KONSEP MASYARAKAT FEUDAL
1. Feudalisme adalah satu bentuk
kerajaan yang terbentuk di Eropah Barat pada
abad ke-9 M, selepas perpecahan Empayar Charlemangne dan berlanjutan sehingga
abad ke-13 Masihi. Sistem pemerintahan ini wujud apabila kuasa kerajaan jatuh
ke tangan orang persendirian (Sivachandralingam, 1996: 66).
2. Secara umumnya Sistem
Feudal (Feudalisme) bolehlah
didefinisikan sebagai satu bentuk
kerajaan, yang kuasa politiknya dikuatkuasakan secara tempatan
oleh individu persendirian tetapi bukan oleh
kerajaan pusat.
3. Menurut Gan shof (1944) Konsep Feudalisme pertama kali digunakan pada kurun ke- 17
bagi merujuk kepada sistem politik di
Eropah pada zaman pertengahan yang memeperlihatkan
hubungan yang saling memerlukan di
antara tuan tanah (lords), orang biasa atau petani (Vassals) dan tanah (fiefs). Dengan kata
lain, dalam sistem ini petani bekerja dan menjadi tentera untuk melindungi
seorang bangsawan dan sebagai balasan mereka boleh mengusahakan tanah bangsawan
tersebut. Walaupun istilahnya diambil daripada perkataan latin
feodum atau feudum (fief), namun konsep feudalism dan sistemnya
bukanlah satu sistem
politik formal pada zaman itu.
4. Menurut Abdullah
Zakaria et. al. ( 2003: 92 ) Pada
asasnya, sistem ini memperlihatkan hubungan peribadi yang erat antara tuan
tanah atau lord dengan Vassal atau pemegang tanah (petani) yang
disyaratkan untuk memberi taat setia kepada lord. Satu
pihak akan memberi perlindungan
sementara satu pihak yang lain memberi perkhidmatan ketenteraan demi keselamatan
raja. Mereka juga di beri gelaran tertentu sebagai mengakui
sumbangan tersebut. Selain aspek ketenteraan dan keselamatan, pihak yang dikenali
sebagai feudotari juga dikehendaki menyediakan keperluan tertentu termasuklah membekalkan buruh untuk sistem kerah. Hubungan ini
menentukan kedua-dua pihak memperoleh
faedah dan keuntungan bersama.
CIRI-CIRI MASYARAKAT FEUDAL
Menurut Francois-Louis Ganshof
(1944) Sistem feudal sekurang-kurangnya mempunyai empat ciri penting iaitu hubungan
bertimbalas antara seorang bangsawan (Vassal) kepada bangsawan lain yang lebih kuat atau lebih berpengaruh
(lord), hak milik tanah atau sistem
fief, ketenteraan dan kuasa pemerintahan
serta hak-hak perundangan.
- Vassalage atau hubungan bertimbal balas yang di buat melalui persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (Vassal) kepada seorang hulubalang lain, yang di angkat sebagai tuan (lord) kepada Vassal tersebut disebabkan ia lebih kuat atau lebih berpengaruh. Hubungan ini merupakan satu bentuk hubungan persendirian yang bersifat kehormat kerana ia melibatkan perjanjian antara dua orang Individu yang terdiri daripada kelas hulubalang sahaja (Carl Stephenson, 1956:5-10). Melalui hubungan ini, seseorang Vassal dan lord akan diikat dengan fungsi dan tanggungjawab tertentu, iaitu memberikan ketaatan dan perkhidmatan, khususnya ketenteraan oleh Vassal kepada lordnya manakala lord pula akan berfungsi memberi penjagaan dan perlindungan kepada Vasalnya (Azmi Arifin, 2006:55).
- Ciri yang kedua ialah fief iaitu sejenis harta feudal, kebiasaannya berupa tanah yang diberikan oleh seseorang lord kepada vassalnya bertujuan untuk mengikat persetiaan tersebut. Oleh kerana tujuan utama pemberian fief adalah untuk mendapatkan khidmat ketenteraan, maka fief juga dikenali sebagai military fief ( Azmi Ariffin,1992:55). Bagi sesetengah pengkaji, fief tidak semestinya berupa tanah sahaja. Sebaliknya pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya boleh juga diberikan sebagai bentuk fief. Menurut Strayer (1953) Terdapat golongan vassal yang tidak mempunyai sebarang tanah (landless knights) merupakan satu fenomena biasa yang dapat ditemui di Eropah Barat pada kurun ke-11. Kewujudan golongan ini meskipun semakin berkurangan tetapi tidak pula lenyap pada kurun-kurun selepasnya. Tugas lord ialah menjaga pengikutnya seperti menampung segala keperluan sara hidup pengikutnya kerana Vassal merupakan hulubalang sepenuh masa dan tidak terlibat dalam aktiviti ekonomi. Di Eropah Barat pada zaman pertengahan, kegiatan ekonomi yang berkaitan perdangangan telah terjejas teruk akibat kekacauan, serangan luar dan peperangan. Keadaan ini menyebabkan raja-raja yang berfungsi sebagai Lord menghadapi masalah untuk membayar upah dalam bentuk wang. Ketika itu hanya terdapat dua cara yang membolehkan seseorang Lord melaksanakan tugasnya. Pertama seseorang Lord akan menempatkan seseorang vassal di istana-istananya dengan menyedaikan makanan, pakaian, senjata atau sebarang keperluan yang dikehendakinya. Kedua ialah dengan memberikannya tanah sebagai sumber pendapatan yang boleh menampung keperluan hidupnya. Cara ini amat popular kerana dapat menarik minat golongan hulubalang yang berkuasa kerana ia melibatkan jaminan dari segi kedudukan politik, ekonomi dan sosial. Seseorang lord yang tidak mampu mengikat kesetiaan seseorang vassal melalui pemberian tanah biasanya akan mendapati dirinya kehilangan sokongan dan pengaruh, manakala seseorang vassal yang tidak memiliki sebarang tanah sekalipun mempunyai taraf sosial yang lebih tinggi daripada seorang petani kaya, tidak mempunyai peranan dari segi politik dan pemerintahan. Dengan itu mereka akan berada pada kedudukan sosial yang lebih rendah dalam hierarki kelas hulubalang atau bangsawan yang menguasai tanah. Dari sudut ini kita bolehlah mengatakan pemilikan tanah akan menentukan status dan kedudukan seseorang pada zaman feudal di Eropah Barat.
- Ciri Feudal yang ketiga ialah ketenteraan, iaitu wujudnya kelas-kelas hulubalang dan pelaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord sebagai balasan penerimaan fief. Oleh kerana tujuan asas hubungan vassalage-fief adalah mewujudkan satu organisasi ketenteraan yang efektif, maka perkhidmatan utama yang diberikan oleh vassal kepada lord ialah perkhidmatan ketenteraan, sedangkan perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuklah yang melibatkan aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan sampingan sahaja.Oleh sebab itu kebanyakan pengkaji sejarah feudalism bukan sahaja di Eropah Barat, malah di Jepun, China, India, Timur Tengah dan sebagainya berpendapat institusi feudal tidak mungkin wujud tanpa adanya aspek ketenteraan.Malah perkembangan feudalisme bukan sahaja dikaitkan dengan wujudnya organisasi ketenteraan semata-mata tetapi juga dikaitkan dengan kemunculan kelas-kelas tentera elit baru dan perkembangan teknologi peperangan. Misalnya perkembangan feudalism di Eropah Barat dikaitkan dengan kemunculan golongan knights dan chivalry, di Jepun kelas samurai dan knight-archer, cataphracts di Byzantium dan Iran, Chariot-fighters di Timur Tengah dan China dan sebagainya lagi (Strayer, 1953:9). Kemunculan kelas-kelas tentera elit baru yang lebih berdisiplin, terlatih dan mempunyai peralatan yang jauh lebih mahal telah menjadikan khidmat ketenteraan pada zaman feudal di eropah hanya mampu dimonopoli segolongan kecil kelas bangsawan sahaja, terutama dikalangan mereka yang menguasai tanah. Dari segi sosial perkembangan ini telah meningkatkan lagi jurang perbezaan yang sedia wujud antara kelas hulubalang dengan golongan rakyat biasa yang terikat dengan kegiatan pertanian.
- Ciri yang keempat ialah pemilikan kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya. Kuasa pemerintahan ini juga meliputi penduduk bukan vassal yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord, yang biasanya dilaksanakan oleh sebuah kerajaan. Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.Pemusatan kuasa ketenteraan, polittik dan ekonomi ditangan seseorang lord telah menggalakkan perkembangan wilayah-wilayah feudal yang berdaulat dan berautonomi. Jika berlaku pertelingkahan antara lord dengan raja, golongan vassal yang terikat dengan perjanjian feudal biasanya akan memberikan kesetiaan penuh kepada lord yang berada di atasnya berbanding kepada seseorang raja yang tidak mempunyai hubungan secara langsung dengannya. Walau bagaimanapun corak hubungan ini bergantung kepada taraf sosial (prestij) dan kedudukan raja itu sendiri. Jika baginda seorang pemerintah yang berpengaruh, maka kedudukan lord mungkin sedikit sebanyak dapat dikawalnya. Tetapi kebiasaannya pada zaman feudal, kedudukan seseorang raja amat lemah dan baginda selalunya tidak mempunyai kekuatan untuk mengawal pembesar feudal. Bagi Strayer (1953) aspek pemilikan kuasa dan hak-hak perundangan golongan lord ini merupakan ciri feudalisme yang paling asas dan terpenting. Walau bagaimanapun tanpa wujudnya hubungan vassalage-fief dan perkembangan aspek ketenteraan, pemilikan kuasa dan hak-hak perundangan itu tidak mungkin diperolehi.
SUSUN LAPIS MASYARAKAT FEUDAL
1. Masyarakat
feudal boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan pemimpin dan golongan
yang dipimpin.golongan pemimpin terdiri daripada raja, pembesar (bangsawan),
dan golongan yang dipimpin ialah rakyat
atau petani.
2. Raja
mempunyai kuasa mutlak dan berada dikedudukan
paling tinggi. Di bawah raja, terdapat beberapa lapisan para bangsawan
yang menjadi vassalnya.
3. Bangsawan
lapisan pertama yang memiliki tanah (fief) secara langsung daripada raja
dikenali sebagai tenants-in-chief.Bangsawan lapisan pertama itu
membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua dikenali sebagai
subinfeudation.
4. Bangsawan
lapisan kedua seterusnya mungkin membahagikan fief mereka kepada bangsawan
lapisan ketiga.Setiap bangsawan berkuasa ke atas petani yang menetap di
fiefnya.
5. Kelas paling bawah sekali ialah kaum tani (serf).
Kaum tani semuanya miskin dan tidak berpelajaran. Hak-hak mereka sedikit tetapi
tugas mereka banyak.Kerap kali mereka ini tidak diberi layanan yang memuaskan
oleh tuan-tuan mereka.Hampir kesemua petani terdiri daripada golongan serf yang
bertaraf antara orang bebas dengan
hamba.Peluang untuk menjadi kaya dan masyhur dengan usaha sendiri sangat
tipis. Seseorang hamba akan menjadi hamba seumur hidup dan anak-anak mereka juga akan menjadi hamba.
6. Sebagai
kesimpulannya dalam pemerintahan bercorak feudal ini, wujud satu hierarki yang
jelas antara feudatories dan subfeudatories di bawah pemerintahan seorang raja
(Abdullah Zakaria, 2003:93). Struktur masyarakat feudal di Eropah bolehlah
boleh digambarkan seperti rajah di
bawah.
SISTEM FEUDAL DI ENGLAND
Latarbelakang Sistem Feudal di England
Selepas kejatuhan Empayar Rom,
menjelang tahun 800 Masihi, muncul
satu institusi politik yang dikenali
sebagai feudalisme di Negara- negara Eropah
Barat termasuklah di England. Dalam
sistem feudal terdapat satu susunan tanggungjawab yang kompleks
dan obligasi di kalangan individu daripada
kelas terbawah (serf) kepada kelas teratas iaitu raja. Setiap serf memberi sumpah
kesetiaan kepada golongan yang lebih tinggi daripada mereka. Golongan yang lebih tinggi ini ialah knight
(pahlawan), bangsawan (baron, duke,lord) dan akhir sekali ialah
raja.Setiap bangsawan berjanji untuk
melindungi mereka yang telah bersumpah untuk bersatu dengannya
(Sivachandralingam, et.al.1999:93). Dalam sistem
feudal di England, kebergantungan sangat kuat antara seorang
raja dengan golongan bangsawan (lord)
yang dilantik sendiri oleh raja.
Golongan bangsawan mempunyai hubungan secara langsung dengan raja. Jika seseorang raja memerlukan tenaga buruh
untuk melakukan sesuatu kerja atau
memerlukan tentera maka golongan petani (serf) akan dikerah untuk
memenuhi keperluan tadi. Jadi dalam sistem feudal di England golongan petani (serf)
menjadi subjek
utama dan tidak mempunyai sebarang hak. Dalam sistem feudal, tanah
menjadi
elemen utama iaitu semua tanah adalah milik raja. Golongan bangsawan
telah dikurniakan tanah (wilayah) oleh raja. Tanah menjadi punca
kekayaan bagi raja
dan golongan bangsawan.
Ciri-ciri Sistem Feudal di England
1. Hubungan bertimbal balas atau
hubungan dua hala.
Hubungan
bertimbal balas (vassalage) yang dibuat melalui persetiaan seseorang
hulubalang sebagai pengikut (vassal) kepada seseorang hulubalang lain
yang diangkat sebagai tuan (lord) kepada vassal tersebut. Melalui
hubungan ini, seseorang vassal dan lord akan diikat dengan fungsi dan
tanggungjawab-tanggungjawab tertentu. Golongan vassal akan memberikan
ketaatan dan perkhidmatan terutamanya dalam bidang ketenteraan kepada lordnya.
Sebagai timbal balas golongan lord pula akan memberikan penjagaan dan
perlindungan kepada vassalnya.
2. Harta feudal yang kebiasaannya
berupa tanah.
Ciri yang
kedua iaitu harta feudal (fief), kebiasaannya berupa tanah yang menjadi
punca kekayaan kepada tuan tanah iaitu raja dan golongan bangsawan. Tanah
dikurniakan oleh raja kepada seseorang lord kemudian lord pula akan memberkan
tanah kepada vassalnya bertujuan untuk mengikat persetiaan. Oleh kerana tujuan
utama pemberian fief adalah untuk mendapatkan khidmat ketenteraan, maka
fief juga dikenali sebagai military fief. Fief tidak semestinya berupa
tanah sahaja, sebaliknya pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya boleh juga
diberikan sebagai bentuk fief. Pemberian fief berupa tanah
dapat menarik minat golongan hulubalang
yang berkuasa. Golongan serf tidak memiliki tanah, tetapi dibenarkan
untuk bercucuk tanam dan menternak binatang di atas tanah yang dibenarkan oleh
tuan tanah.
3. Ketenteraan.
Ciri
feudalisme yang ketiga ialah ketenteraan, iaitu wujudnya kelas-kelas
hulubalang dan perlaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh
vassal kepada lord sebagai penerimaan fief. Oleh kerana tujuan
asas hubungan vassalage-fief adalah mewujudkan satu organisasi
ketenteraan yang efektif. Perkhidmatan utama yang diberikan oleh vassal
kepada lord ialah perkhidmatan ketenteraan. Perkhidmatan-perkhidmatan
lain termasuklah yang melibatkan aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan
sampingan sahaja.Oleh kerana sistem feudal dikaitkan dengan aspek ketenteraan
maka di Eropah atau England wujudnya golongan tentera elit seperti knights
dan chivalry yang lebih berdisiplin, terlatih dan mempunyai
peralatan yang mahal.
4. Kuasa pemerintahan dan hak-hak
perundangan persendirian.
Ciri
feudalisme keempat ialah kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan
persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya serta
ke atas rakyat yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord. Selain
menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber
ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal
institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.
Struktur Masyarakat Feudal di England.
1. Masyarakat di England atau Eropah
terbahagi kepada dua golongan iaitu pemimpin dan yang dipimpin. Golongan
pemimpin terdiri daripada raja dan bangsawan. Susunan masyarakat feudalnya
berbentuk piramid iaitu raja atau pemimpin utama terletak di lapisan paling
tinggi. Di bawahnya terdapat beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi
pengikut raja atau vassal yang memberi kesetiaan kepada raja. Golongan
bangsawan ini terbahagi kepada dua iaitu lapisan pertama dan kedua.
2. Golongan Bangsawan lapisan
pertama yang memiliki tanah (fief) secara langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief.
Bangsawan lapisan pertama pula membahagikan fief mereka kepada bangsawan
lapisan kedua. Proses ini dikenali sebagai subinfeudation . Bangsawan
lapisan ke dua seterusnya
membahagikan fief mereka kepada bangsawan yang lebih rendah daripadanya
atau golongan petani. Setiap bangsawan (Vassal) berkuasa ke atas
petani
yang menentap dififnya. Hampir kesemua petani terdiri daripada serf yang
bertaraf antara orang bebas dengan hamba (Ranjit Sing Malhi, 1993: 91).
3. Golongan yang dipimpin
pula merupakan golongan rakyat biasa yang menetap di wilayah kekuasaan
golongan bangsawan. Rakyat biasa ini dikenali sebagai serf iaitu
golongan bukan hamba tetapi tidak bebas sepenuhnya. Mereka terikat kepada
pemimpin atau tuan mereka dan tidak bebas bergerak atau berpindah dari satu
tempat ke tempat lain. Mereka bergantung kepada golongan bangsawan untuk
mendapatkan mata pencarian. Terdapat juga petani bebas yang menyewa tanah
daripada golongan bangsawan ( Ranjit Sing Malhi,
1993: 91).
4. Selain itu terdapat golongan
paderi yang merupakan satu kelas yang berasingan. Sebilangan besar daripada
mereka terdiri daripada daripada golongan
bangsawan yang mempunyai tanah sebagai
Vassal dalam sistem feudal (Ranjit Singh Malhi, 1993:91).Menurut Ferguson dan
Brunn, pada abad ke-12 dan ke-13, hampir 1/3 daripada tanah yang boleh
digunakan di Eropah barat di kawal oleh greja. Bishop, abot dan pegawai-pegawai
yang memegang jawatan penting dalam gereja biasanya adalah golongan bangsawan.Justeru
itu mereka sering campur tangan dalam pemilihan jawatan bishop dan jawatan-jawatan lain
untuk salah seorang dari ahli keluarga mereka. Akibatnya pegawai-pegawai greja
terdiri daripada golongan yang mementingkan meterial dan mempunyai dua tanggungjawab
(Sivachandralinggam, 1996:70).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan