Isnin, 18 Julai 2011

SEJARAH 2 (Malaysia)STPM TEMA 3 Gerakan Kesedaran

Bincangkan faktor-faktor yang memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu sebelum Perang Dunia Kedua.

          Semangat nasionalisme  dalam kalangan orang Melayu telah ada sejak campur tangan British pada tahun 1874. Dengan adanya semangat nasionalisme, maka penguasaan penjajahan ke atas negeri-negeri Melayu tidak berlaku secara aman damai tetapi sebaliknya ditentang oleh masyarakat tempatan. Penentangan ini dilakukan oleh pejuang-pejuang tanah air seperti Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Salleh, dan lain-lain lagi mencerminkan penentangan rakyat tempatan terhadap kuasa asing di negara ini. Oleh itu, terdapat beberapa faktor yang membangkit semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu. Faktor-faktor ini dapat dilihat melalui faktor dalaman dan faktor luaran.

          Faktor-faktor dalaman merupakan peristiwa-peristiwa yang tercetus di Tanah Melayu dan memberi pengaruh yang sangat besar dalam membangkitkan dan menyemarakkan semangat nsionalisme orang Melayu. Antara faktor dalaman ialah agama. Pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, masyarakat Melayu terutamanya yang tinggal di bandar-bandar berasa tidak puas hati dengan keadaan ekonomi, sosial dan politik mereka. Mereka mulai sedar bahawa kedudukan ekonomi dan sosial terancam sebab adanya masyarakat dari luar, iaitu kaum imigran seperti Cina dan India. Oleh yang demikian, orang Melayu sedar bahawa mereka perlu bertindak bagi membawa perkembangan ekonomi dan sosial ke atas masyarakat mereka supaya tidak lagi mundur dalam bidang tersebut. Kesedaran ini telah melahirkan kumpulan-kumpulan kecil yang berpengaruh dalam masyarakat Melayu untuk memperjuangkan kemajuan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan sosial.

          Kesedaran ini melahirkan 3 golongan di bandar-bandar untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat Melayu pada awal abad ke-20. Antara ketiga-tiga golongan ini, golongan yang berpendidikan Arab memainkan peranan penting dalam gerakan Pemulihan Islam di kalangan masyarakat Melayu. Mereka berpendidikan Arab dan melanjutkan pengajian Islam ke Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir. Golongan berpendidikan Arab ini yang mula-mula sekali menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keadaan ekonomi dan sosial orang Melayu pada masa itu. Mereka dari golongan ini hampir keseluruhannya memperoleh pelajaran dari Timur Tengah dan terpengaruh dengan gerakan pemulihan yang berlaku di sana. Golongan ini menerima pelajaran dan inspirasi dari gerakan pemulihan Islam moden dan gerakan Pan-Islamisme yang diasaskan pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 oleh Imam Syeikh Muhammad Abduh dan Sayid Jamaluddin al-Afghani. Di antara penuntut-penuntut Melayu yang membawa pengaruh dari Timur Tengah ialah Syeikh Muhammad Tahir bin Jalaluddin, Syed Syeikh Ahmad al-Hadi, Haji Abbass Muhammad Taha dan Syeikh Mohammad Salim al-Kalali.

          Sekembalinya dari Timur Tengah khasnya dari Mesir ke tanah air pada awal abad ke-20, mereka telah berkhidmat dalam jabatan agama di negeri-negeri Melayu. Oleh sebab fahaman mereka berkenaan ajaran agama Islam baru dan agak berlainan dengan fahaman seperti kepercayaan bidaah dan khurafat yang sedia berakar umbi di negeri-negeri Melayu, mereka mendapat tentangan daripada golongan ulama tua yang kolok dan ortodoks. Golongan ortodoks ini memusuhi bukan setakat fahaman baru dalam agama, tetapi juga memusuhi perjuangan nasionalisme Melayu yang dibawa dan dirancang oleh revolusioner ini. Mengikut revolusioner ini, Islam memerlukan perubahan dan penafsiran baru dan sesuai untuk menghadapi cabaran dunia yang menghadapi perkembangan pesat.
                       
          Faktor kesedaran orang melayu tentang kemunduran mereka juga turut menjadi punca dalaman kebangkitan nasionalisme di Tanah Melayu. Orang melayu menjadi penduduk pribumi tetapi masih tertinggal jauh dalam bidang ekonomi dan sosial. Walaupun ekonomi Tanah Melayu yang berasaskan getah dan bijih timah berkembang pesat, tetapi orang mealyu tersisih daripada kegiatan ekonomi komersial tersebut. Kegiatan ekonomi kapitalis dikuasai oleh orang Cina dan pedagang-pedagang Eropah. Banyak ladang getah dan lombong bjih timah dimiliki dan diusahakan oleh orang Eropah. Manakala orang cina pula menguasai sektor ekonomi di kawasan Bandar seperti menjadi peniaga.

          Keadaan ini mula disedari oleh peniaga-peniaga keturunan arab yang tinggal di Negeri-Negeri Selat terutamanya Singapura. Dalam bidang pendidikan pula, orang Melayu tertinggal jauh kerana system pendidikan melayu tidak mempunyai nilai untuk meningkatkan taraf dan kedudukan orang melayu dalam bidang ekonomi. Orang melayu mula sedar bahawa mereka perlu mempertahankan hak mereka di Tanah Air sendiri apabila orang cina Peranakan di Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu mendesak supaya diberi hak yang sama dengan Melayu daripada kerajaan British. Orang Melayu sedar permintaan orang Cina tersebut akan menggugat kedudukan mereka sebagai penduduk pribumi. Situasi ini telah menyemarakkan semangat nasionalisme orang melayu untuk mempertahankan kedudukan mereka di Tanah Melayu.  


          Selain itu, rakyat juga menderita di negara sendiri akibat dijajah bangsa asing. Kesengsaraan yang dialami oleh orang-orang Melayu dalam kehidupan seharian dan penipuan yang dilakukan Jepun telah mendorong orang-orang Melayu bangun dan mewujudkan organisasi anti-Jepun. Maka wujudlah askar-askar wataniah dan Force 136. Mereka akhirnya menjadi tulang belakang kepada askar Melayu setelah negara mencapai kemerdekaan. Selain itu, pemimpin organisasi ini juga telah menjadi orang-orang terpenting dalam menegakkan nasionalisme Melayu seperti Kapten Hussin Onn. Penipuan dan tingkah laku pemimpin Jepun dalam dolak dalik mereka untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu merupakan satu seksaan batin kepada pemimpin Melayu yang bekerjasama dengan Jepun. Dalam hal ini, ia semakin menebalkan rasa benci dan meningkatkan kadar nasionalisme Melayu. Mereka akhirnya memberikan kerjasama kepada organisasi-organisasi anti-Jepun dengan membekalkan maklumat agar dapar mempertingkatkan keberkesanan penentangan mereka. Selain itu, PETA boleh dikatakan menjadi duri dalam daging kepada pentadbiran tentera Jepun.

          Antara lain, dasar penjajahan Barat juga telah menimbulkan semangat nasionalisme ke dalam jiwa penduduk Tanah melayu. Ketika penaklukan British ke atas Tanah Melayu, Pihak British telah berpuas hati dengan kaedah pengukuhan kuasa, pengaruh dan kedudukan ekonomi mereka di tanah melayu. Pihak british kemudian telah memulakan proses menginstitusikan berbagai bidang kerajaan yang merangkumi hampir semua aspek kehidupan politik, ekonomi dan sosial. Usaha mencapai tujuan ini paling pesat dilakukan di negeri-negeri melayu bersekutu.

          Akibat daripada keadaan ini, institusi melayu tradisional dan elit melayu tradisional mendapati diri mereka terpaksa mengambil peranan yang semakin kecil dan hal ehwal kerajaan dan pentadbiran. Tambahan pula, pihak British telah mula membawa masuk imigran cina dan india secara besar-besaran untuk mengeksploitasi sumber-sumber ekonomi yang masih belum diterokai oleh masyarakat melayu dengan sepenuhnya. Keadaan menjadi lebih buruk menjelang tahun 1921, dimana daripada jumlah 1320000 orang penduduk negeri-negeri melayu bersekutu, 511000 adalah orang melayu, 495000 orang cina dan 305000 orang india. Keadaan ini menyebabkan kaum pendatang mula menguasai ekonomi di tanah melayu. Kaum melayu mulai sedar yang mereka telah ketinggalan dalam pembangunan ekonomi dan sosial di mana orang bukan melayu menjadi peserta yang kuat. Langkah-langkah yang di ambil oleh pihak british ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang melayu, kerana mereka sedar hak mereka sebagai rakyat pribumi sedikit demi sedikit diambil alih oleh pihak pendatang dan kaum penjajah.
 
          Faktor lain seperti bahasa dan kesusasteraan. Melalui faktor bahasa dan kesusasteraan ini, tulisan Jawi telah diperkenalkan sebagai tulisan rasmi Bahasa Melayu. Pengaruh Arab turut wujud hasil dari peranan golongan agama dan bagi menggantikan penggunaaan tulisan rumi yang diperkenalkan penjajah. Ini sebenarnya membayangkan kelunturan budaya Melayu dalam negara sendiri. Antara lain ialah kewujudan sasterawan yang dilahirkan oleh sekolah-sekolah Melayu dan  MPSI. Dalam pada itu. bahasa Melayu sebenarnya semakin hilang peranan dalam sistem pendidikan Inggeris dan Jepun. Ini dapat  memperlihatkan hilangnya kewibawaan dan pertuanan Melayu. Bahasa Melayu hanya digunakan dalam Sekolah Melayu.

          Jika dapat kita perhatikan, perbahasan dalam MMN dan MMP menggunakan Bahasa Inggeris. Perkara ini pernah dibantah oleh Raja Chulan akan kepinggiran Bahasa Melayu dalam bahasa undang-undang dan juga penggunaannya dalam MMN dan MMP kerana wakil Melayu tiidak faham apakah yang dibahaskan. Semua ini telah menyedarkan orang Melayu  akan kepinggiran bangsa dan bahasa Melayu. Jadi, gelanggang bagi orang Melayu melahirkan ketidakpuasan melalui adalah karya sastera. Secara tidak langsung, dapat memperkukuhkan perjuangan orang Melayu dalam meletakkan taraf bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi negara selepas merdeka. Dalam puisi Omar Mustaffa yang tersiar dalam Utusan Melayu keluaran 18 Januari 1913 menggesa orang Melayu supaya rajin bekerja dan jangan membiarkan kekayaan diambil oleh bangsa lain. Selain itu, terdapat juga puisi lain seperti Sedarlah oleh Mahmud Ahmadi, Semenanjung oleh Harun Aminurashid (1919), Seruan Kebangsaan oleh Melati Pahang (1937) yang menggesa orang Melayu mencari ilmu dan Serunai Pujangga oleh Anum (1940) yang menggesa orang Melayu bersikap berani dan sanggup berkorban.

          Selain puisi, novel juga dikarangkan untuk membangkitkan semangat kebangsaan. Antaranya ialah Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Syeikh al-Hadi (1925) yang mencadangkan wanita perlu diberi pendidikan, Melor Kuala Lumpur oleh Harun Aminurashid (1930), Putera Gunung Tahan oleh Haji Muhammad yang mengecam British melalui kisah lucu dengan tujuan memupuk semangat cinta akan negara, hidup maju dan bebas daripada penjajahan dan Anak Mat Lela Gila oleh Ishak Haji Muhammad (1941) menyeru orang Melayu berjuang mencapai kemajuan.Cerpen merupakan cerita pendek yang mempunyai masihat. Kebanyakan cerpen menyeru rakyat bekerja untuk kemajuan dan kemerdekaan negara. Di antara cerpen yang terkenal ialah Cerita Awang Putat oleh Abdul Rahim Kajai yang menyeru orang Melayu supaya rajin bekerja; Anak Dibuat Demal, Di Sini Kita Bukannya Orang Dagang dan Siasat Yang Tiada Diminta yang ditulis oleh Shamsuddin Salleh; Rumah Besar Tiang Sebatang oleh Ishak Haji Mahmud yang menyeru orang Melayu menbenci dan menentang penjajahan British. Melalui cerpen yang disiarkan, para pembaca akan mengetahui dasar perjuangan yang hendak disampaikan.

          Antara kejayaan orang Melayu dalam bidang sastera pasa masa itu ialah melahirkan para pejuang sastera dalam Asas 50 dan Asas 66. Penubuhan persatuan yang memperjuangkan bahasa seperti PASPAM (berjuang bagi menjadikan dan memperkasakan Bahasa Melayu seperti sebelum penjajahan ) turut diwujudkan. Antara kejayaan lain adalah penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka yang berperanan sebagai pembina dan pengembang bahasa Melayu dan alat penyatuan bangsa. Ini dapat menyumbang  ke arah pembentukan bangsa Melayu melalui penggunaan Bahasa Melayu. Dengan itu,  Melayu tidak lagi berpecah dan dikenali dengan keturunan seperti Jawa, Banjar, Bugis dan lain-lain.

          Tambahan lagi, faktor lain ialah sistem pendidikan. Terdapat sekolah-sekolah pondok, madrasah, sekolah-sekolah melayu dan sekolah inggeris yang disediakan bagi orang melayu. Sekolah-sekolah melayu telah mula dibuka di kawasan-kawasan barat dan selatan tanah melayu sejak tahun 1880-an lagi. Pada dasarnya, tujuan british bukanlah untuk melahirkan golongan cerdik pandai dikalangan orang melayu.  Mereka hanya ingin melihat anak-anak orang melayu menjadi lebih pandai sedikit daripada ibubapa mereka. Yang belajar di sekolah Inggeris pula ialah anak-anak golongan bangsawan yang ingin dijadikan oleh orang British sebagai pegawai dan pentadbir bawahan sahaja. Oleh kerana penyediaan sekolah-sekolah melayu oleh orang inggeris ini bukan satu yang ikhlas, maka tidak terdapat buku-buku teks dan kurikulum yang sesuai. Maka surat khabar melayu telah digunakan sebagai bahan pengajaran, umpamanya 'jawi peranakan', 'khizanah al-ilmu' dan taman pengetahuan. R. J. Wilkonson selaku penyelia sekolah-sekolah (1877-1895) mendapati bahawa surat khabar melayu bersama pendidikan secara amnya, telah menyumbngkan terhadap kemajuan intelek dan material orang melayu. Pendedahan kepada dunia luar melalui surat khabar, telah membuka mata orang melayu, terutamanya generesai muda terhadap isu-isu yang mempengaruhi orang melayu.

          Di samping itu, pendidikan agama yang dijalankan di sekolah-sekolah pondok dan madrasah telah mendapat sambutan hebat penduduk tempatan. Melalui sistem pendidikan ini, mereka dapat mempertahankan nilai-nilai keislaman semasa kemasukan kuasa british dan kemasukan kaum imigran. Namun demikian sekolah-sekolah seumpama ini kurang memainkan peranan untuk menanan semangat kebangsaan pada tahap-tahap awal. Walau bagaimanapun, menjelang tahun 1900, bila islam memasuki era reformasi, maka barulah sekolah-sekolah pondok dan madrasah telah membuka minda kaum melayu terhadap masalah-masalah politik yang dihadapi oleh mereka di tanah melayu. Sukatan dan dasar yang tidak selaras membangkitkan rasa tidak puas hati orang Melayu terhadap layanan Inggeris.Kesimpulannya, perkembangan pendidikan, terutamanya pendidikan melayu telah memainkan peranan penting dalam kesedaran kebangsaan di kalangan orang melayu.
           
          Selain itu, kemunculan golongan intelektual juga antara faktor dalaman kebangkitan semangat nasionalisme. Mereka terpengaruh dengan  idea-idea dan falsafah politik demokrasi, liberalisme, sistem parlimen, perlembagaan dan nasionalisme.  Sistem pendidikan yang sama antara penduduk juga memberikan peluang orang-orang Melayu menerima semangat kebangsaan. Jika dibandingkan dengan sistem Inggeris, mereka tidak memberikan peluang yang sama. Orang-orang Melayu tidak diajar secara akademik, tetapi hanya dalam bidang kemahiran. Dalam zaman pendudukan Jepun sukatan yang diajarkan meliputi bidang-bidang Matematik, Pertanian, Sains dan pelbagai subjek akademik lain. Hal ini mendedahkan orang-orang Melayu kepada ilmu pengetahuan. Guru-guru Melayu dihantar ke Jepun untuk menambahkan pengetahuan berbahasa. Melalui kegiatan ini, ia sebenarnya menambahkan intelek Melayu yang akhirnya dapat digunakan untuk mencetuskan semangat dan kesedaran nasionalisme .

          Antara golongan terpelajar seperti Raja Chulan, Eunos Abdullah dan Dato’ Onn Jaafar. Dato Onn Jaafar dapat menyatukan persatuan-persatuan Melayu dan menubuhkan UMNO bagi menentang Malayan Union. Beliau  berjuang melalui akhbar Warta Malaya dan Lembaga Melayu dengan membuat bidasan dan kritikan serta  mengadakan rapat umum. Ibrahim Yaakub pula adalah pejuang MPSI yang telah menubuhkan Ikatan Pemuda Semenanjung bagi mencetuskan ketidakpuasan hati layanan Inggeris terhadap soiso ekonomi orang Melayu terutama dalam bidang pendidikan. Ahmad Boestaman adalah pejuang KMM yang mencetuskan idea merdeka pada tahun 1939, tetapi tidak menerima sambutan. Beliau memperjuangkan ketuanan Melayu dan perkembangan sosio ekonomi serta politik Melayu. 

          Selain itu Dr. Buhanudin Al-Helmi juga antara golongan intelektual dan merupakan pemimpin PKMM yang tidak sehaluan dengan Inggeris dan mencari kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Sekolah-sekolah agama telah didirikan di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Di Negeri-negeri Melayu telah didirikan di Teluk Intan (Perak), Kuala Terengganu (Terengganu) dan Muar (Johor). Sekolah agama yang penting di Singapura ialah Madrasah al-Iqbal al-Islamiyah, di Melaka ialah Madrasah al-Hadi dan Pulau Pinang ialah Madrasah al-Mashor. Sistem persekolahan di sekolah itu mengikut sistem yang terdapat di Mesir dan di Barat. Pelajar-pelajar yang menuntut di sekolah ini akan sedar akan kelemahan mereka dalam agama Islam dan mereka didorong untuk berusaha bersungguh-sungguh lagi supaya tidak keluar dari ajaran Islam yang sebenar.

          Raja Chulan (Raja Dihilir) merupakan ahli Majlis Pusat  dan beliau perjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu. Beliau juga mengenengahkan isu kepinggiran Bahasa Melayu. Di samping itu, Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) juga bertanggungjawab dalam membangkitkan semangat nasionalisme di kalangan penduduk. Guru-guru dari MPSI telah menyedari masalah yang dihadapi oleh orang Melayu. Mereka berazam untuk mengatasi masalah ini dan memperkenalkan satu generasi baru orang Melayu yang akan membela bangsa dan negara mereka.  Graduan MPSI menubuhkan Persatuan Sastera Melayu pada tahun 1923  bagi menggalakkan pertumbuhan sastera dan membangkitkan semangat nasionalisme .

          Seterusnya, perkembangan media massa  turut memainkan peranan yang penting dalam gerakan kesedaran di Tanah Melayu. Idea nasionalisme lahir melalui surat khabar, majalah, novel dan rencana.  Surat khabar digunakan sebagai medan untuk menyedarkan masyarakat melayu terhadap keadaan mereka di tanah air mereka sendiri. Satu daripada bahan bacaan terawal ialah 'pengetahuan bahasa', hasil karya raja Ali Haji yang disusun pada tahun 1858. Karya ini membicarakan budaya melayu yang kian berubah akibat pengaruh british dan imigran cina, disamping itu karya ini juga memperihatkan peri pentingnya bahasa melayu dalam budaya masyarakat melayu seagai alat menyatukan kaum melayu melalui satu identiti bahasa.Sebagai contoh, pada 23 Julai 1906, akhbar al-Imam telah diterbitkan di Singapura. Akhbar ini diterbitkan oleh golongan kaum muda yang dipimpin oleh Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Mohammad Salim al-Kalali dan Haji Abbass Mohammad Taha. Seruannya diteruskan oleh akhbar lain seperti Neracha, Tunas Melayu, al-Islam, al-Ikhwan dan Pengasoh.

          Selain itu, pada tahun 1939, akhbar Utusan Melayu telah diterbitkan. Pengarang yang pertama ialah Rahim Kajai dan pengarang yang terkemuka pula ialah Ishak Muhammad atau dikenali sebagai Pak Sako. Akhbar ini menjadi lambang perpaduan dan kegigihan orang Melayu. Bangsa Melayu diminta berusaha dengan gigih untuk kemajuan. Penerbitan Utusan Melayu turut menerbitkan Utusan Zaman dan Mastika. Selain akhbar yang disebut di atas, terdapat juga akhbar Warta Malaya (1930), Majlis (1935), Fajar Sarawak dan sebagainya. Selain itu, kemunculan alat pencetak telah mencetuskan kesedaran kebangsaan melalui penertbitan akbar, majalah & novel. Dalam masa yang sama, muncul golongan wartawan yang komited dan sedar akan nasib bangsanya. Golongan wartawan telah membangkitkan isu-isu kemunduran  masyarakat  Melayu dalam semua aspek seperti sosial, pendidikan, ekonomi dan politik.

          Faktor terakhir adalah perkembangan sistem perhubungan.  Sistem perhubungan yang telah dimajukan oleh pihak British adalah  demi kepentingan ekonomi mereka. Walau bagaimanapun ianya telah membantu menyelesaikan halangan geografi di kalangan masyarakat melayu. Umpamanya, pada tahun 1910, terdapat lebih daripada 2400km jalanraya terturap. Sistem perhubungan ini dapat membantu merentasi sikap kekampungan, kedaerahan dan kenegerian. Masyarakat melayu tidak kira dari daerah atau negeri yang berlainan dapat berhubung di antara satu sama lain. Keadaan ini secara tidak langsung dapat menyatupadukan penduduk melayu, yang seterusnya mewujudkan identiti kebangsaan. Idea dan pemikiran pemimpin-pemimpin melayu yang berjiwa kebangsaan tersebar dengan pantas kepada masyarakat di kawasan perkampungan, melalui sistem perhubungan jalan raya dan jalan keretapi.

          Bagi faktor luaran, ianya merupakan peristiwa-peristiwa yang tercetus di luar Tanah Melayu tetapi memberi kesan yang sangat besar kepada perkembangan semangat nasionalisme orang Melayu di Tanah Melayu.  Faktor-faktor luaran menjadi pemangkin untuk mempercepat kebangkitan semangat nasionalisme orang Melayu.

          Antara faktor luaran ialah Gerakan Pemulihan Islam di Mesir. Gerakan Pemulihan Islam bermula di Mesir sejak tahun 1850. Konsep pan-islamisme telah mula diutarakan oleh Syed Jamaluddin al-Afghani, seorang pemuda reformis islam timur tengah yang radikal dan revolusioner pada akhir abad ke 19. Gerakan ini dipimpin oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani sendiri dan Syeikh Muhammad Abduh.

          Syeikh Muhammad Abduh dilahirkan di Mesir pada tahun 1829 dan mendapat ijazah dari Universiti al-Azhar. Beliau menjadi Mufti Besar dari tahun 1899 hingga beliau meninggal dunia pada tahun 1905. Syeikh Muhammad Abduh telah menyesuaikan prinsip-prinsip Islam menurut kehendak azan moden, tetapi tidak terkeluar dari prinsip dan semangat agama Islam yang sejati. Ajaran beliau adalah berdasarkan kepada ajaran Allah dan Rasul seperti yang tercatit di dalam al-Quran dan al-Hadis. Yang disesuaikan ialah perkara-perkara dan hal-hal takwim serta pentafsiran Islam mengenai sesuatu pendapat atau hukum di dalam al-Quran. Ajaran dan pandangan beliau di anggap baru, prgresif dan revolusioner dan amat sesuai dengan zamannya.

          Matlamat-matlamat Gerakan Pemulihan Islam ialah memperjuangkan konsep Pan-Islamisme, iaitu penyatuan umat Islam di seluruh dunia. Selain itu, gerakan ini turut bermatlamat untuk membebaskan agama Islam daripada kepercayaan kolot dan ortodoks yang tiada kaitannya dengan ajaran Islam yang sebenar.Antara lain ialah memulihkan agama Islam mengikut ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran dan Hadith. Turut bermatlamat  untuk mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi dan sosial mengikut al-Quran dan Hadith dan yang terakhir ialah membebaskan negara Islam dari pengaruh penjajahan Barat. Pada masa itu juga, ramai orang melayu yang telah pergi ke luar negeri, terutamanya ke timur tengah untuk mempelajari agama islam. Tidak kurang juga yang pergi menunaikan fardhu haji. Perkembangan reformisme di timur tengah itu telah mempengaruhi kedua-dua kumpulan tersebut. Mereka mula menyebarkan gagasan baru kepada masyrakat melayu berlandaskan agama islam.

          Konsep Gerakan Pemulihan Islam ini telah memberi ilham kepada pelajar-pelajar Melayu yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir untuk berjuang di negara sendiri. Pelajar-pelajar yang berpendidikan Arab dari Mesir pulang ke Tanah Melayu dan menjadi pelopor Gerakan Islah-Islam. Mereka berusaha menyatupadukan masyarakat melayu berdasarkan identiti agama islam. Tokoh-tokoh terkenal ialah Syed Sheikh Ahmad al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Mohammad Salim al-Kalali dan Haji Abbass bin Mohammad Taha. Mereka menyebarkan idea-idea Islam-Islamiah atau pemulihan agama Islam serta konsep Pan-Islamisme di kalangan kaum Melayu menerusi majalah al-Imam.

          Faktor kedua ialah Gerakan di Turki yang dapat dibahagikan kepada tiga gerakan iaitu Gerakan Pan-Islam, Gerakan Khilafat dan Gerakan Turki Muda. Bagi Gerakan Pan-Islam, ianya adalah satu  gerakan untuk menyatukan umat Islam di dunia di bawah Empayar Turki atau Empayar Uthmaniyah. Gerakan Pan-Islam mahu menentang penjajahan Barat dan menghapuskan kepercayaan kuno yang bertentangan dengan ajaran Islam. Empayar Turki ditubuhkan oleh Usman pada tahun 1300. Ulama Syeikh Haji Wan Ahmad dari Pattani ingin menyatukan Kelantan dan Pattani. Beliau ingin menentang Siam dan menubuhkan Kerajaan Islam di bawah naungan Turki tetapi gagal. Pahang mendapatkan bantuan Turki (1890-an) untuk menghalau British tetapi gagal. Mehemet Kiamil Bey cuba mengembangkan pengaruh Pan-Islam di Johor tetapi gagal. Semasa Perang Dunia Pertama, Turki dan Jerman berpakat menentang kuasa Berikat.

          Umat Islam di Tanah Melayu sangat menghormati Empayar Turki dan segala perkembangan di Turki mempengaruhi mereka. Turki mengisytiharkan peperangan jihad terhadap kuasa Berikat (Amerika Syarikat, Britain dan Perancis). British cuba menyekat berita dari luar tetapi gagal. Masih ada berita yang sampai ke Tanah Melayu melalui suratkhabar dan surat peribadi pejuang-pejuang Pan-Islam. Pejuang Islam di Singapura, iaitu Kassim Ismail Mansur dan Nur Alam Syah mempengaruhi dasar India yang beragama Islam melancarkan dahagi. Askar-askar India diberikan keyakinan bahawa pakatan Jerman-Turki akan menang dalam Perang Dunia Pertama. Pada bulan Februari, askar India melancarkan dahagi di Singapura, tetapi dapat dihapuskan oleh askar British. Askar-askar India berjaya membunuh lebih 40 orang British dan hampir berjaya menakluki Singapura.

          Bagi gerakan Khilafat pula, pakatan di antara Jerman-Turki tewas dalam Perang Dunia Pertama. British cuba menguasai Turki. Orang Islam di India membentuk Gerakan Khilafat untuk mengekalkan kuasa Turki dan sistem Khilafat. Gerakan Khilafat yang ditubuhkan di Singapura dikawal rapi oleh British. Yang terakhir sekali ialah Gerakan Turki Muda  yang dipimpin oleh Mustapha Kamal Attaturk yang bergerak untuk memodenkan Turki. Golongan Turki Muda menyebarkan semangat kebangsaan di Turki. Turki diisytiharkan sebagai Republik pada tahun 1923 dan sistem Khilafat dimansuhkan. Abdul Kadir Adabi mengecam gerakan Turki Muda kerana memasuhkan sistem Khilafat. Golongan Turki Muda dikatakan tidak mementingkan agama dan undang-undang Islam dalam perkembangannya. Abdul Kadir Adabi atau Abdul Kadir bin Ahmad adalah seorang penulis dari Kelantan. Akhbar Pengasoh, al-Ikhwan dan Saudara turut menyiarkan tentangan terhadap Turki Muda.

          Namun demikian, terdapat pandangan yang baik mengenai Turki Muda, iaitu mereka membangkitkan semangat kebangsaan di Turki, ekonomi Turki dikuasai semula oleh orang Turki dan bukan oleh orang Yahudi dan Kerajaan Turki memberikan peluang yang luas kepada rakyat untuk menguasai bidang ekonomi. Kegiatan Turki Muda memberikan perangsang kepada golongan Kaum Muda di Tanah Melayu untuk menentang penguasaan British. Kaum Muda di Tanah Melayu telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada tahun 1938 untuk bergiat dalam politik.

          Faktor luaran yang ketiga ialah pengaruh dari Jepun.Sejak tahun 1868, Jepun muncul sebagai negara yang moden dan kuat. Pemimpin-pemimpin Meiji seperti Maharaja Mutsushito telah memodenkan negara Jepun. Jepun mengubahsuai teknologi Barat untuk kegunaannya. Jepun berjaya meniru teknologi Barat, sekaligus membuktikan rakyat Asia bijak. Perkara ini telah mewujudkan  Ilham dan keazaman dalam jiwa rakyat Asia. Antara kemenangan Jepun terbesar ialah apabila dapat mengalahkan Eropah. Kesan daripada kemenangan ini, orang Asia dan Melayu mulai sedar akan kepentingan pelajaran, teknologi dan perpaduan. Faktor-faktor inilah yang menjadikanr akyat kuat menentang penjajah. Dalam masa yang sama, ianya juga memberi kesan kepada pemikiran tokoh-tokoh awal Tanah Melayu.Dalam peperangan yang berlaku di antara Rusia dengan Jepun (1904-1905) menyaksikan Jepun telah memperolehi kemenangan. Kejayaan ini telah memberi ilham dan kesedaran kepada orang Asia termasuk orang melayu bahawa barat tidaklah sekuat seperti yang digeruni oleh mereka. Perang tersebut telah membuktikan bahawa, sesebuah negara tidak mengira saiznya, boleh menjadi kuat seperti Jepun melalui kemajuan teknologi dan pendidikan.

          Pada tahun 1907, seorang tokoh bernama Abdullah Abdul Rahman telah menghasilkan karya berjudul 'Mataharai Memancar' (The Rising Sun) yang menceritakan sejarah Jepun. Karya ini telah dialihbahasakan oleh beliau daripada karya Mustafa Kamal dari Turki yang asalnya daripada bahasa arab. Menurut Za'ba, karya ini telah berjaya merangsang pembaca serta menimbulkan perasaan bangga dan harapan untuk membawa pembaharuan di timur dan ini termasuklah kepada pembaca melayu. Masyarakat melayu mula percaya bahawa dengan adanya teknologi dan pendidikan, mereka juga boleh menghalau keluar orang British dari Tanah Melayu. Hakikat ini telah disedari oleh golongan terpelajar di Tanah Melayu. Di antara mereka ialah Syed Sheikh al-Hadi yang mula menggalakkan orang melayu memajukan diri mereka dalam aspek ekonomi dan sosial, melalui ajaran Islam. Perkembangan di Jepun mengalahkan kuasa Rusia telah membawa kesedaran dan keyakinan bahawa orang melayu juga boleh mempertahankan kepentingan mereka daripada terus di tindas oleh pihak British. Selain itu, turut timbulnya  Gerakan Kesedaran Kebangsaan China. Pada           tahun 1911 berlaku Revolusi China yang dipimpin oleh Dr. Sun Yat Sen. Beliau telah berjaya menumbangkan kerajaan Manchu dan menubuhkan sebuah negara republik China. Keadaan ini membangkitkan kesedaran rakyat Tanah Melayu untuk menentang British.

          Faktor luaran yang keempat pula merupakan pengaruh dari Indonesia. Gerakan kemerdekaan rakyat Indonesia menentang pemerintahan Belanda telah memberi semangat kepada golongan melayu yang inginkan pembebasan daripada penjajahan British. Beberapa parti politik telah ditubuhkan ditubuhkan di Indonesia. Antaranya ialah  Sarekat Islam. Sarekat  Dagang Islam diasaskan oleh Raden Mas Tirtoadisoeryo pada tahun 1909. Nama Sarekat Dagang Islam ditukar kepada Sarekat Islam pada tahun 1912. Sarekat Islam ialah parti politik yang pertama di Indonesia. Pemimpin Sarekat Islam yang terkenal ialah Omar Said Tjokroaminoto dan Agus Salim.

          Agama Islam menjadi faktor utama menyatukan orang Islam di Indonesia supaya menentang penjajah Belanda. Cawangan Sarekat Islam di Johor ditubuhkan oleh Haji Ibrahim bin Sidin dari Singapura. Cawangan Sarekat Islam di Johor tidak mendapat sambutan yang memuaskan. Penentangan terhadap British di Terengganu (1928) dimulakan oleh Syarikatul Islam yang diketuai oleh Sayid Muhammad dari Johor. Pertubuhan sulit ini berpengaruh kuat di Beserah hingga ke Kemaman. Sayid Muhammad dipercayai ingin meluaskan cawangan Sarekat Islam di Terengganu. Pengaruh Sarekat Islam tersebar ke Tanah Melayu pada 1920-an melalui ceramah dan kelas agama oleh guru-guru agama dari Sumatera.

          Akhbar Sinaran Zaman dan Idaran Zaman yang diterbitkan oleh Syed Syeikh al-Hadi menceritakan perjuangan Sarekat Islam. Syed Syeikh al-Hadi mengambil Mohammad Yunus bin Abdul Hamid menjadi pengarang di akhbarnya. Mohammad Yunus adalah ahli Sarekat Islam dan penerbit akhbar Sinaran Zaman di Sumatera. Parti politik yang kedua pula ialah Parti Komunis Indonesia (PKI). PKI diasaskan oleh Semaun, Tan Malaka dan Darsono pada tahun 1920. Kebanyakan orang Melayu tidak menyertai PKI kerana ajaran komunis yang bertentangan dengan agama Islam. Ahli-ahli PKI termasuk Tan Malaka cuba menyebarkan fahaman komunis di Singapura tetapi tidak berhasil. Tan Malaka berpendapat bahawa orang Melayu sukar dipengaruhi kerana mereka berfahaman konservatif. Sutan Jenin dari Sumatera dapat mengembangkan pengaruh Komunis di Tanah Melayu pada tahun 1930-an. Yang terakhir sekali ialah   Parti Nasional Indonesia (PNI). PNI diasaskan oleh Sukarno dan Sartono pada tahun 1927. Pemuda-pemuda Indonesia memperjuangkan kebebasan mereka melalui tulisan, pergerakan sosial dan kebudayaan. Pelajar MPSI dipengaruhi oleh perjuangan PNI yang mengamalkan dasar tidak bekerjasama dengan penjajah. Dasar tidak bekerjasama ini telah diamalkan oleh pejuang nasionalis di India yang diketuai oleh Mahatma Gandhi. PNI mengamalkan ideology yang menganjurkan revolusi untuk menggulingkan kerajaan Belanda. Pengaruh dari luar yang tersebar melalui majalah dan akhbar dapat membangkitkan semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu. Mereka berjuang untuk memajukan bidang sosial, ekonomi dan politik orang Melayu. Penduduk Tanah Melayu menguatkan semangat dan bersatu padu untuk melepaskan diri daripada kuasa penjajah.

          Faktor kelima adalah Gerakan Kesedaran Kebangsaan Filipina.  Jose Rizal memimpin perjuangan rakyat Filipina menentang penjajahan Sepanyol. Beliau telah menubuhkan Liga Filipina untuk memajukan orang Filipina dan menuntut Sepanyol memberi layanan adil kepada rakyat. Melaului gerakan ini juga telah member kesedaran kepada openduduk di Tanah Melayu untuk bangkit dari terus dikuasai oleh kuasa asing.

          Faktor terakhir adalah Gerakan Kesedaran Kebangsaan India. Gerakan ini  dipimpin oleh Mahatma Gandhi. Tujuan gerakan ini adalah untuk membebaskan India daripada penjajahan British. Penduduk di Tanah Melayu juga turut mempunyai keinginan yang sama iaitu ingin membebaskan diri daripada penjajahan Brirish. Dengan itu, gerakan ini telah memberi semangat serta kesedaran kepada penduduk Tanah Melayu untuk terus bangun dari penindasan yang berleluasa di Negara sendiri.

           Kesimpulannya, faktor-faktor dalaman mempunyai peranan yang tersendiri dalam membangkitkan semangat nasionalisme penduduk Tanah Melayu. Contohnya ialah agama, system pendidikan, kesedaran tentang kemunduran orang melayu, bahasa dan kesusasteraan serta perkembangan media massa, Jadi faktor-faktor inilah antara yang banyak membantu kearah proses kemerdekaan rakyat. Selain itu, peranan pengaruh luar merupakan faktor penting kebangkitan nasionalisme Melayu. Akibatnya, timbul persatuan Melayu pada tahap-tahap berlainan. Kemudiannya, Kongres Melayu Se Malaya diadakan pada 9 Ogos 1939 bertujuan memupuk perpaduan di kalangan orang Melayu. Antara lain ialah usaha persatuan-persatuan Melayu merintis jalan penubuhan UMNO pada tahun 1946.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...