Isnin, 23 April 2012

TEMA 1 Sejarah Malaysia : MASYARAKAT TEMPATAN


“Islam menjadi unsur penting dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu sebelum campur tangan British”. Bincangkan
Pendahuluan   ( 3/2 Markah )
            Islam telah bertapak di Tanah Melayu pada abad ke-7 dan sepanjang abad ke-13 hingga abad ke-16 Islam tersebar secara meluas di Kepulauan Melayu. Sejak itu Islam menjadi agama yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk di Kepulauan Melayu. Kedatangan Islam yang membawa peradaban yang tersendiri telah mengubah bukan sahaja anutan dan kepercayaan lama masyarakat di Tanah Melayu iaitu kepercayaan animisme dan Hindu-Buddha tetapi juga turut mengubah pengaruh kedua-dua kepercayaan tersebut yang begitu dominan sebelumnya. Lantaran itulah selepas kedatangan Islam, kehidupan masyarakat di Tanah Melayu banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Namun campurtangan British pada tahun 1874 menyebabkan pengaruh Barat mula mewarnai kehidupan masyarakat di Tanah Melayu.
Isi ( 20 Markah )
1.            Pengaruh Islam dari segi politik.
-          Islam membawa perubahan yang besar dalam politik di Tanah Melayu. Islam membawa perubahan ke arah corak keislaman dengan mengubah konsep dewaraja kepada doktrin kepimpinan Islam.
-          Institusi kesultanan yang diamalkan di empayar Islam diterima pakai oleh kerajaan di Negeri-negeri Melayu. Ini berbeza dengan pemerintahan beraja yang diamalkan sebelumnya. Konsep dewaraja dihapuskan dan diganti dengan konsep bahawa Sultan adalah khalifah di muka bumi. Sultan dianggap sebagai Amirul Mukminin, iaitu ketua kepada umat Islam. Ia secara langsung mengukuhkan taraf dan kedudukan raja-raja Melayu
-          Gelaran raja ditukar kepada sultan. Sultan bertindak sebagai ketua agama Islam yang bertanggungjawab memerintah dengan adil dan menjaga kebajikan rakyat jelata.
-          Pengaruh Islam jelas dalam pemerintahan di Negeri-negeri Melayu apabila wujud kelompok pemimpin agama yang bertindak sebagai penasihat kepada sultan dalam hal-hal berkaitan hukum syarak atau yang berkaitan dengan agama Islam. Mereka terdiri daripada ahli sufi dan alim ulama yang diberi pelbagai gelaran oleh sultan seperti gelaran Imam Maharaja, Maharaja Kadi, Dato’ Mufti dan Seri Utama. Di Terengganu golongan agama dikenal sebagai Tokku dan keturunan mereka menggunakan gelaran Engku atau Tuan. 
2.             Undang-undang
-          Sebelum campur tangan British undang-undang Islam telah diguna pakai di Negeri-negeri Melayu walaupun ia dicampuradukkan dengan hukum adat. Para ulama memainkan peranan penting dalam perundangan Islam. Perundangan Islam menjadi tunjang undang-undang bertulis. Antara negeri Melayu yang menggunakan   hukum syarak  ialah negeri Perak, Johor, Terengganu dan Pahang.
-          Hukum syarak yang digunakan termasuklah undang-undang jenayah seperti hukum curi, samun, membunuh, berzina dan liwat, undang-undang muamalat seperti hukuman dan peraturan jual-beli, hutang piutang sewa tanah dan hukum berhuma, berladang, berternak, larangan melakukan kerja mungkar seperti minum arak dan tuak. Sebagai contoh Undang-undang Terengganu berdasarkan kepada Hukum Syarak (Undang-undang Islam). Di Terengganu sekumpulan pegawai yang dipanggil Budak Raja, bertindak seperti polis hari ini bertanggungjawab menangkap orang yang didapati bersalah.
-          Antara hukuman yang dijatuhkan pada abad ke-19 ialah kesalahan mencuri dikudungkan tangan, pesalah dipenjarakan, dan pembunuh dihukum bunuh serta kesalahan-kesalahan lain didenda.
-          Undang-undang adat, iaitu  Adat Temenggung yang diamalkan sebelum kedatangan Islam juga disesuaikan dengan Undang-undang Syariah (Islam). Adat Temenggung  menggunakan hukum syarak yang dipetik daripada mazhab Shafie 
-          Tokoh yang memelihara undang-undang Islam ialah hakim atau kadi.        
3.      Adat
-          Islam membawa pengaruh dalam adat resam. Islam membawa nilai yang berbeza dengan sebelumnya. Penyesuaian unsur Hindu dengan Islam dilakukan untuk mengelakkan amalan ini bertentangan dengan Islam. Contohnya perkahwinan, pertabalan raja, adat turun tanah, melenggang perut, berkhatan dan sebagainya. Upacara berkhatam dilakukan bagi meraikan kanak-kanak yang telah tamat mengaji al-Quran.
-          Adat bercukur dimulakan dengan berzanji dan marhaban, iaitu bacaan mengenai kisah-kisah kelahiran dan kebesaran Nabi Muhamad SAW. Upacara ini diakhiri dengan bacaan tahlil dan doa selamat sebagai tanda kesyukuran. Ketika Maulidur Rasul pula akan dipersembahkan lagu-lagu yang memuji kebesaran Nabi Muhammad SAW dengan diiringi paluan kompang dan permainan hadrah. 
-          Perayaan-perayaan di istana raja juga membayangkan pengaruh Islam. Istiadat dan perayaan di istana dimulakan dan diakhiri dengan bacaan ayat-ayat al-Quran. Pegawai agama seperti imam memainkan peranan yang cukup penting  dalam sebarang majlis di istana dan merekalah yang membaca doa.   
4.      Kepercayaan
-          Kedatangan Islam telah membawa kepada kepercayaan tentang keesaan Tuhan, iaitu Allah. Islam berjaya merubah falsafah hidup masyarakat dengan menolak kepercayaan kepada perkara tahyul,dongeng dan dewa-dewa.
-          Kedatangan Islam juga mengubah pandangan terhadap tokoh-tokoh agama Hindu, ahli sihir, dukun dan bomoh. Tempat mereka diganti dengan tokoh-tokoh Islam.
5.      Ekonomi
-          Islam menekankan konsep dosa dan pahala dalam bidang perekonomiannya. Penganutnya dilarang melakukan pekerjaan atau perniagaan yang tidak dihalalkan oleh Islam.
-          Islam menekankan kepada keadilan dan membantu mereka yang miskin. Lantaran  itu zakat diwajibkan dalam Islam. Zakat harta benda dan zakat fitrah diwajibkan kepada mereka yang berkemampuan. Zakat dipungut oleh pemerintah.
-          Islam mengharamkan riba kerana riba adalah bersifat penindasan golongan kaya (pemodal) ke atas golongan miskin (peminjam)
-          Wujud institusi Baitulmal atau perbendaharaan negara yang berpunca daripada sumber zakat yang diwajibkan dan sedekah yang disunatkan serta daripada punca lain seperti jizyah, ghanimah, al-fai’ dan lain-lain.

6.            Pendidikan
-          Kedatangan Islam telah mewujudkan satu sistem pendidikan yang baru kepada masyarakat Melayu.
-          Islam telah melahirkan ilmu pengetahuan yang memberi manfaat kepada masyarakat Melayu. Islam membawa bersama ilmu pengetahuan seperti ilmu bahasa, kesusasteraan, sejarah, falsafah, akhlak, mantik dan pelbagai lagi. Kedatangan Islam juga telah melahirkan  sekolah-sekolah pondok. Di sekolah-sekolah ini pelbagai mata pelajaran diajar seperti tauhid, tafsir, fekah, hadis dan lain-lain. Pengajian di sekolah pondok merupakan pendidikan tertinggi di Negeri-negeri Melayu pada tahun 1850. Sekolah-sekolah pondok banyak terdapat di Kelantan, Kedah, Perak, Perlis dan Terengganu. Antara sekolah pondok yang terkenal ialah Pondok Tok Kenali di Kelantan dan Pondok Pokok Sena di Seberang Perai.
-          Sekolah pondok juga telah melahirkan penulis terkenal dan ulama terkemuka seperti Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi  dan Haji Hasan bin Yunus di Johor

7.            Bahasa dan Kesusasteraan.
-          Kedatangan Islam telah memperkayakan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Dalam bidang bahasa kedatangan Islam telah memperkayakan lagi perbendaharaan bahasa Melayu. Banyak perkataan dalam bahasa Melayu dipinjam dari bahasa Arab, antaranya ilmu, sultan, kitab, masjid, hisab, alam dan lain-lain.
-          Islam telah menjadikan bahasa Melayu sebagai  bahasa ilmu pengetahuan. Bahasa kuno yang menggunakan huruf-huruf dari India ditukar kepada tulisan Arab iaitu huruf jawi. Dengan adanya tulisan jawi kemajuan ilmu pengetahuan dan kesusasteraan Melayu berkembang dengan pesatnya. Pelbagai buku telah ditulis dalam tulisan jawi.

8.            Kesenian
-          Pengaruh Islam dapat dilihat dalam pelbagai bidang kesenian seperti senibina, epigrafi, kaligrafi, seni ukir, seni logam dan sebagainya. Ia dapat dilihat pada bangunan masjid, surau atau madrasah, istana, rumah, kota, kubah, mimbar, tempat wuduk,batu nisan dan sebagainya.
-          Dalam bidang seni lukis, bentuk manusia dilarang maka mereka menggunakan reka corak dan motif seperti bunga-bungaan, tumbuh-tumbuhan, sarang labah-labah, mihrab dan geometri.
-          Unsur Islam dapat dilihat pada kaligrafi atau seni khat Islam seperti khat kufi, thuluth, diwani, nasakh dan lain-lain. Seni khat ini dapat dilihat pada bangunan masjid, mata wang, pakaian, batu nisan dan sebagainya.


Kesimpulan ( 2/3 Markah )

            Kesimpulannya, Islam mempunyai pengaruh yang besar ke atas kehidupan masyarakat Melayu. Islam telah menjadi unsur penting dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, selepas campur tangan British yang memperkenalkan sistem pentadbiran, politik, undang-undang, ekonomi serta nilai-nilai  Barat menyebabkan sistem Barat itu mula menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Selepas campur tangan British unsur Islam dan Barat telah menjadi unsur yang berpengaruh  dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...