Khamis, 28 April 2011

TEMA 3: SEJARAH 2 STPM(CHINA)


TEMA 3 : NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
BAB 11 : PERANG DUNIA KEDUA

Cara Perang China-Jepun (1937-1945) Membantu PKC Merebut Kuasa
 
Pengenalan
Persaingan antara PKC dan KMT di China telah bermula sejak tahun 1937. PKC telah mengalami kekalahan teruk di tangan KMT sebelum tahun 1937. Kekalahan ini menyebabkan PKC terpaksa melakukan pengunduran dalam satu kumpulan dari China Selatan ke wilayah Sehnsi di China Utara. Peristiwa ini dikenali sebagai “Perjalanan Jauh Dengan Berbaris” atau “Long March” sejauh kira-kira 6000 batu. Namun begitu, Perang China-Jepun 1937-1945 telah merintiskan jalan bagi penyatuan negara China oleh PKC.
 
Cara-cara
Perang China-Jepun telah mengurangkan tekanan KMT ke atas PKC. Semasa Perang China-Jepun, PKC telah mencadangkan penyatuan KMT dengan PKC bagi mempertahankan China daripada serangan Jepun. Dengan itu, pada bulan September 1937, PKC dan KMT bersetuju untuk berdamai bagi mempertahankan China daripada serangan Jepun. Denagn wujudkan pakatan bersama menentang Jepun, ini bererti KMT telah menamatkan permusuhannya dengan PKC. Perikatan ini telah mengurangkan tekanan KMT kepada PKC dan ini memberi peluang kepada PKC untuk mengukuhkan kedudukannya dan meluaskan pengaruhnya di China. Sedangkan KMT terpaksa menumpukan perhatiannya terhadap serangan Jepun.
            Peperangan antara China dengan Jepun selama 8 tahun (1937-1945) telah melemahkan kekuatan tentera KMT kerana peperangan ini merupakan peperangan antara KMT dengan Jepun. Jepun telah lebih menumpukan serangan ke atas KMT, memandangkan KMT-lah yang menerajui Kerajaan China ketika meletusnya Perang China-Jepun. Kekuatan tentera KMT telah digerakkan untuk menentang Jepun. Hal ini menyebabkan ramai daripada tenteranya telah terkorban. Sebahagian besar daripadanya terdiri daripada anggota tentera yang berpengalaman dan cukup terlatih. Sebagai contoh, KMT telah kehilangan pasukan-pasukan tentera yang handal seperti Rejimen ke-87 dan Rejimen ke-88.
            Perang China-Jepun juga menyebabkan kedudukan kewangan KMT mengalami kemerosotan. Penaklukan bandar-bandar dan pelabuhan-pelabuhan utama oleh Jepun menyebabkan Kerajaan KMT kehilangan sokongan dan bantuan kewangan daripada golongan hartawan, peniaga dan pedagang-pedagang China. Sumber-sumber pendapatan utama yang bepunca daripada perdagangan, perusahaan dan cukai-cukai kastam di bandar-bandar dan pelabuhan-pelabuhan utama telah terputus akibat penaklukan Jepun. Dengan itu, hasil Kerajaan KMT menjadi semakin berkurangan.
            Banyak sumber ekonomi seperti perlombongan, pelabuhan dan kilang telah musnah akibat peperangan. Di samping itu, peperangan dengan Jepun juga memerlukan peruntukan yang tinggi. Selepas perang tamat, Kerajaan KMT terpaksa mengambil masa yang panjang untuk memulihkan sumber-sumber ekonomi yang telah lumpuh. Pihak KMT terpaksa memperbaiki segala kerosakan akibat peperangan dengan menggunakan belanja yang besar. Lantaran itu, Kerajaan KMT telah mencetak mata wang dengan berlebihan. Tindakan ini menyebabkan berlakunya inflasi. Dengan ini, harga barangan China telah meningkat sebanyak 2 kali ganda sebagai 67 kali antara bulan Jun 1946 hingga Ogos 1947 (30% sebulan). Pada tahun 1947, nilai mata wang China dibandingkan dengan US$ ialah 1:45000 yuan. Keadaan inflasi ini menyebabkan kemerosotan pengaruh KMT di kalangan orang China.
            Korupsi dalam Kerajaan KMT telah bertambah semasa meletusnya Perang China-Jepun. Semasa perang ini, China mengalami kemerosotan ekonomi. Bagi memulihkan ekonomi China, Amerika telah memberi bantuan kepada Kerajaan KMT. Namun begitu, bantuan Amerika kepada KMT tidak dapat memulihkan ekonomi China. Keadaan ini berlaku kerana pegawai-pegawai Kerajaan KMT tidak cekap dan kegiatan korupsi di kalangan pegawai-pegawai semakin bertambah semasa perang ini. Faktor korupsi ini telah menjatuhkan maruah KMT di kalangan orang China. Dengan itu, ramai askar-askar KMT telah melarikan diri dan menyertai PKC.
            Peperangan selama 8 tahun berturut-turut dengan Jepun telah menyebabkan tentera KMT penat dan bosan. Keadaan ini telah melemahkan semangat askar-askar KMT. Lantaran itu, ramailah askar-askar KMT meninggalkan medan peperangan. Dengan ini, mulai tahun 1943, KMT tidak lagi menyerang tentera Jepun di China. Hal ini telah menjatuhkan imej KMT sebagai pembela tanahair.
            Sejak dari tahun 1930-an hingga 1945, Kerajaan KMT menghadapi cabaran PKC dan pencerobohan Jepun. Ancaman dari PKC dan Jepun ini telah menyebabkan Kerajaan KMT terpaksa menghabiskan sebahagian besar kewangan, tenaga dan masa untuk mengukuhkan angkatan tenteranya. Keadaan ini telah menghalang KMT daripada melancarkan reformasi sosial dan ekonomi. Hal ini menyebabkan KMT gagal memperbaiki nasib golongan petani China. Jadi, KMT telah kehilangan golongan kaum petani China yang bertindak menyokong PKC.
            Selepas perang, Kerajaan KMT telah melaksanakan beberapa rancangan pembangunan ekonomi seperti bidang kewangan, perusahaan, memperbaiki sistem perhubungan dan lain-lain yang lebih menguntungkan kelas pedagang, perusahaan dan golongan kapitalis. Hal ini bererti ekonomi KMT banyak bergantung kepada perdagangan, perusahaan dan cukai kastam yang berpusat di kawasan pantai yang jauh dari kawasan pedalaman. Kekuatan ekonomi KMT bukan berdasarkan sumber pertanian. Hal ini menyebabkan Kerajaan KMT tidak berusaha untuk memajukan bidang pertanian dan meninggikan taraf hidup rakyat khasnya golongan petani yang merupakan golongan terbesar. Hal ini menyediakan peluang keemasan kepada PKC untuk mempergunakan golongan petani.
            Imej dan pengaruh KMT telah merosot sebelum meletusnya Perang China-Jepun. Hal ini berlaku disebabkan penindasan dan paksaan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai KMT. Misalnya, petani dipaksa membayar cukai yang tinggi. Tindakan ini sudah pasti menambahkan beban hidup golongan petani dan golongan yang berpendapatan rendah. Dari hari kepercayaan rakyat terhadap KMT telah hilang. Sungguhpun selepas perang, KMT berkuasa, tetapi orang-orang China mensifatkan mereka sebagai penakluk baru, bukan sebagai pembebas tanahair. Pegawai-pegawai Kerajaan KMT telah melakukan penindasan terhadap orang-orang China yang dianggap tidak setia dan pembelot. Pegawai-pegawai KMT lebih berminat untuk mengumpulkan harta benda yang ditinggalkan oleh Jepun. Mereka telah mengabaikan rancangan dan usaha untuk memperbaiki taraf hidup yang sekian lama terbiar akibat dari peperangan. Keadaan ini dipergunakan oleh pihak Komunis untuk mengeksploitasi fikiran rakyat di wilayah-wilayah yang mundur.
            Perang China-Jepun telah menambahkan kepopularan PKC di kalangan orang-orang China. PKC telah muncul sebagai pejuang kebangsaan, apabila PKC mencadangkan penyatuan PKC dengan KMT bagi menghadapi serangan Jepun ke atas China. KMT yang berada dalam keadaan serba-salah terpaksa menerima cadangan PKC, walaupun rancangan ini memberi faedah yang lebih kepada perjuangan PKC.
            Imej PKC di kalangan rakyat adalah tinggi ketika meletusnya Perang China-Jepun kerana PKC dianggap sebagai juara dan penyelamat kedaulatan China. Tentera PKC telah menunjukkan perjuangan yang gigih dan berjaya menanam semangat anti-Jepun di kalangan orang-orang China. PKC menjadi semakin popular apabila masih meneruskan serangan secara gerila ke atas tentera Jepun selepas tahun 1943, berbandingkan dengan KMT yang telah memberhentikan serangannya ke atas Jepun pada masa itu.
            Kelemahan KMT menyebabkan rakyat kehilangan keyakinan dan bosan dengan perjuangannya. Ketidakyakinan ini tidak sahaja lahir dari golongan rakyat biasa, malah juga dari golongan intelek. Jadi, rakyat dan golongan intelek mula berpaling kepada Komunis yang berjaya menanam semangat nasionalisme yang kuat di kalangan mereka. PKC menjadi semakin popular di kalangan golonagn petani dan intelek melalui rancangan-rancangan pembaharuan ekonomi dan sosialnya di wilayah-wilayah yang dikuasai antara tahun 1937-1945. Sebagai contoh, PKC telah melancarkan rancangan pembaharuan pertanian. Melalui rancangan ini, tanah-tanah yang dirampas di wilayah Hunan dibahagikan kepada petani-petani China. Sementara di tempat-tempat lain, PKC telah menetapkan kadar sewa tanah kepada 37.5% daripada jumlah hasil tanaman. Di samping itu, PKC juga telah mengambil langkah-langkah lain seperti menubuhkan koperasi, dan menurunkan kadar faedah bagi pinjaman untuk meningkat pengeluaran pertanian.
            Kepercayaan rakyat terhadap PKC juga dipengaruhi oleh ketabahan, ketokohan, kesabaran dan semangat perjuangan yang ada pada diri pemimpin-pemimpin mereka. Mereka juga menunjukkan semangat berjiwa rakyat dengan cara turut serta melakukan satu-satu rancangan dan cuba membantu serta bersimpati dengan penderitaan hidup yang dialami oleh rakyat. Sifat-sifat ini berbeza dengan pemimpin-pemimpin parti KMT.
            PKC juga mendapat sokongan golongan intelegensia kerana perjuangannya adalah untuk memelihara kedaulatan China dan memperbaiki taraf hidup rakyat. Golongan intelegensia tertarik dengan cadangan-cadangan PKC untuk mengatasi masalah-masalah di China dan sikap anti-imperialismenya. Kepopularan PKC jelas terlihat apabila bilangan ahlinya telah meningkat daripada 40000 pada tahun 1937 kepada 1.2 juta orang pada tahun 1945.
            Perang China-Jepun juga membolehkan PKC menguasai daerah-daerah luar bandar khasnya di bahagian-bahagian China Utara dan China Tengah yang berjumlah penduduk seramai 70-90 juta orang. Pengaruh PKC ketika dan selepas Perang China-Jepun semakin bertambah disebabkan mereka mendapat sokongan dan bantuan daripada rakyat khasnya golongan petani di kawasan luar bandar. Sedangkan tentera KMT pada masa itu bermati-matian menentang serangan Jepun khasnya dk kawasan-kawasan bandar dan pelabuhan-pelabuhan utama. Hal ini menyebabkan kawasan luar bandar terpaksa diabaikan.
            Perang China-Jepun juga membolehkan PKC menambahkan kekuatan tenteranya. Hal ini disebabkan PKC mengatur strategi peperangan dengan bijak. Semasa Perang China-Jepun, PKC lebih tertumpu di wilayah-wilayah Barat Laut China yang kurang diserang oleh Jepun. Selain itu, PKC seboleh-bolehnya cuba mengelakkan daripada berperang secara terbuka dengan tentera Jepun. PKC sekadar membuat serangan hendap yang kecil terhadap Jepun. Justeru itu, PKC tidak kehilangan ramai askarnya semasa meletusnya Perang China-Jepun (1937-1945).
            Perang China-Jepun juga membolehkan PKC menambahkan kekuatan tenetranya. PKC telah mengambil ramai rekrut-rekrut baru khasnya dari golongan petani. Bilangan tentera PKC telah bertambah dari 80000 orang (1937) kepada 910000 orang pada tahun 1945. Teras kekuatan dan pertahanan tentera PKC ialah anggota yang terlatih, berdisiplin dan teratur. Mereka bermoral tinggi dan komited terhadap perjuangan Komunis.
            Semasa Perang China-Jepun, kekuatan PKC di Machuria semakin bertambah apabila pihak Rusia membenarkan PKC mengambil senjata-senjata dan wilayah-wilayah yang ditinggalkan oleh tentera Jepun selepas tamatnya peperangan. Rusia juga membantu PKC merampas kuasa dan mengukuhkan kekuatannya di Manchuria. Bantuan ini telah membantu PKC dalam kempennya menentang kerajaan nasionalis dalam tahun 1946-1949. Dari Manchuria bermulanya kejayaan PKC menawan wilayah-wilayah China satu demi satu.
 
Kesimpulan
Sebenarnya, Perang China-Jepun telah membolehkan PKC merombak organisasinya, memasukkan rekrut baru dan meluaskan pengaruhnya di kalangan kaum petani serta bersedia untuk memerangi KMT selepas Perang Dunia Kedua untuk menegakkan kerajaan Komunis di China.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...