Isnin, 11 November 2013

PENGGAL 1 TEMA 1 MASYARAKAT AGRARIA CHINA


Sebelum campur tangan kuasa-kuasa Barat, sistem feudal diamalkan di China. Masyarakat China mengamalkan kegiatan ekonomi feudal seperti bercucuk tanam secara kecil-kecilan dan berbentuk secara sara diri. Di samping itu, masyarakat petani China juga menghasilkan barangan kraf tangan yang amat diperlukan.

Negara China mempunyai keluasan hampir 9.6 juta km persegi tetapi tanah yang sesuai untuk kegiatan pertanian hanyalah 15% sahaja. Kawasan lain terdiri daripada pergunungan dan gurun di sebelah barat dan utara China. Negara China juga sebahagian besarnya berada dalam kawasan hawa sederhana mengalami perubahan iklim dari kawasan tropika ke kawasan sejuk. Walaupun berkeadaan demikian, negara China masih lagi mampu mengeluarkan makanan daripada pelbagai jenis tanaman untuk kegunaan masyarakat dan untuk dieksport ke negara luar.

Terdapat beberapa faktor yang telah mendorong perkembangan pertanian di negara China menjelang abad ke-16 M dan abad ke-17 M seperti kegiatan ekonomi sara diri, sistem pengairan, pertanian komersial, kemajuan dalam teknologi pertanian dan pengenalan kaedah baru pertanian.


1. Kegiatan Ekonomi Sara Diri / Tanaman Utama

Sistem ekonomi yang diamalkan pada abad ke-16 M dan ke-17 M adalah bercorak sara diri. Sebahagian besar daripada penduduk China terlibat dalam aktiviti bercucuk tanam. Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming dan Qing, negara China masih dipanggil masyarakat agraria iaitu meliputi 85% daripada keseluruhan penduduk dan tinggal di desa.

Tanaman utama yang diusahakan oleh masyarakat agraria di China ialah padi sawah yang banyak ditanam di kawasan selatan China iaitu di hilir lembah Sungai Yangtze dan Sungai Kuning. Penanaman padi jenis baru telah diperkenalkan dari selatan Vietnam yang boleh ditanam dua kali setahun dan tidak memerlukan air yang banyak. Ini telah memboleh padi ini di tanam di kawasan tanah tinggi yang kekurangan air.

Tanaman baru yang lain turut diperkenalkan seperti tanaman kekacang, ubi kentang manis, barli, jagung, kapas, tebu, teh, gandum, barli, sekoi, milet, kaoliang, barli, dan oat. Tanaman baru ini telah meningkatkan lagi hasil pengeluaran pertanian masyarakat agraria. Masyarakat China yang tinggal di tanah tinggi Utara China, mereka menanam padi huma, sekoi dan kekacang terutama di sekitar Sungai Heilongjiang.

Gandum merupakan tanaman makanan utama di bahagian dataran tinggi di utara China. Tanaman gandum ditanam secara meluas di wilayah Shantung, Kansu, Shensi dan bahagian utara Anhui dan Hupeh.

Milet ditanam secara meluas di bahagian utara khususnya di wilayah Kansu, Shensi dan Shansi. Koaling merupakan tanaman yang ditanam secara meluas di bahagian timur laut China. Selain itu, tanaman bijirin lain seperti barli dan oat juga ditanam di bahagian-bahagian tertentu di negara China.

Sejak zaman awal pemerintahan beraja, tanah pertanian di negara China dimiliki oleh maharaja dan dikurniakan kepada golongan bangsawan atau pembesar (tuan tanah). Tanah merupakan satu aset yang amat berharga yang dapat menentukan status sosial seseorang itu. Tuan-tuan tanah ini akan memberikan kepada golongan rakyat masyarakat agraria untuk diusahakan. Penguasaan tanah pertanian oleh golongan tuan tanah menyebabkan petani menjadi penyewa dan serf

2. Petempatan

Masyarakat agraria China tertumpu di kawasan timur laut China dengan Mongolia. Kawasan ini mempunyai dataran loes yang subur di sepanjang Sungai Kuning. Di sebelah selatan pula terdapat pula Sungai Yangtze (sungai terbesar di China) yang banyak memberi sumbangan kepada masyarakat agraria di China.

3. Pengetahuan Menjaga Kesuburan Tanah

Perkembangan masyarakat agraria di China dalam bidang petanian juga adalah disebabakan mereka mempunyai pengetahuan dalam menjaga dan memelihara tahap kesuburan tanah. Untuk menjaga kesuburan tanah, mereka menggunakan sistem penggiliran tanaman dan menggunakan baja asli yang diperolehi daripada najis ternakan.

4. Sistem Pengairan

Perkembangan pertanian di negara China mempunyai kaitan yang rapat dengan kemajuan dalam teknologi pengairan. Petani-petani di China mempunyai kemahiran dalam membina terusan dan mengawal aliran air sungai. Terusan dibina untuk menyalurkan air ke kawasan pertanian, mengelakkan banjir dan untuk mengangkut hasil pertanian ke bandar-bandar.

Petani-petani China juga mempunyai kemahiran dalam membina teres di lereng-lereng bukit bagi membolehkan penanaman padi dijalankan. Bekalan air disalurkan ke kawasan pertanian daripada terusan dan kolam takungan air dengan menggunakan kaedah mengepam air. Pam ini digerakkan dengan menggunakan tenaga binatang ataupun manusia.

Bagi mengairi kawasan pertanian yang jauh daripada sumber air, maka kaedah empangan telah digunakan. Selain itu, tambak juga dibina untuk mengelakkan banjir memusnahkan kawasan pertanian. Projek-projek pengairan juga dijalankan oleh pemerintah untuk mengairi kawasan pertanian seperti projek pengairan di Sichuan mengairi kawasan tanah pertanian seluas 2 juta hektar.

5. Pertanian Komersial

Menjelang abad ke- 16 M dan 17 M, kegiatan ekonomi kapitalisme mula bertapak di China dan mula berkembang pesat terutama semasa pemerintahan Maharaja Chien-Lung pada abad ke-18 M. Perkembangan ini menyebabkan sistem penanaman komersial mula diperkenalkan seperti tembakau, kapas, mulberi dan tebu.

Tanaman tembakau ditanam secara besar-besaran di wilayah Kwangsi dan Fukien. Tanaman kapas ditanam secara meluas di wilayah Kiangsu, Sungkiang, Tai-tsang dan Tung-chou. Kapas telah mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran. Tanaman tebu pula dikeluarkan di daerah Kwangtung, Fukien dan Szechwan.

Penanaman pohon mulberi diusahakan di wilayah Kwangtung. Daun mulberi telah dijadikan makanan ulat sutera.

6. Kemajuan Dalam Teknologi Pertanian

Penciptaan dan penggunaan peralatan baru telah membawa kepada kemajuan yang pesat dalam aktiviti pertanian di negara China, antaranya tenggala penabur benih, penyisir tanah, penggiling, kolar kuda dan kereta sorong beroda dua.

Tenggala penabur benih digunakan untuk membina alur, parit atau lekuk memanjang di permukaan tanah. Selain itu, alat ini juga digunakan untuk menabur benih dalam barisan yang lurus dan sekata.

Selain tenggala kayu, mereka turut mencipta peralatan lain seperti penyisir tanah, penggiling dan kolar kuda. Kereta sorong beroda dua telah dicipta untuk memudahkan pengangkutan barang-barang atau hasil pertanian. Peralatan-peralatan ini menyebabkan berlaku peningkatan yang amat ketara dalam pengeluaran basil pertanian.

7. Pengenalan Kaedah Baru Pertanian

Peningkatan hasil pertanian juga berlaku kesan daripada pengenalan kaedah baru dalam bidang pertanian, antaranya pengenalan sistem penanaman bergilir. Sistem ini telah diamalkan di China sejak zaman Han lagi. Menerusi sistem penanaman bergilir, kesuburan tanah pertanian dapat dipelihara.

Di samping itu, kaedah pertanian yang lebih baik seperti tanaman dua pusingan dan pengkhususan dalam tanaman juga diamalkan. Penggunaan kaedah-kaedah baru menyebabkan pembukaan tanah-tanah baru untuk pertanian.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...