Rabu, 13 April 2011

SEJARAH 2 (MALAYSIA) STPM

TEMA 2:TRANSFORMASI MASYARAKAT
BAB 7 : KESAN TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA

Bincangkan kewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu mulai pertengahan abad ke-19.
 
PENDAHULUAN

Abad ke-19 adalah titik tolak penting dalam sejarah Tanah Melayu. Tanah Melayu bukan sahaja mengalami perubahan politik tetapi juga perubahan sosial dan ekonomi. Perubahan politik telah membawa kepada perubahan sosial. Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah membawa kepada kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu. Selain orang Cina dan India, terdapat satu lagi kumpulan imigran di Tanah Melayu iaitu orang Indonesia. Kedatangan imigran ini seterusnya bersama orang Melayu tempatan membentuk masyarakat yang berbilang kaum.
 
ISI-ISI PENTING

Sebelum pemerintahan Inggeris, orang Indonesia telah berhijrah ke Tanah Melayu. Mereka terdiri daripada orang Bugis, orang Jawa dan orang Minangkabau. Pada penghujung abad ke-19, penghijrahan masuk orang Indonesia ke Tanah Melayu semakin meningkat. Kesemuanya ini disebabkan masalah politik, ekonomi dan sosial yang berlaku di Indonesia. Dari segi sosial, penduduk Indonesia terutama dari Pulau Jawa dan Sumatera telah bertambah dengan pesat menyebabkan kemiskinan, kebuluran dan kemerosotan taraf hidup rakyat Indonesia. Sementara itu, tekanan politik oleh pihak penjajah iaitu Belanda telah mendorong kemasukan orang-orang Indonesia ke Tanah Melayu. Sebagai contoh, Sistem Kultur (1830-1870) yang dikenakan terhadap orang Jawa menyebabkan rasa kurang senang hati orang Jawa menyebabkan mereka berhijrah ke Tanah Melayu. Dari segi ekonomi, pelbagai cukai seperti cukai tanah, cukai kepala dan cukai tol telah menambahkan lagi kesenangan hidup.
 
Bagi orang Cina, sebenarnya mereka telah pun datang ke Tanah Melayu sejak abad ke-15. Mereka datang ke Tanah Melayu adalah untuk berdagang. Menjelang awal abad ke-19, penghijrahan orang Cina semakin bertambah. Penghijrahan orang Cina ini adalah disebabkan oleh 2 faktor iaitu faktor penolak dan faktor penarik.
 
Keadaan politik dan sosial di negeri China merupakan faktor penolak. Keadaan politk di China yang tidak stabil menggalakkan kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Dinasti Manchu yang menguasai China sejak tahun 1644 mengamalkan sikap diskriminasi terhadap penduduk Cina tempatan. Orang-orang Cina yang tidak berpuas hati sering melancarkan pemberontakan untuk menggulingkan Kerajaan Manchu. Oleh itu, kerajaan bertindak lebih tegas dan kejam untuk memadamkan perasaan tidak puas hati rakyat dan pemberontak. Oleh itu, ramai orang Cina terpaksa melarikan diri daripada menjadi mangsa kekejaman Kerajaan Manchu. Mereka mula berhijrah ke seberang laut seperti Korea, Jepun dan negara-negara di Asia Tenggara seperti Tanah Melayu, Filipina, Indonesia dan lain-lain.
 
Selain faktor penolak, faktor penarik juga menyebabkan penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu. Faktor penarik ini telah berlaku di Tanah Melayu. Dari segi ekonomi, peluang ekonomi yang banyak di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Keperluan tenaga buruh bagi menjayakan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu adalah salah satu faktor disamping peluang-peluang perniagaan yang banyak di kawasan bandar dan kawasan perlombongan. Peluang untuk menjalankan pertanian seperti di bawah Sistem Kangchu (Johor) juga menggalakkan lagi penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu. Di bawah Sistem Kangchu, orang Cina diberi tanah untuk mengerjakan pertanian terutamanya lada hitam.
 
Dari segi politik, hasil daripada pemerintahan British yang liberal telah mewujudkan keadaan politik yang stabil. British juga menggalakkan kedatangan orang Cina dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti subsidi tambang dan sebagainya. Pembesar-pembesar tempatan pula menggalakkan kemasukan buruh Cina untuk mengerjakan perusahaan bijih timah.
 
Orang India pula mulai datang ke Tanah Melayu sejak abad yang pertama. Mereka menamai Tanah Melayu sebagai “Suvarnabumi” atau “Tanah Emas”. Namun begitu, mereka hanya berhijrah secara beramai-ramai ke Tanah Melayu pada penghujung abad ke-19 akibat perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Faktor yang menggalakkan penghijrahan orang India juga terdiri daripada faktor penolak dan faktor penarik.
 
Perkembangan perusahaan getah dan galakan daripada Kerajaan British merupakan faktor penarik yang menarik orang India datang ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi di Tanah Melayu terutamanya dalam perusahaan getah telah menggalakkan kedatangan orang India ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi yang wujud dalam sektor ini adalah disebabkan oleh keengganan orang Melayu untuk bekerja di ladang getah. Selain itu, dua buah perkhidmatan awam yang paling banyak menggunakan tenaga buruh India ialah Jabatan Keretapi dan Jabatan Kerja Raya juga menarik kehadiran orang India ke Tanah Melayu. Seterusnya, peluang pekerjaan bagi golongan menengah di Tanah Melayu turut dipenuhi oleh orang India. Pada tahun 1920-an, kestabilan politik di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang India. Di samping itu, adanya koordinasi di antara Kerajaan British di Tanah Melayu dengan Kerajaan British di India telah memudahkan lagi kemasukan India ke Tanah Melayu. Kejayaan orang India yang lebih awal datang ke Tanah Melayu juga telah mendorong kepada kemsukan lebih ramai orang India.
 
Setelah meninjau sebab kedatangan imigran orang Indonesia, orang Cina dan orang India dalam pembentukan masyarakat majmuk, biarlah kita meneliti cara atau sistem kemasukan mereka.
 
Bagi orang Indonesia, tidak ada satu sistem yang tertentu yang dilalui untuk datang ke Tanah Melayu. Mereka datang ke sini dengan berusaha sendiri.
 
Bagi orang Cina, terdapat 3 cara mereka datang ke Tanah Melayu, iaitu melalui sistem tiket kredit, melalui cara bersendirian dan melalui Sistem Kangchu. Bagi orang yang datang dengan cara sistem tiket kredit, mereka terikat dengan perjanjian untuk bekerja bagi suatu tempoh masa sehingga hutang mereka dijelaskan. Sementara itu, orang yang datang melalui cara persendirian adalah dibantu oleh rakan atau ahli keluarga ataupun dengan perbelanjaan sendiri. Melalui Sistem Kangchu pula, orang Cina berpindah dan menetap kekal di Johor dam membuka ladang-ladang lada hitam, gambir, kopi, teh dan sebagainya.
 
Bagi orang India, imigrasi mereka dijalankan melalui sistem buruh kontrak (1820-1910) dan Sistem Kangani (1898-1938). Melalui sistem buruh kontrak, pemilik ladang akan membuat pesanan bagi buruh melalui seorang ejen di India. Ejen ini akan pergi ke kampung-kampung untuk mengumpulkan buruh India. Tambang pelayaran mereka dibiayai oleh majikan yang membuat pesanan. Setelah sampai di Tanah Melayu, mereka akan menandatangani kontrak untuk bekerja selama 5 tahun dengan gaji yang ditetapkan. Pekerja-pekerja ini biasanya dilayan dengan buruk. Melalui Sistem Kangani, majikan yang ingin mendapat buruh dari India akan menghantar seorang Kangani dari ladangnya ke India untuk mendapatkan buruh dari kampung halaman Kangani itu. Kangani itu akan dibayar mengikut bilangan pekerja yang diambil dan dia sendiri pula dikehendaki membayar tambang dan perbelanjaan lain bagi buruh-buruh itu sehingga ketibaan mereka di ladang. Biasanya pekerja dilayan dengan baik.
 
Kedatangan imigran ini bukan sahaja mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu, namun mereka juga memberikan banyak sumbangan terhadap pelbagai sektor terutamanya sektor ekonomi di Tanah Melayu.
 
Orang Indonesia telah menyumbangkan tenaga dalam perusahaan getah dan bijih timah di samping dalam pertanian seperti padi, kelapa, dusun buah-buahan dan sebagainya. Kecenderungan dalam mengusahakan pertanian yang sama dengan tempat asal mereka adalah pendorong kepada kedatangan mereka ke Tanah Melayu.
 
Kedatangan orang Cina pula menggalakkan perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu terutamanya di kawasan Larut, Kinta, Lembah Klang dan Sungai Ujong. Buktinya, eksport bijih timah Tanah Melayu telah meningkat secara berterusan dari tahun 1850 dengan jumlah eksport 6500 tan kepada 77 ribu tan pada tahun 1937. Dari segi perniagaan pula, banyak kedai di buka oleh orang Cina terutamanya di bandar yang terletak di kawasan perlombongan. Kegiatan penanaman lada hitam juga berkembang hasil daripada Sistem Kangchu.
 
Kemasukan orang India telah menyebabkan pembukaan lebih banyak kawasan ladang getah. Buktinya, pada tahun 1897, hanya terdapat 345 ekar ladang getah di Tanah Melayu tetapi pada tahun 1940, angka ini telah meningkat menjadi 3.5 juta ekar. Di samping itu, dalam bidang professional, orang India telah menyumbangkan tenaga mereka dengan menjadi guru, doctor, kerana dan sebagainya.
 
KESIMPULAN

Imigran Cina, dan Indonesia yang masih tinggal membentuk satu masyarakat majmuk. Kaum-kaum ini berpisah bukan sahaja dari segi bangsa tetapi juga bahasa, agama, kepercayaan, tempat kediaman dan sebagainya. Walau bagaimanapun, mereka masih dapat hidup dengan aman damai dan keadaan ini telah menggalakkan perkembangan ekonomi di Tanah Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...