Isnin, 23 April 2012

TEMA 1 Sejarah Malaysia : MASYARAKAT TEMPATAN


Bincangkan hierarki golongan pemerintah di Tanah Melayu sebelum kedatangan British.

A. PENGENALAN:

1. Sebelum tahun 1874, masyarakat Melayu di Tanah Melayu telah mempunyai hierarki
sosial tersendiri yang terdiri daripada golongan pemerintah dan golongan diperintah.
2. Golongan pemerintah menduduki hierarki teratas yang terdiri daripada raja, golongan
bangsawan atau kerabat diraja, pembesar, golongan ulamak atau agama dan pendeta.
3. Tujuan utama hierarki ini diamalkan untuk menentukan kedudukan dan tugas golongan
pemerintah serta memastikan keharmonian dalam masyarakat.

B. ISI:
1. Raja/ Sultan:

a) Kedudukan
i. Raja atau sultan merupakan golongan pemerintah yang menduduki hierarki tertinggi
dalam masyarakat Melayu.
ii. Mereka merupakan ketua pemerintah dan bertanggungjawab melaksanakan semua
aspek pentadbiran di negeri baginda.
iii. Mereka juga menjadi ketua angkatan tentera, ketua agama, pemodal dalam
perdagangan dan lain-lain.

b) Keistimewaan raja
i) Raja atau sultan juga mempunyai beberapa keistimewaan seperti bahasa, warna, alat
dan lambang kebesaran. Bahasa yang digunakan oleh raja ialah bahasa istana atau juga
dikenali sebagai bahasa dalam seperti beta, baginda, santap, gering, beradu, makam dan
sebagainya,
ii) Dari segi warna, warna di raja ialah warna kuning untuk pakaian rasmi dan peralatan
istana. Alat-alat kebesaran pula merupakan peralatan yang hanya boleh digunakan di
istana seperti ketur, kendi, tombak berambu, kipas besar berambu dan lain-lain, Lambang
kebesaran pula adalah lembing yang digunakan untuk memperlihatkan kekuasaan
baginda seperti tengkolok, pending, mahkota, cap mohor dan nobat.

c) Peranan raja:
i) Politik
• Raja atau sultan juga memainkan peranan yang sangat penting terutama dari aspek
politik, ekonomi dan sosial.
• Dari segi politik misalnya baginda merupakan ketua negeri yang berkuasa mutlak,
mempunyai kuasa dari aspek hal ehwal luar negeri, ketua hakim dan perundangan dan
berkuasa melantik pembesar terutama pembesar-pembesar di peringkat negeri dan
daerah.
ii) Ekonomi
• Dari segi ekonomi, baginda menguasai semua sumber ekonomi negeri seperti cukai dan
percukaian, hasil hutan, pelombongan, perdagangan dan menentukan sistem sukatan,
ukuran dan timbangan.
• Baginda juga berkuasa mengeluarkan surat kebenaran membeli, menjual dan memajak
cukai kepada pedagang.
iii) Sosial
• Sultan atau raja berperanan sebagai ketua angkatan tentera, memelihara undang-undang
dalam negeri serta mengawal ketenteraman dan kesejahteraan rakyat.
• Selain itu, baginda juga menjadi ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu,
mengurniakan anugerah kepada rakyat yang berjasa serta mengesahkan keputusan Majlis
Penasihat Raja.

2. Golongan kerabat diraja
i. Merupakan golongan kedua dalam hierarki masyarakat Melayu.
ii. Golongan ini kebanyakannya terdiri daripada saudara mara terdekat raja atau sultan.
Golongan ini memliki keistimewaan seperti menggunakan gelaran Tengku. Engku, Tuan,
Wan, Nik dan lain-lain, menggunakan warna kuning sebagai warna rasmi, menggunakan
bahasa istana dan lain-lain.
iii. Ada dalam kalangan kerabat di raja ini dianugerahkan oleh raja daerah-daerah tertentu
untuk ditadbir dan sekaligus menjadi pembesar daerah seperti Engku Wan Ahmad yang
menjadi pembesar daerah Jeram di Kelantan, Raja Mahadi menjadi pembesar daerah
Kelang di Selangor dan lain-lain.

3. Golongan Pembesar
i. Merupakan golongan ketiga dalam hierarki pemerintah. Mereka terdiri daripada
kerabat-kerabat diraja dan rakyat biasa yang dilantik oleh raja sebagai pembantu baginda
dalam pentadbiran. Pembesar-pembesar ini dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu
peringakat negeri atau pusat, daerah dan kampung. Mereka dilantik melalui dua cara iaitu
secara warisan atau keturunan dan melalui lantikan oleh raja. Pembesar mempunyai
kawasan pegangan dan cap mohor sendiri.
ii. Peranan pembesar meliputi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik, golongan ini
menjadi ketua pemerintah,dan menjaga keamanan di kawasan masing-masing.
iii. Dari segi ekonomi pula, mereka memungut cukai seperti cukai kepala, pertanian,
perdagangan dan lain-lain, kemudian menyerahkan hasil kutipan sebanyak 10% kepada
pembesar di peringkat pusat. Mereka juga menguasai semua hasil ekonomi seperti cukai,
hasil hutan, perlombongan dan lain-lain di kawasan pegangan masing-masing.
iv. Dari segi sosial pula, pembesar memainkan peranan menjaga kebajikan rakyat,
memastikan pelaksanaan undang-undang, menyediakan tenaga kerja dan tentera kepada
raja, memastikan rakyat taat setia kepada raja serta melaksanakan adat istiadat
menjunjung duli setiap sambutan perayaan Islam seperti Hari Raya Puasa.

4. Golongan Ulamak
i. Golongan ini merupakan mereka yang mahir dalam hal ehwal yang berkaitan dengan
hukum syarak dan selok belok agama Islam termasuk mengeluarkan fatwa tentang isu-isu
agama.
ii. Mereka menjadi penasihat sultan dalam aspek agama Islam. Gelaran ulamak berbeza
mengikut negeri seperti Dato’ Mufti di Kelantan,
iii. Orang Kaya Imam Besar di Perak, Tokku di Terengganu dan lain-lain. Golongan ini
sangat dihormati dalam masyarakat kerana kemahiran keagamaan mereka.

5. Golongan Pendeta
i. Golongan pendeta pula menduduki hierarki terakhir dalam golongan pemerintah.
ii. Mereka sangat mahir dan menjadi pakar rujuk dalam hal-hal yang berkaitan dengan
kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, adat istiadat dan salasilah raja seperti Tun Sri
Lanang, Abdullah Munsyi dan lain-lain. Golongan ini sangat rapat dengan istana kerana
menjadi pencatat bagi diari diraja.

C. KESIMPULAN:
1. Sebagai kesimpulannya kita dapati, golongan pemerintah telah mengekalkan
kedudukan mereka dalam hierarki sosial masyarakat Melayu.
2. Walau bagaimanapun, kedudukan ini mula mengalami perubahan selepas kedatangan
British. Golongan pemerintah mula hilang kuasa dari segi politik dan ekonomi.
Walaupun begitu, kedudukan dalam hierarki sosial masih dikekalkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...