Isnin, 23 April 2012

TEMA 2 Sejarah Malaysia :TRANSFORMASI MASYARAKAT




Galurkan tahap-tahap peluasan kuasa British di Negeri-negeri Melayu Utara pada penghujung abad ke-19 hingga awal abad ke-20.
 Pendahuluan. ( 3/2 Markah )
         Inggeris telah mempergiatkan usaha-usaha campur tangan di Negeri-negeri Melayu Utara (NNMU) kerana bimbang  campur tangan kuasa-kuasa Barat ke atas NNMU. Beberapa perjanjian telah ditandatangani dengan Siam bagi mengukuhkan pengaruhnya di NNMU. Di antara perjanjian yang ditandatangani ialah Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897, Pengisytiharan Inggeris-Siam 1902 dan Perjanjian Bangkok 1909.
 Isi :
1. Perjanjian Sulit Inggeris-Siam 1897.  ( 5 Markah )
        Perjanjian ini ditandatangani kerana Inggeris bimbang  Perancis cuba meluaskan pengaruhnya sehingga ke Lembah Chao Phraya dan  membina Terusan Kra. Kebimbangan Inggeris semakin bertambah apabila Jerman sedang berusaha membina sebuah pengkalan di Pulau Langkawi. Keadaan ini telah menyebabkan Inggeris terpaksa menandatangani Perjanjian Sulit dengan Siam.
Menurut perjanjian ini ,
a ) Siam berjanji tidak akan menyerahkan sebarang kawasan ke selatan garis lintang  11°U kepada kuasa lain tanpa izin daripada Inggeris.
          b )  Inggeris pula akan membantu Siam jika Siam diancam oleh kuasa-kuasa asing.
* Menurut Tan Ding Eing dalam bukunya Sejarah Malaysia dan Singapura, perjanjian ini menandakan permulaan satu dasar Inggeris yang aktif terhadap Negeri-negeri Melayu Utara.  Melalui perjanjian di atas, British telah mengakui secara tidak begitu jelas kekuasaan Siam ke atas Negeri-negeri Melayu Utara.
2.      Perjanjian Sempadan Inggeris-Siam 1899
Melalui perjanjian ini, Inggeris mengiktiraf kedudukan  Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan sebagai wilayah yang berada di bawah naungan Siam. Perjanjian ini bertujuan menyelesaikan masalah sempadan yang sudah lama wujud antara Perak di bawah British dengan Reman di bawah Siam. Perjanjian ini telah menetapkan sempadan di Kedah, Perak dan Pahang serta sempadan di utara Reman, Kelantan dan Terengganu.

3.      Pengisytiharan Inggeris-Siam 1902.  ( 5 markah )
    Sebab-sebab perisytiharan :
a)      Inggeris bimbang kuasa asing seperti Jerman di Langkawi, Rusia di Ujong Salang
       ( Pulau Phuket) dan Amerika di Terengganu.
b)      Kegiatan R.W. Duff di Kelantan telah menimbulkan bantahan daripada Siam. Duff pula telah meminta sokongan daripada Inggeris. Beliau mengancam jika Inggeris enggan membantunya beliau akan meminta bantuan Perancis atau Jerman.
c)      Rusuhan di Negeri-negeri Melayu Utara  akibat dasar-dasar Siam. NNMU telah meminta bantuan daripada Inggeris. Jika Inggeris enggan memberi bantuan, mereka akan meminta bantuan daripada kuasa Barat lain.
d)      Peranan Frank Swettenham  (Gabenor NNS) . Beliau menyokong kuat tuntutan Duff kerana ingin meluaskan pengaruh Inggeris di NNMU. Beliau menasihatkan kerajaan Inggeris supaya pegawai-pegawai Inggeris yang berkhidmat di Bangkok dilantik sebagai penasihat untuk menguruskan hal-ehwal NNMU.
 Antara isi-isi perisytiharan :
            a)  Penasihat-penasihat berbangsa Inggeris akan dilantik oleh Siam untuk menasihati sultan Kelantan dan Terengganu.
b)  Bagi Kedah pula Inggeris ingin memulihkan kedudukan kewangan Kedah. Sebagai balasan seorang penasihat Inggeris akan dilantik di Kedah iaitu J.F.Williamson.
c)   Kelantan dan Terengganu tidak boleh memberi konsesi-konsesi kepada orang asing tanpa persetujuan Siam.
Kepentingan perisytiharan :
            a)   Siam mengakui kewujudan kepentingan khas British di Kelantan dan Terengganu.
b)   Perisytiharan ini merupakan langkah yang penting dalam proses perluasan pengaruh British ke atas Negeri-negeri Melayu Utara.
            c)   British mengakui secara jelas ketuanan Siam ke atas Kelantan dan Terengganu.
            d)   Sultan Kelantan bersetuju menerima perlantikan Penasihat British (W.A Graham)
                   pada tahun 1903, tetapi sultan Terengganu tidak bersetuju berbuat demikian
                   sebaliknya baginda menolak pengisytiharan 1902.
            e)  Pada tahun 1905, Penasihat-penasihat British dilantik di Kedah dan Perlis.

3. Perjanjian Bangkok 1909 ( 10 Markah )
a)      Pakatan Inggeris-Perancis 1904 telah menamatkan persaingan mereka dan ancaman dasar perluasan kuasa Perancis di Siam dan NNMU.
b)      Kebimbangan campur tangan di NNMU oleh kuasa-kuasa Barat.  Perancis, Rusia dan Jerman  berminat membina terusan di Segenting Kra. Jerman cuba mendapat persetujuan untuk membina jalan kereta api di NNMU.
c)      Pembatalan hak wilayah asingan.  Siam tidak berpuas hati dengan pemberian hak-hak istimewa kepada Inggeris. Siam mahu menghapuskan hak-hak istimewa tersebut dan sebagai balasan akan menyerahkan NNMU yang tidak menguntungkan kepada Inggeris.
d)      Negeri-negeri Melayu Utara tidak menguntungkan Siam.  Masalah kewangan Negeri-negeri Melayu Utara telah membebankan Siam.   Contohnya Siam terpaksa memberi pinjaman sebanyak Sp $2 juta kepada Kedah.
Isi-isi perjanjian :
a)      Siam menyerahkan NNMU kepada Inggeris.
b)      Inggeris menyerahkan hak wilayah asingan kepada Siam.
c)      Inggeris memberi pinjaman sebanyak 4 juta pound sterling kepada Siam untuk membina landasan keretapi di NNMU.
d)      Perjanjian Sulit 1897 dibatalkan.

Kepentingan perjanjian ini :
            Perjanjian Inggeris-Siam1909 termasuk penerimaan penasihat British oleh Johor pada tahun 1914 menamatkan proses perluasan kuasa British di Tanah Melayu.
            Perjanjian ini juga merupakan peristiwa sejarah yang penting memandangkan ia telah menentukan sempadan antara Tanah Melayu dengan Siam.
Kesimpulan ( 2/3 Markah )
            Kesimpulannya akibat beberapa perjanjian yang ditandatangani di antara British dengan Siam akhirnya Negeri-negeri Melayu Utara telah diletakkan di bawah pengaruh British. Negeri-negeri Melayu Utara terpaksa menerima seorang penasihat British. Di bawah pentadbiran British Negeri-negeri Melayu Utara telah banyak menerima perubahan dari segi politik, ekonomi dan sosial.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...