Ahad, 17 Julai 2011

STPM Kertas 2 Cara Keluarga Temenggung Memperolehi Kuasa di Johor

Cara Keluarga Temenggung Memperolehi Kuasa di Johor
Pengenalan
Sehingga tahun 1819, Temenggung memerintah Johor dan Singapura bagi pihak Sultan Johor yang bersemayam di Riau. British memperolehi hak ke atas Singapura hasil dari persetujuan Raffles dengan Temenggung Abdul Rahman dan Tengku Hussein yang diiktiraf oleh Raffles sebagai Sultan walaupun Belanda mengiktirsf Tengku Abdul Rahman (adik Tengku Hussein) sebagai Sultan. Keturunan Temenggung iaitu Ibrahim dan Abu Bakar merupakan pemerintah yang berkebolehan. Di antara tahun 1855-1885, keluarga Temenggung menjalankan usaha untuk berkuasa di Johor. Dalam usaha ini, keluarga Temenggung berjaya mengenepikan kuasa keluarga Sultan ke atas Johor.
Cara-cara
1. Perjanjian 10 Mac 1855
Perselisihan berlaku di antara Sultan Ali (putera Sultan Hussein) dan Temenggung Ibrahim mengenai hasil Johor selepas Johor maju dan makmur. Sultan Ali telah merayu kepada Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Butterworth. Temenggung Ibrahim mendapat sokongan dari British dalam persaingannya dengan Sultan Ali. Dalam usaha itu, termeterai perjanjian 10 Mac 1855 di antara Sultan Ali dan Temenggung Ibrahim. Mengikut Perjanjian 1855, kedaulatan Johor diserahkan kepada Temenggung Ibrahim dan keturunannya. Sultan Ali dibenarkan mengguna gelaran Sultan. Daerah Muar-Kesang menjadi hak Sultan Ali dan keturunannya. Daerah-daerah Johor yang lain diletakkan di bawah kuasa penuh Temenggung Ibrahim dan keturunannya.
2. Temenggung Abu Bakar
Daeng Abu Bakar menggantikan ayahandanya Temenggung Ibrahim sebagai Temenggung pada tahun 1862. Pada tahun 1868, beliau mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja dengan keizinan serta persetujuan British. Tindakan ini memperlihatkan cita-citanya untuk mendapat gelaran Sultan, sedangkan pada masa itu Sultan Ali masih hidup. Kalau pada masa Temenggung Ibrahim, beliau mendapat kedaulatan ke atas Johor, kini Maharaja Abu Bakar ingin meluaskan lagi kekuasaannya ke atas Muar-Kesang. Pada tahun 1877, Sultan Ali mangkat di Umbai, Melaka. Gabenor Negeri-negeri Selat telah menawarkan buat sementara Muar di bawah pentadbiran Maharaja Abu Bakar. Tawaran ini mendapat persetujuan pembesar-pembesar di Muar. Maharaja Abu Bakar menerima tawaran tersebut. Dengan itu, sejak tahun 1877, seluruh Johor terletak di bawah kuasa Maharaja Abu Bakar. Dengan bantuan British, usaha diambil lagi bagi memastikan tidak ada pengganti dibuat pada hari pengebumian Sultan Ali. Pada hal Sultan Ali mempunyai putera bernama Tengku Alam. Akhirnya, pihak British mengambil keputusan masalah pemerintahan diselesaikan melalui undian. Sebelum upacara mengundi dijalankan di Kuala Kesang pada tahun 1877 oleh Temenggung dan Penghulu-penghulu Muar, dilaporkan Maharaja Abu Bakar membawa Temenggung dan Penghulu-penghulu Muar ke Johor Bharu dan ke Singapura bagi memastikan mereka menyokong Maharaja. Dalam upacara mengundi ke Kesang, mereka yang berhak mengundi menyokong Maharaja Abu Bakar. Dengan itu, Maharaja Abu Bakar menjadi pemerintah seluruh Johor termasuk Muar-Kesang. Putera Sultan Ali mendapat pencen yang besar tetapi terpaksa melucutkan gelaran Sultan. Pada tahun-tahun 1879-1880, Maharaja Abu Bakar berjaya mematahkan percubaan Tengku Alam, putera Sultan Ali untuk menegakkan semula kuasanya di Johor. Maharaja Abu Bakar mempunyai hubungan yang rapat dengan saudagar-saudagar British di Singapura, pegawai-pegawai kerajaan Negeri Selat, Pejabat Tanah Jajahan di London dan juga Queen Victoria. Akibat dari faktor-faktor ini, British menyokong Maharaja Abu Bakar.
3. Perjanjian British Johor 1885
Maharaja Abu Bakar bercita-cita untuk diiktiraf sebagai Sultan. Beliau mengadakan rundingan dengan British semasa lawatannya ke England yang membawa kepada termeterainya Perjanjian British Johor 1885. Mengikut perjanjian itu, Maharaja Abu Bakar diiktiraf oleh Kerajaan British sebagai Sultan seluruh Johor dan gelaran ini boleh diwarisi oleh keturunannya. Perjanjian ini merupakan langkah terakhir bagi mencapai martabat di raja yang diambil oleh Maharaja Abu Bakar. Maharaja Abu Bakar bersetuju Johor diletakkan di bawah naungan British. Hal-ehwal luar Johor akan diuruskan oleh British dan Johor bersetuju menerima seorang penasihat British bagi membantu Sultan dalam hal ehwal pentadbiran kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan adat resam Melayu.
Kesimpulan
Setelah menjalankan beberapa langkah dan mendapat sokongan dari British, keluarga Temenggung berjaya mendapat kuasa dan menegakkan kekuasaan mereka di Johor. Punca utama kejayaan ini ialah kerana adanya sokongan dan perancangan British. Sokongan British kerana ketokohan keluarga Temenggung sebagai pemerintah Melayu yang tidak dapat ditandingi oleh Sultan-sultan di negeri-negeri Melayu lain pada zamannya. Pengiktirafannya ini merupakan sesuatu yang amat berharga kepada keluarga Temenggung. Kerana ketokohannya Sultan Abu Bakar digelar sebagai Bapa Pemodenan Johor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...