Isnin, 23 April 2012

TEMA 1 Sejarah Malaysia : MASYARAKAT TEMPATAN


Bincangkan kegiatan ekonomi di Malaysia sebelum campur tangan British.

A. Pengenalan (3/2 markah)

Kegiatan ekonomi Tanah Melayu sebelum campur tangan British lebih bersifat sara diri
dan komersial. Kegiatan perdagangan juga dijalankan oleh saudagar-saudagar tempatan (Raja-raja Melayu dan pembesar-pembesar Melayu). Di Sabah dan Sarawak kegiatan ekonomi saradiri dan komersial dijalankan oleh kaum Iban, Bidayuh, Melanau dan Melayu. Di Sabah
masyarakat pribumi yang menjalankan kegiatan ekonomi saradiri ialah orang Bajau,
Kadazan/Dusun, Melayu Brunei dan Kedayan. Mereka menjalankan kegiatan pertanian seperti
menanam padi huma, padi sawah, mencari hasil hutan dan memburu binatang. Sebilangan
penduduk menjalankan kegiatan perniagaan dan perdagangan.

B. Isi
1. Kegiatan Ekonomi di Tanah Melayu (10 markah)
Kegiatan Ekonomi Saradiri
a. Penanaman Padi.
Padi merupakan tanaman utama yang diusahakan oleh masyarakat Melayu tradisional. Padi
ditanam untuk kegunaan sendiri, bukan untuk jualan. Dua jenis padi yang ditanam iaitu padi
huma dan padi sawah. Padi huma di tanam di kawasan tanah tinggi seperti di lereng-lereng
bukit kerana tidak memerlukan air yang banyak. Penanaman padi huma dijalankan secara
pertanian pindah yang kebiasaan dijalankan oleh orang Asli seperti Semai Jakun dan
Temiar.
Padi sawah pula dipercayai diperkenalkan oleh orang Siam dan Minangkabau. Padi sawah
ditanam di kawasan tanah rendah dan di kawasan yang mempunyai banyak air.
Kebanyakan kawasan penanaman padi sawah adalah kawasan yang subur seperti tebingtebing
sungai dan tanah pamah persisiran pantai.
Kawasan penanaman padi yang utama ialah Kuala Selangor, Dataran Perlis, Seberang
Prai, Pahang dan Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun beras masih diimport oleh
Selangor, Perak dan Negeri Sembilan. Padi sawah memerlukan banyak air. Antara kaedah
yang digunakan ialah sistem pengairan . Melalui sistem ini air sungai disekat dengan
membina empangan yang diperbuat daripada kayu, kincir air dan terusan. Kaedah yang
digunakan dalam penanaman padi ialah menggunakan binatang untuk membajak, najis
binatang, kuku kambing untuk menanam padi.
b. Tanaman-tanaman Lain.
Selain tanaman padi, tanaman-tanaman lain juga ditanam iaitu jagung, kopi, tembakau,
pisang tebu, ubi kayu, lada hitam gambir, kelapa dan keledek.
c. Hasil hutan .
Memungut hasil hutan merupakan kegiatan tradisi masyarakat Melayu. Antara hasil hutan
ialah rempah-ratus, kayu-kayan, rotan, damar, madu lebah, nipah, buluh, kapur barus,
buah-buahan, getah jelutung, kayu cendana serta pelbagai hasil hutan yang lain.
Pengumpulan hasil-hasil hutan ini dilakukan orang-orang Melayu dan Asli.
d. Memburu binatang
Masyarakat Melayu tradisi menjalankan kegiatan memburu binatang sebagai kegiatan
sampingan. Antara binatang yang diburu termasuklah pelanduk, kancil, rusa, seladang dan
ayam hutan. Kegiatan berburu dijalankan secara meluas di Pahang dan Terengganu.
Kegiatan menjerat gajah juga dijalankan kerana gajah boleh digunakan untuk pelbagai
kegunaan . Gajah digunakan sebagai alat pengangkutan atau pengangkutan utama
golongan pemerintah ,di samping menjadi lambang ketinggian taraf seseorang pemerintah.
Gajah juga dijadikan hadiah oleh pemerintah atau persembahan serta kenderaan semasa
peperangan. Kegiatan menjerat gajah dijalankan secara meluas di Pahang kerana terdapat
banyak binatang liar di negeri tersebut.
e. Penternakan
Antara kegiatan menternak binatang utama masyarakat Melayu ialah ayam, itik, lembu dan
kerbau. Selain menjadi sumber makanan, binatang ternakan seperti lembu dan kerbau juga
digunakan untuk membajak sawah dan menarik kayu.
f. Perikanan
Kegiatan menangkap ikan merupakan kegiatan utama masyarakat Melayu yang tinggal di
kawasan persisiran pantai, tasik, dan sungai. Hasil tangkapan digunakan untuk keperluan
diri dan lebihannya dijual atau dikeringkan.
Penduduk di Kelantan, Terangganu dan Pahang menjalankan kegiatan menangkap ikan di
laut antara bulan Mac hingga Oktober. Kegiatan menangkap ikan dihentikan antara bulan
November hingga Februari kerana keadaan laut yang bergelora dan berbahaya kepada
nelayan. Cara menangkap ikan berbeza-beza dan bergantung kepada keadaan setempat,
sungai atau laut. Antara alat-alat yang digunakan untuk menangkap ikan di sungai dan tasik
ialah serampang, tombak, tali kail, bubu, jala, pukat, pancing, jaring, tangguk, kelong, gawai,
jermal, serkap dan lukah. Alat-alat yang digunakan menangkap ikan di laut ialah pukat, jala,
jaring kelong dan rawai.
Kegiatan ekonomi komersial.
a. Padi dan beras.
Di Kedah , Perlis dan Kelantan kegiatan penanaman padi adalah bersifat separa sara diri
dan berorientasikan komersial. Kedah mengeksport beras ke Pulau Pinang. Manakala
Kelantan pula mengeksport beras ke Singapura. Negeri-negeri yang dapat menghasilkan
lebihan hasil beras ialah Selangor, Perak dan Terengganu. Mereka mampu membekalkan
beras kepada negeri-negeri Melayu lain.
b. Hasil Hutan
Hasil hutan merupakan kegiatan ekonomi komersial yang sangat diperlukan oleh para
pendagangan. Antara hasil hutan yang dieksport ialah rotan, damar, gading gajah dan
sebagainya.

Kegiatan pertanian dagang.
a. Lada hitam dan gambir
Lada hitam dan gambir banyak ditanam di Johor dan Pulau Pinang. Di Johor penanaman
lada hitam dan gambir dijalankan oleh orang-orang Cina. Temenggong Daeng Ibrahim
memberi hak berekonomi kepada tauke-tauke dan ketua kongsi gelap Cina bagi
mengusahakan ladang-ladang lada hitam melalui Sistem Kangcu atau Surat Sungai.
ii. Kopi
Ditanam oleh peladang-peladang Eropah. Kopi ditanam secara besar-besaran di Selangor,
Negeri Sembilan dan Johor.
b. Tanaman jualan lain
Tanaman tebu banyak ditanam di Seberang Perai dan Krian. Orang Eropah memainkan
peranan penting dalam penanaman. Banyak kilang memproses tebu didirikan di kawasan
ini. Ubi kayu banyak diusahakan di Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan. Ditanam secara
meluas pada pertengahan abad ke-19.
Kegiatan Perlombongan
a. Bijih Timah
Diusahakan oleh raja dan pembesar Melayu. Antara pembesar Melayu yang menjalankan
kegiatan pelombongan bijih timah ialah Long Jaafar, Ngah Ibrahim dan Raja Jumaat.
Mereka menggunakan buruh-buruh Cina. Kawasan kegiatan bijih timah yang utama ialah
Kinta, Larut, dan Dinding di Perak; Sungai Ujong dan Sungai Linggi di Negeri Sembilan;
Sungai Selangor dan Sungai Kelang di Selangor.
b. Emas.
Diusahakan di Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Johor. Pada peringkat awal
emas diusahakan oleh orang-orang Minangkabau dari Sumatera.

B. Kegiatan Ekonomi di Sarawak ( 5 markah )
Kegiatan Ekonomi Sara diri.
a. Penanaman Padi.
Padi huma diusahakan oleh orang Iban, Bidayuh dan Kenyah. Diusahakan secara
bergotong-royong. Padi huma diusahakan oleh masyarakat Kelabit yang tinggal di kawasan
bukit Hulu Sg.Baram. Sistem tali air dibina untuk mengairi kawasan sawah.
b. Perikanan.
Dijalankan oleh orang Melayu yang tinggal di kawasan persisiran pantai Kaum Iban
menjalankan penangkapan ikan di kawasan sungai terutamanya di Sungai Rejang, Saribas
dan Batang Lupar.
c. Tanaman-tanaman lain.
Antara tanaman lain yang ditanam ialah lada hitam, pokok buah-buahan dan pokok
mengkuang. Orang Melanau menjalankan kegiatan memproses sagu di Oya dan Mukah.
d. Perlombongan
Antimoni diusahakan oleh orang Bidayuh.
e. Perdagangan.
Dijalankan oleh orang Melanau dan Brunei di kawasan sempadan. Barang-barang yang
didagangkan ialah sagu.
Kegiatan ekonomi komersial
a. Lada hitam
Tanaman eksport terpenting pada zaman pemerintahan Brooke. Diusahakan oleh
peladang Cina terutamanya pengusaha daripada Singapura.
Brooke memberi tanah kepada saudagar-saudagar Cina untuk membuka kebun lada hitam.
Antara tahun 1935-1939 Sarawak merupakan pengeksport kedua terpenting selepas
Indonesia.
b. Gambir.
Harga gambir meningkat pada tahun 1890-an. Brooke memberi tanah kepada peladang
Cina. Gambir ditanam secara meluas di Bau. Pada awal abad ke-20, tanaman gambir mulai
merosot kerana harganya tidak stabil.
c. Sagu.
Sagu ditanam secara meluas di antara tahun 1850-1860. Diusahakan oleh orang Melayu
dan Inggeris. Inggeris membuka kilang di Mukah dan memberi wang pendahuluan kepada
pekebun-pekebun kecil. Mulai abad ke-20 orang Cina mulai mengambil alih kegiatan ini dan
kemudian menguasai perusahaan sagu.
d. Perlombongan.
Emas dilombong di Bau oleh orang Cina. Antimoni dilombong di Bahagian Pertama
Sarawak. Pembesar Melayu menggunakan tenaga buruh Dayak.

C. Kegiatan ekonomi di Sabah. ( 5 markah )
Kegiatan ekonomi sara diri
a. Penanaman Padi
Tanaman makanan utama. Padi sawah diusahakan oleh orang Kadazan dan Dusun.
Kawasan penanaman padi yang utama ialah Tuaran, Papar, Penampang dan lembah bukit
di Ranau, Keningau dan Tambunan. Padi huma ditanam di lereng-lereng bukit landai di
kawasan pedalaman yang bergunung-ganang. Padi huma diusahakan oleh orang Murut dan
Bajau.
b. Tanaman-tanaman lain
Jagung, ubi kayu, keledek, buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan ‘ makanan selang”
c. Pertukangan
Dijalankan oleh kaum Bajau. Mereka terkenal dengan kemahiran bertukang besi, menenun
kain dan memacu kuda.
d. Perikanan
Dijalankan oleh masyarakat Melayu Brunei dan Kedayan. Dijalankan di sepanjang pantai
perairan Sabah dan bersempadan dengan Brunei.
e. Penternakan
Binatang yang diternak ialah kerbau, ayam, itik dan khinzir. Dijalankan oleh suku kaum
dusun dan Kadazan.
Kegiatan Ekonomi Komersial
a. Tembakau
SBUB telah menggalakkan penanaman tembakau. Tembakau mula diusahakan oleh orangorang
Cina. Selepas tahun 1884, peladang-peladang Belanda dan Jerman memainkan
peranan penting dalam penanaman tembakau. Kawasan tumpuan ialah Pantai Timur
Sabah. Pada tahun 1890 terdapat 60 estet tembakau yang kebanyakan tertumpu di
Bahagian Timur Laut dan Pantai Timur Sabah.
Peladang menggunakan tenaga buruh dari Singapura dan Hong Kong. Pada penghujung
abad ke-19 penanaman tembakau merosot apabila permintaan dari Amerika merosot.
b. Perlombongan.
Emas diusahakan oleh orang Cina di Sungai Segama. Petroleum diusahakan secara
komersial oleh SBUB.

C. Penutup ( 2/3 markah )
Kegiatan ekonomi di Malaysia sebelum kedatangan Barat bersifat sara diri dan komersial.
Kegiatan ekonomi sara diri adalah untuk keperluan diri dan keluarga sendiri. Kegiatan ini
menjadi komersial apabila lebihan yang ada dijual atau ditukar dengan barangan lain. Setelah
kedatangan Barat, kegiatan ekonomi sara diri masih wujud dan kegiatan komersial serta
perdagangan semakin berkembang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...