Isnin, 18 Julai 2011

SEJARAH 2 (Malaysia)STPM TEMA 3 Kesan Pendudukan Jepun di Tanah Melayu(2)

Sumbangan Jepun dan Nasionalisme Tanah Melayu

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu banyak meninggalkan kesan kepada masyarakat Tanah Melayu. Kesan-kesan tersebut dapat kita lihat dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan agama.

Dalam hal ini aspek nasionalisme masih menjadi satu pertikaian kepada sejarawan sama ada pendudukan Jepun ini mencetuskan semangat nasionalisme atau ada faktor-faktor lain yang mendorongnya. Dalam hal ini kita akan mengkaji akan peristiwa yang berlaku semasa pendudukan dan kesannya serta kegiatan pentadbiran British setelah menduduki semula Tanah Melayu.


Kesedaran Nasionalisme: Rakyat Mula Sedar Erti Kemerdekaan

Umum mengetahui bahawa pemerintah tentera Jepun telah memberikan peluang kepada anak-anak tempatan, terutamanya anak Melayu untuk menganggotai pasukan keselamatan. Pasukan tersebut terdiri daripada pasukan tentera, separa tentera, polis atau polis rahsia. Dalam hal ini institusi ketenteraan yang memberikan peluang kepada anak-anak Melayu ini adalah seperti Giyugun, Boetai, Junsa, PETA dan Kempetai. Melalui institusi ini anak-anak Melayu ini dapat menggunakan senjata. Di samping itu ia juga mendedahkan mereka meningkatkan semangat kesetiaan kepada negara dan pemerintah. Umum juga mengetahui antara aspek semangat yang didedahkan ialah semangat mempertahankan negara sehingga titisan darah yang terakhir. Semangat seshin ini merupakan aspek terpenting dalam perjuangan tentera Jepun menikmati kemenangan. Hal ini juga dinikmati oleh pemuda-pemuda Melayu terutama sekali mereka yang berjuang dalam PETA. Melalui PETA kita dapat meningkatkan kesedaran dalam mempertahankan negara dan mengenal erti kemerdekaan yang sebenar. Hal ini nyata apabila Jepun mengundurkan diri.


Pendidikan: Kepentingan Menjadi Rakyat Yang Berilmu

Selain itu, sistem pendidikan yang sama antara penduduk juga memberikan peluang orang-orang Melayu menerima semangat kebangsaan. Jika dibandingkan dengan sistem Inggeris, mereka tidak memberikan peluang yang sama. Orang-orang Melayu tidak diajar secara akademik, tetapi hanya dalam bidang kemahiran. Dalam zaman pendudukan Jepun sukatan yang diajarkan meliputi bidang-bidang Matematik, Pertanian, Sains dan pelbagai subjek akademik lain. Hal ini mendedahkan orang-orang Melayu kepada ilmu pengetahuan. Guru-guru Melayu dihantar ke Jepun untuk menambahkan pengetahuan berbahasa. Melalui kegiatan ini, ia sebenarnya menambahkan intelek Melayu yang akhirnya dapat digunakan untuk mencetuskan semangat dan kesedaran nasionalisme.


Pentadbiran: Kepentingan Mentadbir Tanah Air Sendiri

Begitu juga, dalam bidang pentadbiran, pemerintah tentera Jepun telah memberikan peluang pendedahan cara-cara pentadbiran kepada orang-orang Melayu. Ramailah anak-anak Melayu menjawat jawatan penting yang sebelum ini diisi oleh pegawai Inggeris. Dalam hal ini, ia bukan setakat melatih, tetapi mendedahkan mereka kepada keadaan sebenar yang dihadapi oleh bangsa Melayu sendiri. Kekecewaan dan kepincangan Jepun akhirnya memberikan mereka kesedaran untuk sama-sama berjuang dalam gerakan anti bawah tanah. Inilah yang mendorong mereka untuk membantu membebaskan diri daripada belenggu Jepun dan Inggeris. Mereka yang berpeluang untuk menjawat jawatan penting dalam pentadbiran adalah seperti Tunku Abdul Rahman Putera Al Haj, Dato Onn Jaafar, dan Ghazali Shafie.


Menderita Di Negara Sendiri Akibat Dijajah Bangsa Asing

Selain daripada faktor-faktor yang dinyatakan, kesengsaraan yang dialami oleh orang-orang Melayu dalam kehidupan seharian dan penipuan yang dilakukan Jepun telah mendorong orang-orang Melayu bangun mengwujudkan organisasi anti-Jepun. Maka wujudlah askar-askar wataniah dan Force 136. Mereka akhirnya menjadi tulang belakang kepada askar Melayu setelah negara mencapai kemerdekaan. Selain itu, pemimpin organisasi ini juga telah menjadi orang-orang terpenting dalam menegakkan nasionalisme Melayu seperti Kapten Hussin Onn. Penipuan dan tingkah laku pemimpin Jepun dalam dolak dalik mereka untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu merupakan satu seksaan batin kepada pemimpin Melayu yang bekerjasama dengan Jepun. Dalam hal ini, ia semakin menebalkan rasa benci dan meningkatkan kadar nasionalisme Melayu. Mereka akhirnya memberikan kerjasama kepada organisasi-organisasi anti-Jepun dengan membekalkan maklumat agar dapar mempertingkatkan keberkesanan penentangan mereka. Selain itu, PETA boleh dikatakan menjadi duri dalam daging kepada pentadbiran tentera Jepun.


Peristiwa Kekalahan Jepun: Ketegangan Melayu-Cina

Walaupun peristiwa-peristiwa ini berlaku semasa zaman pendudukan, tetapi satu hal yang menarik ialah peristiwa selepas Jepun menyerah kalah. Dalam masa 2 minggu, Tanah Melayu tidak mempunyai pentadbiran yang sah. Untuk itu MPAJA telah memainkan peranan penting dengan menjadi pemerintah. Oleh yang demikian ramailah orang-orang Melayu yang menjadi mangsa kekejaman mereka. Hal ini akhirnya mendorong kebencian orang-orang Melayu terhadap MPAJA yang terdiri daripada orang Cina. Maka wujudlah ketegangan kaum antara Melayu-Cina. Mengapakah hal ini terjadi? Inilah akibat-akibat daripada pendudukan Jepun yang memberi kelebihan kepada orang Melayu dan menindas orang Cina. Akibat ini akhirnya mendorong MPAJA membalas dendam akan perbuatan orang Melayu, terutama sekali anggota PETA. Peristiwa ini juga menjadi wadah kepada perjuangan kesedaran nasionalisme Melayu. Apakah mereka hendak ditadbir oleh penjajah Cina pula? Hal ini menjadi satu titik pertemuan yang mengumpulkan pemikir Melayu dan akhirnya menentang konsep Malayan Union yang memberi kelebihan kepada orang Cina.


Persoalan Mengenai Kewujudan Kesedaran Nasionalisme Melayu

Dalam kita menilai kewujudan kesedaran nasionalisme Melayu yang didasarkan kepada peristiwa-peristiwa semasa pendudukan Jepun dan beberapa bulan sebelum kedatangan Pentadbiran Tentera British, kita juga harus memikirkan adakah ia merupakan titik mutlak yang membangkitkan nasionalisme Melayu. Dalam perkara ini, kita perlu fikirkan sumbangan-sumbangan dan tindakan British dan keupayaannya dalam memberikan sumbangan ke arah kebangkitan nasionalisme Melayu.

Adakah nasionalisme Melayu memang telah tersedia wujud walaupun sebelum pendudukan Jepun di Tanah Melayu ? Mungkin kenyataan ini dapat diperbincangkan apabila kita melihat dan dibuktikan wujud oleh sarjana akan permulaan titik-titik permulaan kesedaran nasionalis pada awal abad ke-20 dengan wujudnya kesedaran golongan agama yang akhirnya diikuti oleh golongan birokrat dan bangsawan Melayu, serta kebangkitan kesedaran politik apabila wujudnya pertubuhan-pertubuhan seperti KMM dan juga PKMM. Daripada kebangkitan golongan ini kita dapati bahawa kesedaran politik dan kebangkitan nasionalis sebenarnya sudah tumbuh dengan suburnya walaupun Jepun belum lagi menjajahi Tanah Melayu.

Dalam kita menilai keadaan ini, kita dapati bahawa tindak-tanduk British sebenarnya telah mencetuskan satu kesedaran kepada orang Melayu untuk bangkit bagi mencapai kemerdekaan seperti yang dilaungkan oleh KMM dan PKMM. Laungan untuk merdeka bukan hanya berlaku setelah tertubuhnya UMNO tetapi telah dilaungkan oleh Ahmad Boestaman pada 1939 sehingga menyebabkan ramai kepimpinan Melayu telah terpenjara dan ada yang melarikan diri ke Indonesia. Kita juga perlu menilai cita-cita dan tujuan Ibrahim Yaakob dan PKMM untuk bergabung dengan Indonesia dalam menjamin ketuanan Melayu di Tanah Melayu dan Indonesia, dan aspek ini jugalah yang hendak digagalkan oleh Inggeris. Peristiwa-peristiwa ini semuanya berlaku sebelum kedatangan dan penjajahan Jepun. Para sarjana juga sedia maklum iaitu gagasan untuk menubuhkan Malayan Union pada tahun 1946 juga adalah hasil daripada keinginan Sir Cecil Clementi Smith untuk membalas dendam terhdap orang Melayu yang tidak menyokong British dalam perang dunia ke-2. Adakah perkara-perkara yang berlaku ini tidak menimbulkan satu kesedaran nasionalisme?

Kita juga harus menilai akan peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas peperangan dunia ke-2. Perubahan-perubahan besar dari aspek tonggak kuasa besar dunia daripada kuasa British kepada kuasa AS dan USSR, perubahan dalam PBB, kebangkitan komunis dan permusuhan AS-USSR dalam perang dingin juga merupakan satu aspek di mana semakin melebarnya kesedaran untuk bebas dan merdeka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...