Khamis, 28 April 2011

TEMA 3: SEJARAH 2 STPM(CHINA)


TEMA 3 : NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
BAB 10 : PERSATUAN DAN KESATUAN

Peranan Sun Yat Sen dalam Revolusi 1911
 
Pengenalan
Sun Yat Sen yang dikenali sebagai bapa Revolusi China dilahirkan pada tahun 1866 di Hsiang Shan 40 batu dari Canton dalam wilayah Kwangtung di Selatan China. Beliau memperolehi pendidikan tradisional sehingga berumur 12 tahun. Pada tahun 1879, beliau dihantar ke Hawaii dan tinggal bersama saudara tuanya Sun Mei atau Sun Teh Chang. Di Hawali beliau memasuki sekolah mubaligh Protestan iaitu Bishop College School. Sejak itu, beliau dipengaruhi oleh idea-idea Barat dan tidak lagi percaya kepada unsur-unsur tradisi dan konservatif China. Hal ini terbukti bila beliau memotong tocangnya dan kemudiannya memeluk agama Kristian. Pada tahun 1883, beliau kembali ke China dan memasuki sekolah perubatan di Hong Kong. Selepas mendapat diploma perubatan dan pembedahan beliau mempraktikkannya di Macau.
 

Peranan Sun Yat Sen

Segala sikap dan tindakan serta fahaman Sun Yat Sen telah mempengaruhi perkembangan Revolusi China yang meletus pada 10 Oktober 1911 akibat ketidakpuasan orang-orang Cina terhadap pemerintahan Manchu. Pada tahun 1894, Sun Yat Sen telah menghantar satu memorandum kepada Li Hung Chang mendesak perlantikan pegawai-pegawai China yang terlatih secara Barat ke dalam perkhidmatan kerajaan. Pada peringkat awalnya, Sun Yat Sen hanya bertujuan untuk memoden, menguat dan memulihkan negeri China. Apabila memorandumnya ditolak, Sun Yat Sen berazam untuk melancarkan Revolusi China bagi menggulingkan Dinasti Manchu. Kegagalan rancangan pembaharuan seperti Gerakan Memperkuatkan Diri 1861-1894 dan Islah 1898 menyedarkan beliau bahawa Dinasti Manchu perlu digulingkan supaya perubahan dan pembaharuan dapat dilaksanakan di China.
1.         Pertubuhan revolusiner ke arah gerakan anti Manchu
Dalam usaha untuk menguatkan gerakan menentang Manchu, Sun Yat Sen telah menubuhkan “Perkumpulan Menghidupkan Semula China” yang dikenali sebagai Hsing Chung Hui di Hawaii pada tahun 1894. Tujuannya ialah untuk menjalankan gerakan bagi menggulingkan Dinasti Manchu. Cawangan-cawangan Hsing Chung Hui telah ditubuhkan di Canton, Macau dan Hong Kong. Pada tahun 1895, Sun Yat Sen telah melancarkan pemberontakan di Canton dan pada tahun 1900 di wilayah Kwangtung. Beliau juga telah mempengaruhi orang-orang Cina ke arah gerakan anti Manchu. Kegagalan pemberontakan tersebut telah menyebabkan Sun Yat Sen melarikan diri ke Filipina dan kemudiannya ke Amerika. Dari Amerika, beliau telah pergi ke London dan ditahan oleh agen-agen Manchu. Walau bagaimanapun, campur tangan gurunya Sir James Cantlie dan dengan kerjasama Kerajaan British, beliau telah dibebaskan. Beliau kemudiannya melawat negara-negara Eropah dan juga Jepun dengan tujuan untuk mendapat sokongan orang-orang Cina seberang laut ke arah melancarkan Revolusi China. Pada peringkat awal kegiatannya, Sun Yat Sen mendapat saingan daripada pertubuhan yang memperjuangkan pengekalan sistem monarki di negeri China iaitu Emperor Protection Society di bawah pimpinan Kang Yu Wei dan Liang Chih Chao. Mereka menolak idea melancarkan revolusi dan membentuk sebuah republik. Sungguhpun mendapat saingan dari Emperor Protection Society, ia tidak menghalang cita-cita Sun Yat Sen untuk meneruskan gerakan menjatuhkan Dinasti Manchu.
Pada tahun 1905, Sun Yat Sen sekali lagi melawat Eropah dan Jepun dengan tujuan untuk mendapat sokongan penuntut-penuntut China di sana. Beliau telah mengadakan pertemuan dan menubuhkan perkumpulan-perkumpulan pelajar di Tokyo, Brussels, Paris, Berlim, London dan lain-lain. Beliau telah berjaya mempengaruhi mereka ke arah melaksanakan revolusi bagi menggulingkan Dinasti Manchu. Semasa di Tokyo pada September 1905, Sun Yat Sen bersama-sama Huang Hsing dan Sung Chiao Jen telah menubuhkan Liga Bersatu yang dikenali sebagai Tung Meng Hui yang merupakan gabungan pertubuhan anti Manchu iaitu Hsing Chung Hui, Hua Hsing Hui dan Kung Fu Hui. Tung Meng Hui ditubuhkan dengan tujuan untuk menggulingkan Dinasti Manchu dan menubuhkan sebuah republik di China. Selain itu, Tung Meng Hui juga akan menjadikan tanah-tanah hak kerajaan dan menghapuskan penguasaan kuasa-kuasa asing di China. Pimpinan Tung Meng Hui dikuasai oleh Sun Yat Sen dan Tung Meng Hui merupakan pertubuhan revolusiner yang paling berkesan yang terdapat di China ketika itu. Anggota-anggota Tung Meng Hui berjumlah 10,000 orang dalam tempoh setahun penubuhannya. Cawangan-cawangan Tung Meng Hui telah ditubuhkan di Singapura, Brussels, San Francisco dan Honolulu. Manakala di  China, cawangan-cawangan Tung Meng Hui telah ditubuhkan di Hankow, Wuchang dan Hanyang. Sun Yat Sen telah melawat tempat-tempat di mana terdapat orang-orang Cina seberang laut dengan tujuan untuk mendapat sokongan mereka ke arah menjayakan Revolusi China. Melalui cawangan-cawangan seberang laut Tung Meng Hui, Sun Yat Sen mendapat bantuan kewangan dan merekrut sukarelawan bagi melaksanakan revolusi.
2.         Mengembangkan perasaan anti Manchu
Matlamat utama Sun Yat Sen ialah menyatupadukan orang-orang Cina dalam usaha untuk menentang Dinasti Manchu. Beliau telah memainkan peranan penting dalam perkembangan perasaan anti Manchu di kalangan orang-orang Cina terutamanya kongsi gelap-kongsi gelap. Beliau telah berkhutbah mengenai pemberontakan nasionalis melalui rencana-rencana akhbar, Sun Yat Sen telah menerbitkan akhbarnya sendiri iaitu Min Pao di Tokyo bagi menjalankan propaganda anti Manchu dan menyebarkan idea-idea revolusi. Beliau telah berjaya mengeksploitasikan perasaan anti Manchu di kalangan anggota-anggota kongsi gelap. Gerakan revolusiner di bawah pimpinan Sun Yat Sen telah mendapat sokongan pelajar-pelajar, rakyat China yang tidak berpuas hati dengan Kerajaan Manchu, ahli-ahli kongsi gelap dan tentera Cina yang dilatih secara Barat. Sejak tahun 1909, beliau sering melakukan lawatan-lawatan ke luar negeri seperti Amerika, Hawaii, Eropah, Jepun dan kemudian ke Selatan seperti Hong Kong serta Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu dalam usaha-usaha untuk mendapat sokongan orang-orang Cina serta mendapat bantuan kewangan dari orang-orang Cina seberang laut bagi menjayakan perjuangannya.
3.         Prinsip-prinsip perjuangan
Sun Yat Sen telah mengemukakan ideologi revolusi yang jelas dalam menjayakan perjuangannya. Langkah awal yang dijalankan oleh Sun Yat Sen ialah untuk menyedarkan “Fahaman Republik” di kalangan orang-orang Cina supaya perjuangannya akan mendapat sokongan ramai. Prinsip perjuangan Sun Yat Sen dikenali sebagai Tiga Prinsip Rakyat atau San Min Chu I iaitu nasionalisme, demokrasi dan kebajikan sosial atau penghidupan rakyat. Prinsip “nasionalisme” dikhaskan kepada orang-orang Cina dalam perjuangan membebaskan negeri China dari Kerajaan Manchu. Walau bagaimanapun, perjuangan Sun Yat Sen menyentuh imperialisme Barat kerana beliau mendapat sokongan dan bantuan kuasa-kuasa Barat. Prinsip kedua iaitu “demokrasi” bertujuan untuk menggantikan pemerintahan Manchu atau pemerintahan monarki kepada corak republik atau demokrasi. Prinsip ketiga bermaksud pemerintahan yang akan mengutamakan kebajikan rakyat. Ideologi San Min Chu I telah menyumbangkan kepada perkembangan gerakan revolusiner di negeri China kerana ramai orang Cina telah dipengaruhi olehnya.
4.         Revolusi
Antara tahun 1895-1911, Sun Yat Sen danpengikutnya telah merancang, mengatur dan mengetuai sepuluh pemberontakan dan beberapa pembunuhan di negeri China. Walaupun pemberontakan-pemberontakan itu gagal tetapi ianya telah mengakibatkan kemerosotan pengaruh dan martabat Kerajaan Manchu. Pemberontakan Wuchang di bawah pimpinan Li Yuan Hung yang meletus pada 10 Oktober 1911 yang menandakan permulaan Revolusi China dimulakan oleh tentera-tentera China yang dipengaruhi oleh Tung Meng Hui. Wilayah-wilayah lain dibawah pengaruh Tung Meng Hui juga turut meberontak dan mengisytiharkan bebas dari Kerajaan Peking. Revolusi ini telah menyebabkan kejatuhan Dinasti Manchu dan penubuhan sebuah republik di China apabila Maharaja Hsuan Tung atau Pu Yi diturunkan takhta pada 12 Februari 1912.
 

Kesimpulan

Revolusi China bermula dengan rasminya pda 10 Oktober 1911 dan Sun Yat Sen tidak berada di China semasa meletusnya revolusi tersebut. Beliau hanya mengetahui mengenai revolusi melalui akhbar semasa berada di Amerika. Beliau kembali ke China pada 25 Disember 1911 dan dilantik sebagai Presiden Sementara pada 29 Disember 1911. Sun Yat Sen memegang jawatan tersebut secara rasminya pada 1 Januari 1912. Akibat dari saingan Yuan Shih Kai, Sun Yat Sen telah menyerahkan jawatan Presidennya kepada Yuan Shih Kai pada 15 Februari 1912.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...