Isnin, 23 April 2012

TEMA 2 Sejarah Malaysia :TRANSFORMASI MASYARAKAT

Bincangkan perubahan-perubahan sistem pentadbiran Tanah Melayu dari tahun 1874 sehingga 1896.
 
Pada tahun 1860-an dan 1870-an, berlaku pelbagai kekacauan di Perak, Selangor, Pahang dan Sungai Ujong. Antara kekacauan itu ialah perebutan takhta, pergaduhan pembesar, pergaduhan di antara pelombong Cina dan sebagainya. Kekacauan tersebut telah dijadikan alasan oleh British untuk campur tangan. Hasil usaha daripada Sir Andrew Clarke, dasar campur tangan bermula di Perak, kemudian Selangor, Sungai Ujong dan Pahang. Berikutan dasar campur tangan, Sistem Residen telah diperkenalkan di negeri-negeri tersebut. Di bawah Sistem Residen, Sultan menerima seorang Residen sebagai penasihat bagi menasihatinya dalam segala hal kecuali hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan adat resam orang Melayu.
 
Pengenalan Sistem Residen ini telah mewujudkan satu jawatan baru selepas Sultan iaitu Residen. Residen ini dilantik untuk menasihati Sultan-sultan dalam urusan-urusan pentadbiran kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan adat resam orang Melayu. Beliau bertanggungjawab mengekalkan ketenteraman dan menegakkan peraturan serta undang-undang di wilayah pemerintahannya. Segala tindakan hendaklah jangan menggunakan paksaan. Beliau juga bertugas membentuk sebuah sistem cukai yang berkesan serta merancang dan membangunkan kawasan-kawasan bandar. Selain itu, beliau juga dikehendaki memperbaiki sistem perhubungan. 
Di peringkat negeri, pemerintahan secara tidak langsung dan nasihat Residen kepada Sultan dijalankan melalui pembentukan Majlis Mesyuarat Negeri. Tujuan utama majlis ini ialah untuk membolehkan para pegawai British berunding dengan para pembesar tempatan tentang segala hal yang berhubung dengan kepentingan masyarakat Melayu. Majlis ini mula-mulanya ditubuhkan sebagai penasihat sahaja. Kemudian, tugas-tugasnya termasuk juga membuat undang-undang, menjadi mahkamah rayuan tertinggi dan menjadi badan kerajaan utama yang menguruskan perubahan dalam struktur cukai, pencen kepada orang Melayu dan perlantikan ketua tempatan, pegawai kerajaan dan kadi. Pada amnya semua perkara yang berkaitan dengan kerajaan tempatan diuruskan oleh majlis ini kecuali urusan mengawal hasil-hasil yang berada di bawah Residen. Seluruh Mesyuarat Negeri ini dijalankan dalam Bahasa Melayu dan segala perkara yang berkaitan dengan pentadbiran, ekonomi dan sosial dibincangkan dalam majlis ini. Semua cadangan dan usul Residen harus dibahaskan dan diundi sebelum diluluskan menjadi undang-undang. Semua rang undang-undang harus mempunyai tandatangan Sultan tetapi mestilah terlebih dahulu mendapat keizinan Gabenor yang mempunyai kuasa pembatal. Sungguhpun majlis ini amat berguna untuk membincangkan pendapat mengenai perkara-perkara yang menyentuh orang Melayu tetapi sebenarnya, majlis ini tidak mempunyai kuasa perundangan yang luas. Lagipun, apabila pentadbiran menjadi semakin rumit, fungsi perundangan majlis ini diabaikan. Lama-kelamaan, majlis ini hanya meluluskan keputusan yang sudah dibuat. 
Di peringkat daerah, pentadbirannya diserah di bawah jagaan seorang pegawai daerah British. Pada peringkat awal, pegawai daerah dikenali sebagai “Pemungut Cukai dan Majlistret” kerana beliau berfungsi sebagai pemungut cukai dan menjadi majlistret di peringkat daerah. Pegawai daerah juga bertanggungjawab menjaga perbandaharaan daerah dan memungut cukai. Beberapa cawangan jabatan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Polis dan Jabatan Perubatan ditubuhkan di bawah Ketua  Pegawai Eropah dan Pegawai Daerah bertugas untuk mengawasi ketua jabatan itu. 
Setiap daerah ini dibahagikan kepada beberapa mukim pula. Seorang pembesar dilantik untuk menjadi Ketua Mukim dengan gelaran Penghulu. Anak raja dilantik menjadi Penghulu kerana beliau mempunyai pengaruh yang kuat. Selain itu, British juga berhasrat melibatkan mereka dalam pentadbiran British. Mereka ini juga lebih memahami sikap dan perasaan rakyat jelata dan mempunyai pendidikan yang diperlukan untuk menjalankan tugas. Tugas mereka termasuklah memungut hasil tanah, mentadbir undang-undang tempatan, menjaga keamanan dan keselamatan, mengadakan hubungan erat dengan rakyat jelata, menyampaikan dasar dan usaha kerajaan kepada rakyat jelata, menyampaikan maklumat balas rakyat kepada kerajaan dan menyimpan kira-kira dan membuat laporan bertulis. 
Seterusnya, di peringkat kampung, ia diketuai oleh Ketua Kampung. Biasanya, mereka terdiri daripada orang tua yang dihormati oleh penduduk sesebuah kampung. Ketua Kampung bekerjasama dengan Penghulu di mukim dan mendapat pengiktirafan daripada Sultan negeri-negeri masing-masing. Selain Penghulu dan Ketua Kampung, terdapat lagi Kapitan Cina dan Penghulu Dagang. 
Pada awal tahun 1890-an, sebuah Lembaga Kesihatan telah ditubuhkan bagi mentadbir bandar Kuala Lumpur. Tugas lembaga ini adalah untuk mengeluarkan lesen peniaga dan penjaja, meluluskan pelan bangunan dan menjaga kebersihan bandar. Ahli-ahli lembaga ini terdiri daripada jurutera di Jabatan Kerja Raya, Ketua Polis Daerah dan individu yang dilantik oleh Residen. 
Pada tahun 1892, Frank Swettenham memperkenalkan idea penubuhan persekutuan kepada Gabenor Negeri-negeri Selat, Cecil Smith. Pada tahun 1893, Cecil Clementi menghantarkan cadangan  ini kepada Pejabat Tanah Jajahan. Frank Swettenham dengan initiatifnya mendapat persetujuan dari Raja-raja Melayu. Akihirnya, pada 1 Julai 1895, Raja-raja Melayu menandatangani Perjanjian Persekutuan dan perjanjian ini berkuatkuasa pada 1 Julai 1896 di mana persekutuan yang dinamakan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan.
 
Di bawah sistem persekutuan ini, pemusatan kuasa di tangan Residen Jeneral telah berlaku. Sudahpun diketahui, Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) bukan merupakan persekutuan dalam erti kata yang sebenarnya tetapi satu kesatuan politik. Kuasa pentadbiran dipusatkan dalam tangan Residen Jeneral di Kuala Lumpur yang menjadi ibu negeri persekutuan. Semua keputusan penting berkaitan dengan keempat-empat Negeri-negeri Melayu berkenaan dibuat di Kuala Lumpur. Tiada terdapat pengagihan kuasa pentadbiran di antara negeri-negeri dan kerajaan pusat. Beberapa jabatan persekutuan seperti Jabatan Keretapi, Jabatan Polis, Jabatan Hutan, Jabatan Hal-ehwal Cina, Malay States Guides dan Jabatan Kewangan ditubuhkan. Residen Jeneral mempunyai kuasa atas perkara kewangan. Punca utama hasil, iaitu duti-duti atas eksport, berada di bawah kawalan kerajaan pusat. Sir Frank Swettenham dilantik sebagai Residen Jeneral yang pertama bagi NNMB. Pemusatan kuasa ini mengakibatkan Sultan-sultan Melayu, Residen-residen dan Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan kuasa. 
Di bawah persekutuan juga, Persidangan Raja-raja Melayu (DURBAR) ditubuhkan. DURBAR membolehkan Sultan-sultan membincangkan kepentingan mereka bersama dengan pegawai-pegawai British. Persidangan ini dijalankan dalam Bahasa Melayu. Persidangan Raja-raja Melayu yang pertama diadakan pada tahun 1897 di Kuala Lumpur. Sultan Idris dari Perak mengkritik pemusatan kuasa pentadbiran di tangan Residen Jeneral. Baginda menggesa Kerajaan British untuk melaksanakan pengagihan kuasa. Baginda juga menggesa Kerajaan British untuk menambahkan bilangan pegawai Melayu dalam perkhidmatan kerajaan.  

Kesimpulannya,penubuhan NNMB telah menyebabkan kuasa Sultan-sultan, Residen-residen dan Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan kuasa. Sultan Idris dari Perak selalu mengkritik Kerajaan British atas tindakan ini dan mendesak Kerajaan British untuk melaksanakan pengagihan kuasa atau desentralisasi. Hasil usaha dari John Anderson, desentralisasi peringkat pertama dimulakan pada tahun 1904. Pada peringkat ini, Majlis Mesyuarat Persekutuan ditubuhkan pada tahun 1909. Selepas John Anderson, Guillemard dan Sir Cecil Clementi juga melaksanakan dasar desentralisasi masing-masing pada tahun 1920 dan 1930.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...