Khamis, 21 Julai 2011

SEJARAH 2 (Malaysia)STPM TEMA 3

CIRI-CIRI PERBEZAAN MALAYAN UNION 1946 DAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1948
Terdapat perbezaan yang jelas antara Malayan Union dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Berikut adalah ciri-ciri yang terdapat pada keduanya.

4.1 Ciri-ciri Malayan Union
Antara ciri-ciri yang dicadangkan dalam Malayan Union ialah (Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin 2005:52; Asnarulkhadi Abu Saman dan Jayum A.Jawan 1997: 51; Zaid Ahmad et.al 2006: 47-48):

1. Ia terdiri daripada sembilan buah negeri Melayu, Pulau Pinang dan Melaka disatukan di bawah pemerintahan Gabenor British. Gabenor ini dibantu oleh Majlis Mesyuarat Persekutuan dan Majlis Undangan Persekutuan.
2. Malayan Union diketuai oleh seorang Gabenor yang diberi kuasa penuh terhadap perkhidmatan awam. Beliau dibantu oleh sebuah Majlis Mesyuarat Undangan dan Majlis Kerja.
3. Kuasa raja-raja Melayu dihapuskan dan baginda diberikan peranan sebagai penasihat Gabenor dan Ketua Majlis Penasihat Melayu. Sultan hanya sebagai satu gelaran dan mereka hanya bersuara dalam soal yang menyentuh agam Islam dan adat resam Melayu.
4. Kerakyatan adalah berdasarkan prinsip jus soli iaitu kerakyatan Tanah Melayu diberikan kepada:
a. Orang asing yang berumur 18 tahun ke atas dan telah bermastautin di Tanah Melayu atau Singapura selama 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942 akan diberi kerakyatan
b. Semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu selepas penubuhan Malayan Union. Kanak-kanak yang berumur bawah 18 tahun yang ibu bapanya warganegara turut diberi kerakyatan.
5. Kerakyatan melalui permohonan diberikan kepada golongan berikut:
a. Mereka yang bermastautin selama lima tahun daripada lapan tahun terdahulu semasa permohonan dibuat
b. Berkelakuan baik dan boleh bertutur dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu
c. Mengangkat sumpah taat setia dan berjanji untuk kekal bermastautin di Malayan Union atau Singapura.
6. Singapura tidak dimasukkan ke dalam Malayan Union tetapi dikekalkan sebagai tanah jajahan Inggeris dengan mempunyai Gabenor dan Majlis Mesyuarat Undangan yang berasingan.
Kesimpulannya, cadangan pembentukkan Malayan Union ini jelas merugikan masyarakat Melayu terutama dari segi kerakyatan melalui prinsip jus soli. Malayan Union kemudiannya mendapat tentang hebat daripada orang Melayu dan sebahagian kecil sahaja dari orang bukan Melayu. Antara sebab-sebab penentangan ialah (Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin 2005:52-53):
a. Kehilangan kedaulatan raja-raja
b. Pemberian kewarganegaraan secara jus soli. Ia akan menjejaskan majoriti orang Melayu yang akhirnya menjejaskan ekonomi dan politik mereka serta hak istimewa Melayu juga terancam.
c. Malayan Union digubal tanpa meminta pandangan orang Melayu
d. Cara Sir Harold Mac Michael mendapatkan tanda tangan raja-raja Melayu tidak disukai. Beliau dikatakan menggunakan kekasaran dan paksaan.

4.2 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948
Malayan Union kemudiannya mendapat tentangan hebat orang Melayu daripada seluruh Tanah Melayu bermula dari Johor hingga ke utara tanah air. Respon daripada penubuhan Malayan Union ini juga UMNO kemudiannya ditubuhkan pada 11 Mei 1946, bukan sahaja menentang Malayan Union tetapi juga berjuang untuk menuntut kemerdekaan. Namun pihak British tetap isytiharkan Malayan Union pada 11 April 1946 namun dipulaukan oleh orang Melayu. Melihat kepada penentangan yang hebat itu Inggeris akhirnya membubarkan Malayan Union kerana yakin tanpa sokongan orang Melayu ia tidak akan berjaya. Malayan Union kemudiannya digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
4.2.1 Penubuhan Jawatankuasa Kerja 1946
Bulan Julai 1946 kerajaan British telah menubuhkan satu Jawatankuasa Kerja untuk menggubal perlembagaan baru bagi menggantikan Perlembagaan Malayan Union. Antara ciri jawatankuasa ini ialah:
a. terdiri daripada 4 wakil raja-raja Melayu, 2 wakil UMNO dan 6 pegawai British
b. Jawatankuasa ini bertanggung jawab merangka sebuah perlembagaan baru yang boleh diterima oleh orang Melayu
c. British menubuhkan pula Jawatankuasa Perundingan pada Disember 1947- terdiri daripada orang Eropah, Cina dan India, tujuannya untuk dapatkan orang bukan Melayu mengenai perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

4.2.2 Ciri-ciri Perlembagaan Persekutuan
Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan pada 1 Februari 1948. Antara ciri-ciri Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 ialah (Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin 2005: 54-55; Zaid Ahmad et.al 2006: 50-51):

1. Sembilan buah negeri Melayu serta Pulau Pinang dan Melaka terlibat di dalam Persekutuan. Namun Singapura kekalkan dibawah jajahan British.
2. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu akan diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan dibantu oleh Majlis Undangan Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Persekutuan.
3. Majlis Mesyuarat Persekutuan akan dianggotai oleh 17 ahli iaitu 7 ahli majlis rasmi, 7 ahli tidak rasmi dan 3 ahli ex-officio.
4. Majlis Undangan Persekutuan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi yang terdiri daripada:
a. 14 ahli rasmi
b. 9 orang Yang Dipertua Majlis Undangan Negeri
c. 2 wakil Majlis Mesyuarat Negeri Melaka dan Pulau Pinang
d. 50 ahli tidak rasmi yang mewakili kaum-kaum asing
5. Sultan-sultan diberi semula hak dan kuasa memerintah tetapi dengan nasihat Majlis Mesyuarat Negeri dan Majlis Undangan Negeri.
6. Syarat kewarganegaraan diketatkan iaitu seseorg pemohon mestilah lahir di Tanah Melayu dan telah bermastautin selama 8 – 12 tahun. Seorang pemohon asing mestilah bermastautin selama 15 tahun . Umur minimum bagi kedua-dua situasi tersebut adalah 18 tahun dan mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu yang baik.
7. Orang Melayu diberi hak keistimewaan sebagai kaum bumiputera dan mempunyai perwakilan terbesar dalam Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
8. Jawatan Menteri Besar diwujudkan untuk menggantikan jawatan residen British dan kuasa kerajaan negeri diperluaskan meliputi kewangan, kesihatan dan kerajaan tempatan.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan 1948 ini, kedaulatan raja-raja Melayu dipertahankan walaupun tiada lagi kuasa mutlak. Malah syarat kewarganegaraan juga diperketatkan bagi menjaga hak keistimewaan orang Melayu. Dengan pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 ini British kemudiannya menubuhkan Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dengan tujuan memberi latihan dan pengalaman kepada rakyat tempatan kepada sistem demokrasi dan berkerajaan sendiri. Dalam usaha merintis kemerdekaan, pilihan raya bandaran kemudiannya dilaksanakan bagi memberi pengalaman kepada sistem dan perjalanan pilihan raya. UMMNO, MCA dan MIC kemudiannya bergabung membentuk Perikatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...