Khamis, 14 April 2011

SEJARAH 2 STPM(MALAYSIA)


TEMA 2 : TRANSFORMASI MASYARAKAT
BAB 5 : PERLUASAN KUASA ASING

Bincangkan transformasi ekonomi di Tanah Melayu selepas campur tangan British sehingga Perang Dunia Kedua.

Pendahuluan
 
Masyarakat tradisional Melayu telahpun melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi sara diri sebelum kedatangan pihak atau penjajah British. Antara, kegiatan-kegiatan yang telah dijadikan asas sistem ekonomi sebelum kedatangan pihak British adalah seperti kegiatan ekonomi sara diri, kegiatan perlombongan, kegiatan pertukangan, sistem berjaja di pasar-pasar dan sebagainya. Dengan adanya sistem ekonomi yang kukuh sebelum kedatangan pihak Inggeris dan perintis kepada pihak Inggeris dalam membuka Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Maka terdapatnya penghijrahan beramai-ramai kaum asing seperti kaum cina, India dan Melayu di bawah pengawasan pembesar-pembesar di Tanah Melayu. Penguasaaan kaum-kaum ini terutamanya kaum Cina dalam perusahaan lombong bijih timah dalam ekonomi Tanah Melayu telah sekaligus membangunkan ekonomi di Tanah Melayu. Namun demikian, hasil dari tuntutan, tekanan-tekanan dan keadaan kacau bilau oleh penduduk di Tanah Melayu telah menyebabkan pihak British telah campur tangan dalam Tanah Melayu yang sebelum ini mengamalkan dasar ‘tidak campur tangan’ dalam hal elwal politik di negeri-negeri Melayu sehingga September 1873.

Isi-isi Penting
 
Dengan adanya campur tangan oleh British dalam Tanah Melayu, maka ini telah mendorong pihak British dalam menguasai ekonomi dalam Tanah Melayu khususnya dalam perusahaan bijih timah, getah dan sebagainya. Transformasi atau perubahan yang dibawa oleh pihak British tidak dapat dinafikan memang telah membawa banyak kemajuan dan pembangunan dalam negeri-negeri Melayu. Sebelum kedatangan pihak British, perusahaan lombong bijih timah ini telah dimonopoli oleh saudagar-saudagar Cina hampir setengah abad lamanya. Sejak pertengahan abad yang ke-18 hinggalah akhir abad tersebut hampir seluruh perusahaan lombong bijih timah di Tanah Melayu dimiliki oleh orang-orang Cina, sementara hampir seluruh pekerjanya juga terdiri daripada orang-orang Cina. Namun demikian mulai akhir abad yang ke-19 terdapatnya pula pemodal-pemodal Inggeris yang melaburkan modal mereka di beberapa buah lombong di Tanah Melayu ini.
 
Lombong-lombong yang mereka usahakan itu mula-mulanya terdiri di Lembah Kinta, iaitu suatu kawasan yang amat kaya dengan bijih timah di dunia. Kemunculan Kinta sebagai kawasan perlombongan yang terpenting sekali bermula dari awal tahun-tahun 1890an lagi, dan sejak itu pula Larut tidak lagi merupakan kawasan perlombongan yang utama yang sebelum ini dibuka oleh Long Jaafar.
 
Akibat dari pembukaan lombong bijih timah ini dan akibat daripada kemasukan pelombong-pelombong Cina itu maka banyaklah bandar baru telah muncul terutama di sekitar kawasan-kawasan perlombongan itu. Jalanraya-jalanraya dan jalan-jalan keretapi juga telah dibina bagi memudahkan lagi proses mengeluar dan mengeksport bijih timah itu.
 
Penglibatan orang-orang Eropah secara besar-besaran di dalam perusahaan melombong bijih timah ini bermula di awal abad yang keduapuluh, terutama selepas mula diperkenalkan cara melombong yang lebih moden dalam tahun 1913, iaitu dengan menggunakan kapal korek (dredges) yang diperkenalkan oleh Syarikat Malayan Tin Dredging di Batu Gajah, Perak. Kapal korek yang pertama telah digunakan di Selangor pada tahun 1918.
 
Melombong dengan kapal korek ini memerlukan modal yang besar dan hanya pelombong-pelombong Eropah sahajalah yang mampu. Bagaimanapun, perlombongan menggunakan kapal korek ini telah dapat menghasilkan jumlah bijih timah yang banyak dan sebab itu telah dapat memberikan keuntungan yang lebih besar kepada pengusaha-pengusahanya dan seterusnya menambahkan lagi ekonomi Tanah Melayu. Justeru, pihak British dengan bantuan syarikat-syarikat Eropah telah mula bertinak membuka kilang-kilang melebur bijih timah. Contohnya, Straits Trading Company yang telahpun mendirikan dua buah kilang melebur di Pulau Brani, Singapura(1887) dan di Butterworth(1897).
 
Pengeluaran bijih timah dari Tanah Melayu pda mulanya tidak mendapat saingan dari lain-lain negara. Dalam tahun 1904, misalnya jumlah pengeluaran bijih timah Tanah Melayu ialah sebanyak 51733 tan, iaitu lebih kurang separuh daripada jumlah pengeluaran bijih tmah dunia seluruhnya pada masa itu.
 
Justeru, bolehlah dikatakan bahawa bijih timah yang memulakan sejarah Tanah Melayu moden. Ini adalah sebab bijih timahlah yang menyediakan pendapatan bagi membangunkan dan memodenkan negeri ini. Seterusnya bijih timahlah yang memberikan industrinya yang pertama iaitu industri melebur bijih timah. Kilang-kilang melebur dan memproses bijih timah yang dikeluarkan di Tanah Melayu telah didirikan di Singapura dan Pulau Pinang dan ini telah menambahkan lagi jumlah pekerjaan di negara ini di samping memurahkan lagi belanja memprosesnya.
 
Perusahaan getah juga merupakan satu perusahaan yang amat penting di Tanah Melayu khususnya selepas kedatangan pihak British. Getah berasal dari Brazil (di Amerika Selatan). Kebetulaanya penemuan getah ini sejajar pula dengan kemajuan perusahaan membuat kereta dan alat-alat yang lain yang menggunakan getah sebagai salah satu bahan penting dalam ciptaan-ciptaan tersebut. Sejak itu maka permintaan terhadap getah telah bertambah.
 
Tetapi selama beberapa tahun pokok-pokok getah yang mula-mula ditanam itu tidak dihiraukan. Ini adalah kerana pada masa itu pihak pemerintah dan peladang-peladang di Tanah Melayu lebih mengutamakan perusahaan menanam kopi dan tebu.
 
Dalam tahun 1888, Ridley dilantik oleh pemerintah Inggeris menjadi Pengarah di Botanical Garden, Singapura. Semasa beliau bertugas di Botanical Garden inilah beliau membuat kajian-kajian dan penyiasatan-penyiasatan berhubung dengan kegunaan dan faedah getah. Beliau sangat berkeyakinan terhadap kejayaan getah di Tanah Melayu.
Kebetulan perusahaan menanam kopi di Tanah Melayu pada akhir abad yang ke-19 sedang menghadapi dua ancaman besar. Pertama, ialah kejatuhan harga kopi akibat saingan yang hebat dari pengeluaran kopi di negeri-negeri lain. Kedua, pokok-pokok kopi itu pada masa itu banyak yang diserang oleh sejenis serangga hingga membunuh pokok-pokok itu.
 
Apabila Ridley berkunjung ke Tanah Melayu di akhir abad tersebut, beliau telah mengesyorkan supaya peladang-peladang itu cuba pula menanam pokok getah. Waktu ini permintaan getah telah menjadi semakin bertambah akibat perkembangan perusahaan-perusahaan membuat kereta dan sebagainya di Amerika dan Eropah.
 
Pada tahun 1897, peladang-peladang atau penanam-penanam getah itu jua telah mengambil faedah daripada kaedah menoreh getah sejalur nipis kulit dari getah itu mengikut corak tulang ikan dan membiarkan getahnya mengalir masuk ke dalam sebuah mangkuk kecil, membolehkan pokok getah itu ditoreh setiap hari selama beberapa tahun tanpa mengurangkan hasilnya. Kaedah Ridley ini adalah suatu kaedah yang saintifik dan lebih dikenali sebagai sistem ibedem atau istem tulang ikan herring. Ia boleh menjamin setiap pokok akan mengeluarkan hasil yang setinggi-tingginya.
 
Di bawah pemerintahan dan pengawasan pihak Britsh, kemajuan dan pembangunan yang dicapai hasil daripada perusahaan getah telah menampakkan kejayaan. Kerajaan British juga bertindak dalam memperkenalkan dan menubuhkan Institut Penyelidikan Getah pada tahun 1926 di Kuala Lumpur untuk menjalankan penyelidikan teknik bagi memajukan perusahaan getah. Telah diketahui permintaan terhadap getah oleh negara-negara lain dari Tanah Melayu juga meningkat bahkan kawasan penanaman getah telah bertambah beratus-ratus ganda jika dibandingkan dengan kawasan penanaman getah sebelum kedatangan British. Kemajuan sedemikian telah mendorong kemasukan beramai-ramai tenaga-tenaga pekerja dari India yang telah dianggap sebagai buruh-buruh ladang.
 
Apabila negeri-negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu masuk ke dalam pengawasan Inggeris dengan Perjanjian Bangkok tahun 1909, perusahaan menanam getah ini telah diperluaskan pula ke negeri-negeri tersebut. Adalah tidak dapat dinafikan bahawa, penanaman getah secara besar-besaran ini didorong oleh pendapatan yang lumayan darinya berikutan dengan harag yang mahal. Antara tahun 1910 hingga 1912, misalnya, harga getah telah mencapai kemuncak yang paling tinggi dalam sejarah perusahaan itu, iaitu hampir lima ringgit bagi setiap paun.
 
Peluasan penananam getah yang demikian pesat itu telah memberi sumber hasil yang besar kepada rakyat dan pemerintah negeri ini di bawah pengawasan dan perancangan pihak British. Penghasilan itu telah menyediakan wang yang diperlukan oleh pemerintah untuk mengadakan banyak kemudahan bagi pemodenan negara. Pembukaan ladang-ladang getah oleh pihak Inggeris yang dijalankan secara besar-besaran ini juga membuka kawasan hutan rimba dengan luasnya.
 
Selain daripada perkembangan dan kemajuan kegiatan perusahaan bijih timah dan getah, pihak Inggeris juga membawa banyak perubahan dan transformasi terhadao sistem ekonomi yang lain. Contohnya, sistem ekonomi komersil. Sistem ekonomi komersial di Tanah Melayu bukanlah hanya wujud setelah kehadiran penjajah British dan akab ke-19 itu tetapi telah wujud semenjak daripada Kesultanan Melayu Malaka lagi. Walau bagaimanapun kita tidak dapat menafikan juga bahawa dengan kahadiran penjajah British telah mempergiat lagi bentuk ekonomi tersebut memandangkan mereka mempunyai teknologi yang lebih maju. Satu perkembangan yang nyata semasa pemerintahan penjajah Inggeris pada abad ke-19 ialah pembangunan pesat industri perlombongan terutamanya bijih timah dan getah sehingga meletakkan Semenanjung Tanh Melayu sebagai negara terkemuka dalam pengeluaran dan eksport bahan-bahan mentah tersebut. Selain itu, perusahaan-perusahaan lain seperti perlombongan emas, perlombongan arang batu, perlombongan bijih besi dan sebagainya dapat diperinci sebagai berikut.
 
 Pada tahun 1889, sebuah syarikat perlombongan emas Australia iaitu Raub Australian Gold Mining Company telah ditubuhkan di Raub, Pahang. Ia merupakan syarikat perlombongan emas yang terpenting dan berjaya di Tanah Melayu. Syarikat tersebut telah mengeluarkan 24700 gram emas dalam tempoh 50 tahun sejak pengeluaran dimulakan.
 
Dengan adanya kedatangan pihak British, perlombongan arang batu telah giat dijalankan di Batu Arang, Selangor dan Enggor, Perak. Kegiatan perlombongan tersebut dijalankan oleh Syarikat Malayan Colloeries semenjak tahun 1915. Arang batu keluaran lombong-lombong berkenaan telah dijual dalam pasaran tempatan iaitu kepada Kereta Api Tanah Melayu, stesen-stesen kuasa dan lombong-lombong bijih timah. Jelasnya, perusahaan perlombongan arang batu di Tanah Melayu hanyalah merupakan sampingan sahaja iaitu menjadi pemangkin kepada perusahaan lain dan pengeluarannya hanya untuk kegunaan tempatan sahaja. Umpamanya untuk bahan api kepada kereta api sebahagian sistem pengangkutan utama selepas perusahaan bijih timah semakin meningkat di Tanah Melayu.
 
Ekonomi perdagangan juga giat dijalankan semasa British campur tangan dalam Tanah Melayu. Kegiatan perdagangan di Tanah Melayu telah dikembangkan oleh pihak British memandangkan terdapatnya banyak bahan-bahan mentah di Tanah Melayu. Keuntungan yang diperoleh selepas pihak British bertindak dalam mengeksport bahan-bahan mantah ini adalah besar. Contohnya, pertambahan eksport bijih timah pada 1870an telah menguntungkan pihak penjajah. Dalam tahun 1879 umpamanya, pendapatan cukai terhadap perlombongan bijih timah dari negeri Perak dan Selangor masing-masing berjumlah $281 823 daripada jumlah hasil $388 372 dan $107 558 daripada jumlah hasil $184 387.
 


Kesimpulan

Kesimpulaanya, akibat daripada kemajuan ekonomi yang telah dicapai di Tanah Melayu di bawah pengaruh pihak British terutamanya perusahaan bijih timah dan getah telah mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Tambahan pula, kemajuan ekonomi juga telah membawa kesan-kesan yang menguntungkan kerana adanya kemajuan seperti sistem perhubungan, munculnya bandar-bandar baru dan juga menambahkan pendapatan Tanah Melayu hasil daripada keluaran. Kewujudan masyarakat majmuk telah membawa kepada perubahan keadaan sosial yang besar di Tanah Melayu. Contohnya, pengekalan identiti kaum masing-masing dan kurangnya pergaulan telah mewujudkan banyak masalah sosial sehingga munculnya kebudayaan, persatuan-persatuan, kongsi-kongsi gelap kaum masing-masing. Perpaduan kaum kurang dirasai di kalangan penduduk antara kaum yang punca utamanya adalah disebabkan kaum masing-masing mengusahakan kegiatan ekonomi yang berlainan.       


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...