Khamis, 28 April 2011

TEMA 3: SEJARAH 2 STPM(THAILAND)


TEMA 3 : NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
BAB 10 : KESATUAN DAN PERSATUAN

Nasionalisme Siam
 
Pengenalan
Nasionalisme Siam bergerak mengikut haluan yang berbeza daripada negeri-negeri lain di Asia Tenggara. Nasionalisme Siam tidak bercorak anti-koloniah kerana Siam tidak dijajah. Ianya lebih bercorak anti-monarki, anti-Cina dan nasionalisme ekonomi serta kebudayaan. Pembaharuan yang dilaksanakan di Siam terutamanya sejak pemerintahan Chulalongkorn menjadi faktor yang mengakibatkan kebangkitan dan perkembangan nasionalisme Siam. Perkembangan tersebut telah menyedarkan rakyat Siam untuk bangun mempertahankan kemerdekaan mereka.
 
Nasionalisme
1.         Kemerosotan sistem monarki
Kemerosotan sistem monarki mutlak sejak pemerintahan Vajiravudh menjadi faktor utama yang mengakibatkan kebangkitan dan perkembangan nasionalisme Siam. Vajiravudh dan Prajadhipok merupakan pemerintah yang lemah jika dibandingkan dengan Mongkut dan Chulalongkorn. Perkembangan semasa pemerintahan mereka telah mendedahkan kelemahan sistem monarki mutlak dan menggoncangkan keyakinan orang ramai terhadap pemerintahan golongan bangsawan.
a.         Vajiravudh
Beliau pernah berada di seberang laut selama 9 tahun. Oleh sebab itu, beliau tidak mengetahui perkembangan yang berlaku di Siam dalam tempoh tersebut. Walaupun beliau berpelajaran tinggi, Vajiravudh tidak berminat dalam pentadbiran. Dalam menjalankan pentadbiran, beliau telah menyerahkannya kepada pegawai-pegawainya. Oleh sebab beliau tidak mengawal kegiatan pegawai-pegawai menyebabkan berlaku penyelewengan dan rasuah. Untuk mengisi jawatan-jawatan kerajaan, beliau mengamalkan dasar pilih kasih di mana beliau telah mengutamakan sahabat-sahabatnya. Menjelang tahun 1915, kebanyakan pegawai termasuk menteri yang dilantik oleh Chulalongkorn telah dipecat. Selain itu, Vajiravudh juga jarang mengadakan mesyuarat kabinet dan majlis-majlis yang ditubuhkan semasa Chulalongkorn tidak berfungsi. Vajiravudh juga seorang pemerintah yang boros dan banyak menghabiskan wang untuk hal-hal kesenian, perayaan-perayaan di istana dan sebagainya. Contohnya, beliau telah menggaji 3000 pekerja istana. Di samping itu, beliau juga menubuhkan pasukan tentera peribadi, iaitu pasukan Harimau Liar. Pasukan ini mendapat pelbagai keistimewaan jika dibandingkan dengan tentera biasa. Akibat daripada dasar-dasar yang diamalkan tersebut, perasaan tidak puas hati telah timbul sehingga berlakunya 2 kali percubaan membunuh Vajiravudh. Pecubaan pertama berlaku pada tahun 1912 diketuai oleh adiknya sendiri Putera Pitsanulok. Percubaan membunuh pada tahun 1917 pula dilakukan oleh tentera. Walau bagaimanapun, kedua-dua percubaan tersebut berjaya dipatahkan.
b.         Prajadhipok
Ahli-ahli sejarah menganggap Prajadhipok tidak bersedia menjadi raja kerana beliau banyak menghabiskan masanya di seberang laut. Semasa pemerintahan Prajadhipok, pelbagai usaha telah diambil untuk mengembalikan kepentingan golongan bangsawan. Contohnya, semasa Vajiravudh, 8 daripada 12 kementerian diketuai oleh golongan bukan bangsawan tetapi semasa pemetintahan Prajadhipok, 8 daripada 12 kementerian diketuai oleh golongan bangsawan. Dalam usaha untuk mengatasi masalah ekonomi pula, beliau telah mengambil beberapa langkah tegas. Misalnya, beliau telah mengurangkan gaji serta kakitangan, menyekat kenaikan pangkat dan gaji, mengenakan cukai yang tinggi ke atas barang keperluan, menghapuskan jabatan-jabatan dan jawatan-jawatan yang tidak penting, membubarkan “Pasukan Harimau Liar” dan sebagainya. Tindakan  tersebut telah mendapat tentangan orang ramai, terutamanya golongan yang berkepentingan. Selain itu, langkah-langkah yang diambil oleh Prajadhipok juga dianggap sebagai kelemahan beliau. Justeru itu, ia membangkitkan semangat nasionalisme.
2.         Perkembangan pelajaran Barat
Perkembangan pelajaran Barat terutamanya sejak pemerintahan Chulalongkorn telah melahirkan golongan intelek di Siam. Mereka yang mendapat pelajaran Barat terutamanya di seberang laut telah terdedah kepada idea-idea Barat seperti kerajaan berperlembagaan, demokrasi, liberal, sosialisme, komunisme dan sebagainya. Usaha-usaha mereka untuk melaksanakan idea-idea tersebut di Siam mendapat tentangan golongan bangsawan yang menguasai pentadbiran Siam. Mereka yang dapat pelajaran di Jerman dan Perancis dianggap lebih radikal kerana golongan ini menentang sistem monarki mutlak dan menganggapnya sebagai sistem lapuk yang menghalang kemajuan Siam. Antara golongan intelek ini ialah Pridi Panomyong, Pribun Songkram, Khuang Aiphaiwong, Phya Bahol, Phya Manopakorn dan lain-lain lagi. Donald E. Nuechterlein dalam bukunya “Thailand and the Struggle for South East Asia” mendakwa punca utama kebangkitan nasionalisme ialah keazaman golongan intelek untuk memodenkan struktur politik dan mengadakan pembaharuan ekonomi yang radikal.
3.         Anti-Cina
Walaupun bilangan orang Cina kecil, tetapi mereka telah menguasai ekonomi Siam. Peranan orang Cina sebagai peminjam wang telah menyebabkan banyak tanah orang Siam jatuh ke tangan orang Cina. Peranan orang Cina sebagai orang tengah pula menghimpitkan lagi kehidupan orang Siam. Orang-orang Cina dianggap sebagai “Yahudi Timur” dan masih menumpukan taat setia terhadap negara asal mereka. Kemarahan orang Siam bertambah kerana semua pertubuhan yang diwujudkan oleh orang-orang Cina hanya terbuka kepada orang Cina. Kemarahan orang Siam terhadap kerajaan kerana kerajaan tidak mengambil langkah untuk menyekat kegiatan orang-orang Cina menindas orang Siam. Malah orang Cina diberi peluang ekonomi yang lebih luas seperti monopoli eksais ke atas perjudian, loteri, minuman keras dan ganja.
Selepas revoludi, usaha-usaha dijalankan untuk menyekat kepentingan orang Cina di Siam. Orang-orang Cina tidak lagi bebas masuk ke Siam. Setiap orang Cina yang masuk ke Siam dikenakan cukai 100 baht. Perusahaan-perusahaan orang Cina dikenakan cukai yang tinggi dan 26 jawatan dalam perkhidmatan kerajaan diharamkan bagi orang Cina. Sekolah-sekolah dan akhbar-akhbar Cina juga ditutup.
4.         Nasionalisme ekonomi
Dalam usaha untuk mengelakkan ekonomi Siam dikuasai oleh orang-orang asing, kerajaan telah menjalankan beberapa langkah ke arah melaksanakan nasionalisme ekonomi. Kerajaan mula melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti pengeluaran getah, kilang memproses getah, minyak dan kertas serta perkhidmatan keretapi. Kerajaan juga telah memberi subsidi kepada orang-orang Siam dan syarikat-syarikat Siam dalam kegiatan ekonomi. Orang-orang Siam digalakkan untuk melibatkan diri dalam perdagangan dan perusahaan. Arahan telah dikeluarkan supaya syarikat-syarikat asing memiliki 70% modal dan 75% kakitangan Siam. Kerajaan juga telah ambilalih perusahaan asing untuk diserahkan kepada orang-orang Siam atau syarikat-syarikat Siam. Contohnya: perusahaan kayu jati yang selama ini dikuasai oleh Syarikat British “Bombay Burma Trading Company” (BBTC) telah diambilalih dan diserahkan kepada syarikat Siam. Dalam kegiatan ekonomi, kerajaan mengutamakan orang-orang Siam dan syarikat-syarikat siam. Langkah-langkah diskriminasi juga dijalankan di mana perusahaan-perusahaan orang asing dikenakan cukai yang lebih tinggi daripada perusahaan orang-orang Siam.
5.         Perubahan selepas Perang Dunia Pertama
Perubahan yang berlaku selepas Perang Dunia Pertama (1914-1918) telah mengakibatkan kebangkitan nasionalisme Siam. Perjanjian Versailles 1919 telah mengiktiraf Siam sebagai negara merdeka dan diterima sebagai anggota Liga Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1922. Mulai tahun tersebut juga, kuasa-kuasa Barat mula menghapuskan “Hak Wilayah Asingan” mereka di Siam. Perkembangan ini menyedarkan rakyat Siam untuk bangun mempertahankan kemerdekaan mereka.
6.         Nasionalisme kebudayaan
Nasionalis-nasionalis telah berjaya membangkitkan semangat kemegahan bangsa dan kebudayaan Siam. Pendidikan Siam dan penggunaan bahasa Siam digalakkan. Agama Buddha telah dijadikan lambang penyatuan orang-orang Siam. Mereka mendakwa hanya penganut agama Buddha boleh menjadi pejuang bangsa dan negara. Mengabuti agama Buddha dianggap sebagai tanda taat setia terhadap negara Siam. Perkembangan ini telah menyebabkan ramai orang Siam-Kristian kembali kepada ajaran Buddha sejak tahun 1930-an.
7.         Pribun Songkram
Semasa Pribun Songkram menjadi Perdana Menteri sejak Disember 1938, langkah-langkah yang tegas telah diambil untuk menanamkan semangat nasionalisme. Semangat nasionalisme bukan sahaja ditanam di kalangan orang-orang Siam di Siam tetapi juga di kalangan orang-orang Siam di Laos dan Kemboja. Pada tahun 1939, nama Siam ditukar menjadi Thailand yang bermaksud negeri atau tanah yang bebas. Tujuannya ialah untuk menimbulkan semangat nasionalisme bangsa di kalangan orang-orang Siam kerana negeri Siam merupakan satu-satunya negeri di Asia Tenggara yang tidak dijajah oleh kuasa-kuasa Barat. Pribun Singkram juga menubuhkan Pasukan Pemuda Militan dan merangka tatasusila kebangsaan yang dikenali sebagai wiratham. Usaha-usaha juga dijalankan bagi mendapatkan kembali wilayah-wilayah Siam yang telah dikuasai oleh British dan Perancis. Usaha ini berjaya dilaksanakan sejak tahun 1941 dengan kerjasama Jepun. Antara wilayah yang berjaya dikuasai semula oleh Siam ialah Batambang, Seam Reap, Laos, Kentung, Negeri-negeri Meleyu Utara dan sebagainya.
 
Kesimpulan
Gerakan nasionalisme di Siam merupakan percubaan orang-orang Siam untuk meminda perlembagaan negeri dan perjuangan rakyat untuk mendapatkan hak mereka. Gerakan nasionalisme di Siam adalah sesuatu yang unik kerana ia hanya melibatkan golongan elit dan tentera dan tidak melibatkan rakyat. Keadaan ini telah membezakan Siam dengan negara-negara lain di Asia Tenggara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...