Rabu, 27 April 2011

TEMA 3: SEJARAH 2 STPM(UMUM ASIA TENGGARA)

TEMA 3 : NASIONALISME DAN PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA
BAB 9: GERAKAN KESEDARAN
SUB TAJUK : GOLONGAN INTELEKTUAL

BINCANGKAN PERANAN DAN SUMBANGAN GOLONGAN INTELEKTUAL TERHADAP KEBANGKITAN DAN PERKEMBANGAN GERAKAN KESEDARAN DI ASIA TENGGARA PADA AKHIR ABAD KE-19 DAN AWAL ABAD KE-20.

Golongan intelektual ataupun golongan terpelajar yang kebanyakannya terdedah kepada pendidikan barat memainkan peranan penting dalam membangkitkan gerakan kesedaran, menyatukan rakyat yang berpecah belah, dan berjaya membentuk satu gerakan kebangsaan menuju ke arah pencapaian kemerdekaan negara masing-masing. Peranan mereka dalam perkembangan dan pencapaian kemerdekaan tidak boleh disangsikan. Dalam perkataan lain, golongan intelektual ini membekalkan kepimpinan bagi gerakan kesedaran negara masing-­masing.

Di Myanmar, hingga tahun 1920, persatuan yang memainkan peranan penting dalam membangkitkan kesedaran rakyat ialah Persatuan Pemuda Buddha. Persatuan ini muncul pada tahun 1906. Pemimpin-pemimpinnya ialah segolongan intelektual yang terdiri daripada May Oung, U Kin, dan U Ba Pe. Golongan intelektual ini ingin menyatukan nilai-nilai dan tradisi­tradisi agama Buddha dengan pendidikan dan cara-cara barat.

Mereka berjaya mendesak Kerajaan British meluluskan undang-undang melarang pemakaian kasut di Pagoda. Golongan intelektual ini seterusnya membantah tindakan Kerajaan British menyingkirkan Myanmar daripada pembaharuan politik India. Golongan intelektual yang lebih agresif seperti U Ba Pe dan U Them Maung menubuhkan General Council of Burmese Association (GCVA) yang merupakan pertubuhan kebangsaan yang agresif. GCBA melancarkan pemulauan. Golongan intelektual ini dengan segera menghantar rombongan ke London sebagai tanda bantahan terhadap penyingkiran dan mendesak supaya Mynmar diberi pemerintahan sendiri. Sekali lagi golongan intelektual yang melampau ini berjaya apabila British memperkenalkan Sistem Diarki di Myanmar.

Golongan intelektual ini juga menganjurkan satu pemogokan pelajar-pelajar sebagai protes terhadap keputusan British untuk meninggikan taraf kelayakan kemasukan Universiti Rangoon. Selain pelajar, boleh dikatakan bahawa hampir segenap masyarakat Myanmar menyertai pemogokan ini. Akibat pemogokan ini, Pindaan Akta Universiti dikuatkuasakan dan lebih banyak kuasa pentadbiran universiti berada dalam tangan orang Myanmar.

Golongan intelektual ini tidak begitu berpengaruh selepas 1920, malah perjuangan kemerdekaan seterusnya dipelopori oleh golongan intelektual yang satu Iagi iaitu golongan Thakin. Golongan Thakin ini menguasai arena gerakan kebangsaan antara tahun 1935 — 1948. Thakin telah membangkitkan semangat kebangsaan para pekerja telaga minyak dan pengangkutan sungai supaya mogok demi menuntut kenaikan gaji dan keadaan-keadaan kerja yang lebih baik. Seorang Thakin yang bernama Aung San menganjurkan pemogokan pelajar untuk menamatkan diskriminasi sistem pendidikan asing. Pemogokan ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam gerakan kesedaran Myanmar. Ini adalah kerana sokongan moral bukan sahaja datang daripada golongan pelajar, malah orang Myanmar yang lain turut bersama.

Golongan Thakin menubuhkan Blok Kemerdekaan pada tahun 1939 untuk menuntut pemerintahan sendiri. Golongan Thakin melalui Blok ini menyampaikan hasrat bahawa ia akan bekerjasama dengan British jika Myanmar diberikan kemerdekaan tetapi British menolaknya. Seterusnya Blok Kemerdekaan memihak kepada Jepun dan menentang Kuasa Berikat. Golongan Thakin membantu Jepun menawan Myanmar dengan harapan Jepun akan mengisytiharkan kemerdekaan bagi Myanmar.

Apabila golongan Thakin sedar akan muslihat Jepun, maka mereka menjalankan gerakan bawah tanah. Apabila British kembali selepas Jepun menyerah kalah, Liga Pembebasan Rakyat Anti-Fasis (LPRAF) di bawah pimpinan Aung San dan golongan intelektual yang lain mengadakan satu pemogokan kebangsaan meminta kemerdekaaan. Golongan Thakin dibawa berunding dengan British dalam Perjanjian Atlee-Aung San. Satu pilihan raya umum dijalankan. LPRAF mendapat kejayaan yang menakjubkan. Akhirnya Myanmar mencapai kemerdekaan pada tahun 1948.

Peranan golongan intelektual ini tidak dapat dipersoalkan. Hanya mereka saja yang berjaya menyatukan dan memimpin segala lapisan masyarakat Myanmar ke arah kemerdekaan. Seperti yang ditegaskan oleh R. J. Corinth, golongan Thakinlah yang berjaya “convert nationalist sentiment into a major political force.” Hanya golongan ini yang berjaya membebaskan Myanmar daripada belenggu penjajahan. Walau bagaimanapun, peranan Persatuan Pemuda Buddha dalam kebangkitan kesedaran tentang kepentingan nilai-nilai dan tradisi-tradisi agama Buddha juga penting.

Di Negara Thai, pengenalan sistem pendidikan barat oleh Raja Mongkut dan Raja Chulalongkorn telah melahirkan satu golongan intelektual yang didedahkan kepada idea-idea Barat seperti sistem pemerintahan sosialisme, liberalisme, demokrasi. Mereka yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti Rusia, Amerika Syarikat, dan Perancis akan lebih rapat dengan idea-idea demokrasi, penentuan kerajaan sendiri, dan kerajaan berperlembagaan.

Golongan intelektual menganggap bahawa sistem pemerintahan monarki mutlak yang masih diamalkan oleh Siam adalah penghalang utama kepada pemodenan dan kemerdekaan Siam seterusnya. Yang lebih memuncakkan keazaman mereka untuk menghapuskan kuasa mutlak raja ialah kelemahan-kelemahan Raja Vajiravudh dan Raja Prajadhipok yang ingin mengukuhkan kuasa mutlak mereka. Golongan intelektual Siam yang dipimpin oleh Pridi Phanamyong seorang profesor Undang-undang lulusan Universiti Paris berasa kecewa dengan kepincangan pentadbiran monarki mutlak. Mereka inginkan pembaharuan dalam struktur politik Siam. Mereka hendak satu sistem pemerintahan yang berdasarkan demokrasi berperlembagaan.

Pada tahun 1932, golongan intelektual melancarkan Revolusi Siam bertujuan menamatkan kuasa mutlak raja. Dalam hal ini mereka berjaya apabila Raja Prajadhipok terpaksa menerima perlembagaan sementara yang digubal oleh Parti Rakyat. Golongan intelektual ini memainkan peranan penting dalam menjayakan Revolusi dan mengambil alih pucuk pimpinan kerajaan Siam.

Di Indonesia, golongan intelektual memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dengan golongan intelektual di negara-negara lain di Asia Tenggara. Golongan intelektual tidak puas hati dengan pemerintahan Belanda yang mengamalkan dasar diskriminasi dalam peluang pendidikan, pekerjaan, dan pentadbiran. Mereka juga ingin membela nasib golongan bawahan yang tertindas dan diperas oleh golongan Belanda dan orang Cina. G. M. Kahin pernah mengatakan bahawa golongan intelektual ini adalah golongan yang “acutely dissatisfied, cramped dan frutsrated.” Intelektual Indonesia yang mula-mula membangkitkan kesedaran tentang pentingnya pendidikan ialah Raden Adjeng Kartini. Bagi memajukan kaum wanita, beliau telah menubuhkan sebuah sekolah bagi anak-anak perempuan pegawai Indonesia. Beliau diikuti oleh Dr. Mas Wahidin Soediro Hoesoedo yang mengasaskan Budi Utomo untuk mencapai kemajuan kebudayaan dan pendidikan orang Jawa.

Gerakan kesedaran seterusnya dipelopori oleh Omar Said Tjokroaminoto yang memimpin Sarekat Islam. Sarekat Islam adalah sebuah parti massa politik pertama di Indonesia. Perjuangannya mendapat sokongan segenap lapisan masyarakat. Ianya bertujuan untuk memajukan kedudukan sosio-ekonomi dan kepentingan agama Islam masyarakat Indonesia. Selepas tahun 1916 Sarekat Islam menuntut kerajaan sendiri melalui cara perlembagaan. Intelektual Indonesia yang berjaya membawa Indonesia ke arah pencapaian kemerdekaan ialah Sukarno. Sukarno, pemimpin utama Parti Nasionalis Indonesia mengamalkan cara tidak bekerjasama dengan Belanda untuk mencapai kemerdekaan. Sukarno sedar bahawa Indonesia tidak akan mencapai kemerdekaan secepat mungkin selagi tiadanya perpaduan di kalangan parti-parti yang ada. Usaha beliau ke arah perpaduan rakyat telah membawa kepada terbentuknya Permuafakatan Perhimpunan Politik Kebangsaan Indonesia, sebuah gabungan yang terdiri daripada beberapa buah parti utama. Walaupun ianya merupakan satu pertubuhan yang longgar, tetapi sekurang-kurangnya para nasionalis sedar akan pentingnya perpaduan rakyat sebagai satu sokongan untuk menentang Belanda.

Perjuangan Sukarno yang radikal menyebabkan beliau ditangkap. Ini tidak sekalipun melemahkan semangat perjuangannya. Apabila dibebaskan, beliau menyertai Partindo dan membawanya ke arah perjuangan yang radikal. Sekali lagi Sukarno ditangkap. Dengan penangkapan Sukarno gerakan kesedaran Indonesia beralih kepada sesuatu yang sederhana.

Apabila Jepun menawan Indonesia, Sukarno dan pemimpin-pemimpin lain dibebaskan. Sukarno demi mencapai kemerdekaan dengan segera telah menyokong Jepun. Selepas Jepun menyerah kalah, Sukarno dan pemimpin-pemimpin lain seperti Hatta dan Sjharir meneruskan perjuangan kemerdekaan. Golongan intelektual ini mendesak Kerajaan Belanda supaya memberi kemerdekaan. Akhirnya Belanda mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia selepas berlakunya beberapa pemberontakan dan rusuhan. Sukarno dilantik sebagai Presiden yang pertama sementara Mohamad Hatta menjadi Presiden Menteri yang pertama.

Peranan golongan intelektual di Filipina dalam perkembangan gerakan kesedaran menonjol pada akhir abad ke-19. Kegagalan Pemberontakan Cavite (1872) menyebabkan beberapa orang pemimpin tentera Filipina ditangkap dan dihukum bunuh. Tiga orang paderi yang tidak bersalah turut dihukum bunuh. Peristiwa ini dan dasar Sepanyol yang menindas menyebabkan sebilangan intelektual melarikan diri ke Eropah, Jepun, dan Hong Kong. Mereka membangkitkan idea nasionalisme Filipina semasa di negara-negara itu. Intelektual ini membentukkan satu kumpulan yang dapat menghasilkan akhbar La Solidaridad (1889).

Di kalangan intelektual yang terdapat Jose Rizallah yang memainkan peranan terpenting. Perjuangannya adalah melalui dua buah novel iaitu Noli Me Tangere (1887) dan El Filibusterismo (1891). Kedua-dua novel mendedahkan penindasan Sepanyol di Filipina. Rizal menyeru supaya orang Filipina bangun sebagai satu bangsa yang bersatu padu menentang penjajah Sepanyol. Ketiga-tiga cetakan ini dibawa masuk ke Filipina dengan tujuan menyedarkan orang Filipina ke arah satu perjuangan menentang Sepanyol. Perjuangan Rizal untuk kemajuan dan kepentingan masyarakat adalah melalui Liga Filipina yang ditubuhkan pada tahun 1892. Malangnya, ianya gagal, menyebabkan Rizal ditangkap dan Liga Filipina diharamkan.

Perjuangan Jose Rizal yang sederhana ini diteruskan oleh intelektual lain seperti Andres Banifacio yang menubuhkan Katipunan, sebuah organisasi radikal dan revolusioner. Katipunan ingin melancarkan revolusi menggulingkan rejim Sepanyol. Seperti Rizal, Bonifacio juga memperjuangkan  ideanya melalui akhbar. Akhbar Kalayan yang diterbitkan oleh Katipunan bertujuan menyebarkan fahaman revolusi menentang rejim Sepanyol melalui revolusi.

Walau bagaimanapun, perjuangan kemerdekaan Filipina terus diperjuangkan oleh intelektual seperti Manuel Quezon, Sergio Osmena, dan Manuel Roxas. Dalam pilihan raya umum yang pertama dalam tahun 1907, Parti Nasionalis telah mendapat undi terbanyak.

Pemimpin-pemimpin utama Parti Nasionalis ini iaitu Manuel Quezon dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan manakala Sergio Osmena sebagai Speaker. Pada tahun 1916, atas desakan Quezon, Kongres Amerika Syarikat lebih banyak kuasa kepada Filipina untuk memenuhi janji kemerdekaan. Malangnya Amerika Syarikat hanya bersetuju memberikan kemerdekaan selepas 10 tahun Filipina menjadi Komanwel. Intelektual-intelektual ini tidak berputus asa. Pada tahun 1933, intelektual Quezon mengetuai satu rombongan ke Amerika Syarikat untuk berunding agar Undang-undang Kemerdekaan Filipina diluluskan.

Selepas Perang Dunia II, intelektual-intelektual ini masih meneruskan perjuangan kemerdekaan dan isu politik. Pada 4 Julai 1946, Republik Filipina ditubuhkan. Manuel Roxas yang dapat menewaskan Osmena menjadi Presiden pertama.

Di Vietnam, dua orang intelektual Phan Boi Chau dan Phan Chu Trinh memainkan peranan utama dalam gerakan kesedaran Vietnam. Phan Chu Trinh menuntut pemodenan Vietnam melalui kerjasama dengan Perancis dan pembentukan kerajaan demokrasi. Beliau percaya kepada cara aman. Beliau dibuang negeri berikutan protesnya ke atas dasar cukai.

Phan Boi Chau pula menyarankan kerajaan monarki berpelembagaan. Beliau banyak berjuang melalui tulisannya seperti “Vietnam Vong Quoc Su” (Sejarah Jatuhnya Vietnam) dan “Hau Cau Hayet Le Tan Thu” (Buku Seberang Laut ditulis dengan Darah).

Selepas Perang Rusia-Jepun 1905, kedua-dua inteletual ini bekerjasama meneruskan perjuangan menentang Perancis. Phan Boi Cahu menubuhkan “Viet Nam Quang Phu Hoi” (Persatuan Pemulihan Vietnam) di Canton. Ianya merupakan kumpulan politik yang pertama dalam gerakan kesedaran Vietnam. Persatuan ini bertujuan membebaskan Vietnam daripada penjajahan Perancis dan membentuk satu perlembagaan. Persatuan ini berjaya membangkitkan beberapa rusuhan di Tongking tetapi ianya dapat dipatahkan oleh Perancis.

Golongan intelektual Vietnam sedar bahawa isu sosio-ekonomi juga penting dalam perjuangan kemerdekaan. Oleh demikian, mereka menuntut supaya cukai diturunkan. Pada tahun 1908 Raja Thanh Thai dipaksa turun dan takhta dan Perancis melantik anaknya yang baru berumur tujuh tahun iaitu Duy Tan untuk menggantikannya.

Beberapa penentangan yang diketuai oleh intelektual seperti Phan Chu Trinh tercetus di Annam dan Hanoi. Di Annam, golongan intelektual yang mempimpin kaum tani membantah dasar cukai dan buruh paksa di lombong arang batu Nongson. Di Hanoi pula, orang Vietnam cuba meracuni pegawai tentera Perancis. Phan Chu Trinh dan pemimpin-pemimpifl lain ditangkap dan dibuang negeri.

Antara tahun 1925— 1930, Nguyen Thai Hoc yang mengasaskan Parti Nasional Vietnam atau Vietnam Quoc Dan Dang (VQDD) menguasai arena gerakan kesedaran Vietnam. VQDD menentang Perancis secara terbuka dan menggunakan cara militan. Akibatnya ianya diharamkan dan Nguyen Thai Hoc ditangkap dan dihukum bunuh. Perjuangan kemerdekaan Vietnam seterusnya dipimpin oleh Ho Chi Minh.

Peranan golongan intelektual dalam gerakan kesedaran di Asia Tenggara tidak boleh dipersoalkan. Peranan mereka dalam membangkitkan dan memperjuangkan kemerdekaan adalah besar dan bermakna. Golongan ini menggunakan beberapa cara dengan harapan mencapai impian mereka. Ada yang mendedahkan kelemahan dan penindasan melalui bahan media, ada yang ingin menggunakan cara perlembagaan, dan ada pula yang ingin menggunakan cara revolusi dan militan. Dalam apa jua cara pun, kita boleh membuat kesimpulan bahawa golongan intelektual ini membekalkan kepimpinan dan bertindak demi kepentingan negara dan bangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...