Perkembangan
Masyarakat Agraria di Belanda
Mengikut pengembara Eropah,
masyarakat agraria di Belanda mula mengalami perkembangan yang pesat dalam bidang pertanian pada abad ke-16 dan
ke-17 M. Perkembangan ini dapat dilihat melalui penggunaan kaedah dan teknik
pertanian yang lebih maju berbanding dengan negara-negara Eropah yang lain,
pengenalan pelbagai jenis tanaman baru dan turut menjadi pembekal produk tenusu
ke negara-negara lain.
Perkembangan masyarakat
agraria di Belanda dapat dilihat melalui perkembangan pertanian, penternakan,
hortikultur, kegiatan menebus tanah, dan penggunaan teknologi berkaitan dengan
teknik serta kaedah pertanian.
1. Perkembangan kegiatan
pertanian
Kegiatan pertanian telah
dijalankan secara lebih giat pada abad ke-17, akibat berlakunya pertambahan
penduduk yang pesat terutama di kawasan bandar negara Belanda. Masyarakat
petani terutama disebelah utara Belanda telah mengusahakan kegiatan
pertanian secara kecil kecilan dan secara sistem pertanian padang terbuka.
Hasil pertanian ini untuk pasaran tempatan di bandar-bandar negara Belanda
sahaja.
Antara tanaman yang ditanam
ialah sayur-sayuran seperti bawang, biji kol, ketumbar, lobak dan teasel.
Mengikut KHD Halley, masyarakat Belanda merupakan masyarakat yang paling banyak
makan sayur-sayuran di Eropah.
Selain itu, masyarakat Belanda
juga turut menanam tanaman lain seperti barli, gandum, semanggi, kekacang, biji
kol, mader dan hem.
Barli merupakan tanaman dominan di Belanda, namun
pengeluarannya semakin merosot menjelang abad ke-16 dan ke-17 M. Selepas itu,
gandum telah menjadi penting menjelang abad ke-17 M. Gandum telah
ditanam oleh petani secara intensif dan lebihan hasil akan dijual. Tanaman
semanggi pula ditanam dibahagian utara Belanda pada tahun 1644 M untuk
dijadikan sebagai makanan binatang ternakan terutama lembu. Tanaman
kekacang seperti beans dan kacang peas merupakan tanaman penting di
Belanda.
Manakala biji kol pula
ditanam oleh petani dibahagian utara Belanda dan diproses untuk menghasilkan
minyak. Hampasnya pula telah dijadikan makanan binatang ternakan pada musim
sejuk. Tanaman ini mula berkembang dan ditanam di Zeeland, Bogaurden,
Friesland, Artois, Rhineland, Schleswig dan Holstien.
Tanaman mader pula ditanam secara meluas pada abad ke-13
dan ke-14 M apabila industri tekstil mula muncul di Leiden dan bandar-bandar
lain di Belanda di mana tanaman ini telah dijadikan sebuk pewarna dalam
industri tekstil. Tanaman ini ditanam secara meluas di bahagian barat daya
Belanda, Flanders, dan Brabant Barat. Tanaman Mader telah dieksport ke
pelabuhan di bahagian selatan dan timur England. Pulau Schouwen telah menjadi
pusat tanaman mader yang penting menjelang tahun 1580-an hingga pertengahan
abad ke-17 M. Menjelang akhir abad ke-17 M, telah terdapat 50 kilang memproses
mader dan ini telah menjadikan Rotterdam muncul sebagai pusat pengumpulan dan
pengedaran mader di Belanda.
Penanaman hem pula ditanam dengan meluas di
wilayah-wilayah Holland, Utrecht, Alblasserwaard, Lopikerwaard dan
Krimpenerwaard pada abad ke-16 M. Tanaman ini digunakan untuk membuat barangan
daripada kanvas, jala dan tali kapal.
2. Perkembangan Bidang
Penternakan
Pada abad ke-17 M, aktiviti penternakan
lembu juga dijalankan secara giat di bahagian timur Belanda seperti
sekitar bandar-bandar Hertogenbosch, Lier dan Diest. Perkembangan bidang
penternakan didorong oleh berlakunya pertambahan penduduk di Belanda dan
seterusnya menyebabkan meningkatnya permintaan untuk bekalan daging lembu pada
abad ke-16 M dan abad ke-17 M. Ini telah menyebabkan petani-petani di Holland
dan Friesland memberi tumpuan kepada sektor penternakan.
Bilangan ternakan telah
meningkat dari 14 ekor pada akhir abad ke-16 M kepada 24 ekor pada pertengahan
abad ke-17 M. Lembu-lembu tenusu yang diternak di Belanda daripada baka lembu
tenusu yang terbaik di Eropah. Penternakan lembu bertambah maju dengan adanya
penanaman rumput berkualiti dan pengenalan tanaman bergilir.
Pertambahan penduduk di bandar
telah mendorong peningkatan permintaan susu lembu di Belanda iaitu 2000 liter
susu setahun sekitar tahun 1570. Pada tahun 1660, kandang-kandang lembu telah
dilengkapi dengan peralatan bagi memproses susu lembu terutama di daerah
Amstelland.
Penternakan kambing juga dijalankan di kawasan sekitar Pulau
Taxel dan Wieringan dan Pulau Grind. Penternakan ini dijalankan untuk menghasilkan
bekalan keju kepada penduduk di bandar-bandar dan luar bandar.
Belanda telah menjadi sebuah
negara industri berasaskan tenusu dalam menghasilkan keju dan mentega yang
terbesar di dunia serta berkualiti tinggi sejak abad ke-16 M dan abad ke-17 M
terutama di Holland dan Friesland. Produk ini akan dieksport ke England,
Perancis, Sepanyol dan kawasan pedalaman Jerman. Keju yang dihasilkan dengan
menggunakan teknologi yang lebih maju dan tinggi. Hasil keju ini memberi
sumbangan pendapatan tahunan kepada Belanda sebanyak 6.4 juta pound. Manakala
mentega pula telah dihasilkan di daerah Rijnland dan Delfland. Bandar Leidin
telah menjadi pusat pusat pengeluaran mentega yang bermutu tinggi di Belanda.
3. Perkembangan Bidang
Hortikultur
Bidang ini telah berkembang
kesan daripada berlakunya pertambahan penduduk, peningkatan taraf hidup dan
kemajuan dalam sistem pengangkutan air. Pusat-pusat hortikultur telah muncul di
bandar-bandar seperti Leiden, Delft, De Langedijk dan Enkhuizen. Bidang ini meliputi
penanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga.
Sayur-sayuran seperti bawang, lobak, ketumbar, lobak
merah, parsnip dan biji sawi telah ditanam secara meluas di daerah De
Langedijk. Tanaman kubis dan lobak ditanam secara bergilir-gilir dengan sayuran
lain di kawasan De Streek di daerah Enkuizen. Buah-buahan pula
telah ditanam di kawasan Aalsmeer dan Boskoop seperti strawberi. Sayur-sayuran
dan buah-buahan ini telah dihantar ke Amsterdam dan Leiden melalui pengangkutan
air.
Pada abad ke-17 M, tanaman
bunga telah dijalankan seperti tulip dan hop. Bunga tulip telah
mendapat permintaan yang tinggi dan ini telah mendorong peningkatan harganya.
Bunga hop pula telah ditanam dengan meluas di kawasan sepanjang sungai Maas.
Bunga hop telah digunakan dalam industri penghasilan minuman keras (beer) di
bandar-bandar Haarlem, Delft dan Gouda. Terdapat 21 buah kilang minuman keras
di Amsterdam dan Rotterdam antara tahun 1600-1621 M.
4. Perkembangan Kegiatan
Menebus Guna Tanah
Perkembangan aktiviti pertanian di Belanda mempunyai pertalian yang rapat
dengan kegiatan menebus guna tanah kerana sebahagian besar tanah pertanian yang
subur berada di bawah paras laut. Ini telah menyebabkan kawasan pertanian yang
terletak di pinggir laut ditenggelami air laut. Keluasan tanah yang ditebus
guna untuk pertanian di negara Belanda telah dijalankan dari tahun 1545
sehingga tahun 1814. Muara Sungai Middeizee ditambak bagi tujuan menebus guna
tanah tersebut untuk tujuan pertanian.
Menjelang pertengahan abad ke-17 M, sebahagian besar tanah di wilayah
Zeeland di tebus guna untuk tujuan pertanian. Di seluruh wilayah Zeeland, tanah
yang ditebus guna meningkat kepada 49%, iaitu daripada 85 000 hektar kepada 127
000 hektar menjelang tahun 1600 dan 1680. Usaha penambakan tanah dilakukan di
Oud-Beijerland (1557) dan Nieuw-Beijerland (1582) menyebabkan tanah seluas 2300
hektar ditebus guna.
5. Perkembangan Teknologi Pertanian
Kegiatan pertanian
semakin berkembang kerana berlakunya kemajuan yang pesat dalam teknik dan
kaedah pertanian di Belanda menjelang abad ke-16 M dan ke-17 M berbanding
dengan negara-negara Eropah yang lain. Antara perkembangan yang berlaku dalam
bidang teknologi pertanian ini adalah kajian mengenai sistem pertanian Belanda,
pengenalan sistem tanaman bergilir, sistem penanaman rumput ternakan, sistem
batas, sistem penanaman deretan, teknik memelihara kesuburan tanah dan
penciptaan peralatan pertanian.
Kajian Mengenai Sistem
Pertanian Belanda telah dijalankan
terutama mengenai teknik dan kaedah pertanian yang di perkenalkan oleh
masyarakat Belanda dijalankan oleh sarjana-sarjana dari England seperti Sir
Richard Weston, Lord Townshend, Bakewell, Sir John Sinclair, Thomas Radcliff,
Andrew Fletcher of Saltoun, James Meikle, Bartholomew Rocque, Patrick Neill dan
William Speechley. Hasil kajian mereka, menunjukkan petani-petani di Belanda
telah memperkenalkan sistem tanaman giliran, sistem penanaman rumput seperti
Clover, Lucerne, Burnet, Timothy Grass dan Turnip dan mencipta peralatan
seperti tenggala dan mesin menampi.
Petani-petani Belanda
merupakan perintis dalam memperkenalkan sistem penggiliran tanaman.
Dalam sistem penggiliran yang diamalkan di Belanda, penanaman secara intensif
telah dijalankan di mana tanah rang telah ditanam dengan kacang tanah,
ubi-ubian, jagung dan bijirin seperti gamdum, barli, oat yang menjadi sumber
utama Belanda.
Sistem penggiliran ini
melibatkan penanaman jagung musim sejuk (satu tahun), jagung musim panas (satu
tahun), tanah rang (satu tahun) dan penanaman rumput (3 atau 6 tahun) diamalkan.
Sistem penggiliran ini telah diamalkan di bandar Ghent (1323), St. Pieters ter
Aalst (1368) dan Lede yang terletak di Alost pada tahun 1372. Sistem
penggiliran tanaman juga diamalkan secara meluas di wilayah Waes (Belanda) pada
tahun 1644. Sistem tanaman ini masih dipraktikkan di ladang-ladang yang
terletak di selatan Edegem di wilayah Brabant pada tahun 1800. Kaedah ini akan
mengembalikan kesuburan tanah dan meningkatkan
lagi hasil pengeluaran pertanian.
Petani-petani Belanda
juga memperkenakan sistem penanaman rumput ternakan untuk
ternakan pada tanah rang. Tanaman rumput seperti turnip ditanam di kawasan
tanah rang selepas jagung dituai. Terdapat bukti mengenai penanaman tanaman
rumput di tanah rang pada pertengahan abad ke-15 M iaitu pada tahun 1498 di
Louvain.
Petani-petani di
Belanda juga memperkenalkan sistem menanam dengan membuat batas.
Melalui sistem ini, saliran yang baik dapat diwujudkan bagi memastikan tanaman
tumbuh dengan subur. Bagi memelihara kesuburan tanah, kedudukan batas diubah
setiap tahun. Sistem penanaman di atas batas menyebabkan penanaman dalam
deretan atau jajaran di perkenalkan. Sistem Penanaman Deretan
diamalkan bagi tanaman seperti jagung, mader, hop, biji kol dan tembakau.
Sistem penanaman dalam deretan bagi tanaman komersial digunakan sejak abad
ke-14 M.
Petani-petani Belanda juga mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam
memelihara kesuburan tanah. Mereka mengekalkan kesuburan tanah
pertanian dengan melakukan aktiviti berikut melakukan pemugaran tanah
pertanian, menggunakan baja asli dan membuang rumput dan tanaman perosak. Petani-petani
mengekalkan kesuburan tanah dengan menggunakan baja asli yang terdiri daripada
najis ternakan yang diperolehi daripada kawasan-kawasan penternakan lembu.
Petani-petani di Belanda juga memberi sumbangan dalam penciptaan peralatan
pertanian. Antara peralatan yang dicipta termasuklah sejenis tenggala baru yang
digunakan oleh petani di Gelderland, mencipta tenggala beroda dan mesin untuk
menampi bijirin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan