Pengenalan/Definisi Masyarakat Feudal
· masyarakat
yang tinggal dalam sesuatu komuniti dan terikat dengan aturan yang
ditetapkan oleh kerajaan atau pemerintah ke atas golongan
diperintah/bawahan. Kedua-dua golongan ini hidup mengikut susun lapis
yang ditetapkan berdasarkan keturunan dan hubungan di antara keduanya
berasaskan saling memerlukan antara satu sama lain.
· masyarakat
feudal di England memperlihatkan raja mempunyai kuasa mutlak dan berada
pada kedudukan teratas, diikuti oleh count (bangsawan), lord (tuan
tanah), manor dan serf (petani)
· manakala
masyarakat feudal di Jepun meletakkan maharaja pada kedudukan tertinggi
dan mempunyai kuasa yang tidak terbatas ke atas segala aspek dalam
pemerintahan termasuklah tanah. Namun demikian, maharaja telah
mewakilkan kuasa baginda kepada keluarga syogun dan dibantu oleh daimyo
serta samurai.
Ciri-ciri Masyarakat Feudal di England
1. Setiap serf (rakyat bawahan biasanya petani) memberi sumpah kesetiaan kepada golongan yang lebih tinggi daripada mereka. Golongan yang lebih tinggi ini ialah knight (pahlawan), bangsawan (baron, duke , lord) dan akhir sekali ialah Raja.
2. Golongan
bangsawan mempunyai hubungan secara langsung dengan Raja. Punca
kekayaan golongan ini ialah tanah yang dianugerahkan oleh Raja.
3. Hubungan bertimbal balas (vassalage) yang dibuat melalui persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (vassal) kepada seseorang hulubalang lain yang diangkat sebagai tuan (lord) kepada vassal tersebut.
4. Harta feudal (fief),
kebiasaannya berupa tanah yang menjadi punca kekayaan kepada tuan tanah
iaitu raja dan golongan bangsawan. Tanah dikurniakan oleh raja kepada
seseorang lord kemudian lord pula akan memberikan tanah kepada vassalnya
bertujuan untuk mengikat persetiaan.
5. Dalam
aspek ketenteraan, wujud kelas-kelas hulubalang dan perlaksanaan
khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord sebagai penerimaan fief.
6. Kuasa
pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan
dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya serta ke atas rakyat yang
berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord. Selain
menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber
ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip
cukai, mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.
Susun lapis masyarakat feudal di England
1. Masyarakat
di England atau Eropah terbahagi kepada dua golongan iaitu pemimpin dan
yang dipimpin. Golongan pemimpin terdiri daripada raja dan bangsawan.
Susunan masyarakat feudalnya berbentuk piramid iaitu raja atau pemimpin utama terletak di lapisan paling tinggi.
Di bawahnya terdapat beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi
pengikut raja atau vassal yang memberi kesetiaan kepada raja. Golongan
bangsawan ini terbahagi kepada dua iaitu lapisan pertama dan kedua.
2. Golongan Bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah (fief) secara langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief. Bangsawan lapisan pertama pula membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua. Proses ini dikenali sebagai subinfeudation . Bangsawan lapisan ke dua
seterusnya membahagikan fief mereka kepada bangsawan yang lebih rendah
daripadanya atau golongan petani. Setiap bangsawan (Vassal) berkuasa ke
atas petani yang menentap difiefnya. Hampir kesemua petani terdiri
daripada serf yang bertaraf antara orang bebas dengan hamba.
3. Golongan yang dipimpin pula merupakan golongan rakyat biasa yang menetap di wilayah kekuasaan golongan bangsawan. Rakyat biasa ini dikenali sebagai serf iaitu
golongan bukan hamba tetapi tidak bebas sepenuhnya. Mereka terikat
kepada pemimpin atau tuan mereka dan tidak bebas bergerak atau berpindah
dari satu tempat ke tempat lain.Mereka bergantung kepada golongan
bangsawan untuk mendapatkan mata pencarian. Terdapat juga petani bebas
yang menyewa tanah daripada golongan bangsawan.
4. Selain itu terdapat golongan paderi
yang merupakan satu kelas yang berasingan. Sebilangan besar daripada
mereka terdiri daripada daripada golongan bangsawan yang mempunyai
tanah sebagai Vassal dalam sistem feudal. .Menurut
Ferguson dan Brunn, pada abad ke-12 dan ke-13, hampir 1/3 daripada
tanah yang boleh digunakan di Eropah barat di kawal oleh greja.
Bishop, abot dan pegawai-pegawai yang memegang jawatan penting dalam
gereja biasanya adalah golongan bangsawan.Justeru itu mereka sering
campur tangan dalam pemilihan jawatan bishop dan jawatan-jawatan lain
untuk salah seorang dari ahli keluarga mereka. Akibatnya pegawai-pegawai
gereja terdiri daripada golongan yang mementingkan meterial dan
mempunyai dua tanggungjawab
Ciri-ciri Masyarakat Feudal di Jepun
1. Sistem feudal juga dapat dilihat dengan jelas di Jepun, iaitu maharaja
yang berada di kemuncak struktur pemerintahan mempunyai kuasa yang
tidak terhad ke atas segala aspek di bawah pemerintahannya termasuklah
tanah. Hakikat ini dapat dilihat pada zaman Kamakura antara abad ke-12 dan 14, di mana keluarga Minamoto
menjadi keluarga yang penting di Jepun. Keluarga ini mampu
membekalkan keperluan keselamatan yang diperlukan oleh maharaja dan
mereka turut menguasai tanah dan segala penghasilannya.
2. Sebagai ketua kepada keluarga Minamoto, Yoritomo misalnya telah melantik mereka yang setia kepadanya mewarisi jawatan jito atau pengurus tanah dan bertanggungjawab mengutip cukai. Shugo merupakan
pegawai yang bertanggungjawab memastikan agar semua cukai di bayar
walaupun kekerasan terpaksa digunakan. Sistem sebegini terus kekal
sehingga zaman Meiji apabila beberapa perubahan besar dilakukan.
3. Menurut
Abdullah Zakaria Ghazali, dalam usaha melihat sejarah sistem Feudal di
Jepun, maka zaman Kamakura tidak harus ditinggalkan kerana zaman ini
merupakan akar kepada keberlangsungan sistem feudal yang hanya tamat
pada pertengahan abad ke-19. Menurutnya lagi, sistem feudal tumbuh subur
di Jepun kerana kewujudan estate persendirian yang dikenali sebagai syo atau syoen. Pertumbuhan estet-estet persendirian
ini telah dipercepatkan oleh kemerosotan golongan aristokrat dan
kebangkitan golongan perwira (buke).Golongan ini memberi taat setia
kepada Kamakura dan hasil daripada ketaatsetiaan ini menyebabkan
mereka mendominasi jawatan jito serta shugo. Gabungan organisasi inilah yang menjadi asas kepada kemunculan sistem feudal di Jepun.
4. Sehubungan itu kita dapat melihat sistem
feudal di Jepun telah melahirkan dua golongan yang saling bergantung
antara satu sama lain, iaitu golongan birokrasi pemerintahan dan
golongan tentera. Golongan birokrasi pemerintahan termasuklah
tuan-tuan tanah atau daimyo yang bertanggungjawab menyumbangkan
sebahagian daripada hasil tanah kepada maharaja.
5. Selain itu perjalanan sistem feudal di Jepun agak unik dan berbeza dengan negara lain. Ini disebabkan wujud
keterikatan yang kuat antara golongan daimyo dengan tentera dan petani ,
manakala maharaja tidak mempunyai sebarang peranan. Kemunculan
golongan tentera khusus (profesional) di Jepun begitu berpengaruh dalam
menentukan hala tuju pemerintahan. Golongan daimyo merupakan
kelompok yang sangat berkuasa di Jepun dan kuasanya dikatakan
mengalahkan kuasa maharaja.
6. Golongan
tentera mempunyai kebolehan yang besar dalam peperangan dan digunakan
oleh golongan bangsawan sama ada untuk mempertahankan hak milik mereka
atau menjaga keselamatan tuan-tuan mereka. Kekuatan
ketenteraan ini menjadi tulang belakang kepada kebangkitan daimyo di
Jepun sehingga maharaja tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya.
Susun lapis masyarakat feudal di Jepun
1. Struktur
sistem feudal di Jepun berbentuk piramid yang terdiri daripada golongan
pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah adalah
Maharaja, Shogun, Daimyo dan Samurai. Golongan diperintah terdiri
daripada petani, tukang dan saudagar. Sistem ini dapat dilihat dengan
jelas semasa pemerintahan Shogun Tokugawa.
2. Dalam
hierarki pemerintahan di Jepun Maharaja menduduki lapisan teratas.
Namun semasa pemerintahan Shogun Tokugawa Maharaja Jepun tidak mempunyai
kuasa untuk mentadbir. Baginda hanya menjadi lambang perpaduan rakyat.
Kuasa pemerintah terletak kepada Shogun Tokugawa. Shogun menjalankan
tugas atas nama maharaja melalui dasar pecah dan perintah. Hal ini
dilakukan supaya kuasa dan kedudukan Shogun terjamin. Shogun telah
membahagikan kawasan pemerintahan berdasarkan golongan bangsawan atau
Daimyo yang penyokong dan menentangnya. Daimyo yang menyokong Shogun
akan diberi tanah manakala bangsawan yang menentangnya ditempatkan di
kawasan yang akan dikawal oleh sekutu Tokugawa.
3. Daimyo
merupakan golongan bangsawan yang mempunyai peranan penting dalam
pentadbiran Tokugawa. Mereka terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu daimyo
Fudai, Daimyo Shimpan dan Daimyo Tozama. Daimyo Fudai ialah ahli
keluarga Shogun Tokugawa dan telah dikurniakan tanah yang berhampiran
kediaman Shogun. Daimyo Shimpan terdiri daripada pelbagai cabang
keluarga Tokugawa. Mereka diberi tanah tidak jauh daripada Shogun.
Daimyo Tozama terdiri daripada mereka yang memusuhi Shogun. Mereka
telah ditempatkan jauh daripada Shogun untuk mengelak ancaman
daripada mereka.
4. Samurai
merupakan kelas panglima. Mereka mempunyai kedudukan istimewa. Mereka
berfungsi sebagai penjaga keamanan negara dan Daimyo. Mereka tidak
dibenarkan melakukan kerja lain.
5. Dalam
kalangan rakyat biasa,petani (nomin) menduduki tempat yang tertinggi.
Hal ini kerana mereka merupakan pengeluar beras yang menjadi bahan makan
rakyat Jepun dan sebagai balasan mereka diberi upah hanya secukup makan
sahaja kerana hasil beras untuk negara. Jepun telah menjalankan dasar
tutup pintu ini menyebabkan rakyat hanya bergantung kepada beras yang
dikeluarkan oleh petani sahaja.
6. Kelas
tukang-tukang mahir (artisan) berada dibawah petani. Mereka mahir dalam
pembuatan pedang dan alat-alat lain yang berguna. Mereka diberi gaji
yang baik dan diberi rumah yang baik. Mereka dibenarkan menggunakan
pedang.
7. Kelas
pedagang (chonin) terletak dibawah artisan. Mereka dipandang rendah dan
tidak dibenarkan berlaku mobiliti sosial. Namun keadaan aman telah
menyebabkan ekonomi berkembang dan para pedagang telah berjaya mengumpul
harta yang banyak. Mereka kemudian telah memperbaiki status diri
mereka.
Perbandingan ciri-ciri masyarakat feudal di England dan Jepun
Persamaan:
1. Konsep
masyarakat feudal yang berasaskan saling memerlukan antara golongan
pemerintah dan golongan diperintah dan berbentuk piramid
2. Pembentukan masyarakat adalah berdasarkan keturunan dan sistem kelas
3. Kurang perubahan status atau mobiliti sosial
4. Peperangan adalah fenomena biasa dalam kalangan masyarakat
5. Peralatan peperangan adalah bersifat tradisional iaitu menggunakan kuda, pedang dan baju perisai
Perbezaan:
1. Masyarakat
feudal di England menekankan hak, undang-undang dan kewajipan manakala
di Jepun menekankan aspek moral, kesetiaan dan dipengaruhi oleh etika
Confucius
2. Pembinaan istana di England menggunakan batu manakala di Jepun menggunakan kayu
3. Kuasa pemerintahan dikongsi dalam badan perwakilan di England tetapi di Jepun
4. kuasa dan kesetiaan adalah sesuatu yang mutlak
5. Di
England, sesiapa boleh memiliki tanah asalkan berjasa kepada pemerintah
(Knight) tetapi di Jepun golongan samurai tidak berhak untuk mempunyai
tanah
6. Di England, penyatuan rakyat dijalankan oleh Raja tetapi di Jepun ia dilaksanakan oleh ketua tentera
Soalan-soalan Perbincangan:
1. Huraikan konsep dan ciri-ciri feudalisme di England dan Jepun.
2. Bincangkan susun lapis masyarakat feudal di England dan Jepun
3. Bandingkan ciri-ciri feudalisme di England dan Jepun
Tiada ulasan:
Catat Ulasan