangan terhadap pentadbiran baru yang diwujudkan. Beliau melancarkan beberapa serangan dengan bantuan Mat Kilau dan pengikut-pengikutnya. Tetapi British telah berjaya mematahkan serangan ini, malah Dato’ Bahaman dan Mat Kilau terpaksa berundur ke Terengganu. Walaupun serangan balas dilakukan tetapi akhirnya semua menemui kegagalan sehinggalah Dato’ Bahaman terpaks berundur ke Siam dan menetap di situ.
 
Di Kelantan, peraturan baru yang diperkenalkan oleh W.A. Graham menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Kelantan. Tambahan pula, tindakan British yang menggunakan pegawai-pegawai Melayu dari luar negeri Kelantan untuk melaksanakan peraturan-peraturan tersebut juga tidak disukai oleh pembesar di Kelantan. Tindakan British ini telah mencetuskan kebangkitan di daerah Pasir Putih, Kelantan pada tahun 1915. Kebangkitan ini adalah dibawah pimpinan Tok Janggut dan berjaya buat sementara mengundurkan kakitangan kerajaan yang bertugas di Kota Bharu. Namun, kebangkitan ini telah gagal mempertahankan kejayaannya. Pasukan British balas dengan cepat dan berjaya mematahkan kebangkitan dan Tok Janggut sendiri terkorban dalam pertempuran.
 
Dari segi pentadbiran, campur tangan British telah membuat penyesuaian baru dalam sistem pemerintahan tradisional. Satu sistem yang dipanggil sebagai Sistem Residen telah diperkenalkan di negeri Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang. Sistem ini adalah berdasarkan konsep pemerintahan secara tidak langsung di mana Kerajaan British memerintah tanpa sebarang tanggungjawab yang berat. Menurut sistem ini, Sultan dan pembesar Melayu dapat mengekalkan kedudukannya. Seorang Residen British dilantik untuk menasihati Sultan dalam semua perkara kecuali adat istiadat Melayu dan agama Islam. Di bawah sistem ini, Sultan tidak lagi berkuasa penuh dalam pentadbiran dan terpaksa menerima nasihat Residen. Sistem ini telah ditamatkan pada tahun 1895 dan digantikan dengan sistem pentadbiran berasaskan persekutuan.
 
Dari segi ekonomi, ekonomi yang bercorak pertanian sara diri telah berubah menjadi ekonomi komersil atau ekonomi perdagangan. Perkembangan yang dapat dilihat adalah dalam sektor pertanian niaga dan perlombongan. Dalam sektor perlombongan, perusahaan bijih timah menjadi semakin maju. Ramai orang Cina telah dibawa masuk ke daerah Lukut, Ampang, Klang dan Kuala Lumpur untuk mengusahakan kawasan lombong bijih timah. Kedatangan orang Cina telah membekalkan tenaga buruh yang mencukupi. Seterusnya, pelbagai cara baru juga diperkenalkan untuk melombong dengan lebih berkesan. Antaranya ialah lombong dedah dan cara pam. Penggunaan teknik baru ini telah menyebabkan hasil lombong bijih timah meningkat berlipat ganda. Dalam sektor pertanian juga, getah telah diperkenalkan. Penanaman getah adalah hasil usaha Sir Henry Wickham. Pada tahun 1876, beliau pergi ke Brazil untuk mendapatkan benih getah dan menanamnya di Taman Kew di London. Pada tahun 1877, 22 anak pokok dihantar ke Singapura. Beberapa daripadanya ditanam di Taman Bunga Singapura dan yang lain dihantar ke Kuala Kangsar. Pada mulanya, sambutannya tidak begitu baik dan hanya dijalankan oleh pengusaha Inggeris. Peladang-peladang tempatan lebih suka menanam kopi yang mempunyai harga tinggi di pasaran dunia. Namun demikian, penanaman getah telah berkembang dengan pesat pada awal abad ke-20 kerana permintaan tinggi bagi getah dalam pasaran dunia.
 
Dari segi pendidikan, dasar pendidikan British mewujudkan 5 jenis sistem persekolahan yang berasingan antara satu sama lain telah menyebabkan sekolah-sekolah tersebut terpisah. Setiap sekolah khusus untuk sesuatu kaum tertentu sahaja seperti sekolah Melayu untuk orang Melayu, sekolah Cina untuk orang Cina dan sebagainya. Selain itu, bahasa pengantar yang digunakan juga berbeza. Kurikulum yang digunakan oleh setiap sekolah turut mengikut sukatan pelajaran di sekolah-sekolah negara asal. Perbezaan yang ketara ini wujud kerana penjajah British telah mengabaikan pengawalan dan perancangan pendidikan di negara kita. Malah, penjajah British juga tidak berminat untuk membangunkan rakyat melalui pendidikan.

Kesimpulan

Selepas tahun 1870-an, campur tangan British semakin meluas dan pengaruhnya semakin kukuh di Tanah Melayu. Selepas semua penentangan masyarakat tempatan dipatahkan, British pun dapat memerintah dan mentadbir Negeri-negeri Melayu dengan lancar. Pelbagai pembaharuan telah dilakukan dalam pelbagai aspek sehinggalah akhirnya terbentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...