Rabu, 13 April 2011

SEJARAH 2 (MALAYSIA) STPM


TEMA 2 : TRANSFORMASI MASYARAKAT
BAB 7 : KESAN TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA

Bincangkan tindak balas pribumi terhadap campur tangan British di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

PENDAHULUAN

Sebelum tahun 1874, British mengamalkan polisi tidak campur tangan di Negeri-negeri Melayu. Pegawai-pegawai British diarahkan supaya hanya menumpukan perhatian di Negeri-negeri Selat. Tujuannya ialah untuk mengelakkan permusuhan dengan Siam kerana Negeri-negeri Melayu khususnya Negeri-negeri Melayu Utara yang diakui sebagai negeri-negeri naungan Siam. Tetapi selepas tahun 1874, British mula mengubah polisinya terhadap Negeri-negeri Melayu dari dasar tidak campur tangan kepada dasar campur tangan. Pada mula-mulanya, British campur tangan di Perak, Selangor, Sungai Ujong dan Pahang. Seterusnya, campur tangan mereka merebak ke negeri Kelantan dan Terengganu selepas Perjanjian Bangkok 1909 ditandatangani. Campur tangan mereka di negeri-negeri tersebut telah membawa kepada perubahan pelbagai aspek dalam negeri tersebut. Keadaan ini telah menjejaskan kepentingan penduduk pribumi dan akhirnya mereka bangun bertindak untuk menentang pemerintahan British.
 
ISI-ISI PENTING

Di Pahang, perlantikan J.P. Rodger sebagai Residen Inggeris pertama amat tidak disenangi oleh pembesar-pembesar terutamanya Dato’ Bahaman dan Tok Gajah. Mereka ini pernah membantu Wan Ahmad dalam Perang Saudara (1857-1863) untuk merebut takhta kerajaan daripada abangnya, Wan Mutahir. Sebagai balasan, pmbesar-pembesar itu dianugerahi gelaran oleh Sultan Ahmad. Dato’ Bahaman dilantik sebagai Orang Kaya Semantan, Tok Gajah dilantik sebagai Orang Besar Raja. Apabila J.P. Rodger dilantik sebagai Residen Pahang pada bulan Oktober 1888, beliau mengambil langkah terburu-buru untuk memperkenalkan peraturan baru yang bercanggah dengan sistem tradisional Pahang. Keadaan inilah yang menjadi punca kepada tercetusnya peristiwa penentangan yang dipimpin oleh Daro’ Bahaman dan dibantu oleh Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau.
 
Pada bulan Disember 1891, orang Melayu Pahang di bawah pimpinan Dato’ Bahaman melancarkan tentangan terhadap pentadbiran baru yang diwujudkan oleh Inggeris. Beliau mendapat sokongan daripada Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau. Dato’ Bahaman melancarkan serangan ke atas rombongan C.E.B. Desborough yang menawan dan enggan menyerahkan tiga orang pengikut Dato’ Bahaman yang dituduh mengutip cukai secara haram. Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya datang ke Bentong berjumpa dengan Penghulu di situ untuk melancarkan serangan ke atas balai polis di Bentong. Pada awal tahun 1892, Sultan Ahmad dan pembesar-pembesar Pahang mengadakan perjumpaan sulit di Pulau Tawar. Sultan Ahmad berjanji akan mengekalkan kedudukan tradisi pembesar. Sementara itu, para pembesar akan merujuk kepada Sultan terlebih dahulu sebelum menghubungi Residen Inggeris. Pada bulan Mac 1892, Dato’ Bahaman melancarkan serangan ke atas Lubuk Trua dan berjaya menawan bandar Temerloh. Pasukan Inggeris di bawah pimpinan Hugh Low dan E.A. Wise bersama angkatan Tengku Ali membuat serangan balas ke atas Dato’ Bahaman di Temerloh dan pertahanannya dimusnahkan. Beliau dan pengikut-pengikutnya sempat mengundurkan diri ke dalam hutan. Pada bulan April 1892, Panglima Muda Jempul menyerang Pekan. Beliau telah membunuh dua orang pegawai Inggeris iaitu Harris dan Steward. Pada 8 Mei 1892, berlaku pertempuran di Batu Hampar. Dato’ Bahaman dikalahkan dan anaknya Awang Hamat terbunuh sementara Mat Lela pula cedera. Seterusnya, pengikut-pengikut Mat Kilau melancarkan serangan terhadap Inggeris dan menyebabkan beberapa orang Cina dan polis Sikh terbunuh pada awal bulan Mei 1892. Apabila Inggeris membuat serangan bebas, Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan pengikut-pengikutnya berundur ke Kuala Ceka tetapi mereka diserang di situ oleh tentera Inggeris. Akibatnya, Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya terpaksa berundur ke Terengganu. Pada bulan Ogos 1892, Tok Gajah dan keluarganya berundur ke Kuala Tembeling dan bergabung dengan gerakan menentang Inggeris. Akhirnya, menjelang bulan September 1892, para pejuang Pahang mengundurkan diri ke Kelantan dan Terengganu. Inggeris memujuk Dato’ Bahaman dan Tok Gajah supaya menyerahkan diri dan dijaminkan pengampunan. Namun demikian, mereka enggan menyerah diri.
 
Ketika bersembunyi di Terengganu, para pejuang Pahang mendapat perangsang dari seorang ulama bernama Tokku Paloh. Tokku Paloh menanam semangat perang jihad dan menghadiahkan sebilah pedang bertulis ayat al-Quran. Pada bulan Jun 1894, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau serta pengikut-pengikutnya melancarkan serangan ke atas balai polis di Kuala Tembeling. Lima orang polis terbunuh. Kemudian mereka menyerang dan menawan Kubu Jeram Ampai untuk mempertahankan kedudukan mereka. Pasukan Inggeris dengan bantuan orang Pahang telah melancarkan tindak balas. Pertempuran berlaku di Jeram Ampai dan pihak Inggeris menawan kubu itu. Para pejuang Pahang sekali lagi terpaksa mengundurkan diri ke Kelantan dan Terengganu. Hugh Clifford mengetuai sepasukan askar untuk memberkas mereka tetapi tidak berjaya kerana Sultan Kelantan dan Sultan Terengganu tidak memberi kerjasama yang diharapkan. Pada bulan November 1895, beberapa orang pembesar termasuk Dato’ Bahaman berundur ke Siam dan menetap di situ. Pembesar-pembesar lain seperti Tok Gajah dan Mat Kilau diwartakan meninggal dunia. Keseluruhannya perjuangan orang Melayu Pahang pada tahun 1891 hingga tahun 1895 mengalami kegagalan.
 
Di Kelantan pula, kebangkitan menentang British bermuka sejak termeterainya Pengisytiharaan Inggeris-Siam 1902. Menurutnya, seorang Inggeris bernama William Amstrong Graham dilantik sebagai penasihat dan Pesuruhjaya Siam di Kelantan pada bulan Julai 1903. Beliau telah memperkenalkan pelbagai peraturan baru dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Kelantan. Kebangkitan ini semakin hebat apabila Perjanjian Bangkok 1909 ditandatangani antara British dengan Siam. Penglibatan British dalam pentadbiran Kelantan menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga tercetusnya kebangkitan di daerah Pasir Putih pada tahun 1915 yang diketuai oleh Haji Mat Hassan bin Munas (Tok Janggut).
 
Tok Janggut yang mendapat sokongan daripada Engku Besar Jeram Tun Ahmad dan disokonh oleh Haji Said, Che Ishak, Penghulu Adam, Tok Husin, Tok Abas, Tok Laboh dan Tok Deraman telah menjalankan kempen mempengaruhi penduduk Pasir Putih menentang peraturan baru serta menentang Inggeris. Pad 28 April 1915, Encik Abdul Latiff, Pegawai Daerah Jajahan Pasir Putih mendapat berita yang Tok Janggut dan pengikutnya bermesyuarat di Kampung Jeram. Pada 29 April 1915, beliau menghantar Sarjan Che Wan dan beberapa orang anggota polis untuk menangkap Tok Janggut atas tuduhan tidak membayar cukai. Dalam pertengkaran yang berlaku, Sarjan Che Wan ditikam oleh Tok Janggut dan anggota polis yang lain dapat menyelamatkan diri dan membuat laporan kepada Encik Latiff. Peristiwa pembunuhan itu mencetuskan penentangan bersenjata rakyat Kelantan terhadap Inggeris di Jeram. Encik Latiff cuba mengambil tindak balas dengan menghantar 7 orang polis untuk menangkap Tok Janggut. Apabila pasukan polis tiba di Kampung Kelubi, mereka diberitahu bahawa Tok Janggut dan pengikutnya sedang mara hendak menyerang Pasir Putih. Dengan itu, Encik Abdul Latiff bersama kakitangannya berundur ke Kota Bharu dengan bot melalui Kuala Semerak. Tok Janggut, Engku Besar Jeram, Penghulu Adam dan Che Ishak Merbol melancarkan serangan tiga penjuru ke atas Pasir Putih kira-kira pukul 4 petang pada 29 April 1915 dan mendudukinya selama 3 hari. Mereka membakar pejabat-pejabat kerajaan, menawan balai polis dan membebaskan orang tahanan. Mereka kemudian menubuhkan kerajaan sementara di Pasir Putih. Engku Besar Jeram sebagai Raja Jeram dna Tok Janggut sebagai Perdana Menteri. Penasihat Inggeris, W. Longham Carter menerima berita ke atas serangan Pasir Putih pada 30 April 1915. Beliau menasihati Sultan Muhammad IV supaya menguatkan pertahanan Kota Bharu. Penasihat Inggeris meminta bantuan dari Singapura. Pada 5 Mei 1915, bantuan dari Singapura tiba di Tumpat dengan Kapal H.M.S. Cadmus yang terdiri daripada 239 orang di bawah pimpinan Kolonel C.W. Brownlow. Pada 9 Mei 1915, pasukan Inggeris tiba di Pasir Putih tetapi gagal menangkap pemimpin yang terlibat. Kebanyakan pemimpin telah melarikan diri ke dalam hutan dan juga ke Besut. Hadiah $500 ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut atau Engku Besar. Penghulu Adam telah menyerah diri. Rumah Tok Janggut, Che Ishak Merbol dan Haji Said dibakar. Pada 23 Mei 1915, Tok Janggut sekali lagi melancarkan serangan ke atas Pasir Putih. Hal ini memaksa Major Borton bersama 50 orang polis Sikh dan 7 orang Eropah datang ke Jeram pada 24 Mei 1915 untuk menjejaki kedudukan Tok Janggut dan pengikutnya. Tok Janggut dan pengikutnya yang berkubu di Kampung Dalam Pupuh akhirnya bertempur dengan pasukan Inggeris. Dalam pertempuran ini, Engku Besar Jeram Tun Ahmad telah mengalami kecederaan dan diselamatkan oleh Awang Deraman ke Reman, Negeri Thai. Mayat Tok Janggut di bawa ke Kota Bhasa. Setelah diarak, mayat beliau digantungkan dengan kepala di bawah di Padang Bank atau Padang Merdeka, Kota Bharu selama satu jam sebelum dimakamkan di Pasir Putih. Kebangkitan ini berjaya buat sementara sahaja dan mengalami kegagalan pada akhirnya disebabkan tindak balas British yang cepat dan handal.
 
Usaha British meluaskan kuasa di Terengganu turut menyebabkan kebangkitan rakyat menentang British antara tahun 1922 hingga 1928. Punca kebangkitan ini juga disebabkan oleh tindakan British yang memperkenalkan peraturan yang mencabul kepentingan penduduk pribumi Terengganu dan peraturan yang bercanggah dengan agama Islam.
 
Penentangan terhadap British yang pertama berlaku pada tahun 1922 di Hulu Telemong. Penentangan bermula apabila 43 orang rakyat ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membersihkan tanah dan bercucuk tanam tanpa mendapatkan pas kebenaran daripada Kerajaan Inggeris. Mereka dibela oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau berjaya membebaskan mereka dari tuduhan dengan menitikberatkan undang-undang Islam.
 
Pada tahun 1925, satu lagi kebangkitan menentang campur tangan British berlaku di Kuala Telemong. Kebangkitan ini disebabkan oleh beberapa orang yang telah membersihkan tanah kepunyaan Tengku Haji Nik dan tanah kerajaan yang terbiar untuk bercucuk tanam tanpa meminta pas kebenaran. Kebangkitan ini telah mendapat sokongan yang kuat daripada rakyat Terengganu. Walau bagaimanapun, tidak berlaku sebarang kejadian buruk dalam kebangkitan tersebut.
 
Peristiwa kebangkitan rakyat Terengganu di Hulu Telemong dan Kuala Telemong menambahkan lagi kebencian rakyat terhadap British. Semangat kebangkitan rakyat Terengganu sampai ke kemuncaknya pada tahun 1928 di Kuala Berang. Penduduk Kuala Berang, Kampung Pelam, Tersat dan Dungun telah membuka tanah untuk bercucuk tanam tanpa mengambil pasa kebenaran daripada pihak Inggeris. British mengancam hendak mengambil tindakan ke atas penduduk yang terlibat. Berikutan dengan ancaman itu, penduduk dari kawasan-kawasan tersebut telah berhimpun beramai-ramai untuk bangkit menentang British. Pada 23 Mei 1928, penduduk yang berhimpun di Kuala Berang telah menguasai pejabat kerajaan dan memusnahkan balai polis di situ. Pegawai-pegawai Inggeris di Kuala Berang telah berundur ke Kuala Terengganu. Setelah kemenangan awal itu, pejuang-pejuang itu telah menuju ke arah Kuala Terengganu untuk mengadu masalah mereka kepada Sultan Sulaiman. Pada masa itu, Kerajaan Inggeris telah menghantar sepasukan polis di bawah pimpinan Datuk Seri Lela Diraja dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang untuk mengawal keadaan. Pasukan polis telah bertempur dengan rakyat yang sedang mara di Padang Kachong. Di situ, Datuk Seri Lela Diraja telah memberi amaran kepada rakyat supaya berhenti dan tidak meneruskan pergerakan. Walau bagaimanapun, kebanyakan mereka tidak menghiraukan amaran tersebut dan pasukan polis telah melepaskan tembakan. Dengan bantuan polis Negeri-negeri Melayu Bersekutu, kebangkitan rakyat Terengganu dipadamkan. Semua pemimpin ditangkap dan dipenjarakan. Mereka ialah Haji Zakaria (7 tahun), Abu Bakar Chinting (10 tahun), Abdullah Juru Kaka (10 tahun), Mat Tok Pitas (5 tahun) dan Lebai Hassan (5 tahun). Penghulu Salleh Pasir Nyior telah dibebaskan. Haji Abdul Rahman Limbong dibuang negeri ke Makkah kerana beliau sangat berpengaruh. British takut hukuman penjara akan meningkatkan lagi semangat kebangkitan. Selain itu, beliau sendiri juga meminta British supaya menghantarnya ke Makkah untuk mendalami dan mengajar agama Islam.
 
KESIMPULAN

Penentangan pribumi terhadap pemerintahan British mengingatkan British supaya jangan melaksanakan sesuatu peraturan baru dengan terburu-buru. Peraturan baru haruslah diperkenalkan langkah demi langkah agar penduduk tempatan dapat menyesuaikan diri mereka dengan peraturan baru ini. Dengan itu, pada masa yang seterusnya, British telah mengambil sesuatu keputusan dengan berhati-hati agar tidak menimbulkan ketidakpuasan penduduk pribumi yang seterusnya mencetuskan penentangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...