Isnin, 23 April 2012

TEMA 1 Sejarah Malaysia : MASYARAKAT TEMPATAN


Sejauhmanakah ekonomi di Tanah Melayu bersifat sara diri sebelum kedatangan
British.

A) PENGENALAN
1. Sebelum campur tangan British, sistem ekonomi Tanah Melayu bersifat sara diri.
Tiada penggunaan teknologi moden,tetapi tenaga ahli-ahli keluarga adalah penting dari
peringkat awal hingga ke peringkat pengeluaran. Rakyat jelata tidak ada dorongan untuk
mengeluarkan lebihan tanaman kerana cukai yang selalunya dikenakan adalah tinggi dan
sistem pemasaran adalah sesuatu yang mudah. Tanah-tanah boleh diusahakan sesuka hati
atau hanya perlu meminta kebenaran pembesar kerana tanah dianggap milik raja.
2. Kegiatan terpenting ialah pertanian,iaitu tanaman padi. Di samping itu, terdapat juga
kegiatan penternakan, penghasilan barang-barang kraftangan serta mencari hasil-hasil
hutan.
3. Sekiranya ada lebihan, aktiviti pertukaran mendapatkan barang-barang keperluan lain
yang tidak dapat dihasilkan sendiri boleh dijalankan. Di samping itu, penduduk Tanah
Melayu juga menjalankan kegiatan ekonomi komersial yang berlandaskan perdagangan
dan perlombongan.

B) ISI
1. Ekonomi Sara Diri
i. Dari aspek pertanian, padi merupakan tanaman utama. Terdapat dua jenis padi utama.
Padi sawah ditanam di kawasan lembah sungai atau tanah rendah dan rata. Ia
memerlukan air yang banyak. Padi huma atau padi bukit ditanam dikawasan tanah tinggi
atau lereng bukit dan tidak memerlukan air yang banyak. Kawasan penanaman padi yang
utama ialah di Kedah, Negeri Sembilan ,Pahang dan Kelantan

ii. Sistem pengairan dapat memajukan sistem penanaman padi pada awal abad ke--19.
Terdapat 3 jenis pengairan yang digunakan iaitu kincir air, terusan dan empangan. Pada
tahun 1885, terusan Wan Mat Saman sepanjang 32km telah dibina di Kedah untuk
mengairi sawah padi. Padi dari negeri Kedah dan Perlis mendapat pasaran yang baik di
Pulau Pinang. Selain itu, Kedah turut menjalankan sistem pajak (ampun kurnia) yang
dianugerahkan oleh raja kepada tauke-tauke dari Pulau Pinang untuk mengusahakan
kegiatan ekonomi tertentu

iii. Di negeri Perak, masyarakat Melayu merupakan masyarakat tani. Tanaman utama
yang diusahakan ialah padi. Selain itu, terdapat juga tanaman seperti kopi, tembakau,
sagu, pisang, jagung, tebu, ubi kayu, lada hitam dan gambir. Pokok buah-buahan juga
ditanam untuk kegunaan sendiri seperti kelapa, durian, manggis, langsat dan lain-lain.
Selain itu, terdapat juga pokok pinang, kabung, nibung dan nipah yang mempunyai nilainilai
perniagaan. Jika berlebihan, ia akan dijual untuk membeli barangan yang tidak
mereka hasilkan seperti pakaian.

iv. Di samping itu, kegiatan menangkap ikan secara kecil-kecilan penting sebagai mata
pencarian bagi penduduk Tanah Melayu yang tinggal berhampiran dengan laut,sungai
dan tasik

v. Kegiatan memburu binatang juga dijalankan seperti pelanduk, kancil dan ayam hutan.

vi. Ternakan secara kecil-kecilan seperti lembu, kerbau dan ayam itik dilakukan
disamping kegiatan pertanian.

vii. Selain itu, sistem kerah yang diwajibkan ke atas rakyat untuk berkhidmat dengan
pembesar termasuk raja merupakan ciri penting. Khidmat yang diberikan seperti
membuat jalan,menjaga perahu,jambatan,gajah,menghantar surat dan berita dan menjaga
kepentingan pembesar semasa melawat daerah dan sebagainya.

viii. Kegiatan sampingan lain dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional ialah
mengutip hasil hutan seperti damar, rotan, getah perca, pelutung, kayu dan buluh. Dalam
masyarakat Melayu tradisional, kegiatan ini dipanggil “meramu”. Hasil-hasil ini dijual
sebagai pertukaran bagi mendapatkan beras, garam dan kain. Perkembangan pusat
perdagangan di Kedah dan Melaka membolehkan hasil-hasil hutan dijual kepada
pedagang-pedagang asing.

ix. Antara kerja-kerja pertukangan ialah bertukang, bertenun, menganyam kain dan
menghasilkan kraftangan. Kegiatan pertukangan melibatkan pertukangan kayu seperti
membuat rumah dan sampan serta pertukangan logam seperti membuat alat-alat senjata.
Di samping itu,terdapat juga aktiviti meembuat periuk belanga daripada tanah. Penduduk
di Pantai Timur juga menjalankan aktiviti menenun kain, songket dan membuat alat
penangkapan ikan terutamanya pada musim tengkujuh

2. Ekonomi Komersial
i. Sebelum campur tangan British, penduduk Tanah Melayu juga menjalankan sistem
ekonomi komersial berlandaskan perdagangan dan perlombongan
ii. Perdagangan dengan negara-negara Eropah dijalankan melalui pelabuhan entrepot
Singapura dan ke China
iii. Pertanian dagangan merupakan kegiatan pertanian yang dijalankan untuk perdagangan
di samping kegunaan harian
iv. Perlombongan bijih timah telahpun diusahakan oleh orang-orang Melayu (pembesarpembesar
Melayu). Pengeluaran terhad kerana kaedah yang digunakan ialah mendulang.
Dianggarkan bahawa hanya 500 tan bijih timah setahun diusahakan oleh orang-orang
Melayu hingga pertengahan abad ke-19.
v. Awal abad ke-19, ladang-ladang gambir yang luas milik kongsi Cina telah dimajukan
di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Di Johor,lada hitam dan gambir
diusahakan di antara tahun-tahun 1840-1850-an. Kedua-dua tanaman ini ditanam di
bawah sistem Kangchu. Tanaman ini mendapat pasaran yang menguntungkan di
Singapura dan Eropah
vi. Di Seberang Perai, buah pala,cengkih dan tebu telah diusahakan oleh saudagarsaudagar
Eropah pada awal abad ke-19.
vii. Ubi kayu ditanam di Melaka pada pertengahan abad ke-19. Dianggarkan pada tahun
1860, terdapat kira-kira 400 hektar ladang ubi kayu di Melaka.
viii. Terengganu menjalankan kegiatan perdagangan dengan China menjelang tahun
1830. Masyarakat Cina Terengganu sudahpun mempunyai seorang kapitan China. Sultan
Omar menggalakkan perdagangan luar yang mengeksport emas, bijih timah, kopi,
pinang, rotan dan damar. Baginda mengarahkan supaya kegiatan carigali emas di Ulu
Nerus dan biji timah di Kemaman dipergiatkan. Terengganu mengimport barangan
seperti candu, barang-barang buatan British dan barang-barang dari China.
ix. Kelantan pula terkenal dengan pengeluaran emas, bijih timah, lada hitam, pinang,
beras, getah perca, buluh, kayu gaharu dan kain songket. Import utamanya ialah barangbarang
kapas dari India dan Britain, sutera mentah dari China, candu, tembakau dan lainlain.
Pengeluaran emas dikuasai oleh orang-orang Cina. Kawasan utamanya ialah di
Pulai, Gua Musang. Hasil eksport Kelantan yang lain seperti kayu-kayan, getah perca,
damar ,buluh dan sebagainya.
x. Perlombongan bijih timah tertumpu di kawasan pantai barat Semenanjung Tanah
Melayu. Di Perak, bijih timah di kawasan hilir Perak dan Kinta diusahakan pada abad ke-
19 oleh pelombong cina dari Pulau Pinang, contohnya Kapitan Chong Ah Kwee.
Kawasan Larut menjadi kawasan utama selepas 1840-an
xi. Di Selangor, kawasan perlombongan Lukut dibuka oleh Raja Busu yang berasal dari
Kesultanan Selangor. Ramai saudagar negeri-negeri Selat melabur di Lukut. Lebih
daripada 20000 orang Cina menjalankan aktiviti perlombongan di Lukut. Kawasan
Kelang ialah kurniaan Sultan Muhamad kepada Raja Abdullah. Ia dieksport ke luar pada
tahun 1859
xii. Di Negeri Sembilan pula, pelombong-pelombong cina telah melombong di Sungai
Ujong sejak 1828. Kawasan ini berkembang pesat pada pertengahan abad ke- 19 di
bawah Dato’ Bandar Kulup Tunggal dan Dato’ Kelana. Eksport bijihnya meningkat
daripada 7000 pikul pada tahun 1830-an hingga 20000 pikul pada tahun 1855.
Kebanyakan bijih dari sini dieksport ke negeri-negeri Selat terutamanya Melaka
xiii. Lombong-lombong bijih timah dibuka di Melaka seperti kawasan Durian
Tunggal,Air Panas dan Kesang telah dibuka sekitar tahun 1840-an
xiv. Di Pahang,kegiatan perlombongan bijih timah diusahakan di Kuantan oleh saudagar-saudagar negeri-negeri Selat.


C) KESIMPULAN
1. Kesimpulannya, sistem ekonomi Tanah Melayu sebelum campur tangan Barat
merupakan sistem ekonomi sara diri dengan tumpuannya ke atas pertanian dan sistem
ekonomi komersial yang berat kepada perlombongan dan perdagangan
2. Tanah Melayu begitu kaya dengan hasil alam sehingga perdagangan dapat dijalankan
dengan negara-negara Eropah dan negeri-negeri Selat sejak awal abad ke- 19 lagi.
3. Kekayaan hasil bumi ini juga menarik ramai saudagar Cina dan Eropah menanam
modal dalam perusahaan pertanian dagangan dan perlombongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...