Isnin, 11 November 2013

PENGGAL 1 TEMA 2 SISTEM PEMBESAR DI RUSIA



Pendahuluan.
Golongan pembesar merupakan pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja atau maharaja untuk menjawat jawatan tertentu dalam kerajaan. Tujuan pelantikan golongan pembesar untuk membantu raja atau maharaja dalam bidang pemerintahan yang merangkumi bidang politik, ekonomi dan sosial. Mengikut Kamus Dewan pula golongan pembesar bolehlah ditakrifkan sebagai orang yang berpangkat tinggi dalam kerajaan.
Dalam sistem pemerintahan raja atau maharaja, kedudukan pembesar sangat penting dan berada di lapisan kedua selepas kedudukan raja atau maharaja. Institusi pemerintahan di Russia memperlihatkan raja atau maharaja melaksanakan pemerintahan dengan bantuan atau sokongan institusi pembesar.  Bagi memastikan golongan pembesar sentiasa taat setia kepada raja atau maharaja dan mengawasi tindak tanduk pembesar maka satu badan pemantau telah diwujudkan oleh raja atau maharaja.
Jika seseorang pembesar gagal melaksanakan tugas yang telah diberikan dengan baik, raja atau maharaja mempunyai kuasa untuk melucutkan jawatannya dan digantikan dengan pembesar lain yang lebih berwibawa dan dipercayai. Kuat atau lemah sesebuah kerajaan atau raja atau maharaja adalah bergantung kepada golongan pembesar yang  dipilih dan dilantik oleh raja atau maharaja. Sebab itulah golongan pembesar diibaratkan sebagai tulang belakang atau tiang kerajaan dalam sesebuah kerajaan.
Sistem pembesar yang diamalkan di negara Rusia boleh dibahagi kepada beberapa peringkat iaitu pembesar diperingkat pusat, pembesar peringkat daerah atau wilayah dan pembesar peringkat kampung. Bidang tugas mereka hampir sama tetapi kedudukan serta kuasa mereka yang membezakan di antara golongan pembesar.
Sistem Pembesar Di Rusia
Sistem pembesar di Rusia berbeza dengan negara China. Semasa era pemerintahan Moscow dan Dinasti Ramanov sistem pembesarnya terbahagi kepada 3 peringkat iaitu peringkat pusat, peringkat daerah dan peringkat kampung.
Pentabiran Di Peringkat Pusat.
Di peringkat pusat, sistem pemerintahan pembesar melalui Majlis Penasihat Tertinggi (Duma), Majlis Penasihat (Zemskii Sabor) dan jabatan kerajaan (Prikazi). Duma dianggotai oleh golongan bangsawan paling kanan dan bertanggungjawab menyelaras hal ehwal pemerintahan, mengubal dan meluluskan dasar kerajaan, dan sistem kehakiman. Walaubagaimanapun raja masih lagi berkuasa untuk membuat keputusannya.
Zemskii Sabor pula dianggotai oleh golongan bangsawan. Bilangan ahlinya antara 40-50 orang dan bidang kuasa mereka lebih rendah berbanding kuasa Duma. Prikazi pula merupakan jabatan kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar yang telah digubal dan diluluskan oleh Duma.
Sistem pembesar di Rusia disusun dengan teliti akan tidak berlaku pertindihan peranan, lebih seragam dan lebih cekap. Oleh itu Duma dan Zemskii Sabor telah dibubarkan dan diganti dengan Majlis Senate pada tahun 1711 semasa pemerintahan Peter The Great. Majlis ini dianggotai oleh 9 ahli dengan dibantu oleh Colleges bagi meringankan beban tugas Senate yang semakin hari semakin banyak tugasnya.
Dalam bidang pemerintahan, institusi gereja Kristian Ortodoks juga mempunyai peranan penting dalam bidang keagamaan, ekonomi dan politik. Namum peranan mereka telah dikawal dengan ketat oleh raja Rusia supaya pembaharuan yang ingin dilaksanakan di Rusia dapat dilaksanakan. Raja Peter telah bertindak tidak melantik Patriarch yang baharu pad tahun 1700 malah telah menggantikannya dengan Holy Synod. Begitu juga di zaman Catherine, beliau telah memiliknegarakan harta dan kekayaan gereja. Hal ini telah membolehkan raja mengawal kuasa gereja kerana mereka terpaksa bergantung kepada kerajaan pusat.
Dalam pengubalan dasar luar, Jawatankuasa Tidak Rasmi atau Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini berperanan memberi nasihat kepada raja malah menyokong segala dasar yang dilaksanakan oleh pemerintah terutama di zaman Alexander I. Beliau juga telah melakukan perubahan dalam pemilihan anggota Duma atau parlimen seperti pemilihan anggota melalui pilihanraya. Semasa pemerintahan Nicholas II, beliau menjadikan Duma sebagai Parlimen Rendah iaitu keanggotaannya dipilih melalui undian oleh rakyat dan bukan dipilih oleh Tsar. Oleh kerana keanggotaannya terdiri daripada pelbagai peringkat dan bangsa maka ini telah menyukarkan Duma untuk membuat keputusan. Akhirnya Duma pertama telah dibubarkan dan Duma Kedua telah ditubuhkan pada Mac 1907.
Diperingkat pusat juga ditubuhkan Dewan Perhimpunan Wilayah yang bertanggungjawab membantu Tsar dalam menguruskan pentadbiran negara Rusia. Keanggotaan terdiri daripada golongan bangsawan.
Polis Rahsia Khas (Okhrana) juga ditubuhkan di peringkat pusat untuk mengawal penyebaran unsur propaganda yang boleh menggugat pemerintahan Tsar, demontrasi rakyat, mengawal jalan keluar masuk ke Rusia, menjadi pengintip raja atau Tsar dan menangkap golongan pengkhianat kepada Tsar. Penubuhan pasukan ini telah mengukuhkan lagi pemerintahan Tsar terutama di zaman pemerintahan Nicholas I, Alexander II dan Nicholas II.
Pentabiran Di Peringkat Daerah.
Pentadbiran peringkat daerah juga amat penting dalam membantu pemerintahan Tsar di Rusia. Pentadbiran di peringkat daerah di ketuai oleh gabenor atau naib gabenor yang dilantik oleh kerajaan pusat seperti di zaman pemerintahan Catherine.
Di peringkat daerah juga diwujudkan Majlis Perundangan Tempatan atau Majlis Daerah (Zemstvo). Rakyat diberi kuasa untuk memilih ahli Majlis Daerah. Ahli Majlis Daerah pula akan memilih ahli Majlis Wilayah. Majlis ini berperanan menjaga jambatan, jalan raya, pendidikan, kesihatan awam dan pemilihan pegawai undang-undang.
Pentabiran Di Peringkat Kampung.
Pentadbiran peringkat kampung pula dijalankan oleh Majlis Kampung. Majlis ini juga dikenali sebagai mir atau Komun. Majlis ini berperanan untuk memunggut cukai yang telah ditetapkan oleh kerajaan, menentukan jenis tanaman yang ditanam oleh petani, mengagihkan tanah pertanian kepada petani, memilih di kalangan golongan petani untuk menjadi tentera apabila diperlukan oleh Tsar, mengawal kemasukan pengaruh luar yang boleh mengugat kerajaan pusat dan menjadi pengintip kerajaan daripada berlakunya penentangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Entri yang lepas lepas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...