Rabu, 27 April 2011

TEMA 3: SEJARAH 2 STPM(THAILAND)


TEMA 3: NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
BAB 10 : PERSATUAN DAN KESATUAN

Revolusi Siam 1932
 
Pengenalan
Revolusi tanpa pertumpahan darah telah berlaku di Siam pada 24 Jun 1932. Revolusi tersebut telah menamatkan sistem monarki mutlak dan digantikan dengan sistem monarki berperlembagaan. Ahli-ahli sejarah tidak menganggapnya sebagai revolusi massa kerana tidak disertai oleh orang ramai. Revolusi tersebut hanya disertai oleh pegawai-pegawai awam dan tentera bukan golongan bangsawan. Revolusi 1932 dipimpin oleh Pridi Panomyong yang mendapat bantuan pegawai-pegawai tentera seperti Phya Bahol, Pribun Songkram, Khuang Aiphaiwong dan Phya Manapakorn. Revolusi ini menandakan permulaan kepada berlakunya pergolakan dalam politik Siam hingga hari ini.
 

Sebab-sebab

1.         Kemerosotan sistem monarki mutlak
Kemerosotan sistem monarki mutlak menjadi faktor utama mengakibatkan meletusnya Revolusi 1932. Kemerosotan tersebut telah menimbulkan kebencian dan menghilangkan keyakinan orang ramai terhadap pemerintahan golongan bangsawan. Kemerosotan sistem monarki mutlak bermula semasa pemerintahan Vajiravudh disebabkan oleh dasar pentadbirannya. Dalam menjalankan pentadbiran, baginda telah menyerahkannya kepada pegawai-pegawainya. Oleh sebab baginda tidak mengawasi kegiatan pegawai-pegawainya, menyebabkan rasuah dan penyelewengan berleluasa. Selain itu, baginda juga mengamalkan dasar pilih kasih dalam mengisi jawatan kerajaan. Baginda jarang mengadakan mesyuarat kabinet majlis-majlis yang ditubuhkan oleh Chulalongkorn. Dalam menjalankan pentadbiran, baginda lebih mengutamakan golongan bukan bangsawan. Misalnya, 8 daripada 12 kementerian di Siam diketuai oleh golongan bukan bangsawan. Akibatnya, pemerintahan Vajiravudh mendapat tentangan golongan bangsawan.
Baginda juga menubuhkan pasukan tentera peribadi yang dikenali sebagai “Pasukan Harimau Liar”. Pasukan ini mendapat pelbagai keistimewaan berbanding dengan tentera biasa. Tindakan Vajiravudh ini ditentang pula oleh tentera biasa. Akibat dari perasaan tidak puas hati berlaku 2 percubaan membunuh baginda, iaitu tahun 1912 dan 1917. Walau bagaimanapun, kedua-dua percubaan itu berjaya dipatahkan.
Sistem monarki mutlak menjadi semakin lemah semasa pemerintahan Prajadhipok. Baginda cuba mengembalikan kepentingan golongan bangsawan. Sebagai contoh, semasa Vajiravudh, 8 daripada 12 kementerian diketuai oleh golongan bukan bangsawan tetapi semasa pemerintahan Prajadhipok, 8 daripada 12 kementerian diketuai oleh golongan bangsawan. Tindakan baginda telah ditentang oleh pegawai-pegawai awam dan tentera bukan golongan bangsawan.
Dalam usaha untuk menghadapi kemelesetan ekonomi, Prajadhipok telah mengambil langkah ke arah mengurangkan perbelanjaan, misalnya mengurangkan gaji serta kakitangan, memecat pegawai yang dilantik atas dasar pilih kasih oleh Vajiravudh dan menghapuskan jawatan tidak penting. Walaupun langkah ini sedikit sebanyak dapat memulihkan ekonomi, tetapi pemulihan tersebut tidak kekal lama disebabkan kemelesetan ekonomi yang lebih teruk pada tahun 1929. Akibatnya, Prajadhipok terpaksa mengambil langkah yang lebih tegas, misalnya menyekat kenaikan pangkat dan gaji serta membubarkan “Pasukan Harimau Liar”. Langkah-langkah ini telah menambahkan ketidakpuasan di kalangan pegawai awam dan tentera.
2.         Perkembangan pelajaran
Perkembangan pelajaran Barat terutamanya sejak pemerintahan Chulalongkorn telah melahirkan golongan intelek di Siam. Mereka yang mendapat pelajaran Barat terutamanya di seberang laut telah terdedah kepada idea-idea Barat seperti kerajaan berperlembagaan, demokrasi, liberal, sosialisme, komunisme dan sebagainya. Usaha-usaha mereka untuk melaksanakan idea-idea tersebut di Siam mendapat tentangan golongan bangsawan yang menguasai pentadbiran Siam. Mereka yang dapat pelajaran di Jerman dan Perancis dianggap lebih radikal kerana golongan ini menentang sistem monarki mutlak dan menganggapnya sebagai sistem lapuk yang menghalang kemajuan Siam. Antara golongan intelek itu ialah Pridi Panomyong, Pribun Songkram, Phya Bahol, Phya Manapakorn, Khuang Aiphaiwong dan lain-lain lagi. Donald E. Nuechterlein dalam bukunya “Thailand and the Struggle for South East Asia” mendakwa punca utama berlakunya revolusi ialah keazaman golongan intelek untuk memodenkan struktur politik dan mengadakan pembaharuan yang radikal.
3.         Kemelesetan ekonomi
Pentadbiran yang tidak cekap, rasuah serta penyelewengan dan pemborosan Vajiravudh telah membebankan ekonomi Siam. Masalah ekonomi semakin runcing apabila berlaku kemelesetan ekonomi dunia 1920-an dan 1930-an. Pada tahun 1931, Siam mengalami kekurangan sebanyak 11 juta bath. Prajadhipok telah mengambil beberapa langkah tegas dalam usaha untuk mengatasi masalah ekonomi. Antaranya ialah mengurangkan gaji serta kakitangan, menyekat kenaikan pangkat serta gaji, mengenakan cukai yang tinggi ke atas barang keperluan, menghapuskan jabatan-jabatan dan jawatan-jawatan yang tidak penting, membubarkan “Pasukan Harimau Liar” dan sebagainya. Tindakan tersebut telah mendapat tentangan ramai, terutamanya daripada mereka yang kepentingannya terjejas. Selain itu, langkah-langkah tersebut dianggap sebagai kelemahan Prajadhipok.
4.         Krisis politik
Kemelesetan ekonomi telah menyebabkan peruntukan kewangan kepada jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian dikurangkan. Langkah tersebut telah menimbulkan perbalahan antara Menteri Pertahanan Putera Bovaradej dengan Menteri Perdagangan Putera Purachatra. Krisis politik yang berlaku pada Oktober 1931 telah mengoncangkan keyakinan orang ramai terhadap pemerintahan golongan bangsawan.
5.         Kebebasan akhbar
Kebebasan akhbar telah lama dilaksanakan di Siam. Pada tahun 1931, Prajadhipok telah mengeluarkan arahan supaya semua berita perlu ditapis sebelum disiarkan. Arahan tersebut telah dapat tentangan ramai kerana ianya memperlihatkan kecurigaan kerajaan dalam kebebasan akhbar.
6.         Anti Cina
Walaupun bilangan orang Cina kecil, tetapi mereka telah menguasai ekonomi Siam. Peranan orang Cina sebagai peminjam wang telah menyebabkan banyak tanah orang Siam jatuh ke tangan orang Cina. Peranan orang Cina sebagai orang tengah telah menghimpitkan lagi kehidupan orang Siam. Orang-orang Cina dianggap sebagai “Yahudi Timur” dan masih menumpukan taat setia terhadap negara asal mereka. Kemarahan orang Siam bertambah kerana semua pertubuhan yang diwujudkan oleh orang-orang Cina hanya terbuka kepada orang Cina. Kemarahan orang Siam terhadap kerajaan kerana kerajaan tidak mengambil langkah untuk menyekat kegiatan orang-orang Cina menindas orang Siam. Malah orang Cina diberi peluang ekonomi yang lebih luas seperti monopoli eksais ke atas perjudian, loteri, minuman keras dan ganja.
7.         Agama
Kegiatan mubaligh-mubaligh menyebarkan agama Kristian mendapat tentangan orang ramai terutamanya daripada golongan sami. Akibat kegiatan mubaligh, ramai orang Siam terutamanya golongan muda telah memeluk agama Kristian dan mereka ini telah meninggalkan budaya Siam. Orang ramai telah mendesak kerajaan supaya menyekat kegiatan mubaligh-mubaligh menyebarkan agama Kristian. Keengganan kerajaan telah menambahkan kemarahan orang ramai terhadap kerajaan pimpinan golongan bangsawan.
 

Kesan-kesan

1.         Menamatkan sistem monarki mutlak
Revolusi 1932 telah menamatkan sistem monarki mutlak dan digantikan dengan sistem monarki berperlembagaan. Keistimewaan golongan bangsawan dan perkhidmatan kerajaan dihapuskan mereka tidak dibenarkan memegang jawatan-jawatan penting seperti menteri, timbalan menteri, ketua jabatan dan sebagainya. Selepas revolusi mereka yang bukan golongan bangsawan memainkan peranan penting dalam pentadbiran.
2.         Perubahan ekonomi dan sosial
Revolusi 1932 bukan sahaja membawa perubahan politik, tetapi juga perubahan ekonomi dan sosial. Pelbagai perubahan telah berlaku seperti pendidikan yang universal, kebebasan akhbar, sistem cukai pendapatan yang gratitude, iaitu yang bergantung kepada pendapatan dan sebagainya. Langkah-langkah juga dijalankan untuk meninggikan taraf hidup orang Siam. Antara langkah tersebut ialah memberi subsidi, mengutamakan orang-orang Siam serta syarikat-syarikat Siam dan mengambilalih perusahaan asing untuk diserahkan kepada orang-orang Siam atau syarikat Siam.
3.         Tentera
Selepas revolusi, golongan tentera memainkan peranan penting dalam pentadbiran Siam. Perdana Menteri yang dilantik terdiri daripada pegawai-pegawai tentera. Antara mereka ialah Phya Manapakorn (1932), Phya Bahol (1933), Pribun Songkram (1938), Khuang Aiphaiwong (1944), Seni Pramoj (1945) dan lain-lain lagi. Perbalahan sering berlaku terutamanya di antara pegawai-pegawai awam dan tentera.
4.         Nasionalisme
Revolusi 1932 telah mengakibatkan kebangkitan semangat nasionalisme di Siam. Walaupun nasionalisme Siam tidak bercorak anti-kolonial kerana Siam tidak dijajah, tetapi nasionalisme Siam bercorak anti-monarki, anti-Cina dan nasionalisme ekonomi serta kebudayaan. Orang-orang Siam mahu melaksanakan perubahan politik, ekonomi dan sosial bagi mengekalkan kemerdekaan Siam.
5.         Revolusi lain
Revolusi 1932 menandakan permulaan kepada berlakunya revolusi lain dalam politik Siam seterusnya. Contohnya, Revolusi Phya Bahol Jun 1933, Revolusi Putera Bovaradej Oktober 1933, Revolusi Pribun Songkram Disember 1938, Revolusi Khuang Aiphaiwong Julai 1944, Revolusi Seni Pramoj September 1945, Revolusi Khuang Aiphaiwong Januari 1946, Revolusi Pridi Panamyong Mac 1946, Revolusi Thamrong Nawasawad Ogos 1946, Revolusi Khuang Aiphaiwong November 1947, Revolusi Pribun Songkram Ogos 1948 dan sebagainya.
6.         Thailand
Pada Jun 1939, nama Siam ditukar menjadi Thailand atau Maung Thai yang bermaksud tanah/negeri yang bebas. Penukaran nama ini dilaksanakan semas aPribun Songkram menjadi Perdana Menteri Siam. Tujuannya ialah untuk menimbulkan semangat kemegahan bangsa di kalangan orang Siam kerana negeri Siam merupakan satu-satunya negeri yang tidak dijajah oleh kuasa-kuasa Barat.
7.         Langkah terhadap orang Cina
Selepas revolusi, usaha-usaha dijalankan untuk menyekat kepentingan orang-orang Cina di Siam. Orang-orang Cina tidak lagi bebas masuk ke Siam. Tiap-tiap orang Cina yang masuk ke Siam dikenakan cukai 100 baht. Perusahaan-perusahaan orang Cina dikenakan cukai yang tinggi dan 26 jawatan dalam perkhidmatan kerajaan diharamkan bagi orang Cina. Sekolah-sekolah dan akhbar-akhbar Cina ditutup.
8.         Wilayah Siam
Usaha-usaha juga dijalankan bagi mendapatkan kembali wilayah-wilayah Siam yang telah dikuasai oleh British dan Perancis. Usaha ini dijalankan oleh Pribun Songkram. Dengan kerjasama Jepun, Siam telah merampas kembali beberapa wilayahnya seperti Laos, Batambang, Seam Reap, Maung Pan, Kentung dan Negeri-negeri Melayu Utara.
9.         Perlembagaan baru
Revolusi 1932 telah membawa kepada perlaksanaan perlembagaan baru yang menentukan hak rakyat, raja dan Dewan Perundangan.
a.         Hak rakyat
·          Rakyat mendapat hak dan peluang yang sama dalam politik, ekonomi dan sosial.
·          Kemantapan ekonomi dan peluang pekerjaan untuk kepentingan rakyat.
·          Kemerdekaan yang tidak akan menjejaskan kepentingan rakyat.
·          Kerajaan bertanggungjawab mewujudkan keamanan, peraturan dan ketenteraman untuk kesejahteraan rakyat.
b.         Hak raja
·          Sistem monarki mutlak dihapuskan dan digantikan dengan sistem monarki berperlembagaan.
·          Raja diberi kuasa pengampunan.
·          Raja berkuasa membubarkan Dewan Perundangan walaupun tanpa persetujuan kabinet.
·          Raja berkuasa membatalkan undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Perudangan tetapi Dewan Perundangan berkuasa untuk menolak pembatalan tersebut.
·          Raja berkuasa mengisytiharkan Darurat tetapi mesti ditandatangani oleh sekurang-kurangnya seorang menteri.
c.         Hak Dewan Perundangan
·          Demokrasi berparlimen akan diwujudkan di mana sebuah Dewan Perundangan akan diwujudkan.
·          Dewan Perundangan akan mempunyai 156 orang ahli dan raja berkuasa untuk melantik ½ daripada ahli dewan sehingga pilihanraya diadakan.
·          Parti Rakyat Pimpinan Pridi Panamyong diberi kuasa menubuhkan kerajaan sementara sehingga kerajaan berdasarkan perlembagaan beru dibentuk.
·          Pilihanraya umum akan diadakan 4 tahun sekali. Calon-calon yang bertanding mesti berbangsa Siam, berumur 23 tahun ke atas, tinggal di kawasan mengundi dan mempunyai tingkat pelajaran yang ditetapkan.
 

Kesimpulan

Revolusi Siam 1932 telah menamatkan pemerintahan sistem monarki mutlak. Politik Siam yang seterusnya telah memperlihatkan persaingan antara golongan tentera dan parlimen (ahli-ahli politik) untuk memegang teraju kerajaan. Revolusi Siam 1932 merupakan peristiwa penting dalam sejarah Siam kerana ia telah membawa banyak perubahan. Revolusi Siam 1932 juga menunjukkan kecenderungan golongan nasionalis untuk mengubah institusi pemerintahan yang ada kepada institusi pemerintahan yang lebih membawa keuntungan kepada negara dan rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...