Pengenalan
Keruntuhan
sistem beraja mutlak digantikan dengan sistem raja berperlembagaan hanya dalam
tempoh yang singkat, iaitu lebih kurang setahun sahaja. Perancis kemudiannya
menjadi negara republik yang penuh dengan keadaan huru-hara yang berlaku
dikenali sebagai Zaman Pemerintahan Ganas.
Raja
Louis XVI telah memutuskan untuk mengadakan perjumpaan, iaitu Perhimpunan
Orang-Orang Kenamaan pada tahun 1787 sebagai langkah untuk mengatasi
masalah kewangan Perancis. Perhimpunan itu dihadiri oleh 145 orang yang terdiri
daripada ketua-ketua kaum bangsawan, ketua-ketua gereja, dan hakim dengan
harapan semua golongan ini bersetuju cukai dikenakan ke atas mereka.
Persidangan Parlimen
Hal ini
dipersetujui golongan bangsawan dengan syarat golongan bangsawan diberi
keutamaan menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan. Mereka juga mahukan Menteri Kewangan
Perancis, Colonne dipecat. Untuk mengelak konflik antara Kementerian Kewangan
dan Estet Kedua iaitu golongan bangsawan, Neckar
menasihatkan Raja Louis XVI memanggil semula parlimen untuk bersidang pada 1
Mei 1789. Rakyat Perancis diberi peluang untuk meluahkan segala rasa tidak puas
hati mereka terhadap pemerintah melalui cahiers (senarai rungutan).
Parlimen yang bersidang buat kali
pertamanya pada 5 Mei 1789 selepas 175 tahun tidak diadakan masih mengikut
peraturan cara lama. Persidangan ini telah diadakan di Versailles. Semua upacara lama dikekalkan dan
peraturan tersebut sudah tentu memberi keistimewaan kepada Estet Pertama dan
Estet Kedua. Misalnya, ahli-ahli Estet Ketiga dikehendaki menunggu dalam tempoh
yang lama di serambi yang terbuka di luar dewan persidangan di Versailles tetapi ahli-ahli daripada Estet
Pertama dan Estet Kedua diberi masuk ke dewan dengan serta-merta.
Cara persidangan di parlimen juga
mengikut cara lama, iaitu selepas membincangkan sesuatu usul, ahli-ahli dewan
akan mengundi sama ada menyokong atau membangkang. Keadaan ini sudah tentu
tidak akan menyebelahi Estet Ketiga kerana jika Estet Pertama dan Estet Kedua
tidak menyokong bermakna undi akan menjadi satu lawan dua.
Oleh itu, Estet Ketiga menuntut
supaya ketiga-tiga Estet disatukan dan pengiraan undi berdasarkan undi individu
(kepala) yang terdiri daripada seluruh anggota parlimen (ketiga-tiga Estet). Persidangan
ini gagal akibat perbezaan pendapat antara anggota ketiga-tiga dewan mengenai
cara pengundian dilakukan. Raja Louis XVI pula membuat keputusan
supaya peraturan lama mesti diguna pakai.
Perhimpunan Kebangsaan
Estet
Ketiga mengingkari perintah Raja Louis XVI dan menjemput anggota-anggota Estet
Pertama dan Estet Kedua berunding dengan mereka. Setelah perundingan dijalankan
lebih kurang dua minggu, kebanyakan anggota Estet Pertama dan Estet Kedua
menolak cadangan menggabungkan ketiga-tiga Estet.
Pada 12
Jun 1789, Estet Ketiga mengisytiharkan diri mereka sebagai Perhimpunan
Kebangsaan (Parlimen Negara). Revolusi Perancis sebenarnya bermula
dengan perisytiharan Estet Ketiga sebagai Perhimpunan Kebangsaan.
Penasihat
Louis XVI mendesak supaya diadakan Persidangan Diraja bagi ketiga-tiga dewan
dan baginda akan memberikan arahannya sendiri. Oleh itu, satu perjumpaan
dirancang antara Raja Louis XVI dengan anggota Majlis Perhimpunan (dahulunya
Estet Ketiga). Dewan tempat persidangan itu disediakan untuk Majlis Perhimpunan
di dalam istana Versailles.
Sumpah Gelanggang Tenis
Marie
Antoinette meminta Raja Louis XVI mengambil tindakan yang tegas terhadap anggota
Majlis Perhimpunan. Apabila ahli-ahli Perhimpunan Kebangsaan bersama-sama
pemimpin mereka menuju ke dewan, mereka dapati pintu-pintu dewan telah dikunci
dan dikawal oleh tentera atas arahan Raja Louis XVI.
Anggota
Perhimpunan Kebangsaan melarikan diri dan mereka telah berhimpun di gelanggang
tenis pada 20 Jun 1789. Mereka telah mengangkat sumpah bahawa mereka tidak akan
bersurai dan akan terus bersidang sehingga mereka menggubal perlembagaan
Perancis. Peristiwa mi dikenali sebagai “Sumpah Gelanggang Tenis”.
Persidangan
Diraja bagi semua Estet berlangsung pada 23 Jun 1789. Dalam ucapan semasa
perhimpunan itu, Raja Louis XVI mengemukakan pelbagai cadangan pemulihan untuk
pertimbangan Estet-estet. Baginda seterusnya memerintahkan supaya ketiga-tiga
Estet bersidang bersendirian, lalu baginda meninggalkan dewan. Golongan bangsawan
dan paderi turut meninggalkan dewan, tetapi ahli Estet Ketiga masih tetap di
kerusi masing-masing walaupun disuruh meninggalkan dewan oleh Juruacara Raja.
Golongan
revolusi mara ke hadapan Juruacara dan menyatakan “Pergi kamu beritahu ketua
kamu, yang kami di sini adalah dengan kehendak rakyat dan kami tidak akan
pulang melainkan di hujung senjata benet!”. Sebilangan golongan bangsawan
dan paderi turut menyertai Perhimpunan Kebangsaan. Ini merupakan satu daripada
peristiwa penting dalam Revolusi Perancis.
Pemberontakan Rakyat
Prinsip perjuangan golongan Majlis Perhimpunan (Estet Ketiga)
yang terdiri daripada kelas menengah menjadi semakin ketara kerana mereka
menuntut konsep persamaan dan keadilan dipraktikkan bukannya diberi sesuatu
keistimewaan kepada rakyat berdasarkan hak atau warisan turun temurun. Mereka
mahukan hak individu golongan yang berkemampuan dan berbakat khasnya kelas
pertengahan diberi perhatian sewajarnya.
Golongan miskin masih tidak mendapat tempat namun mereka
turut menyertai kelas pertengahan menentang golongan raja, paderi, dan
bangsawan kerana mereka juga bencikan keistimewaan yang diberi kepada golongan
atasan selama ini.
Walaupun golongan bangsawan istana dan ahli keluarga raja
mahu menggagalkan Perhimpunan Kebangsaan dengan menubuhkan satu pasukan tentera
di bawah pimpinan Marshall de Broglie tetapi mereka tidak mampu menghalang
kehendak rakyat untuk menghapuskan sistem monarki. Malah sebahagian tentera de
Broglie menyertai Perhimpunan Kebangsaan.
Pada 14 Julai 1789, golongan pemberontak telah menggempur
penjara Bastille di mana penjara ini menempatkan tahanan politik seperti
Voltaire dan Diderot. Kejatuhan bangunan ini memberi semangat kepada
golongan revolusi di kawasan bandar dan desa. Kejatuhan Bastille tidak dilupakan oleh rakyat
Perancis hingga kini. Malah Hari Kebangsaan Perancis dirayakan pada 14 Julai
setiap tahun sempena peristiwa ini.
Persidangan
Perhimpunan Kebangsaan
Perhimpunan Kebangsaan telah mengadakan persidangan pada 4
Ogos 1789. Perhimpunan ini telah berjaya mengubal perlembagaan baru bagi negara
Perancis, berjaya menghapuskan sistem feudal, perhambaan, dan golongan
istimewa. Monopoli golongan bangsawan dihapuskan (tanpa pampasan), cukai yang
sama untuk semua golongan, menghapuskan buruh paksa (corvee), cukai, dan
semua jenis hak istimewa gereja ditarik balik.
Seterusnya Perhimpunan Kebangsaan telah memperjuangkan
kebebasan memiliki harta benda, perlindungan, dan menentang penindasan dengan
meluluskan Perisytiharan Hak-hak Manusia dan Warganegara (Declaration
of the Rights of Man and the Citizen pada 27 Ogos 1789. Perisytiharan
ini mengiktiraf semua manusia dilahirkan dan kekal bebas dan mempunyai hak yang
sama. Rakyat bebas untuk bertukar-tukar pendapat dan tiada sesiapapun yang
boleh dituduh, ditangkap dan ditahan, melainkan ditentukan oleh undang-undang.
Setelah sistem feudal dihapuskan, sistem pentadbiran baharu
dibentuk. Perancis telah dibahagikan kepada 83 kawasan, luasnya lebih kurang
sama besar dan sama jumlah penduduknya. Setiap kawasan (department) dibahagikan
pula kepada daerah-daerah (cantons) dan commune.
Penubuhan Kerajaan
Raja Berperlembagaan
Menjelang bulan Julai 1791, Majlis Perhimpunan Kebangsaan
telah menyiapkan satu perlembagaan baru yang ditandatangani oleh Raja Louis
XVI. Berdasarkan idea Montesquieu melalui teori pengasingan kuasa yang
diutarakannya, kerajaan dibahagikan kepada tiga cabang iaitu badan legislatif,
badan eksekutif, dan badan judisiari. Pemerintahan raja
berperlembagaan berlangsung selama setahun kemudian sistem pemerintahan
Perancis bertukar menjadi republik.
Pengisytiharan Kerajaan Republik
Keadaan negara Perancis
masih tidak aman iaitu berlaku perpecahan dalam kalangan pendukung revolusi,
iaitu golongan jacobin dan girondin. Perancis terlibat dalam
peperangan dengan negara jiran mereka, iaitu Austria dan Prusia. Keputusan
perang diambil kerana ancaman puak imigres (bangsawan yang melarikan diri)
yang bekerjasama dengan kedua-dua kuasa berkenaan. Maharaja Austria, Francis
II dan Raja Frederick William II dari Prusia terlibat dalam peperangan ini
kerana mahu mempertahankan sistem monarki di Perancis.
Pada bulan
April 1782, Perancis mengisytiharkan peperangan terhadap Austria. Manakala Raja
Louis XVI telah ditahan dalam penjara. Pada bulan September 1792, Perhimpunan
Perundangan digantikan dengan Constitutional Convention. Perkembangan ini
menyebabkan negara Perancis diisytiharkan sebagai sebuah republik.
Pemerintahan Diktator Oleh Golongan Jacobin
Dalam keadaan
kacau-bilau dari ancaman luar itu, sebuah badan telah ditubuhkan untuk menjaga
hal ehwal dalam negeri iaitu Jawatankuasa Keselamatan Awam. Jawatankuasa ini
banyak dianggotai oleh pengikut golongan Jacobin yang dipimpin oleh
Maximilien Robespierre Danton dan Marat. Pemerintahan diktator yang dikenali sebagai
Zaman Pemerintahan Ganas yang berlaku dari bulan Jun 1793 hingga Julai 1794.
Kumpulan ini
mewujudkan Mahkamah Revolusi dan menggubal Undang-undang Syak. Sesiapa sahaja
yang disyaki musuh revolusi dan golongan yang menyokong raja dihukum pancung
dengan menggunakan gilotin. Dikatakan pada zaman ini lebih 40 ribu orang
dijatuhkan hukuman mati.
Malah, Raja
Louis XVI dipancung dengan menggunakan gilotin pada 21 Januari 1793 manakala
isterinya iaitu Marie Antoinnette juga dipancung menggunakan gilotin 16 Oktober
1793. Robespierre juga dikenakan hukuman pancung dengan gilotin
oleh puak-puak yang menyokong parlimen.
Selepas
kematian Robespierre pada 28 Julai 1794, berakhirlah Zaman Pemerintahan Ganas
di Perancis. Keadaan tidak stabil berlarutan sehinggalah munculnya Napoleon
Bonaparte mengambil alih kuasa pemerintahan di Perancis pada penghujung tahun
1799.
Penubuhan Kerajaan Directory
Selapas tamat
pemerintahan ganas, sebuah perlembagaan baru diperkenalkan pada bulan Oktober
1794. Dengan itu, Constitutional Convention telah dibubarkan dan diganti dengan
kerajaan baru yang dikenali sebagai directory untuk mentadbir kerajaan.
Badan
perundangan dan badan eksekutif telah ditubuhkan untuk melincinkan pentadbiran.
Badan perundangan
terbahagi kepada 2 buah majlis iaitu Majlis Orang Tua (Council of Elders) dan
Majlis Lima Ratus (Council of Five Hundred). Golongan yang memiliki harta
berhak untuk mengundi dalam pilihan raya serta menjadi ahli badan perundangan. Badan
eksekutif pula berada di tangan di directory yang dianggotai oleh 5 orang. Pemerintahan
kerajaan ini berakhir pada tahun 1799 apabila ia digulingkan oleh Napoleon
Bonaparte.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan